Jejak Mihrab & Mimbar

21/09/2010

Menjejak Syair Behrang Hulu

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 11:57 am

  

“Syair pun awak nak jejak? Ingatkan jejak masjid tua untuk kaji mihrab dan mimbar je.” Inilah ayat-ayat pertanyaan bersifat keliru yang spontan keluar dari mulut yong (kakanda). Memang saya akui, bab berjalan ni memang dah semacam tradisi dalam keluarga. Dari sejak lahir ke dunia hingga berusia 17 tahun sahaja, saya telah 10 kali mengikut keluarga berpindah. Bertukar sekolah sejak dari alam sekolah rendah  di tahun 1 hingga tamat tingkatan 5 sahaja sebanyak   7 kali (nak tahu kisah lebih lanjut, silalah berkunjung ke sanggar Diari Hidup). Masih segar dalam ingatan ayahanda membawa kami 8 beradik (adinda bongsu ke-9 belum lahir ketika itu) mengelilingi Semenanjung semasa cuti sekolah dengan menaiki van. Semasa itu saya berusia 12 tahun (1988). Bonda pula baru lepas tamat berpantang melahirkan adinda ke-8. Selama 7 hari kami sekeluarga berada di jalanan…berkunjung ke tempat-tempat bersejarah di setiap negeri. Sebelum maghrib menjelang, ayahanda mencari hotel di sepanjang laluan. Kira masa tu main redah aje mana-mana hotel yang masih kosong biliknya. Bukan macam sekarang yang mana tempahan boleh dibuat awal sama ada sebulan atau seminggu sebelum berangkat. Tapi, alhamdulillah…tak pernah pula kami tidur di dalam kenderaan. Lokasi perhentian kami sekeluarga adalah di masjid-masjid. Ya, agaknya disitulah bermulanya sesi singgah menyinggah ke masjid-masjid lama. Hal ini tidak saya sedari sebelumnya, tapi secara spontan menyedarinya ketika menaip struktur ayat terakhir di para pertama catatan ini.

Setelah panjang lebar memaparkan mukadimah pada para pertama, maka  akan saya kongsikan pula catatan seteruskan. Kisah Menjejak Syair Behrang Hulu. Sebut tentang Behrang Hulu, bagi mereka yang pernah dan sering berkunjung ke situ akan membayangkan Sungai Bil atau Proton City.  Saya pula mengatur perjalanan ke Behrang Hulu bukan dengan tujuan menuju ke dua lokasi tersebut. Tujuannya adalah menjejak puisi Melayu lama iaitu syair yang diberi nama Syair Behrang Hulu. Usaha pencarian ini adalah sebagai memenuhi hajat mantan pensyarah pembimbing saya semasa MA dulu iaitu Dr. Shaiful Bahri bin Md Radzi di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Fakulti Sains Sosial, UMK Bangi. “Harleny, awak pernah dengar tak Syair Behrang Hulu dan Syair Keramat Teluk Rubiah?” Itulah soalan yang diajukan kepada saya lebih sebulan yang lalu. Namun, baru beberapa hari yang lalu (Sabtu, 18 Sept. 2010) saya berkesempatan meluangkan waktu ke Behrang Hulu…

 

Kisah satu hari di hari raya
Siri jejak menjejak bermula
Pencarian bait syair lama
Di Behrang Hulu nama tempatnya

 

Serangkap pantun sebagai pembuka tirai cerita…siri jejak pencarian sebuah puisi Melayu lama. Spontan ilham menzahirkan sebuah pantun menjelma tatkala ada panggilan masuk ke telefon bimbit…ada urusan yang perlu disempurnakan di luar sana. Nampak gayanya setakat ini sahaja buat ketika ini. Bertemu kembali nanti… 

Bersambung semula…

Pulang dari berkunjung ke rumah bonda saudara di sebelah ayahanda di  Trolak, saya dan keluarga menghala pula ke arah pekan Slim. Konvoi 4 buah kenderaan dengan hajat seterusnya bertandang ke rumah sepupu kepada bonda. Entah bagaimana 3 buah kenderaan di hadapan kami hilang dari pandangan. Ingatkan mereka dah sampai dulu ke kediaman yang dituju…namun sebaik tiba di kawasan perumahan yang dituju tiada langsung kenderaan lain di situ. Lalu saya ambil telefon bimbit nak menelefon bertanya di mana mereka semua berada. Rupa-rupanya baru saya perasan yang ada pesanan masuk di telefon beberapa minit yang lalu mengatakan bahawa mereka mengubah haluan ke arah Slim Village untuk menziarahi nenda saudara (adinda kepada almarhum datuk). Terpaksalah saya berpatah semula beberapa kilometer menuju ke pekan Slim untuk mengambil simpang ke jalan Slim lama. Sepanjang melalui jalan ini, saya teringat akan pesanan Dr. Shaiful Bahri tentang pencarian Syair Behrang Hulu.

Sebelum melangkah pulang dari rumah nenda saudara yang berusia di awal 80-an, saya bertanya apakah dia pernah mendengar tentang syair yang dimaksudkan. Ketika itulah kakanda sulung saya mencelah seperti dialog pada baris permulaan catatan. Nenda sendiri terpinga-pinga kerana seumur hidupnya bermastautin sekian lama di situ, tidak pernah pula terdengar akan syair tentang Behrang Hulu. “Behrang Hulu lagi ke depan…cuba tanya orang kat situ,” saran nenda kepada saya. Perjalanan diteruskan sehinggalah saya terpandang akan masjid lama sebelum tiba di Behrang Hulu. Benarlah kata pepatah Melayu lama, jauh perjalanan luas pengalaman…ada juga yang berkata jauh perjalanan luas pandangan. Usaha nak jejak syair lama, terjejak masjid tua. Lalu saya berhenti seketika merakam foto senibina luar dan  dalamnya. Kira siri jejak serampang dua mata…sebab alangkah ruginya andai khazanah lama dipandang hanya sebelah mata.

 

Masjid Jamek Slim Village

 

Di luar pintu serambi masjid, kelihatan 2 orang lelaki dalam usia awal 70-an sedang asyik bercerita. Lalu saya menyapa keduanya. Tidak sangka bahawa mereka adalah pengerusi dan setiausaha masjid yang sama…keduanya mantan guru besar rupanya. Soalan berkisar tentang penubuhan masjid sebagai pembuka kata-kata. Kemudian pertanyaan tentang syair pula diajukan kepada mereka. “Tak pernah pulak kami dengar Syair Behrang Hulu sepanjang hidup di sini.” Itulah jawapan yang diberikan salah seorang daripada mereka…jawapan yang sama dengan nenda saudara. Jawapan ini juga sama dengan jawapan yang diberikan Dr. Ahmad Suhaimi (pensyarah pembimbing sekarang yang merupakan anak jati Behrang). “Saya tak pernah dengar…kalau ada, saya pun nak.” Bagi mereka yang mengetahui betapa besarnya nilai falsafah dan pemikiran yang terkandung dalam puisi Melayu lama tak kira syair, pantun, gurindam, seloka dan sebagainya, syair lama sebegini amat dihargai penemuannya. Apa lagi jika bait puisi tersebut berkisar tentang tempat kelahiran, pasti punya keinginan yang kuat untuk  mengetahui makna tersirat di sebalik bait puisi ciptaan.

Pertanyaan syair tentang Behrang Hulu akhirnya bertukar menjadi sesi bercerita. Saya hanya memasang telinga sambil tangan mencatat apa jua info menarik yang diperkatakan kedua sahabat tadi. Memang sejak kecil saya berminat membaca buku-buku berunsur mitos atau lagenda dalam kelompok sastera rakyat. Baik tradisi tulisan melalui teks bacaan mahupun tradisi lisan yang disampaikan melalui pertuturan dari mulut ke mulut yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Yang asyiknya pada hari tersebut, saya seolah-olah sedang duduk di hadapan penglipur lara. Berdasarkan penilaian saya selama 30 minit berkongsi cerita, pengerusi masjid tersebut sememangnya seorang pencinta budaya. Beliau sendiri pernah membaca dan turut memiliki teks Syair Siti Zubaidah dalam aksara jawi. “Pernah dengar tentang Lagenda Pinang Beribut?” Saya hanya menggeleng-gelengkan kepala apabila ditanya pengerusi masjid. Menurut beliau, ada seorang penglipur lara dikenali sebagai Pak Ali. Pak Ali inilah yang akan bercerita selama 3 malam berturut-turut tentang lagenda Pinang Beribut semasa hayatnya. Namun, setelah kembali ke rahmatullah, tiada lagi penglipur lara seumpama arwah di situ. Beliau sendiri pernah menyaksikan penglipur lara tersebut menyampaikan cerita. Apa yang menarik, sewaktu tiba babak sedih dalam penceritaan maka si penuturnya akan menangis teresak-esak. Begitu juga apabila tiba kepada babak pertarungan…si penutur cerita akan mempamerkan aksi bersilat seolah-olah sedang bertarung.  

Dari kisah lagenda, masuk pula ke kisah Tok Gajah. Dikisahkan bagaimana hebatnya Tok Gajah sehingga mampu menumbangkan pohon bayas (nama saintifik oncosperma horidum) untuk mendapatkan umbutnya. Kisah ini telah disampaikan dari generasi terdahulu dan diwarisi hingga ke generasi sekarang. Ini kerana, pada suatu masa dahulu, hutan di perkampungan tersebut pernah menjadi laluan pasukan dari Pahang. Jadi, wujud cerita kononnya gelaran Tok Gajah terbit daripada kekuatan tokoh tersebut yang mana salah satunya mempunyai kekuatan menumbangkan pohon bayas dengan sekali tolak menggunakan tangan.

 

Pohon bayas dari laman www.utusan.com.my

 

Ada beberapa kisah lagi yang dikongsikan, namun cukuplah kisah di atas saya paparkan. Setelah 30 minit berbicara…saya pun memohon keizinan mengundur diri. Perjalanan diteruskan lagi sehinggalah ke Behrang Hulu. Singgah di sebuah rumah di pinggir jalan…saya cuba bertanya tuan rumah lokasi perpustakaan desa. “Di sini tak ada perpustakaan,” kata si tuan rumah. Setelah memaklumkan hajat pencarian, tuan rumah tadi mengesyorkan saya ke rumah ketua kampung yang terletak kira-kira 500 meter dari situ.

Dipendekkan cerita…tiba di kediaman ketua kampung Behrang Hulu, saya melangkah masuk ke ruang serambi rumah. Hajat pencarian tidak juga saya perolehi maklumatnya di situ. Ketua kampung yang berusia 69 tahun itu juga tidak pernah mendengar tentang syair yang saya maksudkan. Maklumat sampingan yang saya dapat pula adalah tentang bagaimana wujudnya nama Behrang Hulu. Menurut ketua kampung, di kawasan itu pada suatu masa dahulu terdapat banyak gajah. Gajah-gajah pada masa tersebut sering merosakkan tanaman dan bertindak ganas di situ. Lalu, diberikan nama Behrang merujuk kepada gajah yang naik berang. Begitulah kisahnya yang tak pernah saya ketahui sebelum ini walaupun kampung halaman sebelah bapa saya lokasinya tidak jauh dari Behrang Hulu ini. Behrang Hulu ini juga adalah laluan semasa saya belajar memandu suatu ketika dahulu, tapi tidak pernah saya ambil tahu akan asal usul namanya.

Memang dalam siri kali ini saya gagal menjejak syair Behrang Hulu, namun saya tidak kecewa kerana telah memperolehi perkongsian ilmu tentang cerita rakyat di Behrang Hulu. Mudah-mudahan saya akan menemui kejayaan dalam pencarian akan datang…atau info tentang syair yang dicari diperolehi hasil maklumat daripada tetamu yang bertandang ke sanggar ini. Mungkin pada masa itu nanti, ia hadir sendiri tanpa perlu saya mencarinya lagi…

 

09/09/2010

Salam Lebaran…

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 5:05 pm

 

kad-raya-4.gif Hari Raya image by sixshot_

 dari laman http://media.photobucket.com

 

Salam Lebaran buat semua tetamu tetap yang sering bertandang atau
tetamu yang secara tidak sengaja singgah seketika di sanggar ini. 
Ampun dan maaf dipinta andai pernah terkasar bahasa, terlanjur kata
mahupun tersindir lantaran aliran pemikiran berbeza 
 ketika membahaskan apa jua isu yang diutara.

Semoga Hari Lebaran yang bakal tiba diraikan penuh ceria
di sisi keluarga tercinta.

Mudah-mudahan selamat dalam perjalanan pergi dan pulang
ke kampung halaman…Amin.

 

Ikhlas daripada:
Harleny Abd Arif Sekeluarga

 

07/09/2010

PERIBADI: Dari Sanggar kavkaz-asadullah.blogspot.com

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 6:31 pm

 

Hampir sebulan saya tidak menjengah blog adinda bongsu…kali terakhir singgah di blognya sebelum saya berangkat ke Sulawesi Selatan 6 Ogos lalu. Kebetulan saya agak sibuk dalam tempoh sebulan ini kerana memberi tumpuan kepada pemurnian proposal untuk sesi pembentangan ke-2 selepas Hari Raya Aidilfitri nanti (InshaAllah penghujung September depan). Catatan ini adalah duplikasi catatan bertajuk PERIBADI dari sanggar adinda bongsu saya. Penulisan ini terkesan di hati, kerana intipatinya terkandung iktibar untuk mendidik peribadi. Justeru, saya kongsikan di sanggar ini untuk tatapan dan yang paling utama diamalkan dalam kehidupan seharian.

Catatan tersebut dihasilkan sehari sebelum adinda berangkat menunaikan umrah di Mekah. Di kala semua teman serumahnya (dikhabarkan semua teman serumahnya pulang ke Malaysia kecuali dirinya) pulang bercuti semester sekaligus menyambut hari lebaran bersama keluarga…kami semua di sini menyarankan agar tahun hadapan sahaja adinda pulang semasa cuti semester. Pasti pada mulanya adinda kami ini berjauh hati kerana inilah kali pertama dia bakal meraikan hari raya tanpa keluarga di sisi. Untuk memujuk hatinya, kakanda sulung memberi cadangan agar adinda menunaikan umrah. Cadangan tersebut dipersetujui kami semua.

“Adindaku Muhammad Akmal…bersyukurlah kerana ALLAH telah mengizinkan adinda menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah menjadi tetamuNYA. Alangkah bertuahnya adinda kerana dapat menjalani ibadah puasa pada 2 minggu akhir Ramadhan, melakukan solat tarawih dengan berkiblatkan kaabah di hadapan mata dan meraikan Hari Lebaran pada 2 minggu awal di bulan Syawal yang bakal menjelang.” Hari ini (07 Sept) genaplah 16 hari adinda bongsu berada di sana…membawa bekalan doa-doa daripada kami semua. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan segala laluan dari awal hinggalah ke hujung perjalanannya…Amin.

 

Muhammad Akmal bin Abd Arif berkata:

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, beberapa jam lagi penulis akan ke Alexandria, daerah yang mana kali ke-2 penulis akan ke sana. Pertama kali pergi untuk bermusafir, ziarah kubu Salahuddin, library, jalan2 tepi pantai…Tetapi perjalanan kali ke-2 ini bukan sekadar untuk bermusafir, ziarah kubu atau ke library, tetapi perjalanan untuk ziarah ke Baitullah, Makkah. Jangan salah sangka, tiada kaabah di Alex, tetapi penulis ke alex kerana depart dari airport Alex.

 

 

Sebelum penulis ingin meninggalkan rumah pada petang ini, inshaAllah ingin sekali penulis berkongsi sedikit tentang keperibadian seorang muslim, mudah-mudahan penulis mendapat saham atas penulisan yang tidak seberapa ini.

Semua orang yang beragama Islam semestinya mengakui Islam adalah agama yang sangat sempurna, syumul, terpuji dan macam2 lagi (kecuali orang munafik dan seangkatan dengannya). Tetapi, sejauh manakah kita memahami “Islam” sebagai seorang muslim yg berpandukan Al-quran dan Sunnah sebagai panduan hidup?

Kebanyakan atau mungkin segelintir berfikiran bahawa apabila disebut Islam atau Muslim maka apa yang dibayangkan adalah masjid, seorang yg berserban, berfikiran terkebelakang, seorang yg ‘alim, budak surau, skema, x open minded, jumud, org berjubah, x cool, x sporting dan lebih menakutkan Islam adalah satu perkara tidak boleh dicampur adukkan dengan kerja dan kehidupan seharian.

Sesungguhnya, Islam itu sangat cantik, tidak kira dimana kamu berada baik di daratan, lautan, udara, marikh ataupun di ruang angkasa.

Apa yang ingin penulis sampaikan disini adalah tentang keperibadian seorang yg muslim. Adakah anda rasa anda mempunyai peribadi seorang muslim seperti mana yang digariskan di dalam Al-Quran ataupun sunnah Rasulullah? Sesungguhnya  akhlak Rasulullah seperti yg terkandung dalam Al-Quran.

Apabila Aishah r.ha ditanya tentang akhlak Rasulullah maka jawabnya:

“Rasulullah memiliki budi pekerti Al-Quran” – Riwayat Bukhari dan Muslim

Banyak sekali kita lihat seseorang itu berlebihan dalam satu perkara sehingga meninggalkan perkara yang lain. Sebagai contoh, mereka yang selalu mengerjakan solat berjemaah dan selalu berada pada saf yang pertama tetapi mengabaikan kebersihan mulutnya, atau pada badannya.

Ataupun seseorang yang solatnya khusyu’, tetapi tidak menjaga silaturrahim sesama jiran tetangga ataupun kerabatnya.

Ataupun juga seseorang yang sangat sopan, selalu bersedekah, selalu tersenyum, baik dengan tetangga, jujur, amanah, tetapi derhaka pada kedua ibu dan bapanya.

Mungkin juga dia taat pada kedua ibubapanya, tetapi buruk pergaulannya sesama orang, ataupun tidak pernah mengetahui tentang makan minum jirannya.

Mungkin juga seorang yang taat pada kedua ibu bapa, berbaik dengan orang disekeliling, akhlak baik, jujur, pembersih, tetapi dia zalim pada binatang.

Mungkin ada yang berkata dan tertanya-tanya apakah mungkin semua ini mampu untuk kita laksanakan?!

Sesungguhnya Rasulullah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak…dan inilah akhlak yg sebetul-betulnya patut ada pada seorang yang beriman.

Syahsiah muslim oleh Muhammad Ali Al-Hashimi… buku yg baru saya baca telah mengkelaskan beberapa keperibadian:

1.  seorang muslim dengan tuhannya
2.  seorang muslim dengan dirinya
3.  seorang muslim dengan kedua orang tuanya
4.  seorang muslim dengan isterinya
5.  seorang muslim dengan anak2nya
6.  seorng muslim dengan saudara2nya
7.  seorang muslim dengan jirannya
8.  seorang muslim dengan kawan2nya
9.  seorang muslim dengan masyarakat.

Bersambung, dah xsempat, nak kemas2 barang2 dah, moga entri yg saya tulis ni memberi manfaat kepada semua.

Allah mengetahui yang lebih baik.

 

26/08/2010

Tok Husain & Tok Dahari: Pergi Takkan Kembali

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 2:40 pm

 

Tok Dahari meninggal di Sungai Choh rumah Nora. Akan dikebumikan lepas Asar. Hamdan beritahu meninggalnya jam 12 tengah hari tadi.”

Pesanan ini masuk jam 2.08 petang di telefon bimbit aku semalam (25/08/10). Agak terkejut mendengar perkhabaran daripada  bonda. Termenung aku seketika…antara percaya dengan tidak.

Tok Dahari pergi buat selama-lamanya setelah 14 tahun Tok Husain meninggalkan kami semua…Kedua insan ini amat dekat di hati aku.

Aku memang sangat rapat dengan arwah Tok Husain semasa hayatnya. Arwah adalah ayahanda kepada bonda yang melahirkan aku ke dunia. Walaupun aku dibesarkan oleh ayahanda dan bonda, namun kenangan bersama arwah Tok Husain semasa hayatnya takkan luput dari ingatan.  Masakan tidak, sejak dari usia 6 tahun hingga saat aku berada di menara gading, teratak di Kampung Gajah, Sungkai, Perak menjadi tempat persinggahan utama…menemankan arwah datuk dan opah pada setiap kali cuti sekolah (1982-1993) mahupun cuti semester (1994-1996). Hati aku lebih gembira menemankan mereka berdua tatkala semua cucu yang lain meraikan cuti mereka di tempat-tempat menarik di sekitar ibukota. Bagi cucu yang lain, mungkin tiada apa yang menarik boleh dilakukan sekiranya pulang ke kampung halaman sedangkan bagi aku pula sebaliknya. Di sinilah aku temui kedamaian jiwa. Walaupun di kala itu aku masih di usia muda, namun erti damai dan tenang itu dapat aku rasakan nikmatnya saat hadir ke teratak arwah.

Siapakah pula gerangan Tok Dahari yang turut sama aku abadikan namanya pada ruang tajuk di sanggar ini? Baik arwah Tok Husain dan Tok Dahari, kedua-duanya begitu istimewa kedudukannya di mata aku. Setelah pemergian Tok Husain 14 tahun yang lalu, Tok Daharilah menjadi tempat rujukan aku. Insan inilah yang telah banyak berkongsi cerita tentang salasilah keluarga sehingga terbukanya pintu hati aku meneruskan pencarian akan asal usul diri. Pencarian yang penuh dengan liku-liku perjalanan di sepanjang laluan namun diakhirnya  memberi kemanisan.  

Apa hubungannya arwah Tok Husain dengan arwah Tok Dahari? Tok Dahari adalah sepupu kepada arwah datuk aku (Tok Husain). Bonda keduanya pula mempunyai pertalian adik-beradik. Arwah Gurun (bonda arwah Tok Husain) adalah kakanda kedua kepada arwah Hitam (bonda Tok Dahari). Gurun dan Hitam adalah anakanda kepada Muhammad Ali bin Haji Mustafa hasil perkahwinan dengan Raja Aminah. Ini bermakna, arwah datuk aku dan arwah Tok Dahari masing-masing adalah cicit kepada almarhum Haji Mustafa Raja Kamala (Penghulu pertama Tanjung Malim). Tok Dahari adalah tempat rujukan secara lisan aku sejak dari tahun 2002. Di teratak arwahlah aku bertandang untuk merakam apa jua kisah peribadi berkaitan Haji Mustafa Raja Kamala dan susurgalur jurai keturunannya.

Tok Dahari…perginya takkan kembali. Kenangan bersama arwah tetap kekal dalam ingatan. Walaupun aku bukannya cucu yang keluar dari rahim anak arwah, hanya berstatus cucu dari sebelah sepupunya (datuk aku)…namun kehilangannya meninggalkan kesan yang amat mendalam…perginya seorang waris dari cicit Haji Mustafa Raja Kamala yang menyimpan banyak rahsia tentang keturunan keluarga. Aku seperti biasa tidak pernah jemu bertanya itu dan ini setiap kali berkunjung ke teratak arwah. Namun, arwah tidak pernah lokek berkongsi cerita sebaliknya dengan lapang dada membongkar kisah-kisah peribadi waris teratas dalam susurgalur jurai keturunan keluarga…Pastinya aku rindu akan bual bicara yang pernah kami lalui bersama semasa hayatnya… = (

Allah lebih menyayangi keduanya…Al Fatihah buat arwah Tok Husain dan Tok Dahari

 

Apa itu kreatif? dari laman blog teman

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 12:40 am

 

Catatan ini diplagiat dari laman blog: http://syirfan.wordpress.com
Saya tertarik dengan isu ini. Justeru, mohon izin saudara Syirfan untuk perkongsian dengan tetamu di sanggar Jejak Mihrab & Mimbar ini…

 

Kata Syirfan

Kita sering melemparkan pujian pada “si anu” dan “si polan” – “dia tu kreatif lah!”.

Persoalannya, apa itu kreatif? Apa kayu ukur yang boleh kita katakan si anu itu kreatif dan si polan yang ini kurang kreatif? Sejauh mana kita melihat dan menilai sebuah idea, tindakan waima adi karya atau magnum opus  seseorang itu layak kita beri pujian atas nilai kreativitinya?

Ia mungkin satu pelarian bila saya beri jawapan – kreatif itu ialah mempunyai kebolehan mencipta, menghasil, dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli. Jawapan itu boleh saya petik dari Kamus Dewan yang pasti memberi definasi yang sungguh holistik.

Namun bila dikecilkan dan lebih fokus, jawapan itu kian meragukan. Ia masih tidak boleh menjawap persoalan lain yang berlegar dalam skop industri kreatif yang bertolak dari ketajaman intelektual, idea, orentasi dan landas pemikiran

Ini berlaku kerana nilai kreatif itu agak “mistikal” sifatnya. Ruang masa juga boleh mengubah nilai kreatif itu. Ia terlalu subjektif. Lantas, bagaimana kreatif itu dinilai? Rating, glamour, keuntungan yang bersifat kewangan atau sekadar pujian?

Malangnya, saya berkerja dan menyara keluarga saya dalam industri yang memohon nilai kreatif yang tinggi, namun saya tidak boleh memberi jawapan pada persoalan mudah teman yang baru saya kenali di dalam gerabak Komuter awal pagi tadi – “apa itu kreatif dari sudut pandang seorang penerbit seperti awak?” 

Diam. Gerabak meluncur laju.

 

Kata Saya

Salaam…
Sekadar perkongsian pandangan (secara peribadi). Dalam isu ini, kita bekukan seketika definisi kreatif secara teorinya berdasarkan pandangan ahli falsafah seni.

Berbicara soal apa itu ‘kreatif’ saya fikir subjektif sifatnya lantaran luas cakupannya. Kreatif dari aspek apa? Penilaiannya pula berdasarkan kriteria yang bagaimana? Apakah label kreatif ini hanya boleh digunapakai oleh golongan bekerjaya atau terbatas pada mereka yang berlatarbelakang bidang senilukis dan senireka? Bagaimana pula dengan golongan surirumah yang menumpukan sepenuh perhatian menguruskan tugasan harian (mengasuh anak, memasak, mengemas dan sebagainya)? Bagi surirumah yang berfikiran kreatif, kelebihan tersebut pasti diaplikasi dalam kehidupan seharian…cara mereka berfikir untuk “melekakan” anak-anak, cara mempelbagaikan masakan/ menghias hidangan untuk menarik perhatian anak-anak yang tiada/kurang berselera menjadi lebih berselera, serta cara menampilkan kelainan dalam gubahan di sudut ruang tamu, bilik tidur, halaman agar rumah kelihatan indah dan ceria. Ini semua boleh dianggap sebagai kreatif…termasuk dalam lingkungan nilai kreatif yang luas cakupannya. Tidak perlu modal yang besar untuk bergelar atau dilabelkan sebagai kreatif. Mereka yang punya idea kreatif umpamanya mampu mencipta sesuatu yang baru, mengubahsuai apa yang sedia ada dan sebagainya sehinggakan apabila “tiada rotan akar pun berguna.” Daya kreativiti ini sudah tentunya lahir dari pemikiran yang kritis.

Bagi saya sendiri yang pernah bergelar guru pendidikan seni visual, istilah kreatif ini lebih merujuk kepada daya kreativiti murid dalam menghasilkan olahan idea. Secara mudahnya, lukiskan rupa bulat di papan putih dan minta murid-murid melakarkan apa jua bentuk objek berdasarkan rupa bulat tadi. Setiap murid akan menghasilkan bentuk yang berbeza. Mungkin ada di antara mereka menghasilkan objek yang sama, namun berbeza lakarannya. Bentuk bola walaupun bulat tetapi dihasilkan lain jenisnya oleh murid A dengan murid B atau C. Jumlah penghasilan juga pasti berbeza…ada yang hanya mampu melakarkan 3, 5, 9, 15 atau mungkin ada yang masih menggerakkan jari jemarinya menghasilkan lakaran tatkala guru menamatkan sesi pembelajaran.

Kreatif 1 patah perkataan dengan 2 suku kata. Satu istilah tetapi mempunyai tafsiran yang berbeza. Nak mengaitkannya dengan satu-satu perkara pula berangkai-rangkai sehingga saya memutuskan untuk berhenti dari memetik huruf-huruf pada papan kekunci. Sehingga ke akhir catatan, saya juga sukar untuk menemukan takrifan kreatif. Justeru, kesimpulannya…tiada limitasi dalam melabelkan kreatif.

 

Apa pula kata Anda???

28/07/2010

Acheh Dalam Kenangan

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 1:02 am

 

Saya baru lepas membaca semula catatan Liku-Liku Perjalanan yang difailkan di bawah Jejak Mihrab Acheh: Siri 2. Entah mengapa secara tiba-tiba saya terkenangkan ujian yang dilalui 9 bulan lalu semasa menjalankan kajian lapangan. Rasanya tidak perlulah saya mengulang semula liku-liku perjalanan yang dilalui kerana catatan tersebut telah pun dikongsi dalam tajuk yang saya nyatakan di atas.

Saat saya sedang duduk dalam keadaan selesa menghadap skrin pc sambil jari jemari ini menaip catatan ini, saat itu juga satu persatu imbasan kenangan menjejak masjid-masjid tua di Bumi Serambi Mekah menerjah di kotak fikiran. Saya mula terkenang akan situasi yang mana dihadirkan pelbagai ujian. Memang tidak dinafikan perasaan resah bersarang di jiwa saat melalui ujian di sepanjang laluan pada hari pertama perjalanan.

 

Runtuhan tanah

 

Menyeberang sungai dengan rakit kayu

 

Tayar terbenam di pesisir pantai yang lengang

 

Dimulai dengan runtuhan tanah di lereng gunung, menyeberang sungai dengan menaiki rakit kayu tanpa jaket keselamatan, tayar terbenam sebanyak 2 kali di pesisir pantai yang lengang dan tersesat jalan di lereng pergunungan sehingga terpaksa berpatah semula ke belakang. Ia bukanlah lebuhraya seperti di negara kita yang mempunyai papan peraga (sign board) yang tertera nama lokasi untuk memudahkan jejak pencarian tempat yang ingin dikunjungi. Adakalanya, apabila melalui satu persimpangan…pemandu kami hanya mengikut gerak hati. Sesekali tersasar jua dan kesudahannya terpaksa berpatah semula. Walaupun telah beberapa kali melalui pengalaman meredah laluan yang sama, namun pemandu tersebut mengakui agak sukar untuk mengingati jalan terutamanya apabila tiba di satu persimpangan.

 

Jalan bersimpang siur

 

Jambatan keluli sebagai penghubung alternatif

 

Untuk pengetahuan tetamu semua, laluan sepanjang perjalanan dari Banda Aceh menuju ke Kluet Utara di Bahagian Acheh Selatan perlu melalui Lamno dan Calang yang mana keadaan permukaan jalannya berbatu, bersimpang siur dan sesekali melalui jalan tanah merah yang berlopak. Bencana tsunami telah menyebabkan rata-rata daripada jalan perhubungan darat rosak binasa. Justeru, tiada pilihan lain selain melalui laluan alternatif yang tidak sempurna…tidak berturap. Malah sepanjang perjalanan, tidak kurang dari 5 buah jambatan sementara (atau mungkin juga dalam tempoh yang lama) dilalui.

 

Pesisir pantai yang dilalui

 

Ujian tersebut semuanya ditempuhi dalam masa sehari perjalanan. Malah, ujian kebimbangan yang lebih hebat lagi hadir beberapa hari kemudian saat team Jejak Mihrab dikhabarkan tentang tragedi gempa di Padang. Ketika itu team kami sedang melalui pesisir pantai Meulaboh yang merupakan kawasan terparah tsunami yang berlaku hampir 6 tahun lalu. Gegaran gempa di Padang turut dirasakan oleh penduduk di wilayah Acheh. Namun, saya dan team Jejak Mihrab tidak terasa akan gegaran tersebut kerana ketika itu kami berada di atas pacuan 4 roda yang bergerak di atas laluan berbatu.

 

Jalan berlopak dan berbecak

 

Runtuhan bongkah batu di lereng gunung

 

Melalui 7 hari perjalanan dalam Jejak Mihrab Acheh: Siri 2 yang mana 5 hari perjalanan di beberapa bahagian wilayah di Acheh dan baki 2 hari di Medan amat memenatkan. Bangun sekitar jam 6.00-6.30 pagi, bersarapan dan melangkah masuk ke dalam kenderaan…melalui perjalanan jarak jauh dengan keadaan permukaan jalan yang tidak rata, melalui lereng-lereng bukit dan gunung yang sempit, meredah becak lantaran terpaksa melalui laluan alternatif dan sebagainya. Namun, ia bukanlah alasan untuk saya berundur ke belakang… sebaliknya semakin tabah mengharunginya. Sepanjang 5 hari  menjejak masjid tua di wilayah Acheh, penat anggota badan bukan kepalang… masa tidur terpaksa dikorbankan demi menyempurnakan tugasan. Sesi lelap mata pula dimulai pada jam 3 pagi setiap hari. Ini bermakna saya dan ahli yang lain hanya dapat lena kurang 4 jam setiap hari. Memang merana biji mata…tapi dek kerana memikirkan kajian ini bukan dijalankan di sekitar Kuala Lumpur atau mana-mana lokasi dalam Semenanjung yang boleh dikunjungi beberapa kali…sebaliknya di seberang lautan dalam jarak dari satu lokasi ke satu lokasi memakan masa berjam-jam lamanya, jadi apalah salahnya ketepikan soal tak cukup tidur, tak cukup selesa dan seumpamanya. 

Baiklah…alang-alang dah berkongsi catatan perjalanan serba ringkas, saya ingin kongsikan pula lokasi masjid-masjid tua yang dikunjungi semasa menjalankan kajian lapangan dari perjalanan hari per-1 hingga hari ke-7.

Perjalanan hari per-1
Dimulai dengan menjejak Masjid Sabang di Acheh Jaya yang merupakan satu-satunya masjid tua yang dikunjungi pada hari pertama. Apa tidaknya, perjalanan ke Sabang memakan masa yang panjang selain kekangan masa kerana pelbagai ujian yang hadir pada hari tersebut. 

Perjalanan hari ke-2
Bertolak ke Meukek di bahagian Aceh Selatan dalam siri jejak masjid At-Taqwa di Desa Ie Dingen (Air Dingin).  Team kami kemudiannya menuju ke Masjid Istiqamah di Desa Kuta Buloh II, Blang Kuala dan berpatah semula ke Meukek untuk menjejak Masjid Labuhan Tarok. Tinjauan berikutnya ke Masjid Sawang sebelum team kami melalui Tapak Tuan meneruskan perjalanan ke Masjid Pulo Kameng (Pulau Kambing) di Kluet Utara, Acheh Selatan.

Perjalanan hari ke-3
Masjid pertama yang dikunjungi adalah Masjid Shuhada di Panton Reu, Acheh Barat. Dalam perjalanan melalui lereng gunung, saya dan ahli yang lain singgah berziarah ke Kubu Aneuk Manyak:1935 (Kuburan Anak Kecil) di Geumpang, Pidie. Seterusnya, menjejak Masjid Teupin Raya di Glumpang Tiga, Pidie. Hampir masuk waktu solat maghrib kami tiba di Masjid Baitul Abraar Nyong di Bandar Baru, Pidie Jaya sebelum meneruskan perjalanan ke Masjid Tgk. Di Pucok di Meureudu, Pidie. Lokasi berikutnya adalah Masjid Kuta Batee (Kota Batu)  di Meureudu sebelum ke Masjid Madinah di Meurah Dua di Pidie Jaya.

Perjalanan hari ke-4
Siri kunjungan ke Rumah Adat Tgk. Chik Awe Guetah di Peusangan, Bireuen. Lokasi seterusnya sesi berziarah ke kompleks makam Sultan Malikussalleh dan kompleks makam Ratu Nahrisyah di Samudera (Pasai) Acheh Utara. Masjid Kampung Blang di Simpang Ulim, Acheh Timur adalah lokasi akhir kunjungan pada hari ke-4.

Perjalanan hari ke-5
Hanya sebuah masjid dikunjungi iaitu Masjid Baiturrahim di Desa Tualang, Perlak, bahagian Acheh Timur sebelum team kami meneruskan perjalanan melalui Langsa menghala ke Medan.

Perjalanan hari ke-6
Hari ke-6 adalah masa bersantai setelah berpenat lelah selama 5 hari di lapangan. Namun, saya telah hadir ke majlis resepsi perkahwinan bagi memenuhi jemputan waris di Binjai.

Perjalanan hari ke-7
Siri kunjungan ke Masjid Raya Al-Mashun di Medan sebelum sesi lawatan peribadi ke Istana Maimoen yang terletak tidak jauh dari lokasi Masjid Raya. Pada sebelah petang, berangkat pulang dari Lapangan Terbang Polonia ke LCCT Kuala Lumpur.

 

Penghargaan
Terima kasih yang tidak terhingga kepada Saudara Wahyudi, Arifin dan Iskandar Muda (Ismud) dari Yayasan Restu Aceh (berpusat di Masjid Raya Baiturrahman) yang turut serta dalam siri kembara menjejak mihrab masjid tua.

 

Sekian sahaja paparan buat perkongsian tetamu yang sudi membaca dari baris pertama sehinggalah ke noktah akhir catatan saya. Acheh Dalam Kenangan walaupun penuh dengan liku-liku perjalanan sebagai ujian, namun di dalamnya terakam pengalaman paling berharga dalam episod kehidupan Si Penjejak Mihrab dan Mimbar.

Saya rindu akan situasi dilalui sepanjang mengharungi Liku-Liku Perjalanan… = )

 

18/07/2010

Di Sebalik Daun Pintu 33

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 10:41 am

 

Tarikh : 23 Jun 2010
Lokasi : Bilik 33, Aras 2 (Daun Pintu ke-3 dari hujung blok)

  

Fakulti Seni dan Muzik: 2 Kembar Tak Seiras

Jika dahulu dua fakulti (Seni dan Muzik) pernah bernaung di bawah satu bumbung. Kini 2 fakulti yang pernah lahir berkembar tapi tak seiras ini telah berpecah kepada 2 bahagian. Fakulti Muzik masih kekal pentadbirannya di bangunan asal manakala Fakulti Seni telah berpindah ke bangunan Malim Sarjana yang berjiran dengan blok Institut Pengajian Siswazah (IPS) ekoran penstrukturan semula. Fakulti Seni ini dikenali dengan nama barunya iaitu Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif. Untuk pengetahuan semua, ini adalah perpindahan kali ke-3 Fakulti Seni sepanjang usianya di UPSI.

Apa kaitannya kisah fakulti dengan tajuk Di Sebalik Daun Pintu 33? Moh! saya bawa tetamu semua menjengah di sebalik daun pintu 33 yang akan dibuka, akhirnya tetamu semua akan menemukan kaitannya setelah menelusuri cerita saya…

 

Laluan menuju ke bilik 33

Bilik bernombor 33 ini terletak di aras 2 bangunan Fakulti Muzik sekarang. Bilik saya ini terletak di kedudukan 3 dari hujung. Ini bermakna bilik 33 ini berjiran dengan 2 lagi bilik di sisi kanan yang mana bilik paling kanan bernombor 35 (paling hujung) adalah jiran paling akrab dengan saya. Bilik tengah (no. 34) kedudukannya di antara bilik 33 dengan bilik jiran akrab tadi. Ia adalah bilik kosong yang tidak berpenghuni. Siapakah jiran akrab yang dimaksudkan tadi? Teruskan pembacaan santai ini… =)

 

Tanpa mereka ber-3, bilik 33 tak ceria

Merekalah gerangan jiran paling akrab yang saya maksudkan tadi. Di sebabkan khidmat mereka, maka bilik 33 ini sentiasa berada dalam keadaan selesa pada pandangan mata. Sawang dan debu baik di permukaan carpet, meja, tingkap hinggalah ke daun pintu dibersihkan dengan sempurna.  Kak Sal, Devi dan Letchumi (salah seorang terlindung di sebalik kakitangan lelaki yang sedang berdiri)…3 sekawan yang ringan tulang sentiasa memberikan kerjasama apabila diperlukan. Tanpa mereka, fakulti ini pasti kelihatan tidak sempurna dan selesa di mata penghuninya. Terima kasih kepada kakak-kakak semua…

  

Warna kontra di luar jendela

Duduk di kerusi bilik 33…sesekali menoleh ke sisi kanan. Nikmati keindahan alam di luar jendela kaca. Lukisan alam diterjemahkan oleh Maha Pencipta untuk sekalian makhluk di dunia menghayati dengan kurniaan pancaindera. Hijau tumbuhan dan merah bata bumbung bangunan mewujudkan warna kontra pada pandangan. 2 Kombinasi warna sejuk dan panas bergabung dipayungi warna ke-3 iaitu kepulan-kepulan awan dengan tona putih kebiruan.

 

Si Hijau & Merah: 2 Sekawan Ceria

Ini hanya pen hiasan…”Wahai 2 sekawan, dengarkan pesanan ini buat ingatan. Ku tingggalkan kalian di permukaan meja dengan harapan agar kalian dapat menjaga segala isi dan rahsia di sebalik daun pintu bilik 33.”

 

 

Fail Hijau Pucuk Pisang

Fail istimewa…3 tahun usianya. Apa yang ada di sebalik kulit keras dihiasi penanda arah Qiblah? Di dalamnya terkandung himpunan simbol-simbol motif arabes sebagai rujukan Si Penjejak Mihrab dan Mimbar.

  

 
 

Moga kekal di bilik 33

Rasanya cukup setakat ini sahaja paparan secara santai buat tatapan tetamu sekalian. Apa yang saya harapkan…mudah-mudahan saya dapat kekal menjadi penghuni di bilik 33 ini walaupun Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif telah berpindah ke bangunan baru. Hal demikian kerana, 2 orang pensyarah pembimbing saya (Prof. Dr. Zakaria Ali & Dr. Ahmad Suhaimi Mohd Noor) masih kekal bilik mereka di aras 1 Fakulti Muzik. Ia akan memudahkan saya membuat pertemuan bagi menjalankan diskusi berkaitan penelitian selain tugasan baru selaku pembantu penyelidik (RA) di bawah seliaan mereka nanti. Itulah perkaitan yang ingin saya nyatakan pada coretan kali ini…Luahan penghuni bilik 33…

 

Rahsia Angka

Mata saya lebih peka kepada jenis garisan, rupa, bentuk, jalinan, warna dan ruang yang ada di sekeliling berbanding bab angka-angka. Maklumlah, selaku pengguna otak kanan saya lebih cenderung dan memberi tumpuan pada seni visual dan bahasa. Namun, rahsia di sebalik angka-angka ini baru diteroka. Ilmu yang baru disedari melalui pembacaan dari sebuah laman blog yang penulisnya seorang lulusan matematik dari Lond0n.

Izinkan saya menutup semula daun pintu 33 sebelum menutup cerita.

13/07/2010

Pembentangan Proposal Ph.D (Program Seni)

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 2:37 pm

 

Tarikh    : 12 Julai 2010
Masa     : 2.00 – 4.30 petang
Tempat : Bilik PASCA (Bengkel Seni A),
                 Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, UPSI

 

Petang semalam saya telah menghadiri sesi pembentangan proposal program Doktor Falsafah Seni di Bilik PASCA (Bengkel Seni A). Kehadiran adalah diwajibkan, justeru saya hadir dalam majlis ilmiah ini sebagai pemerhati. Sebenarnya saya telah dihubungi oleh pihak fakulti beberapa minggu sebelumnya…soalan yang diajukan, “Apakah saudari telah bersedia untuk membuat pembentangan pada 12 Julai?” Secara jujur saya belum bersedia lalu jawapan diberi ringkas sahaja, “Belum bersedia.” Pembentangan per-1 telah dilalui Ogos tahun lalu, namun saya perlu membuat pemurnian semula isi kandungan proposal sebelum berhadapan pembentangan ke-2. Jelaslah bahawa saya perlu membuat persediaan lebih terperinci dan teliti bukan membuta tuli. Jadi, pembentangan akan datang sasarannya sebelum penghujung Oktober depan…insyaAllah. Mudah-mudahan dipermudahkan laluan apabila tiba masanya kelak…

 

Pembentang pada kali ini ialah Saudara Ariffin Mohd Ismail, seorang pensyarah di Fakulti Senilukis dan Senireka,  UiTM Melaka. Beliau melalui sesi pembentangan dengan gaya pengucapan dan ekspresi wajah yang bersahaja. Lenggok tubuhnya pula nampak selesa, tidaklah nampak tegang urat sarafnya di mata khalayak yang hadir. Hmmm…sekiranya saya berada di tempat duduknya, keadaan tersebut jauh berbeza dengan saya yang agak gelabah kerana darah gemuruh yang berada pada tahap kritikal… =)

 

 

Dua karya Saudara Ariffin iaitu arca The Symbiosis (foto atas) dan The Cosmos (foto bawah)

 

Sesi yang mendebarkan telah bermula (sesi kemuncak pembentangan)… Ahli Panel Luar dan Panel Dalaman mula melontarkan pandangan hasil pembentangan. Bersedialah ‘buka pintu hati’ untuk menerima ulasan secara lisan…kemudian akan menyusul pula laporan dalam bentuk tulisan. Bagi mereka yang ‘lepas’…syukur alhamdulillah. Bagi mereka yang ‘tak lepas’ jangan kecewa dan berputus asa sebaliknya perlu buat pemurnian semula seterusnya bersedia untuk pembentangan kali ke-2 atau ke-3.  Tapi apa yang diharapkan adalah, ahli panel dapat pertimbangkan supaya tidak wujud pembentangan selepas kali ke-3. Bukan apa, bimbang pelajarnya ghaib membawa diri lalu menyepi. Akhirnya yang tinggal hanya penyelia pembimbing bersama lembaran-lembaran proposal yang ‘tak lepas’ tadi.

 

 

 

Tiga foto di atas adalah aksi Ahli Panel Luar ketika mengutarakan pandangan…Saya sebenarnya nak rakam video, tapi entah macam mana gayanya…tersilap tekan punat kamera. Rupa-rupanya yang saya rakam hanyalah foto biasa. Agak-agak apalah bentuk komen yang dilontarkan ya? Buat andaian sendiri berdasarkan pergerakan tangan ahli panel tersebut. Daripada kedudukan tangan di bawah yang sedang memegang kertas (foto atas), sedikit demi sedikit diangkat ke paras dada (foto tengah) lalu dengan pantas tangan tadi sudah berada tinggi…lebih tinggi dari aras kepala seperti ingin mencangkuk sesuatu bak kepala tedung selar lagaknya (foto bawah). Namun aksi patukan tersebut tidaklah menggentarkan…buktinya, lihat sahaja aksi dan ekspresi tenang di wajah Dr. Nasir Ibrahim (Timbalan Dekan Penyelidikan dan Siswazah) yang duduk di sisi kiri ahli panel tersebut.

 

Curi-curi rakam foto Prof Dr. Zakaria Ali (kanan)…penyelia pembimbing saya sepanjang 3 tahun pengajian (Dis 2008 -Dis 2011…InsyaAllah). Ada seorang lagi penyelia iaitu Dr. Ahmad Suhaimi Mohd Noor…kebetulan tidak hadir atas sebab-sebab tertentu. Prof ‘Z’ (panggilan ringkas Prof Dr. Zakaria Ali) adalah ahli panel dalaman dalam sesi pembentangan ini. Sesekali saya lihat Prof Z tertinjau-tinjau…pasti mencari-cari kelibat Si Penjejak Mihrab dan Mimbar. Sama ada hadir atau tidak dalam sesi pembentangan proposal ini. =)

 

09/07/2010

Singgah Sebentar di http://kavkaz-asadullah.blogspot.com

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 2:42 am

 

Sudah lama saya tidak berYM dengan adik bongsu, tiba-tiba terasa seperti dia ada di ruang chat box (YM). Jadi, saya pun sign in sekitar jam 1.30 pagi  (1 jam sebelum waktu post ini dimuatkan dalam sanggar Catatan Penulis) memang sah dia sedang online. Saya pun menyapa dan dia membalas…dan kami pun menjalankan sesi impal balas lebih setengah jam. Saling bertanya khabar antara satu sama lain. Maklumlah…lagi 2 bulan genaplah 1 tahun dia di Bumi Mesir. Ada lagi baki 5 tahun ke hadapan untuk dia menamatkan bidang perubatan. Panjang lagi tempoh pengajian adik…mudah-mudahan dia tekun, gigih dan tabah melaluinya.

Dia baru lepas berbuka puasa dan bersolat maghrib ketika saya menyapa…Saya bertanya, “Bagaimana dengan exam, dah habis ke?” Katanya last paper sabtu ni. Saya sempat berpesan, “Nak exam, jangan melagha depan pc?” Rupanya dalam keadaan yang masih kekenyangan dia sedang menjengah laman blognya. Dia lebih lama mewujudkan laman blog berbanding kakaknya ini. Saya sebenarnya dah lama tak bertandang ke blog adik bongsu ni…lebih 6 bulan rasanya. Nama blog dia pun saya tak ingat. Entah mengapa masa sedang berbual-bual spontan saya bertanya tentang perkembangan blognya dan secara spontan juga saya minta dia linkkan blog saya ke blognya dan pada masa sama saya juga berbuat perkara yang sama.

Tanpa melengahkan masa…saya pun bertandanglah ke laman blog adik. Berwajah baru nampaknya…sempat saya komen beberapa perkara tentang pemilihan tema blognya (sebab masa tu masih berbual-bual di chat box blog adik). Saya sarankan warna latar hitam perlu diubah ke warna lebih cerah (putih atau warna pastel sebaik-baiknya). Hitam warna ‘mati’ yang dapat memberi gangguan dan mewujudkan rasa tidak selesa pada pandangan. Saya beri kata dua sebagai pilihan (bukan desakan, sekadar saranan berdasarkan ilmu dalam bidang seni visual yang dipelajari), sama ada tukar warna latar atau jika ingin kekalkan, tukar warna tulisan kepada warna lebih cerah (putih sebaik-baiknya) dan besarkan saiz tulisan. Rasionalnya nanti lebih mesra pembaca. Gangguan visual dapat membuatkan pengunjung blog kurang selesa untuk meneruskan pembacaan dan akhirnya mereka akan lebih memberi tumpuan terhadap paparan foto berbanding input yang diketengahkan. Adalah lebih baik teks mudah dibaca daripada menekankan aspek kepuasan peribadi dan nilai keindahan semata-mata.

Baiklah…selesai memberi beberapa komen secara bertulis di ruang chat box, saya pun membaca sepintas lalu hasil penulisan adik. Catatan di bawah ini saya copy dan paste daripada laman blognya. Catatan ini mengundang reaksi positif saya…lalu ingin saya kongsikan di ruang sanggar jejak mihrab & mimbar. Mungkin isinya yang menyentuh adat dan budaya bangsa Arab mengundang perhatian saya.

Inilah catatan yang telah saya copy dan paste tanpa sebarang pindaan sebaliknya diplagiat bulat-bulat…

 

talaqi ngan syeikh Thursday, April 29, 2010

~Bismillahirrahmanirrahim~
…”tok, tok, tok” dengan agak perlahan penulis mengetuk pintu sebuah rumah flat di kawasan hayyu sabi’, tapi, xde respon. Penulis kemudian ketuk dengan agak kuat sedikit berbanding td, teringat penulis sewaktu di hira’ dulu, ketuk pintu jgn lebih tiga kali, dah tiga kali kena tggu selama 2 rakaat. malas nk tggu lama. xD

kemudian keluar seorang arab umur lingkungan 25 tahun berbaju kemeja, ” na’am? “* (iye?) katanya.

“hal..henaa, ermm, markaz quran?” kataku, “ah?” kata arab tu kepelikan apela dak cine ni ckp xD

“errr..err, ana a’iz ata’allam Al-Qur’an hena” *(saya nk belajar quran kat sini) dengan tergagap-gagap sambil dalam kepala tgh bina ayat dalam base arab yang lebih dramatik.

“oohh, na’am, ta’al..ta’al..*(oohh , iye , sile²..)

skrg ni genaplah sebulan penulis bertalaqi dgn bersanad dengan syeikh ahmad di sabi’, mmg seronok bila dapat baca dengan syeikh ahmad, mmg syadid, silap tajwid, makhraj, tau² je dea. lagi² mmg penulis baca dengan dea sorg aje. sebab sebaik habis kuliah pkul 2p.m, trus ke sini. sampai² sini plk, students kat sini plk dah balik.

tapi, sebelum baca quran dengan syeikh ahmad, dea akan ajar penulis bahasa turkey, in return, penulis plk kna ajar dea english. jadi, 4 bahasa kami berdua guna, kdg² turkey, melayu, arab n english.

bila baca quran dengan sheikh ahmad, dea akan betulkan makhraj penulis, tp bila english, saya akan betulkan makhraj syeikh, tergelak sheikh bila penulis ckp mcmtu dkt dia. untuk pengetahuan, arab ni xboleh sebut (P), bila sebut (P), dia akan jd (B), sebab, dalam jawi arab ni, mana ada huruf (pa), jadi, bila sebut “pepsi”, jadi “bibsi” sebut problem jadi brublem.

satu lg, adat arab ni memuliakan tetamu, kalau dea nak hidang makanan, dea akan hidangkan kibas, atau kambeng biri², itu kira makanan untuk memuliakan tetamu, kalau xde, nti dea malu. lain dengan melayu, karipap hari semalam punya pun jdla.. xD

minggu lepas syeikh belanja makan, syeikh kata “makan dulu baru bace quran” kami makan batotis, roti aish, keju, dan amende ntah lg yg penulis pn xtau, syeikh kata, biasanya syeikh hidang kambeng, tp arini makan mkanan tempatan aje, dea rasa malu. nak jaga hati, penulis dengan muka semangat kata. “haza lazizz”
(sedap ni) xD

adat org arab, makan kena bagi habis, kalau tetamu xhabiskan aib kpda tuan rumah, jadi, penulis dengan muka yg agak terseksa terpaksa habiskan makanan.. xD

selesai makan, adat melayu, kita kemas² kan, kalau adat arab ni, xbg dea, aib jgk. mcm² adat arab ni kena faham, kalau x nti hati mreka tersinggung. lg² kalau tu syeikh kita. hermm.

skrg ni pnulis tgh praktik ckp bahasa turkey, tahun ni ingat xnak balik m’sia, nak g turkey, tp..ntahla, rasa nak balik pun ada. (xbalik 60:40 balik)

sebenarnya ada banyak nak taruk gambar, tp nanti2 lah edit post ni.

“Juallah dunia engkau dengan Akhirat engkau, nanti engkau akan memperolehi keuntungan bagi keduanya serentak; dan janganlah engkau menjual Akhirat engkau dengan dunia engkau, nanti dia merugikan engkau bagi keduanya serentak.”

~allah mengetahui yang lebih baik

 

 Selepas menggerodek foto-foto dalam simpanan…akhirnya terjumpa foto adik
Foto kenangan masa bawa mereka bercuti semester, Dis. 2008
Foto dirakam sekitar Batu Sangkar, Sumatera Barat

Kiri: Si Pengarang “talaqi ngan syeikh” (Adinda ke-9: bongsu)
Kanan: Nurul Idayu (Adinda ke-8)


05/07/2010

Buka Kulit Ambil Isi…

Filed under: Catatan Penulis — Harleny Abd Arif @ 9:58 pm

 

Kamus Bahasa Melayu Klasik paling tua usianya... dibeli 12 tahun yang lalu

 

Mukadimah 

Siang tadi saya singgah di kedai alat tulis dengan tujuan untuk membeli dakwat berwarna mesin pencetak (printer) komputer. Semasa mata melilau-lilau, lalu terpandang 2 buah buku Kamus Peribahasa dan Kamus Simpulan Bahasa di rak buku bersebelahan kaunter bayaran. Dalam hati mula berkata, “Ada baiknya beli 2 buah buku ini buat pelengkap Kamus Bahasa Melayu Klasik yang hampir lusuh kulit luarnya.” Saya amat tertarik dengan bahasa Melayu klasik seperti mana tertariknya saya menjejak khazanah lama di alam Melayu. Hal demikian kerana kedua-duanya adalah khazanah budaya yang dapat mencerminkan identiti bangsa. Cara memartabatkan bahasa, gunapakailah istilah peribahasa dan simpulan bahasa dalam pertuturan seharian kita…Indahnya bahasa Melayu lama ini kerana ia adalah perumpamaan yang memancarkan intipati falsafah dan corak pemikiran masyarakat Melayu lama. Penciptaannya bukan sekadar punya makna tersirat tetapi diucapkan penuh adab dan kesantunan bilamana segala teguran (pujian atau sindiran) dilafazkan secara kiasan.

 

Kisah Mesin Pencetak Komputer

Sudah hampir seminggu mesin tersebut tidak meneruskan tugas rutinnya mencetak catatan tidak formal mahupun laporan hasil tinjauan di lapangan. Mesin pencetak jenama canon kelihatan uzur…sudah mencecah 4 tahun usianya. Sejak kebelakangan ni bermacam ragam yang dibuatnya. Apakah ia patut dilupuskan atau saya perlu menunggu sehingga ia sembuh sepenuhnya. Pernah juga ia buat hal sebelumnya, tetapi tidaklah lama…cuma kali ini ia meragam tak tentu hala sampai saya naik geram dibuatnya. Ia benar-benar menguji tahap kesabaran saya… si tuan empunya mesin tua.

Sebelum kamu yang bernama mesin pencetak (nama glamer printer) saya lupuskan…mari sini saya sampaikan luahan hati agar kamu mengerti bahawa saya bukannya berniat membuang kamu sesuka hati…

 

Apakah kamu tahu wahai mesin pencetak
Kertas yang dicetak oleh kamu semakin lama
biang biut seperti ular kena palu
 

Aku mengerti itu lumrah alam
kerana menyedari tiada satupun di dunia ini

laksana batik lasam

 

Terimalah hakikat…
Dahulu permata sekarang kaca
Dahulu intan sekarang jadi batu belanda
 

Nafas kamu ibarat
Sehembus naik, sehembus turun
Hayat kamu ibarat
Selompat hidup, selompat mati
 Justeru, izinkan aku mencari pengganti

 

p/s: Saya cuba mengaplikasikan peribahasa dan simpulan bahasa masyarakat Melayu lama dalam kisah Mesin Pencetak ini…Dua buah buku yang saya beli siang tadi isi dalamnya telah mencuri hati sehingga tercetusnya ilham menghasilkan catatan Buka Kulit Ambil Isi…

 

 

Laman Berikutnya »

Blog di WordPress.com.