Jejak Mihrab & Mimbar

16/09/2010

Hari Keluarga Waris Haji Mustafa Raja Kamala

Filed under: Galeri — Harleny Abd Arif @ 6:47 pm

 

Tarikh: 11 & 12 September 2010
Lokasi: Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang

  

Pada tanggal 11 dan 12 September 2010 yang lalu, seluruh ahli keluarga almarhum Husain bin Busu (cicit kepada almarhum Haji Mustafa Raja Kamala) telah berhimpun di Hotel Seri Malaysia bagi menghadiri program Hari Keluarga. Tajuk catatan di atas sengaja saya ketengahkan dengan harapan agar sekalian waris Haji Mustafa Raja Kamala dari bahagian jurai yang lain dapat mengenali keluarga saya yang bersusurgalurkan anakanda pertama Haji Mustafa Raja Kamala iaitu Muhammad Ali bin Haji Mustafa. Semoga dengan memaparkan tajuk catatan Hari Keluarga Waris Haji Mustafa Raja Kamala, dapat memudahkan laluan ahli keluarga dari susurgalur yang lain menjejak salasilah seterusnya  menyambung semula tali silaturrahim dengan sekalian waris Haji Mustafa Raja Kamala yang masih ada. Ibarat sebuah pohon yang mempunyai ranting yang banyak cabangnya, maka mudah-mudahan setiap daripada cabang keluarga dapat mengenal antara satu sama lain di bawah satu salasilah keluarga.

Pada tahun ini, hari keluarga almarhum Husain bin Busu (datuk saya) telah dijalankan di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang. Program hari keluarga ini adalah acara tahunan atau adakalanya diadakan 2 tahun sekali…bergantung kepada kelapangan keluarga.  Dana bagi merealisasikan program ini adalah hasil dari kutipan yuran bulanan (RM10) yang disumbangkan kepada Koperasi Husain dan Keluarga oleh ahli yang terdiri daripada anakanda dan anakanda menantu serta cucunda dan cucunda menantu almarhum Husain bin Busu. Koperasi keluarga ini telah ditubuhkan sejak dari tahun 1986 dan kini telah berusia 24 tahun. Pelbagai manfaat yang diperolehi dari penubuhan koperasi ini termasuklah menyalurkan sumbangan kepada anak-anak ahli yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi melalui Tabung Amanah Pendidikan.

Baiklah, setelah bercerita serba sedikit tentang koperasi keluarga…mari saya bawa tetamu semua menikmati laporan bergambar pada hari berlangsungnya program hari keluarga. Pelbagai acara telah dijalankan dalam menjayakan program hari keluarga pada tahun ini. Sebaik check in, semua ahli keluarga yang terdiri daripada generasi ke-5, ke-6 dan ke-7 waris Haji Mustafa Raja Kamala telah berhimpun di dalam bilik seminar Bagan 3 untuk sesi taklimat oleh penganjur program iaitu Pn. Hjh. Hasmah binti Husain (bonda saudara). Jam 4.30 petang, semua ahli keluarga menuju ke lokasi padang  di luar perkarangan hotel untuk acara sukaneka yang dibahagikan kepada 4 kategori iaitu kategori veteran (terdiri daripada bonda dan ayahanda saudara yang merupakan anakanda almarhum Husain bin Busu), kategori dewasa yang telah berkahwin dan kategori dewasa yang masih bujang (terdiri daripada cucunda almarhum Husain bin Busu) dan kategori kanak-kanak (terdiri daripada cucunda yang masih kecil dan cicit almarhum Husain bin Busu). Acara sukaneka ini di uruskan sepenuhnya oleh urusetia hotel. Antara jenis permainan yang dijalankan adalah seperti paparan foto-foto di bawah.

 

Sebaik check in ke bilik masing-masing, semua ahli keluarga telah berhimpun di dalam bilik seminar Bagan 3.

 

Urusetia yang terdiri daripada cucunda Husain bin Busu. Mereka ini adalah sepupu saya (kecuali yang bertudung kelabu…adinda ke-8 saya). Mereka-mereka ini (termasuklah saya) adalah generasi ke-6 Haji Mustafa Raja Kamala.

 

Santai seketika di bawah khemah sebelum acara sukaneka bermula. Cuaca agak panas, jadi masing-masing cari tempat berteduh. 

 

Sambil lepak-lepak, ayahanda membelah lemang…hmmm masing-masing rupanya menuju ke padang dengan membawa bekalan makanan. Rupanya ada yang membawa lemang, nasi impit, rendang, bihun dan kuih-muih dari bilik. Kesudahannya, acara pot luck berlangsung seketika sebelum acara sukaneka bermula. Penganjur program terpaksa pasrah sebab bab rezeki ni tak boleh ditolak…jadi, mahu tak mahu masing-masing jamah dahulu apa yang telah tersedia di hadapan mata.

 

Taklimat ringkas di tengah padang pun bermula…maka berkumpullah peserta kategori veteran (bonda dan ayahanda saudara bersama pasangan masing-masing) disertai kami peserta kategori dewasa yang telah berkahwin/ bujang. Masing-masing memasang telinga mendengar arahan urusetia sukaneka. 

 

Acara pertama pun bermula…acara terompah gergasi kategori dewasa (bujang) dengan penyertaan 4 orang ahli.

 

Acara kedua pula…tarik buah kelapa gelung rotan bagi kategori dewasa (berkahwin). Nampak macam mudah nak tarik, tapi tak kena gaya…buah kelapa hanya bergerak setempat.

 

Acara seterusnya…jalan ala orang utan bagi kategori dewasa (berkahwin). Dalam acara ini, saya dan pasangan mendapat tempat ke-2. Ada juga la hadiah yang jadi tanda ingatan daripada tak menang apa-apa langsung. Buat sepupu yang lain, apa kata cuba lagi tahun depan…heh hehh.

 

Tak dapat main boling, main boling padang dengan buah kelapa sebagai bolanya pun jadi ler. Ni acara kategori veteran…moh kita lihat aksi pasangan bonda saudara saya. Pak we (gelaran ayahanda saudara sulung) dengan gaya bersahaja melontar buah kelapa dalam misi menumbangkan botol-botol 100 plus. “Rembat jangan tak rembat Yop!”

 

Acara berikutnya…kerusi berirama (Musical chair) bagi kategori dewasa (bujang). Nak hadiah punya pasal…berebut sambil mempamerkan aksi senggol-senggolan.

 

Acara bagi kategori kanak-kanak menyaksikan peserta muda ini memerah span yang dicelup dalam air ke dalam botol kosong. Peserta yang dapat mengisi air dengan penuh ke dalam botol bakal dinobatkan sebagai juara. Siapakah juaranya? Sudah tentulah anakanda saya…Nurul Afrina. Tahniah!

 

Sementara peserta kanak-kanak mengambil bahagian, bapa kepada kanak-kanak pula berlari-lari anak di tengah padang. Masing-masing mempamerkan aksi berlari-lari anak sambil cuba mengejar bola dalam usaha merembat bola masuk ke gawang. Memandangkan pergerakan bola lebih laju dari pergerakan kaki mereka, maka ada di kalangan peserta hanya menjadi pemain pasif dari bergerak secara aktif…sekian laporan dari unit sukan.

 

Untuk melatih anak-anak menyusun sepatu dengan baik, maka satu permainan di beri nama cari pasangan kasut dijalankan. Inilah aksi menggelabah yang dipamerkan anak-anak kecil bagi acara kategori kanak-kanak. Ada yang tersasul mengambil kasut/ selipar orang lain. Permainan ini juga sesuai bagi mereka yang sering tersilap atau mungkin sudah biasa menyarungkan selipar/ sandal/ kasut orang lain ke kaki sendiri semasa pulang dari mengerjakan solat jumaat di masjid/ surau…

 

Acara terakhir ialah mengutip gula-gula bagi kategori anak-anak berusia 4 tahun ke bawah. Tapi nampak gayanya, ada seorang kanak-kanak berusia 8 tahun turut serta dalam acara ini dengan alasan membantu mengutip gula-gula buat adiknya. Disebabkan ayahanda kanak-kanak tersebut yang membeli bungkusan gula-gula tersebut, maka saya dan ahli keluarga yang lain terpaksa memejam mata buat-buat tak nampak akan aksi mengelatnya itu…”Daniel…lain kali jangan mengelat ye?” heh hehhhhh 

 

Pada sebelah malamnya, diadakan majlis tahlil arwah di ruang terbuka perkarangan hotel. Bacaan tahlil diketuai oleh saudara Zakirullah (adik ipar). 

 

Empat pasangan dalam foto di atas adalah sepupu saya dengan pasangan serta anakanda masing-masing. Mereka 4 beradik adalah anakanda kepada mak we (gelaran bonda saudara sulung) saya. Kehadiran mereka menambah keceriaan program hari keluarga kerana riuh rendah mereka menggamatkan suasana. Tiga (3) daripada empat (4) beradik ini (Nurbaizurah: berdiri dua dari kiri, Ahmad Rizan: berdiri 2 dari kanan dan Huszairy: duduk 2 dari kanan) telah terbang dari Australia, Abu Dhabi dan Singapura demi menjayakan hari keluarga 2010.

 

Gelagat empat (4) orang daripada lima (5) beradik di atas pentas terbuka.  Mereka ini adalah anakanda kepada kakanda sulung saya.

 

Sebelum sesi makan malam, kami semua bersepakat untuk mengabadikan foto keluarga. Sesi rakaman pertama dimulai oleh golongan veteran yang terdiri daripada bonda dan ayahanda saudara. Duduk dalam barisan hadapan kesemuanya (kecuali 5 dari kiri adalah nenda Jahrah) adalah anakanda almarhum Husain bin Busu manakala berdiri dalam barisan belakang adalah pasangan masing-masing.

 

Foto ini pula memaparkan wajah-wajah generasi ke-5 (bonda dan ayahanda saudara) bersama dengan anakanda dan anakanda menantu masing-masing yang terdiri daripada generasi ke-6 waris Haji Mustafa Raja Kamala.

 

Ini pula adalah rakaman foto keluarga besar almarhum Husain bin Busu. Alhamdulillah, program hari keluarga pada tahun ini dihadiri oleh kesemua anakanda, cucunda dan cicit almarhum kecuali 5 orang iaitu adinda bongsu saya Muhammad Akmal dan Nadiah Hanisah (sepupu) yang berada di Kaherah serta Muhammad Haikal (sepupu) di New Zealand. Ketiga-tiga mereka sedang dalam pengajian manakala 2 orang sepupu lagi iaitu Muhammad Fadzli dan Ahmad Zakir tidak dapat hadir kerana perlu menggalas tugas di hari Raya.    

 

Acara yang ditunggu-tunggu telah bermula…selesai majlis tahlil, masing-masing meluru dengan sopannya ke meja jamuan BBQ dan beraneka menu lainnya. Walaupun lapar…masing-masing perlu bersabar berbaris dalam barisan seiring dengan penampilan. Al-maklumlah, setiap ahli keluarga diwajib mengenakan pakaian tradisional pada acara jamuan, jadi langkah haruslah diatur dengan tenang. Makanan yang disajikan memang membangkit selera… semuanya sedap. Syabas buat Mak Lang selaku penganjur program…pilihan menu memang menepati selera kami semua.

 

Dah selesai ambil nasi dan lauk pauk…mereka menuju pula ke meja yang menempatkan hidangan kek, puding, kuih tradisional, rojak dan buah-buahan.

 

Rojak buah yang disajikan memang ada ummphh…buktinya, lihat sahaja bagaimana ahli keluarga yang lain berkerumun bagaikan semut menghurung gula. Masing-masing menanti giliran untuk sesi cedok mencedok rojak masuk ke pinggan.

 

Wajah-wajah sepupu teruna…dah besar kome semua ye! Di kiri dan kanan adalah anakanda kepada asyu Noni (bonda saudara) dan di tengah pula anakanda asyu Noli (ayahanda saudara).

  

Selesai jamuan, semua ahli keluarga menuju ke bilik Bagan 3 untuk program seterusnya iaitu mesyuarat keluarga. Sebelum mesyuarat bermula, Pak Ngah (kiri) memberi laluan kepada nenda Jahrah (isteri almarhum Husain bin Busu) memperkatakan sesuatu kepada sekalian anakanda/anakanda menantu, cucunda/cucunda menantu yang hadir di bilik mesyuarat. Cucunda dan cicit lain yang masih bersekolah masing-masing dah masuk ke bilik hotel untuk sesi lelap mata. Setelah melafazkan ucapan, En. Abd Arif bin Abdullah (ayahanda) selaku pengerusi Koperasi Husain dan Keluarga Sesi 2008-2010 kemudiannya membentangkan minit mesyuarat dan penyata kewangan yuran koperasi, Tabung Amanah Pendidikan dan hal-hal lain.

 

Suasana sepi seketika di bilik Bagan 3. Kali ni tak boleh riuh-rendah sebab perlu menjaga etika menghadiri mesyuarat. Walaupun mesyuarat pada tahun ini dikendalikan secara lebih formal…namun, yang tak formalnya tetap ada. Agak-agak apa yang tak formalnya? Tu dia…bekalan makanan yang terhidang di hadapan ahli yang menghadiri mesyuarat apa cerita! Ni mesti ditapau dari jamuan BBQ tadi.

 

Apakah yang sedang difikirkan mereka? Sama ada mereka ini benar-benar menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang dibentangkan dalam sesi mesyuarat atau masing-masing dah mengantuk sebenarnya.

 

Inilah individu yang telah dipilih sebulat suara  sebagai Ahli Jawatankuasa Koperasi Husain dan Keluarga bagi sesi 2010-2012. Dari kanan: En. Mukhtar bin Yaccob selaku pengerusi, En. Mohd Akhir bin Abd Arif selaku bendahari dan Puan Rusediana Asrina sebagai setiausaha. Bersedialah menggalas tugas yang diamanahkan ya…kami akan menyokong dan sentiasa memberi kerjasama kepada kalian bertiga.

 

Ini pula adalah paparan foto keesokan harinya pada program penyampaian hadiah di lokasi bilik yang sama iaitu bilik Bagan 3. Lihatlah gelagat mereka yang julung-julung kali dinobatkan sebagai salah seorang pemenang bagi acara kategori dewasa (berkahwin). Aksi sepupu lelaki yang memberi laluan khas kepada si isteri (mengangkat kedua belah tangan) dek kerana sangat teruja akan kemenangan mereka.

 

Gelagat mak lang (Hjh. Hasmah Husain) dan pasangannya ketika sesi penyampaian hadiah oleh mak we (Hjh. Raslah Husain) mencuit hati kami semua.

 

Acara penyampaian hadiah kemudiannya diteruskan pula dengan acara Rantaian Kasih. Dalam acara ini, ahli keluarga bertukar hadiah di antara satu sama lain secara undian. Gulungan kertas undi tertera nama setiap ahli koperasi dimasukkan ke dalam balang. Setiap ahli perlu mengambil gulungan kertas undi dan menuntut hadiah daripada individu yang namanya tertera pada kertas tersebut. Dalam foto di atas, sepupu saya iaitu Ahmad Zaidi (kiri) sedang menyerahkan hadiah kepada adinda ke-6 saya iaitu Mohd Akhir (kanan).

 

Dakapan kasih seorang anak…Asyu Noli (kiri) sedang memeluk erat nenda. Asyu adalah ayahanda saudara bongsu yang mempunyai pertalian adik-beradik dengan bonda saya. Almarhum Husain bin Busu mempunyai 7 orang anakanda (3 lelaki dan 4 perempuan) yang mana bonda saya adalah anak ke-2.

 

Sesi menyampaikan duit raya sebagai program penutup hari keluarga tahun ini. Adinda ke-7 saya, Salwa yang masih dalam pantang membawa bayi lelakinya kepada nenda Jahrah untuk menerima duit raya. Si kecil ini adalah cicit paling muda daripada 20 orang cicit setakat ini. Bakal menyusul 2 orang cicit lagi pada awal tahun hadapan.

Sekian…bertemu lagi pada program hari keluarga pada tahun berikutnya… = )

 

About these ads

7 Komen »

  1. I love d families…..sayang semuanya :)

    Kekanda ku bernama Huszairy le bukan Ahmad Khuzairy hahahaha

    Komen oleh Sepupumu — 30/09/2010 @ 1:33 pm | Balas

    • Sepupuku…

      Maaf…nama kakandamu silap ejaan. Akan ku perbetulkan dengan segera…

      p/s: Maklumlah keluarga kita ni panggil nama masing2 dgn gelaran glamer. Kakandamu itu dari kecil ku panggil ‘abg Jerry’ dek kerana itulah tak pasti akan nama sebenarnya yg lebih formal itu.

      Komen oleh harlenyabdarif — 30/09/2010 @ 10:32 pm | Balas

  2. salam nyah!
    1st time masuk blog nyah!
    weheeeeeeeeeeeeeee!
    best dapat tgk gamba n laporan sume…hehehhee
    it makes me love my family (immediate & relatives) even more!
    alhamdullillah sume baik2 pakat & loving with each other ;D

    owh ofcourse tanpa kami 4 beradik sure tak gamat havoc n happening hari keluarga kan…heheehhe

    Komen oleh Verde — 30/09/2010 @ 1:38 pm | Balas

    • Wsalaam wa…

      Terima kasih kerana sudi masuk blog nyah (uargghhhhh!!! habih semua orang tau gelaran mesraku ‘nyah’).

      Yup! alhamdulillah dan syukur dapat berkumpul dlm acara tahunan mcm ni.

      Untuk AJK sesi 2010/2012…bersedialah dengan program Family Day thun berikutnya…Kasi mantap beb! heh hehh hehhhh

      Komen oleh harlenyabdarif — 30/09/2010 @ 10:27 pm | Balas

  3. salam.

    hohoho kak leny..
    ada blog rupanya…
    ni pun along (nadiah) yg bagitahu pasal laporan kat blog akak..
    kalau tak memang tak tahu menahu akak pny blog.

    best2!
    looking forward to other posts as well :)

    saya linkkan blog akak ke blog kami ye..
    weeeeeee~~

    Komen oleh syaimaa' — 07/10/2010 @ 3:33 pm | Balas

    • Wsalaam adik sepupu…

      Tak patut sungguh…kakanda mu yg nun jauh di Cairo terlebih dahulu baca laporan bergambar Hari Keluarga kat blog akak, Syaimaa’ yg dok kat sini baru tau…

      Silalah bertandang ke sanggar akak selalu… = )

      Komen oleh harlenyabdarif — 07/10/2010 @ 3:59 pm | Balas

  4. assalamualaikum…..sy Azrin dari keramat , kuala lumpur…ingin tahu lebih lanju tentangt susur galur keluarga hj mustafa b, raja kamala….harap saudara – saudara semua dapat membantu…..

    Komen oleh azrin — 07/01/2013 @ 7:41 pm | Balas


Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. URI Trackback

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

The Rubric Theme Blog di WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: