Jejak Mihrab & Mimbar

26/07/2010

Masjid Ihsaniah

Filed under: Masjid-Masjid Tua di Semenanjung — Akal Sari @ 11:56 am

 

Tarikh : 17 Julai 2010
Lokasi : Kuala Dal, Padang Rengas

 

Siri kunjungan ke Masjid Ihsaniah di Kuala Dal ini telah dijalankan pada tanggal 17 Julai lalu. Masjid tua ini adalah lokasi pertama yang dikunjungi sebelum saya menuju ke bengkel kraf dan warisan Pandai Besi dan makam Daeng Salili di Kampung Padang Changkat serta Istana Kenangan (Istana Lembah)  di Bukit Chandan. Masjid ini juga adalah masjid pertama tinjauan sebelum saya meneruskan perjalanan menjejak masjid tua Pulau Kemiri di Sungai Siput (U), masjid  tua Kampung Sengat di Sungai Raia dan masjid tua Kampung Pengkalan Baru di Batu Gajah pada hari yang sama.

 

Masjid ini bukanlah Masjid Ihsaniah sebaliknya adalah masjid terkemudian yang baru dibina diberi nama Masjid Al-Wahidiah. Binaan masjid ini terletak di sisi kanan Masjid Ihsaniah. Kedua masjid ini terletak sebelah menyebelah dan berkongsi pagar yang sama.

 

Inilah rekabentuk Masjid Ihsaniah di Kuala Dal, Padang Rengas. Foto di atas memperlihatkan rekabentuk masjid dari arah pandangan hadapan. Keseluruhan daripada bahagian dinding masjid ini diperbuat daripada kelarai (buluh) dengan aplikasi teknik anyaman. Dinding masjid ini mempunyai persamaan dengan Istana Kenangan di Bukit Chandan yang turut dihasilkan dengan teknik anyaman. Masjid Ihsaniah ini menampilkan keunikan tersendiri kerana dikenalpasti sebagai satu-satunya binaan masjid berdinding tepas di negara ini.

 

Pandangan sisi kiri masjid Ihsaniah…dalam foto di atas, saya sedang merakamkan foto beduk lama yang diletakkan secara tergantung di bawah cucuran atap.

 

Pandangan sisi kanan masjid. Binaan masjid setinggi dua tingkat ini terserlah dengan 3 kombinasi warna pilihan iaitu kuning, putih dan hitam.

 

Pintu masuk menuju ke bahagian dalam masjid. Pintu masjid ini bertutup semasa saya tiba. Oleh hal demikian, saya cuba mengintai di celah-celah kelarai untuk melihat apa yang ada di tingkat bawah. Kelihatan meja dan kerusi di susun secara teratur seolah-olah menjadi markas tempat pengajian (mungkin juga pertemuan dengan tujuan tertentu). Bahagian tingkat atas pula adalah ruang solat jemaah. Saya tidak pasti sama ada masjid tua ini masih berfungsi sebagai tempat bersolat penduduk setempat atau hanya digunakan sebagai tempat pertemuan bagi acara-acara tertentu.

 

Tangga batu menuju ke bahagian pintu masuk utama…pertemuan 2 bahagian tangga yang dibina pada sisi kiri dan kanan sebelum melangkah menaiki  3 lagi anak tangga menuju ke ruang dalam solat.

 

Tinggalkan Komen »

Tiada komen.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Tinggalkan komen

Create a free website or blog at WordPress.com.