Jejak Mihrab & Mimbar

16/10/2010

Jejak Mihrab & Mimbar Berwajah Baru!

Filed under: Hebahan — Harleny Abd Arif @ 12:01 am

 

 

ASSALAMUALAIKUM

Kepada semua tetamu yang sering ataupun jarang-jarang bertandang, mahupun yang tanpa sengaja singgah lalu menjengah…

Dengan sukacitanya, saya ingin membuat hebahan kepada tetamu yang dihormati bahawa saya selaku Tuan Punya Blog Jejak Mihrab & Mimbar ini akan berpindah ke rumah baru. Rumah lama yang sedia ada ini (http://www.jejakmihrabmimbar.wordpress.com) bakal saya tinggalkan tanpa melupuskan segala harta berupa teks bertulis dan foto yang ada. Biarlah segala harta yang saya tinggalkan menjadi khazanah berharga yang kekal tersimpan di dalamnya.

Untuk makluman, rumah baru yang akan saya duduki nanti telah ditaja selama 1 tahun yang mana sewanya telah dilunaskan oleh saudara Sangilapi dari blog http://rezekimurah.com . Segala urusan perpindahan ke rumah baru beralamat di http://jejakmihrabmimbar.com pula telah dibantu oleh saudara Mijie dari blog http://muhammadtarmizi.com . Terima kasih yang tidak terhingga kepada kalian berdua.

Perpindahan saya ini diibaratkan seperti “cuci kaki” kerana semua keperluan telah tersedia di hadapan mata. Aktiviti harian di rumah baru akan berjalan seperti biasa. Cuma bulan pertama menjejakkan kaki ke tempat baru pastinya perjalanan aktiviti bergerak perlahan lantaran proses penyesuaian.  

Terima kasih juga kepada semua tetamu yang sudi meluangkan masa melayari info di dalam sanggar ini.

Entri baru akan dimuatkan dalam  http://jejakmihrabmimbar.com 

 

13/10/2010

Musalla Kampung Bukit

Filed under: Masjid-Masjid Tua di Semenanjung — Harleny Abd Arif @ 8:56 pm

 

Tarikh: 04 September 2010
Lokasi: Jalan Teluk Kumbar, Bayan Lepas

  

Siri jejak mihrab dan mimbar diteruskan menghala ke Utara Tanah Air. Kali ini tinjauan dijalankan di Musalla Kampung Bukit yang terletak di persimpangan Jalan Teluk Kumbar, Bayan Lepas.

  

Jam menunjukkan pukul 3.10 petang ketika saya melalui jambatan Pulau Pinang. Ambil peluang rakam foto pemandangan lautan, gunung dan awan yang melatari pandangan.

 

Laluan agak lancar semasa kenderaan melalui sepanjang jambatan Pulau Pinang. Namun, cuaca mula mendung seolah-olah memberi tanda bahawa hujan akan turun.

 

Tiang yang tinggi menjulang berdiri teguh bagaikan pasak jambatan.

 

Foto ini pula dirakam semasa berada di hujung jambatan Pulau Pinang.

  

Perjalanan diteruskan ke lokasi Musalla Kampung Bukit. Suatu masa dahulu, ianya pasti sebuah masjid. Cuma kini, masjid lama telah beralihfungsi menjadi surau.

  

Apa yang mengundang perhatian saya ialah ciri-ciri rekabentuk ukiran papan kepala cicak, papan cantik (tumpu kasau) dan buton yang terdapat pada bahagian bumbung.

 

Perhatikan mihrab pada tingkat atas musalla. Berdasarkan pemerhatian ke atas rekabentuk dan bahan pembuatan binaan mihrab, saya yakin bahawa ianya adalah ruang mihrab asal yang dikekalkan sehingga ke hari ini. Pada bahagian bawah juga terdapat binaan ruang mihrab yang baru dari kemasan jubin.

 

Pintu utama menuju ke ruang dalam tempat bersolat. Bahagian kepala pintu mempunyai rekabentuk yang telah dipermudahkan olahannya daripada motif kipas.

 

Tangga ini pula terdapat di sebelah kanan pintu masuk. Tangga ini perlu dilalui dari luar untuk menuju ke bahagian atas musalla.

11/10/2010

Masjid Kampung Seronok

Filed under: Masjid-Masjid Tua di Semenanjung — Harleny Abd Arif @ 10:27 pm

 

Tarikh: 04 September 2010
Lokasi: Kampung Seronok, Pulau Pinang

 

Senibina masjid Kampung Seronok ini mengundang perhatian saya semasa melalui jalan di hadapan masjid.

 

Senibina masjid Kampung Seronok dengan kombinasi warna biru (bumbung) dan putih (bangunan) dari arah pandangan hadapan.

 

Bahagian kepala pintu dengan rekebentuk seperti kipas. Motif kipas seperti ini turut didapati pada Musalla Kampung Bukit, Jalan Teluk Kumbar di Bayan Lepas yang dikunjungi sebelumnya, selain terdapat pada rekabentuk mimbar di beberapa buah masjid tua di Sungai Dua, Pulau Pinang .

 

Sisik naga di tulang perabung masjid menampilkan kelainan dengan buton sebagai pelengkap kepada hiasan bumbung.

 

Rekabentuk daripada unsur tumbuhan ini mengingatkan saya akan ragam hias mimbar masjid Teluk Memali dan mimbar Masjid Ahmadiah di Perak yang bercirikan pengaruh Bugis.

 

Hajat di hati hendak melihat lebih dekat rekabentuk mihrab, namun jemaah baru selesai menunaikan solat Asar dan masih berkumpul di bahagian dalam.

 

Masjid Kampung Seronok pernah memperolehi sijil penghargaan Anugerah Pengurusan Terbaik.

 

04/10/2010

Muzium Lukut

Filed under: Muzium — Harleny Abd Arif @ 10:14 pm

Tarikh: 14 Jun 2010
Lokasi: Muzium Lukut

 

Sejarah Lukut Sepintas Lalu…

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Lukut membawa maksud sejenis tumbuhan atau pohon renek. Pada awal abad ke-19, Lukut merupakan sebuah wilayah yang berasingan dari Selangor selain Kelang, Bernam dan beberapa tempat lain. Lukut pada asalnya didiami oleh Orang Laut yang menjalani kehidupan sebagai nelayan dan petani (bercucuk tanam).

Walaupun sejarah tidak begitu jelas tentang penguasaan Selangor terhadap Lukut, namun di bawah pemerintahan Sultan Salehuddin (Sultan Selangor yang per-1) sehinggalah ke pemerintahan Sultan Ahmad Shah (Sultan Selangor ke-3), Lukut adalah sebahagian daripada pengaruh penguasaan Selangor. Era pemerintahan Raja Bot merupakan permulaan era kemerosotan Lukut kerana terdapat pelbagai masalah yang dihadapi semasa pemerintahan baginda. Di antaranya adalah tuntutan wilayah Lukut oleh Sungai Ujong, penentangan Raja Sulaiman (Pembesar Sungai Raya), bebanan hutang yang semakin berat dan hasil pengeluaran biji timah yang semakin merosot.

Termeterainya Perjanjian Persempadanan Selangor – Sungai Ujong pada 31 Julai 1880, menandakan berakhirnya era pemerintahan pembesar Melayu di Lukut. Raja Bot menyerahkan Lukut kepada Sungai Ujong secara rasminya melalui perjanjian tersebut.

 

Bermulanya episod kunjungan ke Muzium Lukut…

 

Tanggal 14 Jun 2010 yang lalu saya telah berkunjung ke Muzium Lukut. Seperti biasa, kunjungan ke lokasi ini bukanlah agenda utama yang dirancang sebelum melangkah keluar dari rumah, sebaliknya adalah lawatan mengejut sebaik ternampak papan tanda tertera ‘Muzium Lukut.’ Saya dan keluarga sering melalui jalan lama menuju ke Seremban, namun sering ‘melepaskan peluang’ membuat kunjungan. Justeru keputusan mendadak untuk singgah telah dibuat setelah merasakan alangkah rugi sekiranya tidak melihat artifak yang ada sebagai mengenang sejarah Kota Lukut yang pernah mencapai kegemilangannya sejak dari pemerintahan Raja Jumaat bin Raja Jaafar (1847-1864).

 

Bangunan ini adalah galeri utama yang menempatkan Sejarah Kota Lukut. Galeri ini mempunyai beberapa segmen antaranya berkisar tentang Latar Belakang Sejarah Lukut, Kota Lukut Sebagai Kota Pertahanan, Lukut Pesat Ekonomi dan Pentadbiran, Lukut Dalam Aspek Politik, Laporan Kapten Macpherson dan Perlombongan Bijih Timah di Lukut. 

 

 Anak tangga menuju ke bahagian tingkat atas bangunan muzium.

 

Dari arah galeri utama Muzium Lukut, pengunjung boleh melihat dengan jelas Kota Lukut yang terletak di bahagian atas bukit.

 

Mini lanskap pancuran air di hadapan galeri mewujudkan suasana tenang dan damai.

 

Meriam Raja Jumaat (dari sisi atas) kedudukannya terletak di bahagian hadapan bangunan Muzium Lukut.

 

Meriam Raja Jumaat (dari sisi hadapan) dijadikan sebagai monumen di sisi kiri dan kanan di bahagian hadapan galeri.

 

Meriam tembaga ini dijumpai secara tidak sengaja pada tahun 1993 pada masa kerja-kerja survei arkeologi di Bambek Shoal, Port Dickson bagi mengenalpasti sebuah kapal British iaitu Caroline yang tenggelam pada tahun 1886. Pada 6 Ogos hingga 9 Disember 1995, ekskavasi menaikkan artifak Kapal Nassau termasuk meriam ini telah dilaksanakan pihak kerajaan Malaysia melalui Jabatan Muzium dan Antikuiti dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia dan beberapa agensi lain. (Sumber info: Pameran Kapal Nassau, Muzium Lukut)

 

Kelihatan dua ekor naga dengan bahagian kepala tanpa ekor sedang mengulum sebiji batu pada permukaan meriam tembaga (meriam di atas). Kedudukan meriam ini terletak di kaki bukit bertentangan dengan tangga menuju ke Kota Lukut.

 

Tangga ini perlu dilalui dan dinaiki oleh pengunjung untuk menuju ke Kota Lukut.

 

Pemandangan kehijauan alam yang dapat dinikmati dari atas Kota Lukut. Hanya perabung Muzium Lukut yang kelihatan.

 

ARTIFAK DI RUANG DALAM GALERI MUZIUM LUKUT 

 

 

Meriam Lela adalah senjata api tradisional Melayu yang diperbuat daripada tembaga. Ianya sejenis alat bedil mudah alih dan agak kecil saiznya.

 

Tempayan (kanan) dan martaban (kiri) digunakan sebagai tempat menyimpan air, makanan dan barangan pada masa zaman kegemilangan Lukut.

 

Alat menapis amang bijih ini adalah salah satu daripada peralatan yang digunakan untuk memproses bijih timah oleh para pelombong di Lukut pada suatu masa dahulu.

 

Alat ini pula dikenali sebagai bekas amang bijih. Ianya diperbuat daripada kayu keras. Fungsi alat ini adalah untuk menyimpan amang bijih yang telah diasingkan daripada bijih timah.

 

Theme: Rubric. Blog di WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.