Jejak Mihrab & Mimbar

30/03/2010

Karya Catan: Pameran Lantera Seni 2010

Filed under: Galeri — Harleny Abd Arif @ 7:22 am

 

Nama  : Harleny Abd Arif
Tajuk  : Jejak Mihrab 4
Tahun  : 2010
Media  : Akrilik
Saiz  : 89 cm x 64 cm

 

Nama  : Harleny Abd Arif
Tajuk  : Jejak Mihrab 5
Tahun  : 2010
Media  : Akrilik
Saiz  : 88 cm x 62 cm

 

Nama  : Harleny Abd Arif
Tajuk  : Al- Haq
Tahun  : 2010
Media  : Akrilik
Saiz  : 66 cm x 50 cm

 

Nama  : Harleny Abd Arif
Tajuk  : Al-Qahhar
Tahun  : 2010
Media  : Akrilik
Saiz  : 50 cm x 35 cm

 

Nama  : Harleny Abd Arif
Tajuk  : Al-Khaliq
Tahun  : 2010
Media  : Akrilik
Saiz  : 54 cm x 54 cm

 

Nama  : Harleny Abd Arif
Tajuk  : Sketsa Hidup
Tahun  : 2007
Media  : Pensel
Saiz  : 73 cm x 58 cm

 

29/03/2010

Pameran Lantera Seni 2010

Filed under: Hebahan — Harleny Abd Arif @ 4:06 pm

 

28/03/2010

Masjid Tua di Melaka: Siri 2

Filed under: Masjid-Masjid Tua di Semenanjung — Harleny Abd Arif @ 8:01 pm

 

Tarikh : 20 hingga 21 Mac 2010
Lokasi : 1. Masjid Jamek Kampung Duyong
               2. Perigi Hang Tuah

               3. Masjid Qariah Alai
               4. Masjid Al-Khairiah
               5. Masjid Jamek Kampung Umbai Pantai
               6. Makam Tun Teja
               7.
Masjid Jamek Serkam

 

Hari ini sebenarnya saya merancang menjejak sebuah masjid tua di Kampung Dulang, Jelebu di Negeri Sembilan. Namun, dalam perjalanan, jadual dipinda sehinggalah kenderaan yang dinaiki meneruskan haluannya ke Melaka. Dalam pada membuat keputusan mendadak mengubah hala, maka secara spontan ikan bakar di Umbai terbayang di ruang mata. Memandangkan saya bertolak selepas zuhur dan misi asal pula dipinda lebih jauh destinasinya, justeru keputusan pun diambil untuk bermalam di Melaka. Jadi misi menjejak masjid tua Kampung Dulang pun ditunda keesokan harinya.

 

Selepas menikmati ikan bakar di Gerai nombor 4, saya melangkah menuju ke arah jeti Umbai ini. Entah mengapa hati tiba-tiba terasa seperti mahu merakam bot-bot yang ada. Lebih 10 kali saya cuba merakam foto dalam suasana kegelapan, namun tiada satu pun hasilnya yang berkenan di hati. Namun, saya paparkan juga foto berikut kerana di lokasi inilah bermulanya intro penceritaan yang ada kaitan dengan penghujung perjalanan saya pada kali ini.

 

Keesokan harinya, sekali lagi pindaan dibuat. Perjalanan yang sepatutnya diteruskan ke Jelebu kesudahannya ditunda agak lewat sedikit. Kali ini apa pula sebabnya? Tidak lain dan tidak bukan, keinginan yang kuat untuk melawat perigi Hang Tuah. Dalam usia meniti 34 tahun, tidak pernah walau sekali pun saya berkunjung ke lokasi bersejarah tersebut. Niat ke sana timbul apabila saya terpandang papan tanda tertulis PERIGI HANG TUAH dalam perjalanan ke gerai ikan bakar malam sebelumnya. Malah hati saya rasa terpanggil ke perigi ini setelah pulang dari melawat perigi Hang Tuah yang turut terdapat di Patani  5 hari sebelumnya. Perigi tersebut terletak kurang 500 meter dari kedudukan Masjid Sultan Muzuffar Shah di Kreesek (Krue Se). Terasa malu pada diri sendiri pula apabila perigi Hang Tuah yang nun jauh di Selatan Thai telah dikunjungi, tetapi perigi yang dekat di tanah kelahiran sendiri belum dijejaki.

 

Ada hikmah niat saya untuk melawat ke perigi Hang Tuah…rupanya tuah dipertemukan dengan senibina Masjid Jamek Kampung Duyong ini. Alang-alang dah berjumpa masjid tua, saya pun turun dari kenderaan menuju ke ruang dalam masjid untuk merakam dan mengambil ukuran mihrab dan mimbarnya.

 

Rekabentuk hiasan mahkota di puncak dan menara Masjid Jamek Kampung Duyong ini ada persamaan dengan Masjid Alai dan Masjid Al-Khairiah yang terletak di pinggir jalan tidak jauh dari lokasi masjid ini.

 

Kawasan tanah perkuburan terdapat pada bahagian sisi kanan begitu juga seberang jalan bertentangan masjid. Kawasan di sekitar masjid rata-rata dipenuhi nesan putih.

 

Kolam ini pasti kolam wudhuk asal yang telah disimenkan. Kini kolam wudhuk telah beralih fungsi menjadi tempat peliharaan ikan di dalam kawasan masjid.

 

Pondok ini dibina bagi menempatkan beduk lama. Beginilah usaha yang seharusnya dicontohi dalam memelihara objek budaya sebagai warisan tradisi bangsa Melayu.

 

Tiba jua akhirnya saya di hadapan perigi Hang Tuah ini. Perigi ini terletak dalam kawasan yang berpagar dengan jeriji besi. Sebelum merakam foto, saya menggunakan kesempatan dan peluang yang ada menemubual pemilik gerai yang berniaga betul-betul di hadapan perigi ini. Beberapa kisah dikongsikan bersama setelah saya bertanya apakah kejadian aneh yang pernah terjadi di perigi ini. Menurutnya, orang-orang tua dahulu sering bercerita tentang kewujudan buaya putih yang pernah muncul di dalam perigi tersebut. Walaupun ianya sekadar cerita lisan, namun misteri kewujudan buaya putih tersebut diakui kebenarannya oleh beberapa penduduk kampung yang telah ditemubual. Peniaga tersebut juga telah dua kali didatangi pelawat yang secara kebetulan ternampak kemunculan bayangan buaya putih sewaktu hendak mengambil air di dalam perigi. Cerita sedemikian mungkin dikongsikan bersama peniaga tersebut untuk mensahih dan membuktikan kebenaran apa yang dilihat oleh mereka. Tentang mengapa buaya putih tersebut muncul dan mengapa hanya orang-orang tertentu sahaja dapat melihatnya hanya Allah yang mengetahui rahsianya. Kita sebagai hambaNya hanya mampu menduga-duga dalam mencari jawapannya. Pada pandangan saya, tiada yang mustahil dengan izin Allah. Alam ini bukan sahaja dihuni oleh manusia sebagai makhlukNya, tetapi turut didiami oleh makhluk lain yang tidak kelihatan pada pandangan mata kasar manusia. Cuma kita sebagai hambaNya jangan terlalu taksub sehingga mengundang kepercayaan karut yang dapat memesongkan akidah. Apa yang dilihat atau dilalui semuanya berbalik kepada sifat kebesaran Allah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

 

Menurut sumber bertulis, perigi ini asalnya dikatakan kecil dari saiz yang ada sekarang. Ianya digali oleh Hang Tuah sendiri. Selain di Melaka, kewujudan perigi Hang Tuah turut berada di Bakung, Lingga (Sumatera Timur) dan di Kreesek, Patani (Selatan Thailand).

 

Kunjungan seterusnya adalah ke lokasi Masjid Qariah Alai. Saya membuat permintaan untuk singgah melihat mihrab dan mimbar di ruang dalam. Sebenarnya, masjid ini telah saya rakam fotonya pada September 2009 (lihat Masjid Tua di Melaka: Siri 1). Namun, saya tidak berkesempatan melihat dan merakam foto mihrab dan mimbarnya kerana solat tarawih yang sedang berlangsung di dalamnya. Justeru, inilah peluang yang dinanti-nantikan untuk memenuhi hajat yang tidak kesampaian 6 bulan lalu.

 

Ruang serambi masjid sebelum melangkah masuk ke ruang dalam tempat solat. Berbekalkan pita pengukur, sebatang pen dan sebuah buku catatan, tugasan saya merakam foto serta mengukur rekabentuk mihrab dan mimbar sempurna sudah. Masjid berikutnya adalah menuju ke Masjid Al-Khairiah di Teluk Mas.

 

Ha…mengapa pula saya masuk ke kawasan lokasi ikan bakar di Umbai ini walhal baru malam tadi menikmati ikan bakar di sini. Begini sebabnya…Nak dijadikan cerita, bungkusan kuih tradisional yang saya beli di gerai jualan ghaib entah ke mana. Kalau sebungkus dua yang lebuh mungkin saya tak kisah, tetapi banyak juga bungkusan kuih yang dibeli. Bukan setakat untuk diri sendiri tetapi juga untuk jiran tetangga. Sangkaan saya pada awalnya mungkin bungkusan tersebut tertinggal di hotel, namun staf di kaunter mengesahkan tiada sebarang bungkusan di bilik mahupun di lobi hotel. Kalau nak kata tercicir, mustahil pula sebab bungkusan tersebut bukannya kecil tetapi besar saiznya. Entah-entah tertinggal di tembok batu berdekatan jeti Umbai malam sebelumnya. Maklumlah, mungkin niat meletakkan bungkusan secara sementara kerana ingin merakam foto bot-bot yang ada menjadi penyebabnya. Pelbagai andaian berlegar di kepala. Tidak kiralah apa andaiannya, semua dek kerana ralat sebenarnya. Justeru, bagi mengganti semula kuih yang tak sempat dijamah rasanya maka berpatahlah semula saya ke medan selera ikan bakar Umbai untuk membeli buat kali kedua.

 

Setelah membeli beberapa bungkusan kuih, saya mengatur langkah ke arah jeti Umbai ini. Sambil merenung ke arah bot-bot di hadapan mata, saya kira ada baiknya merakam semula foto yang diambil malam sebelumnya…sebagai ganti foto sedia ada yang agak samar rakamannya. Lalu, jari-jemari mula menarik zip…membuka beg tangan lantas meraba-raba mendapatkan kamera. Foto pun dirakam sambil hati tertanya-tanya, “Ke manakah arah haluan bot ini saban hari?” Dalam pada hati berkata-kata, kedengaran pula laungan suara, “Pulau Besar…Pulau Besar”  Saya tertinjau-tinjau dari mana arah laungan tersebut. Rupanya laungan dari arah pondok tidak jauh dari lokasi saya berdiri. Bagai ditarik-tarik, setapak demi setapak langkah dibuka menuju ke arah pondok tersebut. Beberapa orang lelaki berkumpul di situ seolah-olah menanti pengunjung yang datang. Spontan saya bertanya, “Bot ini nak ke mana?” Salah seorang lelaki dengan pantas menjawab, “Sewa bot untuk ke Pulau Besar. Di sana ada makam Wali Allah. Kalau nak tahu lebih lanjut, pergi lihat kat pondok sana” (sambil jari telunjuk ditujukan ke arah pondok di hadapan kami). 

 

Sebaik tiba di pondok yang dimaksudkan, saya mula mencari info berkaitan destinasi Pulau Besar. Sedang merakam iklan yang bertampal di papan kenyataan, lelaki yang saya tanya di pondok tadi datang menyapa. Tanpa diundang dia membuka cerita tentang makam Wali Allah yang menurutnya ada kaitan dengan Habib Nuh yang makamnya berada di Singapura. Saya mendengar penuh minat, namun kesuntukan waktu membuatkan saya tergesa-gesa untuk berlalu dari situ. Sempat saya bertanya, “Ada kad untuk saya hubungi?” lalu dijawabnya, “Maaf la, kad dah habis…akak ambil je no ni (sambil menunjukkan nombor talian seperti tertera di atas). Saya la Azrin…akak telefon je kalau nak ke Pulau Besar.” Saya mengangguk-anggukkan kepala sambil berlalu pergi menuju ke kereta. Sepanjang perjalanan, saya mula menyimpan hasrat untuk ke Pulau Besar jika ada ruang dan kesempatan berbuat demikian pada masa hadapan.

 

Masjid Jamek Kampung Umbai Pantai adalah lokasi kelima yang dikunjungi. Hampir 15 minit lamanya saya menanti di luar perkarangan masjid kerana jemaah lelaki sedang menunaikan solat zuhur berjemaah di dalamnya.

 

Kubah bertingkat  dengan unsur kosmos di puncaknya. Sulur bayung menjadi pelengkap di hujung bucu tulang perabung. Bangunan masjid ini telah diperluas dan direnovasi struktur dalaman dan luarannya.

 

Ini pula binaan makam dengan cat kuning yang berada dalam kawasan masjid. Kedudukannya terletak bertentangan dengan bahagian mihrab.

 

Makam Almarhum Sultan Ali (Johor) mangkat pada tahun 1877. Kini usia makam ini hampir mencecah 133 tahun. Makam ini diperbuat daripada batu marmar putih.

 

Sekitar jam 2.45 petang saya tiba di makam Tun Teja.  Kunjungan ke sini tidak dirancang tetapi sebaik terpandang papan tanda arah menuju ke makam, lalu apalah salahnya berziarah. Hanya saya seorang yang melangkah masuk setelah membuka pagar. Di kiri dan kanan hamparan sawah terbentang luas…rasa nyaman angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa mengiringi dari saat langkah pertama hingga masuk ke perkarangan makam Tun Teja.

 

Siapa Tun Teja? Tun Teja puteri kepada Seri Amar DiRaja Inderapura digambarkan sebagai puteri yang rupawan sehingga menjadi rebutan putera-putera raja termasuk Raja Melaka. Puteri ini berjaya dilarikan Hang Tuah ke Melaka sehingga akhirnya diperisterikan oleh baginda Sultan.

 

Batu nesan dengan rekabentuk Acheh di atas pusara Tun Teja. Sama ada keturunan puteri ini mempunyai kaitan dengan Acheh atau sebaliknya, ia di luar bidang pengetahuan saya. Hanya waris keturunan Tun Teja sendiri yang dapat mensahihkan kebenarannya. Seperti juga saya yang telah sekian lama menjejak susurgalur jurai keturunan keluarga yang awalnya beranggapan diri ini dari suku Rawa, namun akhirnya mendapat jawapan bahawa asal usul adalah berdarah keturunan Bugis Acheh sebenarnya. Jejak salasilah (Mac 2004) telah membawa saya sehingga ke Kota Raja di Rao, Sumatera Barat. Berbekalkan salinan salasilah keluarga, bermulalah kembara setelah beberapa tahun sebelumnya mendapat tanda. Dengan izin Allah pertemuan dengan waris Raja Keumala di desa Kota Raja secara tidak disangka-sangka memberi sinar dan harapan dalam permulaan pencarian saya. Setelah tujuh keturunan barulah terbuka kunci segala rahsia. Hhmmm….panjang lebar pula cerita saya, berkongsi sesuatu yang tidak ditanya. Walau apapun, ia ada kaitan dengan apa yang ingin saya singgung berkait kesahihan keturunan Tun Teja tadi. Jikalau generasi teratas dari saya mendakwa mereka dari suku Rawa, tetapi rata-rata masyarakat di seberang akan terpinga-pinga jikalau nama suku tersebut diajukan kepada mereka. Mungkin disebabkan suku di sana ratusan jumlahnya (tak silap, lebih dari 500 suku yang ada di Indonesia), maka suku Rawa yang kecil jumlahnya berbanding suku lain tidak diketahui keberadaannya. Namun saya dimaklumkan bahawa suku rawa ini serumpun dengan suku Mandailing di Lubis dan suku Jambak di Padang. Jadi, setelah sekian lama barulah diketahui suku rawa ini sekadar meminjam nama tempat, begitu juga dengan nama Raub di Pahang yang hampir dekat sebutannya dengan  Rao di Sumatera Barat. Keadaan sama turut dikesan terhadap nama suku lain yang namanya serupa dengan nama tempat yang ada. Umpamanya suku Temiang dengan nama tempat iaitu Tamiang di Acheh dan Pulau Temiang di Utara Kepulauan Lingga. Malah di Tanah Semenanjung, nama Temiang turut dikesan di Seremban, Negeri Sembilan dan di Ipoh, Perak. Senario meminjam nama tempat ini memang menjadi lumrah kerana kebiasaan orang Melayu sendiri antara lain adalah memberi nama tempat baru dengan nama sama seperti tempat lama yang ditinggalkan.

 

Perigi Portugis ini berada di dalam kawasan yang sama dengan makam Tun Teja. Bahagian atas perigi ditutup dengan jeriji besi. Perigi ini tidak dalam lubangnya dan airnya hampir kering ke dasar semasa saya menjenguk ke bawah.

 

Sewaktu meredah mencari jalan pulang, saya melalui Masjid Jamek Serkam. Masjid ini berusia hampir 157 tahun berdasarkan tarikh yang tertera pada papan tanda di luar perkarangan masjid.

 

Rekabentuk mahkota di puncak dan menara masjid ada persamaan dengan rata-rata masjid tua yang dikunjungi di sekitar Melaka.  Ianya semacam bentuk khas yang menjadi gaya senibina masjid tua yang masih ada.

 

Beginilah keadaan ruang dalam masjid dengan empat tiang seri sebagai penyangga. Kebetulan sewaktu tiba, tiada sesiapa bertamu di dalamnya. Lalu, saya pun mengambil wudhuk dan melaksanakan solat jamak di bahagian ruang solat wanita bersebelahan ruang solat utama. Selesai solat, saya bingkas bangun dan meninjau ke ruang solat utama…melihat dahulu apakah ada jemaah lain yang hadir sebelum melangkah ke bahagian hadapan mengambil ukuran mimbarnya. Ada seorang hamba Allah sedang sujud di dalamnya, jadi saya harus menunggu…Setelah hamba Allah tadi selesai menunaikan solat, tanpa berlengah saya menuju ke hadapan dan mengambil ukuran tinggi, panjang dan lebar rekabentuk mimbar. Setelah selesai tugasan, hamba Allah tersebut mula bertanya tentang tujuan kedatangan saya ke masjid ini. Soal jawab berkaitan tujuan kajian akhirnya terbawa-bawa hingga ke penceritaan bagaimana hadirnya hamba Allah tersebut ke ruang solat Masjid Jamek Serkam ini. Menurut hamba Allah tersebut, mimpi yang membawa langkah kakinya ke sini. Pelbagai mimpi yang dikongsi…bukan taksub tetapi kagum dengan kebesaran Ilahi. Semua petanda adalah rahsia yang punya  jawapan jika kita mencarinya. Firasat saya, apa yang dialaminya berkait rapat dengan pencarian asal usul diri. Namun, apa yang terkesan di hati dan sehingga kini masih terngiang-ngiang di telinga adalah pesanan hamba Allah tersebut kepada saya agar berziarah ke makam Wali Allah di Pulau Besar jika ada kesempatan berbuat demikian suatu masa nanti. Pesanan tersebut adalah penutup bicara sebelum dia beredar keluar dari serambi masjid. Penutup bicara inilah yang saya maksudkan ada kaitan dengan intro penceritaan…Permulaan bagaimana saya tergerak merakam foto bot di jeti Umbai pada malam pertama…seterusnya hadir buat kali kedua keesokan harinya ke jeti yang sama. Kuih yang hilang menjadi sebab atas kunjungan kali kedua, yang mana hikmahnya menggerakkan hati saya ke Pulau Besar. Tarikan untuk Pulau Besar bertambah kuat apabila hamba Allah di Masjid Jamek Serkam tak semena-mena membuka cerita pengalamannya sewaktu berkunjung ke sana. Kunjungan yang telah dilaluinya dalam mimpi sebelum menjejakkan kaki ke makam Wali Allah. Di Masjid Jamek Serkam inilah penghujung perjalanan misi jejak Masjid Tua di Melaka: Siri 2 yang saya sifatkan sebagai pembuka laluan kepada kembara seterusnya…Kembara ke Pulau Besar yang sedang saya rancang kunjungannya dalam masa terdekat ini…InsyaAllah. Saya hanya merancang, Allah jua yang menentukan.

 

22/03/2010

Daku, berus, warna dan kanvas…

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 6:28 am

 

 

Ilham berkarya terhenti seketika, sebaliknya ilham menulis pula mengetuk pintu minda. Berus yang seharusnya daku palit dengan akrilik di permukaan kanvas terhenti sapuannya. Dua pemidang kanvas masih polos…entah bila akan daku terjemahkan ideanya secara visual. Kali ini cubaan untuk menghasilkan karya abstrak bertemakan sifat Kamal dan Jamal Maha Pencipta. Sebelumnya, daku cuba untuk bereksperimentasi dengan aliran dan teknik yang berbeza dari biasa. Kesudahannya karya di hadapan mata kelihatan kaku gayanya. Lalu, segera daku menutup kekakuan tersebut dengan lapisan warna rata untuk menyembunyikan kelemahan yang ada.

Seolah-olah mudah melihat pengkarya lain menghasilkan karya abstrak, tetapi tidak semudah itu bila daku cuba untuk mengaplikasinya di permukaan kanvas.  Jelas, tanggapanku tersasar dari landasan. Setiap pengkarya punya kelebihan tersendiri dalam menampilkan aliran, media mahupun teknik sebagai pilihan. Daku, masih lagi kaku…

Berus, warna dan kanvas…sabar seketika sementara ilham berkaryaku pulih seperti sediakala…

 

21/03/2010

Misi Jejak Mimbar Kampung Laut

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 5:12 pm

 

Tarikh :     17 Mac 2010
Lokasi :      Masjid Pasir Pekan
                    Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan
                    Masjid Muhammadi

 

Misi jejak mimbar Kampung Laut ini dijalankan sehari selepas misi jejak masjid tua Wadi Al-Husein di Teluk Manok, Patani. Sepanjang berada di Tumpat, team Jejak Mihrab menumpang tidur di rumah kakak angkat saya iaitu Kak Rose. Kebetulan rumahnya tidak jauh dari lokasi Masjid Pasir Pekan yang ingin saya tujui untuk merakam foto mimbar asal Masjid Kampung Laut. Dari arah Tumpat, kami perlu melalui Kampung Laut sebelum tiba di Masjid Pasir Pekan.

 

Masjid Pasir Pekan ini terletak di Kampung Surau, Wakaf Bharu.  Tempoh perjalanan ke masjid tersebut adalah sekitar 20 minit dari arah pekan Tumpat.

 

Sebaik tiba, didapati pintu utama masjid ini berkunci. Begitu juga dengan masjid lama yang berada di belakangnya. Saya hanya dapat melihat mimbar dari luar pintu kaca sambil berdoa dapat masuk ke dalamnya. Bimbang juga sekiranya tidak berpeluang merakam fotonya. Saat menunggu di serambi, beberapa motorsikal melalui lorong masjid, namun kesemuanya tidak sempat saya tahan untuk bertanya siapa gerangan yang memegang kunci masjid. Lebih kurang 15 minit kemudian, sebuah motorsikal muncul dan dengan pantas saya mengangkat tangan sebagai isyarat meminta pemandunya berhenti.  Memang rezeki saya kerana dialah orangnya yang dinanti-nantikan untuk membuka pintu kerana memegang kunci masjid. Semuanya dengan izin Allah, kerana andainya saya terlepas pandang sudah pasti dia berlalu pergi tanpa sempat membuka pintu untuk memberi laluan saya masuk merakam foto mimbar di dalamnya.

  

Masjid Pasir Pekan ini telah diperluaskan dengan membuat penambahan pada bahagian hadapan dan bersebelahan bangunan asalnya. Binaan baru telah didirikan bercantum dengan bahagian masjid lama. Kini kedudukan masjid kayu terletak di bahagian belakang bangunan baru. Kubah dipasang pada perabung di atas ruang mihrab.

 

Inilah rekabentuk mimbar asal Masjid Kampung Laut. Mimbar ini pernah ditempatkan di Masjid Muhammadi sebelum dipindahkan ke sini. Namun, kepingan kayu dengan ukiran tebuk tembus yang menutup bahagian bawah mimbar adalah kepingan baru. Mimbar asal telah diletakkan di atas permukaan mimbar baru dengan ketinggian 25cm dari permukaan lantai.

Saya telah menjalankan tinjauan ke Masjid Kampung Laut di Nilampuri setahun yang lalu. Namun, tidak pula saya ketahui foto mimbar yang telah dirakam di ruang dalam masjid tersebut bukanlah yang asli dibawa dari lokasi asal Masjid Kampung Laut. Lebih dua bulan yang lalu, baru saya ketahui bahawa mimbar aslinya berada di Masjid Pasir Pekan ini.

 

Lokasi tumpuan seterusnya menuju ke Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan. Tujuan saya ke sini untuk mendapatkan maklumat tentang Masjid Kampung Laut. Kehadiran saya tidak sia-sia kerana pencarian saya terkandung dalam buku bertajuk Masjid Tua Kampung Laut oleh Salleh Mohd. Akib yang saya peroleh di muzium. Buku tersebut bukan diperoleh secara percuma tetapi perlu membayar RM15 kerana ianya dijual oleh pihak muzium.

 

Muzium ini asalnya adalah bangunan istana lama yang dikenal dengan nama Istana Jahar. Bangunan ini telah dibina oleh tukang-tukang kayu yang mahir dari seluruh negeri Kelantan. 

 

Bahagian atas tulang perabung dihiasi ragam hias sisik naga. Pada bahagian hujung perabung pula terdapat seni ukiran seakan ekor itik yang menjadi pelengkap kepada sisik naga. 

 

Ukiran pada permukaan kayu pemeleh di hujung cucuran atap. Unsur flora dengan motif pucuk rebung dan bunga petola menjadi pilihan. Bila ditenung lama-lama motifnya, seakan-akan membentuk wajah harimau pula…

 

Perahu dengan rekabentuk seekor burung. Betapa indahnya seni ukiran timbul yang menghiasi permukaan badan perahu dari kepala hingga ke ekornya.

 

Seni ukiran timbul pada permukaan perahu ini mengundang perhatian terutamanya ukiran pada bahagian balung di atas kepala dan tembolok burung.

 

Ukiran bukan sahaja terdapat pada bahagian atas ekor perahu, malah bahagian bawah ekor perahu juga turut dihiasi motif-motif tertentu.

 

Lokasi akhir adalah Masjid Muhammadi yang terletak di pusat bandar. Kedudukan masjid ini terletak hampir dengan persimpangan dan kaki jalan. Selesai sesi rakam foto, saya melangkahkan kaki dan beredar dari sini.

Mohon undur diri…wassalam.

 

19/03/2010

Misi Jejak Masjid Tua Wadi Al-Husein

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 4:42 am

 

Tarikh : 16 Mac 2010
Lokasi : Teluk Manok, Patani, Thailand

 

Pindaan tarikh untuk menjalankan tinjauan ke atas Masjid Wadi Al-Husein ini rupa-rupanya terkandung hikmah buat team Jejak Mihrab. Perjalanan bukan ditunda malah diawalkan jadualnya. Malah, saya amat bersyukur kerana melalui perjalanan  tanpa melalui sebarang kesulitan. Allah mempermudahkan laluan dalam melaksanakan urusan dan tugasan. Rezeki tanpa diduga hadir apabila team saya tidak dikenakan sebarang kos pengangkutan sebaik berangkat ke seberang hinggalah ketika melangkah pulang. Malah, team kami turut diberi layanan istimewa apabila makan minum sepanjang perjalanan ditanggung sepenuhnya oleh En. Saupi, pemandu yang secara sukarela membawa kami  ke lokasi tinjauan.

 

Feri dari seberang ini adalah feri yang pertama memulakan operasinya pada hari tersebut. Feri inilah yang membawa team kami sebaik tiba di jeti Pengkalan Kubor.

 

Feri ini membawa muatan kenderaan termasuklah team kami yang menyelit dicelah-celahnya. Situasi yang sama seperti Jejak Mihrab II: Liku-Liku Perjalanan, bezanya feri ini daripada pembuatan keluli berbanding rakit kayu yang saya naiki di Acheh dahulu.  

 

Sungai Kolok sebagai sempadan yang membatasi tanah Pengkalan Kubor dan Selatan Thailand. Kebesaran Maha Suci Allah, Pencipta Kerajaan Langit dan Bumi yang dipaparkan melalui keindahan alam.

 

Barang dagangan apalah yang dibawa dari Pengkalan Kubor ke seberang? Seperti biasa, saya akan merakam apa sahaja yang ada di sekitar…banyak lagi foto sebenarnya, cuma yang ini jadi pilihan saya.

 

Sepanjang perjalanan dari Taba, Narathiwat dan Patani, hampir 10 buah pos tentera yang dilalui. Ini hanyalah sebahagian yang sempat saya rakam dan kongsikan…

 

Mujurlah kenderaan En. Saupi ni melepasi kesemua pos yang dilalui. Lihat sahaja aksi tentera yang tidak lekang dengan senapang di tangan…Selain En. Saupi, isterinya  turut menemani perjalanan kami. Mereka telah bermastautin di Taba sekian lama kerana menjalankan perniagaan di sana.

 

Di tepi jalan sudah seperti kubu pertahanan. Saya difahamkan, ada sahaja kematian yang berlaku saban hari. Cuma beritanya tidak disensasikan di dada akhbar agar tidak menimbulkan ketakutan kepada masyarakat setempat mahupun pengunjung dari luar.

 

Serius betul ekspresi wajah abang tentera ni…penat agaknya berdiri di bawah terik matahari.

 

Berhenti seketika menjamu selera di kedai ini sebelum meneruskan perjalanan ke Masjid Wadi Al-Husein di Teluk Manok.

 

Penjual di kedai ini mengenakan tudung kepala dengan warna polos yang sedondon. Merah jambu menjadi pilihan… 

 

Inilah juadah tengah hari yang menanti kami di sini. Nasi kaumok namanya…rasa seperti nasi ayam tapi dimakan tanpa kuah cili dan kicap serta sup. Boleh tahan juga rasanya…tapi kalau ada sup dan cili, lebih membangkit selera.

 

Singgah sebentar di gerai sebelah…kali ini kami dibekalkan oleh isteri En. Saupi makanan seakan rojak yang dipanggil Salad.  

 

Pemandangan yang telah saya lalui dalam mimpi beberapa minggu yang lalu…foto yang saya rakam ini sama situasinya seperti dalam mimpi. Pelik tetapi benar… Malah dari saat memulakan perjalanan ketika berada di sempadan, menikmati keindahan alam, menikmati makanan di hadapan Masjid Sultan Muzaffar Shah di Kreesek (Krue Se) hinggalah dibawa ke makam Raja Hijau di Kampung Al Marhum atau Kampung Parit di Patani…semuanya telah saya lalui dalam mimpi sebelum hadir ke sini. Rahsianya pasti terungkap nanti…

 

Pada papan tanda tertera perkataan bermaksud “Masjid berusia 300 tahun.” Papan tanda ini dapat dilihat sebaik pengunjung membelok masuk ke kiri menuju ke Teluk Manok dari arah jalan besar.

 

Masjid Wadi Al-Husein yang terletak di Teluk Manok ini dihiasi dengan ukiran kayu yang amat indah pembuatannya. Ukiran kayu lebah bergantung pada bawah cucuran atap mencerminkan kehalusan dan ketelitian hasil kerja tangan pengukirnya.

 

Ruang dalam tempat jemaah menunaikan solat. Bahagian kepala pintu dan kepala tingkap turut dihiasi seni ukiran tebuk tembus.

 

Saya naik ke bahagian atas melalui anak tangga untuk melihat dan merakam foto struktur bumbung di bawah tulang perabung.

 

Beduk lama daripada kayu masih disimpan dengan baik di dalam masjid ini. Ianya diletakkan di belakang mimbar. Pada pandangan saya, daripada tersorok di belakang mimbar ada baiknya dipamerkan sebagai khazanah budaya di ruang serambi masjid.

 

Anak sungai ini berada di sebelah kiri bangunan masjid.  Kawasan sekitarnya adalah tanah perkuburan. Perkampungan Teluk Manok ini dilatari dengan gunung ganang dan tumbuhan semulajadi. Suasana kehijauan alam membangkitkan perasaan damai dan tenang mata yang memandang.

 

Dari Masjid Wadi Al-Husein, langkah seterusnya diatur ke Kreesek. Ini pula pos tentera seterusnya dilalui semasa dalam perjalan. Anggota tentera bukan setakat berkawal di jalanan, malah kelibat mereka boleh dilihat di mana-mana sahaja termasuk di hadapan bangunan kedai.

 

Perjalanan dari arah Narathiwat diteruskan menghala ke Patani. Jalan ini turut menjadi laluan utama pengunjung yang ingin menuju ke Songkla dan Bangkok.

 

Deretan pohon seolah-olah berfungsi sebagai pembahagi jalan. Beginilah situasi sepanjang perjalanan dari Taba menuju ke Patani. Tidak banyak kenderaan yang melalui jalan utama ini.

 

Alhamdulillah…akhirnya team kami tiba jua di hadapan Masjid Sultan Muzaffar Shah atau dikenal dengan gelar Phraya Tanisisultan di Kreesek (Krue Se). Penghujung tahun lalu, seorang kenalan lama pernah bercerita tentang masjid ini. Teman tersebut secara tiba-tiba membuka cerita tentang masjid ini yang dianggapnya misteri kerana seringkali usaha untuk membaikpulih struktur binaannya mengalami kegagalan. Seolah-olah ada halangan…justeru beginilah keadaan masjid tua Kreesek yang kelihatan seperti bangunan tak siap dan terbengkalai. Sesuatu yang berlaku adalah dengan izin Allah…pasti ada sebabnya. Dan dengan izin Allah jua, segala persoalan yang bermain di benak saya terjawab sehari selepas pulang berziarah dari masjid ini apabila seorang hamba Allah membuka cerita. Dikisahkan bahawa di bawah binaan masjid ini terkuburnya jasad Raja Hijau yang dibunuh secara paksa dan kejam. Baginda digantung secara terbalik dengan kaki diikat menghala ke atas dan kepala ke bawah setelah usaha sebelumnya menemui kegagalan. Lalu, dibina sebuah binaan masjid di atasnya. Cerita ini disembunyikan faktanya, namun kebenaran akhirnya terserlah jua apabila sebuah kitab lama menjadi bukti tentang sejarah berdirinya Masjid tertua di Patani ini. Salah seorang waris yang bercerita kepada saya pernah melalui saat cemas apabila nyawanya berada di hujung tanduk apabila pernah ditahan oleh pihak berkuasa Thai. Mujur dia sempat menyembunyikan kitab tersebut di seluarnya (keadaan terdesak memaksanya berbuat demikian) kerana sesiapa yang dikesan memiliki atau menyebarkan cerita sebenar pasti berdepan maut.

 

Beberapa kali saya tawaf di sekeliling bangunan masjid untuk melihat struktur binaan luarnya. Bentuk dinding luar di sekeliling binaan mengingatkan saya tentang tapak ekskavasi bernombor 23 di Pengkalan Bujang. Entah mengapa bayangan tersebut menerjah di fikiran. Mungkin pembuatan dalam mendirikannya dari bahan yang sama iaitu batu bata, juga susunannya. Bezanya, tapak arkeologi yang dianggap bekas candi tersebut telah runtuh menyembah bumi…yang tinggal hanya sisa runtuhan, sebaliknya masjid yang berada di hadapan saya masih utuh berdiri walaupun hiasan puncaknya telah tiada lagi. Mungkin ada hikmah hadirnya saya di sini…ada perkaitan yang tersirat. Berbalik semula kepada tapak ekskavasi bernombor 23, izinkan saya sentuh sedikit keberadaannya di Pengkalan Bujang. Saya tetap berdiri kuat dengan hujah bahawa tapak ekskavasi tersebut adalah bekas masjid kuno yang telah dibina seawal kurun ke-9 (sekitar 800M). Hujah ini bersandarkan fakta bukan khayal ditambah dengan keyakinan setelah istikharah (huraian secara panjang lebar bakal disinggung dalam penulisan ilmiah nanti).

Kubah masjid yang dahulunya indah bertakhta kini kosong dan hanya mendatar tanpa mahkota dipuncaknya. Mengapa saya gelarkan ianya mahkota bukan kubah? Jawapannya saya peroleh daripada seorang lelaki tua yang secara kebetulan hadir di hadapan saya sewaktu sedang berehat di bawah pohon di luar perkarangan masjid. Tanpa dipinta, hamba Allah tadi bercerita tentang sejarah masjid tertua di Wilayah Patani ini serta mempelawa saya ke rumahnya untuk melihat sendiri foto masjid asal yang masih ada dalam simpanan. Foto hitam putih milik hamba Allah tersebut membuktikan kebenarannya. Andai tidak dipertemukan dengan hamba Allah tersebut, pasti saya tidak mengetahui bahawa binaan asal masjid pernah dihiasi kubah seakan mahkota di puncaknya.

 

Tanpa kubah, senibina masjid tua  ini kelihatan seolah-olah seperti bangunan lama yang ditinggalkan dan terbiar. Pengunjung dari luar yang baru pertama kali singgah di sini pasti pada awalnya tidak akan menjangka ianya adalah sebuah masjid. Namun, tanggapan sedemikian berakhir sebaik melangkah masuk ke ruang solat. 

 

Hiasan kemasan dengan pengulangan motif arabes berpola bujang di atas permukaan siling mewujudkan keharmonian.

 

Lubang-lubang pada tiang masjid ini adalah kesan akibat bedilan peluru yang bertalu-talu ke arah bangunan masjid semasa peristiwa Tak Bai berlaku pada tanggal 25 Oktober 2004. Tragedi pembunuhan kejam secara beramai-ramai pada bulan Ramadhan yang mulia di masjid ini dilihat sebagai pembersihan etnik ke atas Melayu Islam Patani. Peristiwa berdarah yang tercetus di hadapan balai polis Tak Bai dan di perkarangan masjid ini menjadi pembakar semangat kepada anti kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra. Rakaman pembunuhan terkandung dalam video cakera padat, namun pada 17 Disember 2004 pihak berkuasa Thai mengharamkan pengedaran tersebut kerana disifatkan boleh membangkitkan api kemarahan umat Islam di Selatan Thai.

 

Di sinilah saya menikmati aiskrim sebelum dan selepas merakam foto senibina masjid. Yang menjual aiskrim ini namanya Pak Do.

 

Aiskrim yang sedap dan menepati selera…tidak cukup satu, saya tambah lagi satu. Jika para tetamu berkunjung ke masjid Kreesek ini, jangan lupa menikmati rasanya yang sekali cuba, pasti mahu lagi

 

Ini pula air kelapa laut yang saya nikmati setelah makan 2 gelas aiskrim tadi…Rasa airnya lebih enak daripada air kelapa biasa. Sambil minum airnya, imbasan mimpi datang lagi. Situasi ini sama seperti yang pernah dilalui dalam mimpi…dimulai dengan pertemuan dengan hamba Allah yang berkongsi sejarah tanpa ditanya, menikmati aiskrim dan minum air kelapa. Cuma air kelapa tak sempat saya nikmati rasanya kerana secara tiba-tiba bayangan masjid dengan kubah emas pula muncul di hadapan mata sebagai penutup tirai mimpi. Namun, realitinya benar-benar terjadi di kawasan masjid Kreesek apabila saat mengatur langkah untuk pulang, si penjual air kelapa hadir di hadapan saya. Salah seorang teman telah membeli buah kelapa laut dari si penjual tadi dan menghulurkan kepada saya…lalu saya hirup airnya sebelum melangkah pulang…air yang tidak sempat saya teguk walau setitik dalam mimpi kini dapat saya nikmati di alam realiti…

 

18/03/2010

Masjid Jubli Perak: Adunan Gaya China

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 10:23 am

 

Tarikh : 14 Mac 2010
Lokasi : Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Rantau Panjang, Kelantan

 

Rancangan awal saya pada hari tersebut sekadar bersantai di sekitar daerah Tumpat.  Maklum sahajalah, penat sehari sebelumnya (13 Mac 2010) masih dirasa. Justeru, saya dibawa teman ke tebing sungai Tumpat.

 

Ini adalah lokasi pertama saya pada hari tersebut. Menikmati  keindahan alam ciptaan Ilahi di tebing Sungai  Endoi, Tumpat. Benar-benar terapi mata, penyejuk jiwa…

 

Sebaik terpandang perahu ini, fikiran terus terbayangkan karya catan teman yang membawa saya ke tebing sungai ini. Rupanya di sinilah dia memperoleh ilham… menterjemahkan karya secara visual dengan memaparkan keindahan Sungai Tumpat.  Objek perahu dan titi juga aliran sungai atau laut ibarat pelengkap dalam komposisi gubahannya. Itulah  trademark  karya catan  teman yang saya panggil kak Rose ini. Karya yang punya makna simbolik bagi empunya diri. Bagi seorang pengkarya, setiap hasil karya yang diterjemahkan di atas apa sahaja permukaan (kertas, kanvas dan sebagainya) secara tersiratnya mencerminkan falsafah dan makna tersendiri.

 

Inilah  pertama  kali saya menjejakkan kaki  ke daerah Tumpat, walaupun  setiap tahun  saya  ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Rasanya, semua  kemudahan terdapat di sini.

 

Pada sebelah petangnya, saya bersama team Jejak Mihrab menuju ke Rantau Panjang.  Ada temujanji  dengan  seorang  teman lama yang akan membawa team kami ke Teluk Manok. Namun perancangan tersebut  akhirnya  dipinda atas sebab-sebab tertentu yang ceritanya akan saya paparkan dalam Misi  Jejak Masjid Tua Wadi Al Husein nanti. Dalam perjalanan, saya singgah di Masjid Jubli Perak ini untuk sesi rakam foto. Foto di atas adalah gerbang utama menuju ke perkarangan masjid (rakaman diambil dari arah perkarangan masjid).

 

Menara Masjid Jubli Perak yang berdiri utuh di bahagian kanan bangunan.

 

 Hampir 10 kali saya cuba merakamkan rekabentuk menara dari arah pandangan bawah. Maklum sahajalah, saya bukan jurugambar profesional, tetapi hanya amatur. Namun, memikul amanah sebagai salah seorang penyelidik, semuanya perlu saya lakukan sendiri.

 

Warna  Hijau dan merah mendominasi  keseluruhan hiasan puncak.

 

Pengaruh China pada senibina masjid ini menjadi tarikan kepada  pengunjung  yang bertamu di dalamnya. Masjid China dan Masjid Beijing sering  menjadi  sebutan masyarakat setempat mahupun pengunjung dari luar.

 

 

Pintu masuk utama menuju ke bahagian ruang dalam masjid.

 

Dari ruang serambi menuju ke ruang dalam masjid. Jubin berwarna putih  menjadi pilihan sebagai kemasan lantai.

 

Hiasan puncak tanpa kubah mirip senibina sebuah pagoda.

 

 Tindanan dua lapis seramik yang disusun secara berselang seli dengan bentuk seperti potongan buluh mengundang perhatian. Merah dan hijau adalah warna pilihan yang mewujudkan kontra dari kejauhan.

 

Kebiasaannya seni ukiran papan pator menjadi hiasan di kaki cucuran atap bangunan tradisional. Namun, ianya berlainan dengan konsep atau ciri-ciri khas yang dipaparkan dalam senibina Masjid Jubli Perak ini. Potongan kayu dengan bentuk asas segi empat disusun secara bertindan menampilkan kelainan.

 

Suasana senja yang semakin kelam di sepanjang jalan menuju ke Tumpat mengakhiri sesi ziarah ke Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra pada kali ini.

 

15/03/2010

Misi Jejak Mimbar

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 9:22 pm

 

Ujian muncul lagi sebaik tiba di Pasir Pekan, Kelantan. Cuma ujiannya hadir dalam situasi berbeza dengan Jejak Mihrab II: Liku-Liku Perjalanan semasa menjalankan kajian lapangan di Acheh. Situasi berbeza, namun menerbitkan perasaan yang sama getarnya. Jika di Acheh ujian dihadirkan semasa dalam perjalanan, namun misi kali ini Allah menguji saya sebaik tiba di destinasi akhir perjalanan. Dugaan ini benar-benar menggugat tahap ketenangan dan ketabahan hati. Agak-agaknya apa yang terjadi? Diringkaskan cerita…Netbook yang dibawa bersama dibasahi air dek kerana tumpahan secara tidak sengaja oleh salah seorang team yang turut serta. Rasa seperti hendak meraung dibuatnya…rasa nak pitam pun ada, apabila hanya layar putih tanpa tulisan dan warna muncul pada permukaan skrin di hadapan mata tatkala suis dihidupkan. Resah dan gelisah rasa yang bersarang di jiwa hanya Allah yang mengetahuinya.

Bayangkan betapa hampa dan kecewanya mengenangkan nasib segala data yang tersimpan selain membayangkan kesukaran memindahkan  data  semasa  menjalankan kerja di lapangan. Untuk meredakan perasaan, saya imbas kembali liku-liku perjalanan yang pernah hadir sebelum ini. Apa kaitannya kisah tersebut dengan apa yang sedang dilalui? Sekadar memujuk dan menyejukkan perasaan…dalam erti kata lain, cuba membuka pintu hati untuk menerima takdir Ilahi. Pasti ada hikmah tersembunyi di sebalik peristiwa ini. Pasti juga ada ganjaran yang menanti di hujung laluan nanti… 

Maha Suci Allah…setelah dua hari berdukacita, paparan pada skrin yang sebelumnya kosong tanpa tulisan dan warna akhirnya berfungsi semula seperti sediakala. Semuanya dengan izin Allah kerana ia berfungsi tatkala saya hampir membawanya ke kedai servis komputer. Apa ubatnya sehingga pulih di kesudahannya? Berkat zikir dan doa…ubat paling mustajab untuk penuhi segala impian dan hajat.

Hmm…nampak gayanya saya perlu berhenti di sini kerana perlu bersiap untuk ke Teluk Manok di Patani, Thailand. Pesanan yang masuk di telefon bimbit sekitar jam 6.00 pagi tadi agak mengejutkan saya. Jadual perjalanan yang dirancang pada 17 Mac 2010 (Rabu) bukan ditunda, sebaliknya dipinda awal sehari dari tarikh sepatutnya. Justeru, saya perlu membuat persiapan ke sana. Mudah-mudahan, Allah mempermudahkan segala urusan dan tugasan dalam perjalanan nanti. Tidak sabar menyaksikan senibina Masjid Wadi Al-Hussain yang berukir indah. Apa yang membuatkan saya tidak sabar ke masjid tua Teluk Manok ini? Tidak lain kerana, ianya adalah “hajat yang telah tersimpan sejak lebih sebulan yang lalu…mimpi yang telah dilalui seminggu yang lalu…gerak hati beberapa hari yang lalu…”

Sambungannya nanti…Wassalam.

Tinjauan

Filed under: Hebahan — Harleny Abd Arif @ 12:57 pm

 

Tarikh : 14 Mac 2010 – 18 Mac 2010 

Assalamualaikum kepada tetamu yang dihormati…

Penulis dan team Jejak Mihrab kini berada di daerah Tumpat, Kelantan. Pada 16 Mac 2010 (Selasa), lokasi tumpuan adalah di Masjid Kampung Pasir Pekan untuk merakam foto rekabentuk mimbar asal masjid Kampung Laut. Mimbar ini sebelumnya berada di Kampung Laut sebelum dipindahkan ke Nilampuri. Ianya kemudian dialih kedudukannya ke Masjid Al-Muhammadi sebelum dipindahkan ke Masjid Kampung Pasir Pekan.

Lokasi seterusnya  adalah menjejak mimbar dan melihat lebih dekat seni ukiran kayu tradisi masjid tua Wadi Al-Hussain di Kampung Teluk Manok, Patani, Thailand pada tanggal  17 Mac 2010 (Rabu).

Harap maklum. Terima kasih

 

11/03/2010

Kasih Ibu

Filed under: Iktibar — Harleny Abd Arif @ 4:54 pm

 

Kisah yang dipaparkan amat sukar untuk dilupakan kerana di dalamnya terakam pengajaran yang amat bermakna. Setiap kali terkenang, mudah untuk saya  mengalirkan air mata. Kerana apa? Lantaran ianya menyingkap nilai kasih sayang dan pengorbanan seorang insan bergelar ibu yang tiada tolok bandingnya di dunia.

Kisah berlaku dlm bulan Ramadhan…2004

Seperti biasa, saya sekeluarga akan meluangkan waktu untuk pulang berbuka puasa serta bersahur bersama emak dan ayah di kampung. Kepulangan ke kampung bolehlah diibaratkan sambil menyelam minum air kerana selain berbuka bersama, saya turut berpeluang bertemu adik lelaki yang akan berangkat pulang ke Mesir setelah menghasbiskan cuti semesternya (adik saya beruntung kerana rezekinya dapat pulang setiap tahun ke pangkuan keluarga) . Sudah menjadi kebiasaan,  pelajar yang pulang bercuti di Malaysia akan dihubungi oleh ibubapa rakan mereka sebelum berangkat pulang. Tidak lain dan tidak bukan kerana menggalas tugas sampingan selaku perantara untuk membawa kiriman barang-barang kepada anak-anak mereka yang tidak dapat pulang bercuti (biasa la…ada di antara mereka yang tidak dapat pulang dek kerana kekangan kewangan). Barangan yg dikirim biasanya seperti rempah, serunding, kerepek dan apa sahaja makanan kegemaran anak-anak mereka semasa berada di Malaysia. Itulah tanda kasih ibu yang akan sentiasa mengingati anaknya. Mulut kedua orang tua tidak pernah lekang dengan sebutan nama anak semasa menjamah makanan. Termasuklah emak yang akan sentiasa menyebut nama adik lelaki saya apabila makanan yang dijamahnya adalah makanan kegemaran adik. “Ni, makanan yang ahey suka…”, begitulah ayat penyata yang sering disebut-sebut. Tapi apa yang amat meruntun hati bukanlah kerana peristiwa tersebut, sebaliknya apa yang akan saya kongsikan selepas ini.

Siang hari sebelum berbuka puasa bersama keluarga di kampung, adik lelaki saya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita (ibu kepada kenalan serumahnya di Mesir). Ibu tersebut memaklumkan bahawa dia akan berangkat menaiki bas ekspres dari Kedah ke Puduraya pada hari itu juga dengan tujuan untuk menyerahkan bungkusan barang kepada anaknya. Oleh hal demikian, dia meminta jasa baik adik lelaki saya untuk menunggu di Puduraya kerana dia hanya datang untuk menghantar barang dan kemudiannya akan berpatah semula pulang ke Kedah. Atas dasar simpati… selepas berbuka puasa, adik lelaki saya pun bertolak dari Tanjung Malim ke Puduraya (1 jam perjalanan di lebuhraya) semata-mata untuk mengambil bungkusan tersebut. Tiba di sana, dari kejauhan… kelihatan seorang ibu tua ditemani anaknya membawa bungkusan seperti yang dijanjikan. Sejurus selepas mengambil bungkusan, ibu tua tersebut berpatah semula ke platform untuk berangkat pulang. Lihatlah betapa kasihnya seorang ibu, sanggup berkorban masa dan tenaga demi anak yang dikasihi. Sanggup menghantar semata-mata 1 bungkusan makanan dengan melalui 12 jam perjalanan pergi dan pulang.

Saat yang membuatkan hati saya menjadi sayu, pilu, sebak, simpati, insaf dan sebagainya…Setiap perasaan tersebut datang bersilih ganti.

Semasa adik menerima barangan tersebut di Puduraya, bungkusan yang diserahkan kelihatan agak kotor dan berair. Jadi, sebaik tiba di rumah, saya membuka satu persatu barangan yang ada dalam bungkusan. Terpaksa saya buka demi menyelamatkan barangan yang ada. Rupa-rupanya, plastik yang diisi dengan kicap telah bocor. Tumpahan kicap itulah yang mengotorkan bungkusan yang dibawa. Firasat saya, ibu tua tersebut berfikir lebih selamat mengisi kicap dalam plastik berbanding mengekalkannya dalam botol yang berkemungkinan pecah. Tetapi, plastik yang harapkan lebih selamat turut bocor sebelum sempat dibuka oleh anaknya. Sewaktu membuka satu persatu bungkusan tersebut, air mata ini mengalir setitik demi setitik seterusnya mengalir laju sehingga tidak mampu saya menahannya. Kandungan bungkusan tersebut terdiri daripada beberapa paket REMPAH KARI, IKAN MASIN, KICAP, PANADOL, SEKEPING WARKAH (isi kandungan yang menjurus kepada pesanan agar belajar brsungguh-sungguh & sentiasa beringat tentang kepayahan keluarga) & SEKEPING FOTO KELUARGA (untuk tatapan anaknya). Kesemua barangan diletakkan dalam kotak kasut dan surat khabar sebagai kertas pembalut. Tetapi keseluruhan pembalut tersebut perlu saya buka dan gantikan dengan yang baru. Betapa hibanya hati hanya Allah yang tahu. Setelah dicongak-congak, nilai barang kiriman tersebut dalam lingkungan harga RM20-RM25 sahaja. Nilai yang sangat murah berbanding tiket bas pergi dan pulang (KEDAH-KL-KEDAH). Nilai barangan yg saya anggar separuh atau mungkin kurang lagi dari harga tiket perjalanan dua hala ibu tua tadi. Seolah-olah tidak berbaloi dengan masa perjalanan yang dilalui. Namun, itulah hakikat NILAI KASIH SAYANG & PENGORBANAN SEORANG IBU yang tidak dapat ditandingi dengan apa yang ada di dunia ini. Nilai KASIH yang tak mampu diterjemahkan hanya dengan kata-kata. Nilai KASIH YG MEMBAWA KE SYURGA…

 

 Renungan

Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua IBUBAPA. (An-Nisa: 36)

 

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada IBUBAPAmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “Ah!” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.  (Al Israa’: 23)

 

Katakanlah: “Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu, yaitu: Janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua IBUBAPA…     (Al An’aam: 151)

 

Laman Berikutnya »

Theme: Rubric. Blog di WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.