Jejak Mihrab & Mimbar

15/09/2010

Kompleks Makam Almarhum Sultan Abd Samad

Filed under: Kompleks Makam — Harleny Abd Arif @ 11:35 pm

 

Tarikh: 22 Ogos 2010
Lokasi: Kompleks Makam Sultan Abd Samad, Banting

 

Sesi ziarah ke kompleks makam ini tiada dalam perancangan sebelum saya melangkahkan kaki keluar dari rumah. Semasa kenderaan bergerak barulah saya memikirkan ke mana arah hendak dituju pada hari tersebut. Lalu keputusan pun diambil untuk meneruskan perjalanan ke Jugra, Banting untuk membuat tinjauan ke atas senibina Masjid Alaeddin. Namun, kesudahannya perjalanan saya dan keluarga terarah ke kompleks makam Sultan Abd. Samad pula. Inilah yang dikatakan bahawa kita hanya merancang, tetapi secara muktamadnya hanya Allah yang menentukan. Pasti ada hikmahnya saya hadir walaupun secara kebetulan di sini.

Al Marhum Sultan Abd Samad adalah rakan baik kepada Haji Mustafa Raja Kamala, penghulu pertama di Tanjung Malim (almarhum adalah moyang kepada arwah datuk saya dari sebelah ibu). Kisah persahabatan baginda Sultan dan Haji Mustafa Raja Kamala pernah diceritakan oleh salah seorang cicit almarhum Haji Mustafa. Almarhum Sultan bersama Haji Mustafa dikatakan mempunyai kebolehan melompat ke seberang sungai dengan sekali lompatan. Sungai Bernam di sempadan Perak dan Selangor pernah menjadi lokasi kedua mereka mempamerkan kebolehan masing-masing. Kisah tersebut turut tercatat dalam teks ilmiah (tesis) saya bertajuk Haji Mustafa Raja Kamala dan susurgalur jurai keturunannya (2004: 135)

 

Lorong menuju ke kompleks makam Almarhum Sultan Abd. Samad  ini terletak di Jalan Makam, Banting.

 

Laluan menuju ke gerbang kompleks makam diteduhi rimbunan pepohon di sisi kiri dan kanan jalan.

 

Gerbang utama untuk masuk ke ruang dalam kompleks makam. Saya dan keluarga tiba sekitar jam 5.27 petang. Agak menghampakan apabila melihat pintu pagar berkunci. Namun, lebih kurang 5 minit meninjau-ninjau dari celah pagar…saya dimaklumkan oleh seorang lelaki berketurunan Cina yang kebetulan beriadah di situ bahawa ada satu lagi pagar kecil untuk masuk ke dalam kompleks makam. Sekiranya pagar tersebut tidak berkunci, maka tercapailah hajat saya untuk berziarah dan cerahlah juga peluang saya untuk merakam foto di kawasan dalamnya. Alhamdulillah, pagar kecil sebagai laluan alternatif hanya berselak tanpa dimanggakan. Justeru, dapatlah saya menjejakkan kaki untuk masuk ke perkarangan dalam kompleks makam.

 

Pandangan sisi kiri kompleks makam Almarhum Sultan Abd Samad. Di dalam binaan inilah disemadikan jasad almarhum. 

 

Kompleks makam Sultan Abd Samad dari arah pandangan hadapan. Binaan kompleks makam dihiasi kubah berwarna emas ditengahnya dengan rekabentuk seperti potongan bawang. 

 

Pintu berjeriji besi dengan ukiran kerawang berwarna emas adalah pintu masuk yang perlu dilalui untuk menuju ke ruang dalam pusara Almarhum Sultan Abd Samad.

 

Info ini berada di sisi kanan pintu masuk ke pusara Almarhum Sultan. Keterangan tertera butiran “Almarhum Sultan Abd. Samad mangkat pada hari Ahad 14 haribulan Ramadhan Sanah 1305 bersamaan 6 Februari tahun 1898 Masihi.” Al Marhum Sultan rupanya mangkat pada 14 Ramadhan dan secara kebetulan siri ziarah saya ke makam tersebut juga berlaku pada bulan puasa bagi umat Islam  iaitu pada tanggal 12 Ramadhan bersamaan 22 Ogos 2010. Lagi 2 hari, maka genaplah 112 tahun mangkatnya Al Marhum Sultan.

 

Dari celah jeriji besi, saya cuba merakam foto pusara yang terletak di bahagian dalam…hasilnya tidak menghampakan. Seolah-olah saya berdiri dan merakam foto di ruang dalam makam pula.

 

Binaan ini pula berada di sisi kiri kompleks makam Almarhum Sultan Abd. Samad. Di dalam binaan ini terdapat deretan pusara waris almarhum. 

 

Inilah susunan pusara yang berada dalam binaan seperti foto di atas. Pusara dengan simen bercat kuning (kedudukan ke-5 dari hadapan) adalah makam Al Marhumah Tunku Arfah binti Al Marhum Sultan Abd. Samad.

 

Ini pula adalah makam Tunku Ibnu Syah Ibni Al Marhum Sultan Abdul Samad yang mangkat pada tahun 1927.

 

**************************************************************************

Al Fatihah buat Al Marhum Sultan Abd. Samad dan sekalian warisnya…

 

09/09/2010

Salam Lebaran…

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 5:05 pm

 

kad-raya-4.gif Hari Raya image by sixshot_

 dari laman http://media.photobucket.com

 

Salam Lebaran buat semua tetamu tetap yang sering bertandang atau
tetamu yang secara tidak sengaja singgah seketika di sanggar ini. 
Ampun dan maaf dipinta andai pernah terkasar bahasa, terlanjur kata
mahupun tersindir lantaran aliran pemikiran berbeza 
 ketika membahaskan apa jua isu yang diutara.

Semoga Hari Lebaran yang bakal tiba diraikan penuh ceria
di sisi keluarga tercinta.

Mudah-mudahan selamat dalam perjalanan pergi dan pulang
ke kampung halaman…Amin.

 

Ikhlas daripada:
Harleny Abd Arif Sekeluarga

 

07/09/2010

PERIBADI: Dari Sanggar kavkaz-asadullah.blogspot.com

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 6:31 pm

 

Hampir sebulan saya tidak menjengah blog adinda bongsu…kali terakhir singgah di blognya sebelum saya berangkat ke Sulawesi Selatan 6 Ogos lalu. Kebetulan saya agak sibuk dalam tempoh sebulan ini kerana memberi tumpuan kepada pemurnian proposal untuk sesi pembentangan ke-2 selepas Hari Raya Aidilfitri nanti (InshaAllah penghujung September depan). Catatan ini adalah duplikasi catatan bertajuk PERIBADI dari sanggar adinda bongsu saya. Penulisan ini terkesan di hati, kerana intipatinya terkandung iktibar untuk mendidik peribadi. Justeru, saya kongsikan di sanggar ini untuk tatapan dan yang paling utama diamalkan dalam kehidupan seharian.

Catatan tersebut dihasilkan sehari sebelum adinda berangkat menunaikan umrah di Mekah. Di kala semua teman serumahnya (dikhabarkan semua teman serumahnya pulang ke Malaysia kecuali dirinya) pulang bercuti semester sekaligus menyambut hari lebaran bersama keluarga…kami semua di sini menyarankan agar tahun hadapan sahaja adinda pulang semasa cuti semester. Pasti pada mulanya adinda kami ini berjauh hati kerana inilah kali pertama dia bakal meraikan hari raya tanpa keluarga di sisi. Untuk memujuk hatinya, kakanda sulung memberi cadangan agar adinda menunaikan umrah. Cadangan tersebut dipersetujui kami semua.

“Adindaku Muhammad Akmal…bersyukurlah kerana ALLAH telah mengizinkan adinda menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah menjadi tetamuNYA. Alangkah bertuahnya adinda kerana dapat menjalani ibadah puasa pada 2 minggu akhir Ramadhan, melakukan solat tarawih dengan berkiblatkan kaabah di hadapan mata dan meraikan Hari Lebaran pada 2 minggu awal di bulan Syawal yang bakal menjelang.” Hari ini (07 Sept) genaplah 16 hari adinda bongsu berada di sana…membawa bekalan doa-doa daripada kami semua. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan segala laluan dari awal hinggalah ke hujung perjalanannya…Amin.

 

Muhammad Akmal bin Abd Arif berkata:

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, beberapa jam lagi penulis akan ke Alexandria, daerah yang mana kali ke-2 penulis akan ke sana. Pertama kali pergi untuk bermusafir, ziarah kubu Salahuddin, library, jalan2 tepi pantai…Tetapi perjalanan kali ke-2 ini bukan sekadar untuk bermusafir, ziarah kubu atau ke library, tetapi perjalanan untuk ziarah ke Baitullah, Makkah. Jangan salah sangka, tiada kaabah di Alex, tetapi penulis ke alex kerana depart dari airport Alex.

 

 

Sebelum penulis ingin meninggalkan rumah pada petang ini, inshaAllah ingin sekali penulis berkongsi sedikit tentang keperibadian seorang muslim, mudah-mudahan penulis mendapat saham atas penulisan yang tidak seberapa ini.

Semua orang yang beragama Islam semestinya mengakui Islam adalah agama yang sangat sempurna, syumul, terpuji dan macam2 lagi (kecuali orang munafik dan seangkatan dengannya). Tetapi, sejauh manakah kita memahami “Islam” sebagai seorang muslim yg berpandukan Al-quran dan Sunnah sebagai panduan hidup?

Kebanyakan atau mungkin segelintir berfikiran bahawa apabila disebut Islam atau Muslim maka apa yang dibayangkan adalah masjid, seorang yg berserban, berfikiran terkebelakang, seorang yg ‘alim, budak surau, skema, x open minded, jumud, org berjubah, x cool, x sporting dan lebih menakutkan Islam adalah satu perkara tidak boleh dicampur adukkan dengan kerja dan kehidupan seharian.

Sesungguhnya, Islam itu sangat cantik, tidak kira dimana kamu berada baik di daratan, lautan, udara, marikh ataupun di ruang angkasa.

Apa yang ingin penulis sampaikan disini adalah tentang keperibadian seorang yg muslim. Adakah anda rasa anda mempunyai peribadi seorang muslim seperti mana yang digariskan di dalam Al-Quran ataupun sunnah Rasulullah? Sesungguhnya  akhlak Rasulullah seperti yg terkandung dalam Al-Quran.

Apabila Aishah r.ha ditanya tentang akhlak Rasulullah maka jawabnya:

“Rasulullah memiliki budi pekerti Al-Quran” – Riwayat Bukhari dan Muslim

Banyak sekali kita lihat seseorang itu berlebihan dalam satu perkara sehingga meninggalkan perkara yang lain. Sebagai contoh, mereka yang selalu mengerjakan solat berjemaah dan selalu berada pada saf yang pertama tetapi mengabaikan kebersihan mulutnya, atau pada badannya.

Ataupun seseorang yang solatnya khusyu’, tetapi tidak menjaga silaturrahim sesama jiran tetangga ataupun kerabatnya.

Ataupun juga seseorang yang sangat sopan, selalu bersedekah, selalu tersenyum, baik dengan tetangga, jujur, amanah, tetapi derhaka pada kedua ibu dan bapanya.

Mungkin juga dia taat pada kedua ibubapanya, tetapi buruk pergaulannya sesama orang, ataupun tidak pernah mengetahui tentang makan minum jirannya.

Mungkin juga seorang yang taat pada kedua ibu bapa, berbaik dengan orang disekeliling, akhlak baik, jujur, pembersih, tetapi dia zalim pada binatang.

Mungkin ada yang berkata dan tertanya-tanya apakah mungkin semua ini mampu untuk kita laksanakan?!

Sesungguhnya Rasulullah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak…dan inilah akhlak yg sebetul-betulnya patut ada pada seorang yang beriman.

Syahsiah muslim oleh Muhammad Ali Al-Hashimi… buku yg baru saya baca telah mengkelaskan beberapa keperibadian:

1.  seorang muslim dengan tuhannya
2.  seorang muslim dengan dirinya
3.  seorang muslim dengan kedua orang tuanya
4.  seorang muslim dengan isterinya
5.  seorang muslim dengan anak2nya
6.  seorng muslim dengan saudara2nya
7.  seorang muslim dengan jirannya
8.  seorang muslim dengan kawan2nya
9.  seorang muslim dengan masyarakat.

Bersambung, dah xsempat, nak kemas2 barang2 dah, moga entri yg saya tulis ni memberi manfaat kepada semua.

Allah mengetahui yang lebih baik.

 

06/09/2010

Masjid Tua Katangka

Filed under: Masjid-Masjid Tua di Indonesia — Harleny Abd Arif @ 3:38 am

 

Tarikh: 07 Ogos 2010
Lokasi: Masjid Tua Katangka, Gowa

 

Masjid Katangka adalah masjid tertua di bahagian Sulawesi Selatan. Masjid ini didirikan setahun lebih awal daripada Masjid Tua Palopo di Kerajaan Luwu. Lokasi masjid ini terletak berdekatan dengan kompleks makam Sheikh Yusuf. Pengunjung boleh berjalan kaki dari kompleks makam menuju ke arah masjid tua ini.

 

Informasi yang kelihatan di papan peraga sebelum melangkah masuk ke bahagian dalam perkarangan masjid tua Katangka. 

 

Bahagian hadapan dan sisi kiri masjid ini dipenuhi dengan makam-makam keluarga keturunan Raja Gowa.

 

Info tertera Mesjid Tertua di Sul-Sel (Sulawesi Selatan) ini terdapat pada permukaan dinding di sisi kanan sebelum melangkah melalui pintu masuk ke ruang dalam.

 

Keterangan lain yang turut terpapar pada permukaan dinding di hadapan pintu masuk utama.

 

Beduk lama yang seusia dengan masjid tua dipamerkan sebagai objek cagar budaya di bahagian hadapan serambi masjid.

 

Ruang dalam masjid yang sebahagiannya telah direnovasi. Bahagian permukaan dinding dan tiang telah dicat dengan warna putih.

 

Rekabentuk mihrab dan mimbar masjid tua Katangka dari arah hadapan. Bahan asal pembuatan mimbar adalah daripada kayu. Namun rekabentuk terdahulu telah dibaikpulih dengan penggunaan simen untuk mengukuhkan  struktur mimbar asal.

 

Masjid Tua Palopo

Filed under: Masjid-Masjid Tua di Indonesia — Harleny Abd Arif @ 2:21 am

 

Tarikh: 08 Ogos 2010
Lokasi: Palopo (Pajung Luwu), Sulawesi Selatan

 

Masjid tua Palopo dengan keluasan 12 m x 12 m persegi ini didirikan sekitar tahun 1604 oleh Pong Mante (Fung/ Puang Mante). Bahan utama pembinaan masjid ini adalah daripada batu gunung yang dipahat dan diasah. Sumber yang diperoleh daripada risalah masjid menyebut bahawa masjid ini kononnya didirikan dalam tempoh 77 hari. Setiap batu menggunakan putih telur sebagai bahan pelekat.

 

Hiasan puncak masjid berkonsepkan atap tumpang yang bersusun 3 lapis adalah simbol kepada tingkatan syariat, makrifat dan hakikat. Di puncak atap terdapat balubu merujuk kepada sejenis bahan daripada tanah liat yang digunakan dalam pembuatan tembikar (keramik).

 

Masjid ini hanya mempunyai satu pintu di bahagian hadapan sebagai laluan masuk ke ruang dalam. 

 

Beduk ini digantung pada pondok luar di sisi kanan perkarangan masjid. Kedudukannya bertentangan dengan pintu pagar utama masjid. 

 

Tiga anak tangga perlu dinaiki sebelum melalui pintu utama menuju ke ruang dalam masjid. 

 

Rekabentuk pintu utama menuju ke ruang dalam. Pada bahagian kiri dan kanan terdapat ukiran timbulan (relief) berupa ukiran bersayap hasil pahatan pengukir. Selain itu, aksara Arab juga jelas tertera pada bahagian atas kepala pintu.

 

Rakaman foto pintu masuk dari arah ruang dalam masjid. Di sebalik rimbunan pohon besar berdekatan lampu trafik berdirinya sebuah istana lama iaitu Istana Pajung Luwu.

 

Pemandangan bahagian ruang dalam masjid. Pada sisi dinding kanan dan kiri terdapat 7 buah tingkap dengan konsep terbuka yang berfungsi sebagai pengaliran udara keluar masuk.

 

Di bahagian ruang dalam masjid berdirinya 4 tiang kecil dan 1 tiang utama di tengahnya yang bersegi 12 melambangkan 12 suku yang ada di Kerajaan Luwu. Tiang dengan ketinggian 8.5 meter ini didakwa diperbuat daripada batang pohon cina guri yang telah disumpah sehingga tiada lagi batang pohon yang sebesar itu.

 

04/09/2010

Keunikan Rumah Adat Suku Toraja

Filed under: Rumah Tradisional — Harleny Abd Arif @ 9:36 am

  

Tarikh: 08 Ogos 2010
Lokasi: Tana Toraja, Sulawesi Selatan

 

Rumah adat suku Toraja ini terletak di kawasan pergunungan bahagian utara Sulawesi Selatan. Majoriti daripada suku Toraja beragama Kristian dengan sebahagian besar (lebih kurang 65%) adalah penganut ajaran Protestan, Katolik (lebih kurang 17%) diikuti agama Islam (6%) dan Aluk To Dolo (kepercayaan Animisme yang diperakui pemerintah Indonesia sebahagian daripada Agama Hindu Dharma) yang juga 6% bilangannya. 

Istilah toraja berasal dari bahasa Bugis iaitu to riaja, yang bermaksud “orang yang berdiam di negeri atas”. Pemerintah kolonial Belanda telah menamakan suku ini sebagai Toraja pada tahun 1909. Suku Toraja terkenal akan ritual pemakaman, rumah adat tongkonan dan ukiran kayunya.

 

Sawah bendang nan menghijau

Selain bergantung kepada tanaman padi dan kopi sebagai sumber pertanian utama, sebahagian besar daripada penduduk tempatan turut menjalankan aktiviti penternakan kerbau, khinzir dan ayam yang menjadi keperluan dalam ritual kematian dan makanan harian mereka. 

 

Papan informasi tertera amaran

Papan informasi di bahagian luar laluan masuk ini tertera keterangan berupa amaran kepada pengunjung luar yang hadir ke kawasan rumah adat Toraja.

 

Bonda di laluan masuk menuju ke rumah adat

Tongkonan dalam barisan sejajar kelihatan seperti sebuah perkampungan yang tersusun.

 

Perspektif menarik...dari laluan masuk ke hujung

“Unik dan kompleks” istilah yang difikirkan tepat untuk menggambarkan tentang nilai estetika rekabentuk rumah adat suku Toraja. Tongkonan menyimpan padi didirikan dalam barisan sejajar di bahagian kanan manakala rumah adat pula dalam barisan sejajar di bahagian kiri. Kedua-dua hiasan puncak yang terletak sebelah menyebelah ini  hampir bertemu bucu perabungnya…seolah-olah membentuk gerbang terbuka di tengah laluan.

 

Rekabentuk rumah adat suku Toraja

Rumah adat ini didirikan dengan ketinggian tiang melebihi 2 meter dari permukaan tanah. Rumah di kawasan ini tidak lagi diduduki sebaliknya beralihfungsi menjadi objek cagar budaya.

 

Susunan tanduk kerbau di tiang hadapan

Tanduk kerbau yang disusun adalah simbolik kepada beban hutang yang ditanggung si pemilik rumah (lihat keterangan seperti yang dicatatkan dalam Catatan Perjalanan Hari ke-3 dalam sanggar Sulawesi Selatan: Siri Kunjungan Peribadi).

 

Arca ukiran kepala kerbau

Rata-rata daripada rumah adat Toraja mempunyai arca ukiran tanduk kerbau yang digantung pada bahagian hadapan.

 

Tiang dengan teknik pasak

Tiang-tiang kayu rumah adat Toraja didirikan dengan menggunakan teknik pasak.

 

Bahagian bawah gelegar

Mari kita lihat bahagian bawah permukaan lantai rumah yang dibina tanpa menggunakan sebarang paku.

 

Tongkonan bertentangan rumah adat

Tongkonan yang berfungsi sebagai tempat menyimpan padi ini kedudukannya bertentangan dengan rumah adat dengan arca kepala kerbau dan susunan tanduk.  

 

31/08/2010

Rumah Adat Bugis-Makassar

Filed under: Rumah Tradisional — Harleny Abd Arif @ 2:15 am

 

Tarikh: 07 Ogos 2010
Lokasi: Makassar – Tana Toraja

Foto-foto yang dipaparkan adalah sebahagian daripada himpunan foto rumah adat Bugis-Makassar yang dirakam dalam siri tinjauan peribadi ke Sulawesi Selatan pada 06 hingga 09 Ogos lalu.

Seperti yang saya sebutkan dalam catatan sebelum ini…perjalanan dari Makassar ke Tana Toraja mengambil masa 7 jam (tanpa henti). Tempoh perjalanan 7 jam adalah anggaran berdasarkan jarak perjalanan, namun perjalanan sebenar memerlukan 2 sehingga 3 jam waktu tambahan untuk berhenti rehat, solat dan makan/minum selain kekangan lain seperti berhadapan dengan raptai perbarisan. Kekangan masa menjadi faktor saya tidak berhenti dan turun dari kenderaan untuk merakamkan setiap satu daripada rumah adat Bugis-Makassar. Memadai dengan merakam di sebalik jendela kaca di saat kenderaan bergerak kerana keterbatasan waktu. Sesekali saya lakarkan bentuk potongan bumbung rumah di dalam buku catatan yang diselitkan pada bahagian poket belakang tempat duduk saudara Alam (pemandu arah). Hanya lakaran mudah secara asas yang menampilkan kepelbagaian rekabentuk potongan bumbung.

Kamera memang sentiasa saya gantung di leher sepanjang perjalanan untuk memastikan  subjek tinjauan dapat dirakamkan dengan pantas. Jika ingin mengenalpasti foto mana dirakam saat kenderaan bergerak laju…lihat kualiti foto yang dipaparkan. Jika samar-samar…itulah foto yang dimaksudkan. Jika terang dan baik mutunya…ianya hasil daripada rakaman ketika pemandu sedang memperlahankan kenderaan (saat melalui jalan yang tidak rata). Kira ianya peluang terbaik untuk memfokuskan subjek tinjauan selain berpeluang merakam 2 atau 3 kali objek yang sama (jadi adalah peluang untuk membuat pilihan foto yang terbaik mutunya).

Justeru, dalam hal ini saya perlu menerima akan hasil rakaman foto yang sedemikian rupa dan berharap agar pengunjung lain juga dapat menerima seadanya. Apa yang utama bagi saya adalah kesempatan membuat pemerhatian dengan lebih dekat dalam siri tinjauan di lapangan. Rakaman foto adalah imej visual sebagai bahan bantu kepada daya ingatan yang terbatas sifatnya. Sekurang-kurangnya ada juga bekalan rakaman visual sebagai dokumentasi pengumpulan data di lapangan daripada tiada langsung.

Berikut saya kongsikan sumber foto yang menampilkan rekabentuk khas rumah adat Bugis-Makassar. Rata-rata daripada ciri rekabentuk rumah adat di Tanah Bugis bahagian Sulawesi Selatan mempunyai potongan bumbung seperti yang dipaparkan… 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

29/08/2010

Rumah tradisional berdinding kelarai di Kampung Pulau Kemiri

Filed under: Rumah Tradisional — Harleny Abd Arif @ 10:19 pm

 

Tarikh: 17 Julai 2010
Lokasi: Kampung Pulau Kemiri, Sungai Siput

 

Perjalanan ke Kampung Pulau Kemiri ini telah dilalui lebih sebulan yang lalu… sebaik pulang dari siri tinjauan ke atas masjid Ihsaniah di Kuala Dal, bengkel Kraf Pandai Besi, makam Daeng Salili, rumah tradisional Baitul Rahmah dan Istana Kenangan di Bukit Chandan.

 

Inilah kali pertama saya hadir ke Kampung Pulau Kemiri di Sungai Siput (U). Kalau tidak salah ingatan, tidak kurang 3 kali saya berhenti di sepanjang perjalanan untuk bertanya arah lokasi masjid tua Pulau Kemiri.

 

Lorong sempit ini perlu dilalui untuk menuju ke arah lokasi masjid tua. Kebun pisang melatari pandangan di bahagian kiri dan kanan laluan.

 

Dalam perjalanan melalui sepanjang lorong tadi, saya singgah ke rumah salah seorang penduduk setempat untuk bertanya lokasi masjid. Apa yang membuatkan saya tertarik untuk berhenti bertanyakan arah lokasi masjid yang ingin dijejaki? Kebetulan semasa kenderaan melalui lorong kecil, mata terpandang sebuah rumah berdindingkan buluh di sisi kiri jalan. Teratak ini adalah rumah ketiga berdindingkan kelarai yang dijumpai sepanjang hari tersebut. Masjid Ihsaniah di Kuala Dal dan Istana Kenangan di Kuala Kangsar telah saya kunjungi pada hari yang sama sebelum singgah ke sini. Oleh yang demikian, saat terpandang akan rumah ini, saya mengambil peluang untuk turun dari kenderaan. Hajat utama bertanya lokasi arah masjid tua dan hajat sampingan melihat lebih dekat senibina rumah tradisional berdindingkan kelarai. 

Daun pintu diketuk sambil mengucap salam. Salam disambut seorang lelaki berkain pelekat berusia awal 80-an. Setelah dimaklumkan kedudukan masjid tua yang dikatakan kurang 1km dari jarak rumahnya, saya memohon izin untuk merakam foto rumah lama terletak di bahagian kanan yang bersambung dengan rumah barunya. Rumah lama ini tidak lagi berfungsi sebagai tempat berteduh namun tetap dikekalkan binaannya. Menurut warga emas ini,  rumah lamanya pernah dikunjungi pengkaji berbangsa Australia dengan tujuan merakam foto binaan luarnya.

 

Tidak sangka bahawa kunjungan ke teratak lama berdindingkan kelarai yang saya singgah pada awalnya (merujuk kepada rumah ini) sebelum tiba di masjid tua Pulau Kemiri, tuan rumahnya adalah imam di masjid tua yang dijejaki. Saya perasan akan namanya saat membaca catatan nama imam bertugas dengan tulisan marker di permukaan papan putih yang tergantung di ruang dalam masjid. Kebetulan nama tuan punya rumah tadi telah saya catatkan namanya di buku catatan yang sentiasa di bawa bersama, justeru nama yang  terpampang mengingatkan saya akan nama tersebut. Menurut setiausaha masjid yang ditemubual, imam masjid (pemilik rumah lama berdinding kelarai) adalah di antara penduduk tertua di kampung tersebut.

 

Rumah lama ini mempunyai persamaan dari segi rekabentuk binaan dan pembuatan dalam penghasilan dindingnya dengan rumah adat Bugis yang berdindingkan kelarai . Berdasarkan tinjauan peribadi saya ke Sulawesi Selatan pada 6 hingga 9 Ogos 2010, rumah berdinding kelarai ini banyak ditemui di sepanjang perjalanan dari Makassar ke Tana Toraja. Nama Pulau Kemiri juga menurut pandangan saya mungkin terbit dari istilah kemiri yang menjadi sebutan orang Bugis Makassar. Istilah kemiri merujuk kepada buah keras yang menjadi rencah dalam masakan. Justeru saya membuat kesimpulan bahawa rumah berdinding kelarai dengan penggunaan bahan dari sumber alam seperti tepas (tepus), buluh dan sebagainya adalah sebahagian daripada akulturasi pengaruh budaya Bugis yang teradun dalam senibina rumah berdinding kelarai di Perak.

 

26/08/2010

Tok Husain & Tok Dahari: Pergi Takkan Kembali

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 2:40 pm

 

Tok Dahari meninggal di Sungai Choh rumah Nora. Akan dikebumikan lepas Asar. Hamdan beritahu meninggalnya jam 12 tengah hari tadi.”

Pesanan ini masuk jam 2.08 petang di telefon bimbit aku semalam (25/08/10). Agak terkejut mendengar perkhabaran daripada  bonda. Termenung aku seketika…antara percaya dengan tidak.

Tok Dahari pergi buat selama-lamanya setelah 14 tahun Tok Husain meninggalkan kami semua…Kedua insan ini amat dekat di hati aku.

Aku memang sangat rapat dengan arwah Tok Husain semasa hayatnya. Arwah adalah ayahanda kepada bonda yang melahirkan aku ke dunia. Walaupun aku dibesarkan oleh ayahanda dan bonda, namun kenangan bersama arwah Tok Husain semasa hayatnya takkan luput dari ingatan.  Masakan tidak, sejak dari usia 6 tahun hingga saat aku berada di menara gading, teratak di Kampung Gajah, Sungkai, Perak menjadi tempat persinggahan utama…menemankan arwah datuk dan opah pada setiap kali cuti sekolah (1982-1993) mahupun cuti semester (1994-1996). Hati aku lebih gembira menemankan mereka berdua tatkala semua cucu yang lain meraikan cuti mereka di tempat-tempat menarik di sekitar ibukota. Bagi cucu yang lain, mungkin tiada apa yang menarik boleh dilakukan sekiranya pulang ke kampung halaman sedangkan bagi aku pula sebaliknya. Di sinilah aku temui kedamaian jiwa. Walaupun di kala itu aku masih di usia muda, namun erti damai dan tenang itu dapat aku rasakan nikmatnya saat hadir ke teratak arwah.

Siapakah pula gerangan Tok Dahari yang turut sama aku abadikan namanya pada ruang tajuk di sanggar ini? Baik arwah Tok Husain dan Tok Dahari, kedua-duanya begitu istimewa kedudukannya di mata aku. Setelah pemergian Tok Husain 14 tahun yang lalu, Tok Daharilah menjadi tempat rujukan aku. Insan inilah yang telah banyak berkongsi cerita tentang salasilah keluarga sehingga terbukanya pintu hati aku meneruskan pencarian akan asal usul diri. Pencarian yang penuh dengan liku-liku perjalanan di sepanjang laluan namun diakhirnya  memberi kemanisan.  

Apa hubungannya arwah Tok Husain dengan arwah Tok Dahari? Tok Dahari adalah sepupu kepada arwah datuk aku (Tok Husain). Bonda keduanya pula mempunyai pertalian adik-beradik. Arwah Gurun (bonda arwah Tok Husain) adalah kakanda kedua kepada arwah Hitam (bonda Tok Dahari). Gurun dan Hitam adalah anakanda kepada Muhammad Ali bin Haji Mustafa hasil perkahwinan dengan Raja Aminah. Ini bermakna, arwah datuk aku dan arwah Tok Dahari masing-masing adalah cicit kepada almarhum Haji Mustafa Raja Kamala (Penghulu pertama Tanjung Malim). Tok Dahari adalah tempat rujukan secara lisan aku sejak dari tahun 2002. Di teratak arwahlah aku bertandang untuk merakam apa jua kisah peribadi berkaitan Haji Mustafa Raja Kamala dan susurgalur jurai keturunannya.

Tok Dahari…perginya takkan kembali. Kenangan bersama arwah tetap kekal dalam ingatan. Walaupun aku bukannya cucu yang keluar dari rahim anak arwah, hanya berstatus cucu dari sebelah sepupunya (datuk aku)…namun kehilangannya meninggalkan kesan yang amat mendalam…perginya seorang waris dari cicit Haji Mustafa Raja Kamala yang menyimpan banyak rahsia tentang keturunan keluarga. Aku seperti biasa tidak pernah jemu bertanya itu dan ini setiap kali berkunjung ke teratak arwah. Namun, arwah tidak pernah lokek berkongsi cerita sebaliknya dengan lapang dada membongkar kisah-kisah peribadi waris teratas dalam susurgalur jurai keturunan keluarga…Pastinya aku rindu akan bual bicara yang pernah kami lalui bersama semasa hayatnya… = (

Allah lebih menyayangi keduanya…Al Fatihah buat arwah Tok Husain dan Tok Dahari

 

Apa itu kreatif? dari laman blog teman

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 12:40 am

 

Catatan ini diplagiat dari laman blog: http://syirfan.wordpress.com
Saya tertarik dengan isu ini. Justeru, mohon izin saudara Syirfan untuk perkongsian dengan tetamu di sanggar Jejak Mihrab & Mimbar ini…

 

Kata Syirfan

Kita sering melemparkan pujian pada “si anu” dan “si polan” – “dia tu kreatif lah!”.

Persoalannya, apa itu kreatif? Apa kayu ukur yang boleh kita katakan si anu itu kreatif dan si polan yang ini kurang kreatif? Sejauh mana kita melihat dan menilai sebuah idea, tindakan waima adi karya atau magnum opus  seseorang itu layak kita beri pujian atas nilai kreativitinya?

Ia mungkin satu pelarian bila saya beri jawapan – kreatif itu ialah mempunyai kebolehan mencipta, menghasil, dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli. Jawapan itu boleh saya petik dari Kamus Dewan yang pasti memberi definasi yang sungguh holistik.

Namun bila dikecilkan dan lebih fokus, jawapan itu kian meragukan. Ia masih tidak boleh menjawap persoalan lain yang berlegar dalam skop industri kreatif yang bertolak dari ketajaman intelektual, idea, orentasi dan landas pemikiran

Ini berlaku kerana nilai kreatif itu agak “mistikal” sifatnya. Ruang masa juga boleh mengubah nilai kreatif itu. Ia terlalu subjektif. Lantas, bagaimana kreatif itu dinilai? Rating, glamour, keuntungan yang bersifat kewangan atau sekadar pujian?

Malangnya, saya berkerja dan menyara keluarga saya dalam industri yang memohon nilai kreatif yang tinggi, namun saya tidak boleh memberi jawapan pada persoalan mudah teman yang baru saya kenali di dalam gerabak Komuter awal pagi tadi – “apa itu kreatif dari sudut pandang seorang penerbit seperti awak?” 

Diam. Gerabak meluncur laju.

 

Kata Saya

Salaam…
Sekadar perkongsian pandangan (secara peribadi). Dalam isu ini, kita bekukan seketika definisi kreatif secara teorinya berdasarkan pandangan ahli falsafah seni.

Berbicara soal apa itu ‘kreatif’ saya fikir subjektif sifatnya lantaran luas cakupannya. Kreatif dari aspek apa? Penilaiannya pula berdasarkan kriteria yang bagaimana? Apakah label kreatif ini hanya boleh digunapakai oleh golongan bekerjaya atau terbatas pada mereka yang berlatarbelakang bidang senilukis dan senireka? Bagaimana pula dengan golongan surirumah yang menumpukan sepenuh perhatian menguruskan tugasan harian (mengasuh anak, memasak, mengemas dan sebagainya)? Bagi surirumah yang berfikiran kreatif, kelebihan tersebut pasti diaplikasi dalam kehidupan seharian…cara mereka berfikir untuk “melekakan” anak-anak, cara mempelbagaikan masakan/ menghias hidangan untuk menarik perhatian anak-anak yang tiada/kurang berselera menjadi lebih berselera, serta cara menampilkan kelainan dalam gubahan di sudut ruang tamu, bilik tidur, halaman agar rumah kelihatan indah dan ceria. Ini semua boleh dianggap sebagai kreatif…termasuk dalam lingkungan nilai kreatif yang luas cakupannya. Tidak perlu modal yang besar untuk bergelar atau dilabelkan sebagai kreatif. Mereka yang punya idea kreatif umpamanya mampu mencipta sesuatu yang baru, mengubahsuai apa yang sedia ada dan sebagainya sehinggakan apabila “tiada rotan akar pun berguna.” Daya kreativiti ini sudah tentunya lahir dari pemikiran yang kritis.

Bagi saya sendiri yang pernah bergelar guru pendidikan seni visual, istilah kreatif ini lebih merujuk kepada daya kreativiti murid dalam menghasilkan olahan idea. Secara mudahnya, lukiskan rupa bulat di papan putih dan minta murid-murid melakarkan apa jua bentuk objek berdasarkan rupa bulat tadi. Setiap murid akan menghasilkan bentuk yang berbeza. Mungkin ada di antara mereka menghasilkan objek yang sama, namun berbeza lakarannya. Bentuk bola walaupun bulat tetapi dihasilkan lain jenisnya oleh murid A dengan murid B atau C. Jumlah penghasilan juga pasti berbeza…ada yang hanya mampu melakarkan 3, 5, 9, 15 atau mungkin ada yang masih menggerakkan jari jemarinya menghasilkan lakaran tatkala guru menamatkan sesi pembelajaran.

Kreatif 1 patah perkataan dengan 2 suku kata. Satu istilah tetapi mempunyai tafsiran yang berbeza. Nak mengaitkannya dengan satu-satu perkara pula berangkai-rangkai sehingga saya memutuskan untuk berhenti dari memetik huruf-huruf pada papan kekunci. Sehingga ke akhir catatan, saya juga sukar untuk menemukan takrifan kreatif. Justeru, kesimpulannya…tiada limitasi dalam melabelkan kreatif.

 

Apa pula kata Anda???

« Laman SebelumnyaLaman Berikutnya »

Theme: Rubric. Blog di WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.