Jejak Mihrab & Mimbar

04/02/2010

Masjid Kampung Laut

Filed under: Masjid-Masjid Tua di Semenanjung — Harleny Abd Arif @ 3:50 am

 

 

 

Masjid Kampung Laut

 

SENIBINA MASJID KAMPUNG LAUT

Masjid Kampung laut mempunyai rekabentuk yang unik dan pembinaan asalnya tidak menggunakan sebarang paku tetapi digunakan potongan kayu dan buluh sebagai pemasak. Setelah dipindahkan ke Nilampuri, konsep ini terus dikekalkan kecuali pada bahagian yang tidak dapat dielakkan, maka penggunaan paku digunakan.

Pada asalnya, masjid ini mempunyai bentuk yang sama dengan Masjid Agung Demak di Jawa dan Masjid Kono di Champa. Pembinaan masjid ini menggabungkan banyak unsur-unsur seni dan falsafah keagamaan pada bentuk senibinanya.

Rumah ibu bertingkat tiga dikaitkan dengan falsafah ketuhanan. Lapisan bawah diibarat penuh dengan kekotoran, makin ke atas semakin bersih akhirnya menuju ke alam luas yang tidak terbatas terlepas dari sebarang bentuk dan ianya kembali kepada Allah S.W.T.

Kemahsyuran rekabentuk Masjid Kampung Laut yang unik telah menjadi suatu lambang kemegahan rakyat negeri Kelantan. Penampilan bentuk bumbung bersegi tiga (bertenggek/ bertingkat) menirus ke atas, buah gutung dan menorah adalah lambang keunggulan Masjid Kampung Laut yang sekaligus menyemarakkan lagi keagungan Islam di Kelantan.

Terdapat banyak bangunan kerajaan menerapkan identiti masjid ini dengan mengaplikasikan rekabentuk bumbung bertingkat tiga lapis dan buah gutung seperti bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan, Pejabat Menteri Besar dalam Kota Darul Naim, bangunan Majlis Agama Islam Kelantan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.

 

PERPINDAHAN KE NILAMPURI

Kerosakan Masjid Kampung Laut telah menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan umat Islam di negara ini khususnya ahli-ahli sejarah. Hasilnya satu cadangan dikemukakan oleh Persatuan Sejarah Malaysia kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk menyelamatkan masjid lama ini. Kerajaan Negeri Kelantan telah bersetuju dengan cadangan untuk memindahkan bangunan Masjid Lama Kampung Laut ke tanah milik Yayasan Islam Kelantan di Nilampuri.

Persatuan Sejarah Malaysia yang diketuai oleh Tun Haji Hamdan bin Sheikh Tahir telah menjalankan tanggungjawab memindahkan Masjid Lama Kampung Laut ke Nilampuri. Pada November 1967, bangunan masjid lama tersebut telah dirombak oleh sekumpulan tukang rumah Kelantan yang diketuai En. Hussein bin Salleh dari Kampung Bunut Payong dan di bawah seliaan Tuan Haji Zain bin Haji Awang Kechik.

Masjid lama ini telah dibina semula mengikut bentuk asal dan menggunakan semula bahan lama seberapa boleh. Walau bagaimanapun, hanya bahagian ibu masjid sahaja yang dapat didirikan semula. Ini disebabkan pada masa tersebut, tiada satu gambaran tepat tentang bentuk bangunan lain sebagai panduan, selain kekangan mendapatkan khidmat tenaga pakar dan faktor kewangan untuk mendirikan seluruh kompleks masjid ini mengikut bentuknya yang  asal.

Persatuan Sejarah Malaysia telah menanggung semua kos perbelanjaan dalam usaha merombak dan mendirikan semula bangunan ibu masjid. Pada tanggal 08 Mei 1970 (23 Rabiul Awal 1389), Tun Haji Hamdan bin Sheikh Tahir bagi pihak pihak Persatuan Sejarah Malaysia telah menyerahkan kembali Masjid Lama Kampung Laut dan dengan rasminya kepada Y.A.B. Dato’ Haji Mohd Asri bin Haji Muda, Menteri Besar Kelantan bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan.

 

PERKEMBANGAN

Pada peringkat awal, masjid ini didirikan secara paling asas iaitu dengan empat batang tiang beratapkan daun nipah. Ianya terus berkembang selari dengan perkembangan Bandar Kampung Laut yang terkenal dengan bandar perniagaan yang pesat membangun pada akhir abad ke 18, 19 dan awal abad ke-20.

Kemuncak kemahsyuranya berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II, tahun masihi 1859 hinggalah ke zaman Sultan Muhammad IV. Masjid ini telah menjadi persinggahan alim ulama di Nusantara . Ianya telah diperbesarkan dengan mengadakan bumbung bertingkat tiga, serambi, menara, balai-balai, kolah, loteng dan lain-lain lagi. Tiang yang asalnya 4 telah ditambah menjadi 20 batang kayu cengal yang besar dan lantainya juga daripada kayu cengal yang tebal dan besar.

Semenjak dari tarikh pembinaannya sehingga tahun 1966, masjid ini telah digunakan sebagai tempat tumpuan utama beribadat oleh penduduk sekitar Kampung Laut. Namun, akibat banjir besar yang melanda negeri Kelantan pada penghujung tahun 1966, maka masjid ini telah mengalami kerosakan  teruk. Hal demikian menyebabkan Kerajaan Negari Kelantan telah menutup masjid tersebut dan membina sebuah masjid yang baru di tempat lebih selamat.

 

BAIKPULIH MASJID LAMA KAMPUNG LAUT

Bagi melengkapkan komponen Masjid Kampung Laut yang telah rosak dihanyutkan banjir, Kerajaan Negeri telah mengadakan kutipan derma dan sumbangan. Hasilnya, pada bulan Februari 1988, kerja-kerja baikpulih seperti mengadakan menara, serambi besar, serambi kecil, balai lintang wakaf orang kaya, tandas lelaki dan perempuan, kolah, tangga, elektrik dan bekalan air telah dilakukan. Kayu yang digunakan adalah kayu cengal dan jendela yang rosak serta bata-bata (atap) diganti baru.

Keadaan Masjid Lama Kampung Laut menjadi sama seperti yang terdapat di Kampung Laut pada zaman kegemilangannya dahulu. Bermula dari tahun 1999 hingga kini, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dengan kerjasama dan bantuan kewangan daripada Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia telah mengadakan kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan dan pengindahan Masjid Kampung Laut dan kawasan perkarangannya.

 

5 Komen »

  1. Adakah sesiapa yang tahu tentang senarai Imam Masjid Kg. Laut dan Ulama /Guru Agama di Kg. Laut sejak
    awal dahulu.

    Komen oleh Ramlah Muhamad — 21/06/2010 @ 10:57 pm | Balas

  2. Menurut Salleh Mohd. Akib, pengarang buku Masjid Tua Kampung Laut, antara imam yang pernah berkhidmat di Masjid Kampung Laut pada masa dahulu ialah Tok Imam Raja dan Raja Haji. Kedua-dua mereka adalah imam yang tersohor pada masa tersebut. Tok Imam Raja dianggap sebagai orang keramat kerana dipercayai bermulut masin (2003:12)

    Komen oleh harlenyabdarif — 22/06/2010 @ 3:03 pm | Balas

  3. salam ziarah….minta izin nk copy info nie…..

    Komen oleh nza — 11/12/2010 @ 6:24 pm | Balas

    • Wsalam…
      Ya, boleh di”copy”
      Info ini sumbernya diperolehi daripada papan info di luar perkarangan Masjid Kg Laut.

      Komen oleh Harleny Abd Arif — 14/12/2010 @ 7:37 pm | Balas

  4. 🙂 ia dibina awal sblm sultan muhammad ada, akak tak kaji pasal kolahnya juga….saya ada penemuan baru….saya dah jumpa 2 kolah batu seperti kolah asal masjid kampong laut…..tak perasan, betapa lama saya guna kolah itu dari kecik, baru je perasan…rupanya batu juga….masyaallah ; BABA SYARIF

    Komen oleh Baba Syarif — 12/12/2013 @ 10:03 am | Balas


Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: