Catatan ini diplagiat dari laman blog: http://syirfan.wordpress.com
Saya tertarik dengan isu ini. Justeru, mohon izin saudara Syirfan untuk perkongsian dengan tetamu di sanggar Jejak Mihrab & Mimbar ini…
Kata Syirfan
Kita sering melemparkan pujian pada “si anu” dan “si polan” – “dia tu kreatif lah!”.
Persoalannya, apa itu kreatif? Apa kayu ukur yang boleh kita katakan si anu itu kreatif dan si polan yang ini kurang kreatif? Sejauh mana kita melihat dan menilai sebuah idea, tindakan waima adi karya atau magnum opus seseorang itu layak kita beri pujian atas nilai kreativitinya?
Ia mungkin satu pelarian bila saya beri jawapan – kreatif itu ialah mempunyai kebolehan mencipta, menghasil, dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli. Jawapan itu boleh saya petik dari Kamus Dewan yang pasti memberi definasi yang sungguh holistik.
Namun bila dikecilkan dan lebih fokus, jawapan itu kian meragukan. Ia masih tidak boleh menjawap persoalan lain yang berlegar dalam skop industri kreatif yang bertolak dari ketajaman intelektual, idea, orentasi dan landas pemikiran
Ini berlaku kerana nilai kreatif itu agak “mistikal” sifatnya. Ruang masa juga boleh mengubah nilai kreatif itu. Ia terlalu subjektif. Lantas, bagaimana kreatif itu dinilai? Rating, glamour, keuntungan yang bersifat kewangan atau sekadar pujian?
Malangnya, saya berkerja dan menyara keluarga saya dalam industri yang memohon nilai kreatif yang tinggi, namun saya tidak boleh memberi jawapan pada persoalan mudah teman yang baru saya kenali di dalam gerabak Komuter awal pagi tadi – “apa itu kreatif dari sudut pandang seorang penerbit seperti awak?”
Diam. Gerabak meluncur laju.
Kata Saya
Salaam…
Sekadar perkongsian pandangan (secara peribadi). Dalam isu ini, kita bekukan seketika definisi kreatif secara teorinya berdasarkan pandangan ahli falsafah seni.
Berbicara soal apa itu ‘kreatif’ saya fikir subjektif sifatnya lantaran luas cakupannya. Kreatif dari aspek apa? Penilaiannya pula berdasarkan kriteria yang bagaimana? Apakah label kreatif ini hanya boleh digunapakai oleh golongan bekerjaya atau terbatas pada mereka yang berlatarbelakang bidang senilukis dan senireka? Bagaimana pula dengan golongan surirumah yang menumpukan sepenuh perhatian menguruskan tugasan harian (mengasuh anak, memasak, mengemas dan sebagainya)? Bagi surirumah yang berfikiran kreatif, kelebihan tersebut pasti diaplikasi dalam kehidupan seharian…cara mereka berfikir untuk “melekakan” anak-anak, cara mempelbagaikan masakan/ menghias hidangan untuk menarik perhatian anak-anak yang tiada/kurang berselera menjadi lebih berselera, serta cara menampilkan kelainan dalam gubahan di sudut ruang tamu, bilik tidur, halaman agar rumah kelihatan indah dan ceria. Ini semua boleh dianggap sebagai kreatif…termasuk dalam lingkungan nilai kreatif yang luas cakupannya. Tidak perlu modal yang besar untuk bergelar atau dilabelkan sebagai kreatif. Mereka yang punya idea kreatif umpamanya mampu mencipta sesuatu yang baru, mengubahsuai apa yang sedia ada dan sebagainya sehinggakan apabila “tiada rotan akar pun berguna.” Daya kreativiti ini sudah tentunya lahir dari pemikiran yang kritis.
Bagi saya sendiri yang pernah bergelar guru pendidikan seni visual, istilah kreatif ini lebih merujuk kepada daya kreativiti murid dalam menghasilkan olahan idea. Secara mudahnya, lukiskan rupa bulat di papan putih dan minta murid-murid melakarkan apa jua bentuk objek berdasarkan rupa bulat tadi. Setiap murid akan menghasilkan bentuk yang berbeza. Mungkin ada di antara mereka menghasilkan objek yang sama, namun berbeza lakarannya. Bentuk bola walaupun bulat tetapi dihasilkan lain jenisnya oleh murid A dengan murid B atau C. Jumlah penghasilan juga pasti berbeza…ada yang hanya mampu melakarkan 3, 5, 9, 15 atau mungkin ada yang masih menggerakkan jari jemarinya menghasilkan lakaran tatkala guru menamatkan sesi pembelajaran.
Kreatif 1 patah perkataan dengan 2 suku kata. Satu istilah tetapi mempunyai tafsiran yang berbeza. Nak mengaitkannya dengan satu-satu perkara pula berangkai-rangkai sehingga saya memutuskan untuk berhenti dari memetik huruf-huruf pada papan kekunci. Sehingga ke akhir catatan, saya juga sukar untuk menemukan takrifan kreatif. Justeru, kesimpulannya…tiada limitasi dalam melabelkan kreatif.
Apa pula kata Anda???
artikel yang sangat berguna bagi saya
Komen oleh bojiint — 23/01/2012 @ 9:37 am |
Saudara Bojint
Terima kasih sudi bertandang…
sila ke pautan baru di laman sanggar http://jejakmihrabmimbar.com
Komen oleh Harleny Abd Arif — 20/02/2012 @ 11:09 pm |