Jejak Mihrab & Mimbar

30/05/2010

Masjid Sultan Abu Bakar

Filed under: Masjid-Masjid Tua di Semenanjung — Akal Sari @ 11:38 pm

 

Tarikh : 11 April 2010
Lokasi : Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru

  

 

Masjid Negeri Sultan Abu Bakar telah dibuka dengan rasminya oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar pada tahun 1900. Masjid ini dibangunkan di atas sebuah bukit di tepi Selat Tebrau menghala ke Singapura. Rekabentuk binaannya hasil adaptasi senibina masjid dari Timur Tengah dan Benua India. Keluasan ruang dalam masjid ini boleh memuatkan kira-kira 3000 jemaah.

  

Terdapat 4 buah menara berbentuk empat persegi di bawah dan bentuk bulat pada 2 tingkat di atasnya yang menyokong kubah.

 

Kubah berbentuk bawang adalah pengaruh senibina dari benua India. Mahkota yang dipasang pada bahagian puncak kubah menjadi pelengkap pada rekabentuk kubah masjid.

 

Ukiran timbulan (relief) bermotif flora disusun polanya secara berulang-ulang menghiasi permukaan dinding luar binaan masjid.

 

Perspektif laluan masuk menuju ke ruang dalam masjid. Saya kira ianya bukan laluan utama sebaliknya adalah  laluan untuk masuk ke pintu bahagian sayap kanan bangunan masjid.

 

Pelukis yang berasal dari Singapura ini sedang menghasilkan karya catan dengan mengabadikan Masjid Sultan Abu Bakar sebagai subjek kajian. Saya tertarik dengan karya dihasilkan sehingga membuat permintaan untuk membeli dengan niat menyimpannya sebagai koleksi peribadi…kenangan dalam siri tinjauan Jejak Mihrab dan Mimbar di Selatan Tanah Air. Namun, ianya bukan rezeki saya kerana karya tersebut terlebih dahulu ditempah oleh pengunjung lain.

 

Kebetulan ada beberapa karya lain hasil sentuhan jari-jemari pelukis tadi yang bergantungan di hadapan mata, lalu saya beli salah satu daripada 3 koleksi yang dipamerkan. Antara 3 koleksi karya catan lanskap ini…cuba teka yang mana satu jadi pilihan hati saya? Haa…karya yang diapit antara kiri dan kanan, itulah jawapannya.

 

Azan zuhur hampir berkumandang lalu saya segera menuju ke ruang dalam. Dalam keadaan tergesa-gesa segera saya merakam foto ruang solat dari arah pintu masuk utama.

 

Ukiran timbul bermotif daun pada kepala tiang penyangga masjid. Deretan tiang ini menganjur dari arah pintu utama hingga ke ruang hadapan yang mana kedudukannya berada di sisi kiri dan kanan ruang dalam bangunan masjid.

 

Rekabentuk mimbar setinggi dua tingkat yang ditempatkan di ruang paling hadapan ini menampilkan kelainan berbanding mimbar lain dalam siri tinjauan sebelumnya.

 

Foto ini dirakam sebelum melangkah pulang…bunyi spesis ini yang bersahut-sahutan di luar perkarangan masjid mengundang reaksi sekalian pengunjung yang hadir termasuk tuan punya kamera ini…

 

27/05/2010

Masyarakat Acheh dari Kaca Mata Si Penjejak Mihrab dan Mimbar

Filed under: Catatan Penulis — Akal Sari @ 11:39 pm

 

Penilaian melalui kaca mata seorang peneliti yang sedang merentas lautan ilmu pengetahuan dalam Siri Jejak Mihrab dan Mimbar.

Awalnya tajuk Falsafah Hidup Masyarakat Acheh jadi pilihan, namun akhirnya tajuk tertera di atas yang difikirkan sesuai sebagai gantinya. Hal demikian kerana saya hanya membuat penilaian dari kaca mata seorang insan yang hidup di luar daripada kelompok budaya masyarakat Acheh. Saya bukanlah seorang ahli falsafah yang dapat mengungkapkan makna tersirat secara tepat. Namun kesemua tafsiran hanya berdasarkan pengamatan dan pengalaman saya sepanjang menjalankan kajian lapangan di Daerah Istimewa tersebut.

Sebelum bencana tsunami melanda, nama wilayah Acheh ini hanya menjadi sebutan di bibir. Setakat menyebut nama dek kerana tidak pernah berpijak di Bumi Serambi Mekah, justeru tiada sebarang cerita pula yang dapat dikongsikan bersama. Namun, tanggal 26 Disember 2004 memberi kejutan kepada seluruh dunia bilamana satu gempa bumi yang besar berlaku di Lautan Hindi di bahagian pantai barat Acheh. Kesannya mengakibatkan berlakunya  gelombang tsunami yang melanda kawasan-kawasan pantai di Selatan Asia, Sumatera Utara, Thailand dan Malaysia. Gempa bumi sebesar 9.0 Skala Ritcher ini berlaku sekitar 8.59 pagi (waktu Malaysia) dan merupakan yang keempat terbesar di dunia sejak 1900. Saat inilah nama Acheh mula terkenal di seluruh dunia kerana ratusan ribu nyawa menjadi korbannya dan peristiwa tersebut menjadi perbualan hangat masyarakat dunia.

 

Pusat Gempa Tsunami di Lautan Hindi

Suhanallah...Betapa besarnya gelombang Tsunami

 

Di sebalik bencana tsunami yang melanda, pelbagai cerita aneh kedengaran di telinga. Kisah bagaimana seekor ular besar membawa satu keluarga menyusur di permukaan air sehingga selamat mendarat ke tanah tinggi. Begitu juga kisah seorang anak kecil yang tersangkut di pelepah pohon kelapa beberapa hari, namun masih hidup sehingga kini. Secara logiknya sukar diterima akal bagaimana anak kecil tersebut tidak jatuh ke tanah dalam keadaan patah rengkat, sebaliknya selamat. Bagaimana pula anak tersebut mampu bertahan beberapa hari lamanya tanpa menjamah makanan di atas pohon kelapa? Andaian dia berlapar hanya sangka kita yang secara fitrahnya suka menduga-duga…walhal anak tersebut mungkin diberi rezeki melalui arah yang tidak disangka-sangka. Tambah kagum apabila peristiwa air terbelah dua di makam pendakwah menjadi antara bahan cerita.

Ini semua adalah sebahagian cerita yang pernah dituturkan secara lisan oleh mantan pensyarah pembimbing (Arwah Dr. Pozi Hj Masurori) semasa saya berada di tahun akhir pengajian MA di UKM Bangi (2005). Kebetulan arwah baru pulang menghadiri jemputan seminar di Acheh beberapa bulan selepas kejadian tsunami. Jadi cerita tersebut dikongsikan dengan saya dan seorang rakan sekuliah. Takjub mendengarnya…tiada yang mustahil dengan izinNYA. Rata-rata daripada kisah yang disampaikan memperlihatkan Kebesaran Ilahi. Bagi tetamu yang ingin mengetahui kisah yang memaparkan Kebesaran Maha Pencipta, silalah berkunjung ke sanggar Iktibar. Kisah yang dikongsikan adalah hasil temubual saya bersama beberapa masyarakat setempat sepanjang menjalankan kajian di Nanggroe Aceh Darussalam.

01 hingga 05 Jun 2009 buat pertama kalinya saya berpijak ke wilayah Acheh kerana menjalankan tinjauan ke atas masjid-masjid tua, diikuti misi ke-2 yang menyusul empat bulan kemudiannya (28 Sept. hingga 05 Oktober 2009). Setelah kunjungan kali ke-3 (26 hingga 30 April 2010) barulah saya bersedia untuk memaparkan perkongsian cerita tentang budaya hidup masyarakat Acheh.

Berdasarkan pemerhatian sepanjang 3 kali kunjungan, saya dapati bahawa masyarakat Acheh ini sangat perpegang teguh pada syariat Islam. Masjid bukan sekadar berfungsi sebagai tempat menunaikan solat tetapi turut berperanan sebagai pusat pengajian agama. Ruang dalam masjid sentiasa diimarahkan dengan pelbagai aktiviti dakwah seperti tazkirah, ceramah dan sebagainya. Jumlah jemaahnya tidak seperti yang sering kita lihat di Malaysia. Baik solat subuh, zuhur, asar, maghrib dan isya’, tetamu Allah yang masuk memenuhi beberapa baris saf yang panjang. Di Masjid Raya Baiturrahman umpamanya, ruang solat wanita juga tidak kurang ramainya. Sebelum azan, masing-masing bersiap sedia mengambil wudhuk dan sebaik azan berkumandang pula, berpusu-pusu mereka mengatur langkah menuju ke ruang dalam.

 

Jemaah wanita tidak kurang ramainya bersolat di ruang dalam Masjid Raya Baiturrahman

 

Ada peristiwa di mana saya dan beberapa orang pengunjung (pelawat luar) disergah dengan menggunakan pembesar suara. Kebetulan saya sedang asyik merakam foto di luar Masjid Raya ketika hampir masuk waktu solat maghrib. Waktu Indonesia lewat satu jam dari waktu Malaysia, namun waktu solatnya tetap sama. Sekiranya waktu maghrib di sini pada jam 7.20 malam, maka waktu solat di Acheh (juga wilayah lain di Indonesia) pula pada jam 6.20 petang. Adakalanya saya keliru juga apabila berpandukan jam di tangan (waktu Malaysia) untuk menentukan masuknya waktu solat di Acheh. Oleh hal demikian, saya biasanya akan melaksanakan solat jamak takhir apabila pulang ke hotel. Berbalik kepada kisah disergah tadi…”Masuk! Masuk! Masuk!” Begitulah kalau tak silap arahan yang dipekikkan melalui pembesar suara oleh pengawal di perkarangan masjid. Walaupun sedang bermusafir dan berniat untuk bersolat jamak takhir, saya turut bergegas melangkahkan kaki naik ke anak tangga dan masuk ke ruang dalam. Pengajaran yang diperolehi, hormati waktu solat walaupun kita tidak bersolat.

 

Sewaktu merakam foto inilah saya disergah, "Masuk! Masuk! Masuk!"

 

Kalau tadi kisah di dalam masjid, ini pula kisah yang saya sendiri saksikan dengan sepasang mata di sebuah pasaraya. Ketika sibuk membeli barangan di Pasaraya Pantai Perak, saya melihat pemuda dan pemudi berbaris dalam satu barisan. Agak menghairankan pada pandangan sehingga saya bertanya salah seorang di antara mereka, “Tunggu apa ya?” lalu dibalas dengan jawapan, “Nunggu giliran ambil wudhuk untuk solat…” Kebetulan sebuah tandas rosak, jadi hanya satu tandas digunakan secara bergilir-gilir untuk mengambil wudhuk. Apa yang mengkagumkan, jurujual di pasaraya tersebut kelihatan berebut-rebut mendapatkan tempat dalam barisan sebaik masuk waktu solat asar. Senario sebegini seolah-olah janggal di mata saya, walhal beginilah contoh yang seharusnya jadi suri teladan dalam kehidupan.

Peristiwa lain yang masih segar dalam ingatan…semasa sesi tinjauan ke atas Masjid Tua Kampung Blang di Simpang Ulim. Saya dan Team Jejak Mihrab tiba pada waktu hampir maghrib di masjid tersebut. Sebelum masuk ke perkarangan masjid, kelihatan sekumpulan anak muda sekitar usia awal 20-an rancak berbual di jalanan. Melihat gelagat dan penampilan mereka, persis geng mat rempit lagaknya. Itulah persepsi saya kala melihat kumpulan tersebut pada mulanya. Namun apa yang mengejutkan saya apabila melihat sekumpulan pemuda tersebut berada di kolah wudhuk sebaik azan maghrib berkumandang. Anak-anak muda inilah yang memenuhi saf paling hadapan selepas ruang imam memimpin solat. Kagum saya melihat anak-anak muda tersebut dan saya mula membayangkan alangkah indah sekiranya nilai sebegini dapat diterapkan dalam kehidupan anak-anak muda di sini. Bukan tidak ada, tetapi senario sedemikian jarang kita perhatikan di Malaysia. 

 

Sebaik azan berkumandang, anak-anak muda tersebut mengambil wudhuk untuk bersolat jemaah

 

RENUNGAN

“Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta (tetap) melaksanakan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada apa pun) kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk.” 

(At- Taubah 9: 18)

 

24/05/2010

Batu Peringatan Sultan Mansur Syah 1

Filed under: Masjid-Masjid Tua di Semenanjung — Akal Sari @ 10:34 am

 

Tarikh : 28 Mac 2010
Lokasi : Masjid Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar

 

Dari arah utara saya meneruskan perjalanan pulang menghala ke Sungai Buloh setelah 3 hari menjalankan tinjauan ke atas beberapa buah masjid tua di Langgar dan Alor Setar, Kedah. Seperti biasa, aktiviti singgah menyinggah (mengambil peluang sebenarnya) sudah menjadi rencah sepanjang perjalanan. Dengan tak semena-mena hajat berziarah ke makam Daeng Salili (Dato’ Maharajalela) singgah di minda. Nak dijadikan cerita, saya terlupa nama Padang Changkat di mana lokasi makam Daeng Salili berada. Namun saya redah jua dengan alasan pasti ada hamba Allah yang dapat memaklumkan lokasi sebaik tiba di sana. Setelah merasa lelah meredah tanpa menjumpai sebarang papan tanda…juga lelah bertanya mereka yang ditemui di merata-rata lokasi sekitar Kuala Kangsar, keputusan akhirnya…meneruskan perjalanan pulang ke Sungai Buloh. Mungkin belum tiba undanganNya buat saya untuk menjejakkan kaki ke makam mantan Mufti Per-1 negeri Perak semasa zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah III. Agaknya dek kerana sesi berziarah ke makam Daeng Salili bukan agenda utama, sebaliknya hanya hajat sampingan, justeru beginilah kesudahan pencariannya…ibarat “Pencarian tak berkesudahan”

 

Dalam hampa, ada ganjaran lain pula tiba…bersua pula dengan papan tanda tertera “Masjid Kota Lama Kanan” membuatkan hati jadi ceria. Dapat juga menjejak masjid tua. Jadi apa lagi…Moh singgah lihat apa khazanah yang ada.

 

Sebaik tiba di pagar sebelum masuk ke perkarangan, mata tertumpu pada rekabentuk senibina masjid. Hmmm…dah dibaikpulih keseluruhan binaannya. Masjid kayu berubah wajah menjadi masjid batu (konkrit). Alang-alang dah masuk ke perkarangan, ada baiknya melangkah masuk ke ruang dalam. Mana tahu ada sesuatu yang boleh dikongsikan di dalamnya.

 

Meriam lama di sisi kanan sebelum melangkah ke ruang dalam masjid. Khazanah ini punya nilai sejarah di sebaliknya lalu diabadikan sebagai monumen di sini.

 

Dua bulan yang lalu semasa merakam foto makam ini yang kedudukannya di sisi kanan Masjid Kota Lama Kanan, saya tertanya-tanya apakah empunya makam ini ada pertalian dengan kesultanan Perak? Sekadar mengetahui nama Almarhum sebagai Temenggong Wan Husain, namun tidak pula saya ketahui susurgalur jurai keturunannya. Saat menaip catatan ini, sambil buku rujukan Sejarah Perak yang berada di hadapan mata diselak lembar demi lembar…pertanyaan saya terjawab akhirnya. Orang Kaya Temenggong Wan Husain adalah anakanda kepada Orang Kaya Temenggong Panjang Arif dan cucunda kepada Orang Kaya Temenggong Pandak Usoh/Yusof (cicit kepada Daeng Salili). Ini bermakna, Temenggong Wan Husain adalah generasi ke-6 daripada susurgalur salasilah Daeng Salili. Almarhum sememangnya terkait dengan kerabat di Raja Perak. Hal demikian kerana Daeng Salili adalah ipar kepada Sultan Muzaffar Syah III  yang telah berkahwin dengan adinda baginda iaitu Raja Tengah. Rupanya pencarian yang disifatkan tak berkesudahan di awalnya merupakan permulaan kepada langkah pencarian…persinggahan yang menemukan saya dengan makam waris Daeng Salili.

 

Andai tadi kisah di luar masjid lama, kali ini saya bawa sepasang mata yang sedang membaca kapsyen ke ruang dalam masjid pula. Batu nesan di saf paling hadapan apa pula kisahnya? Pasti ada cerita misteri di sebaliknya…dan yang pasti bukan calang-calang hamba Allah yang empunya batu tanda.

 

Batu nesan dipasang tanpa disemadikan jasad di dalamnya. Ia hanya sekadar batu peringatan bagi memperingati Sultan Mansur Syah 1 yang didakwa ghaib ketika bersolat Jumaat di dalam masjid ini. Wujud dakwaan berasaskan 2 andaian tentang misteri kehilangan baginda…sama ada benar-benar ghaib atau diculik. Berdasarkan fakta bertulis dengan merujuk kepada buku karangan A. Halim Nasir, baginda sebenarnya diculik oleh anakandanya sendiri iaitu Sultan Alauddin (Sultan Acheh) yang memerintah dari tahun 1577 hingga 1585. Tindakan menculik dengan menghantar beberapa orang panglima Acheh yang mahir dalam ilmu ghaib dilakukan setelah menyedari tindakan untuk membawa pulang ayahanda baginda ke Acheh pasti mendapat tentangan rakyat di negeri Perak. Justeru, sempena memperingati Sultan Mansur Syah 1 yang ghaib secara tiba-tiba, Sultan Idris Murshidul A’zam (Sultan Perak ke-28) telah menitahkan agar batu peringatan ini dipasang. Namun, lebih jauh dari misteri kehilangan tersebut…saya berfikir apakah punca sehingga baginda diculik secara ghaib sedemikian caranya? Ia ekoran ada dakwaan di sebaliknya pula yang mengatakan bahawa kisah sebenarnya adalah baginda diculik secara rela bukan paksa…Apakah kerana kemelut yang berlaku dalam pemerintahan pada ketika itu atau apakah wujud agenda lain di sebaliknya? Saya yang amat cetek dan dangkal dalam ilmu sejarah ini  hanya menduga-duga, tiada terniat mereka-reka cerita…

 

Masjid Kuala Dulang

Filed under: Masjid-Masjid Tua di Semenanjung — Akal Sari @ 3:14 am

 

Tarikh : 08 Mei 2010
Lokasi : Masjid Kuala Dulang, Jelebu

 

Masjid Kuala Dulang adalah masjid yang tertua di Jelebu. Ia diasaskan oleh Dato’ Nika dan Mudim Khatib Raja, pendakwah dari Minangkabau yang mula-mula menyebarkan  agama Islam di Jelebu pada abad ke-16. Kedua-dua pendakwah ini telah meneroka kawasan ini yang kemudiannya menamakannya sebagai Kampung Peninjau. Masjid ini asalnya sebuah bangsal beratap ijuk yang menjadi tempat berteduh pendakwah tersebut. Nama masjid Kuala Dulang ini diambil dari peristiwa kehadiran dulang berisi makanan yang tidak diketahui siapa menghidangnya. Walau seramai mana jemaah yang hadir, makanan yang menjadi hidangan sentiasa mencukupi. Namun setelah beberapa tahun, dulang tersebut hilang begitu sahaja.

 

 

 

 

 

17/05/2010

Dedikasi Sempena Hari Guru…

Filed under: Catatan Penulis — Akal Sari @ 2:37 pm

 

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

 

Usman Awang: 1979

 

DEDIKASI BUAT SEMUA MANTAN GURU…

“HALALKAN SEGALA ILMU YANG PERNAH DICURAHKAN. SEMOGA ALLAH MEMBERKATI DAN MERAHMATI KEHIDUPAN KALIAN…JASA DAN PENGORBANAN KALIAN HANYA ALLAH YANG DAPAT MEMBALASNYA. AMIN”


         GURU DI SEKOLAH RENDAH :

  • SRJK BATU LINTANG, KUCHING, SARAWAK (1983-1984)
  • SRK RAJA MUDA SEKSYEN 4 SHAH ALAM, SELANGOR (1985)
  • SRK SURA, DUNGUN, TERENGGANU (1986-1987)
  • SRK SERI MANJUNG, SITIAWAN, PERAK (1988)

         GURU DI SEKOLAH MENENGAH :

  • SMK SERI MANJUNG, SITIAWAN, PERAK (1989)
  • SMK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH, SHAH ALAM, SELANGOR (1989-1992)
  • SMJK METHODIST, TANJUNG MALIM, PERAK (1993:SPM)

 

Perkongsian ini tercetus…

Sejak dari pagi semalam, bertalu-talu sms masuk…masing-masing menyampaikan dedikasi Selamat Hari Guru. Kalau tak kerana sms tersebut, tak perasan hari ini sambutannya. Masih ada lagi rupanya anak didik yang mengingati diri ini. Tak terbalas pesanan yang dikirim mereka, jadi saya kirimkan balasan untuk semua di sanggar ini sahaja.


Kisah sebelum bergelar Si Penjejak Mihrab dan Mimbar…

Bermula tanggal 15 Jan 2002 bermulalah kerjaya saya sebagai seorang guru. Bukan guru BESAR tetapi sekadar guru biasa. Guru Pendidikan Seni Visual di SMK Bandar Baru Sungai Buloh. Empat tahun berbakti berkongsi ilmu dengan anak didik. Disebabkan seni ni bukan matapelajaran teras cuma elektif, jadi setiap kelas akan hadir ke bilik seni hanya 1 kali (2 waktu bagi tingkatan 3 dan 3 waktu bagi tingkatan 4 & 5) dalam seminggu. Hal demikian menyebabkan kelas yang diajar banyak jumlahnya…adakalaya mencecah 13 buah kelas dalam seminggu. Apabila dah mencecah 13 buah kelas, maka besar pulalah bilangan anak didik yang menjadi tetamu di bilik seni. Darab sahaja 13 buah kelas dengan 40 orang murid. Bukankah 520 jumlahnya…jadi sukar untuk mengingati nama anak didik satu persatu sehinggakan adakalanya mereka mencebik sambil berkata, “Dah setahun belajar, tapi cikgu masih tak ingat nama saya…” Biasanya ayat penyata sedemikian akan saya jawab, “Saya ada ramai murid jadi susah ingat nama, walaupun tak ingat nama tetapi saya cam wajah semua anak murid saya…Jangan ingat saya tak cam bila jumpa awak di luar sana.”

Secara jujur, nama anak didik yang nakal di setiap kelas paling diingati dari dahulu hingga kini. Apa taknya…asyik menyebut nama bila menegur gelagat yang tak kena pada pandangan mata sehingga hafal nama mereka. Namun tak saya nafi…seisi kelas akan sepi tanpa kehadiran mereka yang nakal (bukan kurang ajar) ini. Walaupun saya berwajah agak serius (kata anak murid bukan saya) adakalanya kalah juga dengan keletah mereka…senyuman dan gelak tawa pasti menggamatkan suasana jua akhirnya.

Bergelar seorang guru bukan mudah…tugas yang digalas berat amanahya. Mendidik seorang manusia untuk menjadi manusia yang terdidik. Justeru, guru selaku pemimpin perlulah bersifat terpimpin. Sepasang mata dapat menilai beratus pasang mata di hadapan kita, sedarkah kita (untuk semua yang bergelar guru termasuklah diri saya) yang ratusan pasang mata pula memandang insan yang berdiri di hadapan mereka. Sebagaimana kita memandang dengan membuat penilaian terhadap anak didik, begitu jugalah mereka memandang kita…bukan dengan pandangan kosong tapi punya tanggapan dan tafsiran disebaliknya.

Nilai prestasi tinggi yang diperolehi tiada nilai tanpa nilai akhlak terpuji yang menjadi cerminan peribadi (cuba fahami kenyataan ini). Cemerlangnya anak didik tanpa adab sehingga menjadikan mereka biadap pastinya mengecewakan. Saya sendiri sering berpesan kepada mereka, “Prestasi seiring adab lebih bermakna…saya tak pandang pencapaian kalau awak semua tidak beradab dalam perlakuan dan tutur kata.” Sudah menjadi amalan, kesemua nasihat berbentuk ingatan dan pantang larang akan saya sampaikan pada hari pertama menjejakkan kaki ke setiap kelas. Setiap guru ada pendekatan tersendiri yang diaplikasi…Saya sendiri sudah sebati dengan bersikap tegas semasa menyampaikan pengajaran.   Biarlah mereka mengenal perwatakan sebenar daripada kita melakonkan watak yang bukan lahir dari dalam diri.

 “Disebabkan hari ini adalah hari terakhir kelas kita, saya minta awak semua catatkan sesuatu untuk saya. Tak perlu tulis nama, jadi awak boleh tulis apa sahaja. Tak perlu memuji…luahkan apa sahaja yang awak inginkan, sama ada marah, benci, tak puas hati dan sebagainya. Inilah masanya awak nak luahkan apa yang terpendam sepanjang saya mengajar awak semua.” Memang pada awalnya rata-rata anak didik akan berkata, “Cikgu Harleny tu garang orangnya…” Itu persepsi awal tetapi penilaian akhir di mata mereka kemudiannya berubah daripada “garang” kepada “tegas” orangnya setelah beberapa bulan mengenali saya sehinggalah ke hujung tahunnya. “Cikgu sebenarnya bukan garang tapi tegas.” Tanggapan sedemikian adalah refleksi daripada sekalian anak didik di atas sekeping kertas sebaik mereka menamatkan sesi persekolahan sebelum berganjak ke kelas lain tahun berikutnya.

Mengajar subjek seni memberikan ruang yang luas untuk saya menerapkan nilai keindahan di sebalik penciptaan langit dan bumi oleh Maha Pencipta. Apa pentingnya? Supaya bidang elektif yang sering dipinggirkan dan disisihkan ke tepi oleh sebilangan murid mahupun segelintir pentadbir ini akhirnya dipandang tinggi oleh mereka. Allah menjadikan alam ini penuh dengan warna. Diciptakan lautan dengan warna biru untuk melahirkan ketenangan sejajar dengan konsep biru yang secara visualnya dapat menimbulkan perasaan tenang. Begitu juga dengan hijau yang menyejukkan pandangan kerana tergolong dalam kategori warna sejuk yang ada. Mengapa wujudnya kontra dari segi warna…warna bunga bertentangan dengan warna daunan apa sebabnya? Bukankah untuk manusia membezakan kelopak bunga dari tangkai dan daunnya selain dijadikan dengan variasi warna menarik untuk mengundang perhatian mata manusia. Diciptakan serangga kecil yang lebih rumit bentuknya daripada haiwan besar…agar mata manusia lebih peka melihat serangga kecil. Yang bersaiz besar sudah pasti nampak gah jadi memadai dengan bentuk mudah manakala yang kecil pula diberi bentuk yang agak mengerikan atau menggelikan…itulah keadilan Maha Pencipta. Bayangkan jika labah-labah atau kala jengking yang berbisa diciptakan sebesar gajah! Fikirkan pula mengapa ada serangga yang warna atau bentuknya menyerupai objek pada alam? Umpama belalang hijau yang hinggap di lalang…begitu juga dengan serangga dengan bentuk seakan daun. Yang menjalar tanpa kaki pula dijadikan berbisa. Apa pula fungsi jalinan permukaan sesuatu objek dicipta? Tiada yang dijadikan sia-sia tanpa ada sebabnya. Hanya akal yang dapat mencari jawapannnya. Bagi insan yang dilahirkan tanpa deria lihat, kesan jalinan ini amat bermakna dalam mengenalpasti objek di sekeliling mereka.

Justeru, fikirkan hikmah di sebalik kejadian objek ciptaan Maha Adil lagi Bijaksana yang ada di sekeliling kita. Persoalan ini yang sering saya utarakan semasa sesi pengajaran. Ia adalah ilmu yang tidak tertera secara teorinya dalam buku tetapi idea perkongsian ini hadir apabila sesuatu yang diajar dikaitkan dengan nilai estetika…nilai yang diperlihatkan melalui alam sarwajagat, biasan daripada sifat Kamal dan Jamal Ilahi untuk direnungi.

 

14/05/2010

Ku Pendam Sebuah Duka: Pedihnya Tak Tertanggung Rasa

Filed under: Iktibar — Akal Sari @ 9:35 pm

Tarikh : 29 April 2010
Lokasi : Pesisir Pantai Lampuuk, Lho’nga

 

 

Tanggal 26 Disember 2004 bermula kisah penuh duka…kisah bagaimana wanita ini kehilangan suami, dua orang cahaya mata dan lapan daripada 10 adik-beradiknya. Kehilangan sekelip mata meragut nyawa insan yang dekat di hatinya. Keluarga besarnya kini hanya meninggalkan 2 waris sahaja…dia dan adik perempuannya. Setelah adik perempuannya bernikah, tinggallah dia sebatang kara. Peneman setianya saban hari adalah sebuah bakul jualan kacang buat menyara hidup sehari-hari. Pergelangan tangan kirinya kelihatan terkulai…lantas saya bertanya apakah penyebabnya. Rupanya gara-gara dipukul tsunami sehingga patah pergelangan tangannya… dan sehingga kini tak pernah disimen dan dibiarkan pulih dengan sendirinya. Namun ada kesan yang lebih dalam lukanya berbanding kesan di pergelangan tangannya…ada kisah lebih pahit ditanggung dalam jiwa daripada parut dan luka yang dapat dilihat secara zahirnya.

Bermulanya episod duka…
Sewaktu kejadian, dia bersama 2 anaknya (perempuan 11 tahun dan lelaki  4 tahun) berada di dalam rumah yang kedudukannya terletak di belakang Masjid Rahmatullah. Gelombang besar dari arah pesisir pantai Lampuuk telah  menghanyutkan wanita ini 15 kilometer sehingga ke desa Lham Lhom. Apabila ditanya bagaimanakah situasinya dihanyutkan arus tsunami, dia sukar mengingati dan sekadar menjawab, “Sudah diaduk-aduk…tak ingat apa-apa.” Mungkin kerana kejadian yang berlaku sekelip mata membuatkan dirinya tidak sempat untuk memberi perhatian pada apa yang sedang berlaku di sekitarnya. Malah, rata-rata individu lain yang diajukan persoalan sedemikian akan mengutarakan jawapan yang sama…”Tak ingat apa-apa.”

Apa yang difikirkan oleh wanita ini hanyalah 2 orang anaknya…”Di manakah anak-anakku? Apakah mereka masih hidup atau sebaliknya?” Sebagai seorang ibu, apa yang diharapkan adalah keselamatan nyawa mereka. Namun, realitinya amat memilukan apabila wanita ini harus berdepan suratan bahawa suami dan kedua anak yang dikasihi terlebih dahulu dijemput Ilahi. Pada awalnya sukar untuk menerima hakikat kedua anaknya telah tiada. Tambah pilu apabila melihat rakan anaknya yang sebaya usia berkejaran ke sana ke mari di perkarangan sekolah mahupun anak jiran tetangga yang bermain girang di halaman rumah mereka. Bila hati terkenang kedua permata hati yang pernah dikandung 9 bulan dalam rahim, hati mula bersuara, “Mengapa anakku yang yang jadi korbannya…bukan anak-anak mereka?” Itulah yang sering dipersoalkan wanita ini. Sambil bercerita, sesekali hujung jari kakinya menguis-nguis pasir…seolah-olah menyembunyikan duka yang terpendam di jiwa yang peritnya tak tertanggung rasa. Melihat raut wajahnya yang semakin suram, lalu saya cuba memujuk hatinya dengan berkata, “Kak, setiap kejadian yang berlaku sama ada baik atau buruk semuanya  membawa kebaikan untuk kita. Apa yang berlaku terkandung hikmah didalamnya. Moga kakak tabah dan redha dengan apa yang dilalui. Allah lebih sayangkan mereka, jadi jemput mereka terlebih dahulu. Kedua anak kakak pasti tempatnya di syurga kerana mereka pergi dalam usia yang masih muda…” Bibir wanita di hadapan saya ini mula menguntum senyuman. Saya telah membuka kisah pahit dalam hidupnya di awal bicara, jadi biarlah saya tutup dan akhiri pertemuan dengan kemanisan kata-kata buat penawar duka di hatinya…

 

* Terima kasih kak Ati kerana sudi berkongsi kisah duka yang punya rahmat di sebaliknya dan memberi keizinan untuk dipaparkan di sanggar www.jejakmihrabmimbar.wordpress buat tatapan tetamu saya. = )

 

13/05/2010

Catatan Perjalanan (Hari ke-5)

Filed under: Jejak Mihrab Acheh: Siri 3 — Akal Sari @ 11:41 pm

 

Tarikh : 30 April 2010
Dari Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda – LCCT K.L

 

Persiapan untuk pulang ke Kuala Lumpur…Beg sandang belakang ibarat peti harta karun yang menyimpan segala khazanah berharga. Netbook, pita rakaman, kaset, pita pengukur, set alat tulis, buku catatan dan pelbagai peralatan dan bahan lain turut tersimpan di dalamnya. Hilang beg pakaian boleh dicari gantinya, tapi andai hilang beg sandang…mahu meraung dibuatnya.

 

Dalam perjalanan ke lapangan terbang, singgah sebentar ke masjid yang sedang dalam pembinaan tetapi telah berfungsi sebagai tempat bersolat. Tujuannya bagi mengambil air di kolah wudhuk untuk mencukupkan air 7 buah masjid.

 

Perkuburan Masal Siron ini terletak bertentangan dengan masjid di atas. Makam ini adalah kuburan terbesar di wilayah Aceh. Di dalamnya disemadikan hampir 50 ribu korban tsunami sehingga makam tersebut paling banyak diziarah waris yang masih hidup. Jumlah korban yang sangat banyak dan juga jenazah yang sulit dikenali atau tidak sempat ditemukan oleh keluarga, menyebabkan sebahagian besar korban dikuburkan secara beramai-ramai di dalam satu liang lahad di kawasan ini.

 

Perjalanan dari desa Siron di Aceh Besar diteruskan menghala ke Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda.

 

Jarak perjalanan dari Hotel Sulthan ke Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda ini sebenarnya tidak jauh…tidak sampai 30 minit pada perkiraan saya.

 

Lambaian dari jendela kaca…pemandangan Bumi Serambi Mekah dari ruang udara yang semakin jauh ditinggalkan.

 

Langkah pulang Si Penjejak Mihrab dan Mimbar…Berbekalkan beg sandang belakang dalam misi kajian lapangan semasa bertolak ke Nanggroe Aceh Darussalam, kini pulang dengan bekalan tambahan iaitu segulung salasilah waris keturunan.

 

09/05/2010

Catatan Perjalanan (Hari ke-4)

Filed under: Jejak Mihrab Acheh: Siri 3 — Akal Sari @ 11:55 pm

 

Tarikh : 29 April 2010
Lokasi : 1. Makam Tuanku Raja Keumala, Banda Aceh
              2. Muzium Tsunami, Banda Aceh
              3. Masjid Babussalam, Darul Kamal, Aceh Besar
              4. Dewan Kerajinan Nasional Daerah, Lambaro
              5. Masjid Rahmatullah, Lho’nga, Aceh Besar
              6. Pesisir pantai Lampuuk, Lho’nga, Aceh Besar
              7. Masjid Baiturrahman, Banda Aceh

 

Program pada hari ke-4 ini adalah sesi lawatan ke lokasi-lokasi pilihan untuk melihat kesan tsunami dan mengunjungi pusat kraftangan bagi membeli buah tangan. Walaubagaimanapun, saya sisipkan juga misi jejak mihrab dan mimbar sebagai agenda selingan.

 

Sesi ziarah ke makam Tuanku Raja Keumala di Jalan Medan. Almarhum adalah anakanda kepada Tuanku Hasyim Bangta Muda (Panglima Tertinggi Angkatan Perang Aceh) yang makamnya telah diziarahi sehari sebelumnya di Padang Tiji [lihat Catatan Perjalanan (Hari ke-3)].

 

Setelah berziarah ke makam Tuanku Raja Keumala, lokasi berikutnya adalah sesi lawatan ke Muzium Tsunami. Laluan masuk sebelum menuju ke ruang pameran…pengunjung yang berjalan di sepanjang laluan tersebut akan dihujani tempias air yang mengalir dari sisi kanan dan kiri dinding bangunan. Unsur air dan suasana gelap sepanjang melalui lorong ini pastinya diilhamkan oleh perancang senibina untuk membawa pengunjung mengimbau kembali saat tragedi tsunami melanda.

 

Menara berbentuk silinder ini berada di bahagian kiri sebelum pengunjung keluar dari lorong gelap di atas. Kaligrafi kalimah Allah diabadikan di puncak menara muzium.

 

Jambatan kayu menuju ke ruang pameran umpama mendaki bukit. Permukaan jambatannya tidak mendatar sebaliknya agak cerun sedikit.

 

Kolam air di bawah laluan jambatan…sinar matahari menembusi bumbung bangunan memberikan kesan cahaya kepada ruang tengah binaan.

 

Perspektif di sepanjang laluan di luar ruang pameran. Rekabentuk lengkungan pada binaan bangunan ini tambah menarik dengan aplikasi prinsip kesatuan sehingga mewujudkan keharmonian…lihat deretan tiang dan jalur melintang pada permukaan lantai yang disusun secara berulang-ulang.

 

Paparan video semasa dan selepas kejadian tsunami di ruang luar bilik pameran.

 

Dari Banda Aceh, perjalanan diteruskan pula ke Masjid Babussalam yang terletak di Desa Lamkunyet, kecamatan Darul Kamal, Aceh Besar. Saya hadir buat kali ke-2 untuk merakam foto ukiran kayu tunjuk langit di bawah perabung dan senibina luar masjid berusia 150 tahun ini.

 

Masjid yang sedang dalam pembinaan ini berada di sisi kiri Masjid Tua Babussalam. Masjid baru ini adalah binaan yang didirikan buat kali kedua menggantikan struktur lama yang telah runtuh sebelumnya akibat gempa semasa kejadian tsunami. Namun, apa yang menarik di sebalik kisah runtuhan masjid tersebut adalah keutuhan masjid kayu Babussalam yang kedudukannya kurang 10 langkah dari masjid baru ini. Dengan izin Allah, masjid kayu yang kelihatan uzur lebih utuh binaannya berbanding masjid konkrit yang baru dibina.

 

Singgah membeli ole-ole di Dewan Kerajinan Nasional Daerah (DEKRANASDA). Bonda (kanan) bergambar di samping pengusaha kedai (kiri). Pelbagai jenis kraftangan dengan rekabentuk menarik boleh didapati di sini. Kraftangan tersebut diperindahkan dengan jahitan sulaman yang dihasilkan dengan penuh kehalusan dan ketelitian.  

 

Selesai membeli apa yang diinginkan, kami pulang semula ke hotel untuk menghantar barangan di bilik. Rasa kurang selesa pula duduk dalam kenderaan yang penuh dengan bungkusan barangan. Alang-alang hantar bungkusan, saya mengambil peluang memesan bakso di hadapan hotel untuk makan tengah hari.

 

Selesai makan tengah hari dan bersolat di bilik hotel, kami keluar semula…kali ini menuju ke lokasi Desa Lampuuk di kecamatan Lho’nga. Seperti biasa dalam kenderaan saya akan menikmati keindahan alam di luar jendela kaca lalu merakam keindahan ciptaanNya melalui lensa kamera. Perhatikan bentuk permukaan gunung…menarik sekali pada pandangan.

 

Pohon yang ditanam sejajar di tepian jalan seolah-olah berfungsi sebagai pagar yang membatasi di antara jalan dengan tebing sungai.

 

Pintu gerbang menuju ke Perkampungan Bulan Sabit Merah Turki di Lampuuk. Tragedi tsunami yang berlaku pada tanggal 26 Disember 2004 telah menghancurkan sebahagian besar kediaman penduduk di desa ini.

 

Masjid Rahmatullah ini adalah satu-satunya masjid yang teguh berdiri walaupun rata-rata binaan di sekelilingnya hancur dipukul gelombang tsunami. Kunjungan kali ke-2 ke masjid ini adalah bagi memenuhi permintaan adinda Zulhilmi yang ingin melihat lebih dekat masjid yang selamat berkat Rahmat Allah ini.

 

Foto ini dipaparkan di ruang dalam Masjid Rahmatullah…saya rakamkan semula visual dua dimensi apa yang pernah terjadi. Lihatlah rakaman yang diambil dari ruang udara, takjub dengan Kebesaran Allah. RumahNya dilindungi daripada bencana manakala rumah hambaNya pula hancur binasa sehingga hampir rata. Apa yang ada hanyalah bongkahan sisa di permukaan tanah yang datar.   

 

Di pesisir pantai inilah munculnya arus gelombang tsunami sehingga meranapkan sebahagian besar kediaman di Desa Lampuuk. Pantai ini terletak di bahagian belakang Masjid Rahmatullah (Lihat jarak pesisir pantai dengan lokasi masjid seperti paparan foto di atas). Pada kunjungan terdahulu (Jun 2009), saya hanya sempat berkunjung ke masjid…justeru kesempatan yang ada pada kali ini mengizinkan rombongan kami membuat tinjauan di pesisir pantai Lampuuk.

 

Semasa membuat tinjauan, mata sekalian yang turut serta beralih perhatian ke warung ikan bakar ini pula. Mata yang melilau-lilau semasa meninjau-ninjau telah membawa langkah kami semua ke sebuah peti berbentuk segiempat. Apakah peti yang dimaksudkan? Jawapannya ada pada paparan foto berikutnya…

 

Adinda Zulhilmi adalah ahli yang pertama menggeluarkan objek maujud yang berekor dan bersirip. Objek inilah yang tersimpan dalam peti yang dimaksudkan. Aksi di atas adalah bagi menyempurnakan perasmian pembukaan sebelum ikan kerapu tersebut dibakar.

 

Setelah berbincang bersama ahli keluarga (maklumlah…masing-masing ada selera tersendiri) 2 ekor ikan telah dipilih dalam acara berikutnya…”Sesi Suapan.” Ikan siakap (kanan) dan ikan kerapu (dua dari kanan) jadi pilihan. 

 

Pondok-pondok kayu ini adalah tempat para pengunjung menikmati ikan bakar, minum petang atau sekadar bersantai di pesisir pantai. Tiada kerusi dan meja, sebaliknya pengunjung akan duduk bersila menikmati makanan atau minuman yang dipesan.

 

Sementara menanti ikan bakar, kami semua memesan air kelapa muda. Ayahanda dan bonda sedang berkongsi cerita dengan salah seorang penduduk desa…kebetulan dia singgah berjaja kudapan dalam raga yang dibawa bersama. Ada kisah tragis di sebalik raut wajahnya…paparan kisah wanita ini akan saya kongsikan di sanggar Iktibar kelak.

 

Air kelapa muda perisa limau ini pertama kali saya cuba. Tetamu semua boleh cuba rasanya. Ramuan dan cara menyediakannya mudah sahaja…begini caranya:

1. Sebiji kelapa muda (ditakik bahagian atas bukan bawahnya)
2. Hirisan limau (diperah ke dalam air kelapa muda bukan tua)
3. Sesudu gula (kalau nak manis tambah lagi sesudu jangan lebih dua)
4. Ketulan air (mengikut kadar yang anda suka kalau taknak pun takpa)

 

 

Sesi suapan masuk pusingan kedua selepas sesi minum air kelapa muda…dalam mangkuk plastik hijau berisi air tu bukan sup tetapi air cuci tangan berisi hirisan limau. Baik di Padang, Medan dan Acheh, mangkuk cucian tangan pasti diletakkan hirisan limau yang saya rasa tujuannya buat hilangkan minyak di tangan sekaligus bau hanyir selepas makan. 

 

Suasana berbalam-balam menghampiri senja…suara-suara pengunjung tidak lagi kedengaran. Yang kedengaran hanyalah deruan ombak menghempas ke pesisir pantai.

 

Peraih rezeki di pantai Lampuuk ini sedang menarik tali bot naik ke darat…tali ibarat perantara adalah punca rezeki. Tanpa tali, banana boat tak akan meluncur di permukaan air dan begitulah sebaliknya (kapsyen ini sengaja dipanjangkan demi memenuhi para yang masih berongga…sekurang-kurangnya biarlah terisi dengan dua baris ayat)

 

Destinasi akhir adalah berkunjung ke Masjid Raya Baiturrahman…dari jauh kelihatan seolah-olah warung jualan makanan dan minuman. Namun, setelah menghampiri deretan warung (mungkin ada istilah lain yang lebih tepat dari istilah warung yang saya gunapakai) didapati daun sirih menjadi punca pendapatan penjual dalam meraih rezeki di tepian jalan.

 

Foto ini pula apa kisahnya? Sedang asyik saya merakam foto dan bersedia untuk melintas menuju ke seberang jalan, tiba-tiba…motosikal ini terjatuh betul-betul di hadapan saya. Selangkah saya mara ke hadapan, pasti jadi mangsa kemalangan. Tergamam seketika…dalam pada itu pantas tangan saya menekan punat kamera merakam insiden yang berlaku di hadapan mata. Alhamdulillah…selamat keduanya (saya dan dia). Andai kami berlaga, pasti keduanya dah melambung dan mendarat dengan keadaan patah rengkat di jalanan. Itu cerita di lokasi kejadian, tapi ini pula kisah halimunan yang ingin dikongsikan. Ada sesuatu objek misteri muncul sebaik foto ini dicuci…lihat bulatan cahaya dengan imej wajah aneh di bahagian kiri. Perhatikan juga wajah di bahagian kiri topi keledar anak muda yang terjatuh tadi. Kedua-dua wajah aneh tersebut sedang memandang tepat ke arah lensa kamera. Misteri di persimpangan jalan…

 

Foto terakhir untuk hari kedua terakhir…Dua wajah kesayangan di sisi saya. Terima kasih ayahanda dan bonda kerana menjadi peneman setia…tanpa jemu memberi sokongan, dan semangat kepada anakanda.

 

Jasa Bonda > Dedikasi Sempena Hari Ibu

Filed under: Lirik Pilihan — Akal Sari @ 10:02 pm

 

 

Salam kasih buat Bonda Aini binti Husain…
Jasa dan pengorbanan yang dicurahkan tiada tara jika dibandingkan dengan segala apa yang ada di dunia. Sembilan bulan dalam rahim bonda kandungkan sehingga anakanda semua lahir ke dunia…dari merangkak, bertatih, berjalan hingga berlari seiring perkembangan usia. Dengan penuh sabar bonda lalui dalam membesar dan mendidik sembilan cahaya mata. Semoga Allah melimpahkan kasih sayang sebagaimana kasihnya Bonda terhadap anakanda semua…Amin

Ya Allah, ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan kedua ibu bapa kami, serta kasihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa masih kecil.

 

07/05/2010

Catatan Perjalanan (Hari ke-3)

Filed under: Jejak Mihrab Acheh: Siri 3 — Akal Sari @ 3:02 pm

 

Tarikh : 28 April 2010
Lokasi :  1. Masjid Padang Tiji, Pidie
               2. Makam Tuanku Hasyim Bangta Muda, Padang Tiji
               3. Masjid Tgk. Di Pucok, Beuracan, Meureudu
               4. Masjid Kuta Blang, Samalanga, Bireuen
               5. Makam Tgk. Syech H. Ajalil, Kuta Blang, Samalanga
               6. Makam Tun Sri Lanang

 

Jam 9.00 pagi (8.00 pagi waktu Indonesia), saya dan para pengiring (terdiri daripada 6 orang ahli keluarga) melangkah masuk ke kenderaan. Destinasi pertama pada hari ini adalah sesi berziarah ke makam Tuanku Hasyim Bangta Muda di Padang Tiji, Pidie. Foto di atas adalah rakaman pemandangan di Desa Lampisang…sejuk mata memandang kehijauan alam.

 

Kenderaan di hadapan ini dikenal sebagai labi-labi…saya kira, fungsinya sama seperti bas mini di Malaysia. Kebetulan semasa berada di Acheh tidak pula saya berjumpa bas mini sepanjang perjalanan. Penumpang akan duduk di bahagian kiri dan kanan di ruang dalam kenderaan ini dengan keadaan pintu belakang terbuka.

 

Sewaktu dalam perjalanan, saya ternampak sebuah masjid di puncak bukit lalu membuat permintaan kepada pemandu untuk menuju ke arah lokasi masjid tersebut. Walaupun mengikut panduan jadual lokasi masjid yang telah dikenalpasti, saya tidak akan melepaskan peluang singgah ke masjid lain yang kebetulan dijumpai sepanjang misi ini…Cuma, hasrat kali ini tidak kesampaian apabila laluan yang dipilih untuk menuju ke puncak bukit melalui lorong yang salah. Masuk ke lorong Pesantren Terpadu Darul Aitam dengan harapan dapat menuju ke lokasi masjid, namun akhirnya kenderaan yang dinaiki terpaksa berpatah semula untuk keluar. Hikmah yang diperoleh, ikut gerak hati pertama menuju ke makam waris teratas terlebih dahulu…

 

Sawah padi yang menguning terbentang luas di sisi kiri dan kanan sepanjang laluan menghala ke lokasi tujuan.

 

Akhirnya tiba jua di lokasi Masjid Padang Tiji. Binaan masjid tua ini telah diperluas dan direnovasi, namun hiasan puncaknya masih dikekalkan. Sebelum masuk ke perkarangan masjid, saya seolah-olah dapat merasakan pernah berkunjung ke masjid ini pada misi jejak mihrab masjid tua tahun lalu. Telahan saya tepat sebaik kenderaan masuk dan berhenti di hadapan masjid. Rupa-rupanya saya pernah hadir di sini pada siri kunjungan per-1, namun hanya menjengah dari luar tanpa bertamu di dalamnya kerana melihat masjid tua yang asal telah dibongkar dan dibina semula. Kini saya berpijak semula ke lokasi yang sama dengan tujuan menjejak salasilah dalam sesi ziarah ke makam waris teratas.

 

Makam Tuanku Hasyim Bangta Muda ini dipagar dengan jeriji besi… kedudukannya terletak di sisi kanan Masjid Padang Tiji. Almarhum adalah Panglima Tertinggi Angkatan Perang Acheh…ayahanda kepada Tuanku Raja Keumala. Tuanku Hasyim Bangta Muda adalah anakanda kepada Tuanku Abdul Kadir dan cucunda kepada Tuanku Raja Tjoet Zainoel Abidin daripada susurgalur Sultan Alaiddin Mahmud Shah (1760-1781M).  

 

Terdapat banyak papan peraga sebegini yang ditemui sepanjang perjalanan dari kota Banda Aceh hingga ke Pidie Jaya…Apa simboliknya di sebalik kata-kata, “Aku Mau Aku Dapat?” Puas saya memikirkannya…cuba relatekan ilustrasi dengan ayat, namun tak juga peroleh makna di sebalik paparan.

 

Apa yang menarik perhatian saya tentang keindahan alam di Bumi Serambi Mekah ini adalah bentuk gunung-ganangnya yang kelihatan berbonggol-bonggol… seolah-olah terdapat bukit di atas gunung.

 

Awan kelihatan unik di langit sana…lalu lensa kamera pun dihalakan ke atas dengan tujuan merakam kelainan yang tercipta. Cuaca mendung dipayungi kepulan awan… sesekali kepulan yang terbentuk bagaikan kepalan salji pada pandangan.

 

Perjalanan diteruskan ke Masjid Tgk. Di Pucok di Desa Beuracan, Meureudu. Tinjauan ke masjid tua ini telah dikunjungi pada dua misi terdahulu. Disebabkan masih ada tugas yang belum selesai, jadi kunjungan ke-3 ini adalah sebagai pelengkap kepada tinjauan terdahulu.

 

Rakaman foto yang kurang memuaskan pada tinjauan terdahulu adalah sebab utama saya kembali semula ke masjid kayu yang saya kira terindah ukirannya berbanding masjid tua lain di wilayah Acheh. Alhamdulillah…selesai sudah tugasan merakam foto ukiran pada permukaan tiang, alang dan permukaan dinding yang terdapat di ruang dalam selain mengabadikan foto ukiran papan kembung di bahagian luar. Di dalam masjid tua ini masih tersimpan beduk dan mimbar kayu.

 

Pondok kayu bertiang rendah ini terletak bertentangan masjid baru yang dibina di sisi kiri Masjid Tgk. Di Pucok. Ukiran lebah bergantung menjadi pelengkap kepada hiasan papan cantik yang menutup gelegar. 

 

Dalam perjalanan ke Samalanga, saya terpandang rekabentuk masjid dengan hiasan puncaknya mirip Masjid Indrapuri di Aceh Besar. Menurut pemandu kenderaan, masjid ini diberi nama Masjid Pancasila. Ia dibiaya oleh mantan Presiden Soeharto.

 

Melalui pintu gerbang tertera Selamat Datang ke Kabupaten Bireuen… destinasi berikutnya adalah sesi ziarah ke makam Tun Sri Lanang di Samalanga. Kunjungan ini sebenarnya tiada dalam jadual program, namun hasrat ke makam pengarang Sejarah Melayu (Malay Annals) tersebut lahir setelah dipelawa oleh saudara M. Adli untuk turut serta bersama beliau yang membawa 18 orang tetamu rombongan dari Johor pada hari yang sama. Kebetulan bas dinaiki rombongan tersebut berada di hadapan kenderaan kami sewaktu bertolak dari Banda Aceh sehinggalah ke Pidie. Namun kami terpisah kerana saya perlu menyempurnakan tugasan di Masjid Tgk. Di Pucok. Akhirnya saya membuat keputusan untuk berziarah ke makam tersebut setelah dimaklumkan oleh pemandu arah bahawa tempoh perjalanan ke makam Tun Sri Lanang mengambil masa lebih kurang 1 jam sahaja. Kebetulan pemandu tersebut kampung halamannya di Samalanga… berdekatan dengan lokasi makam yang ingin diziarah.

 

Dalam perjalanan, kami singgah untuk menikmati masakan kampung sebagai juadah tengah hari di restoran Asia Garot ini. Pengusaha restoran ini namanya En. Ramli… kenalan kepada pemandu kenderaan kami.

 

Foto ini dirakamkan sebelum berlalu pergi dari restoran Asia Garot. Ikut resmi padi, Makin berisi makin tunduk…Biarlah makin berilmu makin merendah diri. Lihatlah betapa masyarakat Melayu lama kaya dengan ungkapan peribahasa…di sebaliknya terpancar intipati falsafah pemikiran yang punya pengertian.

 

Setelah melalui hampir satu jam perjalanan, akhirnya kenderaan dinaiki tiba di desa Kuta Blang kecamatan Samalanga. Cuaca agak mendung sebaik tiba…perasaan tenang dan damai tiba-tiba hadir dalam jiwa. Hamparan sawah saujana mata memandang dengan gunung-ganang melatari pandangan… membuatkan mata tak jemu memandang keindahan alam ciptaan Maha Pencipta. Inilah biasan keindahan Allah yang dipancarkan melalui penciptaanNya yang sempurna di mata kita.

 

Masjid Kuta Blang ini dikenal juga sebagai Masjid Jin kerana menurut informan yang ditemubual, suatu waktu dahulu jin Islam sering bertamu di dalamnya. Bahkan makhluk Allah tersebut akan turut serta hadir di ruang dalam ketika para jemaah bersolat. Sebaik melangkah masuk ke pintu gerbang menuju ke anak tangga masjid, terdapat sebuah meriam di sisi kanan yang kini menjadi peninggalan khazanah budaya yang punya nilai sejarah di sebaliknya. Di bahagian belakang sayap kanan masjid ini pula terdapat sebuah perigi lama bewarna emas yang jernih airnya.

 

Pintu utama sebaik naik ke anak tangga masjid tua… Keseluruhan binaan masjid yang telah mencecah usia 130 tahun ini dicat dengan warna putih dan emas.

 

Binaan masjid, kompleks makam dan khazanah lama yang ada di dalam kawasan masjid ini telah dibaikpulih oleh Badan Rehabilitasi dan Rekonstruksi Nanggroe Aceh Darussalam.

 

Kedudukan Kompleks Makam Tgk. Syech H. A Jalil ini berada di bahagian belakang Masjid Kuta Blang.

 

Pusara Tgk. Di Awe Geutah turut berada dalam kompleks makam yang sama. Almarhum dikatakan mempunyai pertalian adik-beradik dengan Tgk. Chik Awe Geutah yang makamnya berada di Peusangan, Bireuen. Kebetulan saya telah dibawa berkunjung ke makam tokoh tersebut oleh Team Yayasan Restu Aceh pada kunjungan terdahulu (Lihat https://jejakmihrabmimbar.wordpress.com/2010/03/03/rumah-tgk-chik-awe-geutah).

 

Dari Masjid Kuta Blang, perjalanan seterusnya menuju ke Makam Tun Sri Lanang yang jaraknya kurang 2 kilometer dari lokasi masjid. Sementara menanti pemandu memohon izin masyarakat setempat untuk masuk ke kawasan makam yang berpagar, saya singgah dahulu ke Rumah Adat Aceh yang kedudukannya terletak di sisi kiri makam Tun Sri Lanang. Selesai membuat tinjauan di ruang dalam dan merakam foto, saya melangkah menuruni anak tangga.

 

Makam berjeriji besi yang di dalamnya bersemadi jasad Tun Sri Lanang ini terletak dalam kawasan berpagar…ibarat pagar dalam pagar. Di dalam kawasan sama  ditanam pokok betik secara tersusun. Di luar perkarangan kawasan pagar utama pula terdapat pokok belimbing besi yang ditanam sejajar menghadap rentangan pagar.

 

Mari kita lihat lebih dekat nesan di pusara Tun Sri Lanang…Makam ini sering diziarahi pengunjung dari Malaysia. Jasa tokoh ini kekal terpahat dalam ingatan kerana sumbangan besar beliau sebagai pengarang teks Sejarah Melayu yang menjadi khazanah amat berharga di Alam Melayu.

 

Masa untuk pulang telah tiba…pemandangan sawah, pergunungan dan awan diabadikan sebagai kenangan akhir di Desa Kuta Blang, Samalanga.

 

Suasana kelam menghampiri senja…kenderaan yang dinaiki melewati deretan pohon nyiur di sepanjang pesisir pantai.

 

Perjalanan dari Samalanga ke Banda Aceh memakan masa 3 jam…namun, diam tak diam tanpa sedar kenderaan dinaiki tiba di jantung kota provinsi Acheh.

 

Menu utama makan malam sebelum pulang ke hotel adalah satay sapi (daging), kerang bakar, nasi goreng ayam dan roti bakar. Namun saya hanya sempat merakam menu roti bakar perisa coklat kerana hidangan yang lain terlebih dahulu dikunyah oleh para pengiring (termasuk saya) yang sememangnya lapar…maklum la, sejak dari petang kami semua belum mengisi perut. Hampir 5 jam barulah sesi bersantap dapat dinikmati. Istimewanya roti bakar ini kerana ramuannya yang tersendiri. Aromanya sahaja buat kami semua tak sabar nak menjamah. Bila dah kunyah…nyumm…nyumm memang sedap tak terkata… tiada tandingan dengan roti bakar yang pernah saya jamah sebelumnya. Dua perisa dipesan, roti bakar coklat dan keju. Perisa keju hampir lompang dalam piring dek kerana disambar tangan-tangan yang ada…perisa coklat ini pula baru satu potongan dicapai mereka. Akhirnya yang tinggal hanya piring dan garpu plastik…licin tanpa meninggalkan sisa.

Sekian…tamatlah sudah paparan perjalanan hari ke-3. Catatan hari ke-4 pula bakal dikongsikan dengan tetamu semua. Nantikan paparannya… wassalam.

Laman Berikutnya »

Blog di WordPress.com.