Jejak Mihrab & Mimbar

04/10/2010

Muzium Lukut

Filed under: Muzium — Harleny Abd Arif @ 10:14 pm

Tarikh: 14 Jun 2010
Lokasi: Muzium Lukut

 

Sejarah Lukut Sepintas Lalu…

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Lukut membawa maksud sejenis tumbuhan atau pohon renek. Pada awal abad ke-19, Lukut merupakan sebuah wilayah yang berasingan dari Selangor selain Kelang, Bernam dan beberapa tempat lain. Lukut pada asalnya didiami oleh Orang Laut yang menjalani kehidupan sebagai nelayan dan petani (bercucuk tanam).

Walaupun sejarah tidak begitu jelas tentang penguasaan Selangor terhadap Lukut, namun di bawah pemerintahan Sultan Salehuddin (Sultan Selangor yang per-1) sehinggalah ke pemerintahan Sultan Ahmad Shah (Sultan Selangor ke-3), Lukut adalah sebahagian daripada pengaruh penguasaan Selangor. Era pemerintahan Raja Bot merupakan permulaan era kemerosotan Lukut kerana terdapat pelbagai masalah yang dihadapi semasa pemerintahan baginda. Di antaranya adalah tuntutan wilayah Lukut oleh Sungai Ujong, penentangan Raja Sulaiman (Pembesar Sungai Raya), bebanan hutang yang semakin berat dan hasil pengeluaran biji timah yang semakin merosot.

Termeterainya Perjanjian Persempadanan Selangor – Sungai Ujong pada 31 Julai 1880, menandakan berakhirnya era pemerintahan pembesar Melayu di Lukut. Raja Bot menyerahkan Lukut kepada Sungai Ujong secara rasminya melalui perjanjian tersebut.

 

Bermulanya episod kunjungan ke Muzium Lukut…

 

Tanggal 14 Jun 2010 yang lalu saya telah berkunjung ke Muzium Lukut. Seperti biasa, kunjungan ke lokasi ini bukanlah agenda utama yang dirancang sebelum melangkah keluar dari rumah, sebaliknya adalah lawatan mengejut sebaik ternampak papan tanda tertera ‘Muzium Lukut.’ Saya dan keluarga sering melalui jalan lama menuju ke Seremban, namun sering ‘melepaskan peluang’ membuat kunjungan. Justeru keputusan mendadak untuk singgah telah dibuat setelah merasakan alangkah rugi sekiranya tidak melihat artifak yang ada sebagai mengenang sejarah Kota Lukut yang pernah mencapai kegemilangannya sejak dari pemerintahan Raja Jumaat bin Raja Jaafar (1847-1864).

 

Bangunan ini adalah galeri utama yang menempatkan Sejarah Kota Lukut. Galeri ini mempunyai beberapa segmen antaranya berkisar tentang Latar Belakang Sejarah Lukut, Kota Lukut Sebagai Kota Pertahanan, Lukut Pesat Ekonomi dan Pentadbiran, Lukut Dalam Aspek Politik, Laporan Kapten Macpherson dan Perlombongan Bijih Timah di Lukut. 

 

 Anak tangga menuju ke bahagian tingkat atas bangunan muzium.

 

Dari arah galeri utama Muzium Lukut, pengunjung boleh melihat dengan jelas Kota Lukut yang terletak di bahagian atas bukit.

 

Mini lanskap pancuran air di hadapan galeri mewujudkan suasana tenang dan damai.

 

Meriam Raja Jumaat (dari sisi atas) kedudukannya terletak di bahagian hadapan bangunan Muzium Lukut.

 

Meriam Raja Jumaat (dari sisi hadapan) dijadikan sebagai monumen di sisi kiri dan kanan di bahagian hadapan galeri.

 

Meriam tembaga ini dijumpai secara tidak sengaja pada tahun 1993 pada masa kerja-kerja survei arkeologi di Bambek Shoal, Port Dickson bagi mengenalpasti sebuah kapal British iaitu Caroline yang tenggelam pada tahun 1886. Pada 6 Ogos hingga 9 Disember 1995, ekskavasi menaikkan artifak Kapal Nassau termasuk meriam ini telah dilaksanakan pihak kerajaan Malaysia melalui Jabatan Muzium dan Antikuiti dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia dan beberapa agensi lain. (Sumber info: Pameran Kapal Nassau, Muzium Lukut)

 

Kelihatan dua ekor naga dengan bahagian kepala tanpa ekor sedang mengulum sebiji batu pada permukaan meriam tembaga (meriam di atas). Kedudukan meriam ini terletak di kaki bukit bertentangan dengan tangga menuju ke Kota Lukut.

 

Tangga ini perlu dilalui dan dinaiki oleh pengunjung untuk menuju ke Kota Lukut.

 

Pemandangan kehijauan alam yang dapat dinikmati dari atas Kota Lukut. Hanya perabung Muzium Lukut yang kelihatan.

 

ARTIFAK DI RUANG DALAM GALERI MUZIUM LUKUT 

 

 

Meriam Lela adalah senjata api tradisional Melayu yang diperbuat daripada tembaga. Ianya sejenis alat bedil mudah alih dan agak kecil saiznya.

 

Tempayan (kanan) dan martaban (kiri) digunakan sebagai tempat menyimpan air, makanan dan barangan pada masa zaman kegemilangan Lukut.

 

Alat menapis amang bijih ini adalah salah satu daripada peralatan yang digunakan untuk memproses bijih timah oleh para pelombong di Lukut pada suatu masa dahulu.

 

Alat ini pula dikenali sebagai bekas amang bijih. Ianya diperbuat daripada kayu keras. Fungsi alat ini adalah untuk menyimpan amang bijih yang telah diasingkan daripada bijih timah.

 

22/06/2010

Muzium Tsunami, Banda Aceh

Filed under: Muzium — Harleny Abd Arif @ 2:20 pm

 

Tarikh Lawatan : 29 April 2010
Lokasi Lawatan : Muzium Tsunami, Banda Aceh

Catatan ringkas semasa sesi lawatan ke Muzium Tsunami…
Kepada para tetamu yang ingin melihat paparan sebahagian koleksi foto di ruang pameran muzium ini, sila berkunjung ke sanggar Galeri (di bawah tajuk Album Tsunami).

 

Rekabentuk bangunan Muzium Tsunami yang sempat saya rakam semasa melalui jalan besar dalam perjalanan menuju ke masjid Baiturrahim di Desa Meuraxa, Ulee Lheue.

 

Oleh kerana jalan utama dengan bangunan muzium agak berdekatan jaraknya, jadi saya tidak dapat merakam keseluruhan rekabentuk bangunan yang binaannya berbentuk melengkung ini.

 

Laluan masuk sebelum menuju ke ruang pameran…pengunjung yang berjalan di sepanjang laluan tersebut akan dihujani tempias air yang mengalir dari sisi kanan dan kiri dinding bangunan. Unsur air dan suasana gelap sepanjang melalui lorong ini pastinya diilhamkan oleh perancang senibina untuk membawa pengunjung mengimbau kembali saat tragedi tsunami melanda.

 

Menara berbentuk silinder ini berada di bahagian kiri sebelum pengunjung keluar dari lorong gelap di atas. Kaligrafi kalimah Allah diabadikan di puncak menara muzium.

 

Jambatan kayu menuju ke ruang pameran umpama mendaki bukit. Permukaan jambatannya tidak mendatar sebaliknya agak cerun sedikit.

 

Kolam air di bawah laluan jambatan…sinar matahari menembusi bumbung bangunan memberikan kesan cahaya kepada ruang tengah binaan.

 

Perspektif di sepanjang laluan di luar ruang pameran. Rekabentuk lengkungan pada binaan bangunan ini tambah menarik dengan aplikasi prinsip kesatuan sehingga mewujudkan keharmonian…lihat deretan tiang dan jalur melintang pada permukaan lantai yang disusun secara berulang-ulang.

 

Pemandangan di satu sudut dalam ruang pameran yang menempatkan sebahagian besar himpunan foto pra dan pasca tsunami. Hati saya amat tersentuh dan sebak saat terpandang sebuah rakaman foto seorang ibu yang sedang meratapi kematian anak kecil dalam pangkuannya. Hilang harta boleh dicariganti…hilang nyawa tiada galang gantinya.

 

Paparan video semasa dan selepas kejadian tsunami di ruang luar bilik pameran.

 

Muzium Negeri Terengganu

Filed under: Muzium — Harleny Abd Arif @ 12:55 am

 

Tarikh Lawatan  : 19 Jun 2010
Lokasi Lawataan: Muzium Negeri Terengganu 

 

Muzium Terengganu yang terletak di Bukit Losong, Kuala Terengganu diklasifikasikan sebagai muzium terbesar di Malaysia. Apa yang menarik terhadap rekabentuk bangunan ini adalah penerapan unsur senibina tradisi Melayu yang ditampilkan pada sebahagian besar binaan. Ciri-ciri tersebut dapat diperhatikan dengan jelas pada motif ukiran di permukaan dinding, daun pintu dan kerawang di atas kepala pintu. Begitu juga dengan kayu buton yang dipasang pada bahagian atas di sisi kiri dan kanan pintu masuk. Hujung cucuran atap turut dihiasi papan meleh dan papan pator hasil adaptasi motif dari alam semulajadi (tumbuhan).

Pada peringkat awal, objektif rupabentuk adalah lebih menjurus kepada cita-cita untuk mewujudkan sebuah bangunan yang dapat menggambarkan senibina Melayu tempatan. Untuk maksud tersebut, maka rekabentuk Rumah Tele ataupun Rumah Bujang Berserambi telah dipilih.

Ciri utama rekabentuk senibina ialah ‘ fascia ’ hadapannya yang dikenali sebagai pemeleh dan dinding panel berukir. Bangunan ini juga direkabentuk untuk memberikan gambaran seakan-akan ia berdiri di atas tiang dengan ruang masuk melalui tangga yang terangkat seperti rumah tradisional di kampung-kampung. Bahan serta ukiran kayu yang diselitkan bertujuan untuk menambahkan aspek keaslian serta keindahannya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

22/02/2010

Muzium HAMKA, Sumatera Barat

Filed under: Muzium — Harleny Abd Arif @ 5:46 pm

 

Tarikh Lawatan : 22 Disember 2008
Lokasi Lawatan : Muzium HAMKA, Kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat

 

Panorama yang indah di Bukit Tinggi membuatkan saya tidak jemu berkunjung ke sini. Sudah empat kali saya menjejakkan kaki di bumi Serambi Mekah ini. Kali pertama pada bulan Januari 2004, diikuti kunjungan kedua pada bulan Mac tahun yang sama. Namun, kunjungan pertama dan kedua adalah atas dasar tugasan bagi pengumpulan data di lapangan bukan dengan tujuan percutian. Lawatan ke Muzium HAMKA ini adalah kunjungan keempat saya (setelah berkunjung kali ketiga Januari 2008). Kali ini membawa ayahanda dan bonda serta 2 adinda yang sedang bercuti sekolah dan semester.

 

Ahli keluarga menanti di kaki tangga sebelum pintu Muzium dibuka. Muzium ini diselia oleh anak saudara HAMKA yang kebetulan keluar semasa kami tiba. Mujur kami tidak menunggu lama di atas tangga.

 

 

Pemandangan Tasik Maninjau dari arah Muzium. Itu dia anak saudara HAMKA yang baru tiba…tidak sabar menanti daun pintu Muzium dibuka untuk melangkah masuk ke ruang dalamnya.

 

Ruang dalam Muzium yang dahulunya rumah kelahiran HAMKA. Di bahagian kiri dan kanan adalah potret tokoh berkenaan.

 

Ayahanda dan bonda bergambar di sisi potret HAMKA. Berikut adalah catatan ringkas tentang latar belakang tokoh:

HAMKA adalah akronim dari nama Haji Abdul Malik ibn Abdul Karim Amrullah. Lahir pada 17 Februari 1908 dan kembali ke rahmatullah di Jakarta pada 24 Julai 1981. Beliau adalah seorang ulama, ahli politik dan sasterawan tersohor yang disegani serta dihormati di Asia. Beliau menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan mencakupi falsafah, sastera, sejarah, sosiologi dan politik baik Islam mahupun Barat. Beliau telah menghasilkan karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen. Karya ilmiah terulungnya ialah Tafsir Al-Azhar (5 Jilid).

 

Inilah wajah anak saudara HAMKA yang seiras dengan wajah tokoh tersebut. Saudara Hanif Rasyid adalah waris HAMKA yang bertanggungjawab menjaga khazanah di muzium ini. Saya kagum mendengar kata-kata nasihat yang secara spontan diujarnya…ayat yang disusun secara lisan ibarat melihat teks rujukan di hadapan mata.  Bicaranya bersahaja namun penuh berhikmah. Ada sahaja mutiara kata yang dikongsikan tanpa dipinta. Perkongsian ilmu yang ikhlas…Ciri-ciri ketokohan terserlah seperti bapa saudaranya…”Mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi

 

Create a free website or blog at WordPress.com.