Tarikh: 08 Ogos 2010
Lokasi: Tana Toraja dan Palopo
Perjalanan hari ke-3 dimulakan agak lewat…sekitar jam 8.20 pagi. Mengapa saya katakan demikian…sebabnya jam 6.00 waktu di Sulawesi seperti jam 7.00 waktu Malaysia. Oleh kerana perjalanan hari ke-2 dilalui dalam tempoh yang lama kerana jarak perjalanan yang jauh, jadi pemandu arah membuat permintaan agar sesi tinjauan hari ini dimulakan lewat sedikit (dah tentu penat membawa kami dari seawal jam 7.30 pagi hingga jam 10.00 malam hari sebelumnya).
Sebenarnya, jadual asal program pada hari ini adalah di sekitar Tana Toraja untuk melihat rumah adat masyarakat Toraja. Namun, dalam perjalanan dari Gowa ke Makassar sehari sebelumnya, saya telah menambah satu lagi program iaitu menuju ke Palopo (mudah untuk saya meminda atau menambah sebarang program jika bergerak dengan team sendiri). Saya telah dimaklumkan oleh saudara Alam (pemandu arah) bahawa terdapat sebuah masjid tua di Palopo yang telah berusia lebih 400 tahun. Justeru, keputusan mendadak tersebut adalah sebagai memenuhi hajat saya untuk melihat lebih dekat senibina masjid tersebut selain tujuan utama menjejak mihrab dan mimbar masjid tua. Keinginan tersebut bertambah kuat apabila saya diberitahu oleh saudara Alam bahawa Kerajaan Pajung Luwu’ terletak di Palopo. Tidak sangka sesi ziarah saya ke makam Daeng Salili di Kampung Padang Changkat di Kuala Kangsar beberapa minggu sebelum berangkat ke Tanah Bugis adalah pembuka laluan sebelum saya melangkah lebih jauh ke tanah asal almarhum Daeng Salili di Sulawesi Selatan.

Pondok dengan rekabentuk tongkonan di luar hotel Hiltra Toraja
Ahli keluarga dan pemandu arah menunggu di luar perkarangan hotel. Replika tongkonan ini berfungsi sebagai pondok istirehat dan bersantai para pengunjung yang menginap di hotel ini.

Deretan tongkonan dari kejauhan
Lokasi pertama adalah kunjungan ke rumah adat khas masyarakat Toraja. Dari kejauhan, rumah adat ini kelihatan seperti sebuah perkampungan yang tersusun.

Keunikan hiasan puncak tongkonan
Rekabentuk hiasan puncak tongkonan seperti rumah adat Minangkabau. Senibina ini diilhamkan daripada simbol tanduk kerbau.

Tongkonan dari pandangan sisi
Tongkonan ini berfungsi sebagai tempat menyimpan padi. Kebanyakan dari rumah-rumah adat mempunyai tongkonan seperti ini. Bentuk rumah adat dan tongkonan hampir sama tetapi berbeza daripada segi saiz serta fungsinya. Rumah adat lebih besar dan berfungsi sebagai tempat perlindungan manakala tongkonan pula lebih kecil saiznya dan berfungsi sebagai tempat menyimpan padi. Ada juga tongkonan yang dijadikan tempat menyimpan mayat. Mayat-mayat tersebut disimpan di dalam sebuah tongkonan seumpama sebuah keluarga yang tinggal di dalam sebuah rumah. Namun, lokasi tongkonan untuk menyimpan mayat ini berada di kaki bukit berdekatan.

Tongkonan dari pandangan hadapan
Tongkonan untuk menyimpan padi dari pandangan arah hadapan. Tongkonan ini kedudukannya bertentangan dengan rumah adat (di bawah).

Rumah adat masyarakat Toraja
Rata-rata daripada rumah adat Toraja mempunyai arca kepala kerbau yang digantung pada bahagian tengah rumah. Susunan tanduk kerbau di hadapan tiang rumah memberi gambaran tentang beban hutang yang perlu dilanggsaikan oleh tuan rumah. Bilangan tanduk kerbau merujuk kepada bilangan jumlah kerbau yang perlu di ganti semasa menjalankan ritual kematian dengan cara menyembelih kerbau. Bagi masyarakat Toraja, belanja yang besar perlu disediakan sebagai penghormatan akhir kepada si mati. Bagi mereka yang berkemampuan, bilangan kerbau yang disembelih adakalanya mencecah ribuan ekor manakala keluarga yang tidak mampu akan dibantu oleh ahli keluarga lain. Cara membantu pula adalah dengan meminjamkan kerbau tetapi perlu diganti kemudiannya apabila berkemampuan. Apabila seekor kerbau telah diganti, maka satu tanduk kerbau akan diturunkan dari tiang dan begitulah seterusnya. Maka, tidak hairanlah bayi yang baru lahir di kalangan keluarga yang berhutang akan turut sama menanggung beban hutang kedua orang tua mereka. Malah, hutang tersebut adakalanya terpaksa ditanggung hingga ke generasi cucu. Maka, tidak hairanlah ada di antara segelintir anak-anak muda yang berhijrah keluar dari desa tidak pulang ke kampung halaman dengan alasan tidak mahu menanggung beban hutang waris teratas daripada mereka. Adat ini perlu dipatuhi kerana telah termaktub dalam undang-undang adat masyarakat Toraja yang menganuti ajaran Kristian.

Rumah adat yang disusun sejajar
Perspektif menarik yang memperlihatkan hujung perabung rumah adat Toraja yang terjulur. Foto dirakam dari arah pandangan hadapan hingga ke barisan akhir rumah adat dan tongkonan.

Singgah di gerai jualan Tana Toraja
Sebelum meneruskan perjalanan ke Palopo, kami singgah di gerai jualan Tana Toraja untuk meninjau apa yang istimewa untuk dibeli sebagai ole-ole buat keluarga di Malaysia.

Gemal padi disusun di tepi jalan
Pertama kali saya melihat susunan gemal (gemai) padi sebegini. Tangkai-tangkai padi yang telah diketam dihimpun secekak dan disusun berderet di tepi jalan.

Gemal padi dilonggok setinggi aras mata
Segemal padi dihimpun sehingga menjadi longgokan besar setinggi aras mata. Longgokan ini terdapat di sepanjang laluan di Tana Toraja.

Runtuhan bongkah batu
Walaupun perjalanan dari Tana Toraja ke Palopo mengambil masa selama 2 jam, namun keadaan permukaan jalan di lereng pergunungan yang tidak rata dan bersimpang siur membuatkan jarak perjalanan terasa jauh. Runtuhan bongkahan batu-batu besar juga menimbulkan rasa cemas ahli keluarga yang lain sehingga mereka menyifatkan perjalanan ke Palopo adalah siri tinjauan yang mencabar dan merbahaya. Namun, secara jujur ingin saya nyatakan bahawa apabila perasaan ingin tahu menguasai diri, apa jua liku-liku yang dilalui sepanjang perjalanan tidak sedikit pun menggentarkan diri. Inilah nilai pengorbanan yang harus dibayar untuk mencapai apa yang dihajatkan dalam siri tinjauan peribadi. Empat foto di bawah memperlihatkan sebahagian rakaman keadaan jalan di sepanjang lereng pergunungan yang di lalui.

Laluan berbatu

Mengharung banjir kecil

Lori terbalik

Gerun melihat cerun

Pokok bunga cengkih subur menghijau
Terdapat banyak pohon bunga cengkih di lereng pergunungan di pertengahan laluan antara Tana Toraja dengan Palopo. Inilah kali pertama saya melihat pohon bunga cengkih.

Singgah di restoran Ulu Bale Laut
Sebaik tiba di Palopo, kami singgah di Restoran Ulu Bale Laut untuk makan tengah hari. Restoran ini terletak lebih kurang 1 km dari lokasi Masjid Tua Palopo. Apa yang menarik semasa menjamu selera di sini ialah menu sambal belacan dan sambal tempoyaknya ala-ala sambal belacan di Kedah dan sambal tempoyak di Perak. Masakan di Palopo ini menepati selera saya…Sewaktu menjamah masakan tersebut, saya mula terfikir apakah sambal tempoyak ini resepi asalnya dari Tanah Sulawesi yang dibawa masuk oleh orang-orang Bugis semasa berhijrah ke Perak khususnya. Tidak pernah lagi saya berjumpa sambal belacan dan sambal tempoyak yang ada persamaan rasa sebegini di wilayah lain di Indonesia yang pernah dikunjungi (sebahagian besar wilayah Acheh, Medan, Sumatera Barat mahupun Bali). Malah, saudara Alam sendiri menjelaskan bahawa sambal tersebut hanya terdapat di Palopo dan sajian sedemikian tidak terdapat di Makassar, Gowa ataupun bahagian lain di Sulawesi Selatan.

Masjid Tua Palopo (1604 M)
Masjid Tua Palopo ini berdekatan dengan kedudukan Istana Pajung (payung) Luwu’. Istana tersebut jelas kelihatan dari arah perkarangan masjid. Masjid daripada binaan batu seluas 12m x 12m ini dibangunkan oleh Pong Mante lebih 400 tahun lalu. Kedudukan masjid ini terletak di tengah kota Palopo. Berikut adalah serba ringkas tentang sejarah masuknya Islam di Luwu’ (maklumat ini saya perolehi daripada risalah Masjid Tua Palopo):
Menurut sejarah, pada abad ke XV (15), Raja pertama yang memeluk agama Islam adalah Raja/Datu ke XV iaitu Patiarase Daeng Parabung yang sebelumnya didahului oleh Maddika Bua pada 15 Ramadhan 1013 H/04 Februari 1593M yang dibawa oleh seorang ulama besar berasal dari Minangkabau (Sumatera Barat) bernama Datuk Soelaeman bergelar Datuk Pattimang. Dalam waktu relatif singkat, agama Islam tersebar dan berkembang pesat ke lingkungan keluarga kerajaan sehingga mendorong pemerintah untuk membangunkan satu tempat ibadah dalam lingkungan istana Raja Luwu’. Lalu didirikan sebuah masjid diberi nama Masjid Jami’ Palopo.

Pintu utama Masjid Tua Palopo
Foto ini memaparkan pintu utama (hadapan) masjid. Pintu ini adalah satu-satunya pintu masuk untuk menuju ke bahagian ruang dalam masjid.

Gerbang Palopo
Gerbang tertera Semoga Selamat Tiba di Tujuan sewaktu keluar dari Palopo untuk meneruskan perjalanan ke Masjid Jami’ Bua.

Masjid Jami' Bua
Masjid Jami’ Bua terletak kira-kira 10 km dari kedudukan Masjid Tua Palopo. Masjid ini mempunyai 2 buah kubah di bahagian kiri dan kanan yang mengapit 1 kubah besar di tengah menjadikan kesemuanya 3 buah kubah.

Gerbang masuk bertingkat ke Masjid Jami' Bua
Gerbang bertingkat menuju ke Masjid Tua Bua mengundang perhatian. Foto dirakam dari arah dalam perkarangan masjid. Masjid Tua Bua adalah lokasi terakhir persinggahan kami pada perjalanan hari ke-3.
Perjalanan hari ke-4 sebagai penutup siri tinjauan peribadi ke Tanah Bugis bakal menyusul nanti…
0.000000
0.000000