Tarikh : 02 Oktober 2009
Lokasi : Rumah Tgk Chik Awe Geutah, Peusangan, Bireuen
Kunjungan ke Rumah Tgk Chik Awe Geutah ini sebenarnya tiada dalam jadual perancangan misi Jejak Mihrab II. Hadirnya saya di sini adalah atas cadangan salah seorang team kami iaitu saudara Arifin. Saya kira apalah salahnya memenuhi permintaan tersebut kerana pada firasat saya tentu ada sesuatu yang bermanfaat bagi saya di sana. Andai bukan dalam masa terdekat keperluannya, mungkin akan datang berguna jua. Bagi saya, tiada istilah rugi dalam pencarian ilmu
Kami tiba pada jam 9.30 pagi di perkarangan rumah tradisional ini atau dalam bahasa Achehnya dikenal sebagai rumah adat. Dalam kawasan ini juga terdapat kompleks makam Tgk. Chik Awe Geutah, sebuah wakaf dan perigi lama. Kawasan ini dianggap keramat oleh pemilik dan masyarakat sekitarnya kerana beberapa kejadian aneh yang pernah berlaku di dalamnya. Dimudahkan cerita, pengunjung luar yang bertamu perlulah menjaga adab dan perilaku tanpa menyembunyikan sebarang nawaitu tidak baik sebaik melangkah masuk ke kawasan ini. Jika ada di antara pengunjung yang berminat untuk mengenal lebih dekat berkenaan tokoh ulama Tgk. Chik Awe Guetah ini, silalah bertandang ke laman blog www.serambinews.com/news/view/26155/chik-awe-geutah-intelektual-muda
Perhatikan ukiran lebah bergantung pada kaki tiang di anjung. Jika di Acheh, tiang sebegini disebut dengan tiang berbentuk jantung. Sentuhan ukiran timbul turut didapati pada bahagian hujung hingga ke pangkal paha tangga.
Rasuk panjang (long crossbeam) pada tiang (pillar beam). Seni ukiran timbul dengan motif flora menghiasi permukaan papan cantik yang menutup gelegar.
Deretan seni ukiran lebah bergantung pada kaki tiang yang terdapat di bawah lantai rumah.
Al-Quran ini adalah sebahagian koleksi kitab lama dengan tulisan tangan. Ragam hias ini dikategorikan dalam kumpulan motif sulur, berformat tiang halus dan juga mempunyai bentuk kubah berleher di jidar luar, kepala dan ekor. Foto kitab ini turut dipaparkan dalam buku Ragam Hias al-Quran di Alam Melayu oleh Prof. Madya Dr. Dzul Haimi Md. Zain.
Teks al-Quran bertulisan tangan dihasilkan dengan penuh kekemasan dan ketelitian.

Dua foto di atas memaparkan kompleks makam (atas) dan papan info (bawah) tertera Makam Tgk Chik Awe Geutah terletak dalam pondok kayu berbumbung dan berpagar. Kedudukan makam ini terletak di antara rumah tradisional dan wakaf yang digunakan sebagai tempat bersuluk.
Wakaf ini terletak bersebelahan perigi dan makam Tgk. Chik Awe Geutah. Seni ukiran timbul pada sisi papan cantik yang menutup gelegar menjadi penyeri dan unsur penyudah kepada senibina wakaf tua ini.
Ukiran lebah bergantung pada bahagian bawah tulang perabung bumbung. Bahagian permukaan alang turut dihiasi ukiran timbul bermotif flora dengan pola bujang dan pola lengkap sebagai kemasan.
Ukiran timbul pada permukaan alang dengan pola lengkap berunsur flora.
Kayu alang yang telah ditanggam pada tiang dipasak menggunakan baji
Kayu tunjuk langit ditanggam pada alang dengan kedudukan menegak hingga mencecah tulang perabung bumbung.
Terdapat banyak tiang penyangga bersegi lapan di ruang dalam wakaf














assallamualaikum wr.wb.., saya sangat tertarik dengan tulisan dan cerita yang disuguhkan mengenai rumah tgk chik awe geutah, tapi saya masih penasaran akan bentuk arsitektur rumah tgk chik awe geutah, mohon petunjuk dan keterangan yang detail mengenai arsitektur yang melekat pada rumah tgk chik awe geutah.dan saya ucapkan terima kasih atas petunjuk yang diberikan.
Komen oleh Dwi — 11/06/2010 @ 5:00 am |
W.salam w.b.t
Kunjungan saya ke rumah adat ini sekadar memenuhi permintaan salah seorang team Yayasan Restu Aceh (Baiturrahman) yang turut serta dalam rombongan. Justeru, saya hanya merakam sebahagian foto dengan huraian serba ringkas buat perkongsian tetamu di sanggar ini. Penelitian saya mengkhusus tentang rekabentuk mihrab dan mimbar masjid tua. Sebarang perkongsian ilmu amat dialu2kan. Boleh e mel saya di harlenz2001@yahoo.com
Komen oleh harlenyabdarif — 11/06/2010 @ 10:19 am |
[...] Pusara Tgk. Di Awe Geutah turut berada dalam kompleks makam yang sama. Almarhum dikatakan mempunyai pertalian adik-beradik dengan Tgk. Chik Awe Geutah yang makamnya berada di Peusangan, Bireuen. Kebetulan saya telah dibawa berkunjung ke makam tokoh tersebut oleh Team Yayasan Restu Aceh pada kunjungan terdahulu (Lihat http://jejakmihrabmimbar.wordpress.com/2010/03/03/rumah-tgk-chik-awe-geutah). [...]
Ping balik oleh Catatan Perjalanan (Hari ke-3) « Jejak Mihrab & Mimbar — 22/09/2010 @ 6:53 pm |