Jejak Mihrab & Mimbar

28/06/2010

Asimilasi Budaya dalam Senibina di Alam Melayu

Filed under: Himpunan Esei Penulis — Harleny Abd Arif @ 3:22 pm

  

Catatan ini akan menyentuh aspek ciri rekabentuk papan kepala cicak yang terdapat dalam senibina masjid tua khususnya dan rumah tradisional Melayu umumnya. Secara jujurnya, saya bukanlah seorang yang pakar dalam bidang sejarah senibina, namun berminat untuk mendalami bidang yang baru diteroka. Justeru saya amat mengalu-alukan perkongsian ilmu di sanggar ini. Segala teguran, pandangan dan cadangan didahului dengan ucapan terima kasih. 

 
Sumber foto:  wisatamelayu.com 

 

Keterangan Foto 

Masjid Agung Demak adalah masjid tertua yang menggunakan rekabentuk atap tumpang di Dunia Melayu-Nusantara. Sejarah membuktikan bahawa masyarakat Islam sudah ada di Demak ketika jatuhnya Kerajaan Majapahit. Sebahagian cerita mengatakan bahawa Masjid Demak ini didirikan oleh Wali Songo hanya dalam tempoh satu malam sahaja pada tahun 1401 (tahun saka) bersamaan dengan tahun 1479 M (Abdul Baqir Zein, 1999: 210). Tahun pembinaannya ditafsirkan oleh mereka dari gambar kura-kura yang terdapat pada mimbar masjid tersebut dan seperti yang tertera dalam Serat Babad Tanah Jawi. Mengapa wujudnya simbol kura-kura sedangkan motif berunsurkan haiwan diharamkan penggunaannya dalam ajaran Islam? Di sini jelas memperlihatkan bahawa budaya Cina telah meresap lalu berasimilasi dengan budaya lokal sehingga mempengaruhi senibina masjid tersebut.   

   

Kerajaan Demak Secara Ringkas

Demak adalah Kesultanan ketiga di Nusantara atau keempat di Asia Tenggara. Ibukota Demak berfungsi sebagai pusat pemerintahan dan pusat penyebaran agama Islam yang diprakarsai oleh para Wali (Wali Songo). Ketika orang Portugis datang ke Nusantara, Majapahit yang agung sudah tidak ada lagi. Menurut catatan pada tahun 1515, Kesultanan Bintoro sudah memiliki wilayah yang luas dari kawasan induknya dari barat hingga ke Cirebon. Pengaruh Demak terus meluas hingga meliputi Aceh yang dipelopori oleh Sheikh Maulana Ishak (Ayah Sunan Giri) diikuti Palembang, Jambi, Bangka yang dipelopori Adipati Aryo Damar (Ayah Tiri Raden Patah) yang berkedudukan di Palembang dan beberapa daerah di Kalimantan Selatan, Kotawaringin (Kalimantan Tengah). (Keterangan dipetik dari laman sesawang http://www.demakkab.go.id.)
                                                                     


Pengaruh Luar dalam Senibina Tempatan

Saya mulai catatan pada kali ini dengan paparan foto Masjid Agung Demak beserta keterangan Kerajaan Demak serba ringkas. Hal demikian bertujuan untuk mengaitkan ciri rekabentuk papan kepala cicak masjid tertua di Nusantara ini dengan ciri rekabentuk masjid di Acheh dan di Tanah Melayu (khususnya di negeri Perak). Rujuk ayat yang diberi penegasan (bold) seperti tertera di atas. Saya ulang semula iaitu, “Pengaruh Demak terus meluas hingga meliputi Aceh yang dipelopori oleh Sheikh Maulana Ishak (Ayah Sunan Giri).”

Kenyataan tersebut secara jelas membuktikan bahawa wilayah Acheh pernah menjadi pusat tumpuan para pendakwah yang datang dari Demak. Kewajarannya boleh diterimapakai berdasarkan ciri rekabentuk hiasan puncak Masjid Indrapuri di Aceh Besar yang turut mempunyai persamaan dengan rekabentuk  berkonsepkan atap tumpang Masjid Demak (Lihat foto 1a). Malah konsep rekabentuk hiasan puncak yang dimiliki dua masjid tersebut turut mempunyai persamaan dengan Masjid Tua Kampung Laut di Nilampuri, Kelantan (Lihat foto 1b).

Walaupun ketiga-tiga masjid ini didirikan dalam kurun waktu berbeza, namun ia menampilkan rekabentuk yang hampir sama. Persamaan ini wujud hasil adaptasi rekabentuk masjid terdahulu yang telah sedia ada lalu diaplikasi ke dalam rekabentuk masjid terkemudian daripadanya. Pengaruh senibina tersebut pula kemudiannya dibawa oleh para pendakwah dari luar yang berhijrah masuk ke Tanah Melayu. Ianya sejajar dengan kenyataan saudara Salleh Mohd. Akib, pengarang buku Masjid Tua Kampung Laut, “Adapun Masjid Tua Kampung Laut ini telah dibina oleh sekumpulan alim ulama yang sedang dalam perjalanan dari Champa menuju ke Tanah Jawa. Berkemungkinan besar mereka itu adalah seangkatan dengan kumpulan Wali Sembilan atau Wali Songo” (2003: 10).  

 

 
  Foto 1a: Masjid Indrapuri di Aceh Besar, Acheh 

  

 
Foto 1b : Masjid Kampung Laut di Nilampuri, Kelantan 

  

Keterangan ringkas tentang papan kepala cicak 

Papan kepala cicak terletak di bucu cucuran atap. Rekabentuk papan kepala cicak ini menjadi penyudah atau pelengkap kepada hiasan seni ukiran papan pator (tumpu kasau) atau papan meleh di hujung cucuran atap. Kebanyakan senibina masjid tua dan rumah tradisional di negeri Perak khususnya  mempunyai rekabentuk papan kepala cicak yang unik dan tersendiri. 

  

Mengapa dipanggil papan kepala cicak? 

Menurut Zulkifli Hanafi (2000: 6), istilah papan kepala cicak merujuk kepada papan berpola yang terletak pada bucu atap tempat tumpuan papan pator. Nama papan tersebut mungkin telah diilhamkan daripada seekor cicak yang mati terhimpit. Andaian tersebut berdasarkan habitat cicak yang mendiami bangunan dalam iklim panas lembab. Secara peribadinya, saya kurang bersetuju dengan konsep istilah “seekor cicak yang mati terhimpit.” Namun begitu, saya boleh menerima tanggapan bahawa bentuk kepala cicak telah dijadikan subjek kajian (subject matter) masyarakat Melayu lama dalam menamakan rekabentuk papan yang menjadi pelengkap kepada hiasan papan pator. Di sini memperlihatkan bahawa Masyarakat Melayu lama akrab dengan alam semulajadi sehinggakan unsur alam seperti flora dan fauna turut digunapakai dalam menamakan jenis bahagian pada bangunan lama.  

Contoh lain rekabentuk motif ukiran hasil adaptasi daripada unsur fauna adalah seperti itik pulang petang, ayam berlaga, badak mudik dan sebagainya. Unsur flora pula diilhamkan daripada sulur dan daun tumbuhan sehingga terhasilnya motif seperti tampuk manggis, bunga teratai, daun keladi, bunga sukun dan lain-lain. Begitu juga dengan unsur kosmos yang diterapkan dalam motif awan larat. Kesemua motif ini asalnya adalah bentuk rumit yang terdapat pada alam semulajadi lalu dipermudahkan bentuknya hasil olahan idea si pembuatnya.

Motif-motif inilah yang dijadikan pola hiasan papan ukiran yang menghiasi bahagian tertentu pada bangunan tradisional Melayu. Bahagian tersebut tertumpu pada bahagian seperti papan pator (tumpu kasau), papan meleh, papan kepala cicak, papan cantik yang menutup gelegar, papan kembung pada dinding, , papan layang pada tebar layar, jerejak dan lain-lain. 

Dalam penulisan ini, saya akan mengambil contoh satu bahagian iaitu papan kepala cicak. Seperti juga atap tumpang bertingkat masjid Demak, masjid Indrapuri dan masjid Kampung Laut yang  mempunyai persamaan dari segi rekabentuknya, penemuan yang sama turut dikesan pada rekabentuk papan kepala cicak. Berikut adalah beberapa contoh jenis rekabentuk papan kepala cicak yang terdapat pada bucu cucuran atap masjid tua di sekitar Kampung Gajah, Perak. Papan kepala cicak ini turut terdapat pada bucu cucuran atap masjid Demak.  

  

 
Masjid Al-Rahmaniah di Kampung Pasir Salak 

  

 
Masjid Tok Jabar di Kampung Teluk, Kampung Gajah 

  

 
Masjid Jamek (Lama) Kampung Tengah di Kampung Gajah 

  

 
Papan kepala cicak dari pandangan sisi
Masjid Teluk Memali di Kampung Gajah
 

  

 
Papan kepala cicak dari pandangan hadapan
Masjid Teluk Memali di Kampung Gajah
 

 

Sumber Foto dari laman lazacode.com

 Sumber foto: lazacode.com

 

Cicak Sebagai Simbol Perlambangan di Alam Melayu

Simbol cicak bukan sahaja digunapakai dalam senibina lama Masyarakat Melayu, malah penggunaannya turut dikesan dalam pantun, perumpamaan, lagu kanak-kanak dan sebagainya. Berikut adalah di antara ilham yang terbit daripada penggunaan nama cicak yang mencerminkan pemikiran masyarakat Melayu. Pemilihan nama cicak sebagai perlambangan bukanlah diujarkan tanpa ada ertinya, akan tetapi punya makna tersirat di sebaliknya.

Contoh pantun (nasihat/ pengajaran)

Limau bentan di tepi tingkap
Budak-budak melempar burung
Harimau di hutan lagi kutangkap
Inikan pula cicak mengkarung

Contoh perumpaan (kiasan/ sindiran)

Cicak kubin” menggambarkan orang yang terlalu kurus
Cicak makan kapur” bermaksud beroleh satu keaiban kerana kesalahan sendiri ataupun bersenang hati.

Contoh Lagu Kanak-Kanak (hiburan)

Cicak-cicak di dinding
Diam-diam melekat
Datang seekor nyamuk
Ngaap lalu ditangkap

 

Corak Pemikiran Bangsa Melayu

Corak hidup masyarakat dan bangsa Melayu pada zaman dahulu dicerminkan melalui puisi lama seperti pantun dan peribahasa. Za’ba di dalam bukunya bertajuk Ilmu Mengarang Melayu (1965: 219), mengatakan bahawa penciptaan pantun merupakan puisi tertua dan milik asal kepunyaan masyarakat Melayu. Telah diterima umum bahawa pantun adalah ciptaan asli orang Melayu. Ianya bukanlah adaptasi daripada puisi-puisi Jawa, India atau Cina. Ini bermakna, pantun merupakan puisi asli yang dimiliki oleh masyarakat Melayu serta paling awal muncul berbanding puisi yang lain (Harun Mat Piah, 1989: 122).

Masyarakat Melayu lama akrab dengan alam iaitu alam tumbuhan, alam haiwan dan alam cakerawala. Ini adalah disebabkan masyarakat pada masa tersebut sering berinteraksi dengan alam yang berada di sekeliling mereka sama ada di laut, di hutan, di bendang, di ladang dan di gunung. Harun Mat Piah (1989: 115) menjelaskan bahawa penggunaan lambang-lambang daripada alam raya perlu diketahui untuk memahami maksud pantun. Lantaran itulah pantun dikaitkan dengan alam semulajadi sebagai perbandingan dan perlambangan yang berfungsi sebagai sumber pengajaran dan nasihat.

Apa kaitannya pantun ini dengan bangsa Melayu? Pantun adalah salah satu daripada cabang seni dan budaya di Alam Melayu yang di dalamnya terakam intipati falsafah pemikiran pendukungnya (bangsa Melayu). Seperti juga pantun, perumpamaan, lagu kanak-kanak dan sebagainya, pemikiran bangsa Melayu ini dapat dikesan dengan melihat kepada ciri sesuatu rekabentuk yang boleh dilihat pada senibina lama (masjid, istana, rumah adat dan sebagainya).

 

Makna, Falsafah dan Fungsi Perlambangan Setiap Bangsa Berbeza

Walaupun penggunaan rupa dan bentuk subjek kajian (cicak) adalah sama, namun makna, falsafah dan fungsinya tetap berbeza lantaran corak berfikir sesuatu bangsa itu berbeza. Hal ini sejajar dengan kenyataan Seyyed Hossein Nasr (1993: 79-80) yang turut mengutarakan pandangan bahawa, “Alangkah bedanya antara candi Hindu Dasavatara dengan Masjid Delhi yang keduanya ada di India; atau candi-candi Romawi yang naturalistik dengan gereja-gereja Romaneska yang sama-sama ada di Italia.”

 

p/s: Untuk mengetahui lebih lanjut tentang intipati pemikiran bangsa Melayu, anda boleh mengunjungi sanggar Himpunan Esei Penulis di bawah tajuk  Intipati Falsafah Pemikiran Masyarakat Melayu di Sebalik Penciptaan Pantun Melayu kerana 2 perenggan terakhir dalam catatan ini isinya saya kutip dari esei tersebut.

 

31 Komen »

  1. Salam,

    Info yang begitu bernas..terima kasih Saudari..

    Komen oleh anggun — 29/06/2010 @ 8:52 am | Balas

  2. Oh ya ada satu masjid lama di Bagan Nakhoda Omar di Sabak Bernam (ada senibina papan kepala cicak)..lokasi jauh ke dalam..mengikut cerita dari cucu keturunan, datuk beliau yang mendirikan masjid tersebut. Datuk beliau yg berasal Jawa Timur. Pertama kali saya lihat pada pertengahan Ogos 2008.

    Jika saudari berkesempatan, sila berkunjung ke sana. Di sebelah masjid tersebut ada sebuah rumah banglo, anak kepada datuk tersebut. Jika ingin mendapatkan sedikit info pergilah ke rumah tersebut.

    Oh ya ada dalam blog merahsilu ttg cerita itu.

    Komen oleh anggun — 29/06/2010 @ 8:59 am | Balas

    • Wsalaam.

      Terima kasih di atas informasi. InsyaAllah ada ruang dan kesempatan, akan saya jejak lokasi masjid tersebut. =)

      Komen oleh harlenyabdarif — 29/06/2010 @ 10:09 am | Balas

  3. Diambil dan diperbaiki dari jawaban di chatbox blogspot Merah Silu tadi,merujuk pada apa yang telah diperkatakan di http://merahsilu.blogspot.com/2010/03/kepala-naga-merong-mahawangsa-dan.html?showComment=1277747748701

    Saya pun tak sangka satu hari nanti akan membuat kesimpulan bahawa papan kepala cicak itu mungkin berasal daripada zaman yang lebih lama daripada zaman kewujudan Samudera-Pasai iaitu zaman kerajaan Perlak. Tentang kenapa Masjid Demak juga ada bentuk serupa, memanglah kalau kita baca website dari Demak ia akan menyebut Demaklah yang mempengaruhi Aceh. Sedangkan kita sendiri sudah tahu Aceh sudah lebih dahulu Islam daripada Demak. Tentu sudah lama ada masjid,cuma binaan lamanya mungkin sudah runtuh tidak seperti Masjid Demak yang masih berdiri dengan bangunan asal sejak lebih 500 tahun lalu. Malah bila disebut Maulana Ishak ayah Sunan Giri, bukankah Maulana Ishak yang datang dari Pasai ke Jawa sehingga terbit Sunan Giri, bukan sebaliknya? Lagipun Wali Songo pertama iaitu Maulana Malik Ibrahim memiliki bapa bernama Sayyid Jamaluddin Kubro yang pernah bermastautin di Pasai. Dan memangpun setiap ahli Wali Songo ada berpangkat anak, cucu, anak saudara, cucu saudara dengan Sayyid Jamaluddin Kubro. Jadi saya rasa tidak keterlaluan mengatakan senibina Masjid Demak itu yang menurut apa yang sudah terdapat di Aceh/Pasai/Perlak, bukan sebaliknya.

    Komen oleh Radzi Sapiee — 29/06/2010 @ 9:27 am | Balas

    • Saya ingin memetik semula kenyataan saudara bahawa, “Sedangkan kita sendiri sudah tahu Aceh sudah lebih dahulu Islam daripada Demak. Tentu sudah lama ada masjid,cuma binaan lamanya mungkin sudah runtuh tidak seperti Masjid Demak yang masih berdiri dengan bangunan asal sejak lebih 500 tahun lalu.” Ada juga kewajarannya.

      Terima kasih di atas perkongsian pandangan. =)

      Komen oleh harlenyabdarif — 29/06/2010 @ 10:02 am | Balas

  4. Tidak pantas, kamu berebut akan kepala cicak itu, kerana yg sinonim dengan cicak adalah adat istiadat Batak. Batak bukan Jawa.

    Di dalam masyarakat Batak, cicak melambangkan peranan saling hormat menghormati.

    “…pola seperti cicak yang mempunyai 2 kepala saling bertolak belakang, maksudnya ialah cicak dikiaskan sebagai penjaga rumah, dan 2 kepala saling bertolak belakang melambangkan semua penghuni rumah mempunyai peranan yang sama dan saling menghormati”

    http://rpanj.multiply.com/journal/item/9/ADAT_ISTIADAT_BATAK

    Ini merupakan adat istiadat kepercayaan kami. Mengapa sih kamu berebut hak milik kami?

    Komen oleh Aritonang — 29/06/2010 @ 10:47 am | Balas

  5. Saya kira saudara telah salah faham dengan mengeluarkan kenyataan “berebut hak milik kami” kerana tidak ada langsung saya menegaskan dalam penulisan ini bahawa cicak menjadi hak milik mutlak bangsa kami.

    Secara logik akal, simbol atau lambang berunsur alam seperti tumbuh-tumbuhan mahupun haiwan bebas diaplikasikan penggunaannya dalam mana-mana karya di dunia kerana ia adalah hak milik bersama. Hal demikian kerana tidak wujud “konsep hak cipta” terhadap mana-mana objek ciptaan Tuhan sehingga rupa atau bentuk sesuatu disekat penggunaannya oleh mana-mana bangsa…khasnya bagi bangsa yang mendakwa konon ia hak mutlak mereka.

    Persamaan penggunaan simbol terjadi kerana proses akulturasi budaya. Justeru saya kira tiada salahnya digunapakai simbol kepala cicak atau apa jua simbol lain oleh mana-mana bangsa di dunia.

    Komen oleh harlenyabdarif — 29/06/2010 @ 11:20 am | Balas

  6. Ya, logik akal memang bebas. Tetapi sebagai lambang animisme, sudah tentu memerlukan penjelasan yg tidak dangkal.

    Sebagai Batak, hal ini tidak diherankan, kerana kami amat berteguh kuat dengan istiadat. Rumah adat Batak penuh dengan hiasan-hiasan, bukan sekadar cicak, singa juga mungkin.

    Saya sudah perjelaskan sebabnya rumah Batak mempunyai simbol cicak dan kerna itu saya lebih memahami hanya Batak sahaja yg lebih faham simbol itu.

    Mungkin saudari tidak keberatan mengungsi sebab-sebabnya cicak juga terdapat dalam istiadat dan kepercayaan Melayu. Mungkin kaum kita juga saling terkait. Barangkali.

    Komen oleh Aritonang — 29/06/2010 @ 11:40 am | Balas

  7. Saudara Aritonang,

    Aplikasi perlambangan cicak bukan sahaja diterapkan dalam senibina lama bangsa Melayu, bahkan meluas penggunaannya mencakupi bidang persuratan Melayu yang boleh dikesan dalam pantun, perumpamaan, lagu kanak-kanak dan sebagainya.

    Di sini ingin saya kongsikan unsur perlambangan yang menggunapakai nama cicak dalam pantun Melayu.
    Perlambangan ini berfungsi sebagai sumber pengajaran dan nasihat.

    Guruh berdentum bumi bergegar
    Ayam jaguh sedang bersabung
    Jangan cakap sahaja berdegar
    Hulur senjata kita bertarung

    Limau bentan di tepi tingkap
    Budak-budak melempar burung
    Harimau di hutan lagi kutangkap
    Inikan pula cicak mengkarung

    Dalam rangkap per-1 dan rangkap ke-2 pantun di atas, “ayam,” “burung,” “harimau” dan “cicak mengkarung” diaplikasikan sebagai perlambangan. Apa kaitannya pantun ini dengan bangsa Melayu? Pantun adalah salah satu daripada cabang seni dan budaya di Alam Melayu yang di dalamnya terakam intipati falsafah pemikiran bangsa Melayu. Selain pantun, perumpamaan dan lagu kanak-kanak, perlambangan ini turut digunapakai simbolnya…yang mana cirinya boleh dilihat pada bahagian seperti bucu cucuran atap senibina lama (masjid tua, istana lama, rumah adat dan lain-lain).

    Berbalik kepada isu papan kepala cicak yang dibahaskan, ingin saya jelaskan bahawa, walaupun penggunaan rupa dan bentuk subjek kajian (cicak) adalah sama, namun makna, falsafah dan fungsinya tetap berbeza lantaran corak berfikir sesuatu bangsa itu berbeza.

    p/s: Untuk keterangan lebih jelas, sila baca sambungan tajuk di atas kerana jawapan ini adalah ringkasan daripada catatan yang dipaparkan.

    T kasih di atas perkongsian pandangan… =)

    Komen oleh harlenyabdarif — 30/06/2010 @ 2:35 am | Balas

  8. Ya, saya fikir cara romawi berfikir dan orang-orang gugusan nusantara berfikir tidak mungkin begitu berbeza.

    Namanya manusia. Lumrah, punya animisme, ada perkara ghaib, mengenai hantu, mengenai jin, nah tanya saja mana2 negara pun mesti punya versi cerita dari subjek subjek yang saya nyatakan tadi.

    Kalau setakat cicak kubing dan cicak makan kapur, di tempat saya juga ada.
    Masa, pantunan boleh dilekatkan di masjid lama dan rumah kamu. Mungkin kamu boleh berikan pantun binatang lain yg juga kamu sisipkan sebagai hiasan di rumah dan rumah adat.

    Lumrahnya, sesuatu lambang mesti punya simbolik dan makna tertentu. Tentu bukan sekadar suka-suka dan bahan jenaka untuk disisipkan dirumah.

    Komen oleh Aritonang — 30/06/2010 @ 11:35 am | Balas

  9. Tentang pantun yang saya paparkan, ianya hanyalah sekadar contoh untuk memperlihatkan bahawa betapa cicak mahupun mana-mana spesis haiwan yang lain sebagai simbol luas penggunaannya dalam mencerminkan corak pemikiran bangsa Melayu. Cuba baca semula dengan teliti dan fahamkan maksud contoh yang diberi. Penggunaan “Cicak kubin” dan “cicak makan kapur” itu adalah perumpamaan dalam pertuturan bukannya perlambangan dalam senibina rumah adat atau senibina lain di Alam Melayu.

    Bukankah saudara minta saya berkongsi tentang budaya bangsa saya, jadi itulah jawapannya. Ia bukanlah istilah yang direka-reka tetapi telah wujud sekian lama dalam tradisi tulisan (teks bertulis) mahupun tradisi lisan (pertuturan).

    Tidaklah pula saya ada menegaskan cicak kubin atau cicak makan kapur itu hanya ada di tempat saya atau milik mutlak bangsa saya. Ia turut berada di mana-mana ceruk rantau lain juga. Bukankah habitat haiwan itu melata sifatnya. Apa yang ingin saya nyatakan adalah, walaupun simbol haiwan tersebut digunapakai oleh bangsa saudara dan bangsa saya mahupun bangsa lain di dunia…namun, makna, falsafah dan fungsinya tidaklah sama.

    Tidak timbul isu ingin mempersenda simbol cicak yang digunapakai. Apa yang ingin saya bangkitkan adalah makna di sebalik istilah tersebut. Spesis ini bukan sahaja ada di tempat saya atau saudara malah turut berada di lokasi lain. Yang kita kongsikan adalah rupa dan bentuk cicak bukan intipati corak pemikiran di sebalik simbol cicak. Tumpukan sahaja pada corak pemikiran bangsa saudara sekiranya tidak boleh menerimapakai corak pemikiran bangsa lain di dunia.

    p/s: Apa sebenarnya yang cuba saudara ketengahkan? Jika ingin berkongsi cabang seni dan budaya yang luas cakupannya belajarlah untuk menerima corak pemikiran bangsa lain…tidak ada ruginya, malah lebih memperkayakan ilmu pengetahuan di dada.

    Komen oleh harlenyabdarif — 30/06/2010 @ 12:10 pm | Balas

  10. Mengapa sih kamu berebut hak milik kami?

    Cam cite P.Ramlee plak aku tengok. Mengapa saudara menangis di kubur mak saya. Penat2 nangis rupanya kubur mak org lain.

    Komen oleh Dollah — 30/06/2010 @ 12:20 pm | Balas

    • Kebetulan kubur sebelah menyebelah…pulak tu bentuk batu nesannya sama…

      Komen oleh harlenyabdarif — 01/07/2010 @ 1:40 pm | Balas

  11. Kalau camtu nampak sangat sebelum nangis tak pikir panjang, Main rembat ajer. Ini macam punya orang pun ada.

    Komen oleh Dollah — 01/07/2010 @ 1:57 pm | Balas

    • Bab nangis ni spontan…tak sempat nak pikir air mata dah mengalir…

      Komen oleh harlenyabdarif — 01/07/2010 @ 2:03 pm | Balas

  12. Apa-apa la labu. Lu pikir la sendiri.

    Komen oleh Dollah — 01/07/2010 @ 3:17 pm | Balas

    • Si Luncai dah terjun dengan labu2 nya…
      Untung labu timbul, untung Si Luncai tenggelam timbul!

      Pikir-pikir le byk kali bila nak tinggalkan buah labu busuk kat sini…
      sbb yang busuk akan dibuang lepas ni (walaupun nama samaran lain digunapakai)

      Sanggar ini medan perkongsian ilmu bukan gelanggang “cari pasal”

      Saya yakin, Anonymous@Aritonang@Dollah=3 Serangkai nama milik org yg sama.
      Anonymous mulakan peranan…kemudian disampuk Aritonang dan dicucuk pula oleh Dollah…
      Lps ni nama apa pulak nak direka?

      Mengapa sih jln2 cari pasal di sini? Tanam aja labu…dpt juga hasilnya!

      Komen oleh harlenyabdarif — 01/07/2010 @ 3:37 pm | Balas

  13. Apa masalah Si Dollah ni…pasal cicak pun melenting. Jangan sampai kami selaku pengunjung tetap blog ini menganggap kamu cicak. Kalau kamu nak sangat cicak tu kat belakang tandas aku bersepah cicak, kamu ambil cicak tu buat research. Lebih elok kamu tak payah masuk blog ni, jangan buang masa nak bagi komen yang kurang membina dalam blog ini.

    Komen oleh Aiman — 01/07/2010 @ 10:08 pm | Balas

    • Saudara Aiman…

      Tak mengapalah, anggap shj cicak tersebut sesat di sini…

      p/s: Spesis cicak ini beraneka rupa dan bentuknya. Drpd situlah kita dapat mengenali jenis bangsanya.

      Komen oleh harlenyabdarif — 01/07/2010 @ 10:32 pm | Balas

  14. Kita hendaklah bersabar menghadapi karenah pengunjung blog. Di luar sana bermacam-macam jenis pengunjung yang akan ‘menguji’ kita. Yang educated akan berfikiran terbuka dan tidak kurang juga yang jenis Bodoh Tapi Sombong (BTS). Orang yang jenis BTS ni, saya percaya mereka ‘dipenjara’ dengan penjara buatan mereka sendiri. Mungkin mereka tidak pernah merasai kemajuan seperti yang dirasai bangsa lain. Nasihat saya tumpukan kepada pengunjung yang boleh membina mentaliti kita drpd ‘buang masa’ melayan karenah orang seperti BTS ini kerana ia terbukti tidak membawa faedah….wassalam.

    Komen oleh Pendita — 01/07/2010 @ 11:26 pm | Balas

  15. Jangan2 koq urang melayu itu meniru kepercayaan urang batak.
    Ato dikalangan urang melayu itu ada yg asalnya urang batak koq?
    Urang batak sangat suka cicak kerna ianya membawa lambang2 tertentu.
    Berkunjonglah keMedan diTasek Toba tuh terdapat banyak ukiran2 cicak.

    Komen oleh Zuhady — 20/07/2010 @ 1:12 am | Balas

    • Sesiapa juga berhak membuat hipotesis sedemikian rupa. Baik siapa dulu, siapa kemudian…kita ketepikan soal siapa meniru, siapa ditiru. Pokoknya simbol yang dimaksudkan meluas penggunaannya. Untuk lebih mengenal budaya dan corak pemikiran, jalankan penelitian daripada terus membuat andaian. Mungkin di situ akan ditemukan jawaban atas setiap persoalan.

      Komen oleh harlenyabdarif — 20/07/2010 @ 2:10 am | Balas

  16. *istighfar*

    tunggu Kiamat lah untuk jawapan yang tepat.

    Letih dengan klaim-mengklaim ni. semuanya milik ALLAH SWT. Claim la dari DIA. Sedangkan ibu bapa adik beradik suami isteri pun milik ALLAH, nak claim jugak?

    Siapakah yang lebih HAK selain dariNYA?

    Komen oleh 5thE Taib — 04/09/2010 @ 8:15 pm | Balas

  17. Yup, betul tu…hanya Allah yang punya HAK atas segalanya kerana Kerajaan Langit dan Bumi ini milikNYA. Kita hanya “penghuni” yang hidup “sementara”

    Sedangkan diri sendiri bukan milik kita sebaliknya milik mutlak Yang Maha Kuasa…Layakkah kita mengatakan objek ciptaanNYA sebagai HAK CIPTA?

    Komen oleh harlenyabdarif — 05/09/2010 @ 4:22 am | Balas

  18. BETUL…Semua yang berada dimuka bumi ini adalah hak Tuhan. Tiada siapa berhak menyatakan hak dia. Jangan kita menentangNya, balasanNya akan terjun neraka Jahannam…nauzubillah…

    Komen oleh Aiman — 05/09/2010 @ 11:36 pm | Balas

  19. satu tulisan yang baik.syabas.berkenaan dengan motif cicak,jawapannya sudah ada pada tajuk rencana ini, ASIMILASI BUDAYA..,jika kita faham akan tajuk tersebut,maka tidak timbul semacam ‘pergaduhan dan perebutan’ motif tersebut. sememangnya budaya ada percampuran di antara suku sakat. apatah lagi yang dikaji ialah ALAM MELAYU @ NUSANTARA @ GUGUSAN MELAYU. akal budi manusia melayu sudah tentu mempunyai cara fikir dan tafsir terhadap konsep KEALAMAN DAN KETUHANAN,kerana kita berada dalam kosmos yang sama,geografi yang sama. mungkin akan ada sedikit sebanyak cara tanggap jika seseorang itu datang dari geografi yang berlainan atau jauh, contohnya dari eropah atau timur tengah.

    tapi, apa yang penting di sini, saya ingin mengajak kepada saudara saudari semua berfikir tentang konsep binaan ATAP PADA MASJID-MASJID tersebut, mengapakah ia berbentuk JULANG LANGIT atau PIRAMID? sepanjang bacaan saya sebelum ini, bentuk piramid tersebut berkaitan dengan konsep kosmologi Islam,ya saya setuju! ada juga yang berkata ia dari pengaruh hindu yang dibawa oleh wali songo dalam adat budaya manusia melayu, saya tidak bersetuju!

    rupa binaan atap tersebut tidak hanya berlingkar pada konsep kosmologi metafizika sahaja, malah ianya adalah satu fizik yang sangat praktikal dan ‘berteknologi tinggi’ kerana GEOMETRI piramid tersebut diketahui oleh saintis masa kini (terutamanya PROF. DR AHMAD LUTFI IBRAHIM; http://www.pyracosmic.com ) sebagai ‘antena’ yang boleh menarik tenaga kosmos yang akan memberi nilai kesihatan kepada manusia. hal ini sebenarnya menjelaskan bertapa bijaknya ulama-ulama ini mengambil kira nilai setempat dan teknologi dalam binaan rumah Allah.

    penjelasan ini sangat panjang. bagi mereka yang ada pengetahuan tentang konsep kosmologi,metafizik dan fizik akan memahami maksud ini. bagi yang tiada, inilah masanya untuk merungkaikan lagi kebesaran Allah swt.

    Komen oleh ridzuan dzambrah — 29/11/2010 @ 2:48 am | Balas

  20. Salam,

    Tulisan yang baik dan sangat menarik. Tahniah atas perkongsian ini

    Azizul azli

    Komen oleh Azizul Azli Ahmad — 23/10/2011 @ 11:49 pm | Balas

    • W`salam Azizul Azli…
      Terima kasih sudi bertandang…maaf lewat membalas komen. Terdetik ingin melihat sanggar lama di sini lalu masuk semula ke ruang sanggar yang terbiar sepi. Saya telahpun berpindah ke sanggar baru (saya kira saudara telah maklum akan hal ini…barangkali ini komen pertama saudara sebelum mengetahui saya telah beralih lokasi ke sanggar baru). Terima kasih atas sokongan, namun saya lebih menghormati buah fikiran saudara sebagai tenaga pengajar yg mengkhusus bidang senibina selain penulisan ilmiah yang telah banyak dihasilkan oleh saudara.

      Komen oleh Harleny Abd Arif — 20/02/2012 @ 11:01 pm | Balas

  21. terima kasih atas penulisan saudari..byk ilmu yg dapat dikutip disini dan membantu mendapatkan maklumat tambahan tentang tesis saya…:)

    Komen oleh putri sepet — 26/04/2012 @ 4:07 pm | Balas


Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: