Jejak Mihrab & Mimbar

04/06/2010

Alam Sekolah Menengah (1989-1993)

Filed under: Diari Hidup — Akal Sari @ 11:29 am

 

Berpindah Lagi: Perak  >Selangor > Sempadan Perak & Selangor

Tingkatan 1 (Jan – Ogos 1989) saya melangkah pula ke alam sekolah menengah dan bergelar murid SM Seri Manjung di Sitiawan. Sekolah ini terletak bersebelahan dan berkongsi pagar dengan SK Seri Manjung. Sebenarnya saya telah mendapat tawaran belajar di sebuah sekolah agama iaitu Sekolah Raja Perempuan Taayah di Ipoh. Saya memang berharap dapat masuk ke asrama selepas menghadiri ujian saringan di sekolah tersebut. Namun tawaran tersebut telah ditolak oleh emak dengan alasan bimbangkan kesihatan saya selepas menjalani pembedahan appendiks 6 bulan sebelum mendaftar ke sekolah menengah. Oleh sebab faktor kesihatan, saya kurang aktif dengan aktiviti kokurikulum seperti permainan. Namun saya tetap memilih permainan badminton dan bola tampar yang disertai secara kurang aktif selain menyertai Kelab Geografi dan Persatuan Bulan Sabit Merah  (kalau tak salah).

Ini cerita di dalam kelas pula…saya agak kekok bergaul dengan murid lelaki. Apa yang melucukan pada masa tersebut adalah sikap kasar saya apabila berhadapan mereka yang berlawanan jantina. Entah mengapa saya pun tak tahu…yang pasti mereka sering jadi tempat saya bertikam lidah sehingga saya dilabelkan ‘anti lelaki.’ Yang selalu jadi mangsa adalah rakan yang bernama Irwanshah, Abadi dan beberapa orang lagi suku sakatnya. Kenangan paling manis adalah bilamana saya diberi mandat oleh pihak sekolah untuk menghasilkan lukisan pelan bangunan sekolah yang perasmian pembukaannya disempurnakan oleh Pemangku Sultan Perak, Raja Dr.  Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Saya tersenyum sendirian dari luar jendela kala melihat Raja Muda berdiri memerhatikan pelan sekolah…hasil buah tangan saya yang terpamer di ruang pameran. 

Bulan September 1989, ayah bertukar tempat kerja…dari ITM Cawangan Sitiawan  berhijrah pula ke ITM Cawangan Shah Alam. Saya pula pada masa tersebut bergelar murid baru tingkatan 1 yang mendaftar masuk pada penghujung persekolahan di SM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 2, Shah Alam. Di sinilah saya mengenal seorang rakan baru yang layak saya gelar sahabat karib dek kerana susah senang ditempuhi bersama. Norsafura binti Ayob si empunya nama…lemah lembut dan bersopan santun orangnya.

Ada kisah sebelum saya mula berbaik dengannya. Dari hari pertama saya lihat dia sering jadi tempat rakan membuat permintaan membeli makanan…setiap kali waktu rehat pasti ada sahaja rakan sekelas yang meminta sahabat saya ini membeli itu dan ini. Setakat seorang yang memesan boleh tahan lagi, tapi bukan seorang malah beberapa orang. Dari hari ke sehari saya melihat sikapnya yang baik hati dan tak pernah beri alasan sehingga satu tahap saya pula yang naik angin. Nak dijadikan cerita pada satu hari saat seorang rakan lelaki menghulurkan duit memesan sahabat ini membeli kuih di kantin, saya dengan selamba menyindir, “Awak yang nak makan, awk beli le sendiri…apa awak ingat dia kuli?” Memang kasar dan tajam sindiran saya…nak buat macam mana, dah hilang sabar melihat gelagat rakan tadi yang setiap hari ‘mengarah’ beli itu dan ini. Lainlah kalau dirinya tak sempurna tempang sebelah kaki sehingga sukar mengatur langkah menuju ke kantin. Ni sihat walafiat siap boleh melompat sana sini. Itulah kali pertama sindiran saya menerjah telinga ‘si pesuruh’ tadi dan itu juga merupakan kali terakhir sahabat saya menjadi ‘orang suruhan’ baik kepada ‘si pesuruh’ tadi mahupun rakan-rakan yang lain. Berbalik pada sahabat saya tadi, dialah satu-satunya sahabat yang duduk bersebelahan dengan saya dari tingkatan 1 hingga 4. Malah sehingga sekarang saya masih berhubung melalui telefon dengannya. Berbicara soal kehidupan…berkongsi segalanya tanpa batas terutamanya yang melibatkan soal hati dan perasaan. 

Oleh sebab bersekolah di SM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ini paling lama berbanding sekolah lain, jadi banyak kenangan yang terakam indah dan terpahat utuh di kotak minda. Berada di kelas 4EKII (1992) yang diwarnai dengan anekaragam gelagat rakan sebaya sering menimbulkan emosi berbeza. Kelas ini saya sifatkan ‘berpuaka’ pada masa tersebut. Bilangan murid lelaki yang hampir 3 kali ganda melebihi jumlah murid perempuan (12 orang) tidak pernah sunyi daripada keadaan huru hara.  Baik guru matapelajaran ada atau tiada…tingkahlaku mereka sama sahaja. Kalau tak cukup bilangan murid dalam kelas…tinjau sahaja tangga sebelah kelas (kelas 4EKII terletak di hujung bangunan bersebelahan tangga) yang jadi markas lepak geng-geng ponteng kelas. Ruang bahagian belakang kelas adakalanya jadi gelanggang permainan takraw sementara menanti pertukaran waktu guru matapelajaran.  Adakalanya kelas berada di luar kawalan terutamanya semasa subjek Agama Islam bermula. Ustaz Bari bagaikan berceramah sendirian di hadapan anak murid yang masing-masing hangat berbicara tentang isu semasa. Mereka mula mewujudkan forum-forum kecil diketuai pengerusi dan ahli-ahli panel yang terdiri daripada suku sakat masing-masing. Hanya apabila cikgu Norsiah (guru kelas) masuk, keadaan mula reda… daripada situasi huru hara, terus mereka mendiamkan diri seribu bahasa. Itulah ‘gelagat karat’ mereka yang bergelar ‘mat-mat ligat’ di kelas saya. Namun itu kisah hampir 14 tahun lalu…realitinya kini mereka tidak seperti dulu. Perjumpaan bekas pelajar 4EKII beberapa bulan lalu membuatkan saya tersenyum sendiri tatkala melihat wajah-wajah mereka.  Masing-masing dah berstatus ‘bapak-bapak orang’ yang berwajah lebih tenang.  

Bakat penulisan saya mula bersinar di sekolah ini. Apa sahaja pertandingan mengarang esei baik dianjurkan pihak sekolah atau luar dari sekolah akan disertai. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya adalah tajuk esei yang pernah saya kupas isinya sehingga mengundang perhatian guru Bahasa Melayu. Penyertaan secara suka-suka di saat-saat akhir pertandingan mengarang esei bertema Keluarga Bahagia sempena Hari Keluarga ITM (1990 kalau tak silap) tidak menghampakan. Tidak sangka pula saya berjaya meraih tempat pertama dalam pertandingan. Begitu juga semasa menyertai pertandingan mengarang syair tentang Rasul Junjungan sempena Maulidur Rasul di peringkat sekolah. Namun, mengarang syair berbentuk puji-pujian ini ilhamnya terbit dalam mimpi. Bagaikan mendengar alunan bisikan ayat-ayat pujian ke atas Rasul Junjungan sehinggakan saya bangkit dari lena lantas mencapai pena. Lalu bait-bait syair yang terngiang-ngiang di telinga dan masih segar dalam minda saya terjemahkan di atas sekeping kertas. Lebih 5 rangkap syair tercipta dan hasilnya saya serahkan keesokan harinya yang kebetulan adalah hari terakhir penyertaan. Apa yang mengejutkan… nama saya disebut sebagai johan pertandingan sewaktu pengumuman nama pemenang di tapak perhimpunan. Dalam manis ada juga peristiwa pahit yang saya lalui dalam bab karang mengarang ni. Paling pahit dikenang saat mengarang cerpen yang telah 10 halaman ditaip, lalu file cerpennya tak semena-mena terdelete. Kecewa tak terkata…berendam air mata kesudahannya.

Penghujung tahun 1992, keputusan ayah bersara pilihan dalam usia 43 tahun mengejutkan kami semua. Ayah nekad berhenti kerja untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Oleh hal demikian, berpindahlah kami sekeluarga ke Tanjung Malim yang bersempadan dengan Perak dan Selangor…tempat kelahiran ayah. Tinggallah kami di rumah pusaka arwah datuk dan nenek (sebelah ayah). Di Tanjung Malim saya belajar dalam tingkatan 5 Budi  di SMJK Methodist. Sekolah ini berhadapan dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (dahulunya Institut Perguruan Sultan Idris). Murid berbangsa Melayu adalah kaum minoriti di sekolah ini. Setiap hari saya akan menaiki basikal, namun sekali sekala dihantar ayah ke sekolah.

Sejak hari pertama melangkahkan kaki ke sekolah ini, saya telah menanamkan azam dan tekad untuk belajar dengan tekun dan gigih. Lagipula saya menyedari bahawa peperiksaan SPM yang bakal ditempuhi adalah penentu kepada impian saya bergelar seorang mahasiswi. Saya ingin mengikut jejak langkah yong yang pada masa tersebut berada di tahun pertama jurusan Undang-Undang, UiTM Shah Alam. Yong ‘ulat buku’ bukan seperti saya yang banyak ‘mengelamun.’ Emak selalu berleter (cara menegur untuk kebaikan sebenarnya) bila melihat saya asyik melayan lagu-lagu di corong radio. Membaca buku pun sambil layan lagu yang berkumandang. Sekadar menjadi halwa telinga…2 dalam 1. Apa yang di baca dan didengar diserap serentak. Kaedah belajar mengikut acuan sendiri. Sejak dari sekolah rendah saya tidak pernah dihantar emak dan ayah ke kelas tuisyen dan saya sendiri pun tak pernah menyuarakan hasrat untuk menghadirinya. Rahsia saya hanya satu, tumpukan sepenuh perhatian semasa guru mengajar di dalam kelas. Sikap suka bertanya adalah kunci untuk membuka segala kemusykilan yang ada. Pertanyaan bukan setakat di dalam kelas, jika ada kesempatan saya akan bertemu guru di bilik guru untuk mengajukan sebarang soalan. Sejak dari tingkatan 1 hingga 5, tempat duduk paling hadapan adalah lokasi tetap saya dalam kelas.

Di sekolah ini, saya melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kokurikulum. Memegang jawatan sebagai Bendahari Persatuan Bahasa  Melayu,  AJK Kebajikan Puteri Islam, ahli  Kelab Kerjaya dan Kaunseling, ahli Kelab Permainan Dalam  selain bergelar Bendahari kelas 5 Budi. Agak menghairankan sejak dari dahulu lagi saya sering dilantik menjadi bendahari walhal bab kira-mengira paling saya lemah. Penilaian atas dasar kepercayaan agaknya. Secara jujurnya, jawatan bendahari ini paling berat untuk saya terima. Namun apakan daya, nak menolak…alasan yang diberi tak diterima mereka. Diringkaskan cerita, beberapa bulan sebelum peperiksaan SPM, hampir setiap petang selepas pulang dari sekolah saya dan beberapa orang rakan sekelas akan mengadakan perbincangan secara berkumpulan. Setiap seorang akan diberi topik berbeza…masing-masing akan memberi penerangan mengikut giliran.

Semasa menghadapi peperiksaan SPM…walaupun wajah nampak bersahaja tetapi saya lalui dengan darah gemuruh sebenarnya. Darah gemuruh tersebut lebih ketara pada hari keputusan SPM diumumkan. Ditemani seorang rakan, kami berdua mengayuh basikal untuk mengambil slip keputusan. Walaupun slip keputusan SPM telah berada dalam genggaman, namun saya tidak terus melihat apa yang tertera di muka slip. Tanpa berlengah saya terus berlalu…pergi ke arah basikal lalu menyorong melalui lorong menuju ke pagar utama. Dalam langkah sebelum sampai ke pagar sekolah itulah saya melihat keputusan yang terpapar. Alhamdulillah…saya berjaya perolehi Gred 1. Nikmat yang tak terucap dengan kata-kata…rasa syukur tak terhingga.

Sebaik tiba di rumah, insan pertama yang saya cari adalah emak. Kebetulan emak sedang memasak di dapur. Saya memandang ke wajah emak sambil bersuara, “Mak, teka…leny dapat gred berapa?” Emak pandang tepat ke wajah saya lalu meneka, “Entah! gred 2 kot…” Saya tidak terasa dengan telahan emak…mungkin kerana saya bukan ‘ulat buku’ seperti yong lantas membuatkan emak menelah sedemikian. Emak terus memeluk dan mengucapkan tahniah ketika saya berkata “Leny dapat gred 1 mak.” Saat itu juga air mata saya berguguran kerana sebak…emosi spontan yang hadir kerana telah menghadiahkan sebuah kejayaan yang tidak seberapa, namun pasti ianya menggembirakan hati emak dan ayah.

Walaupun tidak dinobatkan sebagai pelajar terbaik sekolah (tak silap saya, murid berbangsa Cina raih keputusan terbaik) tetapi saya amat bersyukur kerana memperolehi keputusan terbaik di kalangan murid berbangsa Melayu pada tahun itu. Apa yang lebih manis untuk dikenang adalah anugerah terbaik bagi matapelajaran Bahasa Melayu SPM yang saya perolehi. Sekurang-kurangnya, saya ketahui bahawa hasil karang mengarang saya dihargai… =)

 

02/06/2010

Alam Sekolah Rendah (1983-1988)

Filed under: Diari Hidup — Akal Sari @ 11:49 am

 

Berpindah Randah: Sarawak > Selangor >Terengganu > Perak

Tahun 1 dan 2 (1983-1984)  saya dan yong bersekolah di SRJK Batu Lintang di Kuching, Sarawak. Saya hanya sekadar murid biasa yang hadir ke sekolah seperti murid-murid lainnya…tidak seperti yong yang aktif dengan kelas muzik dan tariannya.  Walaupun tidak menyertai yong (lantaran minat kami berbeza), namun saya bangga melihat persembahan yong tatkala beraksi dengan lenggok tarinya di atas pentas. Saya pula hanya melangut sebagai pemerhati setia di bawah pentas yang terbuka. Dalam usia 8 tahun, pelbagai pertandingan nyanyian disertai yong. Dalam rata-rata acara, yong biasanya akan raih tempat pertama. Seperti biasa, hadiah hamper akan diagih sama rata kepada kami semua. Sifat ‘beralah’ dan sikap ‘tak kisah’ yong membuatkan kami semua adik-adiknya akan mencarik-carik dahulu plastik hamper dimenangi sebelum yong sempat merasmikan barangan makanan yang terkandung di dalamnya.  

Kalau itu tentang kelebihan yong, tentang saya apa pula? Dalam senyap bergelar murid biasa, saya ke sekolah selain belajar punya aktiviti yang dicipta sendiri. Apa yang saya buat? Menjual buku nota kecil yang dikepit dengan dawai kokot…muka hadapan (kulit buku) pula saya lakarkan dengan lukisan figura watak kartun Jepun. Lakaran tersebut kemudiannya saya warna untuk menarik perhatian rakan-rakan sekelas. Kerja tangan ini saya lakukan di rumah. Prosesnya mudah sahaja…lembaran buku-buku lama dikoyak dan dikerat mengikut saiz tertentu sebagai isinya. Kertas lukisan atau kertas A4 pula sebagai kulitnya diperindahkan dengan lukisan watak berbeza…lalu hasilnya dibawa ke sekolah sebagai sampel jualan. Dengan niat awal sekadar suka-suka akhirnya aktiviti jualan buku nota bersaiz buku 555 (saiz paling kecil) mendapat sambutan. Itulah aktiviti saya yang tak diketahui sesiapa baik emak, ayah mahupun cikgu sekolah. Bukan tak cukup duit belanja yang ayah beri…tapi seperti yang saya jelaskan sebelumnya, niat ‘sekadar suka-suka’ itulah permulaannya dan duit yang masuk ke poket membuatkan aktiviti tersebut makin aktif  penyudahnya. Maka, makin sakan pula saya membeli jajan-jajan yang pelbagai rasa dan aneka warna bungkusannya buat bekalan di rumah. Agaknya di sinilah bermulanya bakat seni saya…semoga bakat ini terus menerus mengalir dalam diri hingga akhir nanti.

Tahun 3 (1985) saya mengikut keluarga berpindah ke Shah Alam dan bersekolah di SK Raja Muda Seksyen 4. Tidak banyak peristiwa yang saya ingat sepanjang menjadi murid di sini. Yang saya ingat adalah rakan baik saya yang bernama Nur Zuhailasham…berdarah kacukan Melayu dan New Zealand. Pangkal namanya N dan Z diambil sempena tempat kelahiran (New Zealand). Sejak dari zaman sekolah, saya hanya serasi memilih seorang kawan baik sahaja. Rakan yang lain sekadar berbual biasa sahaja bila ada topik yang ingin dikongsikan.

Tahun 4 dan 5 (1986-1987) sekali lagi saya mengikut keluarga berpindah ke Terengganu dan bersekolah di SK Sura di Dungun. Saya dan yong menjadi perhatian di sini…maksud saya diperhatikan dengan pandangan sinis oleh rakan-rakan dan beberapa orang guru yang lain. Dengan mengenakan gaun uniform putih dan biru tua paras lutut, pakaian kami berbeza dengan murid-murid lain yang berbaju kurung dan bertudung bagi perempuan. Hari pertama, yong telah dipanggil oleh guru disiplin yang telah berpesan untuk mengenakan baju kurung keesokan harinya. Pesan yang disampaikan yong kepada emak sebaik tiba di rumah disambut dengan nada geram oleh emak. Patut pun emak saya bersikap demikian, kerana semua baju kami dijahit emak sendiri bukan dibeli siap di kedai. Dengan kesibukan mengemas barangan kerana baru berhijrah dari Shah Alam, akhirnya baju sekolah kami siap juga dijahit emak…itupun setelah sebulan kemudian. Saat inilah saya mula berjinak-jinak dengan pakaian yang menutup aurat yang mana pihak sekolah mewajibkan semua murid perempuan bertudung. Bukan sahaja di dalam sekolah…pemakaian sopan tersebut turut digayakan sehingga ke luar sekolah. Pernah satu ketika saya dan kakak mengenakan gaun ketika bersiar bersama keluarga. Pemakaian kami akhirnya jadi bahan cerita rakan-rakan sekolah. Dek kerana malu disindir, dari hari ke sehari cara pemakaian kami turut berubah kepada pakaian yang lebih sopan termasuklah emak yang mula belajar mengenakan skaf di kepala.

Dalam tempoh 2 tahun, selain bersekolah 5 hari seminggu, emak dan ayah turut menghantar saya empat beradik (termasuk 2 adik lelaki di bawah saya) ke kelas Fardhu Ain di Surau Ikhwanal Muslimin di Kampung Sura Tengah, Dungun. Di sinilah saya belajar ilmu Tauhid, Fekah,  Hafalan/ Doa serta belajar membaca  dan menulis dalam aksara jawi dengan seorang guru bernama A. Aziz Jusoh. Hanya Allah yang dapat membalas jasa beliau dalam mendidik dan membimbing saya dan sekalian anak muridnya. Walaupun baru setahun belajar, keputusan saya tidaklah menghampakan kerana daripada 62 orang murid yang ada, saya telah memperolehi kedudukan ke 16 dalam kelas (rekod keputusan matapelajarannya masih saya simpan dengan baik dalam fail peribadi).

Tahun 6 (1988) ayah bertukar tempat kerja…dari Dungun keluarga kami seterusnya berhijrah ke Sitiawan, Perak. Ramai beranggapan ayah saya seorang anggota polis atau tentera kerana sering berpindah. Sebenarnya ayah berjawatan Penolong Pendaftar di Hal Ehwal Pelajar (HEP) di ITM pada masa tersebut. Menurut emak, ayah tidak akan melepaskan peluang sekiranya ada tawaran untuk berpindah. Ini terbukti apabila dalam tempoh 6 tahun di alam sekolah rendah, keluarga saya telah 4 kali berpindah randah. Di Sitiawan, saya, yong dan dua orang adik lelaki bersekolah di SK Seri Manjung. Saya agak aktif ketika bergelar murid di sekolah tersebut dengan menyertai permainan badminton dan bola tampar sekolah. Bermula dengan pertandingan peringkat sekolah, saya akhirnya terpilih sebagai wakil sekolah seterusnya bertanding di peringkat daerah.

Selain aktif dengan kegiatan kokurikulum di sekolah, saya turut didedahkan dengan dunia jahitan apabila dihantar berkursus oleh emak. Dua kali seminggu selepas pulang dari sekolah, saya akan mengayuh basikal menuju ke kedai jahitan auntie Lily. Saat itulah saya mula mengenal teknik menghasilkan pattern construction dan garment making selain turut mengenal istilah juga mengetahui fungsi dan kegunaan alat-alat jahitan seperti sekoci, bobbin, bobbin case, roller dan lain-lain lagi. Bermula dari saat itu juga saya mula mengambil alih tugas emak dengan menjahit pakaian sendiri. Baik pakaian sekolah atau pakaian untuk hari raya semuanya dihasilkan sendiri. Dan buat pertama kali juga dalam usia 12 tahun saya diberi mandat untuk menjahit sepasang baju kurung moden yang kemudiannya telah disarung dan digayakan oleh emak pada hari pertama hari raya…  =)

 

 

Ceritera Cita-Cita Si Empunya Sanggar

Filed under: Diari Hidup — Akal Sari @ 12:14 am

  

Sifat Sikap Berbeza Walaupun Sedarah Sedaging Serahim

Lahir dalam keluarga besar, saya adalah anak kedua dalam sembilan bersaudara. Antara saya dengan kakak sulung yang saya panggil ‘Yong’ hanya berbeza setahun usia. Kami berbeza karektor walaupun keluar dari satu rahim dan memiliki jenis darah yang sama. Yong pendiam dan lembut orangnya malah dalam diari emak, Yong disifatkan sebagai anak yang taat. Saya pula berlawanan perwatakan…ramah dan agak defensif orangnya. Namun, dalam kedegilan ada juga pujian daripada emak yang melabelkan saya sebagai anak penyayang dan mengambil berat. “Maaf emak kerana membaca catatan yang terakam kemas dalam diari peribadi…bukan sengaja tapi diari yang emak catatkan tentang sifat kami semua terjatuh lalu terbuka pada lembaran catatan perihal semua cahaya mata sewaktu leny sedang mengemas almari pakaian emak.” Ketika berusia 15 tahun (1991) segala rahsia yang dirakam emak tentang anekaragam anak-anaknya telah saya ketahui. Rahsia dalam diari peribadi emak, kini saya kongsikan bersama pengunjung dalam sanggar ini. Sehingga ke saat ini emak tidak ketahui yang saya pernah membacanya (melainkan ada di antara adik-beradik lain membocorkannya setelah membaca catatan ini). 

 

Guru @ Doktor @ Saudagar = ?

Masa darjah satu bila cikgu kelas tanya, “Cita-cita nak jadi apa?” lalu saya jawab, “Guru, doktor atau saudagar cikgu.” Kisah tentang cita-cita ni ada saya catatkan dalam Sanggar Himpunan Kisah Lucu. Lucunya bukan dek kerana kerjaya pilihan tetapi 3 serangkai cita-cita tersebut pernah saya ceburi dalam hidup walaupun hanya sekadar tempiasnya. Kakak sulung yang saya panggil ‘Yong’ pula dari darjah 1 hanya ada satu cita-cita…tak pernah berubah hala dan matlamat bergelar seorang peguam. Yong berjaya jua akhirnya mencapai cita-cita yang diimpikan sejak berusia 7 tahun. Saya pula tak nampak arah tuju sebab punya cita-cita yang bercapah. Sebenarnya impian untuk bergelar doktor ni saya pinda dari cita-cita pertama jatuh ke anak tangga ke-2. Memang hasrat nak jadi doktor, tapi mengenangkan percikan darah…terus jadi hambar. Lalu cita-cita sebagai guru saya alihkan kedudukannya ke anak tangga teratas (per-1). Saudagar pula sekadar mencukupkan 3 pilihan cita-cita yang diminta oleh guru kelas semasa mengisi borang maklumat murid. Bila cikgu tanya saudagar apa, saya beri jawapan, “Saudagar kain…” Bukan main ‘gah’ istilah saudagar yang digunapakai. Istilah hasil plagiat dalam buku Alladin yang ayah beli.

 

3 Serangkai Cita-Cita

Berkat 3 serangkai cita-cita pilihan, hasrat untuk mencapai impian sempat saya rasakan tempiasnya. Pernah bergelar siswazah jurusan Senireka Fesyen (1994-1998) yang memerlukan kepakaran saya menggunting gulungan kain dan menjahit pelbagai jenis rekaan pakaian. Bidang ini demi memenuhi hasrat emak yang inginkan salah seorang anaknya mewarisi kepakarannya. Kepakaran yang diwarisi sejak turun temurun…baik moyang, opah dan emak masing-masing mempunyai kemahiran menjahit pakaian dan sehingga kini emak masih mengambil tempahan menjahit langsir dan pakaian.

Sebaik melangkahkan kaki ke menara gading, hajat di hati nak pilih Senireka Grafik, tetapi mengenangkan hasrat emak…saya turutkan jua kemahuannya. Walaupun emak tak pernah memaksa, namun saya faham hajat yang dipendam…lalu saya pujuk hati agar menerima dengan rela. Nak masuk ke Jabatan Fesyen di UiTM (zaman dulu ITM), ada temuduga…bukan main redah aje. Ingat lagi masa temuduga… saya seorang je yang bawa beg besar berisi pelbagai koleksi pakaian. Bukan nak menjual pakaian yang dibawa sebaliknya nak mempersembahkan jahitan hasil jari-jemari sendiri. Ada di antara pakaian yang dibawa telah dijahit 6 tahun sebelumnya. Koleksi yang menampilkan rekaan kurung moden dan tradisional yang dihasilkan sejak saya berusia 12 tahun. Pakaian yang telah dipakai dan disimpan sekian lama dalam almari kini dibentangkan di hadapan mata panel penilai. Jahitan tersebut bukanlah luarbiasa hasilnya jika dibandingkan dengan jahitan pakaian yang terdapat di luar sana. Namun,  kemahiran yang dimiliki dalam menjahit pelbagai fesyen rekaan pada usia yang masih muda (12 tahun) telah mengundang perhatian ahli panel penilai yang menemuduga. Kemahiran tersebut saya perolehi di kelas jahitan berdekatan perumahan yang pemilik kedainya berbangsa cina. Dua kali seminggu sebaik pulang dari sekolah, saya akan mengayuh basikal belajar jahitan dengan auntie Lily di kedainya. Jarum, benang dan kain adalah alat dan bahan yang telah sinonim dalam kehidupan sejak saya berusia 7 tahun lagi. Baik baju, seluar semuanya dijahit sendiri kerana saya dan yong diajar menjahit oleh emak sebaik melangkah ke usia 7 tahun. Dalam usia semuda itu, pelbagai jenis jahitan dipelajari. Ilmu diperturunkan oleh emak secara praktikalnya dengan menyediakan saya dan yong sebuah fail jahitan. Di dalamnya terkandung jenis jahitan seperti jelujur, kia, sembat, sembat susup, insang pari dan sebagainya yang dijahit sendiri hasil tunjuk ajar emak.  Selain jahitan asas, saya dan yong turut diajar menghasilkan sulaman tangan, patchwork, smocking dan teknik mengait.  Justeru, tak sukar hendak memahami teknik menjahit yang dipelajari semasa saya berkursus di kedai auntie Lily kerana jahitan asas telah diketahui.

 

Antara Percikan Darah & Percikan Peluh

Pernah juga bergelar guru sekolah menengah dari tahun (2002-2006) dan guru Pendidikan Khas Integrasi (2008) dan cita-cita ini paling lama bertahan. Kerjaya seorang pendidik masih menebal dalam diri walaupun berstatus seorang calon phd. Melepasi beberapa tahap saringan temuduga untuk memperoleh Biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) KPM telah membuka laluan dan melebarkan ruang untuk saya bergelar seorang doktor…bukan doktor perubatan tetapi doktor falsafah seni (InsyaAllah…). Baru kini saya sedari tidak semestinya seorang doktor itu mesti melalui pengalaman berhadapan percikan darah seperti yang saya fikirkan pada zaman kanak-kanak 26 tahun yang lalu. Yang saya lalui dalam tempoh setahun setengah ini dan baki setahun setengah ke hadapan (mudah-mudahan) untuk mencapai impian bergelar doktor (falsafah) adalah percikan peluh semasa menjalankan kajian di lapangan.

 

Blog di WordPress.com.