Jejak Mihrab & Mimbar

06/07/2010

Sastera Rakyat

Filed under: Himpunan Esei Penulis — Harleny Abd Arif @ 11:14 pm

 

Sastera rakyat adalah sastera milik suatu kumpulan masyarakat yang diperturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain secara lisan (Abu Bakar Hamid, 1967: 20). Sastera rakyat merupakan satu bentuk tradisi lisan. Tradisi lisan membawa pengertian yang luas cakupannya meliputi bahan naratif dan bukan naratif. Sastera rakyat yang berbentuk cerita dikenali dengan cerita rakyat atau cerita lisan. Sastera rakyat yang berbentuk naratif ini terdiri daripada cerita-cerita lipur lara, cerita jenaka, cerita mitos, cerita lagenda, cerita teladan, cerita binatang dan sebagainya (Zalila Sharif dan Jamilah haji Ahmad, 1993: 78).

Penelitian yang dijalankan mendapati bahawa wujud suatu istilah lain dalam genre sastera rakyat yang digunakan oleh sarjana Barat. Istilah tersebut merujuk kepada istilah  personal narrative. Kajian terhadap personal narrative sering menjadi bahan kajian ilmiah para sarjana yang berminat dalam bidang ilmu folklore. Sandra K. D Stahl, seorang ahli antropologi Barat umpamanya, begitu cenderung terhadap bidang tersebut.

Berdasarkan penggolongan yang telah sedia ada, didapati tiada istilah khusus yang sesuai diaplikasikan untuk mengklasifikasikan jenis sastera rakyat berbentuk salasilah atau jurai keturunan. Di dalam membuat penelitian terhadap salasilah, cerita yang berkisar tentang pengalaman waris keturunan turut diteliti dan dikaji untuk mengetahui latar belakang dan kisah peribadi mereka. Terdapat beberapa perbezaan pandangan dari segi penggunaan istilah bagi mengklasifikasikan kumpulan kajian berkaitan pengalaman hidup.

Sandra Dolby Stahl telah memberi istilah khusus terhadap cerita yang berkisar tentang pengalaman peribadi seseorang. Istilah tersebut dikenali sebagai personal narrative (1989: 12). Beliau telah mengungkapkan personal narrative sebagai prosa lisan berhubung kait dengan pengalaman peribadi yang telah dilalui seseorang.

Antara jurnal yang pernah dihasilkan bertajuk Literary Folkloristics and the Personal Narrative dan The Personal Narrative As Folklore. Selain itu, minat yang mendalam terhadap ilmu folklore juga telah mendorong Joe Graham (1981), Keith Basso (1984) dan Paul Helas (1981) menjalankan penelitian terhadap kutipan pengalaman peribadi atau lebih dikenali sebagai personal narrative di dalam kajian mereka.

 

28/06/2010

Asimilasi Budaya dalam Senibina di Alam Melayu

Filed under: Himpunan Esei Penulis — Harleny Abd Arif @ 3:22 pm

  

Catatan ini akan menyentuh aspek ciri rekabentuk papan kepala cicak yang terdapat dalam senibina masjid tua khususnya dan rumah tradisional Melayu umumnya. Secara jujurnya, saya bukanlah seorang yang pakar dalam bidang sejarah senibina, namun berminat untuk mendalami bidang yang baru diteroka. Justeru saya amat mengalu-alukan perkongsian ilmu di sanggar ini. Segala teguran, pandangan dan cadangan didahului dengan ucapan terima kasih. 

 
Sumber foto:  wisatamelayu.com 

 

Keterangan Foto 

Masjid Agung Demak adalah masjid tertua yang menggunakan rekabentuk atap tumpang di Dunia Melayu-Nusantara. Sejarah membuktikan bahawa masyarakat Islam sudah ada di Demak ketika jatuhnya Kerajaan Majapahit. Sebahagian cerita mengatakan bahawa Masjid Demak ini didirikan oleh Wali Songo hanya dalam tempoh satu malam sahaja pada tahun 1401 (tahun saka) bersamaan dengan tahun 1479 M (Abdul Baqir Zein, 1999: 210). Tahun pembinaannya ditafsirkan oleh mereka dari gambar kura-kura yang terdapat pada mimbar masjid tersebut dan seperti yang tertera dalam Serat Babad Tanah Jawi. Mengapa wujudnya simbol kura-kura sedangkan motif berunsurkan haiwan diharamkan penggunaannya dalam ajaran Islam? Di sini jelas memperlihatkan bahawa budaya Cina telah meresap lalu berasimilasi dengan budaya lokal sehingga mempengaruhi senibina masjid tersebut.   

   

Kerajaan Demak Secara Ringkas

Demak adalah Kesultanan ketiga di Nusantara atau keempat di Asia Tenggara. Ibukota Demak berfungsi sebagai pusat pemerintahan dan pusat penyebaran agama Islam yang diprakarsai oleh para Wali (Wali Songo). Ketika orang Portugis datang ke Nusantara, Majapahit yang agung sudah tidak ada lagi. Menurut catatan pada tahun 1515, Kesultanan Bintoro sudah memiliki wilayah yang luas dari kawasan induknya dari barat hingga ke Cirebon. Pengaruh Demak terus meluas hingga meliputi Aceh yang dipelopori oleh Sheikh Maulana Ishak (Ayah Sunan Giri) diikuti Palembang, Jambi, Bangka yang dipelopori Adipati Aryo Damar (Ayah Tiri Raden Patah) yang berkedudukan di Palembang dan beberapa daerah di Kalimantan Selatan, Kotawaringin (Kalimantan Tengah). (Keterangan dipetik dari laman sesawang http://www.demakkab.go.id.)
                                                                     


Pengaruh Luar dalam Senibina Tempatan

Saya mulai catatan pada kali ini dengan paparan foto Masjid Agung Demak beserta keterangan Kerajaan Demak serba ringkas. Hal demikian bertujuan untuk mengaitkan ciri rekabentuk papan kepala cicak masjid tertua di Nusantara ini dengan ciri rekabentuk masjid di Acheh dan di Tanah Melayu (khususnya di negeri Perak). Rujuk ayat yang diberi penegasan (bold) seperti tertera di atas. Saya ulang semula iaitu, “Pengaruh Demak terus meluas hingga meliputi Aceh yang dipelopori oleh Sheikh Maulana Ishak (Ayah Sunan Giri).”

Kenyataan tersebut secara jelas membuktikan bahawa wilayah Acheh pernah menjadi pusat tumpuan para pendakwah yang datang dari Demak. Kewajarannya boleh diterimapakai berdasarkan ciri rekabentuk hiasan puncak Masjid Indrapuri di Aceh Besar yang turut mempunyai persamaan dengan rekabentuk  berkonsepkan atap tumpang Masjid Demak (Lihat foto 1a). Malah konsep rekabentuk hiasan puncak yang dimiliki dua masjid tersebut turut mempunyai persamaan dengan Masjid Tua Kampung Laut di Nilampuri, Kelantan (Lihat foto 1b).

Walaupun ketiga-tiga masjid ini didirikan dalam kurun waktu berbeza, namun ia menampilkan rekabentuk yang hampir sama. Persamaan ini wujud hasil adaptasi rekabentuk masjid terdahulu yang telah sedia ada lalu diaplikasi ke dalam rekabentuk masjid terkemudian daripadanya. Pengaruh senibina tersebut pula kemudiannya dibawa oleh para pendakwah dari luar yang berhijrah masuk ke Tanah Melayu. Ianya sejajar dengan kenyataan saudara Salleh Mohd. Akib, pengarang buku Masjid Tua Kampung Laut, “Adapun Masjid Tua Kampung Laut ini telah dibina oleh sekumpulan alim ulama yang sedang dalam perjalanan dari Champa menuju ke Tanah Jawa. Berkemungkinan besar mereka itu adalah seangkatan dengan kumpulan Wali Sembilan atau Wali Songo” (2003: 10).  

 

 
  Foto 1a: Masjid Indrapuri di Aceh Besar, Acheh 

  

 
Foto 1b : Masjid Kampung Laut di Nilampuri, Kelantan 

  

Keterangan ringkas tentang papan kepala cicak 

Papan kepala cicak terletak di bucu cucuran atap. Rekabentuk papan kepala cicak ini menjadi penyudah atau pelengkap kepada hiasan seni ukiran papan pator (tumpu kasau) atau papan meleh di hujung cucuran atap. Kebanyakan senibina masjid tua dan rumah tradisional di negeri Perak khususnya  mempunyai rekabentuk papan kepala cicak yang unik dan tersendiri. 

  

Mengapa dipanggil papan kepala cicak? 

Menurut Zulkifli Hanafi (2000: 6), istilah papan kepala cicak merujuk kepada papan berpola yang terletak pada bucu atap tempat tumpuan papan pator. Nama papan tersebut mungkin telah diilhamkan daripada seekor cicak yang mati terhimpit. Andaian tersebut berdasarkan habitat cicak yang mendiami bangunan dalam iklim panas lembab. Secara peribadinya, saya kurang bersetuju dengan konsep istilah “seekor cicak yang mati terhimpit.” Namun begitu, saya boleh menerima tanggapan bahawa bentuk kepala cicak telah dijadikan subjek kajian (subject matter) masyarakat Melayu lama dalam menamakan rekabentuk papan yang menjadi pelengkap kepada hiasan papan pator. Di sini memperlihatkan bahawa Masyarakat Melayu lama akrab dengan alam semulajadi sehinggakan unsur alam seperti flora dan fauna turut digunapakai dalam menamakan jenis bahagian pada bangunan lama.  

Contoh lain rekabentuk motif ukiran hasil adaptasi daripada unsur fauna adalah seperti itik pulang petang, ayam berlaga, badak mudik dan sebagainya. Unsur flora pula diilhamkan daripada sulur dan daun tumbuhan sehingga terhasilnya motif seperti tampuk manggis, bunga teratai, daun keladi, bunga sukun dan lain-lain. Begitu juga dengan unsur kosmos yang diterapkan dalam motif awan larat. Kesemua motif ini asalnya adalah bentuk rumit yang terdapat pada alam semulajadi lalu dipermudahkan bentuknya hasil olahan idea si pembuatnya.

Motif-motif inilah yang dijadikan pola hiasan papan ukiran yang menghiasi bahagian tertentu pada bangunan tradisional Melayu. Bahagian tersebut tertumpu pada bahagian seperti papan pator (tumpu kasau), papan meleh, papan kepala cicak, papan cantik yang menutup gelegar, papan kembung pada dinding, , papan layang pada tebar layar, jerejak dan lain-lain. 

Dalam penulisan ini, saya akan mengambil contoh satu bahagian iaitu papan kepala cicak. Seperti juga atap tumpang bertingkat masjid Demak, masjid Indrapuri dan masjid Kampung Laut yang  mempunyai persamaan dari segi rekabentuknya, penemuan yang sama turut dikesan pada rekabentuk papan kepala cicak. Berikut adalah beberapa contoh jenis rekabentuk papan kepala cicak yang terdapat pada bucu cucuran atap masjid tua di sekitar Kampung Gajah, Perak. Papan kepala cicak ini turut terdapat pada bucu cucuran atap masjid Demak.  

  

 
Masjid Al-Rahmaniah di Kampung Pasir Salak 

  

 
Masjid Tok Jabar di Kampung Teluk, Kampung Gajah 

  

 
Masjid Jamek (Lama) Kampung Tengah di Kampung Gajah 

  

 
Papan kepala cicak dari pandangan sisi
Masjid Teluk Memali di Kampung Gajah
 

  

 
Papan kepala cicak dari pandangan hadapan
Masjid Teluk Memali di Kampung Gajah
 

 

Sumber Foto dari laman lazacode.com

 Sumber foto: lazacode.com

 

Cicak Sebagai Simbol Perlambangan di Alam Melayu

Simbol cicak bukan sahaja digunapakai dalam senibina lama Masyarakat Melayu, malah penggunaannya turut dikesan dalam pantun, perumpamaan, lagu kanak-kanak dan sebagainya. Berikut adalah di antara ilham yang terbit daripada penggunaan nama cicak yang mencerminkan pemikiran masyarakat Melayu. Pemilihan nama cicak sebagai perlambangan bukanlah diujarkan tanpa ada ertinya, akan tetapi punya makna tersirat di sebaliknya.

Contoh pantun (nasihat/ pengajaran)

Limau bentan di tepi tingkap
Budak-budak melempar burung
Harimau di hutan lagi kutangkap
Inikan pula cicak mengkarung

Contoh perumpaan (kiasan/ sindiran)

Cicak kubin” menggambarkan orang yang terlalu kurus
Cicak makan kapur” bermaksud beroleh satu keaiban kerana kesalahan sendiri ataupun bersenang hati.

Contoh Lagu Kanak-Kanak (hiburan)

Cicak-cicak di dinding
Diam-diam melekat
Datang seekor nyamuk
Ngaap lalu ditangkap

 

Corak Pemikiran Bangsa Melayu

Corak hidup masyarakat dan bangsa Melayu pada zaman dahulu dicerminkan melalui puisi lama seperti pantun dan peribahasa. Za’ba di dalam bukunya bertajuk Ilmu Mengarang Melayu (1965: 219), mengatakan bahawa penciptaan pantun merupakan puisi tertua dan milik asal kepunyaan masyarakat Melayu. Telah diterima umum bahawa pantun adalah ciptaan asli orang Melayu. Ianya bukanlah adaptasi daripada puisi-puisi Jawa, India atau Cina. Ini bermakna, pantun merupakan puisi asli yang dimiliki oleh masyarakat Melayu serta paling awal muncul berbanding puisi yang lain (Harun Mat Piah, 1989: 122).

Masyarakat Melayu lama akrab dengan alam iaitu alam tumbuhan, alam haiwan dan alam cakerawala. Ini adalah disebabkan masyarakat pada masa tersebut sering berinteraksi dengan alam yang berada di sekeliling mereka sama ada di laut, di hutan, di bendang, di ladang dan di gunung. Harun Mat Piah (1989: 115) menjelaskan bahawa penggunaan lambang-lambang daripada alam raya perlu diketahui untuk memahami maksud pantun. Lantaran itulah pantun dikaitkan dengan alam semulajadi sebagai perbandingan dan perlambangan yang berfungsi sebagai sumber pengajaran dan nasihat.

Apa kaitannya pantun ini dengan bangsa Melayu? Pantun adalah salah satu daripada cabang seni dan budaya di Alam Melayu yang di dalamnya terakam intipati falsafah pemikiran pendukungnya (bangsa Melayu). Seperti juga pantun, perumpamaan, lagu kanak-kanak dan sebagainya, pemikiran bangsa Melayu ini dapat dikesan dengan melihat kepada ciri sesuatu rekabentuk yang boleh dilihat pada senibina lama (masjid, istana, rumah adat dan sebagainya).

 

Makna, Falsafah dan Fungsi Perlambangan Setiap Bangsa Berbeza

Walaupun penggunaan rupa dan bentuk subjek kajian (cicak) adalah sama, namun makna, falsafah dan fungsinya tetap berbeza lantaran corak berfikir sesuatu bangsa itu berbeza. Hal ini sejajar dengan kenyataan Seyyed Hossein Nasr (1993: 79-80) yang turut mengutarakan pandangan bahawa, “Alangkah bedanya antara candi Hindu Dasavatara dengan Masjid Delhi yang keduanya ada di India; atau candi-candi Romawi yang naturalistik dengan gereja-gereja Romaneska yang sama-sama ada di Italia.”

 

p/s: Untuk mengetahui lebih lanjut tentang intipati pemikiran bangsa Melayu, anda boleh mengunjungi sanggar Himpunan Esei Penulis di bawah tajuk  Intipati Falsafah Pemikiran Masyarakat Melayu di Sebalik Penciptaan Pantun Melayu kerana 2 perenggan terakhir dalam catatan ini isinya saya kutip dari esei tersebut.

 

02/03/2010

Fungsi dan Falsafah Rekabentuk Kubah

Filed under: Himpunan Esei Penulis — Harleny Abd Arif @ 4:22 pm

 

 

KUBAH punya banyak sejarah di sebaliknya. Kita harus kembali ke zaman 2000 sebelum masihi pada saat masyarakat China mula membuat sebuah kosmologi tentang bola langit. Setelah itu, masyarakat Yunani mulai berfikir bagaimana dunia ini terbentuk dan seperti apa bentuknya. Gambaran mereka  sama seperti masyarakat Cina yg menurut Plato dalam buku The Republic, iaitu sebuah bola yang besar dengan cincin berwarna seperti pelangi.  Masyarakat Romawi pula menggambarkan langit sebagai sebuah bola raksasa.

Perbezaan pandangan tersebut memperlihatkan bahawa bentuk kubah bukan menjadi hak cipta dalam senibina Islam kerana konsep rekabentuknya turut  digunapakai masyarakat atau tamadun lain di dunia. Kubah sebenarnya tidak sekadar memenuhi konsep dalam senibina Islam tetapi memenuhi keperluan  suasana ruang yang spiritual.

Justeru, dalam konsep senibina, kubah adalah elemen yg telah diidentifikasi sebagai sebahagian dari senibina Islam. Mengapa ianya menjadi elemen yang sangat penting dalam senibina Islam terutamanya Masjid? Kubah sebenarnya memiliki potensi untuk menjadi ruang yang secara akustik sangat luarbiasa kerana pada ruang yang mendatar, pantulan suara tidak akan menimbulkan gema.

Pada kubah, gema yang kedengaran akan menjadi seolah2 berlebihan. Ini akan menjadi luarbiasa sekali jika kita berada di ruang2 masjid atau gereja kerana kita seolah-olah mendengar suara bukan daripada seorang manusia tetapi dari sesuatu yang ghaib. Itulah sebabnya, banyak senibina pada abad pertengahan baik masjid atau gereja menggunakan rekabentuk kubah.

Tentu sahaja kubah adalah sebahagian dari usaha arkitek untuk memberikan pengalaman ruang yang jauh lebih istimewa. Pengalaman ruang adalah kata kunci bagi senibina kerana ruang amat penting dlm senibina sebagaimana warna itu penting bagi seorang pelukis. Secara kesimpulannya, dapatlah dinyatakan bahawa rekabentuk kubah sebenarnya memenuhi fungsi tersendiri dalam konsep senibina.

Namun, hanya falsafah yang membezakan antara senibina kubah di masjid dengan kubah di gereja. Ini sejajar dengan pandangan Seyyed Hossein Nasr (1993: 79-80) bahawa, “Alangkah bedanya antara candi Hindu Dasavatara dengan Masjid Delhi yang keduanya ada di India; atau candi-candi Romawi yang naturalistik dengan gereja-gereja Romaneska yang sama-sama ada di Italia.”

Tidak dinafikan wujudnya adaptasi bentuk tertentu dalam senibina masjid mahupun gereja. Namun, bentuknya telah ditransformasi secara  lebih sempurna yang membawa makna dan nilai berbeza bagi pendukungnya. Meskipun menggunakan media, bahan dan teknik yang sama dengan apa yang digunakan dalam pembuatan kuil dan gereja, peranan masjid tetap berbeza.

Ciri persamaan terhadap rekabentuk kubah yang wujud di antara sesebuah masjid dengan hiasan puncak kuil, candi atau gereja adalah hasil asimilasi budaya atau tamadun yang diadaptasi ke atas senibina Islam. Lihat contoh senibina Masjid Cheng Hoo di Surabaya yang hiasan puncaknya mirip rekabentuk sebuah pagoda. Hal demikian adalalah disebabkan oleh adaptasi pengaruh budaya senibina China yang teradun di dalamnya.

 

© masé

23/02/2010

Puji-Pujian Terhadap Rasulullah Menjelma dalam Genre Sastera, Khususnya Puisi. Pembicaraannya Merangkumi Pelbagai Aspek Kehidupan Baginda

Filed under: Himpunan Esei Penulis — Harleny Abd Arif @ 3:46 pm

 

Kekuatan politik Nabi Muhammad telah menjadi kuat apabila umat Islam berjaya mengalahkan orang Quraisy dan menakluk kota Mekah pada tahun 629 Masihi. Dengan kejatuhan Kota Mekah, penyair-penyair Arab yang mencaci agama Islam dan menghina Nabi Muhammad dalam puisi mereka merasa gentar dan mulai khuatir tentang hukuman yang bakal diterima. Dengan perubahan politik tersebut, penyair-penyair Arab mulai mengubah sikap mereka dan juga tema-tema puisi yang diciptakan. 

Hj. Zainal Arifin Abbas dalam bukunya bertajuk  Peri Hidup Muhammad Rasulullah S.A.W (1969: 28) menerangkan bahawa, satu, dua, atau tiga bait syair yang dapat memberika pujian yang tinggi kepada seorang pembesar dapat menjadikan seseorang itu dipandang mulia dan membuka ruang untuk hidup lebih senang. Sebaliknya, satu, dua atau tiga bait syair yang dikesan menghina para pembesar, khalifah ataupun amir-amir dapat mencelakakan penyairnya. Justeru, bukan sedikit leher penyair yang dipenggal kerana syair gubahan mereka. 

Sebagaimana diketahui, kedudukan syair dalam masyarakat Arab sangat berpengaruh sekali, terutama dalam mensasarkan suatu perjuangan termasuk perjuangan menegakkan agama Islam. Sikap Rasulullah terhadap puisi umpamanya sangat menggalakkan kerana tindak tanduk Baginda sendiri mencerminkan kegemaran Baginda terhadap puisi-puisi bermutu. 

Pernah dikisahkan dalam suatu perjalanan bersama seorang sahabat, Rasulullah S.A.W. telah meminta sahabat baginda mendeklamasikan puisi gubahan Umaiyah bin Abi al-Salt, seorang penyair praIslam. Apabila sahabat Baginda berhenti bersyair, Rasulullah S.A.W. meminta sahabat tersebut menyambung semula sehingga ke seratus baris. Setelah selesai puisi tersebut dideklamasikan, Rasulullah bersabda bahawa di dalam puisi itu, Umaiyah bin Abi al-Salt hampir menjadi seorang Muslim. 

Kegemaran Rasulullah S.A.W. terhadap puisi terserlah apabila Baginda menggunakan tenaga beberapa penyair Muslim untuk membantu menentang musuh Islam. Antara penyair-penyair tersebut ialah Hassan bin Thabit, Ka’b bin Malik dan Abdullah bin Rawahah. 

Hassan bin Thabit dikenali sebagai penyair yang mula-mula mempelopori tradisi puisi memuji Rasulullah S.A.W. Lantaran itu, beliau telah dilantik dan diberi kepercayaan selaku penyair peribadi Baginda dalam usaha menangkis sindiran dan kecaman penyair-penyair musyirikin. 

Rasulullah pernah berdoa kepada Allah yang khusus ditujukan kepada Hassan bin Thabit iaitu, “Ya Allah tetapkanlah dan kuatkanlah Hassan dengan Ruhul Kudus.” Menurut keterangan seorang sahabat Nabi iaitu Abu Hurairah bahawa, yang dimaksudkan Ruhul Kudus ialah malaikat Jibril. 

Syair yang dihasilkan oleh Hassan ke arah membela dan mempertahankan Rasulullah dari menjadi mangsa ejekan dan penghinaan orang kafir Quraisy terutamanya dalam menangkis penyair-penyair yang terdiri daripada kaum musyirikin. Dalam peristiwa perang Badar, Hassan telah membela Nabi dari serangan syair kaum musyirikin yang menghina Baginda dan ajaran agama yang dibawa oleh Baginda. Namun begitu, Hassan dapat membalas segala syair mereka secara spontan. 

Rasulullah pernah berkata kepada Hassan iaitu, “Ejeklah mereka hai Hassan dan Jibril sertamu.” Hal demikian diperjelaskan lagi oleh Abul Faradj al Isfihany di dalam kitabnya bertajuk Al A-Ghany yang mengatakan bahawa Jibril telah menolong Hassan dengan tujuh puluh bait syair memuji Rasulullah S.A.W. 

Sebagaimana yang diketahui, bukan mudah menggubah syair apatah lagi untuk membela Nabi dari serangan dan ejekan-ejekan musuh yang demikian banyak dapat dilakukan secara spontan dalam keadaan suasana huru-hara peperangan. Namun begitu, Hassan dengan mudah dapat menggubah tujuh puluh bait syair sekaligus dengan pertolongan malaikat Jibril bagi membela dan mempertahankan kemuliaan dan kebenaran ajaran Rasulullah. 

Menurut riwayat Imam Abu Daud dari Ummul Mu’minin Aisyah r.a, Rasulullah telah mengadakan suatu tempat khas di mimbar Baginda di Madinah bagi Hassan bersyair dengan tujuan membalas penghinaan  sekalian musuh yang memomokkan Baginda dan agama Allah. 

Menurut riwayat Ummul Mu’minin Aisyah r.a, beliau telah mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Itulah dinding antara kita dan orang Munafik, tidak ada yang mencintai Hassan melainkan orang yang beriman dan tidak ada yang membencinya melainkan orang yang munafik.” 

Puisi puji-pujian terhadap Rasulullah banyak digubah oleh para penyair. Dalam buku yang diselenggarakan oleh Haji Muhammad Bukhari Lubis dan Hamidah Osman bertajuk Rasulullah dalam Puisi, sejumlah 79 antologi puisi dihimpunkan. Puisi tersebut menyentuh tentang kehidupan dan keperibadian Rasul Junjungan. Dalam kesusasteraan Arab, puisi-puisi yang mengandungi pujian dan sanjungan untuk Rasulullah S.A.W. digelar al-Mada’ih al-Nabawiyah. 

Puji-pujian dan sanjungan tersebut umpamanya dapat dihayati dalam puisi berikut yang menggambarkan keadaan sebelum kelahiran dan keadaan sesudah kelahiran nabi Muhammad, Rasul yang memimpin umat manusia. 

Kelahiran Muhammad
(12 Rabiulawal)
 

Ketika langit biru diliputi awan hitam
kelam segalanya, tiada cahaya di sana menyinar
manusia meraba-raba, kegelapan mencari sinar terang
semua huru hara tiada punya ketentuan.
 

Demikian nasib murba hidup di maya pada
sebelum Muhammad pemandu Islam lahir ke dunia
ketika itu nasib murba hidup dalam
kepincangan – kejahilan dan ketakutan
tiada lagi iktikad segalanya tiada punya pegangan.
 

Di sana tindas-menindas berjalan berleluasa
membunuh – merampas – menceroboh sudah menjadi kebiasaan
bumi sentiasa mengalir dari darah yang tumpah
hanya bagi si gagah – kuat hidup penuh kemenangan
bagi manusia lemah sentiasa duduk penuh ketakutan.
 

Tapi, di saat akhir peredaran zaman
lahirlah Muhammad, pemimpin sejati
Pesuruh Allah
membawa obor menyuluh nyata penegak kebenaran
memimpin manusia dari serba keruntuhan
berakhirlah terkubur tragedi – buat abadi
dan bersinarlah Islam terang-menerangi
di serata pelosok – di seluruh alam.
 

Kini detik lahirnya Muhammad menjelang
umat Islam menyambut sejarahnya – penuh kesyukuran.
 

Berikut adalah puisi Asha’ari Mohamad yang mengagungkan Rasulullah S.A.W. sebagai pahlawan yang berjiwa kental dan berjasa pada agama dan seluruh umat manusia. 

Pahlawan Agama

Di masa budi hancur punah
di waktu islam hancur musnah
aku terkenang hai nabi yang membawa hidayah
pahlawan agama yang gagah
pembawa undang-undang yang indah
pembanteras agama yang salah
pemimpin umat yang berjasa
handal pendekar lagi perkasa.
 

Dengan ilmumu yang tajam
dapat memusnah musuh yang kejam
biar musuh memutih di bumi
namun undur tidak sekali
sungguh kamu berhati kota dan bersemangat besi waja
aku mengaku engkaulah pesuruh Allah yang dicinta
seolah-olah  bayanganmu terbayang-bayang di ruang mata.
 

Sejarah tetap menjamin
jasamu pasti menjadi cermin
dan obor kepada semesta yang sedang
mengidam-ngidamkan negara sentosa
dua panduan yang disedia
sebagai peninggalanmu yang berharga
untuk dijadikan undang-undang dunia
supaya dunia aman sentosa bahagia.
 

Rasulullah serta sahabat dan kaum muslimin telah menghadapi peperangan berkali-kali dalam gerakan membela dan menegakkan agama Allah. Angkatan perang tersebut diatur oleh Nabi dengan teratur secara berpasukan. Setiap pasukan ada panglimanya dan tidak ketinggalan juga benderanya. 

Bendera yang mula-mula dikibarkan adalah bendera Abdullah bin Jahsy. Terdapat juga bendera yang berwarna hitam ditengahnya dengan rupa bulan sabit berwarna putih. Bendera tersebut dipakai oleh Saad bin Malik El Azddie. 

Rasulullah pula memiliki bendera yang berwarna putih dan kuning. Selain itu, Baginda turut memiliki sebuah bendera digelar El Uqab yang bermaksud Rajawali. Bendera tersebut dihasilkan dari bulu yang berwarna hitam tertulis kalimah La Ilaa ha Illallah, Muhammad Rasulullah

Dalam mempersiapkan pasukan ketenteraan untuk menghadapi peperangan, Baginda memiliki alat perang dan kenderaan yang banyak. Setiap satu diberi nama tersendiri. Salah satu daripada jenis alat tersebut ialah lapan buah pedang. Pedang-pedang tersebut mempunyai nama-nama tertentu iaitu Ma’thur, A’dhab, Dzulfiqar, Qala’iy, Battar, Makhdzan, Qadhib dan sebagainya. 

Selain itu, Baginda turut memilik tujuh baju besi sebagai perisai yang diberi nama tertentu seperti Dzatul Fudhul, Sughdiyah, Khirniq dan lain-lain. Baginda juga memiliki enam buah anak panah yang antaranya diberi nama Zauraa, Rauha’, Katum dan Sadad serta empat buah tombak iaitu Rutswiy dan Mutatsanniy. 

Untuk maju ke medan peperangan, Rasulullah mempunyai sembilan belas ekor kuda. Antaranya bernama Sakb yang sangat kencang larinya, Tsarb yang tegap anggotanya, Sahah yang bagus larinya dan lain-lainnya. 

Sungguhpun persiapan ketenteraan Baginda lengkap dengan segala peralatan dan kenderaan, namun kesemua alat tersebut digerakkan oleh keimanan yang kental terhadap pembelaan agama Allah. Alat-alat tersebut hanyalah sebagai pertahanan untuk membela diri dan kaum muslimin ke arah memperjuangkan Islam dan bukannya untuk tujuan merentap nyawa manusia sewenang-wenangnya. 

Kelengkapan peralatan Rasululllah S.A.W. dalam menghadapi peperangan di medan pertempuran, jelas memperlihatkan ciri-ciri kepimpinan Baginda sebagai pahlawan agama berdisiplin, gagah dan berani. Jasa dan pengorbanan Baginda dalam menegakkan syiar Islam terpahat utuh dalam sejarah Islam sebagai pemimpin umat yang berjasa. 

Puisi bertajuk Pahlawan Agama hasil nukilan Asha’ari Mohamad cuba mengungkapkan puji-pujian terhadap kehebatan dan keunggulan Rasulullah S.A.W. sebagai wira dan pejuang umat islam ulung yang unggul. 

Aminah binti Wahab, semasa hampir menghembuskan nafas yang terakhir sempat memperdengarkan senukilan sajak kepada anakandanya Muhammad. Pada masa tersebut, Nabi berusia enam tahun dan sedang bermain-main di sisi bondanya. Berikut adalah nukilan sajak yang diilhamkan oleh Aminah 

Wahai anakku Muhammad

Allah melimpahkan berkah
pada engkau,
Wahai anak dari Ibu,
yang sedang menghadapi maut.
Engkau,
diutuskan oleh Allah kepada manusia,
dalam lingkungan halal dan haram,
Engkau dibangkitkan Allah
membawa tauhid dan Iman
agama nenek engkau Ibrahim.
Allah melarang engkau
Tak boleh mendekati berhala,
jangan bersama golongan itu.
 

                         (Nawawi Duski, 1974: 4)
  

Dalam sajak yang disampaikan kepada Muhammad, bondanya berpesan supaya menjauhi penyembahan berhala. Seperti diketahui, pada zaman sebelum kedatangan Islam iaitu zaman Jahiliyah, masyarakat Arab memuja dan menyembah berhala-berhala yang diperbuat daripada batu. Berhala-berhala tersebut ditempatkan di sekeliling Kaabah. Setiap kabilah mempunyai berhala mereka sendiri. Di dalam Kaabah tersebut terdapat tiga ratus enam puluh berhala yang mana berhala yang paling penting ialah Hubal, Latta dan Uzza

Sajak tersebut merupakan wasiat bonda Rasulullah S.A.W. sebelum menghembuskan nafas terakhir. Dimulai dengan kata-kata pujian “Allah melimpahkan berkah pada engkau,” memperjelaskan bahawa anak kecil bernama Muhammad merupakan insan istimewa pilihan Allah. Baginda adalah utusan Allah yang diamanahkan untuk menegak kalimah Ilahi di muka bumi. 

Sebagaimana Aminah meninggalkan amanat di ambang kematiannya, Rasulullah S.A.W. pada saat akhirnya hayatnya, turut menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum muslimin. Pada masa tersebut, Baginda sedang mengerjakan ibadah haji yang terakhir pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijrah, di Lembah Uranah, Bukit Arafah. Di antara isi dari khutbah akhir tersebut, Rasulullah S.A.W. telah melafazkan kesaksiannya: 

 Aku bersaksi bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba Allah dan pesuruhNya. Aku berpesan berwasiat kepada kamu wahai sekalian hamba Allah, hendaklah kamu sentiasa bertakwa kepada Allah dan taat kepadaNya. 

Amanat terakhir yang disampaikan oleh Baginda hendaklah diikuti dan ditaati oleh umat manusia bagi memperolehi keredhaan Ilahi serta jaminan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Bait puisi puji-pujian bertajuk Di Sini Pertemuan Kita, Dua Belas Rabiulawal yang Lembut hasil nukilan Kadri Hj. Sarbini wajar dijadikan panduan demi menjunjung amanat Rasul Junjungan hingga ke akhir zaman: 

Amanat terjunjung
atas nama kesetiaan umat
waktu demi waktu
makin terasa
betapa pengorbananmu MUHAMMAD
lenyaplah kejahilan
lahirlah cahaya suci
rahmat ilahi
 

Melalui puisi bertajuk Muhammad s.a.w., penyairnya S. Ahmad (Najmi) telah menghasilkan bait berbentuk puji-pujian dalam melahirkan rasa kecintaan pada Rasul Junjungan. Demikian bait awal yang digubah oleh penyairnya:

Engkau filsuf Muslim
tidak akan pudar
fikiranmu yang unik
sepanjang zaman
 

Aku pengikutmu
yang setia
yang mencari segala
kemuliaan peribadimu
 

Puisi tersebut menggambarkan ketaatan dan kesetiaan apabila penyairnya melahirkan pengakuan sebagai pengikut yang setia. Nilai keperibadian mulia Rasul Junjungan menjadi teladan dan ikutan. Kisah tentang kesetiaan pengikut Rasulullah S.A.W. telah dipaparkan oleh Nawawi Duski dalam hasil buku karangannya bertajuk Anekdote Kehidupan Rasulullah S.A.W 

Dikisahkan dalam suatu peperangan iaitu Perang Badar, Baginda sendiri telah memeriksa barisan ketenteraan. Secara tiba-tiba salah seorang ahli pasukan tersebut iaitu Sawad bin Ghaisyah keluar dari barisan. Apabila terlihat kejadian tersebut, Baginda mendekati Sawad dan dengan ranting kayu di tangan, keadaan tersebut segera ditegur dan diperbetulkan. Setiap pasukan tentera Baginda dijaga disiplinnya. Justeru, setiap pelanggaran disiplin segera ditegur. 

Berikutan tindakan Rasulullah, Sawad dengan berani telah menegur sambil berkata, “Ya Rasul Allah! Engkau bertindak memedihkan perasaanku padahal engkau Rasul Allah membawa keadilan.” Teguran Sawad itu hanyalah sekadar untuk mengetahui hati Nabi. Mendengar kata-kata Sawad, lalu Baginda membuka perutnya dan meminta Sawad melakukan apa sahaja bagi membalas rasa tidak puas hati terhadap perbuatan tadi. 

Setelah melihat perut Nabi, Sawad lantas mencium perut Baginda. Keadaan tersebut mengundang rasa hairan Nabi sambil bertanya apakah yang mendorong Sawad berbuat demikian dan dijelaskan oleh Sawad bahawa, “Ya Rasul Allah! Terjadilah apa yang Nabi lihat, karena aku bercita-cita agar kulitku dapat menyentuh kulit nabi. Cita-citaku demikianlah akhir soalnya.” 

Peristiwa yang berlaku antara Rasulullah dengan Sawad dapat mencerminkan nilai kasih dan kesetiaan pengikut kepada seorang pemimpin. 

Pembentuk budi
Nabi Muhammad pembentuk budi
budi yang luhur lagi terpuji
supaya kita bersatu hati
 

Dalam bait puisi berikut, penyair meluahkan puji-pujian terhadap rasulullah yang disifatkan sebagai seorang pemimpin umat berakhlak mulia dan terpuji. Lantaran itulah, penyair menjadikan rasul Junjungan sebagai  contoh dan suri teladan dalam membentuk budi yang luhur dan terpuji. 

  

Kesimpulan

Sekiranya kita mengakui bahawa Nabi Muhammad itu adalah manusia pilihan  utusan Allah, maka sewajarnya budi pekerti Baginda dijadikan contoh dan teladan umat manusia yang taat setia sebagai pengikutnya. Ianya amat jelas dan sejajar seperti yang termaktub di dalam Al-Quran bilamana Allah telah menegaskan menerusi firmanNya bermaksud: 

“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” 

 (al-Ahzab 21: 670) 

Ayat di atas menjelaskan bahawa, Rasulullah S.A.W. adalah ikutan atau contoh yang baik bagi orang yang beriman iaitu bagi orang-orang yang mengharapkan pahala dari Allah dan mengharapkan balasan pada hari kemuliaan serta mereka sentiasa mengingati Allah. 

Oleh hal demikian, puji-pujian terhadap Rasulullah S.A.W. yang dijelmakan dalam beberapa genre sastera, khususnya dalam genre puisi yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan Baginda merupakan salah satu usaha para penyair melahirkan rasa kecintaan dan sanjungan terhadap Rasul Junjungan. Ianya secara tidak langsung dapat membawa amanat bahawa nilai-nilai terpuji Rasulullah S.A.W. wajar dijadikan panduan dan suri teladan bagi membentuk peribadi Muslim. 

 

22/02/2010

Pertembungan Tamadun dalam Hikayat Amir Hamzah

Filed under: Himpunan Esei Penulis — Harleny Abd Arif @ 5:01 pm

 

Hikayat Amir Hamzah merupakan sebuah hikayat yang amat digemari. Bagi penulis Sejarah Melayu, hikayat ini merupakan sebuah karya sastera yang maha panjang dan sangat agung. Terjemahannya terdapat dalam pelbagai versi. Terjemahan awal dibuat daripada bahasa Arab dan berlaku dalam suatu masa yang agak tua sehingga Van Ronkel merasa perlu untuk membuktikan bahawa versi asli hikayat ini tertulis dalam bahasa Parsi dan bukannya bahasa Arab. Andaian Van Ronkel sejajar dengan pendapat S.A. Dahlan yang menjelaskan bahawa:

…hikayat ini ada-lah terjemahan dari nashkah asal-nya yang mungkin tertulis dalam bahasa Farsi. Buktinya, ia-lah kerana beberapa banyak daripada perkataan2 yang terdapat dalam nashkah Melayu-nya, baik yang mengenai perkataan2 biasa mahu pun gelaran2 yang diberi kepada orang2 ternama maseh tetap dalam bahasa Farsi yang tidak diterjemahkan oleh penterjemah-nya ka-dalam bahasa Melayu.

Kedua-dua pandangan tersebut diperkuatkan lagi dengan hujah V.I. Braginsky yang turut bersependapat dengan mengatakan bahawa hikayat tersebut, “…tetap memperlihatkan corak Parsi asalnya; tidak hanya menilik isinya, tetapi juga sebagian prakatanya yang ditulis dalam bahasa Parsi.”

Hikayat Amir Hamzah ini memaparkan segala peristiwa dan kejadian yang berlaku pada zaman Jahiliah atau zaman sebelum kedatangan Islam. Dalam mengikuti rangkaian cerita ini, khalayak dipertemukan dengan pertembungan dua tamadun iaitu Arab dan Parsi. Justeru, penulisan ini akan membincangkan pertentangan tamadun dalam teks hikayat susunan S.A. Dahlan. Sebelum membincangkan dengan lebih lanjut ciri-ciri perbezaan tersebut, maka perlulah dikemukakan definisi tamadun menurut beberapa pandangan.

Abu Bakar Hamzah dalam bukunya Sejarah Kebudayaan Islam menjelaskan bahawa perkataan tamadun berasal dari perkataan Arab yang telah diterima sebagai bahasa Malaysia. Beliau selanjutnya menjelaskan bahawa tamadun itu lahir seiring sejalan dan serentak dengan perkembangan kehidupan manusia semasa dalam bentuk pemikiran atau kebendaan. Demikian pula pandangan Talib Samat yang menjelaskan bahawa, “Tamadun dalam erti kata yang paling ringkas ialah pencapaian manusia di dalam semua bidang kehidupan, kerohanian, dan kebendaan yang berpusat di kota.” Beliau turut menegaskan bahawa perkataan “umran” diperkenalkan oleh Ibnu Khaldun dalam abad ke-14, menepati dengan maksud perkataan tamadun atau civilization yang dipakai masa kini. Ketepatan perkataan yang digunakan oleh Ibnu Khaldun telah membuktikan keunggulan beliau sebagai pengasas pengajian ilmu tamadun kerana tiada siapa yang berani mempertikaikannya, sama ada di barat atau timur, dahulu atau sekarang.

Dalam teks Hikayat Amir Hamzah, pengarang telah menggabungkan dua tamadun yang bertentangan. Amir Hamzah mendukung watak tokoh pemimpin Islam yang mewakili masyarakat bangsa Arab dipertemukan dengan Raja Anushirwan bergelar Kisra seorang pemerintah kerajaan Parsi.

Masyarakat Arab dalam hikayat tersebut adalah penganut agama Islam. Mereka mempercayai dan meyakini kewujudan Allah sebagai Maha Pencipta. Justeru, dalam satu episod sebelum Amir Hamzah bersama-sama pasukannya berangkat menuju ke negeri Raja Nu’man, ayahandanya Amir Ibrahim telah berkata bahawa, “Allah akan menolong engkau hai anak-ku dalam segala fikiran dan perbuatanmu.” Keyakinan terhadap Allah juga jelas diperlihatkan ketika sahabatnya Umar membuat pengaduan perihal niat jahat Raja Sukama dan Raja Warqa lantas dijawab oleh Amir Hamzah, “Kita berserah kepada Allah. Tiada yang akan jatoh ka-dalam jurang kejahatan kechuali orang yang mengerjakan-nya dan masa akan memperlihatkan kepada-mu segala yang engkau tidak mengetahui-nya.” Kepercayaan pengikut Amir Hamzah berbeza dengan kepercayaan bangsa Parsi yang beragama Majusi dan menyembah Tuhan Api. Demikian peringatan Menteri Bakhtik kepada Raja Kishra lantaran tidak bersetuju Puteri Muhurkadar dikahwinkan dengan Amir Hamzah:

Sa-sunggoh-nya Tuanku, telah menyebabkan murka Tuhan api kapada kita dan telah menchampak-kan kita ka-dalam lembah kehinaan dan kebinasaan. Patek tidak mengetahui betapa berani Tuanku mengorbankan diri ka-arah itu pada hal Tuanku sa-orang Raja yang sangat teliti, bijaksana dan sangat ingin kapada kerelaan Tuhan api yang kita sembah dan memohon segala kebajikan daripada-nya.

Perbezaan juga jelas terlihat dari segi kesetiaan dan ketaatan kepada pemerintah. Dalam hikayat ini, masyarakat Arab digambarkan lebih taat kepada pemimpin mereka. Makhluf yang telah dipelawa dan dilantik oleh Amir Hamzah sebagai salah seorang pahlawan pasukannya telah berikrar untuk menjadi khadam yang taat setia dan berjanji tidak akan meninggalkan pemimpinnya itu. Berlainan pula dengan sikap Bakhtik, menteri Raja Kishra yang digambarkan tidak patuh dan khianat apabila cuba menghasut raja dan menteri untuk membinasakan Amir Hamzah.

Pengkhianatan Bakhtik terhadap Amir Hamzah membayangkan penderhakaannya kepada Raja Kishra. Ini adalah kerana, seharusnya Bakhtik turut menghormati Amir Hamzah yang pada masa tersebut telah diterima baik dan diberi layanan istimewa oleh Raja Kishra dan bukan bertindak sebaliknya. Menteri Buzurjumhur telah mengetahui sikap Bakhtik yang bagaikan “gunting dalam lipatan”. Dia juga menyedari bahawa Bakhtik telah menukarkan fikiran raja dan berusaha untuk menyusahkan. Hal demikian tidaklah menghairankan kerana pengarang hikayat turut menyatakan bahawa Bakhtik, “tidak menghiraukan kejatohan negeri ka-dalam kanchah peperangan yang mungkin menjadikan-nya padang jarak padang tekukor.”

Bakhtik juga digambarkan bersikap emosional dan terburu-buru apabila cuba menghasut Raja Kishra menjatuhkan hukuman terhadap pahlawan Ma’qil dengan berkata, “Bunoh bedebah ini Tuanku! Baru kita aman daripada kejahatan dan kekotoran lihah-nya.” Sikap menurut hawa nafsu dan bertindak melulu Bakhtik berbeza dengan bangsa Arab yang bersikap lebih rasional. Sikap sedemikian telah digambarkan melalui nasihat Amir Ibrahim kepada Amir Hamzah dengan berkata, “Menggunakan fikiran terlebeh baik daripada menggunakan keberanian. Akal itu lebeh tajam daripada ketajaman mata pedang. Gunakan-lah akal dan fikiran dalam segala urusan-mu. Jauhkan diri-mu daripada merempoh dengan buta tuli kerana ini akan huru-hara kesudahan-nya.”

Bangsa Ajam telah melakukan penindasan terhadap bangsa Arab apabila hasil bumi dan harta orang-orang Arab dirampas secara zalim sebagai ufti kepada kerajaan Parsi. Ini berbeza dengan sikap adil dan saksama yang ditonjolkan melalui watak tokoh pemimpin Amir Hamzah. Keadilan tersebut bukan hanya kepada rakyat sebangsa dengannya, malah apa yang dikagumi, dia tetap membela dan menyebelahi bangsa Ajam yang memerangi dan memusuhi bangsanya sendiri. Sebagai bukti, Amir Hamzah telah memberi perintah kepada Asfiran untuk memulangkan semula harta bangsa Ajam yang dirampas walaupun harta tersebut sebenarnya milik bangsa Arab yang telah dirampas.

Walaupun bangsa Arab ditindas oleh bangsa Ajam, namun pada hakikatnya bangsa Arab jauh lebih hebat daripada bangsa Ajam. Ianya jelas terbukti melalui kata-kata Amir Hamzah kepada Umar:

Hairan aku memikirkan bangsa Arab ini! Betapa mereka tundok dan menghinakan diri kapada bangsa Ajam, pada hal mereka mempunyai pendirian yang tetap, mempunyai hati yang lebeh berani, mempunyai pedang yang lebeh tajam dan mempunyai kesanggupan menempoh medan peperangan lebeh daripada bangsa Ajam yang telah tenggelam dalam laut keni’matan, kerehatan dan kesenangan?”

Dalam hikayat ini juga, bangsa Ajam turut dicerminkan sebagai bangsa yang mementingkan kemewahan dan kebendaan. Mereka sanggup mengeluarkan harta yang banyak semata-mata untuk memastikan keinginan dan hajat mereka tercapai. Berbeza pula dengan bangsa Arab yang tidak memandang kebendaan sebaliknya mencari kemuliaan dalam kehidupan sepertimana yang ditegaskan oleh Amir Hamzah iaitu, “Orang2 Arab bukan-lah menchari harta, tetapi menchari kemuliaan, ketuanan dan ketinggian.”

Agama Islam telah membawa satu perubahan yang besar baik dari segi kepercayaan, pemikiran dan cara hidup penganutnya ke arah lebih sempurna. Walaupun terdapat pertentangan dari segi nilai hidup, tetapi bangsa Ajam masih boleh menerima tamadun yang dibawa oleh seterunya bangsa  Arab. Tidak mustahil bangsa Ajam dapat menerima pembaharuan corak kehidupan masyarakat Arab, kerana mereka sendiri sanggup menyalahi adat resam yang berakar umbi sekian lama.

Oleh hal demikian, pertembungan tamadun dalam hikayat ini yang pada awalnya dirasakan agak janggal kerana wujudnya ciri-ciri perbezaan antara kedua-dua bangsa, akhirnya dapat diterima serta menimbulkan keserasian. Ianya sejajar dengan kenyataan V.I. Braginsky yang menurutnya, “Hikayat Amir Hamzah telah menolong menyelesaikan hubungan antara tradisi sebelum dan sesudah Islam yang tegang sehingga menjadi serasi.” Walaupun hikayat ini telah ditokok tambah dengan pelbagai kisah peperangan akibat percanggahan fahaman dan cara hidup, namun tujuan utamanya adalah untuk membangkitkan semangat keislaman dan menarik keghairahan para pembaca di kalangan orang-orang Melayu yang menganut agama Islam.

 

19/02/2010

Unsur Keindahan Bahasa dalam Teks Hikayat

Filed under: Himpunan Esei Penulis — Harleny Abd Arif @ 5:06 pm

Keindahan menurut takrifan Teuku Iskandar merujuk kepada perihal indah, kecantikan dan keelokan. Definisi keindahan dalam tradisi Melayu seperti yang dirumuskan oleh V.I Braginsky pula merupakan sesuatu yang luar biasa dan beraneka ragam. Seterusnya, beliau menambah bahawa, “…keanekaragaman itu, atau seluruh manifestasi benda yang indah, diatur dan disesuaikan dengan harmoni.”

Dalam teks hikayat, unsur-unsur keindahan bahasa diaplikasikan untuk menyalurkan pemikiran dan pandangan terhadap sesuatu tema dan persoalan. Unsur bahasa dalam sesebuah teks hikayat secara tidak langsung merupakan cerminan jati diri penulis kerana khalayak dapat mengenali diri pengarang melalui penggunaan gaya bahasa dalam teks yang dihayati.

Antara beberapa contoh unsur bahasa yang sering didapati dalam teks hikayat ialah metafora, personafikasi, simile, hiperbola, simbolik, repetisi dan sebagainya. Unsur bahasa ini digunakan dalam teks hikayat bagi menimbulkan keindahan dan kepelbagaian maksud cerita.

Seni keindahan bahasa dalam sastera hikayat dapat diperhatikan melalui gambaran pelukisan taman-taman, kejelitaan puteri, keindahan pakaian dan sebagainya oleh pengarang teks hikayat.

Dalam Hikayat Indraputra umpamanya, pengarang telah mengguna dan memanipulasikan unsur bahasa bagi membentuk cerita. Di antara gaya bahasa tersebut ialah unsur personafikasi yang digambarkan dalam satu babak di mana tokoh utamanya menguasai hikmat bukit permata yang sangat merdu bunyinya. Gambaran tersebut dinyatakan oleh pengarang sebagai berikut:

Seketika lagi bukit permata itu pun berdengung-dengunglah seperti bunyi buluh perindu, terlalulah indah bunyinya itu. Maka Indraputra pun duduk seketika, maka ia pun segeralah berjalan daripada itu. Sebermula jikalau lain daripada Indraputra nescaya tinggallah ia di sana dengan sebab bunyinya itu, demikianlah adanya.

Dalam hikayat ini juga, pengarang telah mengaplikasikan unsur metafora iaitu laut berahi bagi memperlihatkan rasa kagum terhadap kejelitaan Puteri Candera Lela Nur Lela yang tiada tolok bandingnya seperti berikut:

Maka tuan puteri pun tersenyumlah seraya memandang ke bawah mahligai itu. Maka anak raja itu pun memandang ke atas. Maka sama terpandang muka tuan Puteri Candera Lela Nur Lela dengan anak raja itu. Maka anak raja itu pun seperti lenyaplah rasanya ia dalam laut berahi itu, sebab terlalu elok rupanya tuan puteri itu. Kalakian maka anak raja itu pun tergelincirlah kakinya itu daripada yang keemasan itu, lalu jatuh ke atas tangganya pedang itu. Maka jadilah penggal dua tubuhnya itu lalu mati.

Selain itu terdapat repetisi perkataan maka yang digunakan oleh pengarang. V.I. Braginsky menjelaskan bahawa frasa-frasa yang akan diawali dengan kata penghujung maka dalam hikayat Melayu, “seakan-akan mencontoh semacam model umum sastera naratif Arab-Parsi yang bersifat prosa.”

Unsur repetisi yang sama juga turut didapati dalam teks Hikayat Syah Mardan apabila pengulangan nama Allah Taala diulang bagi menegaskan tentang kebesaran Ilahi. Selain itu, turut diselitkan unsur  diksi yang dipinjam daripada bahasa Arab apabila khalayak dipertemukan dengan khalimah usalli fardhal zuhri. Misalnya:

Adapun tatkala kita mengatakan usalli fardhal zuhri itu mengerat namanya dan sahnya naik saksi kita ke atas arasy Allah Taala, maka kita melihat kebesaran Allah Taala.

Dalam teks hikayat ini, penggunaan perkataan abdun, rabbaniah, arasy, kursy, luh dan kalam turut ditemui. Menurut Shafie Abu Bakar, peningkatan sesebuah karya sastera yang baik boleh dilihat daripada dua aspek iaitu lahiri dan maknawi. Lahiri merujuk kepada teknik di dalam pengkaryaan yang melibatkan bentuk, struktur, plot, watak, bahasa dan sebagainya. Maknawi pula merujuk kepada isi, tema, idea, mesej, sudut pandangan, nilai dan sebagainya. Kesemuanya merupakan elemen-elemen di dalam membina sesebuah karya sastera. Beliau menjelaskan bahawa proses pembinaan karya secara kreatif, indah dan sempurna merupakan takmilah sastera.

Dalam Hikayat Cekel Waneng Pati, pengarang menggunakan unsur hiperbola sebagai salah satu cara menarik perhatian khalayak. Seni keindahan bahasa sedemikian dapat diperhatikan apabila pengarang memberi gambaran susuk tubuh dua watak iaitu Astra Jiwa dan Si Butatil sehingga menimbulkan rasa geli hati khalayak yang menghayati teks tersebut dengan mengatakan:

Namanya baik yang kemudian itu, jambulnya hanya tiga helai, hidungnya kapak, perutnya besar, tubuhnya bagai kerbau; yang seorang lagi itu hidungnya besar, tangannya dengkul, rambutnya habis bubut.

Kepelbagaian atau keanekaragaman seni keindahan bahasa dalam teks sastera hikayat dapat menambahkan keindahan dan mengelakkan kejemuan. Kepuitisan bahasa yang digunakan dapat memberi kesan kepada khalayak yang menghayati rentetan peristiwa teks yang dibaca.

Karangan indah sesebuah karya bercorak sastera hikayat oleh pengarang yang arif lagi bijaksana, mampu menghasilkan pengaruh yang menenangkan dan menyembuhkan jiwa (menglipur) para khalayak. Justeru, V.I. Braginsky dalam buku karangannya bertajuk Yang indah, berfaedah dan kamal: sejarah sastera Melayu dalam abad 7-19 menyifatkan karya sastera Melayu klasik sebagai, ‘alat penglipur/ penghibur hati dipahami sebagai salah satu di antara fungsi-fungsinya yang terpenting.”

Khalayak Sastera Hikayat di Nusantara

Filed under: Himpunan Esei Penulis — Harleny Abd Arif @ 2:17 am

Sesuatu karya itu sememangnya dihasilkan untuk khalayak. Peranan khalayak sebagai penyumbang kepada penyebaran pelbagai terjemahan teks hikayat umpamanya tidak dapat dinafikan kepentingannya. R.O. Winstedt dalam Kamus Bahasa Melayu telah memberi makna khusus terhadap khalayak iaitu makhluk atau orang ramai. Amin Sweeney menjelaskan lagi definisi tersebut dengan menambah bahawa, “…pada teorinya, siapa sahaja dapat menjadi khalayak tulisan apa sahaja, tidak kira zaman atau tempat penciptaannya.” Inon Sharuddin pula telah mengkelompokkan khalayak kepada dua kategori iaitu khalayak tradisi lisan dan khalayak tradisi tulisan. Namun, beliau menegaskan khalayak kedua-dua tradisi tersebut tidak sama kerana antara tradisi tulisan dengan khalayaknya adalah teks, suatu yang tertulis, tetap dan tidak akan berubah bentuk lagi.

Berdasarkan pandangan tersebut, dapatlah ditakrifkan bahawa khalayak sastera hikayat di Nusantara adalah lebih kompleks mencakupi seluruh khalayak tradisi lisan dan tradisi tulisan yang terdiri daripada pelbagai golongan dan peringkat usia walau di ceruk rantau mana sahaja mereka berada. Ianya sejajar dengan kenyataan Amin Sweeney yang menjelaskan bahawa, “The nature of audience conditions and the composition of that audience – it might include all age groups…”

Secara umumnya, khalayak sastera hikayat dapat dipecahkan kepada dua kategori iaitu profesional dan bukan profesional. Khalayak golongan profesional ini terdiri daripada para pengarang dan penyalin yang memberi reaksi secara aktif terhadap teks hikayat. Mereka ini mampu mengubah pemikiran khalayak lain melalui karya yang dipaparkan. Khalayak bukan profesional pula terdiri daripada golongan pembaca yang memberi reaksi kurang aktif. Namun, mereka mampu menyaring pelbagai ikhtibar yang berguna dalam kehidupan hasil daripada isian teks yang dihayati.

Genre hikayat dalam kesusasteraan Melayu adalah warisan daripada peradaban Islam kerana dipengaruhi oleh kesusasteraan Islam dari Arab dan Parsi. Ada di antara hasil-hasil kesusasteraan tersebut telah menjadi karya masterpiece dan termasyhur di seluruh dunia sehinggalah diterjemahkan ke dalam pelbagai versi. Oleh kerana teks sastera hikayat ini terhad, maka usaha mengarang, menyalin dan menterjemah giat dilakukan. Justeru, didapati sastera hikayat muncul dalam pelbagai versi bagi memenuhi permintaan khalayak yang berminat membaca teks tersebut.

Dalam sejarah perkembangan Islam di Alam Melayu, golongan sufi turut memainkan peranan dalam menyebarkan ajaran Islam. Oleh hal demikian, aliran fahaman sufi turut berkembang di kalangan penganut Islam di Nusantara. Perkembangan fahaman tersebut telah menyebabkan sastera bercorak keagamaan turut tersebar di mana isian ceritanya berkaitan tokoh-tokoh sufi dan orang-orang alim. Cerita-cerita tersebut ditulis dalam versi Melayu untuk dijadikan sebagai media berdakwah. Dengan itu, lahirlah sejenis hikayat Melayu yang memaparkan kisah tentang orang alim dalam kesusasteraan Melayu lama.

Karya sastera bercorak hikayat turut mendapat sambutan para pedagang di rantau ini. Menurut M.G. Emeis, terdapat banyak pelabuhan perdagangan di kepulauan Melayu yang menjadi pusat dan tempat pertemuan orang Melayu dengan pedagang-pedagang Islam. Telah menjadi amalan biasa bagi pedagang-pedagang ini tinggal di pelabuhan selama beberapa bulan untuk menunggu perubahan angin monsun sebelum mereka memulakan pelayaran. Dalam kesempatan itulah pedagang-pedagang tersebut meluangkan waktu membaca hikayat.

Hal demikian telah meningkatkan permintaan terhadap teks hikayat di mana usaha penterjemahan dan penulisan dalam versi Melayu khususnya daripada sumber Islam giat dilakukan. Paparan cerita dalam versi asalnya telah disadur ke dalam versi Melayu melalui kaedah transliterasi bagi memenuhi permintaan mereka yang berminat terhadap karya tersebut. Keterangan oleh Ismail Hamid (1987) dapat menjelaskan tentang penerimaan dan sambutan khalayak terhadap sastera hikayat di Nusantara:

“Oleh kerana kesusasteraan hikayat menjadi kegemaran penulis-penulis Melayu, maka banyak cerita yang bercorak keislaman telah dituliskan dalam bahasa Melayu, dan kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber Islam. Di samping memberikan hiburan kepada orang Melayu, cerita-cerita bercorak Islam ini juga berfungsi sebagai penyampai mesej Islam kepada orang Melayu dengan menunjukkan nilai-nilai yang patut dicontohi, dan diikuti oleh mereka.”

Dalam zaman Islam di Alam Melayu, pusat-pusat kebudayaan masih bertempat di istana raja-raja, di samping institusi- institusi pengajian Islam yang berkembang di luar istana. Oleh kerana raja-raja dan para pembesar Melayu juga gemar mendengar cerita tentang raja-raja Islam, maka hikayat tersebut telah disadurkan ke dalam bahasa Melayu. Ismail Hamid dalam buku bertajuk Perkembangan kesusasteraan Melayu lama menjelaskan bahawa, “cerita-cerita yang mengisahkan tentang raja-raja dan kaum bangsawan menjadi suatu kegemaran golongan atasan dalam masyarakat Islam. Maka dengan itu, lahirlah sejenis hikayat yang memperkatakan tentang raja-raja dan bangsawan Islam…”

Khalayak sastera hikayat di Nusantara bukan sahaja terdiri daripada golongan atasan seperti raja dan pembesar istana, malahan turut mendapat perhatian golongan bawahan yang terdiri daripada rakyat biasa yang ingin mengetahui tentang kebesaran raja-raja mereka. Bagi orang-orang Acheh umpamanya, amalan membaca hikayat ini menjadi satu bentuk hiburan di kalangan mereka. Telah menjadi adat bagi orang Acheh membaca hikayat untuk orang lain. Kebanyakan mereka sanggup mengorbankan rehat semalaman untuk mendengar hikayat.

Justeru, dalam kesusateraan Melayu lama didapati beberapa versi tentang hikayat kelahiran nabi Muhammad seperti Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Kejadian Nur Muhammad, Hikayat Kejadian Baginda Rasulullah, Cerita Nabi Lahir dan Hikayat Khatim al-Nabi. Versi-versi hikayat tersebut banyak tersimpan di Muzium Pusat Jakarta dan Perpustakaan Universiti Leiden. Penemuan sebuah hikayat tentang Nabi Muhammad di Ambon oleh Valentijn pada tahun 1726 juga memperlihatkan tentang perkembangan penyebaran hikayat ini di pelbagai daerah di Nusantara.

Sebelum cerita tentang Nabi Muhammad dikenali di Nusantara, karya kesusasteraan Islam ini telahpun tersebar dahulu di negeri-negeri Arab dan Parsi. Hikayat tentang Nabi Muhammad ini telah disadur ke dalam versi Melayu iaitu bahasa yang menjadi media perhubungan yang penting di Alam Melayu setelah kedatangan agama Islam. Kemudiannya, hikayat-hikayat ini disalin pula dalam pelbagai bahasa daerah yang lain di rantau ini.

Dengan munculnya pelbagai versi ini juga menggalakkan para pengkaji kesusasteraan Melayu lama menjalankan penelitian terhadap teks hikayat. Kajian yang dilaksanakan oleh mereka sebahagiannya tertumpu kepada usaha mengenalpasti dan menentukan teks tertua sesebuah hikayat. Lantaran itulah, Ding Choo Ming menegaskan bahawa:

“Antara persoalan yang sering dikemukakan tentang manuskrip Melayu sebagai sumber sastera Melayu tradisional ialah apakah judul manuskrip itu, siapakah penulis asal dan penyalin yang terkemudian, di manakah manuskrip “asal” itu dikarang dan salinannya dibuat, bilakah manuskrip “asal” itu digubah dan salinannya dibuat, di manakah manuskrip itu boleh didapatkan masa kini.”

Wujudnya pelbagai versi teks sastera hikayat secara jelasnya merupakan faktor utama yang mempengaruhi perkembangan khalayak di Nusantara. Hal demikian juga menjadi bukti nyata yang menunjukkan bahawa wujudnya khalayak sastera hikayat di rantau ini.

18/02/2010

Bahasa Melayu Klasik

Filed under: Himpunan Esei Penulis — Harleny Abd Arif @ 3:49 am

Kita sering mendengar perumpamaan seperti “Mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi” dan ‘Bapa borek, anak rintik” Tetapi sedarkah kita bahawa perumpamaan tersebut adakalanya diucapkan salah pada tempatnya. Ada di antara kita beranggapan kedua-dua perumpamaan tersebut membawa pengertian yang sama dan tanpa sedar melakukan kesilapan dalam mengujarnya.  Hal demikian adalah kerana perkataan tersebut tidak difahami dengan jelas maksud atau pengertian oleh si penuturnya.

Misalnya, ada di antara kita menggambarkan perilaku baik atau buruk seseorang yang diwarisi dari kedua orang tua dengan menggunakan kedua-dua perumpamaan tersebut kerana menganggap ianya membawa pengertian yang sama. Hakikatnya, “Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi” menjurus kepada nilai yang baik manakala “Bapa borek anak rintik pula” merujuk kepada perbuatan/ perilaku buruk. Perkataan “borek” itu terlebih dahulu perlu difahami takrifannya kerana ia bermaksud bekas kudis cacar yang berbintik-bintik pada tubuh (Yaakub Isa, 1997: 26). Jadi seharusnya penggunaan “Bapa borek anak rintik” itu diberikan kepada individu yang berperilaku negatif manakala “Mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi” sebagai contoh terhadap individu yang memiliki sifat terpuji.

Semoga dengan perkongsian ilmu ini, kita dapat memahami dan seterusnya tidak mengulangi kesilapan sama semasa menuturkannya. Semakin banyak dipelajari, semakin terasa jahilnya diri.

Baru kini mengetahui tentang makna Jauhari yang bermaksud ahli atau penjual batu permata. Jauhar pula adalah sejenis batu intan (kata pinjaman  dari bahasa Parsi). Kerana itu pepatah menyebut, Hanya jauhari mengenal manikam (sejenis batu permata bewarna merah). Perumpamaan tersebut secara simboliknya merujuk kepada, hanya mereka yang ahli atau pakar dalam sesuatu bidang sahaja dapat mengenal lebih dekat bidang yang dikajinya.

Ini belum lagi diperjelaskan tentang makna huru, hara, haru dan hura. Keempat-empatnya punyai makna tersendiri yang sekiranya diketahui tidak akan disalaherti…mengapa kita menyebut huru hara bukan hara huru? Semua kerana maknanya.

Menariknya bahasa klasik ini. Ada masa sambung lagi…

Antara Mitos dan Legenda

Filed under: Himpunan Esei Penulis — Harleny Abd Arif @ 3:41 am

 

Subtipa Legenda

Legenda adalah satu genre dalam kelompok cerita-cerita rakyat. Pengkaji sastera rakyat kontemporari telah menggolongkan legenda sebagai salah satu genre cerita rakyat dalam bentuk tradisi lisan yang wujud dalam mana-mana masyarakat atau budaya. Beberapa definisi telah dikemukakan oleh ahli antropologi budaya tentang pengertian legenda. Mohd Khalid Taib (1991: 261) mendefinisikan legenda sebagaimana berikut:

“Legenda ialah sebuah pernyataan yang selalunya bercorak cerita, yang berlatarkan masa atau sejarah yang masih boleh diingat oleh masyarakat berkenaan; yang mungkin menghubungkan pengalaman masa lampau dengan yang kekinian. Legenda dipercayai benar oleh penyampainya dan oleh mereka yang menerima penyampaian cerita itu, terutama sekali apabila wujud tanda-tanda di muka bumi yang seolah-olah mensahihkan sesuatu cerita legenda itu.”

Harun Mat Piah dalam buku berjudul Sastera Rakyat Malaysia, Indonesia, Negara Brunei Darussalam: Suatu Perbandingan pula mengemukakan takrifan lebih terperinci terhadap pengertian legenda. Selain memberi definisi khusus, beliau turut membuat perbandingan yang jelas antara legenda dengan mitos.

“Legenda ialah cerita yang serius, dipercayai sebagai benar dan juga mengandungi ciri-ciri luarbiasa, misteri dan mitikal seperti mitos, tetapi masih berbeza dengan mitos. Legenda boleh bersifat sakral atau profan, boleh membicarakan tokoh-tokoh suci, juga tokoh-tokoh sekular, makhluk ghaib atau manusia biasa, boleh berlaku pada masa lalu tetapi tidak terlalu silam seperti mitos, atau masa kini, malah berterusan ke masa depan. Berbanding dengan mitos, legenda bersifat terbuka (opened-ended). Latar legenda berbeza daripada mitos, berlaku dalam ruang geografi yang dapat dirujuk dan peristiwanya bergerak atas garis masa yang objektif. Berbeza juga daripada mitos, legenda lebih mendekati karya sejarah dari segi fakta dan bersifat objektif. Namun, tidak sama dengan sejarah kerana legenda sering dianggap sebagai sejarah semu, kerana kebanyakan faktanya dimanipulasi dan diselewengkan. Berdasarkan ciri-ciri tersebut, legenda nampaknya dapat menyesuaikan dirinya dengan latar kontemporari.”

Perbezaan pandangan oleh sarjana tempatan terhadap definisi legenda hanyalah bersifat isu dipermukaan kerana apa yang lebih utama adalah isu yang menjadi dasar perbincangan. Pandangan yang dikemukakan oleh Mohd Khalid Taib dan Harun Mat Piah memperlihatkan keterbukaan bentuk legenda itu sendiri yang bersifat genetik kerana dapat menjanakan pelbagai sublegenda. Daripada legenda ketokohan (ulama, pemimpin, pahlawan, pendosa), legenda keramat, legenda tentang makhluk halus, legenda tempat, etiologikal dan jenis-jenis yang lain.

Kerana disokong oleh kepelbagaian jenis inilah, maka legenda merupakan genre sastera rakyat yang lebih meluas penyebarannya dan lebih banyak pula jumlahnya. Low Kok On (2001:9) dalam tesis sarjana bertajuk Citra Wira Rakyat dalam Legenda Mat Salleh telah mengklasifikasikan legenda kepada beberapa bentuk iaitu:

  1. Legenda Etiologikal (Cerita Asal Usul)
  2. Legenda Pendosa
  3. Legenda Orang Terkenal
  4. Legenda Keramat
  5. Menora Cerita Hantu

Ternyata kategori yang disenaraikan merangkumi hal-hal berkaitan dengan alam, manusia dan makhluk bukan manusia. Kesemuanya menampakkan kelebihan dan keajaiban yang mengelilingi tokoh-tokoh tersebut. Tidak dapat dinafikan bahawa cerita legenda sering dilingkari oleh unsur luarbiasa dalam jalinan penceritaannya. Unsur tersebut menjadikan cerita legenda itu lebih menarik kerana kelainan yang dipaparkan.

 

Kesenian Islam Dicerobohi

Filed under: Himpunan Esei Penulis — Harleny Abd Arif @ 3:33 am

“Dan sungguh, engkau (Muhammad) akan mendapati mereka (orang-orang Yahudi), manusia yang paling tamak akan kehidupan (dunia), bahkan (lebih tamak) dari orang-orang musyrik. Masing-masing dari mereka, ingin diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu tidak akan menjauhkan mereka dari azab. Dan Allah Maha melihat apa yang mereka kerjakan.”

(al- Baqarah 96: 15)

Demikianlah sifat yang dijelaskan tentang orang-orang Yahudi seperti yang termaktub dalam Al-Quran. Perasaan tamak mendorong mereka merampas apa sahaja yang diinginkan. Kegemilangan empayar Islam di bumi Andalus umpamanya, telah dicerobohi dan ditakluk oleh bangsa mereka. Bukti yang masih wujud hingga ke hari ini ialah bangunan masjid Agung Cordoba yang masih utuh berdiri meskipun telah ditukarkan secara fizikal  dan rohaninya menjadi tempat suci agama Kristian.

Daripada sebuah masjid yang termashyur, bangunan ini telah jatuh ke tangan orang Kristian pada 23 Syawal 633 H bersamaan 29 Jun 1236 M, setelah bendera Islam berkibar di atas Masjid Cordoba selama 525 tahun. Selepas kota tersebut dimasuki oleh orang Kristian, mereka telah merampas hak orang Islam dengan menukarkan peranan masjid tersebut kepada gereja.

Hampir keseluruhan senibina yang ditambah oleh pemerintah Kristian kelihatan seperti cuba menandingi kehebatan senibina Islam yang nyata tiada tandingannya. Persoalannya, siapa sebenarnya yang mengadaptasi idea senibina? Adakah Islam meniru senibina gereja mereka atau sebaliknya? Secara terang-terangan, mereka inilah sebenarnya yang telah memanipulasi ciri-ciri kesenian Islam ke dalam senibina gereja mereka.

Apakah agenda mereka sebenarnya? Apakah kerana sifat iri hati yang lahir bersama-sama fitrah kejadian mereka atau misi lebih besar iaitu menghancurkan kerajaan Islam yang telah bertapak sekian lama. Al- Quran telah memberikan gambaran yang jelas tentang perilaku orang-orang Yahudi berdasarkan Firman Allah yang bermaksud:

“Banyak di antara ahli kitab menginginkan sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu setelah kamu beriman, menjadi kafir kembali, karena rasa dengki dalam diri mereka, setelah kebenaran jelas bagi mereka.”

(al-Baqarah 109: 17)

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang melarang di dalam masjid-masjid Allah untuk menyebut nama-Nya, dan berusaha merobohkannya? Mereka itu tidak pantas memasukinya kecuali dengan rasa takut (kepada Allah). Mereka mendapat kehinaan di dunia dan di akhirat mendapat azab yang berat.”

(al-Baqarah 114: 18)

Bernard S Myers (1967: 169-170) dalam buku berjudul Art and Civilization bersifat tidak adil apabila membuat kenyataan bahawa, “In the spirit of the Koran (which enjoined religious tolerance) the Christians were permitted to build a church on another site.” Hal demikian seolah-olah mencerminkan pembinaan gereja di Masjid Cordoba adalah dengan keizinan orang-orang Islam, tetapi hakikatnya tidak sama sekali. Di manakah letaknya nilai agama Islam sehingga dengan mudah membenarkan masjid dicerobohi? Ingatan dari Allah agar tidak semudahnya mempercayai apa yang diperkatakan oleh orang-orang Yahudi haruslah dijadikan pegangan:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan teman orang-orang yang di luar kalanganmu (seagama) sebagai teman kepercayaanmu, (karena) mereka tidak henti-hentinya menyusahkan kamu. Mereka mengharapkan kehancuranmu. Sungguh, telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang tersembunyi di hati mereka lebih jahat. Sungguh, telah kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu mengerti.”

(Ali ‘Imran 118: 18)

Tidak dinafikan wujudnya adaptasi bentuk-bentuk tertentu terhadap senibina Islam. Namun dalam hal ini bentuk tersebut telah ditransformasi secara lebih sempurna yang membawa makna dan nilai berbeza bagi pendukungnya. Meskipun menggunakan media, bahan dan teknik yang sama dengan apa yang digunakan dalam pembuatan kuil dan gereja, peranannya tetap berbeza.

Seyyed Hossein Nasr (1993: 79-80) turut mengutarakan pandangan bahawa, “Alangkah bedanya antara candi Hindu Dasavatara dengan Masjid Delhi yang keduanya ada di India; atau candi-candi Romawi yang naturalistik dengan gereja-gereja Romaneska yang sama-sama ada di Italia.”

Situasi yang sama dapat diperhatikan dengan jelas terhadap senibina Masjid Cina Cheng Hoo  di Surabaya, Indonesia. Di bahagian luar, senibinanya mirip rekabentuk senibina cina dengan hiasan puncak seperti pagoda. Cerminan budaya dan tamadun cina yang terpancar mungkin ada kaitan dengan kedatangan bangsa Cina yang datang berlayar ke Jawa seperti yang dicatatkan oleh pengarang Islamic Art in Southeast Asia: 830 A.D.-1570 A.D. (1994) iaitu:

“History  of the  Yuan  Dynastic Book 210  recorded  that the  Mongols sent 20 000 troops, equipped with provisions for a year in an armada of a 1000 ships to punish Java. An actual size of a Chinese ship was given in The History of the Ming Dynasty, Book 304,: 440 ft. long and 180 ft. wide, used by Cheng Ho.”

Adaptasi budaya dalam senibina masjid ini hanyalah sesuatu yang bersifat luaran dan tidaklah sehingga menjejaskan peranan dasarnya iaitu sebagai tempat sujud bagi umat Islam yang bertamu di dalamnya.

Laman Berikutnya »

The Rubric Theme. Create a free website or blog at WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.