Jejak Mihrab & Mimbar

21/09/2010

Menjejak Syair Behrang Hulu

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 11:57 am

  

“Syair pun awak nak jejak? Ingatkan jejak masjid tua untuk kaji mihrab dan mimbar je.” Inilah ayat-ayat pertanyaan bersifat keliru yang spontan keluar dari mulut yong (kakanda). Memang saya akui, bab berjalan ni memang dah semacam tradisi dalam keluarga. Dari sejak lahir ke dunia hingga berusia 17 tahun sahaja, saya telah 10 kali mengikut keluarga berpindah. Bertukar sekolah sejak dari alam sekolah rendah  di tahun 1 hingga tamat tingkatan 5 sahaja sebanyak   7 kali (nak tahu kisah lebih lanjut, silalah berkunjung ke sanggar Diari Hidup). Masih segar dalam ingatan ayahanda membawa kami 8 beradik (adinda bongsu ke-9 belum lahir ketika itu) mengelilingi Semenanjung semasa cuti sekolah dengan menaiki van. Semasa itu saya berusia 12 tahun (1988). Bonda pula baru lepas tamat berpantang melahirkan adinda ke-8. Selama 7 hari kami sekeluarga berada di jalanan…berkunjung ke tempat-tempat bersejarah di setiap negeri. Sebelum maghrib menjelang, ayahanda mencari hotel di sepanjang laluan. Kira masa tu main redah aje mana-mana hotel yang masih kosong biliknya. Bukan macam sekarang yang mana tempahan boleh dibuat awal sama ada sebulan atau seminggu sebelum berangkat. Tapi, alhamdulillah…tak pernah pula kami tidur di dalam kenderaan. Lokasi perhentian kami sekeluarga adalah di masjid-masjid. Ya, agaknya disitulah bermulanya sesi singgah menyinggah ke masjid-masjid lama. Hal ini tidak saya sedari sebelumnya, tapi secara spontan menyedarinya ketika menaip struktur ayat terakhir di para pertama catatan ini.

Setelah panjang lebar memaparkan mukadimah pada para pertama, maka  akan saya kongsikan pula catatan seteruskan. Kisah Menjejak Syair Behrang Hulu. Sebut tentang Behrang Hulu, bagi mereka yang pernah dan sering berkunjung ke situ akan membayangkan Sungai Bil atau Proton City.  Saya pula mengatur perjalanan ke Behrang Hulu bukan dengan tujuan menuju ke dua lokasi tersebut. Tujuannya adalah menjejak puisi Melayu lama iaitu syair yang diberi nama Syair Behrang Hulu. Usaha pencarian ini adalah sebagai memenuhi hajat mantan pensyarah pembimbing saya semasa MA dulu iaitu Dr. Shaiful Bahri bin Md Radzi di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Fakulti Sains Sosial, UMK Bangi. “Harleny, awak pernah dengar tak Syair Behrang Hulu dan Syair Keramat Teluk Rubiah?” Itulah soalan yang diajukan kepada saya lebih sebulan yang lalu. Namun, baru beberapa hari yang lalu (Sabtu, 18 Sept. 2010) saya berkesempatan meluangkan waktu ke Behrang Hulu…

 

Kisah satu hari di hari raya
Siri jejak menjejak bermula
Pencarian bait syair lama
Di Behrang Hulu nama tempatnya

 

Serangkap pantun sebagai pembuka tirai cerita…siri jejak pencarian sebuah puisi Melayu lama. Spontan ilham menzahirkan sebuah pantun menjelma tatkala ada panggilan masuk ke telefon bimbit…ada urusan yang perlu disempurnakan di luar sana. Nampak gayanya setakat ini sahaja buat ketika ini. Bertemu kembali nanti… 

Bersambung semula…

Pulang dari berkunjung ke rumah bonda saudara di sebelah ayahanda di  Trolak, saya dan keluarga menghala pula ke arah pekan Slim. Konvoi 4 buah kenderaan dengan hajat seterusnya bertandang ke rumah sepupu kepada bonda. Entah bagaimana 3 buah kenderaan di hadapan kami hilang dari pandangan. Ingatkan mereka dah sampai dulu ke kediaman yang dituju…namun sebaik tiba di kawasan perumahan yang dituju tiada langsung kenderaan lain di situ. Lalu saya ambil telefon bimbit nak menelefon bertanya di mana mereka semua berada. Rupa-rupanya baru saya perasan yang ada pesanan masuk di telefon beberapa minit yang lalu mengatakan bahawa mereka mengubah haluan ke arah Slim Village untuk menziarahi nenda saudara (adinda kepada almarhum datuk). Terpaksalah saya berpatah semula beberapa kilometer menuju ke pekan Slim untuk mengambil simpang ke jalan Slim lama. Sepanjang melalui jalan ini, saya teringat akan pesanan Dr. Shaiful Bahri tentang pencarian Syair Behrang Hulu.

Sebelum melangkah pulang dari rumah nenda saudara yang berusia di awal 80-an, saya bertanya apakah dia pernah mendengar tentang syair yang dimaksudkan. Ketika itulah kakanda sulung saya mencelah seperti dialog pada baris permulaan catatan. Nenda sendiri terpinga-pinga kerana seumur hidupnya bermastautin sekian lama di situ, tidak pernah pula terdengar akan syair tentang Behrang Hulu. “Behrang Hulu lagi ke depan…cuba tanya orang kat situ,” saran nenda kepada saya. Perjalanan diteruskan sehinggalah saya terpandang akan masjid lama sebelum tiba di Behrang Hulu. Benarlah kata pepatah Melayu lama, jauh perjalanan luas pengalaman…ada juga yang berkata jauh perjalanan luas pandangan. Usaha nak jejak syair lama, terjejak masjid tua. Lalu saya berhenti seketika merakam foto senibina luar dan  dalamnya. Kira siri jejak serampang dua mata…sebab alangkah ruginya andai khazanah lama dipandang hanya sebelah mata.

 

Masjid Jamek Slim Village

 

Di luar pintu serambi masjid, kelihatan 2 orang lelaki dalam usia awal 70-an sedang asyik bercerita. Lalu saya menyapa keduanya. Tidak sangka bahawa mereka adalah pengerusi dan setiausaha masjid yang sama…keduanya mantan guru besar rupanya. Soalan berkisar tentang penubuhan masjid sebagai pembuka kata-kata. Kemudian pertanyaan tentang syair pula diajukan kepada mereka. “Tak pernah pulak kami dengar Syair Behrang Hulu sepanjang hidup di sini.” Itulah jawapan yang diberikan salah seorang daripada mereka…jawapan yang sama dengan nenda saudara. Jawapan ini juga sama dengan jawapan yang diberikan Dr. Ahmad Suhaimi (pensyarah pembimbing sekarang yang merupakan anak jati Behrang). “Saya tak pernah dengar…kalau ada, saya pun nak.” Bagi mereka yang mengetahui betapa besarnya nilai falsafah dan pemikiran yang terkandung dalam puisi Melayu lama tak kira syair, pantun, gurindam, seloka dan sebagainya, syair lama sebegini amat dihargai penemuannya. Apa lagi jika bait puisi tersebut berkisar tentang tempat kelahiran, pasti punya keinginan yang kuat untuk  mengetahui makna tersirat di sebalik bait puisi ciptaan.

Pertanyaan syair tentang Behrang Hulu akhirnya bertukar menjadi sesi bercerita. Saya hanya memasang telinga sambil tangan mencatat apa jua info menarik yang diperkatakan kedua sahabat tadi. Memang sejak kecil saya berminat membaca buku-buku berunsur mitos atau lagenda dalam kelompok sastera rakyat. Baik tradisi tulisan melalui teks bacaan mahupun tradisi lisan yang disampaikan melalui pertuturan dari mulut ke mulut yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Yang asyiknya pada hari tersebut, saya seolah-olah sedang duduk di hadapan penglipur lara. Berdasarkan penilaian saya selama 30 minit berkongsi cerita, pengerusi masjid tersebut sememangnya seorang pencinta budaya. Beliau sendiri pernah membaca dan turut memiliki teks Syair Siti Zubaidah dalam aksara jawi. “Pernah dengar tentang Lagenda Pinang Beribut?” Saya hanya menggeleng-gelengkan kepala apabila ditanya pengerusi masjid. Menurut beliau, ada seorang penglipur lara dikenali sebagai Pak Ali. Pak Ali inilah yang akan bercerita selama 3 malam berturut-turut tentang lagenda Pinang Beribut semasa hayatnya. Namun, setelah kembali ke rahmatullah, tiada lagi penglipur lara seumpama arwah di situ. Beliau sendiri pernah menyaksikan penglipur lara tersebut menyampaikan cerita. Apa yang menarik, sewaktu tiba babak sedih dalam penceritaan maka si penuturnya akan menangis teresak-esak. Begitu juga apabila tiba kepada babak pertarungan…si penutur cerita akan mempamerkan aksi bersilat seolah-olah sedang bertarung.  

Dari kisah lagenda, masuk pula ke kisah Tok Gajah. Dikisahkan bagaimana hebatnya Tok Gajah sehingga mampu menumbangkan pohon bayas (nama saintifik oncosperma horidum) untuk mendapatkan umbutnya. Kisah ini telah disampaikan dari generasi terdahulu dan diwarisi hingga ke generasi sekarang. Ini kerana, pada suatu masa dahulu, hutan di perkampungan tersebut pernah menjadi laluan pasukan dari Pahang. Jadi, wujud cerita kononnya gelaran Tok Gajah terbit daripada kekuatan tokoh tersebut yang mana salah satunya mempunyai kekuatan menumbangkan pohon bayas dengan sekali tolak menggunakan tangan.

 

Pohon bayas dari laman www.utusan.com.my

 

Ada beberapa kisah lagi yang dikongsikan, namun cukuplah kisah di atas saya paparkan. Setelah 30 minit berbicara…saya pun memohon keizinan mengundur diri. Perjalanan diteruskan lagi sehinggalah ke Behrang Hulu. Singgah di sebuah rumah di pinggir jalan…saya cuba bertanya tuan rumah lokasi perpustakaan desa. “Di sini tak ada perpustakaan,” kata si tuan rumah. Setelah memaklumkan hajat pencarian, tuan rumah tadi mengesyorkan saya ke rumah ketua kampung yang terletak kira-kira 500 meter dari situ.

Dipendekkan cerita…tiba di kediaman ketua kampung Behrang Hulu, saya melangkah masuk ke ruang serambi rumah. Hajat pencarian tidak juga saya perolehi maklumatnya di situ. Ketua kampung yang berusia 69 tahun itu juga tidak pernah mendengar tentang syair yang saya maksudkan. Maklumat sampingan yang saya dapat pula adalah tentang bagaimana wujudnya nama Behrang Hulu. Menurut ketua kampung, di kawasan itu pada suatu masa dahulu terdapat banyak gajah. Gajah-gajah pada masa tersebut sering merosakkan tanaman dan bertindak ganas di situ. Lalu, diberikan nama Behrang merujuk kepada gajah yang naik berang. Begitulah kisahnya yang tak pernah saya ketahui sebelum ini walaupun kampung halaman sebelah bapa saya lokasinya tidak jauh dari Behrang Hulu ini. Behrang Hulu ini juga adalah laluan semasa saya belajar memandu suatu ketika dahulu, tapi tidak pernah saya ambil tahu akan asal usul namanya.

Memang dalam siri kali ini saya gagal menjejak syair Behrang Hulu, namun saya tidak kecewa kerana telah memperolehi perkongsian ilmu tentang cerita rakyat di Behrang Hulu. Mudah-mudahan saya akan menemui kejayaan dalam pencarian akan datang…atau info tentang syair yang dicari diperolehi hasil maklumat daripada tetamu yang bertandang ke sanggar ini. Mungkin pada masa itu nanti, ia hadir sendiri tanpa perlu saya mencarinya lagi…

 

Advertisements

Tinggalkan Komen »

Tiada komen.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: