TINJAUAN (28/09 /09 - 05/10/09)
TARIKH : 28/09/09 (ISNIN)

- Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda
Bertolak dr LCCT, Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh.
TARIKH : 29/09/09 (SELASA)

- Lambaian ke arah Masjid Raya Baiturrahman
Hari pertama perjalanan misi Jejak Mihrab. Dari Hotel Sulthan, Banda Aceh, team kami singgah sebentar ke ruang dalam Masjid Raya Baiturrahman untuk merakam foto mihrab. Namun, acara pernikahan yang sedang berlangsung di ruang solat mengekang hasrat kami merakam foto mihrab dan mimbar dari jarak dekat. Ruang masa yang terhad tidak mengizinkan kami menunggu lebih lama. Justeru, langkahpun diatur untuk perjalanan seterusnya. Selamat tinggal Baiturrahman…

- Pesisir pantai yang mendamaikan…
Hutan batu di kota melemaskan pandangan. Perjalanan dari Banda Aceh ke Lamno melahirkan ketenangan dan kedamaian di jiwa. Lautan yang luas terbentang bagai terapi pandangan yang mengasyikkan.

- Diapit bukit batu
Bukit di kiri dan kanan ini, bukan bukit batu namanya. Sekadar memberi nama berdasarkan bentuk permukaannya. Nampak menarik pula pemandangan lautan di hadapan mata, lalu saya merakam foto ketika melalui tengah bukit…

- Permulaan liku-liku perjalanan…
Liku-liku perjalanan kami bermula sebaik melalui lereng gunung menghala ke Lamno. Team kami dimaklumkan bahawa terdapat runtuhan tanah di hadapan. Perasaan berbaur cemas dan bimbang kerana saya mula memikirkan sekiranya team kami terpaksa berpatah semula dan pastinya misi ini tertunda sedangkan saya terikat dengan jadual perjalanan yang ketat. Namun, saya pujuk hati agar tenang dan sabar kerana yakin ada hikmah tersembunyi atau setidak-tidaknya, ia ujian yang harus ditempuhi untuk menguji ketabahan hati. Saya yakin, tiada kebetulan dalam setiap laluan, sebaliknya ianya ketentuan dari perancangan Allah. Saya muhasabah diri bahawa, kita selaku hambaNya hanya mampu merancang, tetapi Allah yang menentukan. Sedang melayan detikan hati terhadap ujian ini, tiba-tiba team kami dimaklumkan bahawa kerja-kerja pembersihan runtuhan tanah telah selesai. Alhamdulillah, syukur seribu rahmat kerana team kami hanya menunggu 30 minit. Ianya tersasar dari andaian awal kami yang berfikir pasti akan menunggu lama di situ atau berpatah semula untuk menangguhkan perjalanan keesokan harinya.

- Singgah sebentar untuk terapi mata…
Singgah sebentar untuk sesi terapi mata…angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyambut persinggahan sekumpulan musafir dalam kembara menjejak mihrab masjid tua.

- Lambaian Pulau Impian…
Pulau impian seakan melambai dari kejauhan, seolah-olah mengucap selamat jalan sebagai tanda perpisahan…

- “2 kilo cukup?”
Semasa melalui Lamno, mata tertumpu pada buah ini…Ayah yang turut serta sebagai peneman setia dalam misi jejak mihrab singgah membeli 2 kilogram untuk merasa isi buahnya. Bentuk seakan buah sentul, tetapi lebih kecil saiznya. Salah seorang team kami ada menyebut nama buahnya, tetapi tak ingat pula…
MASJID SABANG
Kecamatan Jaya, Kabupaten Aceh Jaya

- Lokasi Masjid Tua Sabang
Masjid Sabang adalah masjid pertama yang dikunjungi oleh Team Jejak Mihrab pada hari pertama perjalanan tanggal 29 Sept. 2009.

- Tiang bersegi 8 di ruang dalam masjid
Masjid tua Sabang terletak dalam kawasan Pesantren Bustanul Adarusiyah, Lamno. Binaan awal masjid ini asalnya di Glee Umpun dan kemudiannya dipindahkan ke Sabang pada tahun 1911. Peninggalan lama yang masih tersimpan di ruang dalam masjid adalah tiang kayu bersegi 8, mimbar dan beduk.
* Informan: Samsul Bahri

- Perjalanan diteruskan ke bahagian Acheh Selatan
Selamat tinggal Lamno…perjalanan diteruskan ke Meulaboh menghala ke bahagian Acheh Selatan.
Tidak terduga begini keadaan jeti dan rakit yang akan membawa kenderaan kami menyeberang sungai. Apa yang saya gambarkan sebelum tiba tidak seperti yang sedang diperhatikan di hadapan sana. Saya mula memikirkan tentang keselamatan tanpa pemakaian jaket keselamatan. Tambah bimbang apabila mengenangkan keselamatan pelbagai peralatan seperti netbook, kamera digital, laporan dan segala data yang dibawa bersama. Beginilah reaksi saya yang tidak biasa berhadapan dengan situasi sedemikian rupa.

- Liku-liku perjalanan seterusnya…
Jambatan yang menghubungkan laluan ke seberang sungai telah runtuh semasa kejadian tsunami. Justeru, rakit digunakan sebagai pengangkutan air untuk menuju ke seberang. Beginilah keadaan penduduk setempat, mahupun pengunjung yang menggunakan laluan ini saban hari. Bukan mudah kerja mereka yang mengendalikan rakit ini. Lihat sahaja bagaimana mereka membuat landasan daripada kepingan kayu untuk kenderaan masuk ke ruang lantai rakit. Jika tersasar pertimbangan, kenderaan boleh menjunam masuk ke dalam sungai. Nauzubillah, minta dijauhkan sebab saya tidak pandai berenang…

- Siapa cepat…dia ke seberang dahulu
Seperti biasa, sistem giliran dijalankan untuk membawa kenderaan ke seberang. Siapa datang awal, dialah yang akan naik dahulu, manakala yang kemudian menunggu sampai tibanya waktu.

- Mereka pergi dulu…
Mereka pergi dahulu, sedangkan kami masih menunggu. Hanya inilah satu-satunya rakit yang ada. Ia akan menghantar masyarakat setempat dan pengunjung dari luar daerah tersebut ke seberang, lalu berpatah semula untuk mengambil mereka yang lain pula.

- Semakin jauh…
Hampir satu jam juga menunggu giliran untuk ke seberang sungai. Mujur semasa kami tiba, tidak banyak kenderaan yang menunggu. Kenderaan kami giliran kedua menaiki rakit tersebut.

- Giliran kami dah tiba…
Van di atas rakit tersebut adalah kenderaan yang naik dari seberang sana.

- “Hati-hati pak!”
Kami semua turun dari kenderaan. Hanya pemandu seorang yang bergerak ke atas permukaan rakit terlebih dahulu.

- Emak peneman setia…
Selain ayah, emak turun menemani misi terdahulu dan kini (juga akan datang). Rasional membawa emak sebagai peneman kerana hanya saya seorang sahaja wanita dalam team ini. Justeru, dengan adanya emak, maka adalah teman sejantina saya di rantau orang. Namun, apa yang lebih bermakna dari menjadi teman adalah kekuatan dan semangat daripada emak selaku penasihat. Begitu juga ayah yang bertindak sebagai pemerhati yang sentiasa memberi teguran dan pesanan. Alhamdulillah dikurniakan insan teristimewa (emak & ayah) yang tiada tolok bandingnya di dunia ini. Mereka sanggup bersusah payah menemani saya walau ke mana sahaja. Terima kasih buat keduanya…

- Emak beraksi di atas rakit…
Emak membuat permintaan untuk bergambar di sisi kenderaan tersebut. Tidak ingat saya apa fungsi kenderaan di atas.

- Dah sampai ke seberang…
Syukur tiba jua akhirnya. Kami melangkah ke tebing terlebih dahulu sebelum van bergerak keluar dari rakit.

- “Selamat jalan pak…”
Selamat jalan semua…sungai ini adalah laluan yang terpaksa dilalui untuk meneruskan perjalanan ke Meukek.

- Laluan berbatu…
Setelah menyeberang sungai, kini kami perlu melalui jalanan berbatu.

- Badai?
Saya difahamkan bahawa, kawasan ini dahulunya adalah daratan. Namun, ia berubah menjadi lautan setelah tsunami melanda. Dapat diperhatikan banyak batang pokok kelapa yang tumbang dan ada pula yang tegak tanpa pelepahnya, selain bongkahan sisa batu.

- Lautan biru…
Sepanjang perjalanan melalui pesisir pantai, didapati ombak agak kuat menghempas ke pantai. Keadaan tersebut berbeza dengan alunan ombak di pesisir Pantai Timur Semenanjung. Lihat sahaja ombak di sini, wujud rasa gerun membayangkan tsunami yang pernah mengorbankan banyak jiwa dan harta benda. Kebetulan pula, sepanjang misi ini, team kami melalui kawasan pesisir pantai Meulaboh yang terparah tsunami.

- Damai…
Damai dan tenang perasaan saat memandang lautan…

- Tepian pantai…
Jalan ini adalah laluan alternatif setelah tsunami merosakkan struktur jalan yang pernah dibina sebelumnya.

- Becak…
Lumpur menyebabkan tanah becak…Khuatrir juga sekiranya tayar tersekat dalam lumpur tanah merah.
TARIKH : 30/09/09 (RABU)
MASJID AT TAQWA
Kecamatan Meukek, Kabupaten Ie Dingen (Air Dingin)

- Puncak kubah (bahagian dalam) masih dikekalkan

- Pinggan lama ini disimen pada dinding luar masjid
Binaan masjid asal telah dibongkar dan didirikan dengan bangunan baru. Peninggalan lama yang masih disimpan ialah sebuah pinggan yang disimen pada bahagian dinding luar masjid. Menurut masyarakat setempat, pinggan ini asalnya bersaiz besar, tetapi telah pecah. Pinggan ini didakwa muncul secara misteri dari sebuah bukit yang terletak di hujung kampung. Apa yang agak aneh dan menarik, kemunculan pinggan tersebut dalam bilangan yang banyak seolah-olah cukup untuk menampung jumlah tetamu dalam sebuah majlis kenduri perkahwinan. Selain kisah ini, banyak lagi kisah misteri lain yang dikongsi masyarakat setempat dengan team kami.
* Informan: Nyak Zamzam (Ketua Kampung) / Hj. Ahmad Husni AR
MASJID ISTIQAMAH
Kecamatan Blang Kuala, Kabupaten Acheh Selatan

- Masjid Istiqamah sedang dalam pembinaan

- Sumber air mata air yang jernih di kolam wudhuk
Binaan masjid lama telah dibongkar dan didirikan dengan bangunan baru yang masih dalam pembinaan. Peninggalan lama yang masih kekal adalah kolam wudhuk dari sumber air mata air. Terdapat 4 anak tangga untuk turun ke bawah kolam. Asalnya, dinding kolam ini menggunakan batang pokok kelapa sebelum disimen seperti yang ada sekarang.
MASJID LABUHAN TAROK
Kecamatan Meukek, Kabupaten Acheh Selatan

- Masjid Labuhan Tarok
Masjid ini kelihatan terbiar dan tidak lagi berfungsi sebagai tempat bersolat. Terdapat 3 ruang pada binaan mihrab iaitu ruang kiri, tengah dan kanan (mimbar). Pada dinding masjid terdapat hiasan ukiran dengan motif geometri.
MASJID SAWANG
Kecamatan Sawang, Kabupaten Acheh Selatan

- Ukiran pada tiang Masjid Sawang
Masjid asal telah dibongkar dan didirikan dengan binaan baru. Namun, tiang pada bahagian dalam ruang masjid masih dikekalkan dan masih berada dalam keadaan yang baik. Tiang- tiang tersebut dipenuhi dengan hiasan ukiran kaligrafi dan corak dari unsur fauna dan flora.
ARCA NAGA TAPAK TUAN, ACEH SELATAN
Team Jejak Mihrab melalui daerah ini dalam perjalanan ke Kluet Utara untuk menjejak mihrab masjid Pulo Kameng (Pulau Kambing). Team Jejak Mihrab berkesempatan melawat ke lokasi Arca Naga di Tapak Tuan.

- Arca naga Tapak Tuan
MASJID PULO KAMENG (PULAU KAMBING)
Kecamatan Kluet Utara, Kabupaten Acheh Selatan

Masjid Pulo Kameng (Pulau Kambing)
Binaan masjid asal masih dikekalkan. Peninggalan lama yang masih berada dalam keadaan baik adalah tiang masjid yang berukir indah dengan hiasan corak geometri dan kaligrafi. Terdapat lubang air mata air pada tiang paling hadapan berdekatan pintu masuk masjid tersebut.
TARIKH : 01/10/09 (KHAMIS)
MASJID SHUHADA
Kecamatan Panton Reu. Kabupaten Acheh Barat

Masjid Shuhada
Masjid ini bersaiz kecil dan masih digunakan untuk bersolat. Ruang mihrab bercantum dengan mimbar diperbuat daripada simen (mirip masjid tua Indrapuri, tetapi ianya bersaiz agak kecil dan berbentuk segiempat pada bahagian hujung mihrab). Terdapat ukiran tebuk pada bahagian atas pintu dan dinding masjid.
KUBU ANEUK MANYAK (KUBURAN ANAK KECIL: 1935)
Kecamatan Geumpang, Kabupaten Pidie

Kuburan Anak Kecil
Team kami singgah di lokasi ini dengan tujuan berziarah dan rakam foto. Kuburan ini dikenali dengan nama “Kuburan Anak Kecil” kerana ia berkisar peristiwa pembunuhan seorang bapa dengan anak lelakinya berusia 4 tahun angkara temannya yang tamak dan ingin merebut harta. Jasad kedua mayat disemadikan dalam satu liang lahad.
MASJID TEUPIN RAYA
Kecamatan Glumpang Tiga, Kabupaten Pidie

Perigi Masjid Teupin Raya
Binaan masjid ini telah runtuh dengan sendirinya. Peninggalan lama yang masih ada ialah sisa bongkahan simen kesan runtuhan masjid asal dan sebuah perigi lama.
* Informan: Tgk M. Husin Jalil
MASJID BAITUL ABRAAR NYONG
Kecamatan Bandar Baru, Kabupaten Pidie Jaya

Ruang dalam masjid Baitul Abraar
Masjid ini telah diperluaskan dengan sebahagian besar binaan asal masih dikekalkan (tiang, ukiran atas pintu dan dinding kayu serta tingkap kecil)
* Informan: Tgk. Muhammad
MASJID TGK. DI PUCOK
Kecamatan Meureudu, Kabupaten Pidie

Masjid Tgk. Di Pucok
Bangunan asal masih dikekalkan dengan masjid baru dibina bersebelahan. Dinding masjid dihiasi dengan ukiran tebuk. Peninggalan lama yang masih terpelihara adalah ukiran pada sebahagian besar dinding masjid dan mimbar.
MASJID KUTA BATEE
Kecamatan Meureudu, Kabupaten Pidie Jaya

Pintu Gerbang menuju ke halaman Masjid Kuta Batee

Batu alas tempat duduk Sultan Iskandar Muda
Binaan masjid asal telah dibongkar dan didirikan dengan bangunan yang baru. Peninggalan lama yang masih ada ialah batu alas tempat duduk Sultan Iskandar Muda dan Permaisuri yang diletakkan pada bahagian kiri dan kanan luar pintu masuk. Selain itu, turut disimpan mimbar (mempunyai persamaan dengan mimbar Masjid Labui, Pidie) dan sigai (buluh yang berfungsi sebagai anak tangga).
MASJID MADINAH
Kecamatan Meurah Dua, Kabupaten Pidie Jaya
Binaan masjid tua yang asal telah dibongkar dan didirikan dengan bangunan baru.
TARIKH : 02/10/09 (JUMAAT)
RUMAH TGK. CHIK AWE GUETAH

Rumah Tradisional Acheh

Keindahan seni ukiran masyarakat Acheh

Makam Tgk. Chik Awe Guetah
Binaan rumah ini didakwa telah berusia 500 tahun. Terdapat makam Tgk Chik Awe Guetah dalam kawasan sama. Peninggalan lama yang terpelihara dengan baik adalah kehalusan dan ketelitian seni ukiran pada permukaan dinding rumah, tiang dan tangga. Dalam kawasan ini juga terdapat sebuah perigi lama (rasa airnya seperti air zam-zam), kitab-kitab lama tulisan tangan, terompah dan kukur tradisional.
KOMPLEKS MAKAM SULTAN MALIKUSSALEH
Kecamatan Samudera (Pasai), Kabupaten Acheh Utara

Kompleks Makam Sultan Malikussaleh

Batu nesan Sultan Malikussaleh
Team kami tiba di kompleks makam ketika hampir waktu solat Jumaat. Justeru, kami perlu menunggu juru kunci (penjaga makam) pulang dari bersolat di masjid berdekatan. Syukur alhamdulillah kerana Allah mengizinkan team kami berziarah ke makam Sultan Malikussaleh pada kunjungan kali ini. Sejujurnya, saya amat berhajat untuk menjejakkan kaki berziarah ke ke kompleks makam ini kerana menyedari kekangan masa untuk berbuat demikian pada kunjungan terdahulu.
KOMPLEKS MAKAM RATU NAHRISYAH
Kecamatan Samudera (Pasai), Kabupaten Acheh Utara

Makam Puteri Nahrisyah
Alhamdulillah, hajat saya ke kompleks makam yang terindah di Asia Tenggara ini diperkenankan Allah. Lawatan semasa menyaksikan keindahan monumen Ratu Nahrisyah di Muzium Acheh pada kunjungan terdahulu membuatkan hati ini meronta- ronta mahu melihat makam sebenar di Samudera Pasai sekiranya berkesempatan berbuat demikian pada kunjungan seterusnya. Akhirnya, tertunai sudah hasrat terpendam apabila makam sebenar Ratu Nahrisyah berada di hadapan mata. Justeru, kesempatan yang ada dimanfaat sebaiknya semasa sesi ziarah. Foto makam lain yang berada di sekitarnya turut dirakam. Setiap satunya memaparkan keunikan tersendiri melalui hasil seni yang terukir indah dipermukaannya.
* Informan: Razali Abon
MASJID KG. BLANG
Kecamatan Simpang Ulim, Kabupaten Acheh Timur

Pintu masuk ke ruang solat
Binaan masjid asal masih dikekalkan. Peninggalan lama yang masih ada ialah ruang mihrab yang bercantum dengan mimbar.
TARIKH : 03/10/09 (SABTU)
MASJID BAITURRAHIM
Kecamatan Peureulak (Perlak), Kabupaten Acheh Timur

Masjid Baiturrahim, Kuta Tualang
Peninggalan lama yang masih ada di masjid ini ialah mimbar dengan ukiran dan tulisan kaligrafi yang amat indah.
* Informan: Tgk. Ali Basya
TARIKH : 04/10/09 (AHAD)
Bermalam di Madani Hotel, Medan

Busana khas kakitangan hotel
TARIKH : 05/10/09 (ISNIN)
MASJID RAYA AL-MASHUN
Medan, Sumatera Utara

Masjid Raya Al Mashun

Mihrab dan Mimbar
Adunan gaya/pengaruh yang terangkum dalam senibina masjid ini ialah:
-China (cermin kaca berwarna-warni)
-India (kubah dengan warna hitam)
-Itali (marmar: tiang, mimbar & mihrab/ kayu jati: mimbar bilal & pintu)
-Belanda (kubah mimbar dan lampu-lampu)
-Sepanyol (bentuk pintu/gerbang dan jendela)
-Iran (motif-motif pada bahagian dinding, pintu dan mimbar)
ISTANA MAIMOON

Istana Maimoon, Medan
Lawatan dan rakam foto di Istana Maimoon
9.30 malam, berangkat pulang dari Lapangan Terbang Polonia, Medan ke LCCT Kuala Lumpur. Alhamdulillah…selesai sudah misi ke-2
0.000000
0.000000