Jejak Mihrab & Mimbar

21/07/2010

Pandai Besi di Bukit Chandan (sambungan)

Filed under: Khazanah di Alam Melayu — Harleny Abd Arif @ 9:32 pm

 

Tarikh : 17 Julai 2010
Lokasi : Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar

  

Penulisan ini adalah sambungan daripada catatan sebelumnya (di bawah tajuk yang sama). Hal demikian kerana, saya masih dalam mood bercerita tentang khazanah lama yang dipusakai sejak berkurun lamanya. Secara jujur saya amat teruja apabila melihat apa jua objek lama di alam Melayu. Baik semasa menjalankan pemerhatian terhadap rekabentuk senibina lama, ragam hias al-Quran dan kitab lama, alat senjata dan kerajinan tangan lainnya di Alam melayu. Setiap daripada objek tersebut mencerminkan identiti budaya bangsa Melayu yang tidak akan lapuk dek hujan dan tidak akan lekang dek panas.

 

Pandai Besi di Kampung Changkat ini sedang menjelaskan tentang jenis kayu setiap keris buatannya yang disusun pada permukaan meja. Keris-keris ini telah ditempah oleh individu atau pihak tertentu…hanya menunggu masa untuk diserahkan kepada pemiliknya.

 

Sarung keris paling kiri dan dua dari kiri diperbuat daripada jenis kayu surian. Keris ke-3 dari kiri dan dua lagi keris pada bahagian kanan (berwarna hitam), sarungnya diperbuat daripada jenis kayu arang. Sarung keris ke-4 dari kiri pula dihasilkan daripada jenis kayu kemuning emas. Selain kemuning emas, jenis kayu kemuning hitam turut digunakan dalam pembuatan keris. Menurut pandai besi ini, “Kayu kemuning hitam ini akan mengeluarkan cahaya kekuningan semasa proses menarah dan meraut sebelum kayu tersebut bertukar kepada warna hitam seperti asal.”

Kayu kemuning hitam ini sukar diperolehi berbanding kemuning emas. Adakalanya, kayu jenis kemuning hitam diberikan kepada beliau oleh individu tertentu. Saya difahamkan, kayu kemuning hitam ini juga digunakan sebagai ubat atau ramuan dalam perubatan tradisional. Justeru, sudah pasti ia mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri sehingga khasiatnya dikatakan mampu menjadi penawar untuk mengubati penyakit.

 

Jika dahulu, pembuatan senjata lama ini biasanya menggunakan 4 jenis kayu untuk menghasilkan sebilah keris. Baik bahagian hulu, sampir, sarung dan buntut keris masing-masing menggunakan jenis kayu berbeza. Kenyataan ini disampaikan secara lisan oleh beliau kepada saya semasa sesi temubual secara tidak formal dijalankan.  

 

Kayu di atas adalah dari jenis kayu macang api. Selain kayu tersebut, jenis kayu lain seperti kayu rengas, kerbau jalang dan lain-lain yang sesuai dalam pembuatan keris turut digunakan dalam menghasilkan alat senjata lama. Kayu macang api ini turut dijadikan turus pagar kerana sifatnya yang tahan lama dan tidak dimakan oleh anai-anai.

 

Seperti biasa, saya akan bertanya tentang pengalaman menarik beliau sepanjang 48 tahun berkecimpung dalam dunia pandai besi…Apakah kisahnya? Begini ceritanya (seperti yang diceritakan kepada saya):

Pernah satu ketika seorang hamba Allah datang ke bengkel beliau dengan hajat menempah hulu sebilah keris ekoran keris pusaka miliknya telah hilang hulunya. Selain keris lama, hamba Allah tersebut turut membawa jenis kayu (lupa pula saya jenis kayunya…tidak salah saya jenis kemuning hitam) untuk dibuat hulunya. Melihat akan keris dan kayu yang dibawa, pandai besi ini dapat menjangka pasti ada halangan dalam pembuatannya kelak. Telahan tersebut berdasarkan pengalaman beliau membuat alat senjata sejak 48 tahun yang lalu. Timbul rasa tidak sedap hati dalam dirinya, lalu beliau meminta hamba Allah tersebut membelah sendiri kayu yang dibawa. Namun, usaha hamba Allah membelah kayu tersebut gagal walaupun menggunakan alat pemotong khas yang biasa digunakan pandai besi ini. Kejadian yang berlaku di hadapan mata akhirnya terbukti jua kebenarannya. Jadi benarlah telahan si pandai besi ini akan halangan yang bakal didepaninya kelak.  Hal demikian kerana, beliau dapat merasakan bahawa beliau juga pasti berdepan perkara yang sama.  Halangan awal ini seolah-olah memberi petanda akan halangan seterusnya sekiranya beliau bersetuju menerima tempahan daripada hamba Allah tadi.

Namun dek kerana tidak mahu menghampakan si tetamu yang amat berhajat akan keris tersebut dipasangkan hulunya, maka si pandai besi ini meminta tempoh beberapa hari sebelum memberi keputusan muktamad… sama ada akan meneruskan proses pembuatan hulu keris atau sebaliknya. Setelah 2 hari berlalu, dengan izin Allah…si pandai besi diberikan satu petunjuk melalui mimpi. Dalam mimpi tersebut, beliau diminta supaya tidak meneruskan pembuatan hulu keris seperti yang dipinta hamba Allah tersebut. Maka, yakinlah beliau bahawa sememangnya halangan  yang diperlihatkan di hadapan mata sejak awal lagi punya hikmah agar pembuatan hulu keris tersebut tidak diteruskan. Rahsia halangan tersebut hanya Allah yang mengetahui. Namun si pandai besi ini sekadar memberi tanggapan bersifat andaian bahawa hamba Allah tadi tidak serasi memiliki atau menyimpan keris pusaka tersebut. Kebetulan juga keris yang dibawa bahagian hujungnya patah sedikit. Keputusan si pandai besi tidak dapat membuat bahagian hulu keris akhirnya disampaikan kepada hamba Allah tersebut. Beliau menolak dengan cara berhikmah untuk mengelak rasa aib hamba Allah yang berhajat benar untuk menempah.

 Kisah ini mengingatkan saya tentang pengalaman melihat sebilah keris pusaka semasa menjalankan sesi temubual dengan salah seorang waris Haji Mustafa Raja Kamala (Penghulu Pertama Tanjung Malim). Seorang waris almarhum ada menyimpan sebilah keris tanpa hulu yang berlubang di bahagian tengahnya (lubang tersebut berbentuk sebilah pedang).  Saat mengajukan pertanyaan tentang hulu kerisnya yang telah tiada lantas saya dimaklumkan oleh informan yang ditemubual bahawa keris tersebut sememangnya dihasilkan tanpa hulu dalam pembuatannya. Justeru, keris tersebut dikekalkan bentuknya sedemikian rupa tanpa sebarang niat untuk memasang bahagian hulunya.

Sekian sahaja serba ringkas catatan si penjejak mihrab dan mimbar berdasarkan perbualan dengan si pandai besi.

Mohon undur diri…

 

_________________________________________________________________________

 

BAHAGIAN-BAHAGIAN KERIS

 

Foto di atas memaparkan bahagian tertentu pada bahagian keris.  Foto dalam kotak kecil di sudut kanan atas pula memaparkan bahagian hulu keris. Foto di bawah pula adalah foto sama yang dibesarkan saiznya untuk memudahkan mata pengunjung semua melihat bahagian yang dilabelkan dengan lebih jelas.

 

 

Sumber foto yang memaparkan bahagian-bahagian pada keris ini saya perolehi semasa siri lawatan ke Muzium Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) pada tanggal 27 Mei lalu. Foto ini dirakamkan melalui lensa kamera di sudut ruang pameran.

 

19/07/2010

Pandai Besi di Bukit Chandan

Filed under: Khazanah di Alam Melayu — Harleny Abd Arif @ 2:30 pm

 

Tarikh : 17 Julai 2010
Lokasi : Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar

 

Agenda sampingan selepas menjalankan tinjauan ke Masjid Ihsaniah di Kuala Dal adalah sesi ziarah ke makam Daeng Salili di Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan. Namun dalam perjalanan kurang 1 kilometer sebelum tiba di makam mantan Mufti pertama Negeri Perak semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah III, mata saya tertumpu kepada sebuah papan tanda. Teruskan pembacaan sehingga ke noktah akhir catatan…

 

Kampung Padang Changkat ini terletak di belakang Istana Iskandariah di Bukit Chandan. Melihat kepada tajuk di atas, seolah-olah perjalanan ini bertujuan menjejak pandai besi (merujuk kepada orang yang mahir/mempunyai kepakaran membuat keris) walhal tujuan sebenarnya adalah untuk menjejak makam Daeng Salili. Inilah hikmah dalam episod jejak-menjejak…adakalanya terjejak sesuatu yang di luar pencarian. 

 

Pintu gerbang tertera “Selamat Datang” dengan hiasan replika keris pada sisi kiri dan kanan… bagai mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke Kampung Padang Changkat.

 

Sebaik melepasi pintu gerbang utama, sepasang mata pasti tidak akan terlepas dari memandang sebuah papan tanda di sisi kiri jalan…terpampang pantun 4 kerat yang menjadi slogan JKKK Kampung Padang Changkat seperti tertera di atas.

 

Di sinilah saya berhenti lalu singgah merakam foto sambil menemubual pemilik pusat atau bengkel kraf pandai besi di Bukit Chandan.

 

Inilah gerangan tuan punya pusat atau bengkel kraf…En. Abdul Mazin bin Abdul Jamil nama diberi. Kepakaran menghasilkan alat-alat senjata seperti keris, pedang dan sebagainya diwarisi daripada generasi teratas. Dalam diri telah sedia mengalir titisan darah Bugis bersusurgalurkan jurai  keturunan Daeng Salili. Menurut beliau, almarhum ayahandanya (Abdul Jamil) semasa hayatnya adalah tempat rujukan pihak Muzium Negara mendapatkan informasi tentang keris lama terutamanya alat senjata Bugis. En. Abdul Mazin lahir pada tahun 1950 dan beliau mula membuat keris sejak berusia 12 tahun. Kepakaran beliau turut mendapat perhatian pihak Istana apabila diberi mandat menghasilkan alat senjata di Raja.

 

Demo

Sesi perbualan di antara saya dengan En. Abdul Mazin ini diselangi dengan demo (tunjuk cara)yang memperlihatkan proses  penghasilan hulu keris. Jenis teknik dalam demo di bawah saya  catat berdasarkan istilah yang digunapakai oleh beliau semasa perbualan secara lisan tanpa sebarang pindaan. Ada kemungkinan istilah tersebut mempunyai perbezaan dari segi ejaan dan sebutan jika dibuat perbandingan dengan teks rujukan seni yang lain. Namun, saya kekalkan istilah tersebut dengan rasional untuk memperkayakan perbendaharaan kata…sambil cuba merujuk kepada kamus Bahasa Melayu Klasik yang ada.

 

Teknik menarah kayu…tanpa segaris lakaran, potongan kayu ditarah mengikut bentuk hulu keris.
Tarah : Meratakan kayu atau papan dengan kapak atau beliung untuk membuang bahagian luarnya supaya menjadi rata.

 

Teknik meraut potongan kayu atau papan setelah melalui proses menarah. Proses seterusnya adalah melarik dengan tujuan untuk membentuk jalur pada hulu keris. Kebiasaannya, teknik melarik ini diaplikasikan pada motif awan larat  dan sebagainya. Ia berbeza dengan motif bunga yang menggunapakai istilah merawan.
Raut: Melicinkan potongan kayu atau papan dengan menggunakan pisau sehingga menjadi halus
Larik: Menggunakan pisau untuk membentuk jalur motif (selain motif berunsur tumbuh-tumbuhan)
Rawan: Bahagian tulang yang lembut (mungkin istilah ini cuba dikaitkan dengan teknik menoreh jalur lakaran yang akhirnya akan menghasilkan alur berupa lekukan yang dibentuk secara lembut)

 

Proses berikutnya adalah mengikis dengan kaca. Menurut pandai besi ini, proses mengikis menggunakan kaca boleh digantikan dengan teknik mengikis dengan pisau.

 

Seterusnya adalah proses melicinkan permukaan hulu keris dengan kertas pasir. Setelah itu, hulu keris yang telah licin permukaannya disyelek sehingga 3 atau 4 kali dengan tujuan mengilatkannya.

 

Dalam pada sedang berbual-bual secara tiba-tiba En. Mazin menunjukkan bentuk “kepala cicak” yang terdapat pada bahagian hulu keris. Semasa merakamkan foto ini, saya tidak perasan di mana bahagian “kepala cicak” yang di maksudkan. Justeru, saya rakamkan foto berikutnya (seperti di bawah) dengan harapan agar mata saya dapat memfokuskan bentuk kepala cicak tersebut dengan jelas melalui lensa kamera digital tua.

 

Nah! Itu dia bentuk kepala cicak yang dimaksudkan sambil pandai besi ini menggenggam bahagian yang menunjukkan bahagian kepala. Oleh kerana mata saya masih tercari-cari bentuk keseluruhan yang dimaksudkan “kepala cicak” tadi, akhirnya beliau mencabut hulu keris. Cuak juga melihat aksi waris Daeng Salili ni mencabut hulu keris…cepat-cepat saya berundur setapak ke belakang.

 

Oooo…ini rupanya bentuk kepala cicak pada bahagian keris. Selain rumah Melayu lama, alat senjata lama seperti keris juga menggunapakai istilah “kepala cicak” dalam pembuatannya. Ianya secara jelas memperlihatkan simbol kepala cicak ini meluas penggunaannya di Alam Melayu.

 

 

The Rubric Theme. Blog di WordPress.com.

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.