Jejak Mihrab & Mimbar

21/04/2010

Wajah-Wajah Acheh

Filed under: Jejak Mihrab Acheh: Siri 2 — Harleny Abd Arif @ 1:00 pm

 

Foto-foto ini dirakam semasa 2 siri kunjungan terdahulu (Jun dan September 2009).

Wajah-wajah Acheh dalam kenangan…melihat raut wajah mereka membuatkan rasa rindu hadir kembali. Tidak sabar rasanya menanti siri kunjungan ke-3 pada tanggal 26 April depan. Kini menghitung hari untuk berpijak kembali ke Bumi Serambi Mekah…Nanggroe Aceh Darussalam.

 

Kumpulan Sanggar Lempia ini adalah kumpulan kebudayaan yang akan membuat persembahan sebaik pengunjung tiba di pintu masuk Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh.

 

Adinda Nurul Idayu bergambar kenangan bersama salah seorang anak Acheh. Kanak-kanak ini bersekolah bersebelahan dengan Masjid tua Lamrabo, kecamatan Kuta Baro, kabupaten Aceh Besar. 

 

Walaupun subjek kajian tertumpu pada rekabentuk mihrab dan mimbar masjid-masjid tua di provinsi Acheh, namun saya tidak akan melepaskan peluang meninjau lebih dekat aktiviti masyarakat di sekitarnya. Ibarat sambil menyelam minum air, pemerhatian ini membuka mata dan mendidik minda ke arah mengenal budaya bangsa masyarakat Acheh. Dalam foto di atas, saya terpanggil menjengah sebuah bilik khas yang menempatkan sekumpulan anak-anak Acheh sekitar usia 5 ke 6 tahun (tadika). Kelas ini terletak di dalam kawasan masjid tua Shuhada di desa Mugo Rayeuk, kecamatan Panton Reu di kabupaten Acheh Barat. Apa yang menarik perhatian adalah pendekatan yang diaplikasi oleh guru semasa mengajar anak-anak tersebut. Dengan intonasi suara yang jelas diikuti dengan aneka ekspresi wajah, guru-guru tersebut seolah-olah sedang berlakon di pentas opera. Murid-murid menumpukan sepenuh perhatian dengan cerita yang disampaikan sehingga kehadiran team kami tidak disedari. Anak-anak tersebut hanya menoleh ke belakang (seperti reaksi di atas) ketika diminta guru mereka untuk memberi salam dan ucapan selamat datang kepada team kami.

 

Murid-murid sekolah rendah ini sedang dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumah masing-masing. Foto ini saya rakamkan semasa misi jejak masjid tua Babussalam di Desa Lamkunyet, Darul Kamal, Aceh Besar.

 

Wajah-wajah di Rumah Anak Yatim Dayah Nurul Huda di Desa  Ajee Cut, kecamatan Blang Bintang, kabupaten Aceh Besar. Sesi ziarah ini adalah kunjungan peribadi saya pada 2 misi terdahulu. Rumah anak yatim ini adalah lokasi pertama yang dikunjungi sebelum saya memulakan kajian lapangan dalam usaha menjejak masjid tua di wilayah Acheh. Sumbangan dihulurkan seadanya dengan niat semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan tugasan sepanjang menjalankan kajian.

 

Temubual dengan Imam masjid tua Sawang di Aceh Selatan…beliau sedang bercerita tentang kebesaran Allah semasa berhadapan kejadian tsunami lebih 5 tahun yang lalu. Diceritakan bahawa, sebelum bencana alam tersebut melanda…air laut surut secara tiba-tiba. Ikan bertaburan di pesisir pantai. Namun bagi penduduk kampung, situasi sedemikian telah diketahui tandanya…bakal hadir bencana alam pada bila-bila masa yang tak terjangka. Imam ini terus bergegas ke tambak saat dikhabarkan tentang perubahan alam yang berlaku. Dari kejauhan, kelihatan gelombang kehitaman yang bergerak menghampiri daratan. Dengan berserah diri sepenuhnya kepada Allah, beliau bersolat hajat di pesisir pantai. Tidak ada daya dan upaya menghalang bencana yang bakal tiba dalam waktu yang singkat…hanya bermohon hajat demi keselamatan sekalian penduduk sekitarnya. Dengan izin Allah, air terbelah dua dan sedikitpun tidak membasahi tempat sujud imam ini. Kejadian yang dialami beliau telah disaksikan sendiri oleh penduduk di sekitar desa Sawang. Inilah Berkat Rahmat Yang Maha Berkuasa,  Pentadbir alam semesta. Tiada yang mustahil dengan izin-Nya.

 

Seperti biasa…saya gemar bertanya itu dan ini apabila tiba di mana sahaja lokasi. Tertarik dengan cerita oleh Bilal masjid tua Pulo Kameng (Pulau Kambing) di kecamatan Kluet Utara, kabupaten Aceh Selatan. Beliau sedang berkongsi cerita tentang karamah seorang ulama berketurunan Raja (terlupa nama baginda). Raja tersebut dikatakan dapat muncul ke satu tempat dengan sekelip mata dengan hanya menggunakan daun keladi sebagai perantara. Lihat sahaja aksi beliau bercerita sehingga sanggup keluar dari masjid memetik daun keladi menunjukkan kepada saya. Oleh kerana sebelumnya saya tidak kenal akan jenis tumbuhan yang dimaksudkan, justeru beliau keluar mencari daun tersebut. Setelah ditunjukkan di hadapan mata, barulah saya ketahui…rupa-rupanya keladi. Di Acheh, digunapakai istilah lain merujuk kepada daun keladi.

 

Tgk. M. Husin Jalil atau dikenal dengan gelar Tgk. Samalanga adalah informan yang ditemubual semasa saya berkunjung ke masjid tua Teupin Raya di kecamatan Glumpang Tiga, kabupaten Pidie. Namun, perkongsian cerita antara kami berlangsung hanya seketika kerana beliau ingin berziarah mengunjungi warisnya yang sakit.

  

Kunjungan ke Masjid Baiturrahim di desa Kuta Tualang, Perlak telah menemukan saya dengan Tgk. Ali Basya. Kemesraan dan keikhlasan jelas terpancar di wajah saat menjemput kami bertandang seketika ke teratak beliau yang terletak lebih kurang 200 meter dari lokasi masjid. Untuk tidak menghampakan permintaan, team kami singgah sebentar di serambi luar…menghulur tangan sebagai tanda perkenalan kepada sekalian waris yang ada. Team kami kemudiannya menuju ke Langsa sebelum meneruskan perjalanan menghala ke Medan.

 

Tinggalkan Komen »

Tiada komen.

Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: