Jejak Mihrab & Mimbar

14/07/2010

Iktibar dari kavkaz-asadullah.blogspot.com

Filed under: Iktibar — Harleny Abd Arif @ 7:19 pm

 

Mohon izin kali ke-2 untuk plagiat ‘hak cipta’ dari laman blog adinda Muhammad Akmal…Moga perkongsian ini menjadi iktibar kita semua.

 

Kerna sepotong ayat Monday, March 22, 2010

~bismillahirrahmanirrahim~
 
 
          Masa awal² sampai ke mesir ni, maklumlah, bagai kuda ziarah ke kandang tapir, xtahu apa² langsung, bahasa arab pun hancur, nak naik tremco (pengangkutan awam berupa van) pun xtahu, apatah lagi nak naik bas, ah xlupa juga, ada metro, mcm komuter di malaysia, pun xtahu. untuk pengetahuan sahabat², di cairo sahaja, penduduknya 30 juta orang! bayangkanlah, bagaimana keadaan pengangkutan awam ni. cuma xseteruk di india, yang penumpangnya diatas bumbung kereta api.
           Suatu hari, semasa saya menaiki bas untuk pulang, dalam keadaan yang sangat sesak, bagai diisi dalam tin tuna spread, terpaksa saya berdiri 2 jam untuk balik. tiba² tegur seorang arab muda lingkungan 25 tahun kepada saya. beliau berkata “big“, saya pun dengan xpaham apa² buat xtahu, beliau berkata lagi, “big“, saya dah mula kerisauan, kerana pakcik lain pun kata begitu. melihat saya yang kebingungan, arab itu menunjukkan kearah beg saya, “OooH, beg keee” rupa-rupanya arab yang sedang duduk tu nak pegangkan beg saya. lega.
           Sedang saya berdiri, arab yang pegang beg tadi mula mengajukan soalan² bagai diinterview, antara soalan², min eh?(dari mana), ismak eh?(nama apa), enta muslim? azhari?, dan berbagai2 lagi yang saya xpaham, dengan kepahaman yang agak limited, saya jawab dengan tergagap².
           Sedang kami mesra berborak, arab yang tadi menunjukkan kearah seorang wanita mesir yang berpakaian ketat, beliau pun berkata, of course la saya xpaham, tp gaya percakapannya menunjukkan minat terhadap wanita tersebut. denga kata lain usha, skodeng dan entah apa2 lagi bahasa lainnya.
           Pada mulanya saya iyakan aje kata2 lelaki tersebut, lantas saya berkata, ul enta hebb (aku bgtau kau suka dea), lelaki tersebut pun kata pergi la dengan muka yang girang.

Kemudian saya keluarkan satu ayat dari al-quran kepada lelaki tersebut didengari pakcik disebelah yang dari tadi xsenang dengan lelaki ni yang asek bercakap pasal perempuan aje.

قُلْ لّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضّواْ مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُواْ فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَىَ لَهُمْ إِنّ اللّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

وَقُل لّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِ هِنّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنّ

Maksudnya, ” Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”

           Suasana gembira tadi terus automatic disusuli dengan suasana senyap dan suram, lelaki tadi terus suruh saya mengulangi ayat tadi , perasaan takut ada juga dalam hati saya kot2 dilempangnya kerna dek kurang asam menegur orang yang lebih tua. pakcik yang berada disebelah tadi mula bersuara bagai memarahi/nasihat lelaki arab td, bagai malu ditegur seorang lelaki yang bukan dari negaranya.
           Dengan serta merta nampak keinsafan terhadap lelaki tadi yang tadinya banyak bercakap, terus senyap, nah, walaupun arab ni kasar2, tiap hari ada je bergaduh, hati mereka ya Allah, bagi je ayat quran, cair. walaupun ditegur ngan budak. dibandingkan dengan orang kita, ditegur, makin tinggi hidungnya, hidungnya itu menggambarkan “kau xlayak tegur aku”.
           Nak disambungkan cerita, arab tu kehausan, dea bertanya kepada saya, ade air x?(dalam base arab) saya pun buka beg dan beri dea minum saki baki air saya yang beberapa mililiter, maklumlah, negara panas, berhabuk. Tiba2 lelaki tersebut bangun dan suruh saya duduk ditempatnya, walaupun perjalanan masih jauh, sejam lagi. Lelaki tu berkata hati dea sungguh terusik dengan ayat td dan dea hargai dan bagi saya duduk. macamtu kut, penulis pun paham sikit2 aje. lebih kurangla. penulis pun lega, dapat duduk..~

Allah mengetahui yang lebih baik~

 

14/05/2010

Ku Pendam Sebuah Duka: Pedihnya Tak Tertanggung Rasa

Filed under: Iktibar — Harleny Abd Arif @ 9:35 pm

Tarikh : 29 April 2010
Lokasi : Pesisir Pantai Lampuuk, Lho’nga

 

 

Tanggal 26 Disember 2004 bermula kisah penuh duka…kisah bagaimana wanita ini kehilangan suami, dua orang cahaya mata dan lapan daripada 10 adik-beradiknya. Kehilangan sekelip mata meragut nyawa insan yang dekat di hatinya. Keluarga besarnya kini hanya meninggalkan 2 waris sahaja…dia dan adik perempuannya. Setelah adik perempuannya bernikah, tinggallah dia sebatang kara. Peneman setianya saban hari adalah sebuah bakul jualan kacang buat menyara hidup sehari-hari. Pergelangan tangan kirinya kelihatan terkulai…lantas saya bertanya apakah penyebabnya. Rupanya gara-gara dipukul tsunami sehingga patah pergelangan tangannya… dan sehingga kini tak pernah disimen dan dibiarkan pulih dengan sendirinya. Namun ada kesan yang lebih dalam lukanya berbanding kesan di pergelangan tangannya…ada kisah lebih pahit ditanggung dalam jiwa daripada parut dan luka yang dapat dilihat secara zahirnya.

Bermulanya episod duka…
Sewaktu kejadian, dia bersama 2 anaknya (perempuan 11 tahun dan lelaki  4 tahun) berada di dalam rumah yang kedudukannya terletak di belakang Masjid Rahmatullah. Gelombang besar dari arah pesisir pantai Lampuuk telah  menghanyutkan wanita ini 15 kilometer sehingga ke desa Lham Lhom. Apabila ditanya bagaimanakah situasinya dihanyutkan arus tsunami, dia sukar mengingati dan sekadar menjawab, “Sudah diaduk-aduk…tak ingat apa-apa.” Mungkin kerana kejadian yang berlaku sekelip mata membuatkan dirinya tidak sempat untuk memberi perhatian pada apa yang sedang berlaku di sekitarnya. Malah, rata-rata individu lain yang diajukan persoalan sedemikian akan mengutarakan jawapan yang sama…”Tak ingat apa-apa.”

Apa yang difikirkan oleh wanita ini hanyalah 2 orang anaknya…”Di manakah anak-anakku? Apakah mereka masih hidup atau sebaliknya?” Sebagai seorang ibu, apa yang diharapkan adalah keselamatan nyawa mereka. Namun, realitinya amat memilukan apabila wanita ini harus berdepan suratan bahawa suami dan kedua anak yang dikasihi terlebih dahulu dijemput Ilahi. Pada awalnya sukar untuk menerima hakikat kedua anaknya telah tiada. Tambah pilu apabila melihat rakan anaknya yang sebaya usia berkejaran ke sana ke mari di perkarangan sekolah mahupun anak jiran tetangga yang bermain girang di halaman rumah mereka. Bila hati terkenang kedua permata hati yang pernah dikandung 9 bulan dalam rahim, hati mula bersuara, “Mengapa anakku yang yang jadi korbannya…bukan anak-anak mereka?” Itulah yang sering dipersoalkan wanita ini. Sambil bercerita, sesekali hujung jari kakinya menguis-nguis pasir…seolah-olah menyembunyikan duka yang terpendam di jiwa yang peritnya tak tertanggung rasa. Melihat raut wajahnya yang semakin suram, lalu saya cuba memujuk hatinya dengan berkata, “Kak, setiap kejadian yang berlaku sama ada baik atau buruk semuanya  membawa kebaikan untuk kita. Apa yang berlaku terkandung hikmah didalamnya. Moga kakak tabah dan redha dengan apa yang dilalui. Allah lebih sayangkan mereka, jadi jemput mereka terlebih dahulu. Kedua anak kakak pasti tempatnya di syurga kerana mereka pergi dalam usia yang masih muda…” Bibir wanita di hadapan saya ini mula menguntum senyuman. Saya telah membuka kisah pahit dalam hidupnya di awal bicara, jadi biarlah saya tutup dan akhiri pertemuan dengan kemanisan kata-kata buat penawar duka di hatinya…

 

* Terima kasih kak Ati kerana sudi berkongsi kisah duka yang punya rahmat di sebaliknya dan memberi keizinan untuk dipaparkan di sanggar www.jejakmihrabmimbar.wordpress buat tatapan tetamu saya. = )

 

19/04/2010

Tsunami: Kapal dan Bot Berlabuh di Daratan

Filed under: Iktibar — Harleny Abd Arif @ 10:41 am

 

Tarikh : 01 Jun 2009
Lokasi : Aceh Besar

 

___________________________________________________________

Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu
Dia hanya berkata kepadanya:
“Jadilah!” maka jadilah sesuatu itu.

(Yaasin: 82)

  ___________________________________________________________________

 

 

Kapal Janakuasa Letrik PLTD Apung ini berlabuh beberapa kilometer dari pelabuhan. Bayangkan betapa besarnya gelombang tsunami sehingga kapal sebesar ini mampu dihanyutkan ke sebuah desa di daerah Aceh Besar.

 

Kamera saya tidak dapat merakam visual keseluruhan bentuk kapal. Hal demikian kerana saiz  kapalnya sahaja sebesar sebuah bangunan pasaraya dengan ketinggian melebihi aras 2 batang pohon kelapa sehingga membuatkan bahagian kepala dan ekor kapal terkeluar dari bingkai lensa kamera.

 

Kapal besar ini adalah monumen paling besar yang tersadai di daratan. Masyarakat di sekitar desa ini yakin bahawa terdapat jasad-jasad mangsa tsunami yang berkubur di bawahnya.

 

Adinda Nurul Idayu berada di bahagian tingkat bawah kapal. Perhatikan sisa runtuhan rumah pada bahagian belakang…hanya tinggal bekas tapak kediaman.

 

Kedudukan monumen bot nelayan ini terletak kira-kira 200 meter dari lokasi Tempat Pendaratan Ikan (TPI) di desa Lampulo. Sebelum bencana tsunami berlaku, bot ini sedang tersadai di pesisir pantai sebelum dipukul ombak besar. Bot ini kemudiannya hanyut dibawa arus dan dengan izin Allah berlabuh dengan selamat di atas bumbung rumah Haji Misbah.

 

Ayahanda dan bonda di hadapan monumen bot nelayan (di Aceh  dinamakan dengan Kapal Tsunami Lampulo). Di sisi keduanya diletakkan peti tabung sumbangan.

 

Bonda di sisi batu penanda Kapal Tsunami Lampulo. Ayat yang tertera pada permukaannya ditulis dalam 3 versi iaitu Bahasa Acheh, Bahasa Indonesia dan Bahasa Inggeris. Dalam bahasa Acheh berbunyi, Kapai ureung meulao^t nyoe”, jipeu~’ek ateuh rumohnyoe le’ geulumbang tsunami bak 26 Desember 2004. Kapai nyoe jeuet keu tanda nyang peunte’ng ~pakriban keuh dahsyat musibah tsunami nyan. Beureukat kapai nyoe, 59 ureung seulamat watee kejadiannyan. Terjemahan dalam Bahasa Indonesia pula adalah seperti berikut: Kapal orang melaut ini, dinaikkan di atas rumah ini, oleh gelombang tsunami pada 26 Desember 2004. Kapal ini bisa menjadi tanda yang penting bagaimana dahsyatnya musibah tsunami tersebut. Berkat kapal ini, 59 orang berhasil diselamatkan pada waktu kejadian tersebut.

 

Saudara Iskandar Muda atau nama ringkasnya Ismud (kiri) adalah pemandu arah yang membawa Team Jejak Mihrab dan Mimbar dalam 2 siri kunjungan terdahulu (Jun dan Oktober 2009).

 

Perhatikan 2 foto di atas…bahagian buritan bot yang dahulunya berlayar di lautan, akhirnya mendarat dengan selamat setelah tersasar haluan menghempas perabung rumah kediaman salah seorang penduduk di desa Lampulo.

 

18/04/2010

Tsunami: Rahmat ALLAH di Masjid Rahmatullah

Filed under: Iktibar — Harleny Abd Arif @ 10:27 pm

 

Tarikh : 01 Jun 2009
Lokasi : Masjid Rahmatullah di desa Lampuuk, Lhoknga, Acheh Besar

  

Beberapa hari ini saya agak sibuk dengan aktiviti yang dicipta sendiri sehingga sanggar tetamu ini sepi lantaran tidak terisi. Mudah-mudahan sepanjang minggu ini saya dapat menulis beribu-ribu patah perkataan sebelum berangkat beribu-ribu kilometer menyeberang lautan…merentasi Selat Melaka menuju ke Tanah Tumpah Waris Teratas. Tanggal 26 hingga 30 April depan, misi ke-3 Jejak Mihrab dan Mimbar bakal menyusul selain Misi Jejak Salasilah (Misi “sambil menyelam minum air”). Dalam pada berfikir-fikir apa yang hendak disaji dan dikongsi…akhirnya foto-foto simpanan yang dirakam sekitar tahun lalu menjadi pilihan sanggar tetamu pada kali ini.

 

Dalam episod ini, saya ingin membawa anda semua terbang ke Wilayah Acheh, Bumi Serambi Mekah. Daerah Acheh terletak di hujung Utara Pulau Sumatera iaitu bahagian paling Barat negara Republik Indonesia. Secara geografinya, wilayah Acheh ini terletak pada kedudukan sebelah utara bersempadan dengan Selat Melaka, sebelah selatan bersempadan dengan provinsi Sumatera Utara, sebelah barat bersempadan dengan Samudera Indonesia dan sebelah timur bersempadan dengan Selat Melaka.

 

Pesisir pantai yang tenang ini pernah dilanda gelombang besar lebih 5 tahun lalu…TSUNAMI kekal terpahat dalam ingatan selama-lamanya. Dalam bencana diperlihatkan Kebesaran Maha Pencipta. Mata sekalian manusia menjadi saksinya…akal manusia mencari iktibarnya…

 

Daratan ini pernah disimbahi TSUNAMI…ia bukan simbahan biasa, tetapi luarbiasa besarnya. Menghancurkan segala yang ada dipermukaannya. 

 

Ini buktinya…rata-rata daripada rumah yang ada hancur binasa, namun rumahNya kekal terpelihara. Ini sebenarnya hanya sebuah daripada ratusan masjid-masjid yang selamat berkat RahmatNya.

 

Masjid ini selamat dalam perlindungan Yang Maha Berkuasa…Masjid Rahmatullah masih utuh berdiri kerana Rahmat Ilahi. Sebelum ini mata khalayak sering disajikan dengan paparan visual binaan luar masjid. Jadi pada kali ini, saya akan membawa mata khalayak semua mengintai lebih dekat ruang dalaman Masjid Rahmatullah.

 

Ayahanda dan bonda bergambar di luar perkarangan Masjid Rahmatullah. Lokasi masjid ini terletak di desa Lampuuk, kecamatan Lhoknga,  Aceh Besar.  

 

Bagaikan tidak percaya saya berdiri di hadapan masjid yang sebelum ini hanya disaksikan paparannya secara visual. Kini binaan maujud disaksikan dengan sepasang mata. Rakamannya pula saya kongsikan dengan mata-mata tetamu semua.

 

Binaan masjid ini telah dirasmikan pada hari Jumaat 19 September 1997 bersamaan 10 Jamadil Awal 1418 Hijrah oleh Prof. Dr. H. Syamsuddin Mahmud selaku Gabenor Ketua Daerah Istimewa Acheh.

 

Suasana menghampiri senja semasa saya tiba di masjid ini. Tiada sesiapa yang bertamu di ruang dalam melainkan kumpulan semut hitam dengan saiz seperti kerengga ini.

 

Tinjau apa yang terjadi  di sebalik dinding kaca. Tiang bahagian kanan sendeng kedudukannya…Inilah penangan TSUNAMI yang melanda secara tiba-tiba.

 

Bahagian yang paling ketara kerosakannya adalah struktur tiang-tiang penyangga yang menyokong gerbang di ruang  serambi dan ruang dalam masjid.

 

Setelah 5 tahun berlalu, masih begini keadaannya. Apakah sengaja dibiarkan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengekalkan struktur yang telah rosak sebagai tanda bencana yang pernah melanda?

 

Setelah melihat sisa-sisa tanda di hadapan mata, lalu hati mula berkata-kata, “Inilah kuasa Ilahi…yang tegak berdiri sekelip mata tumbang menyembah bumi. Inilah bukti yang menjadi tanda bahawa pernah terjadinya bencana TSUNAMI di sini. Walaupun binaan luarnya kelihatan gah berdiri di permukaan bumi, namun bahagian dalamnya ada yang telah runtuh menyembah bumi.”

 

Saksikan dengan sepasang mata saudara mahupun saudari. Inilah akibat bilamana hadirnya TSUNAMI. Ada sahaja yang rebah di sana sini.

 

Semoga paparan ini memberi iktibar dalam diri. Sekurang-kurangnya kita yang tidak merasai pengalaman berhadapan tragedi ini terbuka pintu hati untuk menginsafi diri. Apakah makna tertera pada papan tanda “JANGAN LUPAKAN  TSUNAMI?” Di sebaliknya tersingkap rahsia alam yang punya makna untuk dimengerti…

 

11/03/2010

Kasih Ibu

Filed under: Iktibar — Harleny Abd Arif @ 4:54 pm

 

Kisah yang dipaparkan amat sukar untuk dilupakan kerana di dalamnya terakam pengajaran yang amat bermakna. Setiap kali terkenang, mudah untuk saya  mengalirkan air mata. Kerana apa? Lantaran ianya menyingkap nilai kasih sayang dan pengorbanan seorang insan bergelar ibu yang tiada tolok bandingnya di dunia.

Kisah berlaku dlm bulan Ramadhan…2004

Seperti biasa, saya sekeluarga akan meluangkan waktu untuk pulang berbuka puasa serta bersahur bersama emak dan ayah di kampung. Kepulangan ke kampung bolehlah diibaratkan sambil menyelam minum air kerana selain berbuka bersama, saya turut berpeluang bertemu adik lelaki yang akan berangkat pulang ke Mesir setelah menghasbiskan cuti semesternya (adik saya beruntung kerana rezekinya dapat pulang setiap tahun ke pangkuan keluarga) . Sudah menjadi kebiasaan,  pelajar yang pulang bercuti di Malaysia akan dihubungi oleh ibubapa rakan mereka sebelum berangkat pulang. Tidak lain dan tidak bukan kerana menggalas tugas sampingan selaku perantara untuk membawa kiriman barang-barang kepada anak-anak mereka yang tidak dapat pulang bercuti (biasa la…ada di antara mereka yang tidak dapat pulang dek kerana kekangan kewangan). Barangan yg dikirim biasanya seperti rempah, serunding, kerepek dan apa sahaja makanan kegemaran anak-anak mereka semasa berada di Malaysia. Itulah tanda kasih ibu yang akan sentiasa mengingati anaknya. Mulut kedua orang tua tidak pernah lekang dengan sebutan nama anak semasa menjamah makanan. Termasuklah emak yang akan sentiasa menyebut nama adik lelaki saya apabila makanan yang dijamahnya adalah makanan kegemaran adik. “Ni, makanan yang ahey suka…”, begitulah ayat penyata yang sering disebut-sebut. Tapi apa yang amat meruntun hati bukanlah kerana peristiwa tersebut, sebaliknya apa yang akan saya kongsikan selepas ini.

Siang hari sebelum berbuka puasa bersama keluarga di kampung, adik lelaki saya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita (ibu kepada kenalan serumahnya di Mesir). Ibu tersebut memaklumkan bahawa dia akan berangkat menaiki bas ekspres dari Kedah ke Puduraya pada hari itu juga dengan tujuan untuk menyerahkan bungkusan barang kepada anaknya. Oleh hal demikian, dia meminta jasa baik adik lelaki saya untuk menunggu di Puduraya kerana dia hanya datang untuk menghantar barang dan kemudiannya akan berpatah semula pulang ke Kedah. Atas dasar simpati… selepas berbuka puasa, adik lelaki saya pun bertolak dari Tanjung Malim ke Puduraya (1 jam perjalanan di lebuhraya) semata-mata untuk mengambil bungkusan tersebut. Tiba di sana, dari kejauhan… kelihatan seorang ibu tua ditemani anaknya membawa bungkusan seperti yang dijanjikan. Sejurus selepas mengambil bungkusan, ibu tua tersebut berpatah semula ke platform untuk berangkat pulang. Lihatlah betapa kasihnya seorang ibu, sanggup berkorban masa dan tenaga demi anak yang dikasihi. Sanggup menghantar semata-mata 1 bungkusan makanan dengan melalui 12 jam perjalanan pergi dan pulang.

Saat yang membuatkan hati saya menjadi sayu, pilu, sebak, simpati, insaf dan sebagainya…Setiap perasaan tersebut datang bersilih ganti.

Semasa adik menerima barangan tersebut di Puduraya, bungkusan yang diserahkan kelihatan agak kotor dan berair. Jadi, sebaik tiba di rumah, saya membuka satu persatu barangan yang ada dalam bungkusan. Terpaksa saya buka demi menyelamatkan barangan yang ada. Rupa-rupanya, plastik yang diisi dengan kicap telah bocor. Tumpahan kicap itulah yang mengotorkan bungkusan yang dibawa. Firasat saya, ibu tua tersebut berfikir lebih selamat mengisi kicap dalam plastik berbanding mengekalkannya dalam botol yang berkemungkinan pecah. Tetapi, plastik yang harapkan lebih selamat turut bocor sebelum sempat dibuka oleh anaknya. Sewaktu membuka satu persatu bungkusan tersebut, air mata ini mengalir setitik demi setitik seterusnya mengalir laju sehingga tidak mampu saya menahannya. Kandungan bungkusan tersebut terdiri daripada beberapa paket REMPAH KARI, IKAN MASIN, KICAP, PANADOL, SEKEPING WARKAH (isi kandungan yang menjurus kepada pesanan agar belajar brsungguh-sungguh & sentiasa beringat tentang kepayahan keluarga) & SEKEPING FOTO KELUARGA (untuk tatapan anaknya). Kesemua barangan diletakkan dalam kotak kasut dan surat khabar sebagai kertas pembalut. Tetapi keseluruhan pembalut tersebut perlu saya buka dan gantikan dengan yang baru. Betapa hibanya hati hanya Allah yang tahu. Setelah dicongak-congak, nilai barang kiriman tersebut dalam lingkungan harga RM20-RM25 sahaja. Nilai yang sangat murah berbanding tiket bas pergi dan pulang (KEDAH-KL-KEDAH). Nilai barangan yg saya anggar separuh atau mungkin kurang lagi dari harga tiket perjalanan dua hala ibu tua tadi. Seolah-olah tidak berbaloi dengan masa perjalanan yang dilalui. Namun, itulah hakikat NILAI KASIH SAYANG & PENGORBANAN SEORANG IBU yang tidak dapat ditandingi dengan apa yang ada di dunia ini. Nilai KASIH yang tak mampu diterjemahkan hanya dengan kata-kata. Nilai KASIH YG MEMBAWA KE SYURGA…

 

 Renungan

Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua IBUBAPA. (An-Nisa: 36)

 

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada IBUBAPAmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “Ah!” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.  (Al Israa’: 23)

 

Katakanlah: “Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu, yaitu: Janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua IBUBAPA…     (Al An’aam: 151)

 

01/02/2010

Iktibar Gempa di Padang

Filed under: Iktibar — Harleny Abd Arif @ 7:43 am

 

 

Sewaktu kejadian gempa di Pariaman, Padang (2009), saya dan Team Jejak Mihrab II sedang menjalankan kajian lapangan (fieldwork) di bahagian Acheh Selatan.  Bencana yang menimpa dimaklumkan oleh salah seorang team kami setelah beberapa jam gempa melanda di daerah tersebut. Justeru, di ruang blog ini ingin saya kongsikan bersama khalayak tentang pengalaman semasa berkunjung ke Sumatera Barat pada tahun 2004 dalam misi menjejak makam waris keturunan Haji Mustafa Raja Kamala. Catatan ini sekadar luahan dan pandangan, namun sebagai hambaNya marilah kita bersama-sama muhasabah diri di atas apa yang terjadi. Tiada kebetulan, kerana semuanya adalah perancangan dan ketentuan Tuhan…di sebaliknya tersembunyi iktibar buat pedoman kita bersama.

Semasa gempa…

Sewaktu kejadian gempa di padang, saya sedang dalam perjalanan dari Sawang menuju ke Tapak Tuan dan Kluet Utara (Acheh Selatan). Gegarnya tidak dirasai kerana pada masa itu team Jejak Mihrab II sedang berada dalam kenderaan melalui lereng-lereng gunung. Sebaik tiba di Masjid Tua Pulo Kameng (Pulau Kambing) Kluet Utara, team kami dimaklumkan oleh pihak pengurusan masjid bahawa tsunami bakal menyusul dalam tempoh 6 jam dari saat gempa berlaku. Walaupun Acheh tidak termasuk dalam senarai negara yang bakal berhadapan bencana tsunami, namun team kami tetap mengambil langkah selamat. Justeru, sebaik selesai solat maghrib di masjid tersebut, team kami bergegas pulang dengan harapan dapat melepasi kawasan pesisir pantai sebelum tempoh berkenaan.

Setelah gempa…

Tragedi Gempa di Pariaman, Padang Sumatera Barat menyebabkan kemusnahan dalam sekelip mata. Apa yang menyedihkan, ratusan kanak-kanak sekolah menjadi pengemis jalanan untuk mengisi perut saban hari. Membaca dan menatap foto kanak-kanak tersebut seperti  dipaparkan dalam akhbar cukup meruntun hati khalayak.

Sorotan pengalaman…

Daerah Pariaman  yang telah saya jejak 5 tahun (2004) yang lalu masih jelas terbayang di ruang mata. Rasa ingin tahu yang mendalam semasa menjalankan kajian MA telah menghadirkan saya ke sana. Perjalanan terarah ke sebuah desa bernama Ulakkan, Pariaman. Di sanalah terletaknya makam Sheikh Burhanuddin (Pengembang Tarekat Nakhshabandiah). Walaupun ianya bukan lokasi tepat seperti yang diharapkan dalam kajian, namun saya tetap singgah ke kompleks makam tersebut untuk tujuan berziarah.

Sebaik melangkah, kelihatan mangkuk berbentuk kerang diletakkan di sudut kiri dan kanan pintu masuk. Bekas tersebut berfungsi sebagai tadahan air. Konon untuk dibuat ubat pelbagai jenis penyakit dan mohon hajat. Jadi pengunjung yang ingin sembuh daripada penyakit dan berhajat sesuatu boleh mengambil airnya untuk dibuat ubat. Saya sekadar memerhati dengan perasaan kurang senang. Keadaan ini amat berbeza dengan malaysia kerana perlakuan tersebut dilarang keras oleh pihak agama.

Situasi yang amat janggal membuatkan saya rasa kurang selesa berada di sana. Namun, atas dasar menghormati adat dan budaya setempat (walhal hakikatnya bercanggah syariat), saya pujuk hati agar bersabar. Pengunjung lain masuk bersilih ganti. Sedang terpinga-pinga, saya lihat seorang wanita tua masuk sambil menggendong seekor anak kambing masuk ke ruang dalam kompleks makam. Saya yang agak hairan sempat bertanya, “Kenapa dibawa kambingnya masuk buk?”. Dengan wajah selamba pertanyaan tersebut dijawab bersahaja, “Buat hajat agar ternakannya berkembang biak…”

Begitu kuat pengaruh terhadap makam keramat sehingga kuburan para pendakwah dijadikan tempat mendapatkan ubat bagi tujuan penyembuhan penyakit dan bermohon hajat. Hanya Allah tempat bermohon bukan selain daripadaNya. Tindakan tersebut seolah-olah mempersekutukan Allah. Moga kita selaku hambaNya tidak tersasar dari landasan ajaran Islam dan tidak berpaling dari hukum yang ditetapkan syariat. Musibah yang berlaku adalah dengan izin Allah. Namun rahsia di sebalik bala yang menimpa dapat dijadikan pengajaran bagi mereka yang berfikir.

_______________________________________________________________

Renungan

Surah ath-Thalaq: 8-9

“Dan betapa banyak (penduduk) negeri yang mendurhakai perintah Tuhan mereka dan Rasul-Rasul-Nya, maka Kami buat perhitungan terhadap penduduk negeri itu dengan perhitungan yang ketat, dan kami azab mereka dengan azab yang mengerikan (di akhirat). Sehingga mereka merasa akibat yang buruk dari perbuatannya, dan akibat perbuatan mereka itu adalah kerugian yang besar.”

 

Surah al-Hadid: 22

“Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab Lauh Mahfudzh sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh yang demikian itu mudah bagi ALLAH…”

 

Makam Syeikh Burhanuddin

 
Keterangan

Sheikh Burhanuddin adalah seorang tokoh ulama yang mengembangkan agama Islam di Minangkabau dengan falsafah “Syarak Mandaki, Adat Manurun.” Foto di atas memaparkan pengunjung yang sedang berbaris menanti giliran untuk masuk ke ruang dalam makam. Masing-masing datang dengan hajat dan tujuan tertentu.

 

31/01/2010

Iktibar Tsunami

Filed under: Iktibar — Harleny Abd Arif @ 8:38 pm

 

 

Kunjungan ke Makam Sultan Malikussaleh (1270-1297) di Samudera Pasai 02 Oktober 2009 memberi iktibar yang amat mendalam dalam diri. Selain matlamat utama menjejak mihrab masjid kuno di daerah tersebut, saya mengambil peluang berziarah ke makam Sultan Malikussaleh. Oleh kerana team kami tiba pada waktu tengah hari jumaat, maka saya harus menunggu jurukunci (penjaga makam) pulang dari mengerjakan solat jumaat. Hal demikian adalah kerana, kompleks makam tersebut dijaga dengan rapi dan dikunci. Justeru, sementara menunggu kepulangan jurukunci dan ahli lain pulang dari masjid berdekatan, saya menumpang rehat di kedai runcit yang jaraknya 10 meter dari lokasi makam. Kesempatan yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin dengan menemubual pemilik kedai tersebut tentang bencana tsunami yg melanda 5 tahun lalu.

Menurut pemilik kedai, desa tersebut mempunyai lebih daripada 120 buah rumah. Namun hanya 20 lebih buah rumah yang terselamat daripada dihancurkan ombak tsunami. Walaupun peristiwa tersebut telah lama berlalu, namun mereka masih trauma setiap kali mengenangkan tragedi yang mengorbankan banyak jiwa dan harta benda. Sehingga ke hari ini, tempias tsunami masih dirasakan. Angin yang bertiup kencang, ribut, hujan lebat dan bunyi ombak sahaja sudah membuatkan mereka rasa gerun dan cemas. Allah campakkan rasa ketakutan dalam hati sehingga kebimbangan membelenggu diri mereka. Rasa takut dan bimbang membuatkan mereka tidak putus-putus berzikir dan berdoa sepanjang masa dengan harapan dijauhkan daripada bala menimpa.

Namun, apa yang membuatkan saya benar-benar insaf apabila pemilik kedai tersebut mengatakan bahawa apa yang berlaku punyai hikmah agar manusia lebih dekat dengan Allah. Setelah apa yang berlaku, mereka lebih bermuhasabah diri. Tragedi tsunami berlaku sekitar jam lapan lebih pada pagi hari minggu. Jadi anak-anak pada masa tersebut berada bersama keluarga di rumah. Cuba bayangkan sekiranya tragedi tersebut berlaku pada hari persekolahan. Bagaimana situasi anak-anak Acheh pada masa tersebut? Dapatkah kita bayangkan pula sekiranya bencana tersebut berlaku pada waktu malam? Subhanallah, lihatlah betapa hebatnya perancangan dan pelaksanaan Allah. Dalam kepedihan tersembunyi rahmat dan kasih sayang Allah.

Pengalaman jurukunci makam yang terselamat dari ombak tsunami turut dikongsi bersama team kami. Tidak semua penduduk kampung (terutamanya golongan tua) sempat lari menyelamatkan diri ke lokasi lebih tinggi dan selamat. Beliau yang lebih 20 tahun menjaga makam tersebut nekad masuk ke kompleks makam Sultan Malikussaleh bersama beberapa orang penduduk dan pelajar pesantren (sekolah pondok) berdekatan. Dengan zikir dan doa yang tidak putus-putus, mereka hanya bertawakkal kepada Allah. Hidup dan mati diserah bulat-bulat kepada Maha Berkuasa. Soal ajal di tanganNya, selaku hamba yang kerdil hanya pasrah dengan ketentuan Ilahi. Jika ajal sudah menjemput, tidak mungkin dapat ditunda atau dipercepatkan walau sesaat pun.

Dalam ketakutan yang amat sangat melihat ombak besar dari kejauhan, tidak dapat tidak, mereka harus juga berdepan dengan apa yang berada di hadapan mata. Apa yang terjadi? Maha Suci Allah…dengan IzinNya, ombak besar tersebut terbelah dua sehingga sedikit pun tidak masuk ke dalam makam tempat mereka berlindung. Siapa yang berlindung di dalamnya? Sebahagiannya adalah golongan tua, anak-anak yatim dan pelajar sekolah pondok berdekatan yang sentiasa basah bibirnya dengan zikir dan doa. Terpeliharanya kompleks makam dari hancur binasa juga tidak dapat disangkal lantaran di dalamnya bersemadi jasad seorang sultan yang soleh iaitu Sultan Malikussaleh (1270-1297). Beliau adalah raja pertama dari Kerajaan Islam di Samudera Pasai.  Berkat pemerintahan beliau, Islam tersebar dan berkembang di wilayah Acheh dan Melaka.

 

Makam Sultan Malikussaleh, Samudera Pasai

 

Theme: Rubric. Blog di WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.