26/04/2010
23/04/2010
Dari Perak ke Kota Raja
Tarikh : 25 – 28 Mac 2004
Lokasi : 1. Padang Panjang
2. Bukit Tinggi
3. Batu Sangkar
4. Bonjol
5. Koto Rajo, Rao
Entah mengapa sejak kebelakangan ini saya terasa seperti hendak berkongsi cerita tentang salasilah pula. Lebih 5 tahun saya menutup buku cerita perihal susurgalur jurai keturunan keluarga, tetapi kini mula membuka satu persatu lembaran yang telah sekian lama tidak dibuka. Sebenarnya pencarian salasilah keluarga mulai dijejak secara serius penghujung tahun 2001. Walaupun jejak pencarian tersebut bagi memenuhi tuntutan dalam melaksanakan penulisan ilmiah, namun tidak dinafikan…keinginan yang kuat hadir setelah mendapat tanda apabila mimpi yang sama seringkali dilalui dalam lena. Ini bukan cerita ilusi bak menambah perisa dalam resepi, tetapi punya makna dalam diri saya sendiri. Begini kisahnya sehingga mendorong saya menjejak sekalian waris yang ada…bermulanya jejak dari Perak ke Kota Raja…
Sebaik menamatkan Kursus Lepasan Ijazah Diploma Pendidikan Seni di Fakulti Senilukis dan Senireka, UiTM Shah Alam pada penghujung 2001, tanpa sempat berehat saya terus mendaftar di UKM Bangi. Lebih kurang 2 minggu sebelum ditempatkan mengajar di Sungai Buloh saya telah berstatus calon Sarjana Sastera (MA) di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Insan yang memberi semangat untuk saya meneruskan pengajian adalah En. Solihin iaitu bekas pensyarah Senireka Grafik UiTM yang pada masa tersebut menjadi tenaga pengajar semasa saya mengikuti program Diploma Pendidikan Seni. Menggalas tugas sebagai pelajar yang mengikuti pengajian secara separuh masa saya tempuhi dengan kepayahan pada awalnya…sehingga pada satu tahap saya hampir mengundur diri lantaran rasa berat memikul tugasannya. Pada masa tersebut saya menjalankan kerjaya 3 dalam 1…Bukan tamak mengejar kebendaan sehingga melaksanakan tugasan serentak dalam satu masa. Memikul tugas utama selaku guru, menjadi penulis sambilan di sebuah majalah dan pada hujung minggu bergelar pelajar pasca siswazah. Tugasan mengajar kerjaya utama…bidang penulisan diceburi secara sampingan kerana minat yang telah dipupuk sekian lama…peluang melanjutkan pengajian sarjana pula saya sifatkan sebagai persediaan jangka masa panjang dalam bidang kerjaya di hari muka. Mujurlah ada teman seperjuangan yang sering memberikan kata-kata perangsang untuk meneruskan pengajian. Seribu langkah bermula dengan satu langkah…inilah kalimat yang menjadi pegangan dan kekuatan. Tiada jalan singkat untuk berjaya…perlu tekun dan gigih berusaha.
Dipendekkan cerita…Tibalah saatnya setiap calon memilih tajuk masing-masing bagi menyempurnakan cadangan penyelidikan (proposal). Memang tidak dinafikan pada mulanya agak buntu saya memikirkan tajuknya. Dua pilihan berlegar di kepala…tajuk yang disaran pensyarah pembimbing (penyelia) atau tajuk pilihan sendiri yang masih belum muncul dalam minda. Setelah bermonolog dalaman, keputusan akhir berpihak pada tajuk sendiri (tanpa tajuk) dengan rasional…ada baiknya membuat pilihan subjek kajian yang diminati daripada memilih tajuk penyelia dengan tujuan untuk mengambil hati. Mudah-mudahan tajuk yang diminati akan dibuat sepenuh hati. Beberapa bulan berfikir untuk memilih tajuk tesis…sehinggalah pada suatu hari saya pulang ke kampung dan tanpa sengaja telah menjumpai gulungan kertas saiz A3 setelah membuka laci. Setelah gulungan kertas dibuka, terpaparlah tulisan versi jawi susurgalur jurai keturunan Haji Mustafa Raja Kamala. Nama arwah datuk (sebelah ibu) adalah generasi terakhir yang dicatatkan dalam salinan tersebut. Setelah berbincang dengan penyelia, akhirnya bermulalah penulisan proposal bertajuk Haji Mustafa Raja Kamala dan Susurgalur Jurai Keturunannya. Setelah melalui beberapa fasa pemurnian, akhirnya sempurnalah cadangan penyelidikan mengikut pilihan hati sendiri. Berbekalkan salinan tersebut, bermulalah jejak salasilah keluarga.
Dari Perak…pencarian ditelusuri ke beberapa buah negeri di Semenanjung, Malaysia sehingga membawa langkah pengembaraan saya ke Kota Raja di Rao, Sumatera Barat. Perjalanan jauh sanggup diredahi…semata-mata untuk mensahihkan keturunan keluarga. Pertanyaan yang timbul dalam diri, apakah masih wujud waris Raja Kamala di Kota Raja, Rao? Jawapannya “ya” sebaik saya dipertemukan dengan waris yang masih menggunapakai gelar Raja Kamala di sana. Jawapan yang diperoleh tentang kesahihan jurai keturunan keluarga bukan penamat cerita…setelah mengetahui susurgalur 6 generasi, usaha menjejak masih diteruskan lagi. Saya tidak pernah berhenti mencari…ianya terus ditelusuri sehingga kini. Cuma tempoh 5 tahun kebelakangan ini langkah pencarian agak perlahan kerana kekangan masa. Namun apa yang dihajati diperkenankan Ilahi apabila saya mendapat maklumat daripada Saudara M. Adli seorang wartawan Serambinews (akhbar harian Nanggroe Aceh Darussalam) tentang lokasi makam waris teratas…Tuanku Raja Kamala (ejaan Acheh: Keumala). Justeru, sesi ziarah ke makam waris teratas saya ini adalah sebahagian daripada agenda semasa berada di Acheh nanti. Pertemuan dengan sekalian waris Almarhum Tuanku Raja Kamala akan diatur dengan bantuan Saudara M. Adli sepanjang saya berada di sana pada tanggal 26 hingga 30 April 2010.
Jejak salasilah saya lalui penuh liku…namun tidak perlulah saya kongsikan liku-liku kepada tetamu. Cukup sekadar memberitahu…saya lalui semua ini dengan tangisan dan air mata. Bersamanya terkandung persoalan dalam mencari asal usul diri yang jawapannya semakin menghampiri…
Dalam ruangan ini, saya ingin berkongsi rakaman perjalanan awal jejak salasilah yang mana foto-foto yang dipaparkan adalah siri kunjungan ke-2 setelah misi pertama (22 – 25 Jan 2004) menemui kegagalan.
Ini adalah bangunan Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau di Padang Panjang. Saya singgah untuk mengumpul informasi berkaitan kajian.
Dalam perjalanan menuju ke Bukit Tinggi, kenderaan yang dinaiki berhenti di air terjun Lembah Anai. Air terjun ini kedudukannya hampir dengan jalan di lereng gunung yang curam.
Foto kenangan bersama keluarga angkat di Bukit Tinggi..Saudara Edward (paling kanan) dan isterinya (paling kiri) telah membawa saya sekeluarga ke teratak keluarga mertuanya. Pasangan suami isteri ini telah saya kenali semasa kunjungan per-1 (Jan 2004). Lalu pada misi ke-2, kedua mereka dengan berbesar hati mempelawa saya bertandang ke rumah mertuanya yang terletak berdekatan Gunung Singgalang.
![]()
Kunjungan ke Istana Pagaruyung di Jalan Sutan Alam Bagargasyah Batu Sangkar, Tanah Datar… Ini adalah antara foto kenangan yang amat bernilai harganya kerana memaparkan bangunan istana lama yang dahulunya tersergam indah, tetapi kini hanya tinggal nama. Senibina asalnya telah terbakar pada tanggal 27 Februari 2007 setelah hiasan puncaknya disambar petir.
Naik ke anak tangga menuju ke ruang dalam Istana Pagaruyung. Hampir keseluruhan dinding luar istana kayu ini dicat dengan warna hitam bahagian latarnya. Permukaannya pula dihiasi ukiran timbul bermotif flora.
3 foto di atas adalah paparan pada bahagian ruang dalam Istana Lama Pagaruyung.
Dari Bukit Tinggi, perjalanan di teruskan ke Bonjol. Singgah sebentar ke Monumen Tuanku Imam Bonjol untuk sesi rakam foto. Tuanku Imam Bonjol turut dikenal dengan Peto Syarif (1772 – 1854). Tokoh ini adalah Pemimpin Perang Paderi semasa tercetus perang tersebut pada tahun 1821 hingga 1837.
Foto lakaran wajah Tuanku Imam Bonjol yang sempat dirakam semasa berada di Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau di Padang Panjang.
Suasana pasar di pinggir jalan ini dirakamkan semasa saya dalam perjalanan dari Lubuk Sikaping menghala ke Kota Raja, Rao. Sayur-sayuran dan buah-buahan kelihatan segar…
Sebaik tiba di Kota Raja, saya telah dipertemukan dengan waris Tuanku Raja Kamala iaitu saudara Khairul Anuar Raja Kamala yang kemudiannya telah membawa saya menziarahi sebuah makam warisnya. Apa yang menarik, gelaran Raja Kamala ini masih digunapakai sehingga ke hari ini oleh sekalian waris baik yang berada di Kota Raja, Rao Sumatera Barat ataupun di Acheh. Gelaran tersebut digunakan selepas nama dan ini berbeza dengan Malaysia yang menggunakan apa jua gelaran sebelum nama. Adalah diyakini bahawa penghijrahan waris Tuanku Raja Kamala ke Rao bermula apabila tercetusnya perang di antara Acheh dengan Belanda di Kuta Raja, Acheh. Keadaan berkecamuk yang melanda memaksa sebahagian waris yang ada membawa diri sehingga ke Rao lalu membuka sebuah desa diberi nama Kota Raja (mengambil nama yang sama sempena nama Kuta Raja di Acheh). Seterusnya, Perang Paderi yang melanda di benteng Rao pula menjadi rentetan bermulanya penghijrahan Haji Mustafa Raja Kamala dan para pengikutnya ke Tanah Melayu. Dalam salasilah Haji Mustafa Raja Kamala, turut tertera nama Desa Kota Raja, Rao yang secara jelas membuktikan tempat di mana beliau pernah tinggal seketika sebelum berhijrah ke Pahang. Kemelut perang saudara di antara Wan Ahmad dan Wan Mutahir di Istana Pahang yang dilihat tiada berkesudahan telah memaksa Haji Mustafa Raja Kamala dan pengikut-pengikutnya berundur dari Pahang lalu membawa haluan ke Tanjung Malim (sempadan negeri Perak dengan Selangor) sehingga beliau dilantik sebagai Penghulu Pertama di sana. Kisah ketokohan Haji Mustafa Raja Kamala ada dicatatkan dalam buku bertajuk Riwayat Tanjung Malim oleh Zainal Abidin Daud.











