Jejak Mihrab & Mimbar

17/02/2010

Kebijaksanaan Pengarang Terserlah dalam Karangan Teks Hikayat

Filed under: Himpunan Esei Penulis — Harleny Abd Arif @ 5:10 pm

 

Bijaksana menurut Teuku Iskandar membawa maksud berakal budi, arif, pandai dan berhati-hati serta cerdik. Definisi bijaksana merujuk kepada individu yang selalu menggunakan akal budinya (pengalaman dan pengetahuannya), arif, tajam fikirannya, pandai dan ingat-ingat (cermat, teliti, dsb.) apabila menghadapi kesulitan dan sebagainya.

Mengapakah pengarang itu perlu bijaksana? Setiap pengarang mempunyai matlamat tertentu dalam penampilan karyanya. Imaginasi dan daya kreativiti yang ditampilkan oleh pengarang merupakan strategi dalam menarik perhatian khalayak agar memberi tumpuan dari permulaan hinggalah ke penghujung cerita sesebuah teks hikayat yang dibaca. Daya kreativiti tersebut adalah hasil daripada kebijaksanaan sang pengarang mengungkapkan ideanya ke dalam teks. Cetusan idea itu pula menggambarkan daya pemikiran sang pengarang yang diakui luas jalan fikirannya. Ahmad Samin Siregar menjelaskan bahawa:

Cara berfikir menyangkut gagasan, konsep, dan idea yang ingin disampaikan. Setiap gagasan, konsep, atau idea yang baik dan jernih, tentu memerlukan pemikiran yang lebih mendalam, lebih lama, dan lebih ditapis. Sebaliknya gagasan, konsep, atau idea yang disusun dengan dangkal, tergesa-gesa, dan semberono akan melahirkan jalan  fikiran yang tidak sempurna, kacau-bilau, tidak dapat dipertanggungjawabkan, dan sulit difahami.

Pemilihan tema sesebuah teks hikayat adalah isu dasar yang paling utama kerana dapat mencerminkan idea kreatif pengarang. Ini adalah kerana, tema juga boleh dikatakan sebagai buah fikiran atau idea penulis. Seringkali juga tema hikayat yang dikemukakan dalam cerita pokok berulang berdasarkan dua pasangan sifat yang bertentangan.

Dalam Hikayat Maharaja Ali umpamanya, khalayak dipertemukan dengan tema utamanya iaitu kasih sayang. Namun begitu, tema tersebut dikembangkan lagi dengan persoalan yang bertentangan. Maharaja Ali selaku pemerintah telah mengabaikan kewajipan mutlak sebagai pemerintah negara yang adil semata-mata kerana terlalu kasih terhadap keluarganya.

Kebijaksanaan jelas kelihatan apabila pengarang bukan hanya mengutarakan tema utama, malah teks hikayat tersebut turut disajikan dengan pelbagai persoalan untuk memperkembangkan jalan ceritanya. Walaubagaimanapun, akhirnya tema yang ditonjolkan memihak kepada sifat-sifat kebaikan dan menentang sifat-sifat keburukan. Tidak dapat tidak, balasan yang dikenakan ialah yang baik mendapat ganjaran baik manakala yang buruk dibalas dengan kejahatan.

Berdasarkan penelitian, didapati jalinan cerita sesebuah teks hikayat mempunyai kesinambungan yang tersusun. Ini secara jelas memperlihatkan kebijaksanaan pengarang meletakkan data di tempat yang betul. Dengan hal demikian, plot yang dikarang tidak terlompat-lompat kerana ianya diatur secara menarik. Justeru, dalam Hikayat Bayan Budiman, didapati pelbagai cerita sisipan yang mampu wujud sendiri sebagai cerita berasingan tetapi tetap tidak menyimpang daripada cerita pokok atau cerita dasar.

Pelbagai cerita sisipan yang ringkas dan menarik dipersembahkan hingga dapat memenuhi peranannya sebagai wadah yang mampu membawa apa sahaja amanat dan sebanyak mana pengajaran yang dikehendaki oleh pengarang. Selain itu, sebahagian besar pengajaran yang dikemukakan dalam teks hikayat adalah berunsur didaktik dengan maksud memberi pedoman dan peringatan serta bimbingan dalam berbagai aspek seperti moral, keagamaan, politik, rumah tangga dan sebagainya kepada khalayak. Ini menunjukkan bahawa, tujuan sesebuah hikayat itu dikarang bukan semata-mata memberi hiburan, malah turut berfungsi menyampaikan  mesej secara tersirat melalui hasil penilaian khalayak terhadap teks yang dibaca.

Dalam Hikayat Maharaja Ali umpamanya, watak Maharaja Ali digambarkan selaku bapa penyayang kepada puteranya tetapi tidak wajar dijadikan contoh seorang pemerintah yang adil. Pengajaran tersebut bukan sekadar boleh dijadikan ikhtibar oleh ahli dalam sebuah keluarga, malah turut memberi pengajaran kepada mana-mana pemerintah negara bahkan rakyat jelata. Untuk disanjung sebagai pemimpin yang terpimpin, seseorang pemerintah itu hendaklah memastikan ahli keluarganya terpimpin terlebih dahulu. Kedudukan Maharaja Ali tergugat apabila kewibawaan dan keadilannya selaku pemimpin negara dipersoalkan rakyat jelata. Hukuman tidak dilaksanakan walaupun anakandanya melakukan kesalahan yang melampaui batas kemanusiaan.

Seharusnya keadilan ditegakkan tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Hal demikian dapat membawa pengajaran bahawa seseorang pemerintah yang dipertanggungjawabkan memikul amanah meneraju negara hendaklah memerintah dengan adil dan saksama. Apa yang dipaparkan oleh pengarang hendaklah dijadikan renungan kerana dalam realiti kehidupan, senario sedemikian mungkin wujud dalam sesebuah pemerintahan. Apakah ini contoh keadilan yang harus dijadikan teladan? Atau lebih tepat lagi dikatakan, apakah ini contoh pemerintah yang wajar dipilih oleh rakyat sesebuah kerajaan?

Persoalan yang menerjah fikiran apabila menghayati Hikayat Maharaja Ali mahupun dalam mana-mana teks hikayat secara tidak langsung mencerminkan kebijaksanaan pengarang mengungkapkan ideanya ke dalam teks sehingga mampu disaring oleh akal fikiran  khalayak.

Keupayaan memberi gambaran tentang keindahan sesuatu turut memperlihatkan kebijaksanaan pengarang. Misalnya, dalam Hikayat Indraputra, digambarkan kejelitaan seorang puteri yang tiada tolok bandingnya sedemikian rupa:

Maka Indraputra pun hairanlah melihat rupa tuan puteri, terlalu elok paras gilang-gemilang, kilau-kilauan, tiadalah dapat ditentang nyata. Maka Indraputra pun merca seketika, lalu diambilnya oleh tuan puteri air mawar, disapukannya kepada mukanya Indraputra. Maka tuan puteri hairan melihat rupanya Indraputra itu.

Selain bijak memberi gambaran, kebijaksanaan pengarang juga terserlah apabila episod yang dibaca mampu menggamit perasaan khalayak. Umpamanya, khalayak turut merasa kagum terhadap keagungan dan kekuasaan Ilahi apabila pengarang mencerminkan keindahan ciptaan Maha Pencipta. Misalnya:

Syahdan di padang itu rumputnya seperti zamrud warnanya. Maka Indraputra pun datanglah ke padang itu, dan ada suatu bukit terlalu elok rupanya, dan airnya pun mengalir daripada pihak bukit itu terlalu sejuk, dan dibawah bukit itu beberapa pohon kayu berbagai-bagai rupanya, berbagai-bagai jenis warnanya. Kalakian, maka didengar oleh Indraputra bunyinya segala bunyi-bunyian itu seperti orang bernyanyi. Ada seperti orang yang bersyair dan bermadah dan berpantun. Maka Indraputra pun berhenti melihat kekayaan Tuhan dan bertambah-tambah yang indah-indah itu. Setelah itu demikian maka Indraputra pun kenyanglah rasanya sebab melihat sekalian itu. Maka iapun mengucap syukurlah kepada Allah…

Kebijaksanaan pengarang menggabungjalinkan idea ke dalam teks hikayat tidak dapat dinafi dan dipertikaikan. Sebagai bukti nyata, wujudnya kesamaan idea di antara satu teks dengan teks yang lain walaupun hikayat tersebut dikarang oleh pengarang berlainan. Ada di antara versi yang dipanjangkan jalan penceritaan dengan ditokok-tambah cerita sisipannya. Malah, ada juga pengarang yang memendekkan jalan cerita dengan mengurangkan jumlah cerita sisipannya.

Secara kesimpulannya, kebijaksanaan pengarang mengungkapkan ideanya ke dalam teks hikayat tidak dapat disangkalkan kebenarannya. Lantaran itulah, didapati munculnya kepelbagaian versi teks hikayat di rantau ini. Kepelbagaian ini mencerminkan kreativiti pengarang yang bukan hanya setakat mengadaptasi, malah turut melakukan transformasi dan modifikasi ke atas teks yang dikarang.

 

Intipati Falsafah Pemikiran Melayu di sebalik Penciptaan Pantun Melayu

Filed under: Himpunan Esei Penulis — Harleny Abd Arif @ 4:25 pm

Corak hidup masyarakat dan bangsa Melayu pada zaman dahulu dicerminkan melalui puisi lama seperti pantun dan peribahasa. Za’ba di dalam bukunya bertajuk Ilmu Mengarang Melayu (1965: 219), mengatakan bahawa penciptaan pantun merupakan puisi tertua dan milik asal kepunyaan masyarakat Melayu. Telah diterima umum bahawa pantun adalah ciptaan asli orang Melayu. Ianya bukanlah adaptasi daripada puisi-puisi Jawa, India atau Cina. Ini bermakna, pantun merupakan puisi asli yang dimiliki oleh masyarakat Melayu serta paling awal muncul berbanding puisi yang lain (Harun Mat Piah, 1989: 122).

Masyarakat Melayu lama akrab dengan alam iaitu alam tumbuhan, alam haiwan dan alam cakerawala. Ini adalah disebabkan masyarakat pada masa tersebut sering berinteraksi dengan alam yang berada di sekeliling mereka sama ada di laut, di hutan, di bendang, di ladang dan di gunung. Harun Mat Piah (1989: 115) menjelaskan bahawa penggunaan lambang-lambang daripada alam raya perlu diketahui untuk memahami maksud pantun. Lantaran itulah pantun dikaitkan dengan alam semulajadi sebagai perbandingan dan perlambangan yang berfungsi sebagai sumber pengajaran dan nasihat. Berikut adalah contoh pantun yang memperlihatkan keakraban masyarakat Melayu lama dengan alam semulajadi:

Buah cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan

Penggunaan unsur  alam semulajadi seperti cempedak digandingkan dengan galah yang menjadi alat kebiasaan digunakan untuk menjolok buah-buahan. Pemilihan kata untuk kedua-dua baris pembayang dihasilkan dengan teliti sehinggakan dengan hanya menyebutnya sahaja, khalayak dapat mengetahui dan memahami bahagian maksud yang diujarkan pada baris ketiga dan keempat. Misalnya dengan hanya menyebut:

Buah cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan

Secara tidak langsung telah memperlihatkan unsur-unsur menyedari akan kelemahan dan kekurangan diri dengan harapan memohon bantuan daripada pihak lain yang lebih mampu. Buah cempedak sepertimana lazimnya, bercambah dari pangkal pokok hinggalah ke dahan yang tinggi. Buah yang berada di bahagian luar pagar sudah pasti tumbuh pada bahagian yang tinggi sehingga sukar untuk dicapai menggunakan tangan. Apatah lagi sekiranya buah tersebut berada di halaman atau bahagian kebun orang lain, maka perlu meminta keizinan terlebih dahulu untuk mengambilnya. Bantuan yang diminta bukan dengan tangan kosong tetapi dengan huluran galah untuk memudahkan orang yang menolong itu melaksanakannya.

Falsafah yang tersirat di sebalik pantun tersebut secara tidak langsung membawa amanat tentang peri pentingnya sifat merendah diri yang perlu ada dalam diri setiap insan. Selain itu, pantun tersebut memancarkan pemikiran masyarakat Melayu lama yang amat menekankan aspek kesantunan dan budi bahasa dalam kehidupan seharian. Budi adalah berhubung erat dengan jasa kerana jasa adalah berbudi (Harun Mat Piah, 1989: 469). Tidak mungkin seseorang individu dapat dianggap membuat jasa jika dia tidak berbudi. Ianya juga sejajar dengan tuntutan ajaran Islam yang menekankan hubungan baik antara sesama manusia.

Kebolehan seseorang pencipta pantun menggunakan lambang-lambang yang segar dan berkesan di dalam pantun amat mengkagumkan (Harun Mat Piah, 1989: 132). Tidak dapat dinafikan, hasil ciptaan pantun yang digunakan sehingga ke hari ini secara tidak langsung memperlihat keakraban penciptanya dengan alam semulajadi. Mana mungkin pantun dapat dicipta dengan sebegitu indah sekiranya para penciptanya tidak menghayati unsur-unsur perlambangan yang digunakan.

Pantun dapat berfungsi dalam hampir setiap aktiviti kehidupan masyarakat Melayu (Jamilah Hj. Ahmad, 1993: 114). Terdapat pelbagai jenis pantun yang mempunyai tema tertentu berkait rapat dengan perasaan cinta, kasih sayang, puji-pujian, nasihat, agama, adat, telatah dan corak hidup masyarakat. Tema yang ingin diketengahkan, disisipkan dengan latar alam. Kerana alam itu indah, maka unsur-unsur alam diaplikasikan di dalam setiap rangkap pantun. Sebagai contoh, masyarakat Melayu lama mengaplikasikan unsur-unsur alam seperti buah bidara, selasih, buah berangan di dalam pantun yang berkait rapat dengan luahan perasaan seseorang:

Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Buang emak buang saudara
Kerana kasih hamba turutkan

Contoh lain:

Buah berangan masaknya merah
Buah keranji
dalam perahu
Luka di tangan nampak berdarah
Luka di hati siapa yang tahu

Keakraban masyarakat Melayu dengan alam semulajadi turut dikesan dalam pantun berikut yang menggunakan latar alam sebagai objek dan perlambangan:

Sayang Hanuman membelah bukit
Mencari ubat Seri Rama
Kasih sayang bukan sedikit
Jadi ingatan selama-lama

Pantun tersebut mengutarakan tema kasih sayang. Ianya secara tidak langsung menggambarkan nilai kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Kasih sayang yang diterima pula terpahat dalam ingatan hingga ke akhir hayat. Di dalam Hikayat Hang Tuah umpamanya, digambarkan betapa kasihnya Sultan Melaka terhadap Hang Tuah. Hal yang demikian adalah kerana budi Hang Tuah dan sahabatnya yang melindungi nyawa baginda daripada angkara Patih Gajah Mada semasa berada di Majapahit. Kasih Sultan Melaka terhadap Hang Tuah digambarkan sebagaimana berikut:

Hatta berapa lamanya raja Melaka kembali dari Majapahit itu, maka Laksamana pun terlalu sangat amat kurnia raja dan kasih raja akan Laksamana. Barang kata Laksamana kata rajalah, dan jika raja hendak membunuh, maka sembah Laksamana. “Tiada harus, tuanku dibunuh orang ini,” tiadalah jadi dibunuh oleh raja. Hatta maka Laksamana pun terlalu karib kepada raja, keluar masuk tiadalah berpintu lagi.

(Hikayat Hang Tuah, 1966: 168)

Berdasarkan penelitian terhadap pantun-pantun masyarakat Melayu lama, tidak dapat disangkal bahawa penciptaannya memancarkan intipati pemikiran Melayu. Segala pengalaman hidup, pandangan hidup dan falsafah yang ingin dikemukakan di dalam pantun menggunakan latar alam sebagai pembayang. Unsur-unsur sedemikian secara tidak langsung memperlihatkan keakraban masyarakat Melayu lama dengan alam semulajadi. Ini diperkukuhkan dengan pandangan yang dikemukakan oleh Francois Rene Daillie (1988: 6) sebagaimana berikut:

…this brief poem is an epitome of life and a universe in a grain of sand. It carried within itself all the elements of the Malay man’s life: his land, his house, his garden, his paddy field; the river, the sea or the forest; the trees, fruits, animals, birds, fishes; the few simple things of everyday use, it expresses his customs and tradition, wisdom, beliefs and feelings of all sorts, his love of man, woman and god.


Pengaruh Islam Mempengaruhi Corak Pemerintahan Kerajaan Melayu

Filed under: Himpunan Esei Penulis — Harleny Abd Arif @ 1:52 pm

 

Kedatangan pengaruh Islam mempengaruhi corak pemerintahan kerajaan kerajaan Melayu. Strategi yang digunakan oleh para mubaligh dalam menyampaikan dakwah sebelum menyebarkan Islam di kalangan rakyat jelata terbukti amat berkesan. Dalam waktu yang singkat, Islam tersebar dari istana hinggalah ke golongan bawahan. Perubahan corak pentadbiran turut berlaku kerana ianya perlu disesuaikan dengan tuntutan ajaran Islam.

Hal demikian telah memungkinkan lahirnya kitab-kitab yang menjadi panduan para pemerintah. Di antara kitab yang pernah dihasilkan adalah Taj us-Salatin atau Mahkota Raja-Raja karangan Bukhari al-Jauhari dan Bustan al-Salatin atau Taman Raja-Raja karangan Syeikh Nuruddin al-Raniri. Kitab-kitab tersebut digolongkan sebagai sastera berbentuk ketatanegaraan kerana ianya menampilkan petunjuk kepada golongan raja-raja dalam mentadbir negeri.

Tujuan kitab ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menginsafkan semua makhluk manusia khususnya raja-raja agar bertindak adil dalam pemerintahan masing-masing (Khalid M. Hussain, 1992). Taj us-Salatin umpamanya memberikan lebih perhatian terhadap sifat-sifat dan tanggungjawab raja terhadap rakyat. Selain itu disenaraikan 10 sifat yang seharusnya ada selain sifat adil sebagai yang paling utama pada seorang raja (Zainal Kling, 1999: 18).

Taj us-Salatin adalah sebuah karya sastera bercorak Islam yang menekankan aspek kepercayaan dan keimanan kepada Allah sebagai asas kehidupan manusia. Antaranya tentang keperluan manusia mengenali Allah pada zat dan sifatnya, konsep iman, balasan baik dan buruk pada hari akhirat dan sebagainya. Oleh kerana kitab tersebut ditulis untuk menerangkan tentang dasar ketatanegaraan, maka ianya menekankan tentang prinsip-prinsip pemerintah yang perlu dijalankan. Antaranya menekankan perlunya seorang pemimpin mengambil contoh pimpinan daripada para Nabi dan Rasul, khalifah-khalifah Islam dan lain-lain. Selain itu, ianya memberi garis panduan tentang corak pimpinan dan corak hubungan yang sewajarnya di antara pemimpin dengan rakyat. Menurut kitab tersebut, pemimpin atau raja ditugaskan untuk menjalankan perintah Allah dan bersifat adil dalam menjalankan pentadbiran.

Didalam fasal kelima kitab Taj us-Salatin, ada dinyatakan tentang konsep keadilan. Berikut adalah antara konsep keadilan yang dimuatkan di dalam kitab tersebut:

“Bermula seperkara itu yang pada antara raja dan pada antara segala rakyat itu pun demikian adanya. Pertama hendaklah raja itu berbuat adil pada antara segala rakyat dan keduanya itu hendaklah bahawa yang raja itu jauhkan zalim daripada mereka itu kerana suatu peri tiada ada terkaji pun akan mereka itu daripada zalim itu.”

Ketaatan terhadap seorang pemimpin adalah wajib. Namun begitu, apakah mesti ditaati pemerintah yang zalim? Sewajarnya peribahasa “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah” dijadikan sandaran oleh para pemerintah dalam mentadbir negeri untuk mengelakkan penentangan rakyat terhadap sebarang kezaliman dan penindasan. Peribahasa tersebut jelas mencerminkan bahawa rakyat akan menghormati dan patuh kepada pemerintah yang adil. Sebaliknya rakyat akan menentang dan bangkit memberontak sekiranya pemerintah tidak dapat menegakkan keadilan. Selaku pemerintah yang adil, seharusnya rakyat tidak dizalimi sebaliknya diadili secara saksama.

Justeru, konsep kepimpinan yang cuba dianjurkan oleh pengarang Melayu dalam karya ketatanegaraan tersebut adalah bertujuan memberi panduan kepada raja-raja Melayu. Dalam Misa Melayu umpamanya, faktor pengganti dan pemerintah yang adil telah dikesan melalui wasiat Sultan Muzaffar Syah III:

“Baiklah anak kita Raja Mudalah akan ganti kita maka hendaklah baik-baik bicara orang besar-besar dan segala hulubalang pegawai pada memerintahkan takhta kerajaan anak kita dan selenggarakan negeri ini dan membelakan segala rakyat di dalam negeri ini. Maka bertitah pula baginda memandang kepada Raja Muda demikian titahnya akan anak kita Raja Muda pula hendaklah kiranya baik-baik bicara mengasihi segala orang besar dan segala anak raja-raja dan memerintahkan negeri dan membelakan segala rakyat bala tentera dan segala saudara dan hamba sahaya dan handai taulan hendaklah muafakat sama-sama kepada barang bicara dengan segala orang besar-besar dan seluruh anak buah sekalian.”

Karya-karya ketatanegaraan secara tidak langsung berfungsi sebagai saluran untuk menyampaikan amanat kepada para pemerintah. Meskipun kezaliman dan kefasikan tidak menyebabkan seorang raja itu digulingkan dari takhtanya, tetapi ianya adalah untuk mewujudkan kerajaan atau pemerintahan yang berkat. Walaupun terdapat banyak peristiwa kezaliman yang tercatat dalam pelbagai kitab sejarah Melayu tidak pernah memperlihatkan sistem kerajaan runtuh oleh pemberontakan atau kebangkitan rakyat, namun peristiwa seperti “Marhum Mangkat Dijulang” atau “Hang Jebat” seharusnya dijadikan teladan. Di dalam “Hikayat Raja-Raja Pasai” dipaparkan titah raja kepada pengarang untuk mengarang sebuah kitab yang menceritakan perihal diri termasuklah peraturan segala raja-raja Melayu sebagai panduan:

“Bahawa hamba minta diperbuatkan hikayat pada bendahara, peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya supaya didengar oleh anak cucu kita yang kemudian daripada kita dan diketahuinya segala perkataan. Syahadan beroleh faedah mereka itu daripadanya.”

 

« Laman Sebelumnya

The Rubric Theme. Create a free website or blog at WordPress.com.

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.