Jejak Mihrab & Mimbar

15/06/2010

Nostalgia: Ayahanda & Bonda

Filed under: Galeri — Harleny Abd Arif @ 10:39 am

 

Petang semalam saya pulang ke Tanjung Malim…kebetulan ada tetamu yang singgah ke teratak ayahanda bonda. Tetamu tersebut yang saya panggil Kak Som adalah kenalan lama bonda semasa bertugas di Kuching Sarawak. Kali pertama bersua dengannya semasa saya berusia 8 tahun. Awal tahun lalu saya ada membawa bonda ke Utara tanah air bertemu semula Kak Som. Pertemuan yang berlangsung di Alor Setar antara keduanya telah diatur setelah hampir 26 tahun terpisah. Semalam, Kak Som bersama 3 lagi temannya berziarah sebagai kunjungan balas terhadap kedatangan bonda ke Alor Setar beberapa bulan yang lalu. 

Sekian lama tidak bersua,  tersingkaplah kisah lama…lalu lembaran album lama pun dibuka. Bila album lusuh dilambakkan di hadapan mata, saya pun mengambil peluang membelek satu persatu foto yang terkandung di dalamnya. Wajah-wajah kesayangan dalam warna hitam dan putih mengundang perhatian. Di kala itu saya tersenyum sendirian bila membaca catatan pada bahagian belakang foto. Dalam hati berbisik, “jiwang jugak ayahanda dan bonda di usia muda remaja.” Gelagat saya diperhatikan ayahanda lalu tak semena-mena pertanyaan menerjah telinga, “apa yang lucunya?” Dalam sengih spontan saya bacakan catatan yang tertera sehingga ayahanda dan bonda tertawa mendengarnya. Sambil jari jemari menarik beberapa kepingan foto pilihan, saya bersuara, “Ayah, nak pinjam foto lama. Nak rakam semula dan masuk dalam blog.” Pada awalnya ayahanda dan bonda tidak mengizinkan hajat saya untuk memaparkan foto-foto lama. Namun setelah dipujuk akhirnya mereka memberi persetujuan. Dalam banyak foto yang ditatap, beberapa foto di bawah jadi pilihan setelah disaring…

 

Ayahanda nampak segak bertali leher dan mengenakan kot hitam…foto ini dirakam ketika ayahanda di usia awal 20-an.

 

 

Ayahanda (2 dari kanan) bersama teman-teman semasa menyertai Angkatan Simpanan Tentera Laut KD Sri Klang (Foto dirakam pada tanggal  23 Oktober 1970)

 

Ayahanda dan gitar kayu (lupa nak tanya sama ada milik peribadi atau pinjam). Aktiviti bersama teman-teman semasa bersantai.

 

Ayahanda ketika menyertai acara Big Walk…sukan yang paling diminati selain beraksi dalam permainan badminton dan ping pong.

 

Ayahanda zaman mudanya menangkap ikan tanpa menggunakan batang pancing. Sambil menyelam, menembak ikan…menggunakan alatan khas buatan sendiri (seperti yang diceritakan kepada saya)

 

Wajah bonda di awal usia 20-an. Raut wajah bonda diwarisi oleh kakanda sulung. Saya pula tak pasti apakah raut wajah saya ada iras bonda…mungkin persamaannya pada bentuk bibir kami berdua.
 

 

Wajah bonda macam Amoi. Lihat bentuk mata saling tak tumpah macam orang Cina. Empat (4) daripada tujuh (7) adik-beradik bonda mempunyai mata sepet yang diwarisi daripada nenda (bonda kepada bonda saya) yang berdarah keturunan Cina dengan agama asalnya adalah Buddha. Hanya nenda saya seorang sahaja yang memeluk agama Islam kerana telah diserahkan kepada keluarga Islam sejak kecil. Namun hubungan nenda dengan adik-beradiknya yang beragama Buddha masih terjalin. Justeru selain perayaan Hari Raya, keluarga kami tetap berkunjung ke rumah mereka pada setiap kali perayaan Tahun Baru Cina.

 

Aktiviti bercucuk tanam adalah hobi yang paling digemari selain menjahit, memasak dan bersenam. Kesemua hobi tersebut masih dijalankan secara aktif sehingga kini.

 

Bonda (paling kiri) bersama teman-teman bergambar kenangan…4 dara pingitan di atas anak tangga merenung tajam ke arah lensa kamera.

 

Bonda (kiri) bersama salah seorang teman mengabadikan foto rakaman di pentas Kota Bharu Kelantan (Foto dirakam pada tanggal 06/08/75)

 

Ayahanda dan Bonda bergelar Raja Sehari…antara keduanya pernah belajar di kelas yang sama semasa alam sekolah menengah lalu ditakdirkan bersua dan akhirnya mendirikan istana bahagia.

 

Foto ini dirakam selepas lebih setahun pernikahan. Lokasi kunjungan adalah di pentas terbuka Kota Bharu, Kelantan. 

 

Foto berwarna sebagai penutup tirai Nostalgia: Ayahanda & Bonda…foto di ambang usia senja namun masih kelihatan muda dan ceria raut wajahnya…😉

 

Tinggalkan Komen »

Tiada komen.

Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

%d bloggers like this: