Jejak Mihrab & Mimbar

15/07/2010

Pengaruh Acheh dan Bugis dalam Senibina Rumah Kutai Perak

Filed under: Rumah Tradisional — Harleny Abd Arif @ 11:14 am

 

Tajuk yang terpapar di atas seolah-olah seperti tajuk tesis pula…Namun saya hanya ingin mengupas secara ringkas sahaja. Info yang ingin saya kongsikan ini adalah buah pena yang telah saya tinggalkan di http://artmelayu.blogspot.com. Saya kira ada baiknya saya copy dan paste semula ulasan yang telah sedia ada di ruang komen penulis blog tersebut di bawah tajuk Asal-usul rumah kutai di Perak

Dalam tempoh beberapa bulan ini, saya sedang memikirkan tentang perkaitan ciri-ciri rekabentuk rumah tradisional Melayu khususnya senibina rumah kutai perak ini. Walaupun ianya bukan subjek utama kajian (kajian khusus saya memberi tumpuan terhadap rekabentuk mihrab dan mimbar masjid tua sebenarnya), namun saya tertarik membuat kajian secara ‘sendiri-sendiri.’ Lagipula pemerhatian melalui kajian lapangan semasa menjejak masjid-masjid tua di lokasi-lokasi tertentu di Semenanjung dan rata-rata daerah di provinsi Acheh telah membuka mata terhadap keunikan senibina lama (masjid tua, istana lama,  kompleks makam dan sebagainya) yang punya makna dan falsafah tersirat di sebaliknya. 

Kesedaran tentang peri pentingnya memartabatkan seni melayu lama ini telah membuka pintu hati saya untuk berkongsi ilmu yang amat terbatas ini dengan khalayak. Sekurang-kurangnya usaha saya yang sekecil ini dapat dimanfaatkan oleh khalayak yang singgah di sanggar jejakmihrabmimbar.

Pada pandangan saya, amatlah rugi sekiranya khazanah-khazanah lama yang turut berada di sekeliling kita semasa sesi tinjauan di lapangan diabaikan kewujudannya. Sebagai contoh, apabila menjalankan kajian di masjid lama…kita turut menemukan makam-makam lama di sekitarnya.  Malah, kebanyakan daripada rumah-rumah lama masih berdiri dengan utuhnya di sekitar masjid tua yang dikunjungi. Jadi, apalah salahnya kita mengambil kesempatan dan peluang yang telah tersedia di hadapan mata. Membuat pemerhatian ke atas ciri-ciri budaya Melayu yang diketengahkan pada bahagian-bahagian tertentu dalam senibina lama dan khazanah lama lainnya. Di situlah nanti kita akan menemukan identiti bangsa Melayu yang menjadi warisan sejak zaman berzaman.

Alangkah malunya jika bangsa Melayu sendiri tidak mengetahui lantaran tidak ambil peduli akan khazanah warisan di Alam Melayu. Jangan nanti bila senibina lama ini runtuh menyembah bumi, barulah suara-suara penyesalan dan terkilan dilontarkan walhal semasa ia masih utuh berdiri tiada sesiapapun yang menghiraukan kewujudannya.

Baiklah…tanpa berlengah masa, saya copy dan paste kata-kata Tuan Punya artmelayu.blogspot.com dalam tajuk catatannya  Asal-usul rumah kutai di Perak di sanggar ini:

Tadi saya tergerak membuat google search menggunakan kata-kata kunci “Rumah Kutai” lalu terjumpa gambar ketiga di atas. Yang menarik, website yang mengandungi gambar itu didirikan oleh sebuah badan rasmi Sabah sedangkan saudara yang baru saya kenali semalam, yang kelihatan seperti melebihkan kaitan Bugis juga berasal dari negeri itu.

Lebih menarik lagi, di sebelah gambar itu tertera kata-kata ini: “Reka bentuk rumah Kutai di Perak sama seperti rumah di Aceh dan Makasar (yang terletak di dalam lingkungan dunia Bugis), Indonesia. Menurut sejarah, orang Bugis dan Aceh pernah menetap di Perak.” Kenyataan ini seolah mahu menjawab persoalan saya mengenai kaitan Aceh dengan Bugis.

Di bawah ini pula saya copy dan paste semula hasil buah pena sebagai maklumbalas kepada catatan di atas: 

Alhamdulillah…ada juga kenyataan yang boleh dijadikan sumber sokongan seperti di atas: “Reka bentuk rumah Kutai di Perak sama seperti rumah di Aceh dan Makasar (yang terletak di dalam lingkungan dunia Bugis), Indonesia. Menurut sejarah, orang Bugis dan Aceh pernah menetap di Perak.”

Saya tidaklah menjalankan penelitian khusus ttg rumah kutai ini tetapi berminat mengambil tahu tentang senibina tradisional Melayu. Sedikit sebanyak relate  juga   dengan bahagian tertentu pada senibina masjid tua. Tak banyak, sedikit pasti terkait juga.

 

Contoh Rumah Kutai dari laman artmelayu.blogspot.com

 

Pandangan saya secara peribadi semasa menjalankan observasi di lapangan…

Wujud persamaan di antara rumah adat Aceh dengan rumah kutai (saya ambil contoh rumah kutai di Kg Masjid, Lenggong, Perak). Dah banyak kali disinggung ttg papan pator, kepala cicak, papan cantik jadi kali ni saya berbicara tentang bahagian lain pula.

Wujud persamaan di antara Rumah adat Acheh, Bugis dan rumah kutai Perak. Saya beri contoh, jarak gelegar dengan permukaan tanah rumah kutai di Kampung Masjid, Lenggong. Rumah kutai (belakang surau lama) memiliki 13 anak tangga dengan ketinggiannya 2.5 meter manakala di sisi kiri surau lama pula rumah kutai dengan 11 anak tangga dengan ketinggian 2.15 meter dari aras tanah. Malah, saya turut menemukan persamaan ini semasa tinjauan ke rumah Anjung Warisan di Kampung Laut, Kuala Terengganu 19 Jun lalu. Ia sama dengan ketinggian rata-rata rumah adat Acheh, juga Bugis yang melebihi aras kepala.

Kalau lebah bergantung (hanging bee) dan tunjuk langit (sky pointer) memang wujud persamaan antara Acheh-Perak. Kalau di Acheh, lebah bergantung ni banyak terdapat di bawah gelegar. Istana Sultan Iskandar Zulkarnain yg memerintah Perak 1756-1770 seperti lakaran Abdul Halim Nasir (berdasarkan teks Misa Melayu karangan Raja Chulan) turut menemukan ukiran lebah bergantung pada kaki tiang di anjung peranginan.

Begitu juga dengan kayu buton yang seakan menjadi ciri pengenal kepada senibina rumah lama di Perak, Acheh dan Tanah Bugis. Saya cuba membuat telahan dengan mengaitkan asal usul kayu buton dengan sebuah kerajaan Buton di Sulawesi Tenggara yang mana hasil kayu adalah di antara hasil eksport utamanya. Sama ada istilah buton itu diambil merujuk kepada jenis kayu butun atau kerajaan Buton atau suku Buton lalu digunapakai dalam menamakan kayu buton di tulang perabung/tebar layar rumah tradisional Melayu.

Kenyataan berdasarkan penulisan ilmiah di http://www.oldmaluku.net seakan menyokong telahan dalam mencari perkaitan:

“Orang Buton (yang meliputi berbagai sub-etnis: Wolio, Wanci, Tomia, Binongko, dan Kulisusu) adalah salah satu suku bangsa di Sulawesi Tenggara yang mendiami Kepulauan Buton dan sekitarnya. Di Kawasan Timur Indonesia, mereka dikenal sebagai masyarakat maritim bersama-sama dengan orang Bugis/ Makassar dan Mandar. Oleh karena itu,Zuhdi (1997) menyebutnya BBM: Bugis, Butun (Buton), dan Mandar, kerana ketiganya adalah suku bangsa maritim. Mereka secara bersama-sama menjelajahi perairan Nusantara bahkan sampai ke luar batas-batas wilayah Nusantara (Ligvoet, 1877; Heeren, 1972), seperti ke Pantai Marege (Australia), Mindanao (Phlipina), Malaysia, Singapura dan bahkan sampai ke Cina (Tamburaka, 1996).” 

Berbicara tentang rekabentuk rumah ni sama juga keadaannya dgn bercerita tentang fesyen pakaian. Pelbagai potongan diilhamkan hasil adaptasi daripada potongan pakaian budaya lain. Kebaya kurung umpamanya adalah hasil gabungan potongan baju kebaya yang ditambah pesak dan kekek daripada baju kurung tradisional. Kebaya tradisional pula diberi nafas baru dengan mengubah potongan asli lehernya yang berbentuk V kepada potongan leher jenis stand collar menyerupai cheongsam sehingga wujud istilah kebaya cheongsam.

Begitulah juga halnya dengan kepelbagaian bentuk rumah tradisional tempatan. Kalau dilihat hiasan puncak sahaja juga berbeza bentuk dan jenisnya. Itu belum lagi melihat bahagian lainnya. Jenis Rumah Potong Perak umpamanya terdapat pelbagai bentuk potongan bumbungnya. Rumah Potongan Perak ini terdapat juga di Perlis, Kedah dan Kelantan namun berbeza bentuknya lantaran telah diubahsuai dengan budaya setempat.

p/s: disebabkan pandangan ini bersifat telahan, jadi pasti ada kekurangan…setelah menjalankan tinjauan ke rumah adat dan masjid tua di Sulawesi Ogos depan, barulah yakin mengutarakan pandangan buat perkongsian… =)

 

About these ads

3 Komen »

  1. memang suatu kerugian kalau sesuatu bangunan/seni bina lama yang mempunyai nilai sejarah dibiarkan menyembah bumi tanpa ada usaha untuk menyelamatkannya/membaikpulih dan tidak dinafikan ada jugak menjadi mangsa pada kepesatan pembangunan.

    Komen oleh sangilapi — 23/07/2010 @ 8:12 am | Balas

  2. Saudari, mohon lauan untuk saya perjelaskan bahawa gambar rumah KUTAI yang di tunjukan adalah tidak tepat. Rumah KUTAI adalah berbeza daripada yang saudari ambil dari satu blog…tersebut. Sila lawati blog: aestheticelement.blogspot.com, beberapa contoh rumah Kutai yang saudari kehendaki boleh dirujuk. Rumah KUTAI bermaksud rumah Tua,Perak. Rumah Kutai mempunyai bentuk bumbung Panjang yang besar. Mungkin gambar yang di paparkan itu merupakan penambahan pada rumah Kutai tersebut. Kami daripada UiTM,Perak mempunyai ramai pakar tentang rumah Kutai , termasuk dokumen yang boleh di rujuk.Di sini juga terdapat satu pusat penyelidikan yang bernama KUTAI.

    Komen oleh SRY — 19/01/2011 @ 1:36 pm | Balas

    • SRY…
      Terima kasih di atas teguran. Kesilapan dalam penulisan ini disebabkan oleh salahtafsiran tentang “rumah kutai” yang saya anggap membawa maksud “rumah tua” Oleh hal demikian, saya telah mengkategorikan rumah tradisional perak seperti paparan di atas tanpa mengetahui bahawa “rumah kutai” mempunyai potongan bumbung tertentu. Kajian saya mengkhusus tentang rekabentuk mihrab dan mimbar masjid tua (berusia lebih 100 tahun). Baru setahun berjinak2 dengan istilah tataletak rumah tradisional kerana subjek kajian (mimbar) dikesan turut mempunyai beberapa persamaan dengan bahagian rumah tradisional perak. Persamaan yang dimaksudkan antaranya adalah seperti papan kepala cicak, papan pator dan kayu buton.

      Perkongsian info amat dialu-alukan di sanggar http://jejakmihrabmimbar.com (laman baru)

      Terima kasih

      Komen oleh Harleny Abd Arif — 24/01/2011 @ 1:59 am | Balas


Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

The Rubric Theme. Blog di WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: