Berbekalkan kamera digital tua
Muncung lensa ku tala tak tentu hala
Lalu…terhasillah getaran CAHAYA
SIRI KUNJUNGAN PER-1 (JUN 2009)
SIRI KUNJUNGAN KE-2 (SEPT. 2009)
SIRI KUNJUNGAN KE-3 (APRIL 2010)
Bagi mana-mana pihak atau individu yang berhajat memberi sumbangan mohon jasa baik untuk menghubungi talian 019-6972567 atau sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun 12-038-02-328220-1 (Bank Islam). 100% daripada hasil kutipan akan disalurkan terus ke tangan pucuk pimpinan Dayah Nurul Huda iaitu Tgk. Darmansyah Daud dalam siri kunjungan ke-4 akan datang. Mudah-mudahan sumbangan seikhlas hati daripada pihak saudara/saudari dapat meringankan beban saudara seagama kita di sana. Semoga ianya akan menjadi saham berkekalan sebagai bekalan menuju alam akhirat.
Tarikh: 07 Ogos 2010
Lokasi: Gowa, Sulawesi Selatan
Nama sebenar Sheikh Yusuf ialah Syekh al-Haj Yusuf bin Abdullah bin Abi Khairy al-Munjalawy al-Makassary. Almarhum lahir pada masa pemerintahan I Mangnga’rangi Daeng Manrabbiya Sultan Alauddin Raja Gowa ke XIV, 19 tahun setelah agama Islam menjadi agama rasmi kerajaan Gowa (Jumaat, 9 Nov 1607M). Almarhum adalah seorang Ulama, Sufi dan Pejuang Islam. Pernah hidup dalam buangan ke Cape Town dengan arahan penjajah Belanda. Di Cape Town dipandang mulia sebagai seorang yang mempunyai karamah sehingga makamnya dikenal sebagai makam keramat walaupun jasadnya telah dipindahkan ke Gowa. HAMKA, seorang tokoh dan sarjana Islam turut mengagumi almarhum termasuklah Nelson Mandela pernah mengeluarkan kenyatan memuji Syekh Yusuf sebagai “Putra Afrika, pejuang teladan kami” (Djamaluddin Aziz Paramma Dg. Djaga, 2007: 39)
Papan info ini terletak di bahagian kepala pintu menuju ke ruang dalam bangunan makam Sheikh Yusuf.
Makam dengan hiasan puncak seperti rekabentuk piramid ini terletak di sisi kanan kompleks makam Sheikh Yusuf.
Makam-makam lain yang terdapat di sekitar kompleks makam Sheikh Yusuf. Makam ini terletak di sisi kiri bertentangan dengan makam di atas.
Inilah makam Sheikh Yusuf yang kedudukannya bertentangan dengan pintu masuk. Keliling makam dipagar dengan besi yang bahagian atasnya dikelambukan kain kuning.
Batu nesan Sheikh Yusuf dari jarak dekat. Dalam foto ini ialah jurukunci yang memegang kunci makam. Beliau merupakan waris keturunan almarhum Sheikh Yusuf.
Di sisi kiri makam Sheikh Yusuf pula adalah makam isterinya iaitu almarhum Siti Daeng Nisanga.
Keindahan seni ukiran hasil pahatan pengukir di bahagian hujung kaki makam Siti Daeng Nisanga. Ukiran ini terserlah dengan cat keemasan di permukaan batunya.
Mari kita lihat lebih dekat batu nesan milik Siti Daeng Nisanga…Nampaknya nesan ini juga dicat dengan warna hitam lalu dikilatkan permukaan batunya.
“Syair pun awak nak jejak? Ingatkan jejak masjid tua untuk kaji mihrab dan mimbar je.” Inilah ayat-ayat pertanyaan bersifat keliru yang spontan keluar dari mulut yong (kakanda). Memang saya akui, bab berjalan ni memang dah semacam tradisi dalam keluarga. Dari sejak lahir ke dunia hingga berusia 17 tahun sahaja, saya telah 10 kali mengikut keluarga berpindah. Bertukar sekolah sejak dari alam sekolah rendah di tahun 1 hingga tamat tingkatan 5 sahaja sebanyak 7 kali (nak tahu kisah lebih lanjut, silalah berkunjung ke sanggar Diari Hidup). Masih segar dalam ingatan ayahanda membawa kami 8 beradik (adinda bongsu ke-9 belum lahir ketika itu) mengelilingi Semenanjung semasa cuti sekolah dengan menaiki van. Semasa itu saya berusia 12 tahun (1988). Bonda pula baru lepas tamat berpantang melahirkan adinda ke-8. Selama 7 hari kami sekeluarga berada di jalanan…berkunjung ke tempat-tempat bersejarah di setiap negeri. Sebelum maghrib menjelang, ayahanda mencari hotel di sepanjang laluan. Kira masa tu main redah aje mana-mana hotel yang masih kosong biliknya. Bukan macam sekarang yang mana tempahan boleh dibuat awal sama ada sebulan atau seminggu sebelum berangkat. Tapi, alhamdulillah…tak pernah pula kami tidur di dalam kenderaan. Lokasi perhentian kami sekeluarga adalah di masjid-masjid. Ya, agaknya disitulah bermulanya sesi singgah menyinggah ke masjid-masjid lama. Hal ini tidak saya sedari sebelumnya, tapi secara spontan menyedarinya ketika menaip struktur ayat terakhir di para pertama catatan ini.
Setelah panjang lebar memaparkan mukadimah pada para pertama, maka akan saya kongsikan pula catatan seteruskan. Kisah Menjejak Syair Behrang Hulu. Sebut tentang Behrang Hulu, bagi mereka yang pernah dan sering berkunjung ke situ akan membayangkan Sungai Bil atau Proton City. Saya pula mengatur perjalanan ke Behrang Hulu bukan dengan tujuan menuju ke dua lokasi tersebut. Tujuannya adalah menjejak puisi Melayu lama iaitu syair yang diberi nama Syair Behrang Hulu. Usaha pencarian ini adalah sebagai memenuhi hajat mantan pensyarah pembimbing saya semasa MA dulu iaitu Dr. Shaiful Bahri bin Md Radzi di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Fakulti Sains Sosial, UMK Bangi. “Harleny, awak pernah dengar tak Syair Behrang Hulu dan Syair Keramat Teluk Rubiah?” Itulah soalan yang diajukan kepada saya lebih sebulan yang lalu. Namun, baru beberapa hari yang lalu (Sabtu, 18 Sept. 2010) saya berkesempatan meluangkan waktu ke Behrang Hulu…
Kisah satu hari di hari raya
Siri jejak menjejak bermula
Pencarian bait syair lama
Di Behrang Hulu nama tempatnya
Serangkap pantun sebagai pembuka tirai cerita…siri jejak pencarian sebuah puisi Melayu lama. Spontan ilham menzahirkan sebuah pantun menjelma tatkala ada panggilan masuk ke telefon bimbit…ada urusan yang perlu disempurnakan di luar sana. Nampak gayanya setakat ini sahaja buat ketika ini. Bertemu kembali nanti…
Bersambung semula…
Pulang dari berkunjung ke rumah bonda saudara di sebelah ayahanda di Trolak, saya dan keluarga menghala pula ke arah pekan Slim. Konvoi 4 buah kenderaan dengan hajat seterusnya bertandang ke rumah sepupu kepada bonda. Entah bagaimana 3 buah kenderaan di hadapan kami hilang dari pandangan. Ingatkan mereka dah sampai dulu ke kediaman yang dituju…namun sebaik tiba di kawasan perumahan yang dituju tiada langsung kenderaan lain di situ. Lalu saya ambil telefon bimbit nak menelefon bertanya di mana mereka semua berada. Rupa-rupanya baru saya perasan yang ada pesanan masuk di telefon beberapa minit yang lalu mengatakan bahawa mereka mengubah haluan ke arah Slim Village untuk menziarahi nenda saudara (adinda kepada almarhum datuk). Terpaksalah saya berpatah semula beberapa kilometer menuju ke pekan Slim untuk mengambil simpang ke jalan Slim lama. Sepanjang melalui jalan ini, saya teringat akan pesanan Dr. Shaiful Bahri tentang pencarian Syair Behrang Hulu.
Sebelum melangkah pulang dari rumah nenda saudara yang berusia di awal 80-an, saya bertanya apakah dia pernah mendengar tentang syair yang dimaksudkan. Ketika itulah kakanda sulung saya mencelah seperti dialog pada baris permulaan catatan. Nenda sendiri terpinga-pinga kerana seumur hidupnya bermastautin sekian lama di situ, tidak pernah pula terdengar akan syair tentang Behrang Hulu. “Behrang Hulu lagi ke depan…cuba tanya orang kat situ,” saran nenda kepada saya. Perjalanan diteruskan sehinggalah saya terpandang akan masjid lama sebelum tiba di Behrang Hulu. Benarlah kata pepatah Melayu lama, jauh perjalanan luas pengalaman…ada juga yang berkata jauh perjalanan luas pandangan. Usaha nak jejak syair lama, terjejak masjid tua. Lalu saya berhenti seketika merakam foto senibina luar dan dalamnya. Kira siri jejak serampang dua mata…sebab alangkah ruginya andai khazanah lama dipandang hanya sebelah mata.
Di luar pintu serambi masjid, kelihatan 2 orang lelaki dalam usia awal 70-an sedang asyik bercerita. Lalu saya menyapa keduanya. Tidak sangka bahawa mereka adalah pengerusi dan setiausaha masjid yang sama…keduanya mantan guru besar rupanya. Soalan berkisar tentang penubuhan masjid sebagai pembuka kata-kata. Kemudian pertanyaan tentang syair pula diajukan kepada mereka. “Tak pernah pulak kami dengar Syair Behrang Hulu sepanjang hidup di sini.” Itulah jawapan yang diberikan salah seorang daripada mereka…jawapan yang sama dengan nenda saudara. Jawapan ini juga sama dengan jawapan yang diberikan Dr. Ahmad Suhaimi (pensyarah pembimbing sekarang yang merupakan anak jati Behrang). “Saya tak pernah dengar…kalau ada, saya pun nak.” Bagi mereka yang mengetahui betapa besarnya nilai falsafah dan pemikiran yang terkandung dalam puisi Melayu lama tak kira syair, pantun, gurindam, seloka dan sebagainya, syair lama sebegini amat dihargai penemuannya. Apa lagi jika bait puisi tersebut berkisar tentang tempat kelahiran, pasti punya keinginan yang kuat untuk mengetahui makna tersirat di sebalik bait puisi ciptaan.
Pertanyaan syair tentang Behrang Hulu akhirnya bertukar menjadi sesi bercerita. Saya hanya memasang telinga sambil tangan mencatat apa jua info menarik yang diperkatakan kedua sahabat tadi. Memang sejak kecil saya berminat membaca buku-buku berunsur mitos atau lagenda dalam kelompok sastera rakyat. Baik tradisi tulisan melalui teks bacaan mahupun tradisi lisan yang disampaikan melalui pertuturan dari mulut ke mulut yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Yang asyiknya pada hari tersebut, saya seolah-olah sedang duduk di hadapan penglipur lara. Berdasarkan penilaian saya selama 30 minit berkongsi cerita, pengerusi masjid tersebut sememangnya seorang pencinta budaya. Beliau sendiri pernah membaca dan turut memiliki teks Syair Siti Zubaidah dalam aksara jawi. “Pernah dengar tentang Lagenda Pinang Beribut?” Saya hanya menggeleng-gelengkan kepala apabila ditanya pengerusi masjid. Menurut beliau, ada seorang penglipur lara dikenali sebagai Pak Ali. Pak Ali inilah yang akan bercerita selama 3 malam berturut-turut tentang lagenda Pinang Beribut semasa hayatnya. Namun, setelah kembali ke rahmatullah, tiada lagi penglipur lara seumpama arwah di situ. Beliau sendiri pernah menyaksikan penglipur lara tersebut menyampaikan cerita. Apa yang menarik, sewaktu tiba babak sedih dalam penceritaan maka si penuturnya akan menangis teresak-esak. Begitu juga apabila tiba kepada babak pertarungan…si penutur cerita akan mempamerkan aksi bersilat seolah-olah sedang bertarung.
Dari kisah lagenda, masuk pula ke kisah Tok Gajah. Dikisahkan bagaimana hebatnya Tok Gajah sehingga mampu menumbangkan pohon bayas (nama saintifik oncosperma horidum) untuk mendapatkan umbutnya. Kisah ini telah disampaikan dari generasi terdahulu dan diwarisi hingga ke generasi sekarang. Ini kerana, pada suatu masa dahulu, hutan di perkampungan tersebut pernah menjadi laluan pasukan dari Pahang. Jadi, wujud cerita kononnya gelaran Tok Gajah terbit daripada kekuatan tokoh tersebut yang mana salah satunya mempunyai kekuatan menumbangkan pohon bayas dengan sekali tolak menggunakan tangan.
![]()
Pohon bayas dari laman www.utusan.com.my
Ada beberapa kisah lagi yang dikongsikan, namun cukuplah kisah di atas saya paparkan. Setelah 30 minit berbicara…saya pun memohon keizinan mengundur diri. Perjalanan diteruskan lagi sehinggalah ke Behrang Hulu. Singgah di sebuah rumah di pinggir jalan…saya cuba bertanya tuan rumah lokasi perpustakaan desa. “Di sini tak ada perpustakaan,” kata si tuan rumah. Setelah memaklumkan hajat pencarian, tuan rumah tadi mengesyorkan saya ke rumah ketua kampung yang terletak kira-kira 500 meter dari situ.
Dipendekkan cerita…tiba di kediaman ketua kampung Behrang Hulu, saya melangkah masuk ke ruang serambi rumah. Hajat pencarian tidak juga saya perolehi maklumatnya di situ. Ketua kampung yang berusia 69 tahun itu juga tidak pernah mendengar tentang syair yang saya maksudkan. Maklumat sampingan yang saya dapat pula adalah tentang bagaimana wujudnya nama Behrang Hulu. Menurut ketua kampung, di kawasan itu pada suatu masa dahulu terdapat banyak gajah. Gajah-gajah pada masa tersebut sering merosakkan tanaman dan bertindak ganas di situ. Lalu, diberikan nama Behrang merujuk kepada gajah yang naik berang. Begitulah kisahnya yang tak pernah saya ketahui sebelum ini walaupun kampung halaman sebelah bapa saya lokasinya tidak jauh dari Behrang Hulu ini. Behrang Hulu ini juga adalah laluan semasa saya belajar memandu suatu ketika dahulu, tapi tidak pernah saya ambil tahu akan asal usul namanya.
Memang dalam siri kali ini saya gagal menjejak syair Behrang Hulu, namun saya tidak kecewa kerana telah memperolehi perkongsian ilmu tentang cerita rakyat di Behrang Hulu. Mudah-mudahan saya akan menemui kejayaan dalam pencarian akan datang…atau info tentang syair yang dicari diperolehi hasil maklumat daripada tetamu yang bertandang ke sanggar ini. Mungkin pada masa itu nanti, ia hadir sendiri tanpa perlu saya mencarinya lagi…
Tarikh: 11 & 12 September 2010
Lokasi: Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang
Pada tanggal 11 dan 12 September 2010 yang lalu, seluruh ahli keluarga almarhum Husain bin Busu (cicit kepada almarhum Haji Mustafa Raja Kamala) telah berhimpun di Hotel Seri Malaysia bagi menghadiri program Hari Keluarga. Tajuk catatan di atas sengaja saya ketengahkan dengan harapan agar sekalian waris Haji Mustafa Raja Kamala dari bahagian jurai yang lain dapat mengenali keluarga saya yang bersusurgalurkan anakanda pertama Haji Mustafa Raja Kamala iaitu Muhammad Ali bin Haji Mustafa. Semoga dengan memaparkan tajuk catatan Hari Keluarga Waris Haji Mustafa Raja Kamala, dapat memudahkan laluan ahli keluarga dari susurgalur yang lain menjejak salasilah seterusnya menyambung semula tali silaturrahim dengan sekalian waris Haji Mustafa Raja Kamala yang masih ada. Ibarat sebuah pohon yang mempunyai ranting yang banyak cabangnya, maka mudah-mudahan setiap daripada cabang keluarga dapat mengenal antara satu sama lain di bawah satu salasilah keluarga.
Pada tahun ini, hari keluarga almarhum Husain bin Busu (datuk saya) telah dijalankan di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang. Program hari keluarga ini adalah acara tahunan atau adakalanya diadakan 2 tahun sekali…bergantung kepada kelapangan keluarga. Dana bagi merealisasikan program ini adalah hasil dari kutipan yuran bulanan (RM10) yang disumbangkan kepada Koperasi Husain dan Keluarga oleh ahli yang terdiri daripada anakanda dan anakanda menantu serta cucunda dan cucunda menantu almarhum Husain bin Busu. Koperasi keluarga ini telah ditubuhkan sejak dari tahun 1986 dan kini telah berusia 24 tahun. Pelbagai manfaat yang diperolehi dari penubuhan koperasi ini termasuklah menyalurkan sumbangan kepada anak-anak ahli yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi melalui Tabung Amanah Pendidikan.
Baiklah, setelah bercerita serba sedikit tentang koperasi keluarga…mari saya bawa tetamu semua menikmati laporan bergambar pada hari berlangsungnya program hari keluarga. Pelbagai acara telah dijalankan dalam menjayakan program hari keluarga pada tahun ini. Sebaik check in, semua ahli keluarga yang terdiri daripada generasi ke-5, ke-6 dan ke-7 waris Haji Mustafa Raja Kamala telah berhimpun di dalam bilik seminar Bagan 3 untuk sesi taklimat oleh penganjur program iaitu Pn. Hjh. Hasmah binti Husain (bonda saudara). Jam 4.30 petang, semua ahli keluarga menuju ke lokasi padang di luar perkarangan hotel untuk acara sukaneka yang dibahagikan kepada 4 kategori iaitu kategori veteran (terdiri daripada bonda dan ayahanda saudara yang merupakan anakanda almarhum Husain bin Busu), kategori dewasa yang telah berkahwin dan kategori dewasa yang masih bujang (terdiri daripada cucunda almarhum Husain bin Busu) dan kategori kanak-kanak (terdiri daripada cucunda yang masih kecil dan cicit almarhum Husain bin Busu). Acara sukaneka ini di uruskan sepenuhnya oleh urusetia hotel. Antara jenis permainan yang dijalankan adalah seperti paparan foto-foto di bawah.
Sebaik check in ke bilik masing-masing, semua ahli keluarga telah berhimpun di dalam bilik seminar Bagan 3.
Urusetia yang terdiri daripada cucunda Husain bin Busu. Mereka ini adalah sepupu saya (kecuali yang bertudung kelabu…adinda ke-8 saya). Mereka-mereka ini (termasuklah saya) adalah generasi ke-6 Haji Mustafa Raja Kamala.
Santai seketika di bawah khemah sebelum acara sukaneka bermula. Cuaca agak panas, jadi masing-masing cari tempat berteduh.
Sambil lepak-lepak, ayahanda membelah lemang…hmmm masing-masing rupanya menuju ke padang dengan membawa bekalan makanan. Rupanya ada yang membawa lemang, nasi impit, rendang, bihun dan kuih-muih dari bilik. Kesudahannya, acara pot luck berlangsung seketika sebelum acara sukaneka bermula. Penganjur program terpaksa pasrah sebab bab rezeki ni tak boleh ditolak…jadi, mahu tak mahu masing-masing jamah dahulu apa yang telah tersedia di hadapan mata.
Taklimat ringkas di tengah padang pun bermula…maka berkumpullah peserta kategori veteran (bonda dan ayahanda saudara bersama pasangan masing-masing) disertai kami peserta kategori dewasa yang telah berkahwin/ bujang. Masing-masing memasang telinga mendengar arahan urusetia sukaneka.
Acara pertama pun bermula…acara terompah gergasi kategori dewasa (bujang) dengan penyertaan 4 orang ahli.
Acara kedua pula…tarik buah kelapa gelung rotan bagi kategori dewasa (berkahwin). Nampak macam mudah nak tarik, tapi tak kena gaya…buah kelapa hanya bergerak setempat.
Acara seterusnya…jalan ala orang utan bagi kategori dewasa (berkahwin). Dalam acara ini, saya dan pasangan mendapat tempat ke-2. Ada juga la hadiah yang jadi tanda ingatan daripada tak menang apa-apa langsung. Buat sepupu yang lain, apa kata cuba lagi tahun depan…heh hehh.
Tak dapat main boling, main boling padang dengan buah kelapa sebagai bolanya pun jadi ler. Ni acara kategori veteran…moh kita lihat aksi pasangan bonda saudara saya. Pak we (gelaran ayahanda saudara sulung) dengan gaya bersahaja melontar buah kelapa dalam misi menumbangkan botol-botol 100 plus. “Rembat jangan tak rembat Yop!”
Acara berikutnya…kerusi berirama (Musical chair) bagi kategori dewasa (bujang). Nak hadiah punya pasal…berebut sambil mempamerkan aksi senggol-senggolan.
Acara bagi kategori kanak-kanak menyaksikan peserta muda ini memerah span yang dicelup dalam air ke dalam botol kosong. Peserta yang dapat mengisi air dengan penuh ke dalam botol bakal dinobatkan sebagai juara. Siapakah juaranya? Sudah tentulah anakanda saya…Nurul Afrina. Tahniah!
Sementara peserta kanak-kanak mengambil bahagian, bapa kepada kanak-kanak pula berlari-lari anak di tengah padang. Masing-masing mempamerkan aksi berlari-lari anak sambil cuba mengejar bola dalam usaha merembat bola masuk ke gawang. Memandangkan pergerakan bola lebih laju dari pergerakan kaki mereka, maka ada di kalangan peserta hanya menjadi pemain pasif dari bergerak secara aktif…sekian laporan dari unit sukan.
Untuk melatih anak-anak menyusun sepatu dengan baik, maka satu permainan di beri nama cari pasangan kasut dijalankan. Inilah aksi menggelabah yang dipamerkan anak-anak kecil bagi acara kategori kanak-kanak. Ada yang tersasul mengambil kasut/ selipar orang lain. Permainan ini juga sesuai bagi mereka yang sering tersilap atau mungkin sudah biasa menyarungkan selipar/ sandal/ kasut orang lain ke kaki sendiri semasa pulang dari mengerjakan solat jumaat di masjid/ surau…
Acara terakhir ialah mengutip gula-gula bagi kategori anak-anak berusia 4 tahun ke bawah. Tapi nampak gayanya, ada seorang kanak-kanak berusia 8 tahun turut serta dalam acara ini dengan alasan membantu mengutip gula-gula buat adiknya. Disebabkan ayahanda kanak-kanak tersebut yang membeli bungkusan gula-gula tersebut, maka saya dan ahli keluarga yang lain terpaksa memejam mata buat-buat tak nampak akan aksi mengelatnya itu…”Daniel…lain kali jangan mengelat ye?” heh hehhhhh
Pada sebelah malamnya, diadakan majlis tahlil arwah di ruang terbuka perkarangan hotel. Bacaan tahlil diketuai oleh saudara Zakirullah (adik ipar).
Empat pasangan dalam foto di atas adalah sepupu saya dengan pasangan serta anakanda masing-masing. Mereka 4 beradik adalah anakanda kepada mak we (gelaran bonda saudara sulung) saya. Kehadiran mereka menambah keceriaan program hari keluarga kerana riuh rendah mereka menggamatkan suasana. Tiga (3) daripada empat (4) beradik ini (Nurbaizurah: berdiri dua dari kiri, Ahmad Rizan: berdiri 2 dari kanan dan Huszairy: duduk 2 dari kanan) telah terbang dari Australia, Abu Dhabi dan Singapura demi menjayakan hari keluarga 2010.
Gelagat empat (4) orang daripada lima (5) beradik di atas pentas terbuka. Mereka ini adalah anakanda kepada kakanda sulung saya.
Sebelum sesi makan malam, kami semua bersepakat untuk mengabadikan foto keluarga. Sesi rakaman pertama dimulai oleh golongan veteran yang terdiri daripada bonda dan ayahanda saudara. Duduk dalam barisan hadapan kesemuanya (kecuali 5 dari kiri adalah nenda Jahrah) adalah anakanda almarhum Husain bin Busu manakala berdiri dalam barisan belakang adalah pasangan masing-masing.
Foto ini pula memaparkan wajah-wajah generasi ke-5 (bonda dan ayahanda saudara) bersama dengan anakanda dan anakanda menantu masing-masing yang terdiri daripada generasi ke-6 waris Haji Mustafa Raja Kamala.
Ini pula adalah rakaman foto keluarga besar almarhum Husain bin Busu. Alhamdulillah, program hari keluarga pada tahun ini dihadiri oleh kesemua anakanda, cucunda dan cicit almarhum kecuali 5 orang iaitu adinda bongsu saya Muhammad Akmal dan Nadiah Hanisah (sepupu) yang berada di Kaherah serta Muhammad Haikal (sepupu) di New Zealand. Ketiga-tiga mereka sedang dalam pengajian manakala 2 orang sepupu lagi iaitu Muhammad Fadzli dan Ahmad Zakir tidak dapat hadir kerana perlu menggalas tugas di hari Raya.
Acara yang ditunggu-tunggu telah bermula…selesai majlis tahlil, masing-masing meluru dengan sopannya ke meja jamuan BBQ dan beraneka menu lainnya. Walaupun lapar…masing-masing perlu bersabar berbaris dalam barisan seiring dengan penampilan. Al-maklumlah, setiap ahli keluarga diwajib mengenakan pakaian tradisional pada acara jamuan, jadi langkah haruslah diatur dengan tenang. Makanan yang disajikan memang membangkit selera… semuanya sedap. Syabas buat Mak Lang selaku penganjur program…pilihan menu memang menepati selera kami semua.
Dah selesai ambil nasi dan lauk pauk…mereka menuju pula ke meja yang menempatkan hidangan kek, puding, kuih tradisional, rojak dan buah-buahan.
Rojak buah yang disajikan memang ada ummphh…buktinya, lihat sahaja bagaimana ahli keluarga yang lain berkerumun bagaikan semut menghurung gula. Masing-masing menanti giliran untuk sesi cedok mencedok rojak masuk ke pinggan.
Wajah-wajah sepupu teruna…dah besar kome semua ye! Di kiri dan kanan adalah anakanda kepada asyu Noni (bonda saudara) dan di tengah pula anakanda asyu Noli (ayahanda saudara).
Selesai jamuan, semua ahli keluarga menuju ke bilik Bagan 3 untuk program seterusnya iaitu mesyuarat keluarga. Sebelum mesyuarat bermula, Pak Ngah (kiri) memberi laluan kepada nenda Jahrah (isteri almarhum Husain bin Busu) memperkatakan sesuatu kepada sekalian anakanda/anakanda menantu, cucunda/cucunda menantu yang hadir di bilik mesyuarat. Cucunda dan cicit lain yang masih bersekolah masing-masing dah masuk ke bilik hotel untuk sesi lelap mata. Setelah melafazkan ucapan, En. Abd Arif bin Abdullah (ayahanda) selaku pengerusi Koperasi Husain dan Keluarga Sesi 2008-2010 kemudiannya membentangkan minit mesyuarat dan penyata kewangan yuran koperasi, Tabung Amanah Pendidikan dan hal-hal lain.
Suasana sepi seketika di bilik Bagan 3. Kali ni tak boleh riuh-rendah sebab perlu menjaga etika menghadiri mesyuarat. Walaupun mesyuarat pada tahun ini dikendalikan secara lebih formal…namun, yang tak formalnya tetap ada. Agak-agak apa yang tak formalnya? Tu dia…bekalan makanan yang terhidang di hadapan ahli yang menghadiri mesyuarat apa cerita! Ni mesti ditapau dari jamuan BBQ tadi.
Apakah yang sedang difikirkan mereka? Sama ada mereka ini benar-benar menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang dibentangkan dalam sesi mesyuarat atau masing-masing dah mengantuk sebenarnya.
Inilah individu yang telah dipilih sebulat suara sebagai Ahli Jawatankuasa Koperasi Husain dan Keluarga bagi sesi 2010-2012. Dari kanan: En. Mukhtar bin Yaccob selaku pengerusi, En. Mohd Akhir bin Abd Arif selaku bendahari dan Puan Rusediana Asrina sebagai setiausaha. Bersedialah menggalas tugas yang diamanahkan ya…kami akan menyokong dan sentiasa memberi kerjasama kepada kalian bertiga.
Ini pula adalah paparan foto keesokan harinya pada program penyampaian hadiah di lokasi bilik yang sama iaitu bilik Bagan 3. Lihatlah gelagat mereka yang julung-julung kali dinobatkan sebagai salah seorang pemenang bagi acara kategori dewasa (berkahwin). Aksi sepupu lelaki yang memberi laluan khas kepada si isteri (mengangkat kedua belah tangan) dek kerana sangat teruja akan kemenangan mereka.
Gelagat mak lang (Hjh. Hasmah Husain) dan pasangannya ketika sesi penyampaian hadiah oleh mak we (Hjh. Raslah Husain) mencuit hati kami semua.
Acara penyampaian hadiah kemudiannya diteruskan pula dengan acara Rantaian Kasih. Dalam acara ini, ahli keluarga bertukar hadiah di antara satu sama lain secara undian. Gulungan kertas undi tertera nama setiap ahli koperasi dimasukkan ke dalam balang. Setiap ahli perlu mengambil gulungan kertas undi dan menuntut hadiah daripada individu yang namanya tertera pada kertas tersebut. Dalam foto di atas, sepupu saya iaitu Ahmad Zaidi (kiri) sedang menyerahkan hadiah kepada adinda ke-6 saya iaitu Mohd Akhir (kanan).
Dakapan kasih seorang anak…Asyu Noli (kiri) sedang memeluk erat nenda. Asyu adalah ayahanda saudara bongsu yang mempunyai pertalian adik-beradik dengan bonda saya. Almarhum Husain bin Busu mempunyai 7 orang anakanda (3 lelaki dan 4 perempuan) yang mana bonda saya adalah anak ke-2.
Sesi menyampaikan duit raya sebagai program penutup hari keluarga tahun ini. Adinda ke-7 saya, Salwa yang masih dalam pantang membawa bayi lelakinya kepada nenda Jahrah untuk menerima duit raya. Si kecil ini adalah cicit paling muda daripada 20 orang cicit setakat ini. Bakal menyusul 2 orang cicit lagi pada awal tahun hadapan.
Sekian…bertemu lagi pada program hari keluarga pada tahun berikutnya… = )
Tarikh kunjungan: 17 Julai 2010
Lokasi kunjungan: Istana Kenangan, Bukit Chandan
Istana Kenangan ini telah didirikan pada tahun 1926. Istana ini turut dikenali dengan nama Istana Lembah dan Istana Tepas. Istana ini dibina tanpa menggunakan sebarang paku logam. Pelan dari arah pandangan atas senibina lama ini mempunyai rekabentuk berkonsepkan rekabentuk sebilah pedang yang disimpan dalam sarungnya. Bahagian hulu pedang adalah ruang bilik peraduan Sultan manakala bahagian sarung keris pula adalah Balai Rong Seri Istana. Struktur bumbung istana ini bercirikan kombinasi pengaruh rekabentuk gaya perabung lima dan jenis perabung pisang sesikat. Bumbung yang asal pembuatannya adalah dari jenis kayu berlian.
Istana ini pada asalnya dibina sebagai tempat persemayaman sementara Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Shah (Marhum Kadasallah). Kini, senibina lama ini telah beralihfungsi menjadi Muzium Di Raja Perak yang mempamerkan sejarah kesultanan dan menyimpan alat-alat kebesaran negeri Perak. Senibina istana ini mempunyai persamaan dengan binaan Masjid Ihsaniah di Kuala Dal, Kuala Kangsar yang mana keduanya mempunyai dinding berkonsepkan kelarai (teknik anyaman).

Tarikh: 22 Ogos 2010
Lokasi: Kompleks Makam Sultan Abd Samad, Banting
Sesi ziarah ke kompleks makam ini tiada dalam perancangan sebelum saya melangkahkan kaki keluar dari rumah. Semasa kenderaan bergerak barulah saya memikirkan ke mana arah hendak dituju pada hari tersebut. Lalu keputusan pun diambil untuk meneruskan perjalanan ke Jugra, Banting untuk membuat tinjauan ke atas senibina Masjid Alaeddin. Namun, kesudahannya perjalanan saya dan keluarga terarah ke kompleks makam Sultan Abd. Samad pula. Inilah yang dikatakan bahawa kita hanya merancang, tetapi secara muktamadnya hanya Allah yang menentukan. Pasti ada hikmahnya saya hadir walaupun secara kebetulan di sini.
Al Marhum Sultan Abd Samad adalah rakan baik kepada Haji Mustafa Raja Kamala, penghulu pertama di Tanjung Malim (almarhum adalah moyang kepada arwah datuk saya dari sebelah ibu). Kisah persahabatan baginda Sultan dan Haji Mustafa Raja Kamala pernah diceritakan oleh salah seorang cicit almarhum Haji Mustafa. Almarhum Sultan bersama Haji Mustafa dikatakan mempunyai kebolehan melompat ke seberang sungai dengan sekali lompatan. Sungai Bernam di sempadan Perak dan Selangor pernah menjadi lokasi kedua mereka mempamerkan kebolehan masing-masing. Kisah tersebut turut tercatat dalam teks ilmiah (tesis) saya bertajuk Haji Mustafa Raja Kamala dan susurgalur jurai keturunannya (2004: 135)
Lorong menuju ke kompleks makam Almarhum Sultan Abd. Samad ini terletak di Jalan Makam, Banting.
Laluan menuju ke gerbang kompleks makam diteduhi rimbunan pepohon di sisi kiri dan kanan jalan.
Gerbang utama untuk masuk ke ruang dalam kompleks makam. Saya dan keluarga tiba sekitar jam 5.27 petang. Agak menghampakan apabila melihat pintu pagar berkunci. Namun, lebih kurang 5 minit meninjau-ninjau dari celah pagar…saya dimaklumkan oleh seorang lelaki berketurunan Cina yang kebetulan beriadah di situ bahawa ada satu lagi pagar kecil untuk masuk ke dalam kompleks makam. Sekiranya pagar tersebut tidak berkunci, maka tercapailah hajat saya untuk berziarah dan cerahlah juga peluang saya untuk merakam foto di kawasan dalamnya. Alhamdulillah, pagar kecil sebagai laluan alternatif hanya berselak tanpa dimanggakan. Justeru, dapatlah saya menjejakkan kaki untuk masuk ke perkarangan dalam kompleks makam.
Pandangan sisi kiri kompleks makam Almarhum Sultan Abd Samad. Di dalam binaan inilah disemadikan jasad almarhum.
Kompleks makam Sultan Abd Samad dari arah pandangan hadapan. Binaan kompleks makam dihiasi kubah berwarna emas ditengahnya dengan rekabentuk seperti potongan bawang.
Pintu berjeriji besi dengan ukiran kerawang berwarna emas adalah pintu masuk yang perlu dilalui untuk menuju ke ruang dalam pusara Almarhum Sultan Abd Samad.
Info ini berada di sisi kanan pintu masuk ke pusara Almarhum Sultan. Keterangan tertera butiran “Almarhum Sultan Abd. Samad mangkat pada hari Ahad 14 haribulan Ramadhan Sanah 1305 bersamaan 6 Februari tahun 1898 Masihi.” Al Marhum Sultan rupanya mangkat pada 14 Ramadhan dan secara kebetulan siri ziarah saya ke makam tersebut juga berlaku pada bulan puasa bagi umat Islam iaitu pada tanggal 12 Ramadhan bersamaan 22 Ogos 2010. Lagi 2 hari, maka genaplah 112 tahun mangkatnya Al Marhum Sultan.
Dari celah jeriji besi, saya cuba merakam foto pusara yang terletak di bahagian dalam…hasilnya tidak menghampakan. Seolah-olah saya berdiri dan merakam foto di ruang dalam makam pula.
Binaan ini pula berada di sisi kiri kompleks makam Almarhum Sultan Abd. Samad. Di dalam binaan ini terdapat deretan pusara waris almarhum.
Inilah susunan pusara yang berada dalam binaan seperti foto di atas. Pusara dengan simen bercat kuning (kedudukan ke-5 dari hadapan) adalah makam Al Marhumah Tunku Arfah binti Al Marhum Sultan Abd. Samad.
Ini pula adalah makam Tunku Ibnu Syah Ibni Al Marhum Sultan Abdul Samad yang mangkat pada tahun 1927.
**************************************************************************
Al Fatihah buat Al Marhum Sultan Abd. Samad dan sekalian warisnya…

dari laman http://media.photobucket.com
Mudah-mudahan selamat dalam perjalanan pergi dan pulang
ke kampung halaman…Amin.
Hampir sebulan saya tidak menjengah blog adinda bongsu…kali terakhir singgah di blognya sebelum saya berangkat ke Sulawesi Selatan 6 Ogos lalu. Kebetulan saya agak sibuk dalam tempoh sebulan ini kerana memberi tumpuan kepada pemurnian proposal untuk sesi pembentangan ke-2 selepas Hari Raya Aidilfitri nanti (InshaAllah penghujung September depan). Catatan ini adalah duplikasi catatan bertajuk PERIBADI dari sanggar adinda bongsu saya. Penulisan ini terkesan di hati, kerana intipatinya terkandung iktibar untuk mendidik peribadi. Justeru, saya kongsikan di sanggar ini untuk tatapan dan yang paling utama diamalkan dalam kehidupan seharian.
Catatan tersebut dihasilkan sehari sebelum adinda berangkat menunaikan umrah di Mekah. Di kala semua teman serumahnya (dikhabarkan semua teman serumahnya pulang ke Malaysia kecuali dirinya) pulang bercuti semester sekaligus menyambut hari lebaran bersama keluarga…kami semua di sini menyarankan agar tahun hadapan sahaja adinda pulang semasa cuti semester. Pasti pada mulanya adinda kami ini berjauh hati kerana inilah kali pertama dia bakal meraikan hari raya tanpa keluarga di sisi. Untuk memujuk hatinya, kakanda sulung memberi cadangan agar adinda menunaikan umrah. Cadangan tersebut dipersetujui kami semua.
“Adindaku Muhammad Akmal…bersyukurlah kerana ALLAH telah mengizinkan adinda menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah menjadi tetamuNYA. Alangkah bertuahnya adinda kerana dapat menjalani ibadah puasa pada 2 minggu akhir Ramadhan, melakukan solat tarawih dengan berkiblatkan kaabah di hadapan mata dan meraikan Hari Lebaran pada 2 minggu awal di bulan Syawal yang bakal menjelang.” Hari ini (07 Sept) genaplah 16 hari adinda bongsu berada di sana…membawa bekalan doa-doa daripada kami semua. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan segala laluan dari awal hinggalah ke hujung perjalanannya…Amin.
Muhammad Akmal bin Abd Arif berkata:
Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah, beberapa jam lagi penulis akan ke Alexandria, daerah yang mana kali ke-2 penulis akan ke sana. Pertama kali pergi untuk bermusafir, ziarah kubu Salahuddin, library, jalan2 tepi pantai…Tetapi perjalanan kali ke-2 ini bukan sekadar untuk bermusafir, ziarah kubu atau ke library, tetapi perjalanan untuk ziarah ke Baitullah, Makkah. Jangan salah sangka, tiada kaabah di Alex, tetapi penulis ke alex kerana depart dari airport Alex.

Semua orang yang beragama Islam semestinya mengakui Islam adalah agama yang sangat sempurna, syumul, terpuji dan macam2 lagi (kecuali orang munafik dan seangkatan dengannya). Tetapi, sejauh manakah kita memahami “Islam” sebagai seorang muslim yg berpandukan Al-quran dan Sunnah sebagai panduan hidup?
Kebanyakan atau mungkin segelintir berfikiran bahawa apabila disebut Islam atau Muslim maka apa yang dibayangkan adalah masjid, seorang yg berserban, berfikiran terkebelakang, seorang yg ‘alim, budak surau, skema, x open minded, jumud, org berjubah, x cool, x sporting dan lebih menakutkan Islam adalah satu perkara tidak boleh dicampur adukkan dengan kerja dan kehidupan seharian.
Sesungguhnya, Islam itu sangat cantik, tidak kira dimana kamu berada baik di daratan, lautan, udara, marikh ataupun di ruang angkasa.
Apa yang ingin penulis sampaikan disini adalah tentang keperibadian seorang yg muslim. Adakah anda rasa anda mempunyai peribadi seorang muslim seperti mana yang digariskan di dalam Al-Quran ataupun sunnah Rasulullah? Sesungguhnya akhlak Rasulullah seperti yg terkandung dalam Al-Quran.
“Rasulullah memiliki budi pekerti Al-Quran” – Riwayat Bukhari dan Muslim
Banyak sekali kita lihat seseorang itu berlebihan dalam satu perkara sehingga meninggalkan perkara yang lain. Sebagai contoh, mereka yang selalu mengerjakan solat berjemaah dan selalu berada pada saf yang pertama tetapi mengabaikan kebersihan mulutnya, atau pada badannya.
Ataupun seseorang yang solatnya khusyu’, tetapi tidak menjaga silaturrahim sesama jiran tetangga ataupun kerabatnya.
Ataupun juga seseorang yang sangat sopan, selalu bersedekah, selalu tersenyum, baik dengan tetangga, jujur, amanah, tetapi derhaka pada kedua ibu dan bapanya.
Mungkin juga dia taat pada kedua ibubapanya, tetapi buruk pergaulannya sesama orang, ataupun tidak pernah mengetahui tentang makan minum jirannya.
Mungkin juga seorang yang taat pada kedua ibu bapa, berbaik dengan orang disekeliling, akhlak baik, jujur, pembersih, tetapi dia zalim pada binatang.
Mungkin ada yang berkata dan tertanya-tanya apakah mungkin semua ini mampu untuk kita laksanakan?!
Sesungguhnya Rasulullah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak…dan inilah akhlak yg sebetul-betulnya patut ada pada seorang yang beriman.
Syahsiah muslim oleh Muhammad Ali Al-Hashimi… buku yg baru saya baca telah mengkelaskan beberapa keperibadian:
1. seorang muslim dengan tuhannya
2. seorang muslim dengan dirinya
3. seorang muslim dengan kedua orang tuanya
4. seorang muslim dengan isterinya
5. seorang muslim dengan anak2nya
6. seorng muslim dengan saudara2nya
7. seorang muslim dengan jirannya
8. seorang muslim dengan kawan2nya
9. seorang muslim dengan masyarakat.
Bersambung, dah xsempat, nak kemas2 barang2 dah, moga entri yg saya tulis ni memberi manfaat kepada semua.
Allah mengetahui yang lebih baik.
Tarikh: 07 Ogos 2010
Lokasi: Masjid Tua Katangka, Gowa
Masjid Katangka adalah masjid tertua di bahagian Sulawesi Selatan. Masjid ini didirikan setahun lebih awal daripada Masjid Tua Palopo di Kerajaan Luwu. Lokasi masjid ini terletak berdekatan dengan kompleks makam Sheikh Yusuf. Pengunjung boleh berjalan kaki dari kompleks makam menuju ke arah masjid tua ini.

Informasi yang kelihatan di papan peraga sebelum melangkah masuk ke bahagian dalam perkarangan masjid tua Katangka.
Bahagian hadapan dan sisi kiri masjid ini dipenuhi dengan makam-makam keluarga keturunan Raja Gowa.
Info tertera Mesjid Tertua di Sul-Sel (Sulawesi Selatan) ini terdapat pada permukaan dinding di sisi kanan sebelum melangkah melalui pintu masuk ke ruang dalam.
Keterangan lain yang turut terpapar pada permukaan dinding di hadapan pintu masuk utama.
Beduk lama yang seusia dengan masjid tua dipamerkan sebagai objek cagar budaya di bahagian hadapan serambi masjid.
Ruang dalam masjid yang sebahagiannya telah direnovasi. Bahagian permukaan dinding dan tiang telah dicat dengan warna putih.
Rekabentuk mihrab dan mimbar masjid tua Katangka dari arah hadapan. Bahan asal pembuatan mimbar adalah daripada kayu. Namun rekabentuk terdahulu telah dibaikpulih dengan penggunaan simen untuk mengukuhkan struktur mimbar asal.
Theme: Rubric. Blog di WordPress.com.