Jejak Mihrab & Mimbar

16/10/2010

Jejak Mihrab & Mimbar Berwajah Baru!

Filed under: Hebahan — Harleny Abd Arif @ 12:01 am

 

 

ASSALAMUALAIKUM

Kepada semua tetamu yang sering ataupun jarang-jarang bertandang, mahupun yang tanpa sengaja singgah lalu menjengah…

Dengan sukacitanya, saya ingin membuat hebahan kepada tetamu yang dihormati bahawa saya selaku Tuan Punya Blog Jejak Mihrab & Mimbar ini akan berpindah ke rumah baru. Rumah lama yang sedia ada ini (http://www.jejakmihrabmimbar.wordpress.com) bakal saya tinggalkan tanpa melupuskan segala harta berupa teks bertulis dan foto yang ada. Biarlah segala harta yang saya tinggalkan menjadi khazanah berharga yang kekal tersimpan di dalamnya.

Untuk makluman, rumah baru yang akan saya duduki nanti telah ditaja selama 1 tahun yang mana sewanya telah dilunaskan oleh saudara Sangilapi dari blog http://rezekimurah.com . Segala urusan perpindahan ke rumah baru beralamat di http://jejakmihrabmimbar.com pula telah dibantu oleh saudara Mijie dari blog http://muhammadtarmizi.com . Terima kasih yang tidak terhingga kepada kalian berdua.

Perpindahan saya ini diibaratkan seperti “cuci kaki” kerana semua keperluan telah tersedia di hadapan mata. Aktiviti harian di rumah baru akan berjalan seperti biasa. Cuma bulan pertama menjejakkan kaki ke tempat baru pastinya perjalanan aktiviti bergerak perlahan lantaran proses penyesuaian.  

Terima kasih juga kepada semua tetamu yang sudi meluangkan masa melayari info di dalam sanggar ini.

Entri baru akan dimuatkan dalam  http://jejakmihrabmimbar.com 

 

25/09/2010

Sumbangan Amal Rumah Kebajikan Dayah Nurul Huda

Filed under: Hebahan — Harleny Abd Arif @ 4:42 pm
 
 
Kebetulan hari ini saya terfikir untuk membuat hebahan tentang sumbangan amal di dalam sanggar ini. Justeru, pada catatan kali ini saya kongsikan paparan foto kunjungan ke rumah anak-anak yatim dan fakir miskin Dayah Nurul Huda dalam 3 siri tinjauan terdahulu. Dayah Nurul Huda ini terletak di desa Ajee Cut, Ingin Jaya, Aceh Besar. Sesi ziarah sambil beramal ini adalah agenda peribadi. Walaupun ianya program sampingan yang tiada dalam jadual kajian, namun rumah kebajikan ini adalah lokasi pertama kunjungan sebaik menjejakkan kaki ke lapangan terbang Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh.
 
Pada 3 tinjauan terdahulu (Jun 2009, September 2009 dan April 2010), saya hanya menghebahkan secara lisan kepada waris terdekat dan sahabat handai yang ingin menghulurkan sumbangan peribadi. Alhamdulillah, ada individu dermawan yang sudi menghulurkan sumbangan. Hasil kutipan kewangan yang diterima terus disampaikan ke tangan Tgk. Darmansyah Daud selaku pucuk pimpinan Dayah Nurul Huda. Tiada limitasi dalam menetapkan jumlah sumbangan. Sama ada banyak atau sedikit apa yang penting adalah pemberian seikhlas hati sebagai tanda simpati. 
 
InshaAllah, pada pertengahan atau selewat-lewatnya penghujung November hadapan saya akan terbang ke wilayah Acheh buat kali ke-4 bagi melengkapkan pengumpulan data di lapangan. Justeru, saya amat mengalu-alukan sumbangan amal seikhlas hati daripada mana-mana pihak atau individu yang berhajat menghulurkan sumbangan kewangan bagi disalurkan kepada rumah kebajikan Dayah Nurul Huda ini. Sumbangan berbentuk barangan bukan tidak diterima sebaliknya agak sukar untuk diuruskan kerana saya sendiri telah melalui pengalaman berhadapan kekangan pada 2 daripada 3 siri tinjauan terdahulu. Berat muatan barangan  kiriman (pakaian khususnya) yang dibawa sahaja mencecah ratusan ringgit nilai timbangannya.
 
Hanya kapsyen ringkas yang tertera di bawah foto paparan dalam catatan pada kali ini. Info lanjut, silalah jengah ke sanggar yang akan saya highlightkan dengan warna merah di bawah nanti . Mudah-mudahan kisah yang saya sifatkan ‘terkesan di lubuk hati’ dalam laman https://jejakmihrabmimbar.wordpress.com/2010/04/27/1894/ akan  menerbitkan keinsafan diri khalayak yang menghayati.

Dayah Nurul Huda

 

Bangunan Dayah Nurul Huda

  

 

SIRI KUNJUNGAN PER-1 (JUN 2009)

  

Foto 1: Siri Kunjungan Per-1

 

Foto 2: Siri Kunjungan Per-1

  

 

SIRI KUNJUNGAN KE-2 (SEPT. 2009)

 

Foto 1: Siri Kunjungan Ke-2

 

Foto 2: Siri Kunjungan Ke-2

  

 

SIRI KUNJUNGAN KE-3 (APRIL 2010)

 

Foto 1: Siri Kunjungan Ke-3

 

Foto 2: Siri Kunjungan Ke-3

 

Bagi mana-mana pihak atau individu yang berhajat memberi sumbangan mohon jasa baik untuk menghubungi talian 019-6972567  atau sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun 12-038-02-328220-1 (Bank Islam). 100% daripada hasil kutipan akan disalurkan terus ke tangan pucuk pimpinan Dayah Nurul Huda iaitu Tgk. Darmansyah Daud dalam siri kunjungan ke-4 akan datang. Mudah-mudahan sumbangan seikhlas hati daripada pihak saudara/saudari dapat meringankan beban saudara seagama kita di sana. Semoga ianya akan menjadi saham berkekalan sebagai bekalan menuju alam akhirat.

05/08/2010

Kunjungan Balas ke Tanah Bugis

Filed under: Hebahan — Harleny Abd Arif @ 1:09 am

 

 

Peta di atas memaparkan penghijrahan orang Bugis dari Tanah Sulawesi ke pelbagai ceruk rantau termasuklah ke Tanah Melayu. Sebagai kunjungan balas, saya pula akan menjejakkan kaki ke Tanah Sulawesi (Selatan). Misi pada kali ini bukanlah siri “jalan-jalan makan angin” sebaliknya adalah siri tinjauan peribadi ke lokasi masjid tua, rumah adat dan makam lama di sepanjang perjalanan dari Makassar ke Tana Toraja.

InsyaAllah…sekiranya ada ruang dan kesempatan, akan saya kongsikan rakaman perjalanan sepanjang 4 hari berada di sana (6 hingga 9 Ogos 2010). Mudah-mudahan perjalanan saya dalam menjejak 3 objek seperti tertera di atas di permudahkan laluannya…Amin.

Doakan saya… = )

 

26/04/2010

Jejak Mihrab Acheh: Siri 3

Filed under: Hebahan — Harleny Abd Arif @ 8:41 am

 

 

Assalamualaikum…

Penulis akan berangkat ke Nanggroe Aceh Darussalam pada jam 11.55 pagi ini untuk menjalankan kajian lapangan Jejak Mihrab dan Mimbar selain Jejak Salasilah (misi sambil menyelam minum air). Doakan segala urusan dan tugasan yang bakal dilalui penulis sepanjang berada di sana dipermudahkan oleh Allah S.W.T.

Terima kasih kerana sudi bertamu di sanggar www.jejakmihrabmimbar.wordpress.com. Ada ruang dan kesempatan, penulis akan memaparkan rakaman perjalanan sepanjang berada di sana. Sudi-sudilah menjengah sanggar ini nanti…

Mohon undur diri…Wassalam

 

29/03/2010

Pameran Lantera Seni 2010

Filed under: Hebahan — Harleny Abd Arif @ 4:06 pm

 

15/03/2010

Tinjauan

Filed under: Hebahan — Harleny Abd Arif @ 12:57 pm

 

Tarikh : 14 Mac 2010 – 18 Mac 2010 

Assalamualaikum kepada tetamu yang dihormati…

Penulis dan team Jejak Mihrab kini berada di daerah Tumpat, Kelantan. Pada 16 Mac 2010 (Selasa), lokasi tumpuan adalah di Masjid Kampung Pasir Pekan untuk merakam foto rekabentuk mimbar asal masjid Kampung Laut. Mimbar ini sebelumnya berada di Kampung Laut sebelum dipindahkan ke Nilampuri. Ianya kemudian dialih kedudukannya ke Masjid Al-Muhammadi sebelum dipindahkan ke Masjid Kampung Pasir Pekan.

Lokasi seterusnya  adalah menjejak mimbar dan melihat lebih dekat seni ukiran kayu tradisi masjid tua Wadi Al-Hussain di Kampung Teluk Manok, Patani, Thailand pada tanggal  17 Mac 2010 (Rabu).

Harap maklum. Terima kasih

 

08/03/2010

Assalamualaikum…

Filed under: Hebahan — Harleny Abd Arif @ 3:14 pm

 

Kepada tetamu yang dihormati…

Pintu sanggar jejakmihrabmimbar akan ditutup mulai 08 hingga 13 Mac 2010. Justeru, tiada sebarang catatan yang akan dipaparkan dalam sanggar ini sepanjang tarikh tersebut. Hal demikian kerana penulis perlu memberi tumpuan penuh bagi menyempurnakan karya catan Mihrab sempena Pameran Lantera Seni yang akan berlangsung pada 04 hingga 30 April depan bertempat di Galeri Shah Alam.

Sudi-sudilah berkunjung ke ruang pameran nanti…

Harap maklum. Terima kasih.

 

Create a free website or blog at WordPress.com.