Jejak Mihrab & Mimbar

29/08/2010

Rumah tradisional berdinding kelarai di Kampung Pulau Kemiri

Filed under: Rumah Tradisional — Akal Sari @ 10:19 pm

 

Tarikh: 17 Julai 2010
Lokasi: Kampung Pulau Kemiri, Sungai Siput

 

Perjalanan ke Kampung Pulau Kemiri ini telah dilalui lebih sebulan yang lalu… sebaik pulang dari siri tinjauan ke atas masjid Ihsaniah di Kuala Dal, bengkel Kraf Pandai Besi, makam Daeng Salili, rumah tradisional Baitul Rahmah dan Istana Kenangan di Bukit Chandan.

 

Inilah kali pertama saya hadir ke Kampung Pulau Kemiri di Sungai Siput (U). Kalau tidak salah ingatan, tidak kurang 3 kali saya berhenti di sepanjang perjalanan untuk bertanya arah lokasi masjid tua Pulau Kemiri.

 

Lorong sempit ini perlu dilalui untuk menuju ke arah lokasi masjid tua. Kebun pisang melatari pandangan di bahagian kiri dan kanan laluan.

 

Dalam perjalanan melalui sepanjang lorong tadi, saya singgah ke rumah salah seorang penduduk setempat untuk bertanya lokasi masjid. Apa yang membuatkan saya tertarik untuk berhenti bertanyakan arah lokasi masjid yang ingin dijejaki? Kebetulan semasa kenderaan melalui lorong kecil, mata terpandang sebuah rumah berdindingkan buluh di sisi kiri jalan. Teratak ini adalah rumah ketiga berdindingkan kelarai yang dijumpai sepanjang hari tersebut. Masjid Ihsaniah di Kuala Dal dan Istana Kenangan di Kuala Kangsar telah saya kunjungi pada hari yang sama sebelum singgah ke sini. Oleh yang demikian, saat terpandang akan rumah ini, saya mengambil peluang untuk turun dari kenderaan. Hajat utama bertanya lokasi arah masjid tua dan hajat sampingan melihat lebih dekat senibina rumah tradisional berdindingkan kelarai. 

Daun pintu diketuk sambil mengucap salam. Salam disambut seorang lelaki berkain pelekat berusia awal 80-an. Setelah dimaklumkan kedudukan masjid tua yang dikatakan kurang 1km dari jarak rumahnya, saya memohon izin untuk merakam foto rumah lama terletak di bahagian kanan yang bersambung dengan rumah barunya. Rumah lama ini tidak lagi berfungsi sebagai tempat berteduh namun tetap dikekalkan binaannya. Menurut warga emas ini,  rumah lamanya pernah dikunjungi pengkaji berbangsa Australia dengan tujuan merakam foto binaan luarnya.

 

Tidak sangka bahawa kunjungan ke teratak lama berdindingkan kelarai yang saya singgah pada awalnya (merujuk kepada rumah ini) sebelum tiba di masjid tua Pulau Kemiri, tuan rumahnya adalah imam di masjid tua yang dijejaki. Saya perasan akan namanya saat membaca catatan nama imam bertugas dengan tulisan marker di permukaan papan putih yang tergantung di ruang dalam masjid. Kebetulan nama tuan punya rumah tadi telah saya catatkan namanya di buku catatan yang sentiasa di bawa bersama, justeru nama yang  terpampang mengingatkan saya akan nama tersebut. Menurut setiausaha masjid yang ditemubual, imam masjid (pemilik rumah lama berdinding kelarai) adalah di antara penduduk tertua di kampung tersebut.

 

Rumah lama ini mempunyai persamaan dari segi rekabentuk binaan dan pembuatan dalam penghasilan dindingnya dengan rumah adat Bugis yang berdindingkan kelarai . Berdasarkan tinjauan peribadi saya ke Sulawesi Selatan pada 6 hingga 9 Ogos 2010, rumah berdinding kelarai ini banyak ditemui di sepanjang perjalanan dari Makassar ke Tana Toraja. Nama Pulau Kemiri juga menurut pandangan saya mungkin terbit dari istilah kemiri yang menjadi sebutan orang Bugis Makassar. Istilah kemiri merujuk kepada buah keras yang menjadi rencah dalam masakan. Justeru saya membuat kesimpulan bahawa rumah berdinding kelarai dengan penggunaan bahan dari sumber alam seperti tepas (tepus), buluh dan sebagainya adalah sebahagian daripada akulturasi pengaruh budaya Bugis yang teradun dalam senibina rumah berdinding kelarai di Perak.

 

1 Komen »

  1. Hanya sebagai makluman, tuan rumah tersebut telah meninggal dunia pada 3 Oktober 2011. Isteri beliau masih tinggal di situ.

    Komen oleh Muammar Ishak — 28/12/2016 @ 12:29 pm | Balas


RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Tinggalkan komen

Create a free website or blog at WordPress.com.