Jejak Mihrab & Mimbar

04/09/2010

Keunikan Rumah Adat Suku Toraja

Filed under: Rumah Tradisional — Harleny Abd Arif @ 9:36 am

  

Tarikh: 08 Ogos 2010
Lokasi: Tana Toraja, Sulawesi Selatan

 

Rumah adat suku Toraja ini terletak di kawasan pergunungan bahagian utara Sulawesi Selatan. Majoriti daripada suku Toraja beragama Kristian dengan sebahagian besar (lebih kurang 65%) adalah penganut ajaran Protestan, Katolik (lebih kurang 17%) diikuti agama Islam (6%) dan Aluk To Dolo (kepercayaan Animisme yang diperakui pemerintah Indonesia sebahagian daripada Agama Hindu Dharma) yang juga 6% bilangannya. 

Istilah toraja berasal dari bahasa Bugis iaitu to riaja, yang bermaksud “orang yang berdiam di negeri atas”. Pemerintah kolonial Belanda telah menamakan suku ini sebagai Toraja pada tahun 1909. Suku Toraja terkenal akan ritual pemakaman, rumah adat tongkonan dan ukiran kayunya.

 

Sawah bendang nan menghijau

Selain bergantung kepada tanaman padi dan kopi sebagai sumber pertanian utama, sebahagian besar daripada penduduk tempatan turut menjalankan aktiviti penternakan kerbau, khinzir dan ayam yang menjadi keperluan dalam ritual kematian dan makanan harian mereka. 

 

Papan informasi tertera amaran

Papan informasi di bahagian luar laluan masuk ini tertera keterangan berupa amaran kepada pengunjung luar yang hadir ke kawasan rumah adat Toraja.

 

Bonda di laluan masuk menuju ke rumah adat

Tongkonan dalam barisan sejajar kelihatan seperti sebuah perkampungan yang tersusun.

 

Perspektif menarik...dari laluan masuk ke hujung

“Unik dan kompleks” istilah yang difikirkan tepat untuk menggambarkan tentang nilai estetika rekabentuk rumah adat suku Toraja. Tongkonan menyimpan padi didirikan dalam barisan sejajar di bahagian kanan manakala rumah adat pula dalam barisan sejajar di bahagian kiri. Kedua-dua hiasan puncak yang terletak sebelah menyebelah ini  hampir bertemu bucu perabungnya…seolah-olah membentuk gerbang terbuka di tengah laluan.

 

Rekabentuk rumah adat suku Toraja

Rumah adat ini didirikan dengan ketinggian tiang melebihi 2 meter dari permukaan tanah. Rumah di kawasan ini tidak lagi diduduki sebaliknya beralihfungsi menjadi objek cagar budaya.

 

Susunan tanduk kerbau di tiang hadapan

Tanduk kerbau yang disusun adalah simbolik kepada beban hutang yang ditanggung si pemilik rumah (lihat keterangan seperti yang dicatatkan dalam Catatan Perjalanan Hari ke-3 dalam sanggar Sulawesi Selatan: Siri Kunjungan Peribadi).

 

Arca ukiran kepala kerbau

Rata-rata daripada rumah adat Toraja mempunyai arca ukiran tanduk kerbau yang digantung pada bahagian hadapan.

 

Tiang dengan teknik pasak

Tiang-tiang kayu rumah adat Toraja didirikan dengan menggunakan teknik pasak.

 

Bahagian bawah gelegar

Mari kita lihat bahagian bawah permukaan lantai rumah yang dibina tanpa menggunakan sebarang paku.

 

Tongkonan bertentangan rumah adat

Tongkonan yang berfungsi sebagai tempat menyimpan padi ini kedudukannya bertentangan dengan rumah adat dengan arca kepala kerbau dan susunan tanduk.  

 

31/08/2010

Rumah Adat Bugis-Makassar

Filed under: Rumah Tradisional — Harleny Abd Arif @ 2:15 am

 

Tarikh: 07 Ogos 2010
Lokasi: Makassar – Tana Toraja

Foto-foto yang dipaparkan adalah sebahagian daripada himpunan foto rumah adat Bugis-Makassar yang dirakam dalam siri tinjauan peribadi ke Sulawesi Selatan pada 06 hingga 09 Ogos lalu.

Seperti yang saya sebutkan dalam catatan sebelum ini…perjalanan dari Makassar ke Tana Toraja mengambil masa 7 jam (tanpa henti). Tempoh perjalanan 7 jam adalah anggaran berdasarkan jarak perjalanan, namun perjalanan sebenar memerlukan 2 sehingga 3 jam waktu tambahan untuk berhenti rehat, solat dan makan/minum selain kekangan lain seperti berhadapan dengan raptai perbarisan. Kekangan masa menjadi faktor saya tidak berhenti dan turun dari kenderaan untuk merakamkan setiap satu daripada rumah adat Bugis-Makassar. Memadai dengan merakam di sebalik jendela kaca di saat kenderaan bergerak kerana keterbatasan waktu. Sesekali saya lakarkan bentuk potongan bumbung rumah di dalam buku catatan yang diselitkan pada bahagian poket belakang tempat duduk saudara Alam (pemandu arah). Hanya lakaran mudah secara asas yang menampilkan kepelbagaian rekabentuk potongan bumbung.

Kamera memang sentiasa saya gantung di leher sepanjang perjalanan untuk memastikan  subjek tinjauan dapat dirakamkan dengan pantas. Jika ingin mengenalpasti foto mana dirakam saat kenderaan bergerak laju…lihat kualiti foto yang dipaparkan. Jika samar-samar…itulah foto yang dimaksudkan. Jika terang dan baik mutunya…ianya hasil daripada rakaman ketika pemandu sedang memperlahankan kenderaan (saat melalui jalan yang tidak rata). Kira ianya peluang terbaik untuk memfokuskan subjek tinjauan selain berpeluang merakam 2 atau 3 kali objek yang sama (jadi adalah peluang untuk membuat pilihan foto yang terbaik mutunya).

Justeru, dalam hal ini saya perlu menerima akan hasil rakaman foto yang sedemikian rupa dan berharap agar pengunjung lain juga dapat menerima seadanya. Apa yang utama bagi saya adalah kesempatan membuat pemerhatian dengan lebih dekat dalam siri tinjauan di lapangan. Rakaman foto adalah imej visual sebagai bahan bantu kepada daya ingatan yang terbatas sifatnya. Sekurang-kurangnya ada juga bekalan rakaman visual sebagai dokumentasi pengumpulan data di lapangan daripada tiada langsung.

Berikut saya kongsikan sumber foto yang menampilkan rekabentuk khas rumah adat Bugis-Makassar. Rata-rata daripada ciri rekabentuk rumah adat di Tanah Bugis bahagian Sulawesi Selatan mempunyai potongan bumbung seperti yang dipaparkan… 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

29/08/2010

Rumah tradisional berdinding kelarai di Kampung Pulau Kemiri

Filed under: Rumah Tradisional — Harleny Abd Arif @ 10:19 pm

 

Tarikh: 17 Julai 2010
Lokasi: Kampung Pulau Kemiri, Sungai Siput

 

Perjalanan ke Kampung Pulau Kemiri ini telah dilalui lebih sebulan yang lalu… sebaik pulang dari siri tinjauan ke atas masjid Ihsaniah di Kuala Dal, bengkel Kraf Pandai Besi, makam Daeng Salili, rumah tradisional Baitul Rahmah dan Istana Kenangan di Bukit Chandan.

 

Inilah kali pertama saya hadir ke Kampung Pulau Kemiri di Sungai Siput (U). Kalau tidak salah ingatan, tidak kurang 3 kali saya berhenti di sepanjang perjalanan untuk bertanya arah lokasi masjid tua Pulau Kemiri.

 

Lorong sempit ini perlu dilalui untuk menuju ke arah lokasi masjid tua. Kebun pisang melatari pandangan di bahagian kiri dan kanan laluan.

 

Dalam perjalanan melalui sepanjang lorong tadi, saya singgah ke rumah salah seorang penduduk setempat untuk bertanya lokasi masjid. Apa yang membuatkan saya tertarik untuk berhenti bertanyakan arah lokasi masjid yang ingin dijejaki? Kebetulan semasa kenderaan melalui lorong kecil, mata terpandang sebuah rumah berdindingkan buluh di sisi kiri jalan. Teratak ini adalah rumah ketiga berdindingkan kelarai yang dijumpai sepanjang hari tersebut. Masjid Ihsaniah di Kuala Dal dan Istana Kenangan di Kuala Kangsar telah saya kunjungi pada hari yang sama sebelum singgah ke sini. Oleh yang demikian, saat terpandang akan rumah ini, saya mengambil peluang untuk turun dari kenderaan. Hajat utama bertanya lokasi arah masjid tua dan hajat sampingan melihat lebih dekat senibina rumah tradisional berdindingkan kelarai. 

Daun pintu diketuk sambil mengucap salam. Salam disambut seorang lelaki berkain pelekat berusia awal 80-an. Setelah dimaklumkan kedudukan masjid tua yang dikatakan kurang 1km dari jarak rumahnya, saya memohon izin untuk merakam foto rumah lama terletak di bahagian kanan yang bersambung dengan rumah barunya. Rumah lama ini tidak lagi berfungsi sebagai tempat berteduh namun tetap dikekalkan binaannya. Menurut warga emas ini,  rumah lamanya pernah dikunjungi pengkaji berbangsa Australia dengan tujuan merakam foto binaan luarnya.

 

Tidak sangka bahawa kunjungan ke teratak lama berdindingkan kelarai yang saya singgah pada awalnya (merujuk kepada rumah ini) sebelum tiba di masjid tua Pulau Kemiri, tuan rumahnya adalah imam di masjid tua yang dijejaki. Saya perasan akan namanya saat membaca catatan nama imam bertugas dengan tulisan marker di permukaan papan putih yang tergantung di ruang dalam masjid. Kebetulan nama tuan punya rumah tadi telah saya catatkan namanya di buku catatan yang sentiasa di bawa bersama, justeru nama yang  terpampang mengingatkan saya akan nama tersebut. Menurut setiausaha masjid yang ditemubual, imam masjid (pemilik rumah lama berdinding kelarai) adalah di antara penduduk tertua di kampung tersebut.

 

Rumah lama ini mempunyai persamaan dari segi rekabentuk binaan dan pembuatan dalam penghasilan dindingnya dengan rumah adat Bugis yang berdindingkan kelarai . Berdasarkan tinjauan peribadi saya ke Sulawesi Selatan pada 6 hingga 9 Ogos 2010, rumah berdinding kelarai ini banyak ditemui di sepanjang perjalanan dari Makassar ke Tana Toraja. Nama Pulau Kemiri juga menurut pandangan saya mungkin terbit dari istilah kemiri yang menjadi sebutan orang Bugis Makassar. Istilah kemiri merujuk kepada buah keras yang menjadi rencah dalam masakan. Justeru saya membuat kesimpulan bahawa rumah berdinding kelarai dengan penggunaan bahan dari sumber alam seperti tepas (tepus), buluh dan sebagainya adalah sebahagian daripada akulturasi pengaruh budaya Bugis yang teradun dalam senibina rumah berdinding kelarai di Perak.

 

28/07/2010

Rumah Tradisional Perak di Bukit Chandan

Filed under: Rumah Tradisional — Harleny Abd Arif @ 7:19 pm

  

Tarikh : 17 Julai 2010
Lokasi : Bukit Chandan, Kuala Kangsar

  

Rumah tradisional Melayu ini telah saya kunjungi sewaktu pulang dari berziarah ke Makam Daeng Salili. Rumah kayu setinggi dua tingkat ini mempunyai keunikan yang tersendiri sehingga mengundang perhatian saya untuk singgah melihat lebih dekat rekabentuk senibinanya. Ia dibina pada tahun 1911 dan kini telah berusia 99 tahun.

Kunjungan saya ke sini disambut oleh tuan punya rumah. Beliau adalah cicit kepada pemilik asal rumah yang diberi nama Baitul Rahmah ini. Menurut penghuni rumah, moyangnya adalah  anakanda kepada Sultan Idris I.

  

 Rekabentuk rumah tradisional Perak dari pandangan hadapan

 

Ukiran papan pator dengan teknik tebuk tembus
di bahagian cucuran atap seakan corak renda
 

 

Ukiran lebah bergantung di bucu atap sebagai kemasan
dan pelengkap kepada ukiran kayu buton 

 

Rekabentuk bumbung mempunyai persamaan dengan
hiasan puncak masjid tua di Acheh 

 

Bahagian sisi kiri binaan 

 

Papan pator (tumpu kasau) di hujung cucuran atap
 

Kerawang pada bahagian kepala tiang

 

Rumah tradisional Perak ini terletak tidak jauh dari Istana Iskandariah
(Foto di atas dirakam dari arah hadapan rumah ini)
 

 

15/07/2010

Pengaruh Acheh dan Bugis dalam Senibina Rumah Kutai Perak

Filed under: Rumah Tradisional — Harleny Abd Arif @ 11:14 am

 

Tajuk yang terpapar di atas seolah-olah seperti tajuk tesis pula…Namun saya hanya ingin mengupas secara ringkas sahaja. Info yang ingin saya kongsikan ini adalah buah pena yang telah saya tinggalkan di http://artmelayu.blogspot.com. Saya kira ada baiknya saya copy dan paste semula ulasan yang telah sedia ada di ruang komen penulis blog tersebut di bawah tajuk Asal-usul rumah kutai di Perak

Dalam tempoh beberapa bulan ini, saya sedang memikirkan tentang perkaitan ciri-ciri rekabentuk rumah tradisional Melayu khususnya senibina rumah kutai perak ini. Walaupun ianya bukan subjek utama kajian (kajian khusus saya memberi tumpuan terhadap rekabentuk mihrab dan mimbar masjid tua sebenarnya), namun saya tertarik membuat kajian secara ‘sendiri-sendiri.’ Lagipula pemerhatian melalui kajian lapangan semasa menjejak masjid-masjid tua di lokasi-lokasi tertentu di Semenanjung dan rata-rata daerah di provinsi Acheh telah membuka mata terhadap keunikan senibina lama (masjid tua, istana lama,  kompleks makam dan sebagainya) yang punya makna dan falsafah tersirat di sebaliknya. 

Kesedaran tentang peri pentingnya memartabatkan seni melayu lama ini telah membuka pintu hati saya untuk berkongsi ilmu yang amat terbatas ini dengan khalayak. Sekurang-kurangnya usaha saya yang sekecil ini dapat dimanfaatkan oleh khalayak yang singgah di sanggar jejakmihrabmimbar.

Pada pandangan saya, amatlah rugi sekiranya khazanah-khazanah lama yang turut berada di sekeliling kita semasa sesi tinjauan di lapangan diabaikan kewujudannya. Sebagai contoh, apabila menjalankan kajian di masjid lama…kita turut menemukan makam-makam lama di sekitarnya.  Malah, kebanyakan daripada rumah-rumah lama masih berdiri dengan utuhnya di sekitar masjid tua yang dikunjungi. Jadi, apalah salahnya kita mengambil kesempatan dan peluang yang telah tersedia di hadapan mata. Membuat pemerhatian ke atas ciri-ciri budaya Melayu yang diketengahkan pada bahagian-bahagian tertentu dalam senibina lama dan khazanah lama lainnya. Di situlah nanti kita akan menemukan identiti bangsa Melayu yang menjadi warisan sejak zaman berzaman.

Alangkah malunya jika bangsa Melayu sendiri tidak mengetahui lantaran tidak ambil peduli akan khazanah warisan di Alam Melayu. Jangan nanti bila senibina lama ini runtuh menyembah bumi, barulah suara-suara penyesalan dan terkilan dilontarkan walhal semasa ia masih utuh berdiri tiada sesiapapun yang menghiraukan kewujudannya.

Baiklah…tanpa berlengah masa, saya copy dan paste kata-kata Tuan Punya artmelayu.blogspot.com dalam tajuk catatannya  Asal-usul rumah kutai di Perak di sanggar ini:

Tadi saya tergerak membuat google search menggunakan kata-kata kunci “Rumah Kutai” lalu terjumpa gambar ketiga di atas. Yang menarik, website yang mengandungi gambar itu didirikan oleh sebuah badan rasmi Sabah sedangkan saudara yang baru saya kenali semalam, yang kelihatan seperti melebihkan kaitan Bugis juga berasal dari negeri itu.

Lebih menarik lagi, di sebelah gambar itu tertera kata-kata ini: “Reka bentuk rumah Kutai di Perak sama seperti rumah di Aceh dan Makasar (yang terletak di dalam lingkungan dunia Bugis), Indonesia. Menurut sejarah, orang Bugis dan Aceh pernah menetap di Perak.” Kenyataan ini seolah mahu menjawab persoalan saya mengenai kaitan Aceh dengan Bugis.

Di bawah ini pula saya copy dan paste semula hasil buah pena sebagai maklumbalas kepada catatan di atas: 

Alhamdulillah…ada juga kenyataan yang boleh dijadikan sumber sokongan seperti di atas: “Reka bentuk rumah Kutai di Perak sama seperti rumah di Aceh dan Makasar (yang terletak di dalam lingkungan dunia Bugis), Indonesia. Menurut sejarah, orang Bugis dan Aceh pernah menetap di Perak.”

Saya tidaklah menjalankan penelitian khusus ttg rumah kutai ini tetapi berminat mengambil tahu tentang senibina tradisional Melayu. Sedikit sebanyak relate  juga   dengan bahagian tertentu pada senibina masjid tua. Tak banyak, sedikit pasti terkait juga.

 

Contoh Rumah Kutai dari laman artmelayu.blogspot.com

 

Pandangan saya secara peribadi semasa menjalankan observasi di lapangan…

Wujud persamaan di antara rumah adat Aceh dengan rumah kutai (saya ambil contoh rumah kutai di Kg Masjid, Lenggong, Perak). Dah banyak kali disinggung ttg papan pator, kepala cicak, papan cantik jadi kali ni saya berbicara tentang bahagian lain pula.

Wujud persamaan di antara Rumah adat Acheh, Bugis dan rumah kutai Perak. Saya beri contoh, jarak gelegar dengan permukaan tanah rumah kutai di Kampung Masjid, Lenggong. Rumah kutai (belakang surau lama) memiliki 13 anak tangga dengan ketinggiannya 2.5 meter manakala di sisi kiri surau lama pula rumah kutai dengan 11 anak tangga dengan ketinggian 2.15 meter dari aras tanah. Malah, saya turut menemukan persamaan ini semasa tinjauan ke rumah Anjung Warisan di Kampung Laut, Kuala Terengganu 19 Jun lalu. Ia sama dengan ketinggian rata-rata rumah adat Acheh, juga Bugis yang melebihi aras kepala.

Kalau lebah bergantung (hanging bee) dan tunjuk langit (sky pointer) memang wujud persamaan antara Acheh-Perak. Kalau di Acheh, lebah bergantung ni banyak terdapat di bawah gelegar. Istana Sultan Iskandar Zulkarnain yg memerintah Perak 1756-1770 seperti lakaran Abdul Halim Nasir (berdasarkan teks Misa Melayu karangan Raja Chulan) turut menemukan ukiran lebah bergantung pada kaki tiang di anjung peranginan.

Begitu juga dengan kayu buton yang seakan menjadi ciri pengenal kepada senibina rumah lama di Perak, Acheh dan Tanah Bugis. Saya cuba membuat telahan dengan mengaitkan asal usul kayu buton dengan sebuah kerajaan Buton di Sulawesi Tenggara yang mana hasil kayu adalah di antara hasil eksport utamanya. Sama ada istilah buton itu diambil merujuk kepada jenis kayu butun atau kerajaan Buton atau suku Buton lalu digunapakai dalam menamakan kayu buton di tulang perabung/tebar layar rumah tradisional Melayu.

Kenyataan berdasarkan penulisan ilmiah di http://www.oldmaluku.net seakan menyokong telahan dalam mencari perkaitan:

“Orang Buton (yang meliputi berbagai sub-etnis: Wolio, Wanci, Tomia, Binongko, dan Kulisusu) adalah salah satu suku bangsa di Sulawesi Tenggara yang mendiami Kepulauan Buton dan sekitarnya. Di Kawasan Timur Indonesia, mereka dikenal sebagai masyarakat maritim bersama-sama dengan orang Bugis/ Makassar dan Mandar. Oleh karena itu,Zuhdi (1997) menyebutnya BBM: Bugis, Butun (Buton), dan Mandar, kerana ketiganya adalah suku bangsa maritim. Mereka secara bersama-sama menjelajahi perairan Nusantara bahkan sampai ke luar batas-batas wilayah Nusantara (Ligvoet, 1877; Heeren, 1972), seperti ke Pantai Marege (Australia), Mindanao (Phlipina), Malaysia, Singapura dan bahkan sampai ke Cina (Tamburaka, 1996).” 

Berbicara tentang rekabentuk rumah ni sama juga keadaannya dgn bercerita tentang fesyen pakaian. Pelbagai potongan diilhamkan hasil adaptasi daripada potongan pakaian budaya lain. Kebaya kurung umpamanya adalah hasil gabungan potongan baju kebaya yang ditambah pesak dan kekek daripada baju kurung tradisional. Kebaya tradisional pula diberi nafas baru dengan mengubah potongan asli lehernya yang berbentuk V kepada potongan leher jenis stand collar menyerupai cheongsam sehingga wujud istilah kebaya cheongsam.

Begitulah juga halnya dengan kepelbagaian bentuk rumah tradisional tempatan. Kalau dilihat hiasan puncak sahaja juga berbeza bentuk dan jenisnya. Itu belum lagi melihat bahagian lainnya. Jenis Rumah Potong Perak umpamanya terdapat pelbagai bentuk potongan bumbungnya. Rumah Potongan Perak ini terdapat juga di Perlis, Kedah dan Kelantan namun berbeza bentuknya lantaran telah diubahsuai dengan budaya setempat.

p/s: disebabkan pandangan ini bersifat telahan, jadi pasti ada kekurangan…setelah menjalankan tinjauan ke rumah adat dan masjid tua di Sulawesi Ogos depan, barulah yakin mengutarakan pandangan buat perkongsian… =)

 

08/07/2010

Kayu Buton: Identiti Senibina Terengganu

Filed under: Rumah Tradisional — Harleny Abd Arif @ 11:34 pm

 

Tarikh : 17 hingga 20 Jun 2010
Lokasi : Kemaman – Dungun – Kuala Terengganu

 

Paparan foto-foto berikut adalah rakaman melalui lensa kamera yang diambil dalam siri tinjauan ke Pantai Timur bulan lalu. Berdasarkan pemerhatian sepanjang perjalanan dari Kemaman hingga ke Kuala Terengganu, saya dapati bahawa kayu buton seakan menjadi satu identiti warisan dalam senibina di Negeri Terengganu. Rumah-rumah lama masih mengekalkan pemasangan kayu buton walaupun struktur binaannya telah diperluas dan dibaikpulih. Malah pemasangan kayu buton juga dikesan pada bangunan-bangunan kerajaan dan rumah-rumah moden. Apa yang lebih mengundang reaksi saya apabila ukiran kayu buton turut menghiasi senibina kompleks makam, pondok wakaf, pondok menara kawalan pantai, papan tanda, pondok perhentian bas, kenderaan pengangkutan awam (bas) dan sebagainya.

 

 Kayu buton Masjid Kampung Tuan, Kemaman

 

Kayu buton di tulang perabung Kompleks Makam Sultan Yahya Siak

 

 Kayu buton di tebar layar rumah di Tanjung Jara

 

Kayu buton Bangunan JKR Dungun

 

 Kayu buton di tebar layar dan tulang perabung rumah moden

 

 

 

 Tiga foto di atas memaparkan kayu buton
di bahagian tebar layar rumah Melayu lama

 

Kayu buton di pondok perhentian bas

 

 Kayu buton di papan tanda jalan

 

 Kayu buton di wakaf Masjid Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu

 

 Kayu buton di puncak tebar layar rumah tradisional Anjung Warisan

 

 Kayu buton di sisi kiri dan kanan pintu masuk ke Muzium Negeri Terengganu

 

 Kayu buton di rumah tradisional Kampung Losong

 

 Kayu buton di puncak tebar layar rumah moden

 

 


 Kayu buton pada pengangkutan awam
Foto atas: Bas dengan hiasan ukiran papan pemeleh
Foto bawah: Buton di puncak bumbung bas

 

 Kayu buton pada menara kawalan di Pantai Batu Buruk

Rumah Tradisional: Kampung Losong, Terengganu

Filed under: Rumah Tradisional — Harleny Abd Arif @ 2:34 am

 

Tarikh : 19 Jun 2010
Lokasi : Kampung Losong, Kuala Terengganu

 

kapsyen bakal menyusul…layan foto dahulu = )

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

07/07/2010

Rumah Tradisional: Kampung Masjid, Lenggong

Filed under: Rumah Tradisional — Harleny Abd Arif @ 12:01 am

 

Tarikh : 03 Julai 2010
Lokasi : Kampung Masjid, Lenggong, Perak

 

Bertolak dari Sungai Buloh sekitar jam 12.30 tengah hari. Tiba di Tanjung Malim lebih kurang jam 1.30 tengah hari…berhenti seketika untuk sesi isi perut sebelum meneruskan perjalanan ke arah Utara. Lokasi pertama kunjungan adalah ke Muzium Arkeologi di Lenggong. 

 

Sesi jalan-jalan cari bahan di lapangan setelah menamatkan siri lawatan ke Muzium Arkeologi Lenggong… Foto ini dirakam ketika saya melalui Kampung Masjid di Lenggong. Terjumpa secara kebetulan semasa berhenti di bahu jalan sebaik ternampak papan kepala cicak surau lama di sisi kanan jalan menghala ke Baling, Kedah. 

 

Surau lama ini dihiasi rekabentuk ukiran papan kepala cicak yang menjadi pelengkap dan kemasan papan tumpu kasau (papan pator) di hujung cucuran atap.

 

Bangunan asal surau lama telah dibaikpulih dan diperluaskan struktur binaannya. Surau ini terletak di sisi kanan rumah tradisional dalam foto di bawah.

 

Ada hikmahnya saya ditakdirkan berhenti merakam foto surau lama di Kampung Masjid… ia menemukan saya kepada rumah tradisional Melayu yang kedudukannya bersebelahan dengan surau lama Kampung Masjid.

 

Saya tertarik dengan pola berunsur tumbuhan pada rekabentuk papan pator  dan papan kepala cicak di hujung cucuran atap. Motif tunggal pada papan pator ini tambah menarik dengan prinsip pengulangan.

 

Saya dimaklumkan oleh tuan empunya rumah bahawa ukiran papan pator dan papan kepala cicak rumah ini dihasilkan oleh individu  berbangsa Cina pada suatu masa dahulu. Walaupun rumah ini melebihi 100 tahun usianya, namun ia masih utuh berdiri menjadi tempat berteduh waris arwah Haji Hamid bin Haji Wahab.

 

Rekabentuk papan kepala cicak ini pastinya diilhamkan dari bentuk kelopak bunga. Sekiranya diterbalikkan, pola tersebut kelihatan seperti olahan kelopak bunga yang mekar kuntumannya…hasil olahan kemudian dipermudahkan rekaannya menjadi motif tunggal seperti di atas.

 

 

Dua foto di atas saya rakamkan sambil hati berkata-kata, “Apakah tujuannya tuan rumah meletakkan daun kering di atas alang di bawah tangga tengah?” Oleh kerana perasaan ingin tahu yang amat kuat, maka saya mengajukan soalan tentang daun kering tersebut. Rupa-rupanya daun tersebut adalah daun rotan berduri yang di ambil di dalam hutan bertujuan untuk menghalang kelawar dari bergantungan di atas alang sehingga najis spesis tersebut bertaburan di atas tangga. Hmm… selain ukiran papan kepala cicak yang dipasang secara menghunjam ke bawah, nampaknya kelawar juga tidak ketinggalan mempamerkan aksi yang sama apabila sering bertenggek secara terbalik di atas alang.

 

Rumah ini pula terletak bersebelahan rumah arwah Haji Hamid bin Haji Wahab. Sekiranya tuan rumah tadi masih mengekalkan warna asal papan rumahnya, rumah kedua ini pula telah dicat permukaan dinding luarnya.

 

Pemilik rumah ini ialah Hajah Zainab binti Haji Mat Saman, sepupu kepada isteri arwah  Haji Hamid bin Haji Wahab. Saya difahamkan, hanya 2 buah rumah ini yang masih dikekalkan binaannya. Senibina kedua rumah Melayu lama ini sering mengundang perhatian pengkaji tempatan mahupun pengunjung dari luar negara. Ramai tetamu pernah singgah dengan tujuan mengabadikan foto rakaman.

 

Cuaca semakin berbalam-balam menghampiri senja…Sendi kaki saya pula sudah semakin lenguh rasanya. Justeru setelah merakamkan ucapan terima kasih, lalu saya pun beredar dari perkarangan rumah tuan empunya tanah…

Rakaman penutup sebelum mengatur langkah untuk pulang…

 

05/07/2010

Rumah Anjung Warisan

Filed under: Rumah Tradisional — Harleny Abd Arif @ 7:40 pm

 

Tarikh : 19 Jun 2010
Lokasi : Kampung Laut, Kuala Terengganu

  

 

Rumah Anjung Warisan ini telah berusia 112 tahun. Ianya telah dipindahkan dari tapak lama ke tapak Anjung Warisan pada tahun 2004.

 

Rekabentuk senibina rumah tradisional di Kampung Laut, Kuala Terengganu ini telah dibaikpulih atas usaha En. Saari bin Josoh. Sewaktu kerja-kerja membongkar rumah lama dijalankan, bahagian tangga dan tempayan milik tuan lama (sebelum bertukar hak menjadi milik En. Saari) dikesan terbenam 5 kaki di dalam tanah. Namun, kayu cengal yang terbenam masih utuh tanpa dimamah anai-anai. Rumah lama diselamatkan sebelum ia runtuh menyembah bumi. Saya kagum akan usaha dan kegigihan beliau dalam mengekalkan warisan senibina rumah Melayu lama ini.

 

Kayu buton dipasang pada puncak tebar layar. Bahagian dinding di atas kepala tingkap pula dihiasi ukiran teknik tebuk tembus berpola lengkap .

 

Binaan lama tanpa penggunaan paku sebaliknya anak tangga ditanggam ke paha tangga dan dipasak menggunakan kayu.

 

Rasuk di bawah gelegar di tanggam ke tiang. Penggunaan paku dibuat penambahan selepas kayu dari rumah lama dipindah dan didirikan semula ke lokasi baru.

 

 

Kerusi  kayu (atas) dan kepala perahu di sisi kiri paha tangga (bawah) adalah di antara khazanah yang turut dipamerkan di ruang dalam rumah tradisional Anjung Warisan.

03/03/2010

Rumah Tgk. Chik Awe Geutah

Filed under: Rumah Tradisional — Harleny Abd Arif @ 4:15 pm

 

Tarikh : 02 Oktober 2009
Lokasi : Rumah Tgk Chik Awe Geutah, Peusangan, Bireuen

 

Kunjungan ke Rumah Tgk Chik Awe Geutah ini sebenarnya tiada dalam jadual perancangan misi Jejak Mihrab II. Hadirnya saya di sini adalah atas cadangan salah seorang team kami iaitu saudara Arifin. Saya kira apalah salahnya memenuhi permintaan tersebut kerana pada firasat saya tentu ada sesuatu yang bermanfaat bagi saya di sana. Andai bukan dalam masa terdekat keperluannya, mungkin akan datang berguna jua. Bagi saya, tiada istilah rugi dalam pencarian ilmu

 

   


Kami tiba pada jam 9.30 pagi di perkarangan rumah tradisional ini atau dalam bahasa Achehnya dikenal sebagai rumah adat. Dalam kawasan ini juga terdapat kompleks makam Tgk. Chik Awe Geutah, sebuah wakaf dan perigi lama. Kawasan ini dianggap keramat oleh pemilik dan masyarakat sekitarnya kerana beberapa kejadian aneh yang pernah berlaku di dalamnya. Dimudahkan cerita, pengunjung luar yang bertamu perlulah menjaga adab dan perilaku tanpa menyembunyikan sebarang nawaitu tidak baik sebaik melangkah  masuk ke kawasan ini. Jika ada di antara pengunjung yang berminat untuk mengenal lebih dekat berkenaan tokoh ulama Tgk. Chik Awe Guetah ini, silalah bertandang ke laman blog  www.serambinews.com/news/view/26155/chik-awe-geutah-intelektual-muda
  

 

 

Perhatikan ukiran lebah bergantung pada kaki tiang di anjung. Jika di Acheh, tiang sebegini disebut dengan tiang berbentuk jantung. Sentuhan ukiran timbul turut didapati pada bahagian hujung hingga ke pangkal  paha tangga.


 
Rasuk panjang (long crossbeam) pada tiang (pillar beam). Seni ukiran timbul dengan motif flora menghiasi permukaan papan cantik yang menutup gelegar.

 

  

Deretan seni ukiran lebah bergantung pada kaki tiang yang terdapat di bawah lantai rumah.

 

 
Al-Quran ini adalah sebahagian koleksi  kitab lama dengan tulisan tangan. Ragam hias ini dikategorikan dalam kumpulan motif sulur, berformat tiang halus dan juga mempunyai bentuk kubah berleher di jidar luar, kepala dan ekor. Foto kitab ini turut dipaparkan dalam buku Ragam Hias al-Quran di Alam Melayu oleh Prof. Madya Dr. Dzul Haimi Md. Zain.

 


Teks al-Quran bertulisan tangan dihasilkan dengan penuh kekemasan dan ketelitian.

  

 

Dua foto di atas memaparkan kompleks makam (atas) dan papan info (bawah) tertera Makam Tgk Chik Awe Geutah terletak dalam pondok kayu berbumbung  dan berpagar. Kedudukan makam ini terletak di antara rumah tradisional dan wakaf yang digunakan sebagai tempat bersuluk.

 

 

Wakaf ini terletak bersebelahan perigi dan makam Tgk. Chik Awe Geutah. Seni ukiran timbul pada sisi papan cantik yang menutup gelegar menjadi penyeri dan unsur penyudah kepada senibina wakaf tua ini.

 

 

Ukiran lebah bergantung pada bahagian bawah tulang perabung bumbung. Bahagian permukaan alang turut dihiasi ukiran timbul bermotif flora dengan pola bujang dan pola lengkap sebagai kemasan.

 

 

Ukiran timbul pada permukaan alang dengan pola lengkap berunsur flora.

 

 

Kayu alang yang telah ditanggam pada tiang dipasak menggunakan baji

 

Kayu tunjuk langit ditanggam pada alang dengan kedudukan menegak hingga mencecah tulang perabung bumbung.

 

Terdapat banyak tiang penyangga bersegi lapan di ruang dalam wakaf

 

The Rubric Theme. Create a free website or blog at WordPress.com.

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.