Jejak Mihrab & Mimbar

24/09/2010

Makam Sheikh Yusuf di Gowa

Filed under: Kompleks Makam — Harleny Abd Arif @ 2:09 am

 

Tarikh: 07 Ogos 2010
Lokasi: Gowa, Sulawesi Selatan

 

Nama sebenar Sheikh Yusuf ialah Syekh al-Haj Yusuf bin Abdullah bin Abi Khairy al-Munjalawy al-Makassary. Almarhum lahir pada masa pemerintahan I Mangnga’rangi Daeng Manrabbiya Sultan Alauddin Raja Gowa ke XIV, 19 tahun setelah agama Islam menjadi agama rasmi kerajaan Gowa (Jumaat, 9 Nov 1607M). Almarhum adalah seorang Ulama, Sufi dan Pejuang Islam. Pernah hidup dalam buangan ke Cape Town dengan arahan penjajah Belanda. Di Cape Town dipandang mulia sebagai seorang yang mempunyai karamah sehingga makamnya dikenal sebagai makam keramat walaupun jasadnya telah dipindahkan ke Gowa. HAMKA, seorang tokoh dan sarjana Islam turut mengagumi almarhum termasuklah Nelson Mandela pernah mengeluarkan kenyatan memuji Syekh Yusuf sebagai “Putra Afrika, pejuang teladan kami” (Djamaluddin Aziz Paramma Dg. Djaga, 2007: 39)

 

Papan info ini terletak di bahagian kepala pintu menuju ke ruang dalam bangunan makam Sheikh Yusuf.

 

Makam dengan hiasan puncak seperti rekabentuk piramid ini terletak di sisi kanan kompleks makam Sheikh Yusuf.

 

Makam-makam lain yang terdapat di sekitar kompleks makam Sheikh Yusuf. Makam ini terletak di sisi kiri bertentangan dengan makam di atas.

 

Inilah makam Sheikh Yusuf yang kedudukannya bertentangan dengan pintu masuk. Keliling makam dipagar dengan besi yang bahagian atasnya dikelambukan kain kuning. 

 

Batu nesan Sheikh Yusuf dari jarak dekat. Dalam foto ini ialah jurukunci yang memegang kunci makam. Beliau merupakan waris keturunan almarhum Sheikh Yusuf.

 

Di sisi kiri makam Sheikh Yusuf pula adalah makam isterinya iaitu almarhum Siti Daeng Nisanga.

 

Keindahan seni ukiran hasil pahatan pengukir di bahagian hujung kaki makam Siti Daeng Nisanga. Ukiran ini terserlah dengan cat keemasan di permukaan batunya.

 

Mari kita lihat lebih dekat batu nesan milik Siti Daeng Nisanga…Nampaknya nesan ini juga dicat dengan warna hitam lalu dikilatkan permukaan batunya.

 

Advertisements

15/09/2010

Kompleks Makam Almarhum Sultan Abd Samad

Filed under: Kompleks Makam — Harleny Abd Arif @ 11:35 pm

 

Tarikh: 22 Ogos 2010
Lokasi: Kompleks Makam Sultan Abd Samad, Banting

 

Sesi ziarah ke kompleks makam ini tiada dalam perancangan sebelum saya melangkahkan kaki keluar dari rumah. Semasa kenderaan bergerak barulah saya memikirkan ke mana arah hendak dituju pada hari tersebut. Lalu keputusan pun diambil untuk meneruskan perjalanan ke Jugra, Banting untuk membuat tinjauan ke atas senibina Masjid Alaeddin. Namun, kesudahannya perjalanan saya dan keluarga terarah ke kompleks makam Sultan Abd. Samad pula. Inilah yang dikatakan bahawa kita hanya merancang, tetapi secara muktamadnya hanya Allah yang menentukan. Pasti ada hikmahnya saya hadir walaupun secara kebetulan di sini.

Al Marhum Sultan Abd Samad adalah rakan baik kepada Haji Mustafa Raja Kamala, penghulu pertama di Tanjung Malim (almarhum adalah moyang kepada arwah datuk saya dari sebelah ibu). Kisah persahabatan baginda Sultan dan Haji Mustafa Raja Kamala pernah diceritakan oleh salah seorang cicit almarhum Haji Mustafa. Almarhum Sultan bersama Haji Mustafa dikatakan mempunyai kebolehan melompat ke seberang sungai dengan sekali lompatan. Sungai Bernam di sempadan Perak dan Selangor pernah menjadi lokasi kedua mereka mempamerkan kebolehan masing-masing. Kisah tersebut turut tercatat dalam teks ilmiah (tesis) saya bertajuk Haji Mustafa Raja Kamala dan susurgalur jurai keturunannya (2004: 135)

 

Lorong menuju ke kompleks makam Almarhum Sultan Abd. Samad  ini terletak di Jalan Makam, Banting.

 

Laluan menuju ke gerbang kompleks makam diteduhi rimbunan pepohon di sisi kiri dan kanan jalan.

 

Gerbang utama untuk masuk ke ruang dalam kompleks makam. Saya dan keluarga tiba sekitar jam 5.27 petang. Agak menghampakan apabila melihat pintu pagar berkunci. Namun, lebih kurang 5 minit meninjau-ninjau dari celah pagar…saya dimaklumkan oleh seorang lelaki berketurunan Cina yang kebetulan beriadah di situ bahawa ada satu lagi pagar kecil untuk masuk ke dalam kompleks makam. Sekiranya pagar tersebut tidak berkunci, maka tercapailah hajat saya untuk berziarah dan cerahlah juga peluang saya untuk merakam foto di kawasan dalamnya. Alhamdulillah, pagar kecil sebagai laluan alternatif hanya berselak tanpa dimanggakan. Justeru, dapatlah saya menjejakkan kaki untuk masuk ke perkarangan dalam kompleks makam.

 

Pandangan sisi kiri kompleks makam Almarhum Sultan Abd Samad. Di dalam binaan inilah disemadikan jasad almarhum. 

 

Kompleks makam Sultan Abd Samad dari arah pandangan hadapan. Binaan kompleks makam dihiasi kubah berwarna emas ditengahnya dengan rekabentuk seperti potongan bawang. 

 

Pintu berjeriji besi dengan ukiran kerawang berwarna emas adalah pintu masuk yang perlu dilalui untuk menuju ke ruang dalam pusara Almarhum Sultan Abd Samad.

 

Info ini berada di sisi kanan pintu masuk ke pusara Almarhum Sultan. Keterangan tertera butiran “Almarhum Sultan Abd. Samad mangkat pada hari Ahad 14 haribulan Ramadhan Sanah 1305 bersamaan 6 Februari tahun 1898 Masihi.” Al Marhum Sultan rupanya mangkat pada 14 Ramadhan dan secara kebetulan siri ziarah saya ke makam tersebut juga berlaku pada bulan puasa bagi umat Islam  iaitu pada tanggal 12 Ramadhan bersamaan 22 Ogos 2010. Lagi 2 hari, maka genaplah 112 tahun mangkatnya Al Marhum Sultan.

 

Dari celah jeriji besi, saya cuba merakam foto pusara yang terletak di bahagian dalam…hasilnya tidak menghampakan. Seolah-olah saya berdiri dan merakam foto di ruang dalam makam pula.

 

Binaan ini pula berada di sisi kiri kompleks makam Almarhum Sultan Abd. Samad. Di dalam binaan ini terdapat deretan pusara waris almarhum. 

 

Inilah susunan pusara yang berada dalam binaan seperti foto di atas. Pusara dengan simen bercat kuning (kedudukan ke-5 dari hadapan) adalah makam Al Marhumah Tunku Arfah binti Al Marhum Sultan Abd. Samad.

 

Ini pula adalah makam Tunku Ibnu Syah Ibni Al Marhum Sultan Abdul Samad yang mangkat pada tahun 1927.

 

**************************************************************************

Al Fatihah buat Al Marhum Sultan Abd. Samad dan sekalian warisnya…

 

26/07/2010

Makam Daeng Salili

Filed under: Kompleks Makam — Harleny Abd Arif @ 12:29 am

 

Tarikh : 17 Julai 2010
Lokasi : Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar

  

Saya telah berziarah ke makam Daeng Salili (Sedili) ini sejurus selepas pulang dari bengkel kraf dan warisan Pandai Besi yang lokasinya tidak jauh dari kawasan makam tersebut. Sebenarnya, sejak dari awal tahun 2010 lagi saya telah menyimpan hajat untuk berziarah ke makam mantan Mufti Pertama Negeri Perak ini. Namun, hajat yang dipendam akhirnya tercapai jua dengan izin Allah apabila saya hadir di sana pada  tanggal 17 Julai yang lalu. Tiba pula di saat saya hampir berangkat ke Tanah Bugis 6 Ogos depan…tanah asal usul Daeng Salili sebelum berhijrah ke Negeri Perak.

Keterangan tentang Daeng Salili ini secara ringkasnya terdapat pada papan info di hadapan makam seperti yang tertera dalam rakaman foto di bawah.

 

Papan info tertera keterangan ringkas tentang Daeng Salili semasa hayatnya

 

 Makam Daeng Salili di dalam kawasan pagar

 

 Bahagian belakang makam

 

 Makam Daeng Salili disimenkan dengan batu-bata

 

Nesan daripada batu sungai

 

10/07/2010

Makam Sultan Iskandar Muda

Filed under: Kompleks Makam — Harleny Abd Arif @ 6:05 pm
 
Tarikh Ziarah : 4 Jun 2009
Lokasi Ziarah : Kompleks Makam Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh
 
 
Kompleks makam Sultan Iskandar Muda ini terletak dalam kawasan Muzium Acheh. Saya telah berziarah ke kompleks makam ini sejurus selepas menamatkan sesi lawatan ke Muzium Acheh.
 
Keterangan Ringkas
Sultan Iskandar Muda lahir pada tanggal 22 Rejab 1001 H (1593 M). Baginda adalah Sultan Acheh yang sangat termahsyur baik di dalam mahupun di luar negara semasa pemerintahannya (1607-1636). Kegemilangan yang diraih terbukti apabila baginda berjaya menempatkan Wilayah Acheh di antara 5 kuasa besar Islam dunia pada zaman pemerintahannya.

Ayahanda di sisi makam Sultan Iskandar Muda

 

Pandangan sisi makam

 

Pandangan hadapan makam

23/06/2010

Makam Tok Pelam

Filed under: Kompleks Makam — Harleny Abd Arif @ 9:45 am

 

Tarikh Ziarah : 18 Jun 2010 (Jumaat)
Lokasi Ziarah : Makam Tok Pelam
                           Kampung Ladang Titian, Kuala Terengganu

 

Sebuah catatan perjalanan ke sebuah makam tua yang tak terduga penemuannya…pengalaman buat perkongsian tetamu yang berlabuh seketika di sanggar yang masih muda usianya… 

Al kisah bagaimana hadirnya saya ke kompleks Makam Tok Pelam… 

Tanggal 17hb Jun 2010 (Khamis) perjalanan bermula…dari Sungai Buloh menghala ke Pantai Timur. Persoalannya, apakah tujuan dan kemahuan gerak langkah? Misi jejak mihrab dan mimbar masjid tua lagikah? Saya menetapkan sasaran paling kurang 2 kali sebulan untuk turun ke lapangan menjejak masjid tua. Jarak bukan halangan, yang penting pencarian subjek kajian (mihrab dan mimbar) dapat direalisasikan tidak kira di negeri mana lokasinya. Pilihan destinasi kunjungan pada misi kali ini adalah di Pantai Timur Semenanjung.

Perjalanan yang jauh ini saya singkatkan dengan catatan serba ringkas…

Seorang hamba Allah telah memberi info ttg masjid tua di Ladang, Kuala Terengganu. Berdasarkan gambaran secara lisan tentang ciri-ciri senibina masjid tua, maka saya pun menjejak arah lokasi seperti yang disampaikan. Namun sebaik tiba, saya dapati ia bukanlah masjid tua sebaliknya adalah sebuah kompleks makam lama (lagi 9 tahun, akan berusia 200 tahun). Maka saya pun membuat andaian bahawa hamba Allah tersebut mungkin sekadar membuat telahan berdasarkan hiasan puncak kompleks makam yang disangkakan masjid tua. Walau apapun…kesilapan tersebut punya hikmah hingga saya hadir di kawasan kompleks makam pd 18 Jun lalu. Sebaik tiba, pintu utama dibuka (kerana hanya berselak tanpa dikunci dengan mangga) lalu saya masuk merakam foto di dalamnya. Namun, perasaan agak ralat kerana pintu seterusnya di bahagian dalam dikunci dengan mangga. Justeru tidak dapatlah saya melihat pusara Tok Pelam di dalamnya.

Dua hari kemudian (20 Jun 2010), sebelum pulang menghala ke Kuala Lumpur…tergerak hati saya ingin hadir semula ke lokasi makam ini. Entah mengapa terasa seperti punya harapan untuk masuk ke pintu yang menempatkan pusara Tok Pelam. Dengan izin Allah seorang hamba Allah di surau lama berdekatan memaklumkan tentang lokasi rumah waris Tok Pelam yang memegang kunci makam. Lalu saya ke rumah waris tersebut dan menyatakan hajat untuk berziarah. Raut wajah waris tersebut pada awalnya seolah-olah kelihatan agak berat memberi keizinan sewaktu saya menyuarakan hasrat di hati untuk berziarah dan merakam foto. Rupa-rupanya ada kisah aneh yang pernah berlaku terhadap pengunjung yang pernah berziarah ke makam ini suatu waktu dahulu.

Antara kisah yang dikongsikan adalah bagaimana seorang hamba Allah yang masuk tetapi tidak dapat keluar dari kompleks makam. Kisah lain bagaimana pintu makam tidak dapat dibuka lalu pengunjung yang berhajat untuk berziarah pulang dengan perasaan hampa. Namun saya jelaskan kepada waris Tok Pelam bahawa andai diizinkan Allah maka akan dipermudahkan hajat saya untuk masuk ke dalamnya. Saya kira semua yang kita lakukan tergantung pada niat…jika baik maka akan dipermudahkan laluan.

Alhamdulillah…sebaik pintu bahagian dalam dibuka, lalu saya melangkah masuk ke dalamnya. Terpegun saat melihat khazanah lama yang masih tersimpan dengan baik di dalamnya. Terdapat makam lain di sisi kanan makam Tok Pelam. Selain itu, kelihatan 2 buah tempayan lama bertutup dengan dulang diletakkan di penjuru kanan sebaik melangkah masuk ke pintu ke-3. Apa yang menarik adalah rekabentuk  penutup makam asal disusun secara bertingkat diperbuat daripada kayu yang berukir indah. Begitu juga dengan rekabentuk lebah bergantung di sisi kiri dan kanan pintu masuk  ke-3 selepas melalui pintu ke-2.

Saya amat bersyukur kerana diberi peluang dan kebenaran merakam foto khazanah yang ada. Menurut waris Tok Pelam, sebelum ini tiada lagi mana-mana individu yang diberi kebenaran merakam foto di dalamnya termasuklah pihak TV3 yg pernah hadir unt membuat liputan tapi terpaksa pulang kesudahannya (tak tahulah pula kalau ada individu lain yang diberi izin merakam foto oleh beberapa waris lain yg turut memegang duplikasi kunci pintu ke-2).

Keterangan tentang tokoh

Nama sebenar Tok Pelam adalah Sheikh Abdullah bin Abdul Aziz. Beliau berasal dari Hadramaut dan telah berpindah ke Patani. Pada tahun 1785, beliau kemudiannya telah berhijrah ke Terengganu dan menetap di Kampung Pelam, Hulu Terengganu. Dari Kampung Pelam, beliau seterusnya telah berpindah ke Kampung Ladang Titian. Beliau meninggal dunia pada tahun 1819 dan dimakamkan di dalam bangunan yang pernah digunakan untuk berkhalwat dan mengajar agama. 

 

 

Kedudukan surau lama yang jaraknya kurang 100 meter dari lokasi kompleks makam. Salah seorang hamba Allah yang telah selesai bersolat jemaah (zuhur) telah memaklumkan lokasi rumah salah seorang waris keturunan Tok Pelam.

 

Keseluruhan rekabentuk binaan kompleks makam yang dirakam fotonya dari arah bertentangan. Kawasan di sekitar kompleks makam dan kawasan perkuburan seolah-olah pernah menjadi kawasan pesisir pantai kerana pasir di kawasan tersebut adalah daripada jenis pasir pantai. 

 

Bangunan kompleks makam dari arah pandangan hadapan. Warna hijau dan putih mendominasi keseluruhan binaan. 

 

Hiasan buton di puncak kompleks makam yang di dalamnya disemadikan jasad Tok Pelam

 

Ukiran kayu pada kepala gerbang menuju ke ruang dalam kompleks makam. Pada awalnya saya beranggapan boleh terus berziarah ke makam Tok Pelam sebaik masuk ke dalamnya. Namun, sangkaan saya meleset apabila terdapat pintu ke-2 yang berkunci dari luar yang menempatkan makam tokoh ulama tersebut.

 

Karangan laut ini asalnya tersimpan di dalam kompleks makam… karang laut ini masih hidup sewaktu berada di dalam makam Tok Pelam tetapi mati sebaik dibawa keluar dari makam. Mungkin suasana yang gelap dan lembab di bahagian dalam membuatkan karangan laut tersebut hidup…tidak seperti sekarang yang mana permukaan jalinan karangan kelihatan kering seperti tunggul kayu mati dengan warna kehitaman.

 

Rekabentuk lebah bergantung di sisi kiri dan kanan pintu masuk bahagian dalam makam Tok Pelam.

 

Pintu masuk ke-3 di bahagian dalam sebaik melalui pintu masuk ke-2. Ragam hias bermotifkan flora di sekeliling bingkai pintu menyerlahkan keunikan rekabentuk pintu. Bahagian kepala pintu pula tertera tulisan kaligafi jawi.

 

Makam Tok Pelam ini dikelambukan dengan kain kuning. Saya perlu menyelak tirai yang menutupi keseluruhan makam Tok Pelam untuk merakam foto.

 

Penutup kayu berukir ini pernah menjadi penutup asal makam Tok Pelam. Rekabentuknya seolah-olah kelihatan seperti bumbung bertingkat. Bahagian lantai dalam kompleks makam turut dipenuhi pasir. Sewaktu berada di bahagian dalam makam Tok Pelam, saya terasa seperti sedang berpijak di atas permukaan pasir di tepian pantai.

 

Penutup makam paling atas dengan ketiga-tiga tingkat kesemuanya mempunyai seni ukiran tebuk tembus pada bahagian puncaknya.

 

Tn. Hj. Wan Muhammad (75 tahun) adalah generasi ke-5 Tok Pelam yang memberi keizinan kepada saya merakam foto pusara Tok Pelam serta khazanah yang tersimpan di dalam kompleks makam. Beliau sedang membuka kunci mangga pondok yang bertentangan dengan laluan menuju pintu ke-2 kompleks makam. Mari kita lihat apa yang tersimpan di dalamnya…

 

Sebaik pintu dibuka, kelihatan periuk-periuk tembaga milik Tok Pelam tersimpan di dalamnya. Menurut waris Tok Pelam, saiz sebuah periuk ini mampu menampung sukatan 8 gantang beras sekali masak. Paling kanan adalah tempayan dalam keadaan mulutnya tertelangkup ke bawah. Bahagian belakang periuk tembaga pula adalah periuk baru yang digunakan untuk menanak nasi dan memasak lauk pauk menggantikan periuk tembaga yang telah bocor. Satu kali setahun, seekor lembu akan disembelih lalu dimasak dan seterusnya dijamukan kepada masyarakat setempat sebagai memenuhi amanat tokoh tersebut semasa hayatnya. Wasiat Tok Pelam masih diteruskan sehingga ke hari ini oleh Tn. Hj. Wan Muhammad.

 

Perigi ini kedudukannya terletak di sisi kanan kompleks makam. Saya tertanya-tanya apakah perigi ini pernah menjadi sumber air Tok Pelam dan para pengikutnya yang ingin mengambil wudhuk suatu ketika dahulu?

 

19/06/2010

Makam Sultan Yahya Siak

Filed under: Kompleks Makam — Harleny Abd Arif @ 5:31 am

 

Tarikh Ziarah : 18 Jun 2010
Lokasi Ziarah : Makam Sultan Yahya Siak
                                   
Kampung Che Lijah, Dungun, Terengganu

 

Dalam perjalanan menghala ke arah Pantai Timur dua hari yang lalu (Khamis, 17/06/10), saya terpandang papan tanda tertera Makam Sultan Yahya Siak di satu persimpangan jalan menuju ke tempat bermalam (Tanjung Jara). Namun, oleh kerana saya tiba di Dungun sekitar jam 10 malam…jadi niat untuk berziarah ke makam ini sekadar disimpan dalam hati. Ada rezeki, maka dapatlah saya menjejakkan kaki ke lokasi makam. Alhamdulillah hasrat terpendam akhirnya kesampaian apabila keesokan harinya saya berpeluang berziarah ke kompleks makam saat melalui persimpangan semasa melilau-lilau mencari gerai untuk bersarapan pagi.

Ada di antara teman-teman yang pernah mengajukan persoalan…apakah tujuan dan perkaitan kunjungan ke makam-makam lama saya sisipkan dalam misi menjejak mihrab dan mimbar masjid tua? Jawapan saya mudah sahaja: “Pencinta seni dan budaya yang punya rasa kecintaan untuk mengenal akan sejarah bangsanya.

Bagaimanakah cara untuk mengenal kesan sejarah yang ada? Selain hasil pembacaan melalui sumber teks bertulis, khazanah peninggalan di Alam Melayu boleh didapati dengan menjejak ke lokasi bersejarah seperti bangunan  istana lama, rumah tradisional, masjid tua, makam lama dan sebagainya. Bukankah melalui pengalaman sebenar melihat lebih dekat kesan sejarah di lapangan lebih terkesan di hati? Pemerhatian dengan menggunakan deria lihat lebih memberikan kepuasan berbanding menatap foto yang kaku. Apa yang ada di persekitaran semasa tinjauan juga mampu berbicara sebagai bahasa visual untuk diterjemahkan dalam bentuk teks bertulis.

Tutup cerita di atas, saya buka pula cerita seterusnya…Sebelum membuka cerita, saya mulakan serba ringkas tentang sejarah pemerintahan kerajaan Siak Sri Indrapura sebagai mukadimahnya…

Sejarah Riau sebelum kemerdekaan lebih diwarnai riwayat kerajaan Melayu Islam, dengan kerajaan terbesarnya adalah Kerajaan Siak Sri Indrapura. Kerajaan ini didirikan oleh Sultan Abdul Jalil Rahmad Syah pada tahun 1725. Sultan pertama ini meninggal pada tahun 1746 dan kemudian diberi gelaran Marhum Buantan. Setelah kemangkatan baginda, terdapat 11 orang sultan yang pernah bertakhta di Kerajaan Siak Sri Indrapura. Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah (1782-1784) adalah Sultan yang ke-6 menaiki takhta dalam turutan tampuk pemerintahan. Baginda hanya sempat memerintah selama 2 tahun sebelum berhijrah ke Tanah Melayu dan telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1784 dengan gelaran Marhum Mangkat di Dungun.

 

Lokasi kompleks Makam Sultan Yahya Siak ini terletak di Kampung Che Lijah yang mana kedudukannya adalah di antara pekan Dungun dengan Tanjung Jara.

 

Keterangan pada batu tanda tertera:
Beliau menaiki takhta Kerajaan Siak selepas kemangkatan ayahandanya Sultan Ismail pada tahun 1782. Semasa pemerintahan Sultan Yahya, telah berlaku perebutan kuasa di antara  baginda dengan Raja Alam. Melalui muslihatnya, Raja Alam telah berjaya merampas takhta kerajaan Siak daripada Sultan Yahya. Sultan Yahya telah berundur ke Retih dan kemudian ke Tanjung Pati di Dungun, Terengganu. Baginda telah mangkat di Dungun dan dimakamkan di tanah perkuburan Islam Kampung Che Lijah di Dungun pada tahun 1784.

 

Selain makam Almarhum Sultan Yahya Siak, terdapat beberapa buah makam lain yang turut berada dalam kompleks makam.

 

Binaan kompleks makam ini dihiasi dengan keindahan seni ukiran Melayu tradisi.  Kepingan papan pator pada cucuran atap serta kerawang dengan aplikasi teknik ukiran tebuk tembus pada muka dinding di antara bumbung atas dengan bumbung bawah mengundang perhatian.

 

Kayu buton yang sering dilihat pada binaan masjid-masjid tua dan rumah tradisional Melayu turut dipasang pada tulang perabung kompleks makam.

 

Seni ukiran tebuk tembus dan ukiran pada kepala tiang di kedua bahagian sisi pagar kayu diilhamkan daripada unsur tumbuhan semulajadi.

 

Rekabentuk kepala tiang ini adalah hasil adaptasi daripada motif kelopak bunga seroja. Motif ini turut digunapakai dalam rekabentuk nesan lama.

 

Ukiran yang dihasilkan melalui teknik luakan ini seolah-olah memperlihatkan bentuk bunga seroja yang sedang mekar kuntumannya.

 

Batu nesan di pusara Sultan Yahya Siak ini lebih tinggi kedudukannya daripada aras mata dan kepala.

 

Lantai kompleks makam ini dipasang dengan jubin berwarna hitam sebagai kemasan di ruang dalam binaan.

 

Wujud kekeliruan fakta tentang turutan pemerintahan Almarhum Sultan Yahya Siak. Keterangan di sisi makam Sultan Yahya Siak tertera: Almarhum Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah (Marhum Mangkat di Dungun) Sultan Siak ke Tujuh. Memerintah tahun 1782-1784 M. Mangkat 1784 M.

Berdasarkan rujukan dari beberapa laman sesawang, baginda adalah Sultan ke-5 selepas pemerintahan Sultan Abdul Jalil Rahmad Syah. Ini bermakna, almarhum adalah Sultan ke-6 dalam sistem pemerintahan beraja Kerajaan Siak Sri Indrapura semasa hayatnya sebagaimana turutan berikut: 

  • Sultan Abdul Jalil Rahmad Syah (1725-1746)
  • Sultan Abdul Jalil Rakhmad Syah (1746-1765)
  • Sultan Abdul Jalil Jalaluddin Syah (1765-1766)
  • Sultan Abdul Jalil Alamuddin Syah (1766-1780)
  • Sultan Muhammad Ali Abdul Jalil Muazzam Syah (1780-1782)
  • Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah (1782-1784)
  •   

     

    Al-Fatihah buat Almarhum Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah sebagai penutup bicara… 

     

    15/06/2010

    Makam Ratu Nahrisyah

    Filed under: Kompleks Makam — Harleny Abd Arif @ 12:09 am

     

    Tarikh : 02 Oktober 2009
    Lokasi : Kompleks Makam Ratu Nahrisyah, Samudera Pasai

     

    Sesi ziarah ke kompleks makam Ratu Nahrisyah ini telah dikunjungi pada hari Jumaat (02/10/09) selepas pulang dari berziarah ke makam Sultan Malikussaleh.

     

    Ayat yang tertera pada papan kenyataan

    Lokasi kompleks makam Ratu Nahrisyah ini terletak di Desa Kuta Krueng Kecamatan Samudera di Kabupaten Aceh Utara. Kedudukannya terletak kira-kira 18 km dari arah timur Kota Lhokseumawe. Dalam kompleks makam ini terdapat 38 buah pusara.

     

    Nesan Ratu Nahrisyah

    Makam sebenar Ratu Nahrisyah berada di sisi kanan manakala makam di sisi kiri adalah monumen diperbuat daripada batu pualam yang dibawa dari Gujerat. Ratu Nahrisyah adalah anakanda kepada Sultan Malikuzzahir dan cucunda kepada Sultan Malikussaleh yang memerintah dari tahun 1420M hingga tahun 1428M. Baginda mangkat pada hari Isnin tanggal 17 Zulhijjah 831H bersamaan 27 September 1428M.

     

    Monumen Ratu Nahrisyah

    Monumen makam Ratu Nahrisyah adalah yang terindah pahatannya di Pulau Sumatera dan diidentifikasikan sebagai yang TERINDAH di ASIA TENGGARA. Duplikasi monumennya terdapat di Muzium Acheh.

     

    Ukiran timbul pada bahagian sisi makam

    Ukiran timbul dengan motif seakan pelita disusun secara berulang pada bahagian sisi makam Ratu Nahrisyah

     

    Ukiran timbul pada bahagian kaki makam

    Ukiran timbul dengan motif pohon pisang dan kaligrafi versi Arab diabadikan pada bahagian sisi makam Ratu Nahrisyah

     

      

    Makam Panjang

    Pusara ini terletak dalam kawasan kompleks Makam Ratu Nahrisyah. Ia dipercayai milik seorang panglima. Saiz asal pusara ini berukuran 5 meter panjang. Anehnya, makam tersebut semakin memanjang dan kini saiznya mencecah 7 meter (kesahihannya terbukti apabila saya mengukur sendiri saiz makam tersebut yang nyata berukuran 7 meter tepat).  

     

    02/02/2010

    Makam Sultan Muzaffar Shah

    Filed under: Kompleks Makam — Harleny Abd Arif @ 5:53 am

     

     

    REDAH MENGHALA KE UTARA

     EPISOD ZIARAH KE MAKAM RAJA

     

     

    Sultan Muzaffar Shah atau dikenal dengan nama sebelum Islamnya sebagai Maharaja Derbar adalah raja ke-9 negeri Kedah. Sumber dari laman sesawang Sastera Rakyat Negeri Kedah mencatatkan bahawa, baginda telah diIslamkan oleh Sheikh Abdullah bin Sheikh Ahmad bin Sheikh Jaafar Kumiri dari negeri Shahir, di bawah naungan pemerintahan Yaman.

     

    Laluan tanah merah menuju ke makam

     

    Kompleks makam berada di hadapan mata

     

    Nesan tanpa nama

     

    Nesan Sultan Muzaffar Shah (Maharaja Derbar Raja)

     

    Makam dari arah pandangan belakang

    Sawah luas terbentang di belakang makam

    Create a free website or blog at WordPress.com.