Jejak Mihrab & Mimbar

23/08/2010

Catatan Perjalanan Hari Ke-4

Filed under: Sulawesi Selatan: Siri Kunjungan Peribadi — Harleny Abd Arif @ 5:25 pm

  

Tarikh: 09 Ogos 2010
Lokasi: Dari Tana Toraja ke Makassar
 

   

Sewaktu menghantar kami ke hotel Hiltra dari Palopo pada perjalanan hari ke-3, berkali-kali saudara Alam (pemandu arah) mengingatkan saya dan ahli keluarga yang lain agar tidak lewat bangun keesokan harinya (hari ke-4). Jadi saya dan ahli keluarga masing-masing mengunci jam telefon bimbit agar tidak terlajak bangun.  Lagu selimut putih dari telefon bimbit bonda mengejutkan saya dari lena. Saya bingkas bangun. Hmmmm…jam 4 pagi. Ada 1 jam untuk kami bersiap untuk mandi secara bergilir kerana berkongsi tandas seterusnya solat subuh sebelum bertolak dari hotel. Sedang bersiap, menyusul bunyi deringan telefon…namun sebaik mengangkat gagang, tiada siapa memberi respon terhadap kata “hello” dari saya. Pastinya panggilan dari staff di kaunter yang turut sama mengejutkan kami sekeluarga. Tak berapa lama kemudian, pintu bilik kami pula diketuk… 3 kali ketukan dengan tujuan mengejutkan kami. Kedengaran suara saudara Alam di sebalik daun pintu bilik. Setelah saya bersuara, saudara Alam beredar dari situ…mungkin nak pastikan sama ada kami sekeluarga telah bangun atau masih lagi berselimut dibuai mimpi. Sebaik selesai menunaikan solat subuh jam 5 pagi (waktu Sulawesi solat subuh sekitar 5 pagi), kami pun beredar dari bilik hotel menuju ke kenderaan. Tepat jam 5.15 pagi, kenderaan kami keluar dari perkarangan Hotel Hiltra dalam keadaan cuaca yang masih gelap…cuaca pada waktu ini sama seperti jam 6.15 pagi waktu Malaysia. Perjalanan ke Makassar yang memakan masa selama 7 jam (tanpa henti) adalah faktor utama kami perlu bertolak seawal jam 5 pagi. Pastinya dalam perjalanan jauh ini, kami perlu berhenti untuk rehat, makan dan solat. Jadi, sudah tentu perjalanan 7 jam akan bertambah beberapa jam untuk memenuhi keperluan tersebut. Yang penting, kami harus tiba di lapangan terbang selewat-lewatnya jam 4 petang kerana jadual penerbangan pulang adalah pada jam 5.30 petang. 

 

Teringin naik ke ayahanda...?

Berhenti sarapan pagi di sebuah restoran terbuka (lupa namanya) setelah melalui 2 jam 15 minit perjalanan dari Tana Toraja. Restoran ini telah kami kunjungi pada malam hari ke-2 perjalanan dari Makassar ke Tana Toraja…sebagai memenuhi permintaan saudara Sito (pemandu) untuk meneguk secawan kopi bagi menghilangkan rasa mengantuk. Kali ini kami singgah untuk sarapan pagi. Saya memesan sepinggan mee goreng…tetapi yang sampai ke meja 10 minit kemudian adalah maggi goreng. Rupanya inilah mee goreng versi Sulawesi. Maggi goreng dengan rencah telur tanpa sebarang udang, daging atau ayam di sebalik mee. Dek kerana lapar, telan aje ler apa yang dah tersedia di hadapan mata daripada tak menjamah apa-apa langsung. Sedang saya menjamah makanan, ayahanda pula sedang beraksi di sisi arca motorsikal di satu sudut bangunan restoran. Adinda Nurul Idayu bertindak sebagai jurugambar merakamkan foto ayahanda dengan gaya yang bersahaja.

  

Permukaan gunung berbiku-biku

Pemandangan pergunungan ini boleh dinikmati secara visual dari arah meja makan. Restoran dengan konsep terbuka tanpa dinding memberi ruang kepada deria lihat menikmati sepuasnya keindahan alam ciptaan Maha Pencipta.

 

Raptai perbarisan di jalanan

Jam 9.30 pagi, kenderaan kami melalui jalan yang agak sesak. Bukan sesak dengan kenderaan yang bertali arus di jalanan sebaliknya sesak dengan manusia yang sedang berjalan dalam barisan bagi acara raptai perbarisan sempena menyambut proklamasi kemerdekaan Indonesia kali ke-65 pada tanggal 17 Ogos 2010. Laluan inilah yang telah menyebabkan kesesakan lalu lintas semasa perjalanan hari ke-2 sehingga menyebabkan kenderaan kami terpaksa menunggu hampir 2 jam lamanya dalam perjalanan dari Makassar menuju ke Tana Toraja. Mujur raptai kali ini tidak ramai bilangan pesertanya kerana hanya melibatkan anak-anak sekolah tadika.

 

Aksi patriotik si cilik

Lihat aksi patriotik  si cilik dengan pakaian anggota polis. Selain diawasi oleh guru-guru pengiring, para penjaga yang terdiri daripada ibu dan bapa  turut mengekori perbarisan anak-anak mereka.

 

Bonda di hadapan Perpustakaan Parepare

Lebih kurang jam 10.30 kenderaan kami tiba di hadapan Kantor Perpustakaan Arsip dan Dokumentasi Parepare. Untuk tujuan apa kami singgah di sini sedangkan ia tiada dalam agenda siri tinjauan peribadi? Kunjungan ke gedung ilmu ini adalah atas permintaan saya kepada saudara Alam setelah usaha mendapatkan buku berkaitan sejarah Tanah Bugis dan senibina Bugis dari hari pertama tidak berhasil. Semasa berada di Muzium La Galigo di Makassar, buku-buku yang diinginkan ada dijual tetapi si penjual pula yang tiada. Sebaik tiba di kota Parepare, kami berlegar di sekitar kota dan berhenti di 3 buah kedai buku. Namun, usaha mendapatkan buku seperti yang dihajatkan masih belum tertunai. Sebelum melangkahkan kaki keluar dari kedai buku ke-3, spontan saya bertanya kepada si penjual, “Apakah di sini ada muzium atau perpustakaan?” Setelah dimaklumkan tentang lokasi perpustakaan, maka kami pun bergegas mencari arah lokasi tersebut. Saya fikir, ini adalah usaha terakhir saya untuk mendapatkan bahan rujukan sebelum berangkat pulang. Sekiranya tidak dapat membeli buku, memadai dapat membuat fotokopi buku rujukan melalui pencarian di perpustakaan. Wang perbelanjaan saya sepanjang 4 hari berada di Sulawesi masih berbaki lebih kurang RM500. Jumlah ini memang diperuntukkan untuk membeli buku-buku berkaitan sejarah, budaya mahupun senibina di wilayah Sulawesi. Alhamdulillah, usaha hadir ke perpustakaan ini tidak sia-sia kerana kakitangan yang bertugas memberikan kerjasama yang amat baik. Masing-masing membantu saya mendapatkan buku-buku rujukan seperti yang dipinta. Kesemua 5 buah buku di hantar ke 2 buah kedai berdekatan untuk tujuan fotokopi.

Ahli keluarga yang lain mula gusar melihat gelagat saya masih sibuk menguruskan itu dan ini dalam ruang waktu yang terbatas sedangkan kami perlu tiba di lapangan terbang selewat-lewatnya jam 4 petang. Perjalanan dari Parepare ke Makassar pula akan mengambil masa lebih kurang 3 jam. Saya mensasarkan untuk bergerak dari kota Parepare sebelum mencecah jam 1.00 tengah hari. Saya cuba menenangkan ayahanda dan bonda agar memberi ruang dan kesempatan untuk saya merealisasikan hajat mendapatkan buku rujukan seperti yang diharapkan. Ia adalah teks rujukan bertulis paling berharga yang akan saya bawa sebagai ole-ole untuk perkongsian ilmu dalam penulisan di sanggar jejak mihrab dan mimbar nanti. 

 

Monumen Korban 40000 Jiwa

Sementara menunggu buku difotokopi, saya keluar dari bangunan perpustakaan untuk melihat apa yang ada di sekitarnya. Rupa-rupanya, di sebelah bangunan perpustakaan berdirinya sebuah monumen peringatan Korban 40000 Jiwa Kota Parepare (lihat sejarahnya di laman http://www.rappang.com). Ada hikmahnya berlegar-legar di sekitar perpustakaan… dapat juga menjejak monumen yang secara tak sengaja dijumpai. Masih ada kesempatan membuat kunjungan dalam ruang waktu yang terbatas.

 

Arca timbulan di permukaan dinding

Arca timbulan (relief) pada permukaan dinding sebagai monumen untuk memperingati Korban 40000 Jiwa Kota Parepare.

 

Masjid Agung Parepare

Bertentangan dengan monumen Korban 40000 Jiwa Kota Parepare pula berdirinya Masjid Agung Parepare dengan kubah berwarna perak. Rekabentuk kubahnya langsung tidak kelihatan semasa lensa kamera dihalakan tepat ke bahagian kubah…mungkin dek kerana kilauan warna perak di bawah terik matahari mengaburkan imej visualnya.

 

Pantai Dua Dua Cafe

Alang-alang menunggu, kami bersepakat untuk makan tengah hari seawal jam 11.30 pagi (waktu Malaysia dikira masih awal, tetapi waktu di Sulawesi seperti jam 12.30 tengah hari). Cafe Pantai Dua Dua ini terletak bertentangan dengan perpustakaan Parepare. Lepas ni tak payah la berhenti lagi. Cuma singgah untuk solat jamak taqdim sahaja sebelum tiba di lapangan terbang.

 

Buku rujukan

Selesai menjamah masakan tengah hari di cafe berhampiran, saya naik semula ke bangunan perpustakaan. Staf yang keluar untuk memfotokopi buku-buku pilihan belum pulang lagi. Sementara menunggu, saya meninjau-ninjau di rak buku bersebelahan tempat duduk. Terjumpa buku yang tertera tajuk Tradisi, jaringan maritim, & sejarah budaya.

 

Antara isi kandungan buku rujukan

Belek helaian demi helaian sehinggalah dipertemukan pula sepasang mata dengan sub tajuk Situs benteng dan ritus perang masyarakat Lawele, Buton, Sulawesi Tenggara di bahagian isi dalam bukunya. Tentu sahaja maklumat ini amat bermakna kerana ada kaitan dengan pencarian peribadi saya terhadap istilah buton dalam penulisan sebelum ini. Kesempatan yang ada digunakan sebaiknya…kamera pun dikeluarkan dan seterusnya sejumlah 60 halaman mukasurat isi kandungan tajuk berkenaan dirakamkan fotonya.

 

Sempat diajar aksara lontara secara asas

Bertolak dari Parepare jam 12.00 tengah hari, kami tiba sekitar 3 petang di Makassar. Tidak sangka pula saudara Alam telah merancang untuk membawa saya dan ahli keluarga yang lain untuk singgah ke rumahnya. Kami tiba sekitar jam 3.00 petang di pintu rumah saudara Alam. Bagaikan telah mengetahui ada tetamu jauh yang akan bertandang, isterinya telah siap menghidang kuih muih di atas meja (mungkin telah dimaklumkan oleh saudara Alam melalui sms untuk membawa kami ke rumahnya). Di sinilah kami menumpang solat dan minum petang. Jarak perjalanan di antara rumah saudara Alam ke lapangan terbang  mengambil masa kurang 10 minit. Jadi kami tak perlu tergesa-gesa seperti saat berada di Parepare. Apa yang menarik, saya sempat diajar oleh isteri saudara Alam, seorang guru sekolah yang pakar dalam aksara lontara. Pengajaran disertakan dengan catatan aksara lontara secara asas…buat bekalan saya yang menunjukkan minat untuk mempelajarinya. Simbol-simbol aksara yang unik mengundang minat saya untuk mempelajarinya suatu hari nanti…insyaAllah. 

 

2 buah buku Aksara Lontara

Sebaik tiba di lapangan terbang, saya sempat membeli 5 buah buku termasuklah 2 buah buku Aksara Lontara Makassar 1 & 2…Allah mengerti apa yang tersirat di hati. Penemuan 2 buah buku ini di kedai buku lapangan terbang Hassanudin sudah pasti menjadi permulaan kepada niat untuk mempelajari bahasa Makassar yang diterjemahkan dalam bentuk aksara lontara.

 

Bersedia untuk terbang...berangkat pulang

Tiba di lapangan terbang jam 4.00 petang. Masa penerbangan ditunda hampir 30 minit dari jadual awal (5.30 petang) .

Sekian sahaja Catatan perjalanan hari ke-4 dalam siri tinjauan peribadi di wilayah Sulawesi Selatan. Saya bersyukur kerana Allah telah memudahkan laluan. Walaupun berhadapan dengan beberapa kesulitan, namun ia hanyalah sekadar ujian kecil untuk menguji tahap kesabaran Si Penjejak Mihrab dan Mimbar dalam siri tinjauan peribadi…

 

20/08/2010

Catatan Perjalanan Hari Ke-3

Filed under: Sulawesi Selatan: Siri Kunjungan Peribadi — Harleny Abd Arif @ 2:28 pm

  

Tarikh: 08 Ogos 2010
Lokasi: Tana Toraja dan Palopo
 

  

Perjalanan hari ke-3 dimulakan agak lewat…sekitar jam 8.20 pagi. Mengapa saya katakan  demikian…sebabnya jam 6.00 waktu di Sulawesi seperti jam 7.00 waktu Malaysia. Oleh kerana  perjalanan hari ke-2 dilalui dalam tempoh yang lama kerana jarak perjalanan yang jauh, jadi pemandu arah membuat permintaan agar sesi tinjauan hari ini dimulakan lewat sedikit (dah tentu penat membawa kami dari seawal jam 7.30 pagi hingga jam 10.00 malam hari sebelumnya).

Sebenarnya, jadual asal program pada hari ini adalah di sekitar Tana Toraja untuk melihat rumah adat masyarakat Toraja. Namun, dalam perjalanan dari Gowa ke Makassar sehari sebelumnya, saya telah menambah satu lagi program iaitu menuju ke Palopo (mudah untuk saya meminda atau menambah sebarang program jika bergerak dengan team sendiri). Saya telah dimaklumkan oleh saudara Alam (pemandu arah) bahawa terdapat sebuah masjid tua di Palopo yang telah berusia lebih 400 tahun. Justeru, keputusan mendadak tersebut adalah sebagai memenuhi hajat saya untuk melihat lebih dekat senibina masjid tersebut selain tujuan utama menjejak mihrab dan mimbar masjid tua. Keinginan tersebut bertambah kuat apabila saya diberitahu oleh saudara Alam bahawa Kerajaan Pajung Luwu’ terletak di Palopo. Tidak sangka sesi ziarah saya ke makam Daeng Salili di Kampung Padang Changkat di Kuala Kangsar beberapa minggu sebelum berangkat ke Tanah Bugis adalah pembuka laluan sebelum saya melangkah lebih jauh ke tanah asal almarhum Daeng Salili di Sulawesi Selatan. 

  

Pondok dengan rekabentuk tongkonan di luar hotel Hiltra Toraja

Ahli keluarga dan pemandu arah menunggu di luar perkarangan hotel. Replika tongkonan ini berfungsi sebagai pondok istirehat dan bersantai para pengunjung yang menginap di hotel ini. 

  

Deretan tongkonan dari kejauhan

Lokasi pertama adalah kunjungan ke rumah adat khas masyarakat Toraja. Dari kejauhan, rumah adat ini kelihatan seperti sebuah perkampungan yang tersusun.

 

Keunikan hiasan puncak tongkonan

Rekabentuk hiasan puncak tongkonan seperti rumah adat Minangkabau. Senibina ini diilhamkan daripada simbol tanduk kerbau. 

 

Tongkonan dari pandangan sisi

Tongkonan ini berfungsi sebagai tempat menyimpan padi. Kebanyakan dari rumah-rumah adat mempunyai tongkonan seperti ini. Bentuk rumah adat dan tongkonan hampir sama tetapi berbeza daripada segi saiz serta fungsinya. Rumah adat lebih besar dan berfungsi sebagai tempat perlindungan manakala tongkonan pula lebih kecil saiznya dan berfungsi sebagai tempat menyimpan padi. Ada juga tongkonan yang dijadikan tempat menyimpan mayat. Mayat-mayat tersebut disimpan di dalam sebuah tongkonan seumpama sebuah keluarga yang tinggal di dalam sebuah rumah. Namun, lokasi tongkonan untuk menyimpan mayat ini berada di kaki bukit berdekatan. 

 

Tongkonan dari pandangan hadapan

Tongkonan untuk menyimpan padi dari pandangan arah hadapan. Tongkonan ini kedudukannya bertentangan dengan rumah adat (di bawah). 

  

Rumah adat masyarakat Toraja

Rata-rata daripada rumah adat Toraja mempunyai arca kepala kerbau yang digantung pada bahagian tengah rumah. Susunan tanduk kerbau di hadapan tiang rumah memberi gambaran tentang beban hutang yang perlu dilanggsaikan oleh tuan rumah. Bilangan tanduk kerbau merujuk kepada bilangan jumlah kerbau yang perlu di ganti semasa menjalankan ritual kematian dengan cara menyembelih kerbau. Bagi masyarakat Toraja, belanja yang besar perlu disediakan sebagai penghormatan akhir kepada si mati. Bagi mereka yang berkemampuan, bilangan kerbau yang disembelih adakalanya mencecah ribuan ekor manakala keluarga yang  tidak mampu akan dibantu oleh ahli keluarga lain. Cara membantu pula adalah dengan meminjamkan kerbau tetapi perlu diganti  kemudiannya apabila berkemampuan.  Apabila seekor kerbau telah diganti, maka satu tanduk kerbau akan diturunkan dari tiang dan begitulah seterusnya. Maka, tidak hairanlah bayi yang baru lahir di kalangan keluarga yang berhutang akan turut sama menanggung beban hutang kedua orang tua mereka. Malah, hutang tersebut adakalanya terpaksa ditanggung hingga ke generasi cucu. Maka, tidak hairanlah ada di antara segelintir anak-anak muda yang berhijrah keluar dari desa tidak pulang ke kampung halaman dengan alasan tidak mahu menanggung beban hutang waris teratas daripada mereka. Adat ini perlu dipatuhi kerana telah termaktub dalam undang-undang adat masyarakat Toraja yang menganuti ajaran Kristian.

 

Rumah adat yang disusun sejajar

Perspektif menarik yang memperlihatkan hujung perabung rumah adat Toraja yang terjulur. Foto dirakam dari arah pandangan hadapan hingga ke barisan akhir rumah adat dan tongkonan. 

 

Singgah di gerai jualan Tana Toraja

Sebelum meneruskan perjalanan ke Palopo, kami singgah di gerai jualan Tana Toraja untuk meninjau apa yang istimewa untuk dibeli sebagai ole-ole buat keluarga di Malaysia.

 

Gemal padi disusun di tepi jalan

Pertama kali saya melihat susunan gemal (gemai) padi sebegini. Tangkai-tangkai padi yang telah diketam dihimpun secekak dan disusun berderet di tepi jalan. 

  

Gemal padi dilonggok setinggi aras mata

Segemal padi dihimpun sehingga menjadi longgokan besar setinggi aras mata. Longgokan ini terdapat di sepanjang laluan di Tana Toraja. 

 

Runtuhan bongkah batu

Walaupun perjalanan dari Tana Toraja ke Palopo mengambil masa selama 2 jam, namun keadaan permukaan jalan di lereng pergunungan yang tidak rata dan bersimpang siur membuatkan jarak perjalanan terasa jauh.  Runtuhan bongkahan batu-batu besar juga menimbulkan rasa cemas ahli keluarga yang lain sehingga mereka menyifatkan perjalanan ke Palopo adalah siri tinjauan yang mencabar dan merbahaya.  Namun, secara jujur ingin saya nyatakan bahawa apabila perasaan ingin tahu menguasai diri, apa jua liku-liku yang dilalui sepanjang perjalanan tidak sedikit pun menggentarkan diri. Inilah nilai pengorbanan yang harus dibayar untuk mencapai apa yang dihajatkan dalam siri tinjauan peribadi. Empat foto di bawah memperlihatkan sebahagian rakaman keadaan jalan di sepanjang lereng pergunungan yang di lalui. 

 

Laluan berbatu

  

Mengharung banjir kecil

 

Lori terbalik

 

Gerun melihat cerun

 

Pokok bunga cengkih subur menghijau

Terdapat banyak pohon bunga cengkih di lereng pergunungan di pertengahan laluan antara Tana Toraja dengan Palopo. Inilah kali pertama saya melihat pohon bunga cengkih.

 

Singgah di restoran Ulu Bale Laut

Sebaik  tiba di Palopo, kami singgah di Restoran Ulu Bale Laut untuk makan tengah hari.  Restoran ini terletak lebih kurang 1 km dari lokasi Masjid Tua Palopo. Apa yang menarik semasa menjamu selera di sini ialah menu sambal belacan dan sambal tempoyaknya ala-ala sambal belacan di Kedah dan sambal tempoyak di Perak. Masakan di Palopo ini menepati selera saya…Sewaktu menjamah masakan tersebut, saya mula terfikir apakah sambal tempoyak ini resepi asalnya dari Tanah Sulawesi yang dibawa masuk oleh orang-orang Bugis semasa berhijrah ke Perak khususnya. Tidak pernah lagi saya berjumpa sambal belacan dan sambal tempoyak yang ada persamaan rasa sebegini di wilayah lain di Indonesia yang pernah dikunjungi (sebahagian besar wilayah Acheh, Medan, Sumatera Barat mahupun Bali). Malah, saudara Alam sendiri menjelaskan bahawa sambal tersebut hanya terdapat di Palopo dan sajian sedemikian tidak terdapat di Makassar, Gowa ataupun bahagian lain di Sulawesi Selatan. 

 

Masjid Tua Palopo (1604 M)

Masjid Tua Palopo ini berdekatan dengan kedudukan Istana Pajung (payung) Luwu’. Istana tersebut jelas kelihatan dari arah perkarangan masjid. Masjid daripada binaan batu seluas 12m x 12m  ini dibangunkan oleh Pong Mante lebih 400 tahun lalu. Kedudukan masjid ini terletak di tengah kota Palopo.  Berikut adalah serba ringkas tentang sejarah masuknya Islam di Luwu’ (maklumat ini saya perolehi daripada risalah Masjid Tua Palopo):

Menurut sejarah, pada abad ke XV (15), Raja pertama yang memeluk agama Islam adalah Raja/Datu ke XV iaitu Patiarase Daeng Parabung yang sebelumnya didahului oleh Maddika Bua pada 15 Ramadhan 1013 H/04 Februari 1593M  yang dibawa oleh seorang ulama besar berasal dari Minangkabau (Sumatera Barat) bernama Datuk Soelaeman bergelar Datuk Pattimang. Dalam waktu relatif singkat, agama Islam tersebar dan berkembang pesat ke lingkungan keluarga kerajaan sehingga mendorong pemerintah untuk membangunkan satu tempat ibadah dalam lingkungan istana Raja Luwu’. Lalu didirikan sebuah masjid diberi nama Masjid Jami’ Palopo.

   

Pintu utama Masjid Tua Palopo

Foto ini memaparkan pintu utama (hadapan) masjid. Pintu ini adalah satu-satunya pintu masuk untuk menuju ke bahagian ruang dalam masjid.

 

Gerbang Palopo

Gerbang tertera Semoga Selamat Tiba di Tujuan sewaktu keluar dari Palopo untuk meneruskan perjalanan ke Masjid Jami’ Bua.

 

Masjid Jami' Bua

Masjid Jami’ Bua terletak kira-kira 10 km dari kedudukan Masjid Tua Palopo. Masjid ini mempunyai 2 buah kubah di bahagian kiri dan kanan yang mengapit 1 kubah besar di tengah menjadikan kesemuanya 3 buah kubah. 

 

Gerbang masuk bertingkat ke Masjid Jami' Bua

Gerbang bertingkat menuju ke Masjid Tua Bua mengundang perhatian. Foto dirakam dari arah dalam perkarangan masjid. Masjid Tua Bua adalah lokasi terakhir persinggahan kami pada perjalanan hari ke-3.

Perjalanan hari ke-4 sebagai penutup siri tinjauan peribadi ke Tanah Bugis bakal menyusul nanti…

 

11/08/2010

Catatan Perjalanan Hari Ke-2

Filed under: Sulawesi Selatan: Siri Kunjungan Peribadi — Harleny Abd Arif @ 6:45 pm

   

Tarikh: 07 Ogos 2010
Lokasi: Gowa
  

   

Loceng telefon bimbit mengejutkan saya dari lena yang pendek (tidur kurang dari 4 jam). Jarum jam menunjukkan pukul 5.00 pagi. Memang telah saya setkan masanya sedemikian kerana solat subuh di Sulawesi masuk sekitar jam 5.00 pagi. Sekitar jam 6 pagi pula cuaca semakin terang seperti jam 7.00 pagi waktu Malaysia. Kami perlu bersiap awal kerana perjalanan hari ke-2 ini menuntut masa yang panjang. Kami dijemput sekitar jam 7.00 pagi oleh saudara Alam dan pemandunya Sito. Dari Maros, kami perlu berpatah semula ke Gowa kerana hajat saya untuk melihat senibina Masjid Tua Katangka. Menyedari akan kekangan masa, saya perlu seberapa segera menjalankan pemerhatian di lokasi tinjauan. Hal demikian kerana, perjalanan ke Tana Toraja dalam misi menjalankan pemerhatian terhadap rumah adat Bugis dan Makassar di sepanjang laluan akan memakan masa 7 jam lamanya.  Anggap sahaja situasi saya seperti berada di Pasir Gudang, Johor lalu perlu singgah di Singapura kemudian berpatah semula ke Pasir Gudang untuk meneruskan perjalanan ke Ipoh dalam tempoh sehari perjalanan. Itu belum dikira dengan masa berhenti di lokasi tertentu untuk menjalankan pemerhatian, berhenti rehat (makan/minum) dan solat. Justeru, saya hanya mensasarkan sebuah masjid sahaja  iaitu Masjid Tua Katangka yang tertua di wilayah Sulawesi Selatan. Sesi ziarah ke makam Raja bergantung kepada ruang masa yang ada.  

 

Perpustakaan Syekh Yusuf

Lokasi pertama kunjungan adalah kompleks makam Syekh Yusuf di Desa Lakiung, Gowa. Kompleks makam ini perlu dilalui terlebih dahulu dalam perjalanan ke masjid tua Katangka. Foto di atas adalah perpustakaan Syekh Yusuf yang terletak di dalam kawasan kompleks makam. Bahan rujukan dalam perpustakaan teksnya ditulis dalam aksara lontara (bahasa Makassar). Bahasa ini sukar difahami kerana menggunakan simbol-simbol garisan dan titik. Saya sempat diajar secara asasnya oleh seorang guru di Makassar sebelum berangkat pulang dan amat tertarik untuk belajar bahasa ini kelak. Dua buah buku (Aksara Lontara Makassar 1 dan Aksara Lontara Makassar 2) yang secara kebetulan saya jumpai di kedai buku semasa berada di lapangan  terbang Sultan Hasanuddin bagaikan mendorong keinginan dan hasrat saya untuk menguasai bahasa kuno ini. Sejarah dan keunikan aksara ini telah digambarkan oleh pengarang buku Aksara Lontara 1 & 2 iaitu Syarifuddin Daeng Kulle & Zainuddin Tika sebagaimana berikut:  

Tak disangka, karya Daeng Pamatte yang menciptakan aksara Lontara, termasuk salah satu aset dunia yang sangat besar pengaruhnya dalam sejarah perkembangan ilmu pengetahuan di dunia ini. Ketika Raja Gowa ke IX, Daeng Matanre Karaeng Manguntungi, yang lebih tersohor dengan gelar Karaeng Tumapa’risi Kallonna, pada saat beliau memegang tampuk pemerintahan di kerajaan Gowa (1510-1546). Beliau pula telah memerintahkan Daeng Pamatte yang saat itu menjabat selaku Syahbandar (Sabannara) merangkap Tumailalang (Menteri urusan istana dan dalam negeri) di kerajaan Gowa, untuk menciptakan aksara Makassar. Tujuannya, agar semua peristiwa-peristiwa penting yang terjadi sepanjang sejarah, dapat ditulis untuk selanjutnya diwariskan pada generasi mendatang sebagai bekal bagi pengembangan ilmu pengetahuan. Setelah menerima amanah, Daeng Pamatte kebingungan, bagaimana bentuk huruf yang cocok diterapkan untuk mengungkapkan bahasa Makassar dalam bentuk tulisan. Sambil  duduk  merenung, Daeng Pamatte selanjutnya memperhatikan burung yang sedang terbang. Burung dan ketupat tersebut tersebut dilihat dari berbagai sisi, ada yang sedang terbang, saat mau terbang, saat hinggap di pohon. Akhirnya, Daeng Pamatte telah berhasil menciptakan sebanyak 18 aksara Lontara. Lontarak ciptaan Daeng Pamatte itu lebih dikenal dengan istilah Lontara Tao atau lontara jangang-jangang (burung) kerana bentuknya seperti burung. Juga ada yang berpendapat yang mengatakan dasar pembentukan aksara lontara dipengaruhi oleh huruf Sansekerta (Sanskrit).  (2008: 16-17)  

   

Makam di sisi kiri kompleks makam Syekh Yusuf

Kompleks makam Syekh Yusuf mengingatkan saya akan siri kunjungan ke makam Tok Pelam di Kuala Terengganu beberapa bulan yang lalu. Pengunjung perlu memasuki pintu kedua setelah masuk ke pintu gerbang utama. Makam di atas terletak di sisi kiri di luar perkarangan kompleks makam Syekh Yusuf.  

 

Makam di sisi kanan kompleks makam Syekh Yusuf

Makam dengan rekabentuk hiasan puncak seperti piramid ini pula terletak di sisi kanan di luar perkarangan kompleks makam dengan kedudukannya bertentangan dengan makam di atas.

   

Papan info di bahagian kepala pintu kompleks makam Syekh Yusuf

Papan info tertera keterangan tentang Syekh Yusuf ini terletak di bahagian kepala pintu masuk kedua menuju ke dalam kompleks makam. Saya tidak menunggu lama kerana kebetulan jurukunci makam berada di kawasan tersebut. Pintu kayu dibuka sebelum kami masuk ke dalamnya. Saya adalah pengunjung pertama yang masuk untuk berziarah ke kompleks makam pada hari tersebut.  

   

Makam Syekh Yusuf

Jurukunci makam yang dikenali sebagai Bapak Yunus ini adalah waris keturunan Syekh Yusuf. Beliau diberi tanggungjawab menjaga kunci kompleks makam ini. Nama sebenar Syekh Yusuf adalah Syekh al-Haj Yusuf bin Abdullah bin Abi Khayri al-Munjalawy al-Makassary. Almarhum  lahir semasa pemerintahan I Mangnga’rangi Daeng Manrabbiya Sultan Alauddin Raja Gowa ke XIV, sebelas tahun setelah agama Islam secara rasmi menjadi agama kerajaan Gowa (hari Jumaat, tanggal 9 Nov. 1607)  

   

Batu Nesan di makam Syekh Yusuf

Rekabentuk batu nesan Acheh di pusara Syekh Yusuf. Saya tidak pasti sama ada warna batu ini aslinya hitam atau telah dicat hitam seluruh permukaannya. Kemungkinan ia dicat lalu disapu dengan bahan pengilat.  

 

Makam Siti Daeng Nisanga (isteri almarhum) di sisi kiri makam Syekh Yusuf

Ini pula makam isteri kepada almarhum Syekh Yusuf. Ia terletak di sisi kiri makam Syekh Yusuf.  

   

Kompleks Makam Keturunan Raja Gowa

Lokasi seterusnya ke Masjid Tua Katangka. Masjid ini kedudukannya tidak sampai 1 km jaraknya dari kompleks makam Syekh Yusuf. Kompleks makam keturunan Raja Gowa ini pula terletak di dalam kawasan masjid Katangka.  

   

Masjid Tua Katangka

Inilah rekabentuk senibina Masjid Tua Katangka (kanan). Masjid ini telah dibina pada tahun 1603 adalah masjid tertua di wilayah Sulawesi Selatan. Di sisi kiri masjid adalah makam berbumbung dengan rekabentuk seperti piramid yang punya persamaan dengan rekabentuk makam yang saya temui di kompleks makam Syekh Yusuf sebelumnya.  

   

Makam di sisi kiri Masjid Tua Katangka

Ukiran pada batu di makam bersebelahan dengan Masjid Tua Katangka ini menarik perhatian saya untuk merakamkan foto seni ukiran dipermukaannya.  

 

Batu nesan berukir di atas makam

Ini pula batu nesan si empunya pusara yang indah buatan seni ukirannya. Saya difahamkan bahawa makam ini milik pengasas Masjid Tua Katangka.  

   

Kunjungan ke Fort Rotterdam

Dalam ruang waktu yang amat singkat, sempat juga saya singgah di Fort Roterrdam, Makassar. Tembok batu ini menggunakan putih telur sebagai bahan pelekat. Ia mengingatkan saya terhadap pembuatan tembok Masjid Indrapuri di Acheh Besar dalam siri kunjungan tahun lalu (Jun 2009).  

 

  

Terpandang sahaja papan info di atas, saya menyuarakan hajat untuk berkunjung ke Muzium di bahagian dalam pintu gerbang. Dah kebetulan singgah, jadi apa salahnya lihat khazanah di dalamnya. Cuma saya perlu bergerak dengan pantas kerana jarak perjalanan yang jauh masih belum dimulai kerana kami masih lagi berada di Makassar.  

 

Di sebalik gerbang Fort Rotterdam

Masuk ke bahagian dalam Fort Rotterdam…Bentuk benteng Fort Rotterdam ini kelihatan seperti bentuk penyu dari pandangan atas. 

 

Ayahanda di hadapan pintu masuk muzium

Singgah ke Muzium Negeri Sulawesi Selatan La Galigo untuk melihat himpunan khazanah lama di dalamnya. 

  

Aksi si penarik beca

Tepat jam 11.00 kami beredar dari perkarangan muzium dan meneruskan perjalanan ke Tana Toraja. Sempat saya rakam aksi si penarik beca dengan penampilan ala ninja di sepanjang jalan. Rata-rata penarik beca menutup wajah sebegini. Mungkin aksi begini hanya boleh dilihat di pagi hari.  

 

Kereta kuda versi pengangkutan awam

Kuda turut dijadikan tunggangan membawa penumpang selain kenderaan awam beroda empat yang bertali arus di jalanan.  

 

Rumah adat Bugis dengan potongan bumbung bertingkat

Rekabentuk rumah tradisional ini adalah salah satu contoh rumah adat bugis yang telah saya rakam melalui jendela kaca kenderaan. Foto-foto rumah adat yang lain akan saya paparkan dalam sanggar Rumah Tradisional kelak.  

   

Kuih Dange

Berhenti seketika di gerai jualan kuih bakar di sisi jalan. Kuih bakar ini dikenal sebagai dange…campuran beras pulut hitam dengan kelapa parut. Dange ini dinikmati pada waktu tengah hari menggantikan nasi yang akan dijamah lewat sedikit.  

   

Acuan Dange

Ini rupanya bentuk acuan dange. Acuan yang panas sebaik diangkat dari tempat pembakaran di sejukkan di atas pelepah pisang.  

   

Dange dikeluarkan dari acuan dan sedia dimakan

Setelah agak suam-suam kuku, dange dalam acuan kemudiannya dikeluarkan di atas permukaan daun pisang dan seterusnya sedia untuk dijamah… alhamdulillah, kenyang.

 

Masjid Jami' Alhamdulillah

Sebaik makan, azan zuhur pun berkumandang…kami singgah di masjid Jami’ Alhamdulillah untuk solat jamak taqdim. Masjid ini kedudukannya hanya di sebelah gerai jualan dange.  

   

Pesisir Selat Sulawesi

Pemandangan melalui jendela kaca…foto ini memaparkan pemandangan di pesisir Selat Sulawesi. Pada masa ni perut mulai berkeroncong kerana kami belum lagi menjamah nasi sedangkan jam di tangan telah melepasi 2.30 petang.  

   

Bersama bonda

Berhenti di Restoran Kupa, Parepare untuk makan tengah hari…Restoran dengan konsep terbuka ini menghadap laut… mewujudkan suasana santai pengunjung yang singgah untuk menjamu selera.

 

Juadah tengah hari

Masuk jam 3.15 petang, barulah kami semua dapat mengisi perut dengan nasi dan lauk pauk setelah masing-masing menahan lapar.  Kuih bakar dange hanya sebagai alas perut sementara menanti makan tengah hari. Makan tengah hari ni pula dah kira merangkap minum petang sekali.  

   

Gelagat peserta perbarisan

Perjalanan diteruskan lagi. Namun, laluan agak sesak ekoran raptai perbarisan murid-murid sekolah sempena sambutan kemerdekaan Indonesia. Kenderaan kami terpaksa bergerak perlahan…hampir 2 jam menunggu laluan lancar.

   

Bonda membeli kuih cap tunjuk

Singgah untuk minum malam…pemandu kami dah mula mengantuk. Pekena kopi dulu sebelum meneruskan perjalanan ke Tana Toraja. Sementara yang lain minum, saya menemani bonda ke gerai jualan buah-buahan dan kuih tradisional di sebelah. Beberapa kampit kuih cap tunjuk dibeli bonda untuk buah tangan anakanda yang lain.

 

Check ini di Hotel Hiltra Toraja

Setelah melalui lebih 15 jam perjalanan, akhirnya kami tiba di Hotel Hiltra Toraja di Rantepao, Tana Toraja. Masuk sahaja ke bilik hotel…masing-masing terbaring kepenatan… aktiviti penutup pada malam ini berakhir apabila suis lampu dipadamkan… Zzzzzzzzzzzzzz

Sambung perjalanan hari esoknya dalam Catatan Perjalanan Hari Ke-3…

Catatan Perjalanan Hari Per-1

Filed under: Sulawesi Selatan: Siri Kunjungan Peribadi — Harleny Abd Arif @ 11:11 am

 

Tarikh: 06 Ogos 2010
Lokasi: Makassar, Sulawesi Selatan

 

Program asal ke Sulawesi Selatan adalah sebagai peserta dalam siri lawatan sambil belajar. Sebaik dimaklumkan salah seorang junior MA tentang program ke Sulawesi, spontan saya menyatakan kesediaan untuk turut serta (dengan perbelanjaan sendiri). Mengikut jadual awal, saya sebenarnya hanya menumpang pelajar MA yang mengadakan lawatan ke sana. Namun, saat-saat akhir sebelum berangkat ke Tanah Bugis saya telah membuat keputusan untuk bergerak secara sendiri. Rasionalnya, perjalanan 4 hari 3 malam sepanjang berada di Sulawesi amat singkat waktunya untuk saya memenuhi tuntutan pencarian dalam siri jejak masjid tua, makam lama dan menjalankan pemerhatian terhadap rumah-rumah adat khas Bugis dan Makassar selain melihat lebih dekat keunikan rumah adat masyarakat Toraja.

Memandangkan misi ke Tanah Bugis adalah siri tinjauan peribadi, saya telah membawa 3 ahli keluarga sebagai peneman. Ayahanda, bonda dan seorang adinda turut serta dalam misi saya pada kali ini. Justeru, sebaik memaklumkan kepada junior MA bahawa saya telah mengambil keputusan untuk bergerak dengan team sendiri, tanpa berlengah saya terus melakukan pencarian senarai agensi di Sulawesi. Laman web www.alamnusantaratour.com menjadi pilihan dalam kunjungan pada kali ini.  Setelah berbincang secara lisan melalui perbualan telefon dan berhubung melalui e mel  tentang lokasi dan kos perjalanan, maka saya memberi mandat kepada Saudara Alam (pemilik agensi) untuk mengatur perjalanan saya dan ahli keluarga sepanjang berada di sana. Lokasi tinjauan ditentukan sepenuhnya oleh saya. Kunjungan peribadi memudahkan saya untuk membuat sebarang pindaan di saat-saat akhir sekiranya perlu. Keadaan ini berbeza sekiranya saya menyertai kumpulan pelajar MA yang terikat dengan jadual program mereka. Kekangan masa pasti membuatkan hajat saya tidak kesampaian. Justeru, keputusan saya menarik diri dari kumpulan mereka tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memudahkan saya mengatur jadual sendiri serta mengubah hala tuju perjalanan tanpa sebarang pertikaian daripada ahli kumpulan lain.

 

Tanah Sulawesi Selatan melalui jendela kaca pesawat

Bertolak dari LCCT Kuala Lumpur jam 1.45, lewat 15 minit daripada jadual asal. Akhirnya pesawat Airasia mendarat dengan selamat setelah melalui perjalanan selama 3 jam 15 minit. Hari pertama tiba memang tiada program yang dirancang kerana tidak berbaloi rasanya menyewa kenderaan untuk berkunjung ke mana-mana lokasi. Lagipun saya dan ahli keluarga tiba di Lapangan Terbang Sultan Hasanuddin di Ujung Pandang sekitar jam 5.00 petang. Untuk makluman, waktu di Sulawesi sama dengan waktu di Malaysia. Sekirannya saya  tiba jam 5.00 waktu Malaysia, jam di Sulawesi juga menunjukkan waktu yang sama. Namun yang berbeza adalah bilamana jam 5.00 di wilayah Sulawesi seperti cuaca jam 6.00 di Malaysia. Jadi, apabila mendekati jam 6.00, cuaca di sana  mulai gelap seperti waktu maghrib di Malaysia.

 

Bonda dan adinda

Ayahanda (tiada dalam foto), bonda dan adinda sebagai pengiring peribadi. Kami terpaksa menunggu 2 jam sebaik tiba kerana perlu melalui sistem baru (tak ingat pula apa nama sistem yang dimaklumkan…ala-ala merekod sistem maklumat pengunjung). Leceh juga menunggu lama…tapi apa nak buat, perlu akur akan peraturan yang ditetapkan. Seorang demi seorang perlu meletakkan 4 jari kanan, kemudian kiri (kecuali ibu jari) diikuti kedua-dua ibu jari serentak. Seterusnya foto wajah dirakam melalui alat perakam wajah yang telah sedia ada di atas kaunter sewaktu pemeriksaan pasport. Tiba sahaja di pintu keluar, cuaca semakin gelap kerana jam 7.00 waktu Sulawesi keadaan cuacanya seperti jam 8.00 waktu Malaysia. Saudara Alam terpaksa menunggu 2 jam di luar pintu masuk. Kami kemudiannya terus dibawa ke Hotel Transit di Maros untuk check in.

 

Kepala & ekor...pilih yang mana?

Sesi isi perut setelah lebih 10 jam saya tidak menjamah apa-apa. Hanya sarapan pagi jam 10.00 pagi sebelum bertolak ke LCCT Kuala Lumpur. Ayahanda dan bonda telah saya tempahkan makanan keduanya di dalam pesawat manakala adinda pula sempat menjamah burger di LCCT. Jadi, saat inilah yang dinanti-nantikan setelah perut tidak terisi sekian lama. Antara kepala dan ekor, sudah tentu saya  pilih ekornya. Selesai menjamu selera, kami semua menuju ke tempat penginapan untuk sesi lelap mata…
zzzzZzzzzzZZZzzzzzz (aktiviti hari esok bersambung dalam Catatan Perjalanan Hari ke-2).

 

Theme: Rubric. Blog di WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.