Jejak Mihrab & Mimbar

01/02/2010

Iktibar Gempa di Padang

Filed under: Iktibar — Harleny Abd Arif @ 7:43 am

 

 

Sewaktu kejadian gempa di Pariaman, Padang (2009), saya dan Team Jejak Mihrab II sedang menjalankan kajian lapangan (fieldwork) di bahagian Acheh Selatan.  Bencana yang menimpa dimaklumkan oleh salah seorang team kami setelah beberapa jam gempa melanda di daerah tersebut. Justeru, di ruang blog ini ingin saya kongsikan bersama khalayak tentang pengalaman semasa berkunjung ke Sumatera Barat pada tahun 2004 dalam misi menjejak makam waris keturunan Haji Mustafa Raja Kamala. Catatan ini sekadar luahan dan pandangan, namun sebagai hambaNya marilah kita bersama-sama muhasabah diri di atas apa yang terjadi. Tiada kebetulan, kerana semuanya adalah perancangan dan ketentuan Tuhan…di sebaliknya tersembunyi iktibar buat pedoman kita bersama.

Semasa gempa…

Sewaktu kejadian gempa di padang, saya sedang dalam perjalanan dari Sawang menuju ke Tapak Tuan dan Kluet Utara (Acheh Selatan). Gegarnya tidak dirasai kerana pada masa itu team Jejak Mihrab II sedang berada dalam kenderaan melalui lereng-lereng gunung. Sebaik tiba di Masjid Tua Pulo Kameng (Pulau Kambing) Kluet Utara, team kami dimaklumkan oleh pihak pengurusan masjid bahawa tsunami bakal menyusul dalam tempoh 6 jam dari saat gempa berlaku. Walaupun Acheh tidak termasuk dalam senarai negara yang bakal berhadapan bencana tsunami, namun team kami tetap mengambil langkah selamat. Justeru, sebaik selesai solat maghrib di masjid tersebut, team kami bergegas pulang dengan harapan dapat melepasi kawasan pesisir pantai sebelum tempoh berkenaan.

Setelah gempa…

Tragedi Gempa di Pariaman, Padang Sumatera Barat menyebabkan kemusnahan dalam sekelip mata. Apa yang menyedihkan, ratusan kanak-kanak sekolah menjadi pengemis jalanan untuk mengisi perut saban hari. Membaca dan menatap foto kanak-kanak tersebut seperti  dipaparkan dalam akhbar cukup meruntun hati khalayak.

Sorotan pengalaman…

Daerah Pariaman  yang telah saya jejak 5 tahun (2004) yang lalu masih jelas terbayang di ruang mata. Rasa ingin tahu yang mendalam semasa menjalankan kajian MA telah menghadirkan saya ke sana. Perjalanan terarah ke sebuah desa bernama Ulakkan, Pariaman. Di sanalah terletaknya makam Sheikh Burhanuddin (Pengembang Tarekat Nakhshabandiah). Walaupun ianya bukan lokasi tepat seperti yang diharapkan dalam kajian, namun saya tetap singgah ke kompleks makam tersebut untuk tujuan berziarah.

Sebaik melangkah, kelihatan mangkuk berbentuk kerang diletakkan di sudut kiri dan kanan pintu masuk. Bekas tersebut berfungsi sebagai tadahan air. Konon untuk dibuat ubat pelbagai jenis penyakit dan mohon hajat. Jadi pengunjung yang ingin sembuh daripada penyakit dan berhajat sesuatu boleh mengambil airnya untuk dibuat ubat. Saya sekadar memerhati dengan perasaan kurang senang. Keadaan ini amat berbeza dengan malaysia kerana perlakuan tersebut dilarang keras oleh pihak agama.

Situasi yang amat janggal membuatkan saya rasa kurang selesa berada di sana. Namun, atas dasar menghormati adat dan budaya setempat (walhal hakikatnya bercanggah syariat), saya pujuk hati agar bersabar. Pengunjung lain masuk bersilih ganti. Sedang terpinga-pinga, saya lihat seorang wanita tua masuk sambil menggendong seekor anak kambing masuk ke ruang dalam kompleks makam. Saya yang agak hairan sempat bertanya, “Kenapa dibawa kambingnya masuk buk?”. Dengan wajah selamba pertanyaan tersebut dijawab bersahaja, “Buat hajat agar ternakannya berkembang biak…”

Begitu kuat pengaruh terhadap makam keramat sehingga kuburan para pendakwah dijadikan tempat mendapatkan ubat bagi tujuan penyembuhan penyakit dan bermohon hajat. Hanya Allah tempat bermohon bukan selain daripadaNya. Tindakan tersebut seolah-olah mempersekutukan Allah. Moga kita selaku hambaNya tidak tersasar dari landasan ajaran Islam dan tidak berpaling dari hukum yang ditetapkan syariat. Musibah yang berlaku adalah dengan izin Allah. Namun rahsia di sebalik bala yang menimpa dapat dijadikan pengajaran bagi mereka yang berfikir.

_______________________________________________________________

Renungan

Surah ath-Thalaq: 8-9

“Dan betapa banyak (penduduk) negeri yang mendurhakai perintah Tuhan mereka dan Rasul-Rasul-Nya, maka Kami buat perhitungan terhadap penduduk negeri itu dengan perhitungan yang ketat, dan kami azab mereka dengan azab yang mengerikan (di akhirat). Sehingga mereka merasa akibat yang buruk dari perbuatannya, dan akibat perbuatan mereka itu adalah kerugian yang besar.”

 

Surah al-Hadid: 22

“Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab Lauh Mahfudzh sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh yang demikian itu mudah bagi ALLAH…”

 

Makam Syeikh Burhanuddin

 
Keterangan

Sheikh Burhanuddin adalah seorang tokoh ulama yang mengembangkan agama Islam di Minangkabau dengan falsafah “Syarak Mandaki, Adat Manurun.” Foto di atas memaparkan pengunjung yang sedang berbaris menanti giliran untuk masuk ke ruang dalam makam. Masing-masing datang dengan hajat dan tujuan tertentu.

 

Tinggalkan Komen »

Tiada komen.

Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: