Tarikh : 15 Februari 2010
Lokasi : Ipoh, Perak
Misi kali ini adalah menjejak masjid tua di sekitar bandaraya Ipoh. Saya memperoleh maklumat tentang wujudnya sebuah masjid lama di sini tetapi keliru dengan namanya. Ingat-ingat lupa sama ada Paloh atau Pagoh. Justeru saya menghubungi seorang teman lama yang kebetulan pulang ke kampung ibunya di Ipoh. Pada mulanya, saya bertanya apakah ada tempat bernama Pagoh atau Paloh di Ipoh. Namun teman tadi tidak pasti sama ada tempat tersebut wujud atau sebaliknya. Saya sendiri walaupun dilahirkan di Ipoh tidak pernah mendengar nama tempat sedemikian rupa. Ketika singgah di Restoran Ramli menikmati mee rebus, saya mengambil peluang bertanya seorang hamba Allah. Kebetulan dia mengetahui lokasi masjid yang ingin saya tujui, lalu diberikan pandu arah secara lisan. Alhamdulillah, perjalanan dipermudahkan apabila bangunan Masjid Paloh akhirnya berjaya ditemui.
Masjid Kampung Paloh dibina oleh Orang Kaya-Kaya Dato’ Seri Adika Di Raja Wan Mohamed Salleh pada tahun 1912. Kampung Paloh adalah penempatan awal di bandar Ipoh. Di sebelah masjid ini dibina Madrasah Sharifah, mengambil nama salah seorang penaungnya iaitu Toh Puan Hajah Sharifah Rodiah.
Kompleks makam ini terletak di bahagian belakang Masjid Kampung Paloh. Saya dibawa oleh siak masjid ke bahagian belakang untuk melihat lebih dekat bahagian dalam makam.
Ketiga-tiga nesan ini berada di dalam kompleks makam. Nesan yang paling tinggi (bahagian tengah) adalah makam Y.M. Orang Kaya-Kaya Dato’ Seri Adika Di Raja Wan Mohamed Salleh.
Dari Masjid Paloh, saya meneruskan perjalanan ke Masjid Panglima Kinta yang terletak di laluan Jalan Masjid. Lokasi masjid ini dimaklumkan oleh siak Masjid Paloh. Selain dua buah masjid ini, terdapat sebuah lagi masjid iaitu Masjid India Muslim yang masih dikekalkan sebagai bangunan warisan di Bandaraya Ipoh.
Masjid Panglima Kinta adalah masjid yang pertama dibina di Ipoh. Ia dibina oleh Dato’ Panglima Kinta Mohamed Yusof pada tahun 1898 sempena memperingati isterinya yang telah kembali ke rahmatullah. Di belakang masjid ini terdapat tanah perkuburan ahli keluarga Dato’ Panglima Kinta manakala di sebelah masjid pula didirikan Madrasah Kamaliah iaitu sekolah Arab yang pertama di Ipoh.
Kompleks makam ini terletak pada bahagian kiri pintu pagar masjid. Didapati tanah kuburan di dalam kompleks makam lebih tinggi kedudukannya dari aras jalan.
Beginilah keadaan kawasan dalam kompleks makam. Rata-rata kuburan berusia lebih dari 60 tahun berdasarkan tarikh yang tertera pada permukaan batu nesannya.
Seperti biasa, saya akan membuat pemerhatian di sekeliling lokasi tinjauan. Apakah ciri yang menarik tentang rumah yang terletak di hadapan Masjid Panglima Kinta ini? Ciri-ciri senibina tradisional Melayu dapat dikesan dan diperhatikan dengan jelas pada buton yang ditegakkan pada bahagian tengah tebar layar. Papan layang dan papan pator (tumpu kasau) dihiasi dengan pola ukiran.
Ini adalah pintu masuk utama Masjid Panglima Kinta. Di sekeliling bangunan masjid dipagar dengan jeriji besi.
Dari Masjid Panglima Kinta, saya meneruskan pencarian dalam usaha menjejak lokasi Masjid India Muslim. Lokasi masjid ini terletak di Jalan Clayton atau kini dikenali sebagai Jalan S.P. Seenivasagam. Ianya telah dibina pada tahun 1908 dan diasaskan oleh Sheikh Adam yang berketurunan Tamil.
Semasa tiba di pintu pagar masjid, didapati sekumpulan remaja berketurunan India berhimpun di luar perkarangan masjid. Pada awalnya saya agak ragu-ragu untuk melangkah masuk ke ruang dalam masjid. Tidak dinafikan perasaan tersebut wujud lantaran rasa kekok saya melihat anak-anak muda tersebut berkumpul beramai-ramai tanpa diketahui tujuannya. Timbul tanda tanya apakah agenda mereka sebenarnya? Adakah sekadar bersantai atau berhimpun dengan matlamat tertentu. Namun, saya membiarkan sahaja andaian tersebut berlegar-legar di fikiran sambil mengatur langkah masuk ke ruang serambi masjid.
Sewaktu melangkahkan kaki ke ruang serambi, kelihatan barisan jemaah sedang mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Kira-kira 10 minit menunggu jemaah tersebut selesai membaca doa, saya memohon keizinan kepada Imam masjid untuk merakam foto dekorasi di ruang dalam dan di luar masjid. Saya dimaklumkan bahawa mereka baru sahaja selesai membacakan doa selamat kepada salah seorang kenalan yang telah kembali ke rahmatullah pada hari tersebut.
Kumpulan anak muda yang berhimpun di luar masjid adalah penganut agama Hindu. Mereka adalah waris dan kenalan kepada si mati yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir dengan berkumpul di perkarangan luar masjid. Hanya waris dan kenalan jenazah yang beragama Islam sahaja masuk ke ruang dalam masjid turut serta dengan jemaah lain membaca doa. Jadi, terjawablah sudah tanggapan awal saya terhadap aktiviti anak muda tersebut semasa tiba di perkarangan masjid tadi.
Kagum sebaik melangkah masuk ke ruang dalam tempat solat jemaah yang telah diberi sentuhan baru. Tiang dan dinding masjid dihiasi kepingan marmar dengan motif geometri. Motif tersebut disusun sehingga menghasilkan corak arabes yang indah. Penggunaan warna-warna harmoni mendominasi ruang dalam masjid.













salam…untuk pengetahuan puan,Masjid Paloh Ipoh pengasasnya adalah Dato’Seri Mohammad Salleh,namun segala pembiayaannya ditanggung sepenuhnya 3 hartawan ketika itu iaitu Hj Long Kassim B Ngah Banjar Jagra, Toh Puan Sharifah dan seorang lagi saya lupa…..jika puan tidak percaya boleh contact saya. Ini adalah kerana saya adalah salah seorang waris Hj Long Kassim dan keluarga kami masih menjalankan pengurusan masjid tersebut dan ramai AJK Masjid terdiri daripada ahli keluarga kami. Ini adalah kerana fakta sejarah tidak boleh diubah dan perlu diperbetulkan untuk tatapan generasi akan datang.
Komen oleh shafrul — 30/04/2010 @ 5:17 am |
Wsalaam…
Terima kasih atas informasi yang diberikan. Untuk makluman saudara, saya telah diberi no. talian En. Azman (AJK Masjid Paloh) oleh En. Zul (Siak Masjid Paloh) semasa sesi tinjauan ke masjid tersebut tanggal 15 Feb. yang lalu. Namun, saya amat berbesar hati sekiranya saudara dapat berkongsi maklumat berkaitan penubuhan dan lain-lain yang berkaitan di sanggar ini atau mohon dikirimkan ke e mel harlenz2001@yahoo.com.
Terima kasih
Komen oleh harlenyabdarif — 01/05/2010 @ 8:52 am |
Kalau ke Ipoh lagi cuba Masjid Ahmadiah Kg Kepayang.
Hiway ke Utara; exit Smpg Pulai; traffic light, kiri, masjid pertama sebelah kiri.
Saya rasa ada “daya penarik” di situ. Tangkap gambar kolahnya sekali, saya tak sempat.
Di Seremban, dekat dengan Man Tomyam (?) jalan ke Kuala Klawang, Masjid Datuk Kelana Sg Ujung (?)
klasik!
Dan Masjid Kg Tuan Kemaman memang “syok”, saya baru pergi minggu lepas dan Sabtu baru ni.
Saudari patut masukkan sekali gambar perigi tuanya.
wassalam.
Komen oleh islaminus — 12/07/2010 @ 3:37 pm |
Salaam…
T kasih atas info lokasi Masjid Ahmadiah yang diberi. InsyaAllah ada kelapangan…bakal saya kunjungi.
Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng di Klawang telah saya kunjungi pada tanggal 8 Mei lalu…cuma fotonya belum saya upload di sanggar ini. Masjid Kg Tuan pula telah saya kunjungi dalam siri tinjauan 20 Jun lalu.
p/s: Masih byk lg foto yg ada dlm simpanan, tetapi belum sempat saya masukkan…insyaAllah ada ruang waktu bakal saya kongsikan paparannya nanti… Terima kasih di atas perkongsian info dan saya amat mengalu-alukan saranan dan pandangan saudara/ri di blog ini… =)
Komen oleh harlenyabdarif — 13/07/2010 @ 12:16 am |
Harleny – saya tahu masjid tu, tapi rasanya kalau u ke depan lagi 4km jln ke taman herba perak -simpang ke Bt Gajah (spg kanan traffic light ) jalan terus sebelum jumpa kelly castle ( spt tj mahal kat India)ada masjid lama, kalau tak silap masih menggunakan perigi utk ambil wuduk- klasik juga tu, air jernih dan sejuk, dulu saya pernah singgah solat di situ, nyaman sekali air dan masjidnya. Masjid kat Kuala Kangsar tu macamana -Masjid insaniah kg mana ya, email me info terkini utk maklumat saya, TK
Komen oleh hashim ahmad — 18/07/2010 @ 3:46 pm |
Masjid Ahmadiah di Kampung Kepayang telah saya kunjungi pada 16 Julai 2010. Masjid ini telah dibina pada tahun 1905 dan kini berusia 105 tahun. Terima kasih kepada Tuan Punya blog islaminus yg telah memberi informasi masjid tua tersebut.
Tentang masjid yang 4km ke hadapan yg di maksudkan…setahu saya namanya Masjid Ar-Rahmaniah yang terletak di Kg. Pengkalan Baru, Jalan Gopeng. Lokasinya terletak di sisi kanan jalan menghala ke Batu Gajah. Saya sempat membuat tinjauan 17 Julai 2010 semasa dalam perjalanan pulang ke Sungai Buloh.
Masjid Ihsaniah terletak di Kuala Dal, tak berapa jauh dari pekan Kuala Kangsar. Masjid ini dindingnya dihasilkan dengan teknik anyaman mempunyai persamaan dengan Istana Kenangan di Bukit Chandan. Foto masjid serta keterangannya akan saya paparkan nanti…insyaAllah
Komen oleh harlenyabdarif — 18/07/2010 @ 7:14 pm |
tolong terang kan sejarah masjid india ipoh,
masjid kuala kangsar,dan masjid india taiping
degan lebih mendalam (sebab kite org nak buat kerje kursus)
Komen oleh nizam — 26/07/2010 @ 7:57 pm |
Kalau nak buat kerja kursus nampak gayanya saudara n the gang (lebih drpd sorang kot, sbb gunapakai istilah ‘kite org’) perlu buat research kat library… dapatkan rujukan (buku, akhbar, makalah dll) berkaitan senibina masjid. Sanggar ini hanya memaparkan secara ringkas ttg senibina masjid kunjungan berdasarkan pemerhatian semasa sesi tinjauan.
Cadangan saya, adalah lebih baik saudara n the gang turun ke lapangan melihat sendiri senibinanya dengan lebih dekat. Bila dah tiba di masjid tu, boleh risik2 daripada AJK masjid. Sekiranya mereka tiada, tanya rumah terdekat di sekitar masjid (sebab imam, siak dan AJK biasanya rumah mereka berdekatan masjid). Tidak semua senibina masjid tua didokumentasikan atau tertera sejarah pembinaannya dalam teks bertulis. Justeru, saranan agar saudara turun sendiri ke lapangan adalah sbg salah satu cara unt mengumpul data sekaligus memperolehi info yang diinginkan. Adakalanya sejarah tentang penubuhan masjid tua ini tercatat pada sudut tertentu di ruang masjid. Kalau tiadapun, golongan tua berhampiran masjid boleh ditemubual (secara tidak formal) unt mendapatkan info.
Satu lg yg perlu diketahui bahawa, rata2 daripada AJK masjid adalah waris keturunan pengasas masjid tua yang dikunjungi (berdasarkan pengalaman saya dalam sesi temubual). Jadi, mereka adalah informan yg sesuai ditemubual unt mendapatkan sumber secara lisan selain ada menyimpan catatan berkaitan pembinaan masjid yg dapat membantu dlm penyelidikan.
Info ttg masjid India Ipoh blh hubungi Ustaz Kadir di talian 012 4557697
p/s: Moga dipermudahkan segala urusan dan tugasan saudara kelak…Amin
Komen oleh harlenyabdarif — 26/07/2010 @ 10:17 pm |