Jejak Mihrab & Mimbar

20/02/2010

Masjid Tua di Kampung Gajah

Filed under: Masjid-Masjid Tua di Semenanjung — Harleny Abd Arif @ 4:21 am

  

Tarikh : 19 Februari 2010 (Jumaat)

Lokasi  : Kampung Gajah

 

Sudah lebih sebulan saya merancang membuat tinjauan ke Kampung Gajah. Hari ini, saya nekad meneruskan perjalanan walaupun terikat dengan masa yang agak singkat. Matlamat utama saya sebenarnya adalah untuk menjejak sebuah masjid tua di Teluk Memali. Saya terpanggil untuk melihat lebih dekat rekabentuk mimbar yang didakwa masih kekal tersimpan di dalam masjid tua tersebut berdasarkan maklumat daripada saudara Radzi Sapiee, pengarang buku Berpetualang ke Aceh.

 

Saya bertolak dari Tanjung Malim pada jam 1.15 tengah hari melalui Behrang, Slim, Sungkai, Bidor sehinggalah tiba di laluan ini.

 

Walaupun pencarian utama kali ini  adalah sebuah masjid tua di Teluk Memali, namun sedaya upaya saya cuba memanfaatkan peluang dan ruang masa untuk membuat tinjauan ke atas masjid tua lain sekiranya ada. Justeru, saya mengambil keputusan meneruskan perjalanan menghala ke Pasir Salak terlebih dahulu. Jadi lokasi masjid tua di Teluk Memali akan saya singgah dalam perjalanan pulang nanti.  Dalam perjalanan, saya terlihat rekabentuk puncak Masjid Tok Jabar di Kampung Telok sebelum menyedari papan tanda tertera nama masjid di simpang masuk menuju ke perkarangan masjid.

 

Sebahagian besar senibina masjid telah dibaikpulih. Bahagian atap diganti  baru tetapi masih mengekalkan  butun di atas perabung dan pola-pola papan hiasan pada bahagian cucuran atap.  Saya yakin bahawa binaan asalnya adalah daripada penggunaan kayu berdasarkan pemerhatian ke atas bahagian puncak masjid dan ukiran pada papan  layang, papan pator dan papan kepala cicak. Dinding asal masjid dari penggunaan kayu pasti telah diganti kepada bahan simen semasa kerja renovasi dijalankan.

 

Pola ukiran pada papan layang dan papan pator menghiasi bahagian hujung  cucuran atap masjid.

 

Papan kepala cicak pada bahagian bucu atap menjadi pelengkap kepada pola ukiran papan layang.

 

Papan kepala cicak dari sudut pandangan hadapan ini terletak  pada bahagian bucu papan pator.

 

Tinjauan  berikutnya adalah ke arah Masjid Jamek (Lama) Kampung Gajah. Maklumat tentang lokasi masjid ini diperoleh daripada penduduk setempat.

 

Masjid ini terletak di Kampung Tengah, Kampung Gajah. Ruang dalam masjid ini terdapat 34 tiang kayu dengan kaki tiangnya daripada simen.

 

Pola ukiran papan layang menjadi hiasan pada bahagian pinggir cucuran tebar layar  masjid.

 

Pola ukiran papan pator menjadi hiasan pada bahagian pinggir cucuran atap. Pola ini adalah ukiran yang sama seperti yang terdapat pada bahagian pinggir cucuran tebar layar.

 

Pola ukiran tunjuk langit dan papan layang pada bahagian tebar layar rumah bersebelahan Masjid Jamek (Lama).

 

Pola ukiran tunjuk langit dan papan layang pada bahagian tebar layar. Kerawang turut menghiasi bahagian atas tingkap  rumah.

 

Dari Masjid Jamek Kampung Tengah, saya meneruskan perjalanan menyusuri lorong kecil yang kedudukannya hampir di tebing Sungai Perak.

 

Selain tujuan utama menjejak masjid tua, saya tidak akan melepaskan peluang untuk berziarah ke makam-makam lama sama ada ianya makam golongan DiRaja, tokoh pahlawan, ulama/pendakwah dan sebagainya. Kebetulan lorong yang dilalui terpacak sebatang papan tanda LORONG MAKAM DIRAJA, justeru saya berziarah ke makam tersebut yang terletak hanya di tepi laluan tidak berapa jauh dari papan tanda.

 

Inilah makam DiRaja yang dimaksudkan. Makam ini terletak di Geronggong yang dikenal sebagai Kampung Jawa sekarang. Makam ini menempatkan jasad Sultan Mahmud Iskandar Syah (Sultan Perak kesebelas) dan juga makam Sultan Alauddin Mughayat Syah (Sultan Perak kedua belas). Kedua-dua Almarhum Sultan disemadikan dalam satu kawasan makam di atas binaan tembok batu.

Sultan Mahmud Iskandar Syah adalah raja yang paling lama memerintah negeri Perak bermula dari tahun 1653 sehinggalah baginda mangkat pada tahun 1720 dalam usia 120 tahun. Sultan Alauddin Mughayat Syah pula digelar sebagai Marhum Besar Aulia Allah.

 

Lokasi berikutnya ke Resort Pasir Salak kerana saya dimaklumkan terdapat makam bersejarah…Inilah kali pertama saya berkunjung ke sini.

 

Kompleks Pasir Salak tersergam indah. Rekabentuknya menampilkan unsur-unsur rekabentuk senibina tradisional Melayu terutamanya pada seni ukiran papan pator di pinggir cucuran atap.

 

Kagum melihat rekabentuk rumah penginapan di Resort Pasir Salak. Seni ukiran sisik naga pada tulang perabung dan papan pemeleh di pinggir cucuran atap mengundang perhatian.

 

Sesi ziarah ke makam bersejarah di Pasir Salak. Kawasan makam ini berhadapan dengan Resort Pasir Salak.

 

Tembok batu  berjeri besi dalam kawasan perkuburan  ini menempatkan makam Sepuntum, salah seorang pengikut Dato’ Maharajalela yang telah membunuh JWW  Birch. Sepuntum diiktiraf sebagai Pahlawan Melayu kerana keberaniannya menentang penjajah Inggeris.

 

Alhamdulillah…rupanya ada hikmah tergeraknya hati saya datang ke lokasi ini. Semasa membuat tinjauan di sekitar kawasan berdekatan Resort Pasir Salak, saya terpandang masjid Al’ Rahmaniah tidak jauh dari lokasi resort. Di kawasan inilah tempat J.W.W Birch dibunuh oleh Sepuntum (pengikut Dato’ Maharajalela), iaitu letaknya berhampiran dengan lokasi masjid.

  

Perhatikan buton berunsur kosmos dengan lambang bulan dan bintang pada puncak masjid. Ianya dikategorikan sebagai simbol sebuah bentuk binaan yang berfungsi sama seperti fungsi batu nesan di perkuburan. Secara mudah, dapatlah dinyatakan binaan tersebut sebagai tanda terhadap apa yang ada di dalamnya. Pada pinggir cucuran atap pula dihiasi seni ukiran papan layang dan papan kepala cicak. Unsur tradisional senibina Melayu ini masih dikekalkan sehingga ke hari ini.

 

Rumah Melayu Tradisonal ini terletak bersebelahan dengan Masjid Al’ Rahmaniah.

 

Dalam perjalanan melalui lorong kampung untuk mencari jalan keluar, saya dipertemukan dengan masjid tua At Taqwa ini yang terletak di Kampung Selat Pulau. Kubah baru dipasang di atas puncak masjid. Terdapat ukiran tebuk terus pada bahagian kepala tingkap.

 

Dari arah Pasir Salak, saya meneruskan perjalanan menuju destinasi terakhir iaitu ke Kampung Teluk Memali. Matlamat utama pencarian yang sepatutnya dikunjungi pada awal perjalanan telah saya pinda menjadi lokasi akhir dalam jadual perjalanan.

 

Cuaca semakin gelap menghampiri senja. Perasaan bimbang mula menguasai diri kerana saya berharap dapat tiba ke masjid tua di Kampung Teluk Memali sebelum azan maghrib dilaungkan.

 

Lega perasaan setelah kenderaan  tiba di persimpangan masuk ke Kampung Teluk Memali.

 

Remaja inilah yang secara sukarela menjadi pemandu arah setelah saya bertanya tentang lokasi masjid tua Teluk Memali. Tanpa mereka, mungkin saya tersesat atau terlewat tiba memandangkan cuaca semakin gelap.

 

Agak jauh juga perjalanan atau mungkin kerana laluan yang  tidak rata menyebabkan rasa lama untuk tiba ke masjid tua…

 

Perjalanan seterusnya perlu melalui titi kayu yang hanya muat untuk sebuah kenderaan…

 

Kali ini melalui jalan tanah merah yang tidak rata dan berbecak di ladang kelapa sawit…

 

Tiba di hujung jalan, kenderaan pun membelok ke kanan. Terdapat banyak longgokan tayar terbuang di kawasan ini. Tidak jauh dari simpang ini terdapat bengkel pembakaran tayar-tayar terbuang.

 

Jalan di hadapan pula berbecak sehingga saya terpaksa menumpang motosikal remaja yang menunjuk arah. Tayar kenderaan boleh tersekat dan terbenam sekiranya kenderaan melalui jalan tersebut.

 

Dengan izin Allah, akhirnya saya tiba jua di masjid tua ini. Saya merasa amat gembira dapat hadir di sini tetapi pada masa yang sama sayu melihat sebuah masjid lama terbiar begitu sahaja. Tambah sayu apabila melihat keadaan binaan asal masjid yang hampir mereput akibat ditinggalkan tanpa penyelenggaraan.

 

Ruang mihrab dari pandangan  luar…Foto dirakam dari arah  belakang binaan masjid. Suatu masa nanti senibina masjid ini mungkin berkubur di dalam kawasan hutan ini tanpa ada sesiapa yang menyedari kewujudannya lantaran sikap tidak prihatian pihak-pihak tertentu.

 

Semoga kayu buton yang tegak di puncak masjid terus utuh berdiri dan tidak jatuh menyembah bumi. Kembalikan cahaya di rumah Allah ini sebagaimana ia pernah bersinar dengan terang pada suatu masa dahulu…

 

Papan pator di pinggir cucuran atap dan papan kepala cicak pada bucu cucuran atap menampilkan pola seni ukiran Melayu tradisi. Ukirannya lebih rumit berbanding masjid-masjid tua yang saya kunjungi sebelumnya di kawasan Pasir Salak. Terkilan dirasa  sekiranya tiada sebarang usaha untuk membaikpulih binaan masjid tua ini.

 

Ini pula ruang dalam masjid… Tanpa berlengah masa saya merakam foto tata letak kedudukan mimbar dari sudut berbeza sebelum mengambil ukuran rekabentuk mimbar.

 

Andai begini keadaannya, pasti “yang patah tak akan tumbuh, yang hilang tak akan berganti”

 


Setelah melangkah untuk pulang, saya berpatah semula beberapa tapak ke belakang dan merakam foto binaan masjid tua di lokasi terpencil buat kali terakhir. Jika masih di siang hari, pasti saya akan berdiri lama di sini. Salam perpisahan…

 

Kenderaan, nun jauh di sana…Sebaik membuka pintu kereta, laungan azan maghrib pun bergema. Syukur saya sempat membuat tinjauan ke  lokasi masjid tua di Teluk Memali pada kesempatan ini.

 

Cuaca semakin gelap apabila saya tiba di persimpangan jalan keluar dari Kampung Tersusun Teluk Memali.

 

Rakaman terakhir ini sebagai penutup tirai episod perjalanan ke Kampung Gajah. Dalam misi kali ini, saya membuat perancangan untuk memastikan segala urusan dan tugasan berjalan lancar, namun Allah merancang sesuatu yang lebih sempurna buat saya. Perancangan Allah mengatasi jangkauan pemikiran hambaNya. Alhamdulillah…dengan izin Allah, misi kali ini akhirnya terlaksana jua.

Semasa berhenti sebentar di Behrang, saya mendongak ke langit…kelihatan bulan sabit bersinar terang dalam kepekatan malam. Hati merasa senang apabila terbayang lambang bulan sabit dan bintang pada buton di puncak atap masjid Al’ Rahmaniah di Kampung Pasir Salak. Binaannya masih utuh berdiri seiring peranan dan fungsinya yang sehingga kini masih dimakmurkan oleh jemaah yang bersujud di dalamnya. Hati bertambah sedih apabila  mengenangkan sebuah masjid tua terpencil di Kampung Teluk Memali yang dibiarkan suram tanpa diimarahkan oleh penduduk di sekitarnya. Apakah nasibnya akan terbela atau suatu masa nanti akan runtuh menyembah bumi tanpa kita sedari?

Kembalikan sinar cahaya di sana…di sebuah masjid tua yang terbiar begitu sahaja…


 

5 Komen »

  1. Salam…usaha anda selama ini berbalas jua..saya faham perasaan anda apabila melihat keadaan masjid Lama Kg. Teluk Memali. Hati saya turut tersentuh…dimana sekitar masjid tersebut dibiarkan tumbuhannya liar menjalar…tetapi didalam masjid itu, keadaannya kelihatan bersih & sempurna. Insya-Allah…saya akan ke sana (Pasir Salak) kerana terasa diri saya terpanggil oleh waris-waris saya. Akhir kata..teruskan usaha anda, jangan patah semangat dan jangan lupa..Allah SWT sentiasa melindungi kita..Amin..

    Komen oleh avio8 — 23/02/2010 @ 9:28 am | Balas

    • Terima kasih waris Daeng Salili…Semoga pencarian susurgalur jurai keturunan saudara beroleh kejayaan…

      Komen oleh harlenyabdarif — 23/02/2010 @ 5:46 pm | Balas

  2. KG Gajah!!! tu dah sebelah kg teman tu wehhhh….

    Komen oleh aida azrida — 10/03/2012 @ 4:54 pm | Balas

  3. salam… kronologi expedisi anda dititip begitu rapi ditambah pula dengan pembicaraan khusus dengan teliti tentang senibina Islamik, tahniah!, dan saya amat senang mengikuti entri ini.

    Komen oleh TabirAlam — 07/12/2012 @ 7:37 am | Balas

  4. boleh saya tahu apew perkembangan islam lagi di kampong gajah ini??

    Komen oleh Eyma Shieyma — 15/03/2013 @ 12:11 am | Balas


Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: