Jejak Mihrab & Mimbar

19/06/2010

Makam Sultan Yahya Siak

Filed under: Kompleks Makam — Harleny Abd Arif @ 5:31 am

 

Tarikh Ziarah : 18 Jun 2010
Lokasi Ziarah : Makam Sultan Yahya Siak
                                   
Kampung Che Lijah, Dungun, Terengganu

 

Dalam perjalanan menghala ke arah Pantai Timur dua hari yang lalu (Khamis, 17/06/10), saya terpandang papan tanda tertera Makam Sultan Yahya Siak di satu persimpangan jalan menuju ke tempat bermalam (Tanjung Jara). Namun, oleh kerana saya tiba di Dungun sekitar jam 10 malam…jadi niat untuk berziarah ke makam ini sekadar disimpan dalam hati. Ada rezeki, maka dapatlah saya menjejakkan kaki ke lokasi makam. Alhamdulillah hasrat terpendam akhirnya kesampaian apabila keesokan harinya saya berpeluang berziarah ke kompleks makam saat melalui persimpangan semasa melilau-lilau mencari gerai untuk bersarapan pagi.

Ada di antara teman-teman yang pernah mengajukan persoalan…apakah tujuan dan perkaitan kunjungan ke makam-makam lama saya sisipkan dalam misi menjejak mihrab dan mimbar masjid tua? Jawapan saya mudah sahaja: “Pencinta seni dan budaya yang punya rasa kecintaan untuk mengenal akan sejarah bangsanya.

Bagaimanakah cara untuk mengenal kesan sejarah yang ada? Selain hasil pembacaan melalui sumber teks bertulis, khazanah peninggalan di Alam Melayu boleh didapati dengan menjejak ke lokasi bersejarah seperti bangunan  istana lama, rumah tradisional, masjid tua, makam lama dan sebagainya. Bukankah melalui pengalaman sebenar melihat lebih dekat kesan sejarah di lapangan lebih terkesan di hati? Pemerhatian dengan menggunakan deria lihat lebih memberikan kepuasan berbanding menatap foto yang kaku. Apa yang ada di persekitaran semasa tinjauan juga mampu berbicara sebagai bahasa visual untuk diterjemahkan dalam bentuk teks bertulis.

Tutup cerita di atas, saya buka pula cerita seterusnya…Sebelum membuka cerita, saya mulakan serba ringkas tentang sejarah pemerintahan kerajaan Siak Sri Indrapura sebagai mukadimahnya…

Sejarah Riau sebelum kemerdekaan lebih diwarnai riwayat kerajaan Melayu Islam, dengan kerajaan terbesarnya adalah Kerajaan Siak Sri Indrapura. Kerajaan ini didirikan oleh Sultan Abdul Jalil Rahmad Syah pada tahun 1725. Sultan pertama ini meninggal pada tahun 1746 dan kemudian diberi gelaran Marhum Buantan. Setelah kemangkatan baginda, terdapat 11 orang sultan yang pernah bertakhta di Kerajaan Siak Sri Indrapura. Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah (1782-1784) adalah Sultan yang ke-6 menaiki takhta dalam turutan tampuk pemerintahan. Baginda hanya sempat memerintah selama 2 tahun sebelum berhijrah ke Tanah Melayu dan telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1784 dengan gelaran Marhum Mangkat di Dungun.

 

Lokasi kompleks Makam Sultan Yahya Siak ini terletak di Kampung Che Lijah yang mana kedudukannya adalah di antara pekan Dungun dengan Tanjung Jara.

 

Keterangan pada batu tanda tertera:
Beliau menaiki takhta Kerajaan Siak selepas kemangkatan ayahandanya Sultan Ismail pada tahun 1782. Semasa pemerintahan Sultan Yahya, telah berlaku perebutan kuasa di antara  baginda dengan Raja Alam. Melalui muslihatnya, Raja Alam telah berjaya merampas takhta kerajaan Siak daripada Sultan Yahya. Sultan Yahya telah berundur ke Retih dan kemudian ke Tanjung Pati di Dungun, Terengganu. Baginda telah mangkat di Dungun dan dimakamkan di tanah perkuburan Islam Kampung Che Lijah di Dungun pada tahun 1784.

 

Selain makam Almarhum Sultan Yahya Siak, terdapat beberapa buah makam lain yang turut berada dalam kompleks makam.

 

Binaan kompleks makam ini dihiasi dengan keindahan seni ukiran Melayu tradisi.  Kepingan papan pator pada cucuran atap serta kerawang dengan aplikasi teknik ukiran tebuk tembus pada muka dinding di antara bumbung atas dengan bumbung bawah mengundang perhatian.

 

Kayu buton yang sering dilihat pada binaan masjid-masjid tua dan rumah tradisional Melayu turut dipasang pada tulang perabung kompleks makam.

 

Seni ukiran tebuk tembus dan ukiran pada kepala tiang di kedua bahagian sisi pagar kayu diilhamkan daripada unsur tumbuhan semulajadi.

 

Rekabentuk kepala tiang ini adalah hasil adaptasi daripada motif kelopak bunga seroja. Motif ini turut digunapakai dalam rekabentuk nesan lama.

 

Ukiran yang dihasilkan melalui teknik luakan ini seolah-olah memperlihatkan bentuk bunga seroja yang sedang mekar kuntumannya.

 

Batu nesan di pusara Sultan Yahya Siak ini lebih tinggi kedudukannya daripada aras mata dan kepala.

 

Lantai kompleks makam ini dipasang dengan jubin berwarna hitam sebagai kemasan di ruang dalam binaan.

 

Wujud kekeliruan fakta tentang turutan pemerintahan Almarhum Sultan Yahya Siak. Keterangan di sisi makam Sultan Yahya Siak tertera: Almarhum Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah (Marhum Mangkat di Dungun) Sultan Siak ke Tujuh. Memerintah tahun 1782-1784 M. Mangkat 1784 M.

Berdasarkan rujukan dari beberapa laman sesawang, baginda adalah Sultan ke-5 selepas pemerintahan Sultan Abdul Jalil Rahmad Syah. Ini bermakna, almarhum adalah Sultan ke-6 dalam sistem pemerintahan beraja Kerajaan Siak Sri Indrapura semasa hayatnya sebagaimana turutan berikut: 

  • Sultan Abdul Jalil Rahmad Syah (1725-1746)
  • Sultan Abdul Jalil Rakhmad Syah (1746-1765)
  • Sultan Abdul Jalil Jalaluddin Syah (1765-1766)
  • Sultan Abdul Jalil Alamuddin Syah (1766-1780)
  • Sultan Muhammad Ali Abdul Jalil Muazzam Syah (1780-1782)
  • Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah (1782-1784)
  •   

     

    Al-Fatihah buat Almarhum Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah sebagai penutup bicara… 

     

    About these ads

    5 Komen »

    1. Salam buat Saudari Harleny,
      penjelasan perihal buah buton dan lebah bergantung, InsyaAllah, saya akan cuba rujuk dari pakar.
      takut pula bagi info yang salah, lain cerita pula jadinya.
      Saya, seperti juga saudari, juga berminat memerhati kesan2 peninggalan lama budaya bangsa kita,
      seperti menjejaki mihrab dan masjid2 lama, binaan pada makam2 lama; kerana pada saya,
      sesuatu yang dicipta / direkabentuk itu, pasti ada kisahnya yang tersendiri.

      Komen oleh adiatsauri — 20/06/2010 @ 9:26 am | Balas

      • Wsalaam…

        Berdasarkan pemerhatian saya sepanjang menjalankan fieldwork, rekabentuk ‘lebah bergantung’ ini seolah-olah berfungsi sebagai kemasan dalam binaan. Kemasan ini pula biasanya terdapat pada bahagian bawah kayu buton di tebar layar dan kayu tunjuk langit. Ibarat ada hujung, maka adalah pangkal yang menjadi pelengkap dan kemasan lebah bergantung inilah pelengkapnya. Namun terdapat juga lebah bergantung yang berdiri sendiri seperti yang terdapat pada hujung cucuran atap (cth: Masjid Teluk Manok, Patani) selain di bahagian bawah gelegar (cth: rumah Tgk Chik Awe Geutah, Acheh > lihat tajuk Rumah Tradisional). Kesimpulannya dapatlah dikelompokkan sebegini:
        1. Kayu buton dengan lebah bergantung sebagai kemasan (biasanya menjadi pelengkap kepada kemasan kayu buton di tebar layar dan kayu tunjuk langit di bawah perabung)
        2. Kayu buton tanpa lebah bergantung (biasanya dipasang di atas tulang perabung)
        3. Lebah bergantung tanpa kayu buton (biasanya dipasang di bawah cucuran atap)

        Komen oleh harlenyabdarif — 21/06/2010 @ 3:20 am | Balas

    2. Salam. Saya dah sampai ke Siak Sri Indrapura. Suatu pengalaman yang takkan dilupakan, bergabung Melayu Malaysia, Indonesia dan Singapura memartabatkan kesenian Melayu. Siak Bermadah nama pegelarannya. Mohon doa dapat ikut serta lagi insyaALLAH.

      Komen oleh 5thE Taib — 29/06/2010 @ 2:41 am | Balas

    3. Salam,

      siapa-siapa tahu dimana Kampung Rais, Kerajaan Siak. Penat cari diinternet tak dapat-dapat.

      daunlebar@hotmail.com

      Komen oleh Abdul Rani Bin Kamarudin — 24/08/2010 @ 9:43 pm | Balas

    4. Salam saudari Harleny

      Sultan Yahya sememangnya Sultan Siak Ke VII . Kerana selepas Sultan Muhammad Ali diturunkan takhta , Sultan Ismail telah menjadi Sultan Siak Ke VI . Selepas kemangkatan Sultan Ismail , putera baginda Sultan Yahya ( Marhum Mangkat Di Dungun ) telah menaiki takhta .

      Komen oleh Dato' Ir. Tengku Ismail — 10/06/2012 @ 10:46 pm | Balas


    Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    The Rubric Theme. Blog di WordPress.com.

    Ikut

    Get every new post delivered to your Inbox.

    %d bloggers like this: