Jejak Mihrab & Mimbar

23/06/2010

Makam Tok Pelam

Filed under: Kompleks Makam — Harleny Abd Arif @ 9:45 am

 

Tarikh Ziarah : 18 Jun 2010 (Jumaat)
Lokasi Ziarah : Makam Tok Pelam
                           Kampung Ladang Titian, Kuala Terengganu

 

Sebuah catatan perjalanan ke sebuah makam tua yang tak terduga penemuannya…pengalaman buat perkongsian tetamu yang berlabuh seketika di sanggar yang masih muda usianya… 

Al kisah bagaimana hadirnya saya ke kompleks Makam Tok Pelam… 

Tanggal 17hb Jun 2010 (Khamis) perjalanan bermula…dari Sungai Buloh menghala ke Pantai Timur. Persoalannya, apakah tujuan dan kemahuan gerak langkah? Misi jejak mihrab dan mimbar masjid tua lagikah? Saya menetapkan sasaran paling kurang 2 kali sebulan untuk turun ke lapangan menjejak masjid tua. Jarak bukan halangan, yang penting pencarian subjek kajian (mihrab dan mimbar) dapat direalisasikan tidak kira di negeri mana lokasinya. Pilihan destinasi kunjungan pada misi kali ini adalah di Pantai Timur Semenanjung.

Perjalanan yang jauh ini saya singkatkan dengan catatan serba ringkas…

Seorang hamba Allah telah memberi info ttg masjid tua di Ladang, Kuala Terengganu. Berdasarkan gambaran secara lisan tentang ciri-ciri senibina masjid tua, maka saya pun menjejak arah lokasi seperti yang disampaikan. Namun sebaik tiba, saya dapati ia bukanlah masjid tua sebaliknya adalah sebuah kompleks makam lama (lagi 9 tahun, akan berusia 200 tahun). Maka saya pun membuat andaian bahawa hamba Allah tersebut mungkin sekadar membuat telahan berdasarkan hiasan puncak kompleks makam yang disangkakan masjid tua. Walau apapun…kesilapan tersebut punya hikmah hingga saya hadir di kawasan kompleks makam pd 18 Jun lalu. Sebaik tiba, pintu utama dibuka (kerana hanya berselak tanpa dikunci dengan mangga) lalu saya masuk merakam foto di dalamnya. Namun, perasaan agak ralat kerana pintu seterusnya di bahagian dalam dikunci dengan mangga. Justeru tidak dapatlah saya melihat pusara Tok Pelam di dalamnya.

Dua hari kemudian (20 Jun 2010), sebelum pulang menghala ke Kuala Lumpur…tergerak hati saya ingin hadir semula ke lokasi makam ini. Entah mengapa terasa seperti punya harapan untuk masuk ke pintu yang menempatkan pusara Tok Pelam. Dengan izin Allah seorang hamba Allah di surau lama berdekatan memaklumkan tentang lokasi rumah waris Tok Pelam yang memegang kunci makam. Lalu saya ke rumah waris tersebut dan menyatakan hajat untuk berziarah. Raut wajah waris tersebut pada awalnya seolah-olah kelihatan agak berat memberi keizinan sewaktu saya menyuarakan hasrat di hati untuk berziarah dan merakam foto. Rupa-rupanya ada kisah aneh yang pernah berlaku terhadap pengunjung yang pernah berziarah ke makam ini suatu waktu dahulu.

Antara kisah yang dikongsikan adalah bagaimana seorang hamba Allah yang masuk tetapi tidak dapat keluar dari kompleks makam. Kisah lain bagaimana pintu makam tidak dapat dibuka lalu pengunjung yang berhajat untuk berziarah pulang dengan perasaan hampa. Namun saya jelaskan kepada waris Tok Pelam bahawa andai diizinkan Allah maka akan dipermudahkan hajat saya untuk masuk ke dalamnya. Saya kira semua yang kita lakukan tergantung pada niat…jika baik maka akan dipermudahkan laluan.

Alhamdulillah…sebaik pintu bahagian dalam dibuka, lalu saya melangkah masuk ke dalamnya. Terpegun saat melihat khazanah lama yang masih tersimpan dengan baik di dalamnya. Terdapat makam lain di sisi kanan makam Tok Pelam. Selain itu, kelihatan 2 buah tempayan lama bertutup dengan dulang diletakkan di penjuru kanan sebaik melangkah masuk ke pintu ke-3. Apa yang menarik adalah rekabentuk  penutup makam asal disusun secara bertingkat diperbuat daripada kayu yang berukir indah. Begitu juga dengan rekabentuk lebah bergantung di sisi kiri dan kanan pintu masuk  ke-3 selepas melalui pintu ke-2.

Saya amat bersyukur kerana diberi peluang dan kebenaran merakam foto khazanah yang ada. Menurut waris Tok Pelam, sebelum ini tiada lagi mana-mana individu yang diberi kebenaran merakam foto di dalamnya termasuklah pihak TV3 yg pernah hadir unt membuat liputan tapi terpaksa pulang kesudahannya (tak tahulah pula kalau ada individu lain yang diberi izin merakam foto oleh beberapa waris lain yg turut memegang duplikasi kunci pintu ke-2).

Keterangan tentang tokoh

Nama sebenar Tok Pelam adalah Sheikh Abdullah bin Abdul Aziz. Beliau berasal dari Hadramaut dan telah berpindah ke Patani. Pada tahun 1785, beliau kemudiannya telah berhijrah ke Terengganu dan menetap di Kampung Pelam, Hulu Terengganu. Dari Kampung Pelam, beliau seterusnya telah berpindah ke Kampung Ladang Titian. Beliau meninggal dunia pada tahun 1819 dan dimakamkan di dalam bangunan yang pernah digunakan untuk berkhalwat dan mengajar agama. 

 

 

Kedudukan surau lama yang jaraknya kurang 100 meter dari lokasi kompleks makam. Salah seorang hamba Allah yang telah selesai bersolat jemaah (zuhur) telah memaklumkan lokasi rumah salah seorang waris keturunan Tok Pelam.

 

Keseluruhan rekabentuk binaan kompleks makam yang dirakam fotonya dari arah bertentangan. Kawasan di sekitar kompleks makam dan kawasan perkuburan seolah-olah pernah menjadi kawasan pesisir pantai kerana pasir di kawasan tersebut adalah daripada jenis pasir pantai. 

 

Bangunan kompleks makam dari arah pandangan hadapan. Warna hijau dan putih mendominasi keseluruhan binaan. 

 

Hiasan buton di puncak kompleks makam yang di dalamnya disemadikan jasad Tok Pelam

 

Ukiran kayu pada kepala gerbang menuju ke ruang dalam kompleks makam. Pada awalnya saya beranggapan boleh terus berziarah ke makam Tok Pelam sebaik masuk ke dalamnya. Namun, sangkaan saya meleset apabila terdapat pintu ke-2 yang berkunci dari luar yang menempatkan makam tokoh ulama tersebut.

 

Karangan laut ini asalnya tersimpan di dalam kompleks makam… karang laut ini masih hidup sewaktu berada di dalam makam Tok Pelam tetapi mati sebaik dibawa keluar dari makam. Mungkin suasana yang gelap dan lembab di bahagian dalam membuatkan karangan laut tersebut hidup…tidak seperti sekarang yang mana permukaan jalinan karangan kelihatan kering seperti tunggul kayu mati dengan warna kehitaman.

 

Rekabentuk lebah bergantung di sisi kiri dan kanan pintu masuk bahagian dalam makam Tok Pelam.

 

Pintu masuk ke-3 di bahagian dalam sebaik melalui pintu masuk ke-2. Ragam hias bermotifkan flora di sekeliling bingkai pintu menyerlahkan keunikan rekabentuk pintu. Bahagian kepala pintu pula tertera tulisan kaligafi jawi.

 

Makam Tok Pelam ini dikelambukan dengan kain kuning. Saya perlu menyelak tirai yang menutupi keseluruhan makam Tok Pelam untuk merakam foto.

 

Penutup kayu berukir ini pernah menjadi penutup asal makam Tok Pelam. Rekabentuknya seolah-olah kelihatan seperti bumbung bertingkat. Bahagian lantai dalam kompleks makam turut dipenuhi pasir. Sewaktu berada di bahagian dalam makam Tok Pelam, saya terasa seperti sedang berpijak di atas permukaan pasir di tepian pantai.

 

Penutup makam paling atas dengan ketiga-tiga tingkat kesemuanya mempunyai seni ukiran tebuk tembus pada bahagian puncaknya.

 

Tn. Hj. Wan Muhammad (75 tahun) adalah generasi ke-5 Tok Pelam yang memberi keizinan kepada saya merakam foto pusara Tok Pelam serta khazanah yang tersimpan di dalam kompleks makam. Beliau sedang membuka kunci mangga pondok yang bertentangan dengan laluan menuju pintu ke-2 kompleks makam. Mari kita lihat apa yang tersimpan di dalamnya…

 

Sebaik pintu dibuka, kelihatan periuk-periuk tembaga milik Tok Pelam tersimpan di dalamnya. Menurut waris Tok Pelam, saiz sebuah periuk ini mampu menampung sukatan 8 gantang beras sekali masak. Paling kanan adalah tempayan dalam keadaan mulutnya tertelangkup ke bawah. Bahagian belakang periuk tembaga pula adalah periuk baru yang digunakan untuk menanak nasi dan memasak lauk pauk menggantikan periuk tembaga yang telah bocor. Satu kali setahun, seekor lembu akan disembelih lalu dimasak dan seterusnya dijamukan kepada masyarakat setempat sebagai memenuhi amanat tokoh tersebut semasa hayatnya. Wasiat Tok Pelam masih diteruskan sehingga ke hari ini oleh Tn. Hj. Wan Muhammad.

 

Perigi ini kedudukannya terletak di sisi kanan kompleks makam. Saya tertanya-tanya apakah perigi ini pernah menjadi sumber air Tok Pelam dan para pengikutnya yang ingin mengambil wudhuk suatu ketika dahulu?

 

9 Komen »

  1. Salam. Siapa Tok Pelam ni? Ahli ulamak ke? Sbb makam beliau siap dgn komplek bangunan yg masih terpelihara

    Komen oleh Nur Kasih — 24/06/2010 @ 1:51 pm | Balas

  2. Wsalam…

    Tok Pelam adalah seorang tokoh ulama. Kompleks makam ini asalnya adalah tempat di mana Tok Pelam pernah mengajar agama. Menurut waris Tok Pelam, kompleks ini juga pernah dijadikan tempat bersolat penjaga makam terdahulu yang tinggal sendirian di situ.

    Komen oleh harlenyabdarif — 27/06/2010 @ 10:24 pm | Balas

  3. salam…adakah kaitan tok pelam dgn tokku p manis / tokku paloh / tok syeikh duyung ?

    Komen oleh kalam budiman — 13/09/2010 @ 1:12 am | Balas

    • W’salam Kalam Budiman,
      Maaf, saya tidak tahu kaitan di antara kedua tokoh tersebut. Kajian saya mengkhusus tentang mihrab dan mimbar masjid tua. Kehadiran saya di kompleks makam tersebut hanyalah sebagai sesi kunjungan (ziarah)dalam misi menjejak 2 subjek kajian (mihrab dan mimbar). Pada awalnya saya sangka hiasan puncak kompleks makam adalah bumbung masjid tua, sehinggalah saya masuk dan mendapati sebenarnya ia adalah sebuah kompleks makam.

      Komen oleh harlenyabdarif — 15/09/2010 @ 7:16 pm | Balas

  4. Assalamulakum,

    Sebagai waris cucu cicit Tok Pelam saya merakam penghargaan dan terika kasih kerana menyiarkan dan memperkenalkan Dato Nenek kami Tok Pelam. Semoga budi baik Puan di berkati Allah SWT. AL fatihah untuk Dato kami Tok Pelam

    Komen oleh Wan Mazlan — 24/06/2011 @ 4:58 pm | Balas

  5. W’salam…
    Kebetulan langkah dah dilorongkan ke kompleks makam, lalu saya singgah berziarah ke makam ulama ini. Tuan boleh bertandang ke laman sanggar baru di http://jejakmihrabmimbar.com (laman ini tidak saya diami lagi…hanya singgah sesekali). Terima kasih kerana sudi bertamu di sini. Wassalam

    Komen oleh Harleny Abd Arif — 29/06/2011 @ 9:13 pm | Balas

  6. saya Wan Ahmad Kamil adalah keturunan yang ke-8 mengucapkan ribuan terima kasih di atas keperihatinan dan kajian yang telah dilakukan terhadap tokoh ulama yang terdahulu tok nenek kami Tok Pelam. Tetapi sejarah beliau secara detail masih lagi belum dinyatakan seperti asal usul keturunannya dan sejarah pengembaraannya.

    Komen oleh Wan Ahmad Kamil — 10/02/2012 @ 9:59 pm | Balas

    • Assalamualaikum Wan Ahmad Kamil…
      Terima kasih sudi bertandang…
      Saya amat mengalu2kan perkongsian info drpd saudara dan waris Tok Pelam lainnya tentang asal usul dan siri kembara almarhum semasa hayatnya. Saya juga ingin bertanya, apakah Tok Pelam terkait juga dengan darah Bugis selain susurgalur asalnya? (maaf jika saya tersasar membuat telahan)

      sila ke pautan baru di laman sanggar http://jejakmihrabmimbar.com

      Komen oleh Harleny Abd Arif — 20/02/2012 @ 11:07 pm | Balas

  7. assalamualaikum… sy Wan mohd iskandar shah wan ismail adalah generasi ke-7 Tok Pelam.. jutaan terima kasih diucapkan atas penyiaran ini. walau hampir 200 thn Tok Pelam meninggalkn kta namun namanya masih segar dlm ingatan dan makamnya tidak terlepas pandang kaca penglihatan.. sungguh terharu krn puan dapat masuk kedalam makam tok pelam tanpa ada halangan seolah-olah dialu-alukan kehadirannya.. semoga tiada pihak yg tersalah anggap @ membuat andaian sendiri tentang apa jua yg berkaitan tok nenek kami Tok Pelam. al-fatihah utk datok kami dan para sahabat.

    Komen oleh Iskandar Shah — 27/08/2012 @ 1:54 pm | Balas


Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

%d bloggers like this: