Jejak Mihrab & Mimbar

10/04/2010

Khazanah Pulau Besar

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 9:20 am

 

Tarikh : 09 April 2010
Lokasi : 1. Makam Tok Janggut (Gelaran)
               2. Makam Tok Putih (Gelaran)
               3. Makam Melur
               4. Tasik Biawak
               5. Batu Belah
               6. Perigi 100 (Perigi Bunian)
               7. Makam Nenek Tempayan Pecah
               8. Makam Tujuh Beradik
               9. Perigi Tujuh Beradik
             10. Makam Wali Allah Sultan Al-Ariffin Sheikh Ismail r.a.

 

Niat berkunjung ke Pulau Besar ini telah tersemat dalam hati sejak 3 minggu yang lalu. Gerak hati ke sini ada saya nyatakan dalam kisah “Masjid Tua di Melaka: Siri 2.” Tidak saya nafikan bahawa, ada segelintir individu yang pada mulanya memberi reaksi negatif sebaik saya meluahkan hasrat hadir ke pulau ini. Tidak ada hajat selain berziarah ke lokasi makam dan menjejak khazanah yang ada. Bagi mereka yang mempunyai tanggapan sedemikian rupa, ada baiknya turun sendiri ke lapangan. Jangan melulu melemparkan andaian sebelum berpijak melihat lebih dekat khazanah yang ada…Khazanah Pulau Besar yang amat besar nilai sejarahnya!

 

“Terima kasih daun keladi” kepada adinda Salwa (kanan) dan adinda Nurul Idayu (kiri) kerana sudi menjadi pemandu saya dalam misi kali ini. Mereka berdua adalah adinda ke-7 dan ke-8 daripada 9 bersaudara. Kedua mereka ini secara bergilir-gilir memegang stereng dan menekan minyak sehingga membawa saya ke jeti Umbai. Maklum sahajalah, kakandanya ini tiada berlesen…hanya berkenderaan awam ke sana ke mari. Lesen basikal pun tak lulus lagi.  

 

Lambaian Pulau besar menggamit dari kejauhan…Tiga minggu yang lalu, hanya nama Pulau Besar terngiang-ngiang di telinga. Kini secara realitinya terjelma di hadapan mata.

 

Bot kami semakin menghampiri jeti Pulau Besar. Pada awalnya saya beranggapan kami akan berhenti dan turun di sini, namun bot terus meluncur laju melepasi jeti Pulau Besar.

 

Terdapat banyak batuan besar di pesisir Pulau Besar. Hmm…sebaik ternampak longgokan batu tersebut, imbasan mimpi menerjah di ruang fikiran. Apa yang berada di ruang nyata sama seperti gambaran ilusi yang pernah diperlihatkan dalam mimpi. Makna yang tersirat adalah di luar jangkauan pemikiran…jadi biarlah saya simpan rakaman perjalanan dua alam (realiti dan ilusi) itu sendiri.

 

Bersantai dahulu sebaik turun dari bot. Kawasan teduhan  adalah di bawah pohon kelapa. Namun, duduk kami tidak lama kerana bimbangkan rimbunan buah kelapa menjunamkan sebiji daripada wakilnya di atas kepala.

 

Lokasi pertama kunjungan adalah Makam Tok Janggut. Saya dimaklumkan bahawa nama ini adalah gelarannya kerana terdapat nama panggilan selain Tok Janggut.

 

Seterusnya, saya ke makam Tok Putih yang kedudukannya kurang 30 meter dari makam Tok Janggut. Makam ini terletak di sisi kiri lebih tinggi dari aras kedudukan makam Tok Janggut.

 

Perjalanan diteruskan ke makam Melur. Hanya satu batu nesan yang terdapat di atas kuburan diteduhi rimbunan tumbuhan. Menurut pemandu yang membawa kami, Melur ini hidup sezaman dengan Hang Tuah. Melur adalah anak belahan orang asli Gunung Ledang yang semasa hayatnya pernah menaruh hati terhadap Hang Tuah. Namun, oleh kerana angkara fitnah kononnya bermukah, dia dibunuh dan disemadikan jasadnya di Pulau Besar. Cerita lisan ini tidak perlulah dibuktikan kesahihannya di sini kerana saya sekadar berkongsi kisah yang disampaikan oleh pemandu arah. Oleh kerana tiada teks bertulis sebagai sumber rujukan yang dapat dijadikan sandaran, maka anggap sahaja kisah ini dan juga kisah selanjutnya selepas ini tergolong dalam cerita rakyat.

 

Dalam perjalanan, kami melalui Tasik Biawak. Nama tasik ini diberi kerana terdapat banyak biawak di sini. Namun kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus saban hari membuatkan biawak-biawak tersebut tidak kelihatan lagi…membawa haluan keluar dari lokasi tasik.

 

Bongkahan batu besar ini terletak di tengah tasik. Lihat baik-baik bentuk batu tersebut…apa yang anda semua nampak? Andai ada yang ternampak lebih awal sebelum membaca kapsyen ini, maknanya penglihatan anda tajam. Batu tersebut sekali pandang seolah-olah arca wajah manusia daripada pandangan sisi. Dua kali pandang macam wajah ultraman pula…Di Pulau Besar, batu ini dikenal dengan nama Batu Tengkorak.

 

Pohon nibong melatari kehijauan alam di Pulau Besar. Pada mulanya saya ingatkan pohon pinang, rupa-rupanya pohon nibong…mujur tak sebut pohon kelapa. Lepas ni tahulah saya nak bezakan…kalau batangnya berduri, pohon nibong le namanya. Beginilah jadinya bila hidup di kelilingi hutan batu…banyak tumbuhan tak dikenali jenisnya. Tidak seperti mereka yang hidup di kelilingi tumbuh-tumbuhan dan akrab dengan alam semulajadi.

 

Kemudahan padang golf turut disediakan di Pulau Besar ini. Kebetulan hari kunjungan adalah hari bekerja, jadi tidak pula saya nampak kelibat pemain golf di padang ini.

 

Van inilah yang membawa kami mengelilingi Pulau Besar. Van tanpa pintu ini dipandu oleh En. Ramlee yang telah 20 tahun menjadi pemandu arah di Pulau Besar. Bagaimana saya boleh bertemu dengannya? Pada mulanya niat di hati ingin ziarah dahulu ke makam Wali Allah sebaik tiba. Setelah masuk ke perkarangan kompleks makam, kebetulan sekumpulan pengunjung lelaki sedang mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Oleh itu, berpatah semula saya keluar dari perkarangan makam dengan niat memberi laluan kepada kumpulan pengunjung tadi berziarah di serambi kompleks makam. Lalu, saya mengambil keputusan berkunjung ke lokasi lain dan makam Wali Allah ini akan saya ziarah kemudian nanti. Secara kebetulan van En. Ramlee ini lalu di hadapan saya. Lalu bertemulah dua pasang mata di luar kompleks makam sehingga saya tergerak hati pula menyewa van En. Ramli ini mengelilingi Pulau Besar.

 

Kedua-dua pengiring naik terlebih dahulu meninggalkan saya kaki bukit. Kami perlu memanjat bukit untuk sampai ke lokasi Batu Belah.

 

En. Ramlee berdiri di hadapan Batu Belah. Lokasi ini adalah pusat pulau kerana ia terletak di tengah-tengah Pulau Besar. Kawasan ini pernah digunakan oleh Sheikh Alias sebagai tapak pertapaan.

 

Lihat rekahan pada Batu Belah ini…ada di antara pengunjung yang masuk secara mengiring melalui celah batu sehingga ke hujungnya. Semasa tiba, kelihatan kalungan bunga malai dihujung celah rekahan batu. Pulau ini bukan sahaja dikunjungi oleh pengunjung beragama Islam, malah menjadi destinasi persinggahan pelbagai kaum dengan latar agama berbeza. Justeru, beraneka ragam manusia dengan aneka kegiatan yang dapat  diperhatikan  semasa kunjungan.

 

Ini pula pandangan dari bahagian belakang Batu Belah. Saya berjalan di sekeliling bongkahan batu…sekadar melihat apa yang ada di sekitarnya.

 

Dalam perjalanan kami berhenti di sebatang pohon besar. Inilah dia pohon kemenyan. Sebelum ini saya sering mendengar namanya, kali ini En. Ramlee membawa saya melihat lebih dekat pohonnya. Saiznya sebesar 2 pemeluk orang dewasa.

 

Berdasarkan saiz pohon kemenyan ini, En. Ramlee membuat andaian… ratusan tahun usianya berdiri teguh di Pulau Besar ini.

 

Itu dia…punyalah tinggi pohon kemenyan ni. Terdapat 2 batang pohon kemenyan di Pulau Besar ini. Sebatang pohon lagi terletak tidak jauh dari sini. Selain pohon kemenyan, terdapat juga 2 batang pohon kurma di pulau ini. Sebatang tumbuh berdekatan makam Tok Putih manakala sebatang lagi di surau Pulau Besar.

 

Dengan pemetik api yang sentiasa dibawa bersama, pemandu kami menyalakan api. Berdasarkan pemerhatian, lapisan di bawah kulit luar pohon kemenyan ini seperti sabut kelapa. Kemenyan terhasil daripada getah putih yang mengalir keluar dari batang pohon kemenyan ini. En. Ramlee sedang menunjukkan demo membakar kemenyan terus dari pohonnya. Kepulan asap kecil muncul sebaik api dinyalakan…aroma yang terhasil pula mula menusuk rongga hidung kami semua.

 

Destinasi seterusnya, menuju ke perigi 100. Kawasan ini turut dikenal sebagai Perigi Bunian. Melalui rimbunan dahan semasa menuju ke perigi ini  mengingatkan saya tentang perjalanan ke Batu Shaff di puncak Gunung Jerai pada penghujung tahun lalu. Situasi yang seakan sama walaupun berada di lokasi berbeza. Mungkin kerana dahan yang berselirat membentuk gerbang membuatkan kedua lokasi bagai ada persamaan. Melangkah setapak demi setapak terasa seolah-olah saya berada di alam khayalan. Apakah ini yang dikatakan alam bunian?

 

Bagai ada tarikan di kawasan ini…suasana indah pada mata saya membuatkan jari ini berkali-kali merakam foto sehingga pemandu tadi hilang dari pandangan mata. Bergegas saya melangkah menjejak arah…

  

Perigi 100 atau perigi bunian ini jernih airnya. Saya difahamkan, ada di antara pengunjung yang hadir ke sini mengambil air perigi dengan tujuan perubatan, hajat mandi bunga dan sebagainya. Di perigi ini, saya sekadar membersihkan wajah sambil berselawat…seterusnya merakam foto dan berlalu pergi.

 

Pemandangan dari arah tebing sebelum masuk ke perigi 100. Di sinilah En. Ramlee meletakkan vannya. Di sini jugalah kedua pengiring yang turut serta bersantai sementara menanti kepulangan saya dari perigi tua. Kali ini mereka tidak turut serta…keduanya hanya menunggu di van sambil merakam foto kawasan sekitarnya.

 

Resort ini terletak hanya sepelaung dari arah perigi bunian. Bangunan ini telah dibina sejak 14 tahun yang lalu, namun sehingga kini masih belum beroperasi. Tidak pula diketahui apakah sebabnya…

 

Foto rakaman ini masih lagi di kawasan resort yang sama. Bangunan yang dibina berhadapan dengan pantai ini dicat putih pada keseluruhan binaannya.  Warna yang ceria ini sehingga kini masih suram tanpa kehadiran pengunjung kerana masih belum memulakan operasinya di pulau ini. 

 

Kawasan ini dinamakan laguna…kawasan ini sewaktu dilalui lengang tanpa pengunjung. Mungkin kerana kawasannya yang terpencil membuatkan tiada sesiapa berada di kawasan ini kecuali van sewaan yang membawa pengunjung dari luar.

 

Di sini pun ada batu belah? Kalau menurut tradisi lisan seperti yang dituturkan dari satu generasi ke satu generasi, rekahan batu ini kononnya terjadi kerana tudingan jari telunjuk oleh Nenek Tempayan Pecah. Info yang saya perolehi daripada Saudara Sheikh Mohamad Din dalam  ruang komentar di laman blog www.niknazmi.com tentang Nenek Kebayan tersebut adalah seperti berikut:  

Nenek Kebayan itu nama nya ialah NENEK INANGSEH.Beliau ialah inang pengasuh kepada Nenek Syarifah Siti Fatimah atau PUTERI CEMPAKA BIRU Binti Saiyid Ali Nurul Alam yang mashur tu. Dari keturunan Saiyid Ali Nurul Alam menurunkan nasab nama WAN,NIK,KU DI ACHEH,PETANI dan KELANTAN.Dan lain lain tempat. Suami Nenek Syaripah Siti Fatimah ialah MAULANA ISHAQ atau MAULANA MOHAMAD YUSOF AS SIDDIQ. Mereka melahirkan 1.SYARIFAH RODZIAH/SARAH 2.SAIYID IBRAHIM 3.SYARIPAH MUSALMAH 4.SAIYID QASIM 5.SYARIFAH KHATIJAH 5.SYARIFAH SITI MAIMUNAH/ RUBIAH 6.SYARIFAH SITI AISYAH. SYARIFAH SARAH kawin dengan SAIYID IBRAHIM bin QODIR.SYARIFAH RUBIAH kawin dengan SYEIKH SULTAN ARIFFIN dan SYARIFAH MUSALLMAH kawin dengan SAIYID SHAMSURI bin SAIYID ALI MUTARDHAO. Bapa SAIYID ALI NURUL ALAM ialah SAIYID HUSIN JAMADIL KUBRA

 

 

Makam Nenek Tempayan Pecah ini tiada bernesan. Rata-rata makam di kawasan Pulau Besar ini tidak bertanda (tanpa tarikh dan nama). Selain itu, rata-rata makam yang ada bersaiz panjang dua atau tiga kali ganda daripada makam biasa termasuklah makam Nenek Tempayan Pecah ini. 

 

Lubang seperti perigi ini asalnya bersaiz kecil kerana masa dahulu lubangnya hanya sebesar mulut tempayan. Air yang ditimba tidak kering-kering airnya. Namun, pelbagai ragam manusia dengan karenah berbeza yang hadir dengan hajat tertentu membuatkan bentuk asalnya tidak kekal lama. Aktiviti binaan padang golf di sekitar kawasan ini juga akhirnya membawa perubahan besar pada khazanah lama milik Nenek Tempayan Pecah di Pulau Besar ini. 

 

Kawasan hutan ini berhadapan dengan kedudukan makam Nenek Tempayan Pecah dan lubang yang asalnya adalah mulut tempayan tadi. Kawasan rimba ini dikaitkan dengan kemunculan harimau putih yang kononnya menjadi tunggangan Nenek Tempayan Pecah semasa hayatnya. 

 

Dalam perjalanan pulang, kami melalui Perigi 7 Beradik yang terletak hampir di pesisir pantai. Perigi ini terletak  kurang 200 meter dari lokasi makam 7 Beradik (namun, saya agak ralat kerana terlupa merakam foto makam 7 Beradik sebelumnya). Menurut En. Ramlee, air perigi ini adakalanya berasa masin dan adakalanya berasa tawar. Malah menurutnya, pernah ada seorang pengunjung wanita yang baru pulang dari mengerjakan umrah memberitahu bahawa air perigi ini berasa seperti air zam-zam. Agak aneh tetapi itulah realitinya…

 

Kambing hitam ini ditambat tidak jauh dari lokasi perigi dan makam 7 beradik…kedudukannya di antara perigi dan makam tersebut. Berpusing-pusing kambing ini di sekeliling pohon ketika saya melangkah menghampirinya. Lihat sahaja tali tambatan yang terlilit di pohon…mau tak mengelabah! Mungkin si kambing hitam beranggapan si penyembelih hadir dengan pisau di tangan. Setelah situasi tegang mulai reda…juga tali tambatan yang tadinya tegang mulai kendur, maka sesi fotografi bersama kambing hitam ini berjaya dirakamkan. Saat anda membaca catatan ini, dagingnya mungkin telah dilapah, dimasak dan dijamu kepada orang ramai. 

 

Sedar tidak sedar, jam di tangan menunjukkan jam 5 petang semasa saya tiba di makam Sultan Al-Ariffin ini. Janji dengan tuan punya bot untuk datang menjemput jam 5 petang. Oleh hal demikian, hanya saya seorang sahaja yang masuk ke perkarangan kompleks makam. Saya minta ahli lain yang turut serta  menunggu tuan punya bot di pesisir pantai.

 

Keliling kompleks makam dipagarkan dengan kepingan kayu yang dicat hijau. Makam Wali Allah Sultan Al-Ariffin Sheikh Ismail r.a. dan makam lain di dalam kawasan sama binaannya adalah daripada batu marmar putih. Foto ini saya rakam dengan mencari ruang lompang di celahan pagar.

 

Inilah khazanah paling paling besar nilai sejarahnya di Pulau Besar. Siapakah dia Sultan Al-Ariffin Sheikh Ismail r.a.? Wali Allah ini adalah cicit kepada Sultan al-Awliyaa Sheikh Abdul Qadir Jilani (nasab ke-14 Rasulullah S.A.W.). Ini bermakna, beliau sendiri adalah nasab ke-18 Rasulullah S.A.W. Kelahiran beliau pada tanggal 17 Rabiul Awal tahun 867 H/1463M di antara waktu solat Maghrib dan Isya’ di Baghdad. Beliau adalah orang pertama meneroka Pulau Besar bersama gurunya Sheikh Yusuf Siddiq dan abangnya Sheikh Ibrahim diiringi 13 orang pengikutnya sekitar tahun 1495M. Di pulau inilah bermulanya pusat perkembangan dakwah di alam Melayu. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada 17 Rabiul Awal tahun 925H/ 1520M dalam usia 58 tahun. Persemadian Wali Allah ini terkandung dalam sebuah kitab Arab yang kemudiannya telah diterjemahkan ke dalam versi Melayu.

 

Makam ini terletak  di sisi kiri makam Wali Allah Sultan Al-Ariffin Sheikh Ismail r.a. Tidak ingat saya siapa empunya makam bersebelahan makam Wali Allah Sultan Al-Ariffin. Setelah dapat dipastikan kelak, akan saya catatkan nama beliau di sini. Bimbang pula tersilap menyebut nama sehingga mencacatkan fakta yang ada.

 

Makam ini pula berada di luar makam Wali Allah. Kedudukannya di sisi kanan tangga menuju ke serambi kompleks makam. Empunya makam ini juga akan saya nyatakan namanya kemudian nanti. Ada baiknya disahihkan sebelum ianya tertera di ruang ini.

 

Selesai sudah misi saya menjejak khazanah yang besar nilai sejarahnya di Pulau Besar. Hajat kunjungan berakhir di makam nasab ke-18 Rasul Junjungan. Mudah-mudahan langkah ke makam Wali Allah Sultan Al-Ariffin Sheikh Ismail ini akan menjadi langkah permulaan untuk saya melangkah lebih jauh lagi…Langkah menuju ke makam Rasulullah di Masjid Nabawi. Alangkah indahnya dapat melangkah ke Masjid Nabawi yang paling gemilang cahayanya berbanding masjid lain di dunia…dan alangkah bertuahnya dapat berdiri di sisi makam Kekasih Allah Yang Mulia…dan kemudian meneruskan pula langkah ke Raudhah (Taman Syurga) yang digambarkan sebagai kebun di antara kebun-kebun di syurga.

 

Langkah seterusnya…menuju ke bot nun jauh di sana.

 

Khemah-khemah yang didirikan di tepian pantai boleh disewa oleh orang awam yang berkunjung ke Pulau Besar. Suatu hari nanti, mungkin saya pula yang akan membawa keluarga berkhemah di sini.

 

Terdapat banyak batuan besar yang terdapat di sekitar Pulau Besar ini. Longgokannya bagaikan arca yang utuh berdiri. Kewujudannya mengundang perhatian saya sebaik tiba. Malah tak jemu-jemu saya pandang objek ciptaan Maha Pencipta ini semasa bot berlalu pergi…

 

Batuan ini pula berada agak jauh dari pesisir Pulau Besar. Apa yang menarik perhatian saya adalah pohon yang tumbuh di atas permukaan batuan  tersebut. Tumbuhan tersebut dikenal sebagai cenuai batu. Inilah pertama kali saya mendengar nama tumbuhan sebegini. Apa istimewanya pohon ini? Daunnya digunakan dalam perubatan tradisional sebagai ubat pengasih. Namun bukan mudah untuk mendapatkan tumbuhan ini kerana pohonnya didakwa ada penunggu. Menurut pemandu bot, pernah ada seorang hamba Allah memetik daun cenuai batu ini, tetapi akhirnya terpaksa memulangkan semula daun tersebut ke tempat asalnya. Menurut pemandu bot itu lagi, pohon cenuai di atas batuan tersebut sejak sekian lama telah berada di situ…tidak mati pohonnya dan tidak juga membesar saiznya. Sama ada air laut pasang atau surut, begitulah keadaan pohon misteri di Pulau Besar ini. Di situ jugalah penanda aras laut ketika airnya pasang atau surut…apabila surut, pengunjung boleh berjalan kaki sehingga ke batuan tersebut. Nampaknya dalam siri kunjungan ini, selain rezeki dapat berziarah ke makam Wali Allah dan khazanah lain di Pulau Besar…saya memperoleh ilmu tentang alam tumbuh-tumbuhan. Tidak rugi akrab dengan alam kerana setiap tumbuh-tumbuhan ada khasiatnya untuk dijadikan sebagai penawar dalam perubatan.

 

Pulau Besar semakin kecil saiznya dari pandangan…Lambaian akhir dari kejauhan sebagai tanda perpisahan. Semoga mereka yang cintakan sejarah mengambil peluang untuk berziarah ke Pulau Besar…melihat lebih dekat khazanah berharga yang masih wujud di sana. 

 

 

Dua foto di atas menurut pemandu bot adalah bandar terapung. Lokasi bandar terapung ini hampir dengan jeti Umbai. 

 

Bot semakin menghampiri Jeti Umbai. Alhamdulillah…segala-galanya berjalan lancar. Awal perjalanan, bot meluncur laju di permukaan laut yang tenang airnya. Begitu juga di akhir perjalanan di mana awan berarak mendung memayungi kami semua.

 

Terima kasih yang tidak terhingga kepada pemandu bot…En. Azrin. Kepada sesiapa yang berminat mengunjungi Pulau Besar, bolehlah menghubungi En. Azrin di talian 012-6395299. Sewa bot pergi dan pulang hanya RM100 untuk 10 orang penumpang dewasa. Sebaik tiba di sana, anda boleh berhubung pula dengan pemandu arah iaitu En. Ramlee di talian 016-6484820.

 

Hmmm….terasa lapar pula. Moh! apa kata singgah menjamu selera di Gerai No. 4 ini. Saya dah mencuba masakan di beberapa gerai ikan bakar di sekitarnya, tetapi gerai no. 4  yang pernah dinikmati sajian masakannya tiga minggu yang lalu menepati selera saya.

 

Nasi lemak panas berlapik daun pisang sebagai pembuka selera. Sajian ikan jenahak bakar dan sotong goreng tepung menepati citarasa…masing-masing menumpukan sepenuh perhatian pada hidangan di hadapan mata. Sepi semuanya tanpa bicara…Lapar agaknya sehingga mulut hanya ternganga untuk suapan tanpa sebarang pertuturan. Buat adinda berdua, terima kasih kerana sudi menjadi pengiring kakanda…salam kasih buat kalian.

 

 

4 Komen »

  1. akhirnya tercapai jua hajat di hati untuk menjejakkan kaki di pulau besar :)…terima kasih kerana berkongsi rakaman perjalanan tersebut.

    Komen oleh sangilapi — 13/04/2010 @ 10:30 am | Balas

  2. Saya kira apabila kita berhajat untuk mengatur jejak langkah ke suatu lokasi dengan niat yang baik…maka segalanya akan dipermudahkan oleh Allah. Sebelum mengatur langkah…terlebih dahulu mandi sunat musafir diikuti solat sunat musafir dan Yaasin Hajat…InsyaAllah perjalanan yang jauh terasa singkat dan segala kesulitan dalam perjalanan akan beroleh bantuan segera dari arah yang tidak disangka-sangka. Amalkan dalam kehidupan dan rasai keberkatannya… = )

    Komen oleh harlenyabdarif — 13/04/2010 @ 1:10 pm | Balas

  3. Assallamu’alaikum Pulau Besar, Melaka. Maseh segar lagi didalam ingatan saya…. ketika saya berada di Pulau Besar lebih kurang 15 tahun yang lalu. Dengan diiringi Al-Fatehah pada makam para-para waliyullah disana…. ameen. Yaa Nafsan Muthoima’inah… jiwa yang setenang-tenangnya ketika saya berada disana, sayu ada…, sedih ada…., dan sentiasa menggalirkan titisan air mata yang jernih, aduhhh…! seolah-olah diriku berada bersama dizaman para-para waliyullah di Pulau Besar itu. Alhamdulillah…! syukur…! banyak pertunjuk yang aku dapat ketika berada disana… melalui syari’atnya, tarekatnya, hakikatnya dan makrifatnya… hijab dan singkapan itu terbuka peringkat demi peringkat… aku ridho’ dan pasrah, hingga kehari ini aku maseh menyimpan segala pengalaman yang aku terima di Pulau Besar itu… ia menjadi rahsia pada diri-Ku…, barakallah!.

    Komen oleh Latiff Khan — 27/07/2011 @ 3:52 pm | Balas

  4. salam..adakah sultan Ariffin ini sultan sebelum sultan alauddin Riya’at Shah yang maqamnya di Kg Raja Pagoh…..? Jika benar..keris pertabalannya ada pd sy, 13 luk panjangnya sebelah tgn kita…wallahu ‘alam..

    Komen oleh zahid bin naim — 21/09/2012 @ 12:13 am | Balas


Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: