Jejak Mihrab & Mimbar

27/04/2010

Hujan Rahmat di Dayah Nurul Huda (Hari per-1)

Filed under: Jejak Mihrab Acheh: Siri 3 — Harleny Abd Arif @ 9:31 am

 

Tarikh : 26 April 2010
Lokasi  : 1. Dayah Nurul Huda, Desa Ajee Cut 
               2. Kapal PLTD Apung 1, Desa Punge Blang Cut
               3. Darussalam (Kediaman Saudara M. Adli)

 

Syukur Alhamdulillah…setelah 1 jam lebih perjalanan, akhirnya tiba jua di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda. Langkah diatur menuju ke anak tangga kapal…

 

Seperti 2 misi terdahulu, lokasi pertama kunjungan adalah sesi ziarah ke Dayah Nurul Huda di desa Ajee Cut, Blang Bintang, Aceh Besar. Kenderaan inilah yang akan membawa saya sepanjang berada di Acheh. Pemandunya bernama saudara Muhammad (sepupu kepada saudara M. Adli). Semasa tiba, cuaca cerah menyambut kedatangan. Namun setengah jam berikutnya awan berarak mendung dan hujan mulai turun…dari rintik-rintik akhirnya mencurah-curah ke bumi sebaik melangkah pergi. Hujan Rahmat mengiringi kepulangan kami. Saya dikhabarkan pemandu arah bahawa hampir sebulan hujan tidak turun di sini.

 

Tempat istirahat anak-anak di Dayah Nurul Huda…kebetulan anak-anak ini baru pulang dari sekolah semasa saya tiba. Mereka sedang bersantai di pondok ini sementara menunggu masakan tengah hari. 

 

Berziarah ke sini memberi ketenangan dalam diri…menatap wajah mereka menyejukkan perasaan di hati. Rumah anak yatim ini menempatkan 119 anak-anak yang berusia seawal 7 tahun. Daripada jumlah tersebut, 78 daripadanya adalah perempuan. Sebahagian (50%) daripada jumlah keseluruhan (119) adalah anak yatim (kematian bapa), piatu (kematian ibu) dan yatim piatu (kematian bapa dan ibu). Sebahagiannya pula tergolong dalam keluarga fakir dan miskin.

 

Setengah jam berada dalam kawasan ini, masuk pula anak-anak yang baru pulang dari sekolah menengah…saya minta mereka semua berkumpul sebentar untuk sesi bergambar. Mereka masih mengenali wajah saya kerana ini adalah kunjungan ke-3 dalam tempoh 10 bulan (Jun 2009 hingga April 2010).

 

Saya bukan seorang hartawan tetapi ingin kekal dengan sifat dermawan. Walaupun tidak mampu memberi intan…memadailah menghulur apa yang termampu sebagai sumbangan. Sekiranya tiada apa-apa harta sekalipun untuk dihulurkan, sekurang-kurangnya saya ingin dekat di hati mereka…menyelami perasaan agar mereka mengetahui bahawa masih ramai yang menyayangi dan menghargai mereka di luar sana.

  

Dalam pada leka merakam foto, lensa kamera tertumpu pada wajah suram seperti sedang berdukacita. Lalu saya menyapa, “Apa sebabnya?” Wajah di paling ke arah saya, sambil berderai-derai pula air mata bagai meluahkan apa yang terbuku di jiwa. Kedengaran pula satu suara menyapa, “Tiada apa2 kak…sekadar bergurau…” Hmmm.. dalam hati saya berbisik, pasti ada yang disakat sehingga menerbitkan rasa kesedihan. Dalam esak tangis yang masih belum reda, salah seorang temannya mendakap erat. Rasa terharu pula melihat gelagat mereka…Inilah wajah-wajah yang membesar bersama lalu berkongsi segalanya yang ada. Perkongsian rasa suka dan duka…sedih dan ceria bersama.

 

Bonda Aini sedang berbual dengan Ibu Yuklidar (isteri pengetua Dayah Nurul Huda). Saya sempat mengajukan soalan tentang pengurusan di asrama ini. Menurut Ibu Yuklidar, beliau dibantu oleh tenaga pekerja yang terdiri daripada bekas penghuni asrama. Apa yang mengkagumkan saya adalah sikap bersatu hati bekas penghuni di sini yang sudi menyumbangkan masa dan tenaga berbakti kepada adik-adik mereka. Buktinya, sejumlah 24 orang bekas penghuninya yang berusia sekitar awal 20-an kekal tinggal di asrama ini menjalankan tugas sebagai tenaga pengajar dan membantu menyediakan masakan kepada penghuni asrama. Merekalah yang menguruskan tugasan harian di bawah seliaan Tgk. Darmansyah Daud selaku pucuk pimpinan Dayah Nurul Huda.

 

Tgk. Darmansyah Daud (kanan) baru pulang ke asrama setelah hampir 30 minit penantian kami di sini. Ayahanda (kiri) pula sedang berbual mesra bertanya khabar sekalian penghuni asrama. Semasa perbualan keduanya, sempat saya  mengajukan pertanyaan tentang pengalaman beliau menguruskan anak-anak di Dayah Nurul Huda…soalan lebih dispesifikkan kepada, “Apakah pernah wujud situasi di mana anak-anak ini terputus bekalan makanan harian mereka?” Pertanyaan ini saya timbulkan kerana Dayah Nurul Huda ini tidak dibiaya oleh pemerintah sebaliknya bergantung kepada sumbangan pihak-pihak yang prihatin. Menurut beliau, pernah suatu ketika…beras dan lauk telah habis untuk dimasak. Keadaan ini berlaku kerana kekangan sumber kewangan untuk membeli keperluan makanan.   Oleh hal demikian, beliau terus ke kedai yang biasa dikunjungi dengan tujuan mengambil dahulu barangan dan membayar kemudian. Namun, apa yang menghampakan… kedai yang dikunjungi tidak beroperasi pada hari tersebut. Kebimbangan mula bersarang di hati kerana jarum jam menunjukkan waktu pulang penghuni asrama makin hampir…sedangkan nasi belum ditanak dan lauk pula belum dimasak. Hendak pergi ke kedai lain, segan pula kerana niat beliau ingin berhutang. Lalu beliau mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke asrama. Andai pada awalnya perasaan kecewa membelenggu di dada, namun kali ini beliau pasrah…hanya kepada Allah diserahkan segalanya setelah ikhtiar tidak menampakkan hasilnya. Sambil bermenung…tiba-tiba muncul sebuah kenderaan masuk ke perkarangan asrama. Sangka beliau, keluarga salah seorang penghuni di situ… tetapi rupa-rupanya kenalan sendiri yang secara tiba-tiba hadir entah apa sebab dan tujuannya. Salam dan tangan kenalan tadi disambut mesra…lalu tanpa diduga kenalan tadi memaklumkan hajat kedatangan semata-mata ingin menghulurkan sumbangan. Berpatah semula kenalan tadi menuju ke kenderaan lalu membawa beberapa kampit beras. Beras dihulur…tetapi beliau tidak menyambut pemberian…seolah-olah kaku. Kenalan tadi kehairanan sambil bertanya, “Ambillah…jangan bimbang, ini rezeki yang halal…” Dalam wajah seolah-olah kebingungan (sebenarnya terkesima) beras tadi diambil sambil hati berbisik…”Allahhu Akbar…Allah Maha Besar, tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah.” Sebelum sempat beredar, kenalan tadi berjabat tangan sambil menghulurkan wang pula. Sama seperti awalnya, pemberian tidak disambut segera…sepasang mata hanya memandang tetapi tangan kaku tidak menerimanya. Kenalan tadi bersuara, “Kenapa? Jangan bimbang…ini halal sumbernya…” Subhanallah… rezeki yang tidak disangka-sangka tiba pada saat yang tidak terduga. Hikmah ujian sedemikian lebih menanamkan sifat keyakinan akan keBESARan ALLAH…

 

Di sebalik tirai…kelihatan anak-anak ini sedang mengaji al-Quran setelah bersolat Zuhur. Sementara menanti makan tengah hari, mereka mengalunkan ayat-ayat suci…

 

Semasa menuju ke kenderaan untuk pulang, kelihatan dua orang penghuni asrama ini sedang bersolat di pondok hadapan.

 

Kunjungan seterusnya adalah ke lokasi monumen Kapal Janakuasa Elektrik PLTD Apung 1 di desa Punge Blang Cut (Info lanjut beserta foto-foto monumen ada dipaparkan di laman http://jejakmihrabmimbar.wordpress.com/2010/05/02/kapal-janakuas…k-pltd-apung-1/  (sekiranya tidak berjaya click, sila ke Sanggar Jejak Mihrab Acheh: Siri 3 di bawah tajuk Kapal PLTD Apung 1)

 

Sebelah malamnya saya diundang Saudara M. Adli ke rumahnya di Darussalam. Ditemani ayahanda dan bonda, kami dijemput pemandu beliau di Sulthan Hotel lalu dibawa ke sebuah kediaman yang tersergam indah. Saya sering berhubung melalui telefon dan e-mel dengan Pensyarah Hukum dan Adat di Universiti Syah Kuala, Banda Aceh ini. Beliau tidak lokek berkongsi segala maklumat dan ilmu yang ada. Sudi juga beliau melayani kunjungan kami walaupun tugasan mengarang artikel untuk akhbar Serambinews masih belum disempurnakan. Malah keesokan paginya, beliau terlibat sebagai salah seorang ahli panel yang akan membentangkan kertas kerja seminar di fakultinya. Saya dipelawa untuk menghadiri seminar, namun atas faktor kekangan masa…tidak dapat saya penuhi undangan tersebut. Dedikasi buat Saudara M. Adli:

Terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi melayani kunjungan saya walaupun terikat dengan jadual yang padat. Jika tidak kerana bantuan saudara, pertemuan dengan waris Tuanku Raja Keumala mungkin menghadapi kesulitan dan sukar direalisasikan. Semoga Allah membalas segala jasa dan budi baik yang dihulurkan. Saya pasti tidak akan jemu bertanya itu dan ini di kemudian hari kerana masih teringat kenyataan saudara apabila saya berkata, “Saya ingin bertanya sedikit…” lalu dijawab dalam nada berjenaka oleh saudara, “Tanya banyak pun tak apa...” 

Salam ingatan dari kejauhan… = )

 

Theme: Rubric. Blog di WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.