Jejak Mihrab & Mimbar

28/07/2010

Acheh Dalam Kenangan

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 1:02 am

 

Saya baru lepas membaca semula catatan Liku-Liku Perjalanan yang difailkan di bawah Jejak Mihrab Acheh: Siri 2. Entah mengapa secara tiba-tiba saya terkenangkan ujian yang dilalui 9 bulan lalu semasa menjalankan kajian lapangan. Rasanya tidak perlulah saya mengulang semula liku-liku perjalanan yang dilalui kerana catatan tersebut telah pun dikongsi dalam tajuk yang saya nyatakan di atas.

Saat saya sedang duduk dalam keadaan selesa menghadap skrin pc sambil jari jemari ini menaip catatan ini, saat itu juga satu persatu imbasan kenangan menjejak masjid-masjid tua di Bumi Serambi Mekah menerjah di kotak fikiran. Saya mula terkenang akan situasi yang mana dihadirkan pelbagai ujian. Memang tidak dinafikan perasaan resah bersarang di jiwa saat melalui ujian di sepanjang laluan pada hari pertama perjalanan.

 

Runtuhan tanah

 

Menyeberang sungai dengan rakit kayu

 

Tayar terbenam di pesisir pantai yang lengang

 

Dimulai dengan runtuhan tanah di lereng gunung, menyeberang sungai dengan menaiki rakit kayu tanpa jaket keselamatan, tayar terbenam sebanyak 2 kali di pesisir pantai yang lengang dan tersesat jalan di lereng pergunungan sehingga terpaksa berpatah semula ke belakang. Ia bukanlah lebuhraya seperti di negara kita yang mempunyai papan peraga (sign board) yang tertera nama lokasi untuk memudahkan jejak pencarian tempat yang ingin dikunjungi. Adakalanya, apabila melalui satu persimpangan…pemandu kami hanya mengikut gerak hati. Sesekali tersasar jua dan kesudahannya terpaksa berpatah semula. Walaupun telah beberapa kali melalui pengalaman meredah laluan yang sama, namun pemandu tersebut mengakui agak sukar untuk mengingati jalan terutamanya apabila tiba di satu persimpangan.

 

Jalan bersimpang siur

 

Jambatan keluli sebagai penghubung alternatif

 

Untuk pengetahuan tetamu semua, laluan sepanjang perjalanan dari Banda Aceh menuju ke Kluet Utara di Bahagian Acheh Selatan perlu melalui Lamno dan Calang yang mana keadaan permukaan jalannya berbatu, bersimpang siur dan sesekali melalui jalan tanah merah yang berlopak. Bencana tsunami telah menyebabkan rata-rata daripada jalan perhubungan darat rosak binasa. Justeru, tiada pilihan lain selain melalui laluan alternatif yang tidak sempurna…tidak berturap. Malah sepanjang perjalanan, tidak kurang dari 5 buah jambatan sementara (atau mungkin juga dalam tempoh yang lama) dilalui.

 

Pesisir pantai yang dilalui

 

Ujian tersebut semuanya ditempuhi dalam masa sehari perjalanan. Malah, ujian kebimbangan yang lebih hebat lagi hadir beberapa hari kemudian saat team Jejak Mihrab dikhabarkan tentang tragedi gempa di Padang. Ketika itu team kami sedang melalui pesisir pantai Meulaboh yang merupakan kawasan terparah tsunami yang berlaku hampir 6 tahun lalu. Gegaran gempa di Padang turut dirasakan oleh penduduk di wilayah Acheh. Namun, saya dan team Jejak Mihrab tidak terasa akan gegaran tersebut kerana ketika itu kami berada di atas pacuan 4 roda yang bergerak di atas laluan berbatu.

 

Jalan berlopak dan berbecak

 

Runtuhan bongkah batu di lereng gunung

 

Melalui 7 hari perjalanan dalam Jejak Mihrab Acheh: Siri 2 yang mana 5 hari perjalanan di beberapa bahagian wilayah di Acheh dan baki 2 hari di Medan amat memenatkan. Bangun sekitar jam 6.00-6.30 pagi, bersarapan dan melangkah masuk ke dalam kenderaan…melalui perjalanan jarak jauh dengan keadaan permukaan jalan yang tidak rata, melalui lereng-lereng bukit dan gunung yang sempit, meredah becak lantaran terpaksa melalui laluan alternatif dan sebagainya. Namun, ia bukanlah alasan untuk saya berundur ke belakang… sebaliknya semakin tabah mengharunginya. Sepanjang 5 hari  menjejak masjid tua di wilayah Acheh, penat anggota badan bukan kepalang… masa tidur terpaksa dikorbankan demi menyempurnakan tugasan. Sesi lelap mata pula dimulai pada jam 3 pagi setiap hari. Ini bermakna saya dan ahli yang lain hanya dapat lena kurang 4 jam setiap hari. Memang merana biji mata…tapi dek kerana memikirkan kajian ini bukan dijalankan di sekitar Kuala Lumpur atau mana-mana lokasi dalam Semenanjung yang boleh dikunjungi beberapa kali…sebaliknya di seberang lautan dalam jarak dari satu lokasi ke satu lokasi memakan masa berjam-jam lamanya, jadi apalah salahnya ketepikan soal tak cukup tidur, tak cukup selesa dan seumpamanya. 

Baiklah…alang-alang dah berkongsi catatan perjalanan serba ringkas, saya ingin kongsikan pula lokasi masjid-masjid tua yang dikunjungi semasa menjalankan kajian lapangan dari perjalanan hari per-1 hingga hari ke-7.

Perjalanan hari per-1
Dimulai dengan menjejak Masjid Sabang di Acheh Jaya yang merupakan satu-satunya masjid tua yang dikunjungi pada hari pertama. Apa tidaknya, perjalanan ke Sabang memakan masa yang panjang selain kekangan masa kerana pelbagai ujian yang hadir pada hari tersebut. 

Perjalanan hari ke-2
Bertolak ke Meukek di bahagian Aceh Selatan dalam siri jejak masjid At-Taqwa di Desa Ie Dingen (Air Dingin).  Team kami kemudiannya menuju ke Masjid Istiqamah di Desa Kuta Buloh II, Blang Kuala dan berpatah semula ke Meukek untuk menjejak Masjid Labuhan Tarok. Tinjauan berikutnya ke Masjid Sawang sebelum team kami melalui Tapak Tuan meneruskan perjalanan ke Masjid Pulo Kameng (Pulau Kambing) di Kluet Utara, Acheh Selatan.

Perjalanan hari ke-3
Masjid pertama yang dikunjungi adalah Masjid Shuhada di Panton Reu, Acheh Barat. Dalam perjalanan melalui lereng gunung, saya dan ahli yang lain singgah berziarah ke Kubu Aneuk Manyak:1935 (Kuburan Anak Kecil) di Geumpang, Pidie. Seterusnya, menjejak Masjid Teupin Raya di Glumpang Tiga, Pidie. Hampir masuk waktu solat maghrib kami tiba di Masjid Baitul Abraar Nyong di Bandar Baru, Pidie Jaya sebelum meneruskan perjalanan ke Masjid Tgk. Di Pucok di Meureudu, Pidie. Lokasi berikutnya adalah Masjid Kuta Batee (Kota Batu)  di Meureudu sebelum ke Masjid Madinah di Meurah Dua di Pidie Jaya.

Perjalanan hari ke-4
Siri kunjungan ke Rumah Adat Tgk. Chik Awe Guetah di Peusangan, Bireuen. Lokasi seterusnya sesi berziarah ke kompleks makam Sultan Malikussalleh dan kompleks makam Ratu Nahrisyah di Samudera (Pasai) Acheh Utara. Masjid Kampung Blang di Simpang Ulim, Acheh Timur adalah lokasi akhir kunjungan pada hari ke-4.

Perjalanan hari ke-5
Hanya sebuah masjid dikunjungi iaitu Masjid Baiturrahim di Desa Tualang, Perlak, bahagian Acheh Timur sebelum team kami meneruskan perjalanan melalui Langsa menghala ke Medan.

Perjalanan hari ke-6
Hari ke-6 adalah masa bersantai setelah berpenat lelah selama 5 hari di lapangan. Namun, saya telah hadir ke majlis resepsi perkahwinan bagi memenuhi jemputan waris di Binjai.

Perjalanan hari ke-7
Siri kunjungan ke Masjid Raya Al-Mashun di Medan sebelum sesi lawatan peribadi ke Istana Maimoen yang terletak tidak jauh dari lokasi Masjid Raya. Pada sebelah petang, berangkat pulang dari Lapangan Terbang Polonia ke LCCT Kuala Lumpur.

 

Penghargaan
Terima kasih yang tidak terhingga kepada Saudara Wahyudi, Arifin dan Iskandar Muda (Ismud) dari Yayasan Restu Aceh (berpusat di Masjid Raya Baiturrahman) yang turut serta dalam siri kembara menjejak mihrab masjid tua.

 

Sekian sahaja paparan buat perkongsian tetamu yang sudi membaca dari baris pertama sehinggalah ke noktah akhir catatan saya. Acheh Dalam Kenangan walaupun penuh dengan liku-liku perjalanan sebagai ujian, namun di dalamnya terakam pengalaman paling berharga dalam episod kehidupan Si Penjejak Mihrab dan Mimbar.

Saya rindu akan situasi dilalui sepanjang mengharungi Liku-Liku Perjalanan… = )

 

Tinggalkan Komen »

Tiada komen.

Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

%d bloggers like this: