Jejak Mihrab & Mimbar

19/07/2010

Pandai Besi di Bukit Chandan

Filed under: Khazanah di Alam Melayu — Harleny Abd Arif @ 2:30 pm

 

Tarikh : 17 Julai 2010
Lokasi : Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar

 

Agenda sampingan selepas menjalankan tinjauan ke Masjid Ihsaniah di Kuala Dal adalah sesi ziarah ke makam Daeng Salili di Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan. Namun dalam perjalanan kurang 1 kilometer sebelum tiba di makam mantan Mufti pertama Negeri Perak semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah III, mata saya tertumpu kepada sebuah papan tanda. Teruskan pembacaan sehingga ke noktah akhir catatan…

 

Kampung Padang Changkat ini terletak di belakang Istana Iskandariah di Bukit Chandan. Melihat kepada tajuk di atas, seolah-olah perjalanan ini bertujuan menjejak pandai besi (merujuk kepada orang yang mahir/mempunyai kepakaran membuat keris) walhal tujuan sebenarnya adalah untuk menjejak makam Daeng Salili. Inilah hikmah dalam episod jejak-menjejak…adakalanya terjejak sesuatu yang di luar pencarian. 

 

Pintu gerbang tertera “Selamat Datang” dengan hiasan replika keris pada sisi kiri dan kanan… bagai mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke Kampung Padang Changkat.

 

Sebaik melepasi pintu gerbang utama, sepasang mata pasti tidak akan terlepas dari memandang sebuah papan tanda di sisi kiri jalan…terpampang pantun 4 kerat yang menjadi slogan JKKK Kampung Padang Changkat seperti tertera di atas.

 

Di sinilah saya berhenti lalu singgah merakam foto sambil menemubual pemilik pusat atau bengkel kraf pandai besi di Bukit Chandan.

 

Inilah gerangan tuan punya pusat atau bengkel kraf…En. Abdul Mazin bin Abdul Jamil nama diberi. Kepakaran menghasilkan alat-alat senjata seperti keris, pedang dan sebagainya diwarisi daripada generasi teratas. Dalam diri telah sedia mengalir titisan darah Bugis bersusurgalurkan jurai  keturunan Daeng Salili. Menurut beliau, almarhum ayahandanya (Abdul Jamil) semasa hayatnya adalah tempat rujukan pihak Muzium Negara mendapatkan informasi tentang keris lama terutamanya alat senjata Bugis. En. Abdul Mazin lahir pada tahun 1950 dan beliau mula membuat keris sejak berusia 12 tahun. Kepakaran beliau turut mendapat perhatian pihak Istana apabila diberi mandat menghasilkan alat senjata di Raja.

 

Demo

Sesi perbualan di antara saya dengan En. Abdul Mazin ini diselangi dengan demo (tunjuk cara)yang memperlihatkan proses  penghasilan hulu keris. Jenis teknik dalam demo di bawah saya  catat berdasarkan istilah yang digunapakai oleh beliau semasa perbualan secara lisan tanpa sebarang pindaan. Ada kemungkinan istilah tersebut mempunyai perbezaan dari segi ejaan dan sebutan jika dibuat perbandingan dengan teks rujukan seni yang lain. Namun, saya kekalkan istilah tersebut dengan rasional untuk memperkayakan perbendaharaan kata…sambil cuba merujuk kepada kamus Bahasa Melayu Klasik yang ada.

 

Teknik menarah kayu…tanpa segaris lakaran, potongan kayu ditarah mengikut bentuk hulu keris.
Tarah : Meratakan kayu atau papan dengan kapak atau beliung untuk membuang bahagian luarnya supaya menjadi rata.

 

Teknik meraut potongan kayu atau papan setelah melalui proses menarah. Proses seterusnya adalah melarik dengan tujuan untuk membentuk jalur pada hulu keris. Kebiasaannya, teknik melarik ini diaplikasikan pada motif awan larat  dan sebagainya. Ia berbeza dengan motif bunga yang menggunapakai istilah merawan.
Raut: Melicinkan potongan kayu atau papan dengan menggunakan pisau sehingga menjadi halus
Larik: Menggunakan pisau untuk membentuk jalur motif (selain motif berunsur tumbuh-tumbuhan)
Rawan: Bahagian tulang yang lembut (mungkin istilah ini cuba dikaitkan dengan teknik menoreh jalur lakaran yang akhirnya akan menghasilkan alur berupa lekukan yang dibentuk secara lembut)

 

Proses berikutnya adalah mengikis dengan kaca. Menurut pandai besi ini, proses mengikis menggunakan kaca boleh digantikan dengan teknik mengikis dengan pisau.

 

Seterusnya adalah proses melicinkan permukaan hulu keris dengan kertas pasir. Setelah itu, hulu keris yang telah licin permukaannya disyelek sehingga 3 atau 4 kali dengan tujuan mengilatkannya.

 

Dalam pada sedang berbual-bual secara tiba-tiba En. Mazin menunjukkan bentuk “kepala cicak” yang terdapat pada bahagian hulu keris. Semasa merakamkan foto ini, saya tidak perasan di mana bahagian “kepala cicak” yang di maksudkan. Justeru, saya rakamkan foto berikutnya (seperti di bawah) dengan harapan agar mata saya dapat memfokuskan bentuk kepala cicak tersebut dengan jelas melalui lensa kamera digital tua.

 

Nah! Itu dia bentuk kepala cicak yang dimaksudkan sambil pandai besi ini menggenggam bahagian yang menunjukkan bahagian kepala. Oleh kerana mata saya masih tercari-cari bentuk keseluruhan yang dimaksudkan “kepala cicak” tadi, akhirnya beliau mencabut hulu keris. Cuak juga melihat aksi waris Daeng Salili ni mencabut hulu keris…cepat-cepat saya berundur setapak ke belakang.

 

Oooo…ini rupanya bentuk kepala cicak pada bahagian keris. Selain rumah Melayu lama, alat senjata lama seperti keris juga menggunapakai istilah “kepala cicak” dalam pembuatannya. Ianya secara jelas memperlihatkan simbol kepala cicak ini meluas penggunaannya di Alam Melayu.

 

 

4 Komen »

  1. moga seni pandai besi en.mazin ini ada pewarisnya-supaya dapat meneruskan seni pandai besi ini:)

    Komen oleh sangilapi — 25/07/2010 @ 6:25 am | Balas

  2. Kisah ni ada penutupnya…di bawah tajuk Pandai Besi di Bukit Chandan (Sambungan).

    Pewaris adalah salah seorang anak lelaki beliau yang turut serta dalam sesi temubual…tengok gaya anak si pandai besi tersebut mmg ada potensi nak meneruskan bidang yang diwarisi sejak turun temurun.

    Komen oleh harlenyabdarif — 25/07/2010 @ 2:45 pm | Balas

  3. assalamualaikum,, boleh saya dapatkan hp en mazin, sy ada hajat untuk membuat keris. jika tuan x keberatan..

    Komen oleh muhamad — 12/01/2011 @ 2:16 pm | Balas

    • Wsalam…
      Saudara Muhamad, maaf saya tidak menyimpan nombor talian en. mazin. Namun, andai berhajat…boleh berkunjung terus ke bengkel beliau di alamat No. 66, Kg. Padang Changkat, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Rumah beliau hanya bersebelahan bengkel membuat alat senjata. = )

      entri terbaru di blog http://jejakmihrabmimbar.com
      Harap maklum…

      Komen oleh Harleny Abd Arif — 14/01/2011 @ 6:32 pm | Balas


Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: