Jejak Mihrab & Mimbar

28/09/2010

Cahaya Lebuhraya Melalui Lensa Digital Tua

Filed under: Galeri — Akal Sari @ 8:26 pm
 
Tarikh: 25 Sept. 2010
Lokasi: Sepanjang Lebuhraya Selatan-Utara
 
 
Pabila malam menjelma
Berbekalkan kamera digital tua
Muncung lensa ku tala tak tentu hala
Lalu…terhasillah getaran CAHAYA
 
 
Karya di ruang maya ini adalah hasil daripada rakaman melalui lensa kamera digita tua.  Garisan pelbagai seperti melintang, menegak, menyerong, berpintal, beralun dan rupa hati yang terhasil adalah kesan pergerakan dengan cara ‘menggoyang-goyangkan’ kamera. Saya mulakan paparan dengan karya pertama iaitu rupa hati hasil daripada cahaya bulan. Agak menarik PABILA BULAN TERBELAH  2…BULAN CINTA PUN MENJELMA!
 
 
 
PABILA BULAN TERBELAH 2
 
 
 
GEMILANG

  

APUNG

  

BA, TA, THA: TANPA TITIK

  

1 HALA TUJU

  

AKSI GERAK PERLAHAN

  

NEUTRAL

  

SEKAWAN

  

PINTALAN 1

  

PINTALAN 2

  

SANG RATU CAHAYA 1

  

SANG RATU CAHAYA 2

  

STRATEGI

 

 

MENUJU PUNCAK

  

STATIK

  

MENGEJAR MIMPI

  

BERHENTI BERLARI

  

KHAYALAN

  

SENJAKALA

  

SEIRAMA

  

ARUS

  

ARAH HIDUP

  

RENTAK HIDUP

  

GARIS WAKTU

  

ATAS vs BAWAH

  

LENA

  

BERPAUT

  

KUPU-KUPU MALAM

 

CAHAYA CINTA 1

 

CAHAYA CINTA 2

 

  

KEMBARA CINTA

16/09/2010

Hari Keluarga Waris Haji Mustafa Raja Kamala

Filed under: Galeri — Akal Sari @ 6:47 pm

 

Tarikh: 11 & 12 September 2010
Lokasi: Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang

  

Pada tanggal 11 dan 12 September 2010 yang lalu, seluruh ahli keluarga almarhum Husain bin Busu (cicit kepada almarhum Haji Mustafa Raja Kamala) telah berhimpun di Hotel Seri Malaysia bagi menghadiri program Hari Keluarga. Tajuk catatan di atas sengaja saya ketengahkan dengan harapan agar sekalian waris Haji Mustafa Raja Kamala dari bahagian jurai yang lain dapat mengenali keluarga saya yang bersusurgalurkan anakanda pertama Haji Mustafa Raja Kamala iaitu Muhammad Ali bin Haji Mustafa. Semoga dengan memaparkan tajuk catatan Hari Keluarga Waris Haji Mustafa Raja Kamala, dapat memudahkan laluan ahli keluarga dari susurgalur yang lain menjejak salasilah seterusnya  menyambung semula tali silaturrahim dengan sekalian waris Haji Mustafa Raja Kamala yang masih ada. Ibarat sebuah pohon yang mempunyai ranting yang banyak cabangnya, maka mudah-mudahan setiap daripada cabang keluarga dapat mengenal antara satu sama lain di bawah satu salasilah keluarga.

Pada tahun ini, hari keluarga almarhum Husain bin Busu (datuk saya) telah dijalankan di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang. Program hari keluarga ini adalah acara tahunan atau adakalanya diadakan 2 tahun sekali…bergantung kepada kelapangan keluarga.  Dana bagi merealisasikan program ini adalah hasil dari kutipan yuran bulanan (RM10) yang disumbangkan kepada Koperasi Husain dan Keluarga oleh ahli yang terdiri daripada anakanda dan anakanda menantu serta cucunda dan cucunda menantu almarhum Husain bin Busu. Koperasi keluarga ini telah ditubuhkan sejak dari tahun 1986 dan kini telah berusia 24 tahun. Pelbagai manfaat yang diperolehi dari penubuhan koperasi ini termasuklah menyalurkan sumbangan kepada anak-anak ahli yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi melalui Tabung Amanah Pendidikan.

Baiklah, setelah bercerita serba sedikit tentang koperasi keluarga…mari saya bawa tetamu semua menikmati laporan bergambar pada hari berlangsungnya program hari keluarga. Pelbagai acara telah dijalankan dalam menjayakan program hari keluarga pada tahun ini. Sebaik check in, semua ahli keluarga yang terdiri daripada generasi ke-5, ke-6 dan ke-7 waris Haji Mustafa Raja Kamala telah berhimpun di dalam bilik seminar Bagan 3 untuk sesi taklimat oleh penganjur program iaitu Pn. Hjh. Hasmah binti Husain (bonda saudara). Jam 4.30 petang, semua ahli keluarga menuju ke lokasi padang  di luar perkarangan hotel untuk acara sukaneka yang dibahagikan kepada 4 kategori iaitu kategori veteran (terdiri daripada bonda dan ayahanda saudara yang merupakan anakanda almarhum Husain bin Busu), kategori dewasa yang telah berkahwin dan kategori dewasa yang masih bujang (terdiri daripada cucunda almarhum Husain bin Busu) dan kategori kanak-kanak (terdiri daripada cucunda yang masih kecil dan cicit almarhum Husain bin Busu). Acara sukaneka ini di uruskan sepenuhnya oleh urusetia hotel. Antara jenis permainan yang dijalankan adalah seperti paparan foto-foto di bawah.

 

Sebaik check in ke bilik masing-masing, semua ahli keluarga telah berhimpun di dalam bilik seminar Bagan 3.

 

Urusetia yang terdiri daripada cucunda Husain bin Busu. Mereka ini adalah sepupu saya (kecuali yang bertudung kelabu…adinda ke-8 saya). Mereka-mereka ini (termasuklah saya) adalah generasi ke-6 Haji Mustafa Raja Kamala.

 

Santai seketika di bawah khemah sebelum acara sukaneka bermula. Cuaca agak panas, jadi masing-masing cari tempat berteduh. 

 

Sambil lepak-lepak, ayahanda membelah lemang…hmmm masing-masing rupanya menuju ke padang dengan membawa bekalan makanan. Rupanya ada yang membawa lemang, nasi impit, rendang, bihun dan kuih-muih dari bilik. Kesudahannya, acara pot luck berlangsung seketika sebelum acara sukaneka bermula. Penganjur program terpaksa pasrah sebab bab rezeki ni tak boleh ditolak…jadi, mahu tak mahu masing-masing jamah dahulu apa yang telah tersedia di hadapan mata.

 

Taklimat ringkas di tengah padang pun bermula…maka berkumpullah peserta kategori veteran (bonda dan ayahanda saudara bersama pasangan masing-masing) disertai kami peserta kategori dewasa yang telah berkahwin/ bujang. Masing-masing memasang telinga mendengar arahan urusetia sukaneka. 

 

Acara pertama pun bermula…acara terompah gergasi kategori dewasa (bujang) dengan penyertaan 4 orang ahli.

 

Acara kedua pula…tarik buah kelapa gelung rotan bagi kategori dewasa (berkahwin). Nampak macam mudah nak tarik, tapi tak kena gaya…buah kelapa hanya bergerak setempat.

 

Acara seterusnya…jalan ala orang utan bagi kategori dewasa (berkahwin). Dalam acara ini, saya dan pasangan mendapat tempat ke-2. Ada juga la hadiah yang jadi tanda ingatan daripada tak menang apa-apa langsung. Buat sepupu yang lain, apa kata cuba lagi tahun depan…heh hehh.

 

Tak dapat main boling, main boling padang dengan buah kelapa sebagai bolanya pun jadi ler. Ni acara kategori veteran…moh kita lihat aksi pasangan bonda saudara saya. Pak we (gelaran ayahanda saudara sulung) dengan gaya bersahaja melontar buah kelapa dalam misi menumbangkan botol-botol 100 plus. “Rembat jangan tak rembat Yop!”

 

Acara berikutnya…kerusi berirama (Musical chair) bagi kategori dewasa (bujang). Nak hadiah punya pasal…berebut sambil mempamerkan aksi senggol-senggolan.

 

Acara bagi kategori kanak-kanak menyaksikan peserta muda ini memerah span yang dicelup dalam air ke dalam botol kosong. Peserta yang dapat mengisi air dengan penuh ke dalam botol bakal dinobatkan sebagai juara. Siapakah juaranya? Sudah tentulah anakanda saya…Nurul Afrina. Tahniah!

 

Sementara peserta kanak-kanak mengambil bahagian, bapa kepada kanak-kanak pula berlari-lari anak di tengah padang. Masing-masing mempamerkan aksi berlari-lari anak sambil cuba mengejar bola dalam usaha merembat bola masuk ke gawang. Memandangkan pergerakan bola lebih laju dari pergerakan kaki mereka, maka ada di kalangan peserta hanya menjadi pemain pasif dari bergerak secara aktif…sekian laporan dari unit sukan.

 

Untuk melatih anak-anak menyusun sepatu dengan baik, maka satu permainan di beri nama cari pasangan kasut dijalankan. Inilah aksi menggelabah yang dipamerkan anak-anak kecil bagi acara kategori kanak-kanak. Ada yang tersasul mengambil kasut/ selipar orang lain. Permainan ini juga sesuai bagi mereka yang sering tersilap atau mungkin sudah biasa menyarungkan selipar/ sandal/ kasut orang lain ke kaki sendiri semasa pulang dari mengerjakan solat jumaat di masjid/ surau…

 

Acara terakhir ialah mengutip gula-gula bagi kategori anak-anak berusia 4 tahun ke bawah. Tapi nampak gayanya, ada seorang kanak-kanak berusia 8 tahun turut serta dalam acara ini dengan alasan membantu mengutip gula-gula buat adiknya. Disebabkan ayahanda kanak-kanak tersebut yang membeli bungkusan gula-gula tersebut, maka saya dan ahli keluarga yang lain terpaksa memejam mata buat-buat tak nampak akan aksi mengelatnya itu…”Daniel…lain kali jangan mengelat ye?” heh hehhhhh 

 

Pada sebelah malamnya, diadakan majlis tahlil arwah di ruang terbuka perkarangan hotel. Bacaan tahlil diketuai oleh saudara Zakirullah (adik ipar). 

 

Empat pasangan dalam foto di atas adalah sepupu saya dengan pasangan serta anakanda masing-masing. Mereka 4 beradik adalah anakanda kepada mak we (gelaran bonda saudara sulung) saya. Kehadiran mereka menambah keceriaan program hari keluarga kerana riuh rendah mereka menggamatkan suasana. Tiga (3) daripada empat (4) beradik ini (Nurbaizurah: berdiri dua dari kiri, Ahmad Rizan: berdiri 2 dari kanan dan Huszairy: duduk 2 dari kanan) telah terbang dari Australia, Abu Dhabi dan Singapura demi menjayakan hari keluarga 2010.

 

Gelagat empat (4) orang daripada lima (5) beradik di atas pentas terbuka.  Mereka ini adalah anakanda kepada kakanda sulung saya.

 

Sebelum sesi makan malam, kami semua bersepakat untuk mengabadikan foto keluarga. Sesi rakaman pertama dimulai oleh golongan veteran yang terdiri daripada bonda dan ayahanda saudara. Duduk dalam barisan hadapan kesemuanya (kecuali 5 dari kiri adalah nenda Jahrah) adalah anakanda almarhum Husain bin Busu manakala berdiri dalam barisan belakang adalah pasangan masing-masing.

 

Foto ini pula memaparkan wajah-wajah generasi ke-5 (bonda dan ayahanda saudara) bersama dengan anakanda dan anakanda menantu masing-masing yang terdiri daripada generasi ke-6 waris Haji Mustafa Raja Kamala.

 

Ini pula adalah rakaman foto keluarga besar almarhum Husain bin Busu. Alhamdulillah, program hari keluarga pada tahun ini dihadiri oleh kesemua anakanda, cucunda dan cicit almarhum kecuali 5 orang iaitu adinda bongsu saya Muhammad Akmal dan Nadiah Hanisah (sepupu) yang berada di Kaherah serta Muhammad Haikal (sepupu) di New Zealand. Ketiga-tiga mereka sedang dalam pengajian manakala 2 orang sepupu lagi iaitu Muhammad Fadzli dan Ahmad Zakir tidak dapat hadir kerana perlu menggalas tugas di hari Raya.    

 

Acara yang ditunggu-tunggu telah bermula…selesai majlis tahlil, masing-masing meluru dengan sopannya ke meja jamuan BBQ dan beraneka menu lainnya. Walaupun lapar…masing-masing perlu bersabar berbaris dalam barisan seiring dengan penampilan. Al-maklumlah, setiap ahli keluarga diwajib mengenakan pakaian tradisional pada acara jamuan, jadi langkah haruslah diatur dengan tenang. Makanan yang disajikan memang membangkit selera… semuanya sedap. Syabas buat Mak Lang selaku penganjur program…pilihan menu memang menepati selera kami semua.

 

Dah selesai ambil nasi dan lauk pauk…mereka menuju pula ke meja yang menempatkan hidangan kek, puding, kuih tradisional, rojak dan buah-buahan.

 

Rojak buah yang disajikan memang ada ummphh…buktinya, lihat sahaja bagaimana ahli keluarga yang lain berkerumun bagaikan semut menghurung gula. Masing-masing menanti giliran untuk sesi cedok mencedok rojak masuk ke pinggan.

 

Wajah-wajah sepupu teruna…dah besar kome semua ye! Di kiri dan kanan adalah anakanda kepada asyu Noni (bonda saudara) dan di tengah pula anakanda asyu Noli (ayahanda saudara).

  

Selesai jamuan, semua ahli keluarga menuju ke bilik Bagan 3 untuk program seterusnya iaitu mesyuarat keluarga. Sebelum mesyuarat bermula, Pak Ngah (kiri) memberi laluan kepada nenda Jahrah (isteri almarhum Husain bin Busu) memperkatakan sesuatu kepada sekalian anakanda/anakanda menantu, cucunda/cucunda menantu yang hadir di bilik mesyuarat. Cucunda dan cicit lain yang masih bersekolah masing-masing dah masuk ke bilik hotel untuk sesi lelap mata. Setelah melafazkan ucapan, En. Abd Arif bin Abdullah (ayahanda) selaku pengerusi Koperasi Husain dan Keluarga Sesi 2008-2010 kemudiannya membentangkan minit mesyuarat dan penyata kewangan yuran koperasi, Tabung Amanah Pendidikan dan hal-hal lain.

 

Suasana sepi seketika di bilik Bagan 3. Kali ni tak boleh riuh-rendah sebab perlu menjaga etika menghadiri mesyuarat. Walaupun mesyuarat pada tahun ini dikendalikan secara lebih formal…namun, yang tak formalnya tetap ada. Agak-agak apa yang tak formalnya? Tu dia…bekalan makanan yang terhidang di hadapan ahli yang menghadiri mesyuarat apa cerita! Ni mesti ditapau dari jamuan BBQ tadi.

 

Apakah yang sedang difikirkan mereka? Sama ada mereka ini benar-benar menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang dibentangkan dalam sesi mesyuarat atau masing-masing dah mengantuk sebenarnya.

 

Inilah individu yang telah dipilih sebulat suara  sebagai Ahli Jawatankuasa Koperasi Husain dan Keluarga bagi sesi 2010-2012. Dari kanan: En. Mukhtar bin Yaccob selaku pengerusi, En. Mohd Akhir bin Abd Arif selaku bendahari dan Puan Rusediana Asrina sebagai setiausaha. Bersedialah menggalas tugas yang diamanahkan ya…kami akan menyokong dan sentiasa memberi kerjasama kepada kalian bertiga.

 

Ini pula adalah paparan foto keesokan harinya pada program penyampaian hadiah di lokasi bilik yang sama iaitu bilik Bagan 3. Lihatlah gelagat mereka yang julung-julung kali dinobatkan sebagai salah seorang pemenang bagi acara kategori dewasa (berkahwin). Aksi sepupu lelaki yang memberi laluan khas kepada si isteri (mengangkat kedua belah tangan) dek kerana sangat teruja akan kemenangan mereka.

 

Gelagat mak lang (Hjh. Hasmah Husain) dan pasangannya ketika sesi penyampaian hadiah oleh mak we (Hjh. Raslah Husain) mencuit hati kami semua.

 

Acara penyampaian hadiah kemudiannya diteruskan pula dengan acara Rantaian Kasih. Dalam acara ini, ahli keluarga bertukar hadiah di antara satu sama lain secara undian. Gulungan kertas undi tertera nama setiap ahli koperasi dimasukkan ke dalam balang. Setiap ahli perlu mengambil gulungan kertas undi dan menuntut hadiah daripada individu yang namanya tertera pada kertas tersebut. Dalam foto di atas, sepupu saya iaitu Ahmad Zaidi (kiri) sedang menyerahkan hadiah kepada adinda ke-6 saya iaitu Mohd Akhir (kanan).

 

Dakapan kasih seorang anak…Asyu Noli (kiri) sedang memeluk erat nenda. Asyu adalah ayahanda saudara bongsu yang mempunyai pertalian adik-beradik dengan bonda saya. Almarhum Husain bin Busu mempunyai 7 orang anakanda (3 lelaki dan 4 perempuan) yang mana bonda saya adalah anak ke-2.

 

Sesi menyampaikan duit raya sebagai program penutup hari keluarga tahun ini. Adinda ke-7 saya, Salwa yang masih dalam pantang membawa bayi lelakinya kepada nenda Jahrah untuk menerima duit raya. Si kecil ini adalah cicit paling muda daripada 20 orang cicit setakat ini. Bakal menyusul 2 orang cicit lagi pada awal tahun hadapan.

Sekian…bertemu lagi pada program hari keluarga pada tahun berikutnya… = )

 

16/07/2010

Ilham Kreatif daripada Batu Sungai

Filed under: Galeri — Akal Sari @ 12:27 am

 

Tarikh : 14 Julai 2010
Lokasi : Pendidikan Khas Integrasi SK Sungai Buloh

 

Terdetik hati untuk melawat rakan-rakan lama dan sebaik melangkah masuk menemui mereka, pandangan saya terarah kepada longgokan batu-batu berwarna yang menarik perhatian mata. Secara jujur, kerjatangan yang dihasilkan mereka untuk Jualan Amal Tabung Pendidikan Khas sepanjang bulan Julai ini amat kreatif sekali. Bentuk serangga dan haiwan diwarnakan dengan penuh kekemasan dan ketelitian.

Saya berikan 5 bintang ***** kepada para pembuatnya… =) 

 

Dari kiri: Erna, Mira (berdiri), Asiah & Ida

Wajah-wajah rakan lama saya di Pendidikan Khas SK Sungai Buloh 2008 (saya sempat berkhidmat selama 1 tahun di sini. Sebelumnya saya menjadi tenaga pengajar di SMK Bandar Baru Sungai Buloh > 2002-2006).

 

Batu sungai sebelum diwarnakan

Beginilah bentuk dan warna asli batu sungai sebelum diwarnakan oleh Pn. Asiah dan dibantu oleh Erna dan Ida (juga individu lain yang membantu tetapi tidak saya catatkan nama kalian di sini) 

 

Proses awal

Keseluruhan permukaan batu diwarnakan dengan teknik warna rata agar sekata sebelum proses lakaran rupa serangga atau haiwan dihasilkan kemudiannya.

 

Proses mengeringkan warna

Setelah diwarnakan bahagian-bahagian tertentu seperti mata, kepala, badan dan sayap serangga atau haiwan, maka proses seterusnya adalah mengeringkan warna di permukaan batu.

 

Kau @ Aku...Siapa laku dulu?

Si Kumbang Merah (kiri) dan Si Tuntung (kanan) masing-masing kelu dan membisu. Hanya bermonolog dalaman, “Antara aku dan dia…siapalah agaknya yang akan dibeli dulu?”

 

Tuntung ini Milik Aku

Siapakah ‘Aku’ yang dimaksudkan? ‘Aku’ adalah tuan punya sanggar ini. Saya telah membeli Tuntung ini walaupun belum lagi memiliki haiwan keras seperti batu ini (memang batu pun…). Harga seekor serangga atau haiwan yang telah disumpah menjadi batu ini adalah RM5 (nak bayar lebih tu dialu-alukan sebab yang lebih itu akan dianggap sebagai sumbangan amal).

  

Si Kumbang Pemalu

 

Si Labi-Labi Bermata Kuyu

 

Si Ular Sawa Tanpa Badan dan Ekornya

12/07/2010

Tersurat di sebalik Tersirat…

Filed under: Galeri — Akal Sari @ 10:19 am

 

Tarikh Mencatan: 11 Julai 2010 (Ahad)
Masa Mencatan : 3.00 – 5.30 petang

 

Tanpa segaris pun lakaran menggunakan media pensil, jalinan-jalinan dengan kepelbagaian garisan dihasilkan secara spontan di atas permukaan kanvas. Walaupun dilakarkan secara spontan, namun lenggok jari jemari ini bergerak secara perlahan…masih mengikut gerak di atas landasan. Karya catan ini adalah karya abstrak…punya makna tersurat di sebalik tersirat. 

 

Panel Penuh

Tajuk : Misteri ‘Si Sangilapi’
Media : Akrilik
Saiz : 56 cm x 40 cm
Tahun : 2010

 

Apresiasi Karya
Misteri ‘Si Sangilapi’

 

Panel 1

Titik pertama karya ini bermula dari bawah lalu bersambung dan berakhir dengan garisan berlingkar di hujungnya. Ia simbolik kepada kehidupan Si Sangilapi… 1000 langkahnya bermula dengan 1 langkah. Langkah pertama dari bawah bukanlah mudah, malah penuh liku sebelum beroleh rezeki yang murah. 

 

Panel 2

Aplikasi jalinan dengan kepelbagaian garisan adalah liku-liku kehidupan yang ditempuhi sepanjang laluan. Garisan bergerigi adalah ranjau berduri…namun Si Sangilapi tetap tabah mengharungi. Kecekalan dan kegigihannya diterjemahkan dengan aplikasi garisan tebal  sebagai benteng kekuatan diri. Kalimat keramat ‘Apa Kamu Cari dan Apa Kamu Mau’ secara tidak langsung mencerminkan tentang prinsip hidupnya (sama ada dia sedar atau tidak…tapi itulah hakikatnya). Sebenarnya apa yang dia cari adalah apa yang diimpikan dalam kehidupannya. Walaupun bukan dengan cara yang cepat tetapi agak lambat…dia tetap dapat apa yang dihajat. Justeru, dalam karya ini kita menemukan garisan-garisan beralun dan berlingkar sebagai simbolik kepada perjalanan kehidupan. Namun, perjalanan inilah yang telah memberikan 1001 pengalaman berharga buat Si Sangilapi. Berdepan karenah manusia yang beraneka ragam sifat dan sikapnya dalam situasi berbeza. Di situlah dia belajar tentang citra dan warna manusia di sekelilingnya. Bukankah ilmu itu luas cakupannya? Tidak hanya terbatas pada pendidikan secara formal…berhadapan dengan ragam manusia itu juga adalah sebahagian ujian yang lebih mengujakan sifatnya…

 

Panel 3

Warna hijau lumut sebagai warna latar dalam karya diserlahkan dengan warna emas dan perak (silver). Ia membawa pengertian tersirat tentang… (sesiapa sahaja boleh sambung untuk melengkapkan apresiasi karya Misteri ‘Si Sangilapi’  ini)

p/s: Apresiasi karya ini adalah ulasan saya secara peribadi berdasarkan hasil pembacaan kisah kehidupan Si Sangilapi di blog rezekimurah.com… Ia juga adalah sebagai penghargaan saya kepada Si Sangilapi selaku pengunjung tetap blog ini… =)

 

02/07/2010

Terapi Pandangan Melalui Biasan Keindahan

Filed under: Galeri — Akal Sari @ 11:28 pm

 

 

15/06/2010

Nostalgia: Ayahanda & Bonda

Filed under: Galeri — Akal Sari @ 10:39 am

 

Petang semalam saya pulang ke Tanjung Malim…kebetulan ada tetamu yang singgah ke teratak ayahanda bonda. Tetamu tersebut yang saya panggil Kak Som adalah kenalan lama bonda semasa bertugas di Kuching Sarawak. Kali pertama bersua dengannya semasa saya berusia 8 tahun. Awal tahun lalu saya ada membawa bonda ke Utara tanah air bertemu semula Kak Som. Pertemuan yang berlangsung di Alor Setar antara keduanya telah diatur setelah hampir 26 tahun terpisah. Semalam, Kak Som bersama 3 lagi temannya berziarah sebagai kunjungan balas terhadap kedatangan bonda ke Alor Setar beberapa bulan yang lalu. 

Sekian lama tidak bersua,  tersingkaplah kisah lama…lalu lembaran album lama pun dibuka. Bila album lusuh dilambakkan di hadapan mata, saya pun mengambil peluang membelek satu persatu foto yang terkandung di dalamnya. Wajah-wajah kesayangan dalam warna hitam dan putih mengundang perhatian. Di kala itu saya tersenyum sendirian bila membaca catatan pada bahagian belakang foto. Dalam hati berbisik, “jiwang jugak ayahanda dan bonda di usia muda remaja.” Gelagat saya diperhatikan ayahanda lalu tak semena-mena pertanyaan menerjah telinga, “apa yang lucunya?” Dalam sengih spontan saya bacakan catatan yang tertera sehingga ayahanda dan bonda tertawa mendengarnya. Sambil jari jemari menarik beberapa kepingan foto pilihan, saya bersuara, “Ayah, nak pinjam foto lama. Nak rakam semula dan masuk dalam blog.” Pada awalnya ayahanda dan bonda tidak mengizinkan hajat saya untuk memaparkan foto-foto lama. Namun setelah dipujuk akhirnya mereka memberi persetujuan. Dalam banyak foto yang ditatap, beberapa foto di bawah jadi pilihan setelah disaring…

 

Ayahanda nampak segak bertali leher dan mengenakan kot hitam…foto ini dirakam ketika ayahanda di usia awal 20-an.

 

 

Ayahanda (2 dari kanan) bersama teman-teman semasa menyertai Angkatan Simpanan Tentera Laut KD Sri Klang (Foto dirakam pada tanggal  23 Oktober 1970)

 

Ayahanda dan gitar kayu (lupa nak tanya sama ada milik peribadi atau pinjam). Aktiviti bersama teman-teman semasa bersantai.

 

Ayahanda ketika menyertai acara Big Walk…sukan yang paling diminati selain beraksi dalam permainan badminton dan ping pong.

 

Ayahanda zaman mudanya menangkap ikan tanpa menggunakan batang pancing. Sambil menyelam, menembak ikan…menggunakan alatan khas buatan sendiri (seperti yang diceritakan kepada saya)

 

Wajah bonda di awal usia 20-an. Raut wajah bonda diwarisi oleh kakanda sulung. Saya pula tak pasti apakah raut wajah saya ada iras bonda…mungkin persamaannya pada bentuk bibir kami berdua.
 

 

Wajah bonda macam Amoi. Lihat bentuk mata saling tak tumpah macam orang Cina. Empat (4) daripada tujuh (7) adik-beradik bonda mempunyai mata sepet yang diwarisi daripada nenda (bonda kepada bonda saya) yang berdarah keturunan Cina dengan agama asalnya adalah Buddha. Hanya nenda saya seorang sahaja yang memeluk agama Islam kerana telah diserahkan kepada keluarga Islam sejak kecil. Namun hubungan nenda dengan adik-beradiknya yang beragama Buddha masih terjalin. Justeru selain perayaan Hari Raya, keluarga kami tetap berkunjung ke rumah mereka pada setiap kali perayaan Tahun Baru Cina.

 

Aktiviti bercucuk tanam adalah hobi yang paling digemari selain menjahit, memasak dan bersenam. Kesemua hobi tersebut masih dijalankan secara aktif sehingga kini.

 

Bonda (paling kiri) bersama teman-teman bergambar kenangan…4 dara pingitan di atas anak tangga merenung tajam ke arah lensa kamera.

 

Bonda (kiri) bersama salah seorang teman mengabadikan foto rakaman di pentas Kota Bharu Kelantan (Foto dirakam pada tanggal 06/08/75)

 

Ayahanda dan Bonda bergelar Raja Sehari…antara keduanya pernah belajar di kelas yang sama semasa alam sekolah menengah lalu ditakdirkan bersua dan akhirnya mendirikan istana bahagia.

 

Foto ini dirakam selepas lebih setahun pernikahan. Lokasi kunjungan adalah di pentas terbuka Kota Bharu, Kelantan. 

 

Foto berwarna sebagai penutup tirai Nostalgia: Ayahanda & Bonda…foto di ambang usia senja namun masih kelihatan muda dan ceria raut wajahnya… 😉

 

07/06/2010

Catan: Eksperimentasi Jalinan

Filed under: Galeri — Akal Sari @ 9:04 pm

 

Tarikh Mencatan : 06 Jun 2010
Waktu Mencatan : 2.30 pagi – 4.00 pagi (Sesi per-1)
                                 10.00 pagi – 12.30 tengah hari (Sesi ke-2)
 

 

Ilham lahir daripada kecelaruan dan kekusutan fikiran…lalu visual 2 dimensi dengan kesan jalinan diaplikasi pada permukaan kanvas yang diregangkan. Jauhar Tanafus 1 secara simboliknya berbicara tentang Batu Kehidupan Si Penjejak Mihrab & Mimbar dalam misi merentas lautan ilmu pengetahuan yang luasnya tak bersempadan. Mampukah Si Penjejak Mihrab & Mimbar mengharungi perjalanan? Ujiannya adalah liku berupa bongkahan-bongkahan batu kehidupan yang merentang laluan…

 

Panel Penuh
 
Panel Menegak 

 

Panel Melintang

Nama  : Si Penjejak Mihrab & Mimbar
Tajuk  : Jauhar Tanafus 1
Tahun  : 2010
Media  : Akrilik
Saiz  : 75 cm x 50 cm
 

Koleksi Karya

Filed under: Galeri — Akal Sari @ 3:53 pm

  

Media Kering vs Media Basah 

Koleksi karya ini adalah himpunan peribadi saya sejak dari tahun 1996 hingga 2007. Saya lebih cenderung dan selesa menggunkan media kering (pensel dan pensel warna) dalam penghasilan karya. Namun, penggunaan media basah (cat minyak dan akrilik) masih di tahap mencuba-cuba. Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dari masa ke semasa.  

  

Media: Campuran

   

Media: Campuran

  

Media: Pensel

  

Media: Pensel

  

Media: Cat Minyak

  

Media: Cat Minyak

  

Media: Cat Minyak
Media: Cat Minyak

  

Media: Pensel Warna

  

Media: Marker

02/05/2010

Album Tsunami

Filed under: Galeri — Akal Sari @ 6:16 pm

 

Saat tsunami menghancurkan segala yang ada…si ibu kehilangan anaknya, si anak kehilangan ibunya…Kepedihan tiada tara…Paparan video pembuka tirai, mengimbas tragedi yang meragut nyawa insan yang dekat di hati mereka…

 

 

Di ruangan ini saya paparkan sebahagian foto yang dirakam semasa sesi lawatan ke Muzium Tsunami, Banda Aceh. Walaupun tragedi ini telah berlaku lebih 5 tahun yang lalu, parut dan lukanya masih terasa…akan dikenang selamanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

23/04/2010

Sentuhanku

Filed under: Galeri — Akal Sari @ 3:27 am

 

Sentuhanku khas buat seorang sepupu…(Ahmad Khuzaimi).
Semoga tanggal 1 Mei yang bakal menjelang menjadi detik terindah buat bakal mempelai.

Kebiasaannya daku lebih selesa memilih bekas untuk menempatkan barang hantaran. Tidak perlu bersusah payah menggubah pelbagai bentuk. Hanya dengan lipatan yang mudah dan ringkas tetapi kemas. Justeru, bekas kayu warna emas menjadi pilihan. Hitam, emas dan krim tema warna bakal Raja Sehari. Kombinasi 3 warna tampak mewah apabila diketengahkan. 

  

 

 

 

 

 

 

Laman Berikutnya »

Create a free website or blog at WordPress.com.