Jejak Mihrab & Mimbar

26/07/2010

Masjid Ihsaniah

Filed under: Masjid-Masjid Tua di Semenanjung — Akal Sari @ 11:56 am

 

Tarikh : 17 Julai 2010
Lokasi : Kuala Dal, Padang Rengas

 

Siri kunjungan ke Masjid Ihsaniah di Kuala Dal ini telah dijalankan pada tanggal 17 Julai lalu. Masjid tua ini adalah lokasi pertama yang dikunjungi sebelum saya menuju ke bengkel kraf dan warisan Pandai Besi dan makam Daeng Salili di Kampung Padang Changkat serta Istana Kenangan (Istana Lembah)  di Bukit Chandan. Masjid ini juga adalah masjid pertama tinjauan sebelum saya meneruskan perjalanan menjejak masjid tua Pulau Kemiri di Sungai Siput (U), masjid  tua Kampung Sengat di Sungai Raia dan masjid tua Kampung Pengkalan Baru di Batu Gajah pada hari yang sama.

 

Masjid ini bukanlah Masjid Ihsaniah sebaliknya adalah masjid terkemudian yang baru dibina diberi nama Masjid Al-Wahidiah. Binaan masjid ini terletak di sisi kanan Masjid Ihsaniah. Kedua masjid ini terletak sebelah menyebelah dan berkongsi pagar yang sama.

 

Inilah rekabentuk Masjid Ihsaniah di Kuala Dal, Padang Rengas. Foto di atas memperlihatkan rekabentuk masjid dari arah pandangan hadapan. Keseluruhan daripada bahagian dinding masjid ini diperbuat daripada kelarai (buluh) dengan aplikasi teknik anyaman. Dinding masjid ini mempunyai persamaan dengan Istana Kenangan di Bukit Chandan yang turut dihasilkan dengan teknik anyaman. Masjid Ihsaniah ini menampilkan keunikan tersendiri kerana dikenalpasti sebagai satu-satunya binaan masjid berdinding tepas di negara ini.

 

Pandangan sisi kiri masjid Ihsaniah…dalam foto di atas, saya sedang merakamkan foto beduk lama yang diletakkan secara tergantung di bawah cucuran atap.

 

Pandangan sisi kanan masjid. Binaan masjid setinggi dua tingkat ini terserlah dengan 3 kombinasi warna pilihan iaitu kuning, putih dan hitam.

 

Pintu masuk menuju ke bahagian dalam masjid. Pintu masjid ini bertutup semasa saya tiba. Oleh hal demikian, saya cuba mengintai di celah-celah kelarai untuk melihat apa yang ada di tingkat bawah. Kelihatan meja dan kerusi di susun secara teratur seolah-olah menjadi markas tempat pengajian (mungkin juga pertemuan dengan tujuan tertentu). Bahagian tingkat atas pula adalah ruang solat jemaah. Saya tidak pasti sama ada masjid tua ini masih berfungsi sebagai tempat bersolat penduduk setempat atau hanya digunakan sebagai tempat pertemuan bagi acara-acara tertentu.

 

Tangga batu menuju ke bahagian pintu masuk utama…pertemuan 2 bahagian tangga yang dibina pada sisi kiri dan kanan sebelum melangkah menaiki  3 lagi anak tangga menuju ke ruang dalam solat.

 

Makam Daeng Salili

Filed under: Kompleks Makam — Akal Sari @ 12:29 am

 

Tarikh : 17 Julai 2010
Lokasi : Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar

  

Saya telah berziarah ke makam Daeng Salili (Sedili) ini sejurus selepas pulang dari bengkel kraf dan warisan Pandai Besi yang lokasinya tidak jauh dari kawasan makam tersebut. Sebenarnya, sejak dari awal tahun 2010 lagi saya telah menyimpan hajat untuk berziarah ke makam mantan Mufti Pertama Negeri Perak ini. Namun, hajat yang dipendam akhirnya tercapai jua dengan izin Allah apabila saya hadir di sana pada  tanggal 17 Julai yang lalu. Tiba pula di saat saya hampir berangkat ke Tanah Bugis 6 Ogos depan…tanah asal usul Daeng Salili sebelum berhijrah ke Negeri Perak.

Keterangan tentang Daeng Salili ini secara ringkasnya terdapat pada papan info di hadapan makam seperti yang tertera dalam rakaman foto di bawah.

 

Papan info tertera keterangan ringkas tentang Daeng Salili semasa hayatnya

 

 Makam Daeng Salili di dalam kawasan pagar

 

 Bahagian belakang makam

 

 Makam Daeng Salili disimenkan dengan batu-bata

 

Nesan daripada batu sungai

 

21/07/2010

Pandai Besi di Bukit Chandan (sambungan)

Filed under: Khazanah di Alam Melayu — Akal Sari @ 9:32 pm

 

Tarikh : 17 Julai 2010
Lokasi : Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar

  

Penulisan ini adalah sambungan daripada catatan sebelumnya (di bawah tajuk yang sama). Hal demikian kerana, saya masih dalam mood bercerita tentang khazanah lama yang dipusakai sejak berkurun lamanya. Secara jujur saya amat teruja apabila melihat apa jua objek lama di alam Melayu. Baik semasa menjalankan pemerhatian terhadap rekabentuk senibina lama, ragam hias al-Quran dan kitab lama, alat senjata dan kerajinan tangan lainnya di Alam melayu. Setiap daripada objek tersebut mencerminkan identiti budaya bangsa Melayu yang tidak akan lapuk dek hujan dan tidak akan lekang dek panas.

 

Pandai Besi di Kampung Changkat ini sedang menjelaskan tentang jenis kayu setiap keris buatannya yang disusun pada permukaan meja. Keris-keris ini telah ditempah oleh individu atau pihak tertentu…hanya menunggu masa untuk diserahkan kepada pemiliknya.

 

Sarung keris paling kiri dan dua dari kiri diperbuat daripada jenis kayu surian. Keris ke-3 dari kiri dan dua lagi keris pada bahagian kanan (berwarna hitam), sarungnya diperbuat daripada jenis kayu arang. Sarung keris ke-4 dari kiri pula dihasilkan daripada jenis kayu kemuning emas. Selain kemuning emas, jenis kayu kemuning hitam turut digunakan dalam pembuatan keris. Menurut pandai besi ini, “Kayu kemuning hitam ini akan mengeluarkan cahaya kekuningan semasa proses menarah dan meraut sebelum kayu tersebut bertukar kepada warna hitam seperti asal.”

Kayu kemuning hitam ini sukar diperolehi berbanding kemuning emas. Adakalanya, kayu jenis kemuning hitam diberikan kepada beliau oleh individu tertentu. Saya difahamkan, kayu kemuning hitam ini juga digunakan sebagai ubat atau ramuan dalam perubatan tradisional. Justeru, sudah pasti ia mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri sehingga khasiatnya dikatakan mampu menjadi penawar untuk mengubati penyakit.

 

Jika dahulu, pembuatan senjata lama ini biasanya menggunakan 4 jenis kayu untuk menghasilkan sebilah keris. Baik bahagian hulu, sampir, sarung dan buntut keris masing-masing menggunakan jenis kayu berbeza. Kenyataan ini disampaikan secara lisan oleh beliau kepada saya semasa sesi temubual secara tidak formal dijalankan.  

 

Kayu di atas adalah dari jenis kayu macang api. Selain kayu tersebut, jenis kayu lain seperti kayu rengas, kerbau jalang dan lain-lain yang sesuai dalam pembuatan keris turut digunakan dalam menghasilkan alat senjata lama. Kayu macang api ini turut dijadikan turus pagar kerana sifatnya yang tahan lama dan tidak dimakan oleh anai-anai.

 

Seperti biasa, saya akan bertanya tentang pengalaman menarik beliau sepanjang 48 tahun berkecimpung dalam dunia pandai besi…Apakah kisahnya? Begini ceritanya (seperti yang diceritakan kepada saya):

Pernah satu ketika seorang hamba Allah datang ke bengkel beliau dengan hajat menempah hulu sebilah keris ekoran keris pusaka miliknya telah hilang hulunya. Selain keris lama, hamba Allah tersebut turut membawa jenis kayu (lupa pula saya jenis kayunya…tidak salah saya jenis kemuning hitam) untuk dibuat hulunya. Melihat akan keris dan kayu yang dibawa, pandai besi ini dapat menjangka pasti ada halangan dalam pembuatannya kelak. Telahan tersebut berdasarkan pengalaman beliau membuat alat senjata sejak 48 tahun yang lalu. Timbul rasa tidak sedap hati dalam dirinya, lalu beliau meminta hamba Allah tersebut membelah sendiri kayu yang dibawa. Namun, usaha hamba Allah membelah kayu tersebut gagal walaupun menggunakan alat pemotong khas yang biasa digunakan pandai besi ini. Kejadian yang berlaku di hadapan mata akhirnya terbukti jua kebenarannya. Jadi benarlah telahan si pandai besi ini akan halangan yang bakal didepaninya kelak.  Hal demikian kerana, beliau dapat merasakan bahawa beliau juga pasti berdepan perkara yang sama.  Halangan awal ini seolah-olah memberi petanda akan halangan seterusnya sekiranya beliau bersetuju menerima tempahan daripada hamba Allah tadi.

Namun dek kerana tidak mahu menghampakan si tetamu yang amat berhajat akan keris tersebut dipasangkan hulunya, maka si pandai besi ini meminta tempoh beberapa hari sebelum memberi keputusan muktamad… sama ada akan meneruskan proses pembuatan hulu keris atau sebaliknya. Setelah 2 hari berlalu, dengan izin Allah…si pandai besi diberikan satu petunjuk melalui mimpi. Dalam mimpi tersebut, beliau diminta supaya tidak meneruskan pembuatan hulu keris seperti yang dipinta hamba Allah tersebut. Maka, yakinlah beliau bahawa sememangnya halangan  yang diperlihatkan di hadapan mata sejak awal lagi punya hikmah agar pembuatan hulu keris tersebut tidak diteruskan. Rahsia halangan tersebut hanya Allah yang mengetahui. Namun si pandai besi ini sekadar memberi tanggapan bersifat andaian bahawa hamba Allah tadi tidak serasi memiliki atau menyimpan keris pusaka tersebut. Kebetulan juga keris yang dibawa bahagian hujungnya patah sedikit. Keputusan si pandai besi tidak dapat membuat bahagian hulu keris akhirnya disampaikan kepada hamba Allah tersebut. Beliau menolak dengan cara berhikmah untuk mengelak rasa aib hamba Allah yang berhajat benar untuk menempah.

 Kisah ini mengingatkan saya tentang pengalaman melihat sebilah keris pusaka semasa menjalankan sesi temubual dengan salah seorang waris Haji Mustafa Raja Kamala (Penghulu Pertama Tanjung Malim). Seorang waris almarhum ada menyimpan sebilah keris tanpa hulu yang berlubang di bahagian tengahnya (lubang tersebut berbentuk sebilah pedang).  Saat mengajukan pertanyaan tentang hulu kerisnya yang telah tiada lantas saya dimaklumkan oleh informan yang ditemubual bahawa keris tersebut sememangnya dihasilkan tanpa hulu dalam pembuatannya. Justeru, keris tersebut dikekalkan bentuknya sedemikian rupa tanpa sebarang niat untuk memasang bahagian hulunya.

Sekian sahaja serba ringkas catatan si penjejak mihrab dan mimbar berdasarkan perbualan dengan si pandai besi.

Mohon undur diri…

 

_________________________________________________________________________

 

BAHAGIAN-BAHAGIAN KERIS

 

Foto di atas memaparkan bahagian tertentu pada bahagian keris.  Foto dalam kotak kecil di sudut kanan atas pula memaparkan bahagian hulu keris. Foto di bawah pula adalah foto sama yang dibesarkan saiznya untuk memudahkan mata pengunjung semua melihat bahagian yang dilabelkan dengan lebih jelas.

 

 

Sumber foto yang memaparkan bahagian-bahagian pada keris ini saya perolehi semasa siri lawatan ke Muzium Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) pada tanggal 27 Mei lalu. Foto ini dirakamkan melalui lensa kamera di sudut ruang pameran.

 

Masjid Wadi Al-Husein

Filed under: Masjid-Masjid Tua di Thailand — Akal Sari @ 11:39 am

 

Tarikh : 16 Mac 2010
Lokasi : Masjid Wadi Al-Husein, Teluk Manok, Patani,  Thailand

 

Siri tinjauan ke Masjid Wadi Al-Husein di Teluk Manok  ini telah saya kunjungi sebelum menuju ke Masjid Kreesek di Patani lebih 3 bulan lalu. Masjid yang dihiasi  ukiran kayu yang amat indah ini telah saya jejaki untuk melihat lebih dekat senibinanya yang hampir mencecah 400 tahun. Kagum melihat kekemasan dan ketelitian hasil kerjatangan petukang dan pengukir masjid tua yang masih utuh berdiri.

Foto-foto berikut adalah sebahagian paparan yang dirakamkan di bahagian luar dan dalam senibina masjid tersebut.

 

Masjid tua Wadi Al-Husein dalam kenangan. Siri tinjauan terindah…seindah senibina lamanya yang masih terpelihara di sebuah desa. Masjid tua ini telah dibina pada tahun 1620 diklasifikasikan sebagai masjid kayu tertua di Nusantara (Abdul Halim Nasir, 1995: 118).

 

Keunikan hiasan puncak dan menara azan senibina masjid kayu ini menampilkan keunikan yang tersendiri. Hiasan puncak masjid ini menggabungkan 3 jenis bumbung iaitu bumbung limas, bumbung panjang dan bumbung Melayu-Nusantara. Binaan masjid ini diperbuat daripada kayu cengal dan beratap senggora (sejenis atap genting diperbuat daripada tanah). Ukuran denah induknya ialah 9.80 m x 9.80 m.

 

Foto rakaman diambil dari arah hadapan sisi kanan binaan. Permukaan keseluruhan dinding masjid masih dikekalkan dengan warna asal kayu. Tiang-tiang utama masjid ini asalnya ditanam ke dalam tanah. Namun, pada tahun 1952, tiang tersebut dipotong dan diganti dengan tiang batu.

 

Ukiran lebah bergantung (hanging bee) menghiasi cucuran atap. Bahagian kepala tingkap masjid kayu ini turut dihiasi ukiran tebuk tembus. 

 

Tiang masjid dipasak tanpa menggunakan sebarang paku. 

 

Pintu masuk utama menuju ke ruang solat. Pintu ini adalah ruang pemisah di antara ruang dalam dan bahagian serambi masjid. Bahagian kepala pintu dihiasi seni ukiran timbulan bermotifkan flora.

 

Pandangan di ruang solat yang dirakam dari arah mihrab (ruang imam memimpin solat).

 

Ukiran lebah bergantung dengan motif seroja sebagai pelengkap kepada Kayu tunjuk langit (sky pointer) di bawah perabung.

 

Anak sungai di sisi kanan seolah-olah kelihatan sebagai pembahagi di antara masjid tua dengan kawasan perkuburan lama di sekitarnya.

 

19/07/2010

Santai Seketika: Halwa Telinga

Filed under: Lirik Pilihan — Akal Sari @ 3:40 pm

 

http://www.youtube.com/watch?v=ZnrZkPGroug

Pandai Besi di Bukit Chandan

Filed under: Khazanah di Alam Melayu — Akal Sari @ 2:30 pm

 

Tarikh : 17 Julai 2010
Lokasi : Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar

 

Agenda sampingan selepas menjalankan tinjauan ke Masjid Ihsaniah di Kuala Dal adalah sesi ziarah ke makam Daeng Salili di Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan. Namun dalam perjalanan kurang 1 kilometer sebelum tiba di makam mantan Mufti pertama Negeri Perak semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah III, mata saya tertumpu kepada sebuah papan tanda. Teruskan pembacaan sehingga ke noktah akhir catatan…

 

Kampung Padang Changkat ini terletak di belakang Istana Iskandariah di Bukit Chandan. Melihat kepada tajuk di atas, seolah-olah perjalanan ini bertujuan menjejak pandai besi (merujuk kepada orang yang mahir/mempunyai kepakaran membuat keris) walhal tujuan sebenarnya adalah untuk menjejak makam Daeng Salili. Inilah hikmah dalam episod jejak-menjejak…adakalanya terjejak sesuatu yang di luar pencarian. 

 

Pintu gerbang tertera “Selamat Datang” dengan hiasan replika keris pada sisi kiri dan kanan… bagai mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke Kampung Padang Changkat.

 

Sebaik melepasi pintu gerbang utama, sepasang mata pasti tidak akan terlepas dari memandang sebuah papan tanda di sisi kiri jalan…terpampang pantun 4 kerat yang menjadi slogan JKKK Kampung Padang Changkat seperti tertera di atas.

 

Di sinilah saya berhenti lalu singgah merakam foto sambil menemubual pemilik pusat atau bengkel kraf pandai besi di Bukit Chandan.

 

Inilah gerangan tuan punya pusat atau bengkel kraf…En. Abdul Mazin bin Abdul Jamil nama diberi. Kepakaran menghasilkan alat-alat senjata seperti keris, pedang dan sebagainya diwarisi daripada generasi teratas. Dalam diri telah sedia mengalir titisan darah Bugis bersusurgalurkan jurai  keturunan Daeng Salili. Menurut beliau, almarhum ayahandanya (Abdul Jamil) semasa hayatnya adalah tempat rujukan pihak Muzium Negara mendapatkan informasi tentang keris lama terutamanya alat senjata Bugis. En. Abdul Mazin lahir pada tahun 1950 dan beliau mula membuat keris sejak berusia 12 tahun. Kepakaran beliau turut mendapat perhatian pihak Istana apabila diberi mandat menghasilkan alat senjata di Raja.

 

Demo

Sesi perbualan di antara saya dengan En. Abdul Mazin ini diselangi dengan demo (tunjuk cara)yang memperlihatkan proses  penghasilan hulu keris. Jenis teknik dalam demo di bawah saya  catat berdasarkan istilah yang digunapakai oleh beliau semasa perbualan secara lisan tanpa sebarang pindaan. Ada kemungkinan istilah tersebut mempunyai perbezaan dari segi ejaan dan sebutan jika dibuat perbandingan dengan teks rujukan seni yang lain. Namun, saya kekalkan istilah tersebut dengan rasional untuk memperkayakan perbendaharaan kata…sambil cuba merujuk kepada kamus Bahasa Melayu Klasik yang ada.

 

Teknik menarah kayu…tanpa segaris lakaran, potongan kayu ditarah mengikut bentuk hulu keris.
Tarah : Meratakan kayu atau papan dengan kapak atau beliung untuk membuang bahagian luarnya supaya menjadi rata.

 

Teknik meraut potongan kayu atau papan setelah melalui proses menarah. Proses seterusnya adalah melarik dengan tujuan untuk membentuk jalur pada hulu keris. Kebiasaannya, teknik melarik ini diaplikasikan pada motif awan larat  dan sebagainya. Ia berbeza dengan motif bunga yang menggunapakai istilah merawan.
Raut: Melicinkan potongan kayu atau papan dengan menggunakan pisau sehingga menjadi halus
Larik: Menggunakan pisau untuk membentuk jalur motif (selain motif berunsur tumbuh-tumbuhan)
Rawan: Bahagian tulang yang lembut (mungkin istilah ini cuba dikaitkan dengan teknik menoreh jalur lakaran yang akhirnya akan menghasilkan alur berupa lekukan yang dibentuk secara lembut)

 

Proses berikutnya adalah mengikis dengan kaca. Menurut pandai besi ini, proses mengikis menggunakan kaca boleh digantikan dengan teknik mengikis dengan pisau.

 

Seterusnya adalah proses melicinkan permukaan hulu keris dengan kertas pasir. Setelah itu, hulu keris yang telah licin permukaannya disyelek sehingga 3 atau 4 kali dengan tujuan mengilatkannya.

 

Dalam pada sedang berbual-bual secara tiba-tiba En. Mazin menunjukkan bentuk “kepala cicak” yang terdapat pada bahagian hulu keris. Semasa merakamkan foto ini, saya tidak perasan di mana bahagian “kepala cicak” yang di maksudkan. Justeru, saya rakamkan foto berikutnya (seperti di bawah) dengan harapan agar mata saya dapat memfokuskan bentuk kepala cicak tersebut dengan jelas melalui lensa kamera digital tua.

 

Nah! Itu dia bentuk kepala cicak yang dimaksudkan sambil pandai besi ini menggenggam bahagian yang menunjukkan bahagian kepala. Oleh kerana mata saya masih tercari-cari bentuk keseluruhan yang dimaksudkan “kepala cicak” tadi, akhirnya beliau mencabut hulu keris. Cuak juga melihat aksi waris Daeng Salili ni mencabut hulu keris…cepat-cepat saya berundur setapak ke belakang.

 

Oooo…ini rupanya bentuk kepala cicak pada bahagian keris. Selain rumah Melayu lama, alat senjata lama seperti keris juga menggunapakai istilah “kepala cicak” dalam pembuatannya. Ianya secara jelas memperlihatkan simbol kepala cicak ini meluas penggunaannya di Alam Melayu.

 

 

18/07/2010

Di Sebalik Daun Pintu 33

Filed under: Catatan Penulis — Akal Sari @ 10:41 am

 

Tarikh : 23 Jun 2010
Lokasi : Bilik 33, Aras 2 (Daun Pintu ke-3 dari hujung blok)

  

Fakulti Seni dan Muzik: 2 Kembar Tak Seiras

Jika dahulu dua fakulti (Seni dan Muzik) pernah bernaung di bawah satu bumbung. Kini 2 fakulti yang pernah lahir berkembar tapi tak seiras ini telah berpecah kepada 2 bahagian. Fakulti Muzik masih kekal pentadbirannya di bangunan asal manakala Fakulti Seni telah berpindah ke bangunan Malim Sarjana yang berjiran dengan blok Institut Pengajian Siswazah (IPS) ekoran penstrukturan semula. Fakulti Seni ini dikenali dengan nama barunya iaitu Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif. Untuk pengetahuan semua, ini adalah perpindahan kali ke-3 Fakulti Seni sepanjang usianya di UPSI.

Apa kaitannya kisah fakulti dengan tajuk Di Sebalik Daun Pintu 33? Moh! saya bawa tetamu semua menjengah di sebalik daun pintu 33 yang akan dibuka, akhirnya tetamu semua akan menemukan kaitannya setelah menelusuri cerita saya…

 

Laluan menuju ke bilik 33

Bilik bernombor 33 ini terletak di aras 2 bangunan Fakulti Muzik sekarang. Bilik saya ini terletak di kedudukan 3 dari hujung. Ini bermakna bilik 33 ini berjiran dengan 2 lagi bilik di sisi kanan yang mana bilik paling kanan bernombor 35 (paling hujung) adalah jiran paling akrab dengan saya. Bilik tengah (no. 34) kedudukannya di antara bilik 33 dengan bilik jiran akrab tadi. Ia adalah bilik kosong yang tidak berpenghuni. Siapakah jiran akrab yang dimaksudkan tadi? Teruskan pembacaan santai ini… =)

 

Tanpa mereka ber-3, bilik 33 tak ceria

Merekalah gerangan jiran paling akrab yang saya maksudkan tadi. Di sebabkan khidmat mereka, maka bilik 33 ini sentiasa berada dalam keadaan selesa pada pandangan mata. Sawang dan debu baik di permukaan carpet, meja, tingkap hinggalah ke daun pintu dibersihkan dengan sempurna.  Kak Sal, Devi dan Letchumi (salah seorang terlindung di sebalik kakitangan lelaki yang sedang berdiri)…3 sekawan yang ringan tulang sentiasa memberikan kerjasama apabila diperlukan. Tanpa mereka, fakulti ini pasti kelihatan tidak sempurna dan selesa di mata penghuninya. Terima kasih kepada kakak-kakak semua…

  

Warna kontra di luar jendela

Duduk di kerusi bilik 33…sesekali menoleh ke sisi kanan. Nikmati keindahan alam di luar jendela kaca. Lukisan alam diterjemahkan oleh Maha Pencipta untuk sekalian makhluk di dunia menghayati dengan kurniaan pancaindera. Hijau tumbuhan dan merah bata bumbung bangunan mewujudkan warna kontra pada pandangan. 2 Kombinasi warna sejuk dan panas bergabung dipayungi warna ke-3 iaitu kepulan-kepulan awan dengan tona putih kebiruan.

 

Si Hijau & Merah: 2 Sekawan Ceria

Ini hanya pen hiasan…”Wahai 2 sekawan, dengarkan pesanan ini buat ingatan. Ku tingggalkan kalian di permukaan meja dengan harapan agar kalian dapat menjaga segala isi dan rahsia di sebalik daun pintu bilik 33.”

 

 

Fail Hijau Pucuk Pisang

Fail istimewa…3 tahun usianya. Apa yang ada di sebalik kulit keras dihiasi penanda arah Qiblah? Di dalamnya terkandung himpunan simbol-simbol motif arabes sebagai rujukan Si Penjejak Mihrab dan Mimbar.

  

 
 

Moga kekal di bilik 33

Rasanya cukup setakat ini sahaja paparan secara santai buat tatapan tetamu sekalian. Apa yang saya harapkan…mudah-mudahan saya dapat kekal menjadi penghuni di bilik 33 ini walaupun Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif telah berpindah ke bangunan baru. Hal demikian kerana, 2 orang pensyarah pembimbing saya (Prof. Dr. Zakaria Ali & Dr. Ahmad Suhaimi Mohd Noor) masih kekal bilik mereka di aras 1 Fakulti Muzik. Ia akan memudahkan saya membuat pertemuan bagi menjalankan diskusi berkaitan penelitian selain tugasan baru selaku pembantu penyelidik (RA) di bawah seliaan mereka nanti. Itulah perkaitan yang ingin saya nyatakan pada coretan kali ini…Luahan penghuni bilik 33…

 

Rahsia Angka

Mata saya lebih peka kepada jenis garisan, rupa, bentuk, jalinan, warna dan ruang yang ada di sekeliling berbanding bab angka-angka. Maklumlah, selaku pengguna otak kanan saya lebih cenderung dan memberi tumpuan pada seni visual dan bahasa. Namun, rahsia di sebalik angka-angka ini baru diteroka. Ilmu yang baru disedari melalui pembacaan dari sebuah laman blog yang penulisnya seorang lulusan matematik dari Lond0n.

Izinkan saya menutup semula daun pintu 33 sebelum menutup cerita.

16/07/2010

Andaiku Tahu…

Filed under: Lirik Pilihan — Akal Sari @ 2:30 pm

 

Andaiku tahu…kapan tiba ajalku…
Izinkan aku…mengucap kata taubat padaMU…

 

http://www.youtube.com/watch?v=Flqf5F6Iiak

Ilham Kreatif daripada Batu Sungai

Filed under: Galeri — Akal Sari @ 12:27 am

 

Tarikh : 14 Julai 2010
Lokasi : Pendidikan Khas Integrasi SK Sungai Buloh

 

Terdetik hati untuk melawat rakan-rakan lama dan sebaik melangkah masuk menemui mereka, pandangan saya terarah kepada longgokan batu-batu berwarna yang menarik perhatian mata. Secara jujur, kerjatangan yang dihasilkan mereka untuk Jualan Amal Tabung Pendidikan Khas sepanjang bulan Julai ini amat kreatif sekali. Bentuk serangga dan haiwan diwarnakan dengan penuh kekemasan dan ketelitian.

Saya berikan 5 bintang ***** kepada para pembuatnya… =) 

 

Dari kiri: Erna, Mira (berdiri), Asiah & Ida

Wajah-wajah rakan lama saya di Pendidikan Khas SK Sungai Buloh 2008 (saya sempat berkhidmat selama 1 tahun di sini. Sebelumnya saya menjadi tenaga pengajar di SMK Bandar Baru Sungai Buloh > 2002-2006).

 

Batu sungai sebelum diwarnakan

Beginilah bentuk dan warna asli batu sungai sebelum diwarnakan oleh Pn. Asiah dan dibantu oleh Erna dan Ida (juga individu lain yang membantu tetapi tidak saya catatkan nama kalian di sini) 

 

Proses awal

Keseluruhan permukaan batu diwarnakan dengan teknik warna rata agar sekata sebelum proses lakaran rupa serangga atau haiwan dihasilkan kemudiannya.

 

Proses mengeringkan warna

Setelah diwarnakan bahagian-bahagian tertentu seperti mata, kepala, badan dan sayap serangga atau haiwan, maka proses seterusnya adalah mengeringkan warna di permukaan batu.

 

Kau @ Aku...Siapa laku dulu?

Si Kumbang Merah (kiri) dan Si Tuntung (kanan) masing-masing kelu dan membisu. Hanya bermonolog dalaman, “Antara aku dan dia…siapalah agaknya yang akan dibeli dulu?”

 

Tuntung ini Milik Aku

Siapakah ‘Aku’ yang dimaksudkan? ‘Aku’ adalah tuan punya sanggar ini. Saya telah membeli Tuntung ini walaupun belum lagi memiliki haiwan keras seperti batu ini (memang batu pun…). Harga seekor serangga atau haiwan yang telah disumpah menjadi batu ini adalah RM5 (nak bayar lebih tu dialu-alukan sebab yang lebih itu akan dianggap sebagai sumbangan amal).

  

Si Kumbang Pemalu

 

Si Labi-Labi Bermata Kuyu

 

Si Ular Sawa Tanpa Badan dan Ekornya

15/07/2010

Pengaruh Acheh dan Bugis dalam Senibina Rumah Kutai Perak

Filed under: Rumah Tradisional — Akal Sari @ 11:14 am

 

Tajuk yang terpapar di atas seolah-olah seperti tajuk tesis pula…Namun saya hanya ingin mengupas secara ringkas sahaja. Info yang ingin saya kongsikan ini adalah buah pena yang telah saya tinggalkan di http://artmelayu.blogspot.com. Saya kira ada baiknya saya copy dan paste semula ulasan yang telah sedia ada di ruang komen penulis blog tersebut di bawah tajuk Asal-usul rumah kutai di Perak

Dalam tempoh beberapa bulan ini, saya sedang memikirkan tentang perkaitan ciri-ciri rekabentuk rumah tradisional Melayu khususnya senibina rumah kutai perak ini. Walaupun ianya bukan subjek utama kajian (kajian khusus saya memberi tumpuan terhadap rekabentuk mihrab dan mimbar masjid tua sebenarnya), namun saya tertarik membuat kajian secara ‘sendiri-sendiri.’ Lagipula pemerhatian melalui kajian lapangan semasa menjejak masjid-masjid tua di lokasi-lokasi tertentu di Semenanjung dan rata-rata daerah di provinsi Acheh telah membuka mata terhadap keunikan senibina lama (masjid tua, istana lama,  kompleks makam dan sebagainya) yang punya makna dan falsafah tersirat di sebaliknya. 

Kesedaran tentang peri pentingnya memartabatkan seni melayu lama ini telah membuka pintu hati saya untuk berkongsi ilmu yang amat terbatas ini dengan khalayak. Sekurang-kurangnya usaha saya yang sekecil ini dapat dimanfaatkan oleh khalayak yang singgah di sanggar jejakmihrabmimbar.

Pada pandangan saya, amatlah rugi sekiranya khazanah-khazanah lama yang turut berada di sekeliling kita semasa sesi tinjauan di lapangan diabaikan kewujudannya. Sebagai contoh, apabila menjalankan kajian di masjid lama…kita turut menemukan makam-makam lama di sekitarnya.  Malah, kebanyakan daripada rumah-rumah lama masih berdiri dengan utuhnya di sekitar masjid tua yang dikunjungi. Jadi, apalah salahnya kita mengambil kesempatan dan peluang yang telah tersedia di hadapan mata. Membuat pemerhatian ke atas ciri-ciri budaya Melayu yang diketengahkan pada bahagian-bahagian tertentu dalam senibina lama dan khazanah lama lainnya. Di situlah nanti kita akan menemukan identiti bangsa Melayu yang menjadi warisan sejak zaman berzaman.

Alangkah malunya jika bangsa Melayu sendiri tidak mengetahui lantaran tidak ambil peduli akan khazanah warisan di Alam Melayu. Jangan nanti bila senibina lama ini runtuh menyembah bumi, barulah suara-suara penyesalan dan terkilan dilontarkan walhal semasa ia masih utuh berdiri tiada sesiapapun yang menghiraukan kewujudannya.

Baiklah…tanpa berlengah masa, saya copy dan paste kata-kata Tuan Punya artmelayu.blogspot.com dalam tajuk catatannya  Asal-usul rumah kutai di Perak di sanggar ini:

Tadi saya tergerak membuat google search menggunakan kata-kata kunci “Rumah Kutai” lalu terjumpa gambar ketiga di atas. Yang menarik, website yang mengandungi gambar itu didirikan oleh sebuah badan rasmi Sabah sedangkan saudara yang baru saya kenali semalam, yang kelihatan seperti melebihkan kaitan Bugis juga berasal dari negeri itu.

Lebih menarik lagi, di sebelah gambar itu tertera kata-kata ini: “Reka bentuk rumah Kutai di Perak sama seperti rumah di Aceh dan Makasar (yang terletak di dalam lingkungan dunia Bugis), Indonesia. Menurut sejarah, orang Bugis dan Aceh pernah menetap di Perak.” Kenyataan ini seolah mahu menjawab persoalan saya mengenai kaitan Aceh dengan Bugis.

Di bawah ini pula saya copy dan paste semula hasil buah pena sebagai maklumbalas kepada catatan di atas: 

Alhamdulillah…ada juga kenyataan yang boleh dijadikan sumber sokongan seperti di atas: “Reka bentuk rumah Kutai di Perak sama seperti rumah di Aceh dan Makasar (yang terletak di dalam lingkungan dunia Bugis), Indonesia. Menurut sejarah, orang Bugis dan Aceh pernah menetap di Perak.”

Saya tidaklah menjalankan penelitian khusus ttg rumah kutai ini tetapi berminat mengambil tahu tentang senibina tradisional Melayu. Sedikit sebanyak relate  juga   dengan bahagian tertentu pada senibina masjid tua. Tak banyak, sedikit pasti terkait juga.

 

Contoh Rumah Kutai dari laman artmelayu.blogspot.com

 

Pandangan saya secara peribadi semasa menjalankan observasi di lapangan…

Wujud persamaan di antara rumah adat Aceh dengan rumah kutai (saya ambil contoh rumah kutai di Kg Masjid, Lenggong, Perak). Dah banyak kali disinggung ttg papan pator, kepala cicak, papan cantik jadi kali ni saya berbicara tentang bahagian lain pula.

Wujud persamaan di antara Rumah adat Acheh, Bugis dan rumah kutai Perak. Saya beri contoh, jarak gelegar dengan permukaan tanah rumah kutai di Kampung Masjid, Lenggong. Rumah kutai (belakang surau lama) memiliki 13 anak tangga dengan ketinggiannya 2.5 meter manakala di sisi kiri surau lama pula rumah kutai dengan 11 anak tangga dengan ketinggian 2.15 meter dari aras tanah. Malah, saya turut menemukan persamaan ini semasa tinjauan ke rumah Anjung Warisan di Kampung Laut, Kuala Terengganu 19 Jun lalu. Ia sama dengan ketinggian rata-rata rumah adat Acheh, juga Bugis yang melebihi aras kepala.

Kalau lebah bergantung (hanging bee) dan tunjuk langit (sky pointer) memang wujud persamaan antara Acheh-Perak. Kalau di Acheh, lebah bergantung ni banyak terdapat di bawah gelegar. Istana Sultan Iskandar Zulkarnain yg memerintah Perak 1756-1770 seperti lakaran Abdul Halim Nasir (berdasarkan teks Misa Melayu karangan Raja Chulan) turut menemukan ukiran lebah bergantung pada kaki tiang di anjung peranginan.

Begitu juga dengan kayu buton yang seakan menjadi ciri pengenal kepada senibina rumah lama di Perak, Acheh dan Tanah Bugis. Saya cuba membuat telahan dengan mengaitkan asal usul kayu buton dengan sebuah kerajaan Buton di Sulawesi Tenggara yang mana hasil kayu adalah di antara hasil eksport utamanya. Sama ada istilah buton itu diambil merujuk kepada jenis kayu butun atau kerajaan Buton atau suku Buton lalu digunapakai dalam menamakan kayu buton di tulang perabung/tebar layar rumah tradisional Melayu.

Kenyataan berdasarkan penulisan ilmiah di http://www.oldmaluku.net seakan menyokong telahan dalam mencari perkaitan:

“Orang Buton (yang meliputi berbagai sub-etnis: Wolio, Wanci, Tomia, Binongko, dan Kulisusu) adalah salah satu suku bangsa di Sulawesi Tenggara yang mendiami Kepulauan Buton dan sekitarnya. Di Kawasan Timur Indonesia, mereka dikenal sebagai masyarakat maritim bersama-sama dengan orang Bugis/ Makassar dan Mandar. Oleh karena itu,Zuhdi (1997) menyebutnya BBM: Bugis, Butun (Buton), dan Mandar, kerana ketiganya adalah suku bangsa maritim. Mereka secara bersama-sama menjelajahi perairan Nusantara bahkan sampai ke luar batas-batas wilayah Nusantara (Ligvoet, 1877; Heeren, 1972), seperti ke Pantai Marege (Australia), Mindanao (Phlipina), Malaysia, Singapura dan bahkan sampai ke Cina (Tamburaka, 1996).” 

Berbicara tentang rekabentuk rumah ni sama juga keadaannya dgn bercerita tentang fesyen pakaian. Pelbagai potongan diilhamkan hasil adaptasi daripada potongan pakaian budaya lain. Kebaya kurung umpamanya adalah hasil gabungan potongan baju kebaya yang ditambah pesak dan kekek daripada baju kurung tradisional. Kebaya tradisional pula diberi nafas baru dengan mengubah potongan asli lehernya yang berbentuk V kepada potongan leher jenis stand collar menyerupai cheongsam sehingga wujud istilah kebaya cheongsam.

Begitulah juga halnya dengan kepelbagaian bentuk rumah tradisional tempatan. Kalau dilihat hiasan puncak sahaja juga berbeza bentuk dan jenisnya. Itu belum lagi melihat bahagian lainnya. Jenis Rumah Potong Perak umpamanya terdapat pelbagai bentuk potongan bumbungnya. Rumah Potongan Perak ini terdapat juga di Perlis, Kedah dan Kelantan namun berbeza bentuknya lantaran telah diubahsuai dengan budaya setempat.

p/s: disebabkan pandangan ini bersifat telahan, jadi pasti ada kekurangan…setelah menjalankan tinjauan ke rumah adat dan masjid tua di Sulawesi Ogos depan, barulah yakin mengutarakan pandangan buat perkongsian… =)

 

« Laman SebelumnyaLaman Berikutnya »

Blog di WordPress.com.